Unit 1
MPU 3113/03
Hubungan Etnik
Hubungan Etnik di
Malaysia
PANEL KURSUS
Ketua Penyelaras Kursus: Dr. S. Nagarajan Penulis Kursus: Dr. Faisal S. Hazis
Pereka Instruksi: Puan Norliza Binti Mhd Rodzi
Ahli Panel Kursus: Puan Rabikha Hasni bte Suparman, Puan Irmadura Ramli dan Dr. Ooi Chia Yi
PENYELARAS KURSUS
Puan Rabikha Hasni bte Suparman
PENILAI KURSUS LUARAN
Professor Dr James Chin Ung Ho, University of Tasmania
PRODUKSI
Penyunting Dalaman: Puan Norliza Binti Mhd Rodzi dan Encik Khoo Chiew Keen Pereka Grafik: Cik Audrey Yeong
Universiti Terbuka Wawasan adalah institusi pengajian tinggi bukan berunsur keuntungan pertama di Malaysia yang didedikasikan kepada pelajar dewasa. Organisasi ini dibiayai oleh Yayasan Pendidikan Wawasan, sebuah entiti yang dikecualikan dari cukai yang ditubuhkan oleh Parti Gerakan Malaysia, dan disokong oleh Yeap Chor Ee Charitable and Endowment Trust, badan-badan kebajikan, koperasi, orang ramai dan peruntukan dari kerajaan Malaysia.
Penyediaan bahan kursus universiti ini dibiayai oleh Yeap Chor Ee Charitable and Endowment Trust.
© 2015 Universiti Terbuka Wawasan
Hak cipta terpelihara. Mana-mana bahagian penerbitan ini tidak boleh dihasilkan semula, disimpan dalam sistem simpanan kekal, atau dipindahkan dalam sebarang bentuk atau sebarang cara elektronik, mekanik, penggambaran semula, rakaman dan sebagainya, tanpa izin daripada pihak penerbit Universiti Terbuka Wawasan.
Universiti Terbuka Wawasan
(KPT/JPT/DFT/US/P01)
Wholly owned by Wawasan Open University Sdn. Bhd. (700364-W)
54, Jalan Sultan Ahmad Shah, 10050 Pulau Pinang.
Tel: (604) 2180333 Faks: (604) 2279214 E-mel: [email protected]
Laman web: www.wou.edu.my
Kandungan
Unit 1 Hubungan Etnik di Malaysia
Ringkasan kursus Ringkasan unit Objektif unit
1.1 Masyarakat pelbagai etnik di Malaysia
Objektif Pengenalan
Pertumbuhan penduduk Taburan penduduk Masyarakat pelbagai etnik
Kepelbagaian agama
Cadangan jawapan untuk aktiviti
1.2 Hubungan etnik di Malaysia
Objektif Pengenalan
Hubungan etnik di Malaysia Integrasi nasional
Polarisasi dan ketegangan Memahami hubungan etnik
Cadangan jawapan untuk aktiviti
1 3 3
5 5 5 6 7 10 13 17
19 19 19 19 23 24 26 28
1.3 Konsep dan teori hubungan etnik
Objektif Pengenalan Ras dan etnik
Stratifikasi, prejudis dan diskriminasi Bentuk dan pola hubungan etnik Tipologi masyarakat pelbagai etnik
Cadangan jawapan untuk aktiviti
Rumusan Unit 1
Cadangan jawapan latihan kendiri Rujukan
31 31 31 31 33 36 41 45
47 49 53
Ringkasan Kursus
M
PU 3113/03 Hubungan Etnik menekankan konsep dan pengetahuan empirikal mengenai hubungan etnik. Unit 1 menjelaskan latar belakang masyarakat majmuk dan hubungan etnik di Malaysia. Ia juga menerangkan konsep hubungan etnik dan teori-teori dominan yang menjelaskan konsep tersebut. Unit 2 memberi fokus pada kebangkitan masyarakat plural dan dinamik hubungan etnik semasa dan selepas zaman penjajahan. Unit 3 pula menerangkan Perlembagaan Malaysia sebagai asas pembentukan hubungan etnik di Malaysia. Unit 4 meneroka pelbagai inisiatif oleh setiap negeri dalam pengurusan hubungan etnik. Akhirnya, Unit 5 menjelaskan isu-isu dan cabaran hubungan etnik di Malaysia.Di akhir kursus ini, anda seharusnya dapat:
