Majoriti masyarakat pelbagai etnik di Malaysia masih komited untuk mengekalkan kestabilan dan keharmonian yang sudah lama terpelihara. Walau bagaimanapun, kesabaran serta toleransi masyarakat Malaysia sudah pasti ada hadnya. Justeru, suara-suara ekstrim yang lantang mendominasi wacana umum tidak wajar dibiarkan.
Walau pun isu-isu sensitif ini tidak semestinya membawa kepada konflik dan rusuhan etnik, ia sudah pasti mengukuhkan lagi sentimen stereotaip dan prejudis dalam kalangan masyarakat.
Justeru, kerajaan dan masyarakat umum perlu menangani isu ini dengan berhati-hati tanpa mengetepikan kepentingan serta hak kumpulan etnik yang terlibat. Pendekatan kerajaan yang beralih daripada asimilasi kepada pluralisme wajar dipuji. Selain itu, tindakan kerajaan untuk mengujudkan keseimbangan dalam lapangan ekonomi dan politik sebagai kaedah untuk mengujudkan integrasi nasional juga wajar diteruskan.
Walau bagaimanapun, kerajaan tidak wajar membiarkan kelompok ektrimis etnik dan agama terutamanya daripada kelompok majoriti merosakkan agenda negara ini.
Dakwaan bahawa kelompok ektrimis ini didalangi pihak pemerintah perlu disangkal sekeras-kerasnya dengan mengambil pendekatan tegas terhadap mereka.
Pada masa yang sama, setiap kumpulan etnik dan agama perlu memainkan peranan masing-masing dalam menjaga keharmonian etnik dan kestabilan negara. Dalam usaha mereka memperjuangkan hak serta kepentingan masing-masing, adalah penting usaha ini dilakukan dalam ruang lingkup perlembagaan dan kepentingan nasional. Hujah atau proses melobi perlulah dilakukan dalam keadaan rasional, berhemah dan terkawal.
Bentuk hubungan etnik di Malaysia adalah bersifat plural di mana masyarakat pelbagai etnik mengekalkan identiti masing-masing dan hidup dalam lingkungan kelompok masyarakat mereka sahaja. Interaksi dalam kalangan kumpulan etnik yang berbeza adalah agak minima dan lebih tertumpu dalam lapangan ekonomi dan politik. Walau bagaimanapun, ada yang berpendapat bahawa jurang etnik ini semakin mengecil disebabkan proses pendemokrasian dan globalisasi.
Rumusan
1. Dalam kalangan negara dunia, Malaysia dikategorikan sebagai negara yang mempunyai tahap kepelbagaian etnik yang sederhana. Amerika Syarikat adalah antara negara yang mempunyai tahap kepelbagaian etnik yang tinggi manakala Jepun mempunyai tahap kepelbagaian etnik yang rendah.
2. Pola hubungan etnik di Malaysia boleh dibahagikan kepada tiga fasa yang berbeza iaitu; era konflik (1945 – 1960), era stabil tapi tegang (1961 – 1970) dan era kesepaduan sosial (1971 – 2011).
3. Integrasi nasional ialah usaha memupuk perpaduan serta keharmonian dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik.
Ia boleh dicapai melalui dua kaedah iaitu proses asimilasi dan pluralisme.
4. Kerajaan telah memperkenalkan tiga dasar yang berbeza untuk mencapai integrasi nasional iaitu Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971, Bangsa Malaysia 1991 dan 1Malaysia 2010.
5. Proses asimilasi adalah keadaan di mana kumpulan etnik minoriti mengintegrasi diri mereka ke dalam kehidupan etnik majoriti. Hasilnya, sempadan etnik tidak lagi kelihatan kerana kelompok minoriti hampir menyerupai kelompok majoriti.
6. Pluralisme ialah keadaan di mana setiap kumpulan etnik mengekalkan identiti etnik mereka masing-masing dan hanya berinteraksi dengan kumpulan etnik lain dalam lapangan ekonomi dan politik sahaja.
7. Polarisasi ialah keadaan di mana sempadan etnik menebal sehingga mampu memperkukuhkan jurang perbezaan antara kumpulan etnik yang berbeza.
8. Sejak 1957, hubungan etnik di Malaysia berada pada tahap seimbang dan harmoni walaupun wujud beberapa insiden ketegangan dan rusuhan etnik berdarah.