1. Menerangkan konsep-konsep dan teori-teori asas yang berkaitan dengan hubungan etnik.
2. Menerangkan kebangkitan masyarakat plural di Malaysia.
3. Bincangkan dinamik hubungan etnik.
4. Menerangkan peranan negeri-negeri di Malaysia dalam menguruskan hubungan etnik.
5. Menerangkan faktor-faktor dominan yang membentuk hubungan etnik di Malaysia.
6. Meneliti polisi setiap negeri dalam pengurusan hubungan etnik.
7. Menerangkan isu-isu dan cabaran yang dihadapi oleh Malaysia berkenaan hubungan etnik.
Ringkasan Unit
U
nit 1 dibahagikan kepada tiga topik iaitu masyarakat pelbagai etnik di Malaysia, hubungan etnik di Malaysia dan konsep serta teori hubungan etnik. Topik 1 memperkenalkan anda kepada latar belakang masyarakat pelbagai etnik di Malaysia.Terdahulu, Topik 1.1 meneliti struktur, pertumbuhan dan taburan penduduk di Malaysia. Kemudian, ia menyusuri perkembangan masyarakat pelbagai etnik sejak era pra kedatangan penjajah asing sehingga era pasca merdeka.
Topik 1.2 pula mengupas tahap hubungan etnik di Malaysia yang terbahagi kepada tiga iaitu era konflik (1945 – 1960), stabil tapi tegang (1961 – 1970) dan kesepaduan sosial (1971 – 2011). Topik 2 seterusnya membincangkan pendekatan kerajaan dalam mentadbir urus hubungan etnik. Di sebalik usaha kerajaan ini, timbul juga beberapa isu dan insiden yang telah membawa ketegangan dan polarisasi dalam masyarakat.
Bahagian akhir topik ini pula mengenal pasti isu-isu yang berkaitan hubungan etnik dan impaknya terhadap negara.
Akhir sekali, Topik 1.3 membincangkan konsep-konsep dan teori-teori penting hubungan etnik khususnya dalam konteks Malaysia. Beberapa konsep penting kajian hubungan etnik diteliti dan diperhalusi agar pemahaman mengenai subjek ini dapat diperdalamkan. Antara konsep-konsep yang dimaksudkan ialah ras, etnik, stratifikasi etnik, prejudis dan diskriminasi. Selepas itu, Topik 1.3 menjelaskan mengenai bentuk dan pola hubungan etnik yang pada asasnya terbahagi kepada dua iaitu asimilasi dan pluralisme. Turut dibincangkan dalam topik ini ialah tipologi masyarakat pelbagai etnik yang tergolong dalam tiga kategori iaitu masyarakat kolonial, plural korporat dan asimilasi.
Objektif Unit
Di akhir Unit 1, anda akan dapat:
1. Menjelaskan perkembangan masyarakat pelbagai etnik di Malaysia.
2. Menerangkan tahap hubungan etnik di Malaysia.
3. Menjelaskan konsep dan teori penting hubungan etnik.
4. Membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan hubungan etnik.
1.1 Masyarakat Pelbagai Etnik di Malaysia
Objektif
Di akhir topik ini, anda seharusnya dapat:
1. Mengambarkan struktur penduduk di Malaysia.
2. Menjelaskan pertumbuhan penduduk di Malaysia.
3. Mengambarkan masyarakat pelbagai etnik di Malaysia.
4. Menjelaskan klasifikasi identiti etnik berdasarkan takrifan autoriti dan harian.
Pengenalan
Malaysia bukan sahaja kaya dari segi sumber asli, ia juga dilimpahi pelbagai kumpulan etnik, dari negeri paling utara di Semenanjung iaitu Perlis hinggalah ke negeri paling utara di Borneo iaitu Sabah. Masyarakat pelbagai etnik di Malaysia terbentuk hasil daripada aktiviti migrasi yang berlaku sejak berkurun lamanya tetapi memuncak pada akhir kurun ke-18 dan awal kurun ke-19 (Azmah, 2001:
8). Penyumbang utama kepada aktiviti migrasi ini adalah dasar penjajah British yang membawa masuk secara besar-besaran kumpulan masyarakat dari India dan China bagi membangunkan kegiatan ekonomi tempatan dan juga mengukuhkan kedudukan penjajah (Abraham, 2004: 1).
Apa pun latar belakang pembentukan masyarakat pelbagai etnik di Malaysia, hakikatnya negara ini diwarnai dengan pelbagai kebudayaan dan kepercayaan. Setiap tahun, berpuluh-puluh jenis perayaan diraikan dan pelbagai jenis jamuan tradisi dapat dijamah. Setiap hari pula, kerencaman budaya ini dimanifestasikan oleh pelbagai bahasa yang dituturkan dan pelbagai adat resam yang diamalkan. Setelah lebih lima dekad mencapai kemerdekaan, penduduk pelbagai etnik di Malaysia kekal hidup dalam keadaan harmoni walaupun seringkali timbul isu atau insiden yang mampu menggugat keharmonian tersebut.
Sebelum mengupas dengan lebih lanjut bentuk serta pola hubungan etnik di Malaysia, topik ini akan membincangkan latar belakang penduduk negara ini terlebih dahulu. Ini adalah penting agar pemahaman kita mengenai hubungan etnik di Malaysia dapat diletak dalam kerangka sejarah pembentukan negara dan masyarakat.
Topik ini dimulakan dengan membincangkan pertumbuhan penduduk di Malaysia sejak merdeka hingga alaf 21. Kemudian, fokus perbincangan beralih kepada taburan penduduk mengikut negeri. Bahagian ketiga topik ini pula membincangkan pelbagai kumpulan etnik yang menetap di Malaysia dan latar belakang kemasukan mereka.
Agama adalah salah satu daripada ciri penting yang membentuk identiti etnik di Malaysia, justeru bahagian terakhir topik ini akan menyentuh latarbelakang agama di negara ini dan kaitannya dengan identiti etnik.
Pertumbuhan penduduk
Sebelum pembentukan Malaysia pada 1963, Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara (kemudian dikenali sebagai Sabah) dan Sarawak mempunyai jumlah penduduk yang agak kecil. Di Tanah Melayu, banci penduduk yang pertama dilakukan di seluruh wilayah jajahan British tersebut ialah pada 1911. Jumlah penduduk Tanah Melayu pada waktu itu ialah 2,339,051 orang (Abdul Rahman dan Norfariza, 2007: 52). Manakala di Borneo Utara, banci yang pertama diadakan ialah pada 1891 tetapi ia dianggap tidak menyeluruh kerana ramai yang tinggal di kawasan pedalaman tidak terlibat dalam banci tersebut. Berdasarkan banci 1891, jumlah penduduk Borneo Utara ialah 67,062 orang. Banci ketiga pada 1911 dikatakan lebih menyeluruh dan mencerminkan jumlah sebenar penduduk di Borneo Utara pada ketika itu. Jumlah penduduk Borneo Utara menurut banci 1911 ialah 208,183 orang (Ranjit Singh, 2003: 27). Di Sarawak, anggaran penduduk mengikut banci yang pertama pada 1871 ialah 141,546 orang. Memandangkan sebahagian besar kumpulan etnik minoriti di kawasan pedalaman tidak terlibat dalam banci ini, jumlah penduduk Sarawak pada waktu itu dianggarkan melebihi angka rasmi ini iaitu 416,000 (Baring-Gould dan Bampfylde, 2007: 36). Berdasarkan banci awal penduduk di Tanah Melayu, Borneo Utara dan Sarawak, jumlah penduduk di wilayah ini dianggarkan dalam lingkungan tiga juta pada awal kurun ke-20.
Di ambang pembentukan Malaysia, jumlah penduduk di Tanah Melayu, Borneo Utara dan Sarawak meningkat dengan begitu signifikan sekali; iaitu 8 juta pada 1960. Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan penduduk yang pesat selepas merdeka. Dengan jumlah penduduk dalam lingkungan hanya 8 juta pada era ambang kemerdekaan (1960), angka ini melonjak ke 10 juta pada 1970 iaitu peningkatan sebanyak dua juta penduduk atau 2.7 peratus kadar pertumbuhan tahunan. Jumlah penduduk negara ini terus melonjak ke 13 juta pada 1980 dengan pertambahan sebanyak 2.7 juta penduduk atau 2.3 peratus kadar pertumbuhan tahunan. Sedekad selepas itu, penduduk Malaysia hampir mencecah 20 juta orang (17.6 juta) dengan pertambahan lebih 4 juta penduduk, atau 2.7 peratus kadar pertumbuhan tahunan.
Tahun Populasi (‘000) Peningkatan (‘000) Kadar Pertumbuhan Tahunan
1960 8,035.6 — —
1970 10,439.4 2,403.8 2.7
1980 13,136.1 2,696.7 2.3
1991 17,563.4 4,427.3 2.7
2000 23,274.7 5,711.3 2.6
2010 28,334.1 5,059.4 2.0
Jadual 1.1 Pertumbuhan penduduk, 1960 – 2010
Sumber: Saw Swee-Hock (2007: 15) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (2011: 1)
Menjelang alaf baru, Malaysia menyaksikan peningkatan penduduk melebih 20 juta orang apabila ia mencatatkan pertambahan penduduk tertinggi sebanyak 5.7 juta atau 3.1 peratus kadar pertumbuhan tahunan. Banci penduduk terkini pada 2010 menunjukkan penduduk Malaysia telah mencecah 28.3 juta orang, dengan lebih 5 juta pertambahan penduduk atau 2 peratus kadar pertumbuhan tahunan.