9. Kajian hubungan etnik di Malaysia terbahagi kepada dua pendekatan berbeza iaitu konflik dan orde. Pendekatan konflik cenderung untuk mengkaji ketegangan dan krisis yang berlaku dalam masyarakat pelbagai etnik. Pendekatan orde pula lebih memfokus kepada kestabilan dan keharmonian dalam masyarakat. Ia tidak menafikan kewujudan konflik, sebaliknya ia melihat konflik sebagai lumrah dalam kehidupan masyarakat pelbagai etnik.
Latihan Kendiri 1.2
1. Bincangkan tiga fasa hubungan etnik di Malaysia.
2. Jelaskan cabaran-cabaran yang dihadapi kerajaan dalam usaha memupuk intergrasi nasional.
3. Bincangkan bentuk hubungan etnik di Malaysia pada era pasca pilihan raya umum 2008.
Cadangan jawapan untuk aktiviti
Maklum Balas Aktiviti 1.3
1. Era konflik
a. Polarisasi etnik agak menebal sebelum Perang Dunia Kedua.
b. Ia bertambah tegang selepas Perang kerana rasa prejudis dan dendam antara orang Melayu dan segelintir Cina dalam Parti Komunis Malaya
c. Untuk meredakan ketegangan, penjajah British mencadangkan konsep perkongsian kuasa antara kumpulan etnik utama.
2. Era stabil tapi tegang
a. Stratifikasi dan polarisasi etnik yang tidak ditangani menambah lagi ketegangan etnik.
b. Keadaan ini diburukkan lagi oleh tahap kemiskinan yang tinggi dalam kalangan orang Melayu dan Bumiputera.
c. Akibatnya, konflik etnik berdarah tercetus pada 13 Mei 1969.
3. Era kesepaduan sosial
a. Pelbagai langkah diambil kerajaan untuk mengembalikan kesepaduan sosial.
b. Ini menyumbang kepada kestabilan dan keharmonian etnik.
c. Walau bagaimanapun, beberapa insiden yang membabitkan pertelingkahan etnik tetap berlaku
Aktiviti 1.4
1. Penolakan kumpulan minoriti terhadap budaya Melayu sebagai teras pembentukan identiti nasional.
2. Usaha kerajaan untuk memupuk identiti nasional sering dipolitikkan samada oleh pemimpin Barisan Nasional mahupun pembangkang.
3. Dasar ekonomi dilihat tidak adil kerana lebih mengutamakan orang Melayu dan Bumiputera.
1.3 Konsep dan Teori Hubungan Etnik
Objektif
Di akhir topik ini, anda seharusnya dapat:
1. Mendefinisikan konsep-konsep asas hubungan etnik seperti ras, etnik, stratifikasi, prejudis dan diskriminasi.
2. Menjelaskan pola-pola hubungan etnik.
3. Membincangkan tipologi masyarakat pelbagai etnik.
Pengenalan
Pelbagai persoalan timbul apabila kita cuba mengupas permasalahan hubungan etnik di Malaysia. Apakah yang dimaksudkan dengan etnik? Adakah ia mempunyai pengertian yang sama dengan konsep ras? Apakah pula dimaksudkan dengan hubungan etnik? Apakah bentuk hubungan etnik di Malaysia? Adakah ia bersifat plural atau telah melalui proses asimilasi, dan apakah maksud kedua-dua konsep ini? Apakah pola hubungan etnik di Malaysia sejak lebih lima dekad ini? Adakah ia semakin harmonis atau semakin menegang? Untuk menjawab persoalan-soalan ini, Topik 1.3 mengupas konsep-konsep asas dan teori hubungan etnik yang menjelaskan bentuk serta pola hubungan etnik secara amnya dan di Malaysia khususnya.
Perbincangan mengenai konsep dan teori hubungan etnik ini membolehkan pelajar hubungan etnik mengetahui wacana subjek penting ini dan amalannya.
Topik ini bermula dengan menerangkan konsep-konsep asas seperti ras dan etnik.
Selepas itu, perbincangan diteruskan dengan mengupas konsep stratifikasi etnik, prejudis dan diskriminasi. Ketiga-tiga konsep ini menjelaskan bentuk-bentuk interaksi yang terjalin antara individu dalam kalangan kumpulan etnik yang berbeza.
Selanjutnya, topik ini membincangkan pola dan tipologi hubungan etnik.