Pertumbuhan penduduk sepanjang lebih enam dekad ini didorong oleh kadar pertumbuhan semulajadi dan kebanjiran pekerja asing (Saw Swee-Hock, 2007:
15). Lonjakan luar biasa penduduk pada tahun 2000 pula didorong oleh kebanjiran pekerja asing yang diperlukan untuk menampung pembangunan negara yang amat pesat pada 1990an. Berdasarkan banci 2010, 91.8 peratus penduduk Malaysia adalah warganegara manakala selebihnya bukan warganegara. Sabah mempunyai peratusan penduduk bukan warganegara yang paling tinggi dalam kalangan negeri di Malaysia iaitu 27.75 peratus daripada penduduknya (889,779). Walaupun kadar pertumbuhan penduduk tahunan dijangka menurun pada dekad mendatang, jumlah penduduk Malaysia dijangka terus meningkat dan bakal mencecah hampir 40 juta pada 2040 (Jabatan Perangkaan Malaysia, 2012: 1).
Taburan penduduk
Apabila terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu pada 1957, ia mempunyai 11 buah negeri yang terdiri daripada sembilan negeri-negeri Melayu (Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor) dan dua negeri-negeri Selat (Pulau Pinang dan Melaka). Negeri-negeri Melayu ini diketuai oleh Sultan manakala Menteri Besar selaku ketua kerajaan dipilih dalam kalangan pemimpin Melayu Islam. Manakala negeri-negeri Selat pula diketuai oleh Gabenor manakala Ketua Menteri selaku ketua kerajaan dipilih dalam kalangan warganegara Malaysia tanpa mengira etnik dan agama.
Negeri-negeri Melayu Negeri-negeri Selat
Perlis Pulau Pinang
Kedah Melaka
Kelantan Terengganu
Perak Pahang Selangor Negeri Sembilan
Pahang Johor
Jadual 1.2 Negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu, 1957
Setelah Sabah, Sarawak dan Singapura membantu pembentukan Malaysia pada 1963, negeri-negeri di Malaysia bertambah kepada empat belas. Tetapi bilangan negeri-negeri ini menjadi tiga belas pada tahun 1965 apabila Singapura disingkirkan daripada Persekutuan Malaysia. Pada mulanya, status Sabah dan Sarawak adalah sama seperti Persekutuan Tanah Melayu di mana beberapa bidang kuasa tambahan diberi kepada kedua-dua negeri ini. Dikenali sebagai Perkara 20 bagi Sabah dan Perkara 18 bagi Sarawak, bidang kuasa tambahan ini menjadikan kedua-dua negeri Borneo ini lebih berkuasa berbanding negeri-negeri di Tanah Melayu. Memandangkan Sabah dan Sarawak tidak mempunyai institusi Sultan, ia menggunakan sistem yang sama seperti negeri-negeri Selat di mana Gabenor menjadi ketua negeri manakala Ketua Menteri menjadi ketua kerajaan.
Tahun Populasi
(‘000)
Peningkatan (‘000)
Kadar Pertumbuhan Penduduk Semenanjung Malaysia
1960 6,836.7 — —
1970 8,809.6 1,972.9 2.6
1980 11,426.6 2,617.0 2.7
1991 14,131.7 2,705.1 2.0
2000 18,523.6 5,880.6 4.3
2010 22,569.3 4,045.7 n.a.
Sabah
1960 454.4 — —
1970 653.6 199.2 3.7
1980 955.7 302.1 3.9
1991 1,788.9 833.2 5.9
2000 2,679.6 890.7 4.5
2010 3,206.7 527.1 2.1
Sarawak
1960 744.5 — —
1970 976.3 231.8 2.8
1980 1,235.6 259.3 2.4
1991 1,642.8 407.2 2.7
2000 2,071.5 428.7 2.3
2010 2,741.1 669.6 1.8
Jadual 1.3 Pertumbuhan penduduk mengikut wilayah, 1960-2010
Sumber: Saw Swee-Hock (2007: 15) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (2011: 11)
Taburan penduduk di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak telah mengalami perubahan yang begitu ketara berbanding awal tahun pembentukan Malaysia. Pada 1960, jumlah penduduk di Semenanjung Malaysia adalah 6.8 juta dan ia meningkat kepada 8.8 juta pada 1970; pertambahan hampir 2 juta penduduk. Purata kadar pertumbuhan tahunan bagi tempoh 1960 – 1970 ialah 2.6 peratus. Beberapa dekad selepas itu, kadar pertumbuhan tahunan di Semenanjung Malaysia meningkat sedikit kepada 2.7 peratus (1970 – 1980) tetapi menurun kepada 2 peratus pada tahun 1980 – 1991. Walau bagaimanapun, jumlah penduduk di Semenanjung Malaysia terus meningkat dalam tempoh masa tersebut; 11.4 juta pada 1980 dan 14.1 juta pada 1991. Peningkatan yang paling signifikan adalah pada tahun 2000 di mana jumlah penduduk Semenanjung Malaysia melonjak kepada 18.5 juta iaitu pertambahan 5.9 juta penduduk. Peningkatan ini adalah tertinggi dalam rekod sejarah negara dengan kadar purata pertumbuhan tahunan sebanyak 4.3 peratus.
Pada 2010, jumlah penduduk di Semenanjung Malaysia ialah 22.6 juta.
Walaupun Sabah dan Sarawak mempunyai saiz keluasan yang lebih besar berbanding Semenanjung Malaysia, jumlah penduduknya adalah jauh lebih kecil.
Pada 1960, hanya 15 peratus penduduk Malaysia menetap di Sabah dan Sarawak.
Ketidakseimbangan ini, walau bagaimanapun, sedikit menurun selepas empat dekad.
Pada 2010, peratusan penduduk Malaysia yang menetap di Sabah dan Sarawak meningkat kepada 20.4 peratus.Pertambahan ini berdasarkan penghijarahan warga asing yang berlaku dalam tempoh masa 1980an hingga 1990an.
W. P. Putrajaya W. P. Labuan Perlis Melaka Negeri Sembilan Terengganu Pahang Kelantan Pulau Pinang W. P. Kuala Lumpur Kedah Perak Sarawak Sabah Johor Selangor
0 1 2 3 4 5 6
0.07 0.09 0.23
0.82 1.02
1.04 1.5
1.54 1.56 1.67
1.95 2.35
2.47 3.21
3.35
5.46
Rajah 1.1 Taburan penduduk mengikut negeri, Malaysia 2010 (juta) Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia (2011: 2)
Aktiviti 1.1
Jelaskan pertumbuhan populasi penduduk di Malaysia sejak awal kurun ke-20 hingga awal kurun ke-21. Terangkan juga taburan penduduk mengikut negeri.
Masyarakat pelbagai etnik
Sebelum migrasi secara besar-besaran di Malaysia, penduduk asalnya adalah agak kecil dan terdiri daripada pelbagai sub-etnik. Penduduk terawal di Malaysia ialah Orang Asli yang sudah menetap sejak beribu-ribu tahun dahulu. Di Semenanjung Malaysia, Orang Asli terdiri daripada tiga kelompok utama iaitu Negrito, Senoi dan Melayu Asli (Proto-Malay). Ini adalah klasifikasi yang agak simplistik kerana terdapat hampir dua puluh sub-etnik Orang Asli. Antaranya ialah Bateq, Jahai, Semai, Temiar, Jakun dan Semelai. Di Sabah dan Sarawak pula, kelompok Orang Asli lebih bersifat rencam. Antara kelompok Orang Asli yang utama di Sabah ialah Kadazan-Dusun, Bajau, Murut, Bisaya, Brunei, Bugis, Kedayan, Lotud, Ludayeh, Rungus, Suluk, Minokok, Bonggi dan Ida’an. Manakala, kumpulan Orang Asli yang utama di Sarawak ialah Iban, Bidayuh, Melanau, Kayan, Kenyah, Lun Bawang, Penan, Kelabit dan Kajang (Shamsul A.B., 2012: 13)
Fasa penghijrahan yang menyumbang kepada pembentukan masyarakat pelbagai etnik di Malaysia boleh dibahagikan kepada lima peringkat (Azmah, 2001: 2 – 5).
1. Fasa pertama melibatkan kemasukan orang Melayu dari sebelah selatan benua Asia ke Tanah Melayu dan juga kepulauan Borneo pada era sebelum Masihi. Kedatangan mereka telah memaksa Orang Asli yang pada mulanya menetap di kawasan pesisir pantai untuk berpindah ke kawasan pedalaman yang menjadi penempatan utama mereka pada hari ini. Walaupun Orang Asli adalah penduduk asal di Malaysia, kedudukan mereka diambil alih oleh etnik Melayu yang telah berhijrah dalam jumlah yang besar sehingga melangkaui bilangan Orang Asli.
2. Peringkat migrasi yang kedua berlaku antara kurun awal selepas Masihi hingga kurun ke-16. Pada tempoh waktu tersebut, beberapa peristiwa penting berlaku di Tanah Melayu dan kepulauan Borneo yang mendorong kemasukan masyarakat luar. Antaranya ialah perkembangan kerajaan- kerajaan Melayu-Hindu, kedatangan Islam ke Nusantara, jalinan hubungan antara kerajaan-kerajaan awal Tanah Melayu dan Borneo dengan kuasa- kuasa Eropah (Portugis dan Belanda) dan China. Masyarakat yang berhijrah ke negeri-negeri Melayu pada waktu itu ialah Melayu Sumatera terutama yang berketurunan Minangkabau. Pada waktu yang sama, sejumlah kecil orang India dan Cina berhijrah ke Melaka sehingga membawa kepada perkahwinan campur dalam kalangan masyarakat tempatan. Hasil daripada perkahwinan campur ini, maka lahirlah keturunan Baba dan Nyonya di Melaka dan Pulau Pinang. Pada peringkat migrasi kedua ini, terdapat juga sebilangan kecil orang India dan Cina berhijrah ke Sabah dan Sarawak.
3. Kedatangan Inggeris ke negeri-negeri Melayu, Sabah dan Sarawak pada kurun ke-18 dan 19 membawa kepada fasa ketiga migrasi di wilayah-wilayah ini. Peringkat ketiga migrasi membawa perubahan besar terhadap struktur masyarakat di Malaysia, daripada masyarakat mono-etnik kepada pelbagai etnik. Pada waktu itu, orang Cina, India dan Indonesia membanjiri Semenanjung Malaysia secara besar-besaran. Orang Cina yang berhijrah ke Malaysia adalah daripada pelbagai puak dan dialek. Antara kelompok yang utama ialah Teochew, Kantonis, Hokkien, Hakka, Kwangsi, Fukien dan Hainanis. Negeri-negeri yang menjadi tumpuan kumpulan etnik Cina pada waktu itu ialah Pulau Pinang, Singapura, Melaka, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor. Kelompok penghijrah yang kedua besar selepas orang Cina ialah orang India. Kebanyakan mereka datang dari India Selatan iaitu Negapatam dan Madras. Memandangkan orang India dibawa masuk untuk mengusahakan kegiatan perladangan di Tanah Melayu, kebanyakkan mereka tertumpu di Pulau Pinang, Perak dan Selangor di mana banyak tanah perladangan dibuka. Kelompok Indonesia pula kebanyakannya datang dari Sumatera, Jawa dan Kalimantan. Berbeza dengan kumpulan yang berhijrah semasa fasa kedua migrasi, kelompok yang datang semasa penghijrahan fasa ketiga ini tidak melalui proses asimilasi dengan masyarakat tempatan. Lantaran itu, perbezaan budaya dan fizikal dalam kalangan masyarakat Cina, India dan Indonesia kekal sehingga melahirkan masyarakat pelbagai etnik di Malaysia.
4. Peringkat keempat migrasi ke Malaysia berlaku antara 918 dan 1947. Ketika itu, penghijrahan mulai menjadi perlahan dan bilangannya turut menurun terutamanya selepas Perang Dunia Kedua.
5. Peringkat terakhir migrasi di Malaysia berlaku selepas tahun 1947. Pada waktu tersebut, ramai orang Cina meninggalkan Tanah Melayu disebabkan pertembungan antara kumpulan etnik Melayu dengan Parti Komunis Malaya (PKM) yang didominasi orang Cina. Di Sabah dan Sarawak, kelompok etnik dari Indonesia memasuki kedua-dua negeri di kepulauan Borneo ini yang membantu kadar pertumbuhan penduduk di sana.
Pada hari ini, Malaysia adalah negara yang rencam dengan pelbagai etnik dan budaya. Ia didiami lebih daripada 70 kumpulan etnik. Tetapi sekiranya ditambah dengan kelompok yang mewakili sub-etnik, jumlah kumpulan etnik di Malaysia dianggarkan mencecah lebih 200 kumpulan (Shamsul, 2012: 13). Kerajaan Malaysia mengklasifikasi kumpulan etnik ini kepada dua kelompok utama iaitu Bumiputera dan bukan Bumiputera. Terma Bumiputera sebenarnya bukan takrifan etnik, sebaliknya ia adalah terma politik yang bertujuan untuk menyatukan kelompok peribumi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak (Mason dan Omar, 2005: 2).
Selain itu, terma Bumiputera ini juga digunakan oleh kerajaan untuk membahagikan sumber negara dalam kalangan kelompok yang ditakrif sebagai penduduk asal dan golongan yang berhijrah semasa penjajahan British. Di Semenanjung Malaysia, kelompok Bumiputera terdiri daripada orang Melayu, Sam-sam, komuniti Thai dan orang Portugis Melaka (Mason dan Omar, 2005: 2). Yang menariknya, masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia tidak dikategorikan sebagai Bumiputera.
Mereka, walau bagaimanapun, tetap dilindungi dari segi perundangan seperti yang digariskan dalam Akta Orang Asli 1954.
Klasifikasi Etnik Bumiputera
dan orang asli
Semenanjung
Acheh, Banjar, Bateq, Boyan, Bugis, Chewong, Jahai, Jah Hut, Jakun, Jawa, Kanaq, Kensiu, Kintak, Lanoh, Mandaling, Melayu, Melayu Patani, Mah Meri, Mendriq, Minangkabau, Orang Kuala, Orang Seletar, Rawa, Semai, Semelai, Semoq Beri, Temuan, Temiar
Sabah
Bajau, Bisaya, Bonggi, Bookan, Balabak/Molbog, Bugis, Bulongan, Dumpas, Dusun, Gana, Garo, Idahan/Ida’an, Iranun/
Illanun, Kadazan, Kadayan/Kedayan, Kagayan, Kalabakan, Kalabuan, Keningau, Kimaragang, Kinabatangan, Kuijau, Lakuk- Kinabatangan, Lobu, Lotud, Lundayuh/Lundayeh, Makiang, Mangkaak, Melayu Brunei, Minokok, Murut, Okolod, Paitan, Paluan, Papar, Rungus, Sama-Selatan, Selungai, Sembakung, Serudung, Sinabu, Sino-Kadazan, Sulu/Suluk, Sungai, Tagal, Tatana’, Tausug, Tempasuk Dusun, Tengara, Tidung, Timugon, Tinagas, Tobiling, Tombonou, Ubian
Sarawak
Balau, Berawan, Bidayuh, Bukitan, Bisaya, Dusun, Iban, Kajang, Kanowit, Kayan, Kedayan, Kejaman, Kelabit, Kenyah, Lahanan, Lisum, Longkiput, Lugat, Lun Bawang, Lun Dayeh, Melanau, Melayu Sarawak, Murut, Penan, Punan, Punan Bah, Punan Biau, Punan Busang, Remun, Saban, Sabup, Sebuyau, Sekapan, Sian, Sipeng, Tabun, Tagal, Tanjong, Ukit
Cina Foochow, Hainan, Henghua, Hokchia, Hokchiu, Hokkien, Kantonis, Khek (Hakka), Kwangtung, Kwongsai, Min Bei, Teochew
India Chettiar, Bengali, Gujarati, Indian Muslim/Malabari, Malayali, Punjabi, Sikh, Sinhala, Tamil India, Tamil Sri Lanka, Telegu, Sinhala
Lain-lain Arab, Afrika, Amerika Syarikat, Australia, Baba Nyonya, Bangladesh, Chindian, Denmark, Filipina, Indonesia, Itali, Jepun, Jerman, Kampuchea, Kepulauan Kokos, Korea, Myanmar, New Zealand, Nepal, Pakistan, Perancis, Sepanyol, Serani, Sindhi, Thailand, United Kingdom, Vietnam
Jadual 1.4 Kumpulan etnik, subetnik, suku, bahasa dan dialek di Malaysia
Sumber: Shamsul AB (2012: 13), Jabatan Perangkaan Malaysia (2011: 129 – 130) dan Mason & Omar (2005: 2)
Kumpulan bukan Bumiputera pula merujuk kepada kelompok orang Cina, India, Baba Nyonya, Serani dan kelompok penghijrah dari pelbagai negara seperti Afrika, Denmark, Filipina, Pakistan dan Vietnam. Masyarakat bukan Bumiputera ini agak dinamik dan rencam. Kumpulan etnik Cina, umpamanya, terdiri daripada pelbagai dialek dan budaya. Antaranya ialah Foochow, Hainan, Kantonis dan Hakka.
Pemerhatian yang sama juga boleh dibuat terhadap kumpulan etnik India yang terdiri daripada pelbagai bahasa dan agama; iaitu Bengali, Layalai, Punjabi dan Telegu.
Takrifan autoriti Takrifan harian Takrifan yang diberi pihak berkuasa
seperti kerajaan dan ahli antropologi
Takrifan yang diguna pakai individu masyarakat dalam kehidupan harian Bersifat tetap di mana sempadan etnik
tidak berubah
Bersifat fleksebil di mana sempadan etnik boleh berubah
Sukar diterima pakai oleh individu masyarakat
Identiti etnik bersifat dinamik dan kompleks
Jadual 1.5 Takrifan etnik
Sumber: Shamsul A.B. (2012: 22 – 24)
Menurut Shamsul A.B. (2012: 22 – 24), takrifan etnik terbahagi kepada dua iaitu takrifan autoriti dan takrifan harian. Takrifan autoriti adalah takrifan yang diberi oleh kerajaan, ahli antropologi dan pihak berkuasa lain. Etnik Melayu, umpamanya, ditakrifkan Perlembagaan Persekutuan sebagai seorang yang menganut agama Islam, bertutur dalam bahasa Melayu dan mengamalkan adat budaya Melayu. Ini adalah takrifan rasmi Melayu oleh kerajaan Malaysia. Takrifan autoriti ini lebih bersifat tetap di mana sempadan etnik tidak berubah. Disebabkan oleh sifatnya yang tetap, takrifan autoriti sukar diterima pakai oleh masyarakat. Umpamanya, seorang Melayu yang menganut agama Kristian masih menganggap dirinya seorang Melayu tetapi tidak kepada pihak berkuasa. Ini menyebabkan individu masyarakat mungkin mempunyai definisi yang berbeza mengenai identiti etnik mereka yang berasaskan kehidupan harian. Takrifan harian lebih bersifat fleksibel di mana identiti etnik boleh berubah mengikut keadaan. Seorang etnik Melanau yang beragama Islam dan berkahwin dengan orang Melayu serta tinggal dalam perkampungan Melayu di Kuching boleh mentakrifkan dirinya sebagai seorang Melayu. Tetapi apabila beliau kembali ke kampung tradisionalnya di Mukah dan bercakap bahasa Melanau dengan ahli keluarganya di sana, beliau mentakrifkan dirinya sebagai seorang Melanau. Takrifan yang berbeza ini menyebabkan identiti etnik bersifat dinamik dan kompleks.
Kepelbagaian agama
Agama adalah salah satu aspek sempadan etnik yang mentakrifkan identiti seseorang.
Orang Melayu, umpamanya, ditakrifkan sebagai mereka yang boleh berbahasa Melayu, menganut agama Islam dan mengamalkan adat budaya Melayu. Takrifan Melayu berdasarkan Perlembagaan Persekutuan ini menjadikan agama Islam sebagai teras kepada identiti Melayu. Begitu juga dengan etnik India yang majoritinya beragama Hindu sementara etnik Iban dan Kadazan-Dusun menganuti agama Kristian. Berdasarkan perangkaan 2010, Islam merupakan agama yang paling ramai penganutnya di Malaysia dengan 61.3 peratus. Walau bagaimanapun, agama lain tetap diamalkan. Antaranya ialah Buddha 19.8 peratus, Kristian 9.2 peratus, Hindu 6.3 peratus, Konfusianisme/Taoisme/agama tradisi Cina 1.3 peratus, tiada agama 0.7 peratus dan agama lain 0.4 peratus.
Islam Buddha Kristian Hindu
Konfusianisme/
Taoisme/agama Tradisi Cina
Tiada agama
Agama lain
Malaysia 61.3 19.8 9.2 6.3 1.3 0.7 0.4
Johor 58.2 29.6 3.3 6.6 0.8 0.3 0.2
Kedah 77.2 14.2 0.8 6.7 0.3 0.2 0.2
Kelantan 95.2 3.8 0.3 0.2 0.0 0.3 0.2
Melaka 66.1 24.4 3.0 5.9 0.2 0.2 0.2
Negeri Sembilan 60.3 21.2 2.4 13.4 0.5 0.8 0.3
Pahang 74.9 14.4 1.9 4.0 0.5 2.7 0.5
Perak 55.3 25.4 4.3 10.9 1.7 0.9 0.8
Perlis 87.9 10.0 0.6 0.8 0.2 0.2 0.1
Pulau Pinang 44.6 35.6 5.1 8.7 4.6 0.4 0.3
Sabah 65.4 6.0 26.6 0.1 0.1 0.3 0.1
Sarawak 32.2 13.5 42.6 0.2 6.0 2.6 1.0
Selangor 57.9 24.4 3.8 11.6 0.5 0.4 0.4
Terengganu 96.9 2.5 0.2 0.2 0.1 0.0 0.0
W.P. K.L. 46.4 35.7 5.8 8.5 1.1 0.5 0.6
W.P. Labuan 76.0 9.0 12.4 0.4 0.0 0.2 0.1
W.P. Putrajaya 97.4 0.4 0.9 1.0 0.0 0.0 0.1
Jadual 1.6 Agama dianuti mengikut negeri, Malaysia 2010 Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia (2011: 11)
Dalam kalangan negeri-negeri di Malaysia, Islam menjadi pegangan utama masyarakat kecuali Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Sarawak. Di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, agama Buddha adalah anutan utama memandangkan terdapat ramai etnik Cina di negeri tersebut manakala Sarawak mempunyai penganut agama Kristian yang paling ramai.
Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf kebebasan beragama di Malaysia tetapi kebebasan ini tidaklah bersifat menyeluruh. Kumpulan etnik lain bebas menganut agama lain tetapi kebebasan yang sama tidak diberikan kepada etnik Melayu.
Agama rasmi kumpulan etnik majoriti ini adalah Islam. Justeru, mereka tidak dibenarkan menganut agama lain walaupun ada sebilangan kecil yang secara terbuka mengisytiharkan diri mereka murtad. Perangkaan rasmi kerajaan, walau bagaimanapun, tidak akan menunjukkan realiti sebenar pegangan agama kelompok etnik Melayu ini.
Islam Buddha Kristian Hindu
Konfusianisme/
Taoisme/agama Tradisi Cina
Tiada agama
Agama lain
Melayu 100.00% 0.0% 0.0% 0.0% 0.0% 0.0% 0.0%
Cina 0.66% 83.71% 11.07% 0.23% 3.42% 0.77% 0.13%
India 4.13% 1.70% 5.99% 86.18% 0.04% 0.04% 1.92%
Bumiputera lain
41.49% 1.04% 47.71% 0.09% 4.05% 4.08% 1.55%
Lain-lain 55.74% 27.93% 12.46% 2.44% 0.38% 0.60% 0.47%
Jadual 1.7 Agama dianuti mengikut kumpulan etnik, Malaysia 2010 Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia (2011: 82)
Berdasarkan perangkaan 2010, kesemua etnik Melayu adalah penganut agama Islam. Dan sebagai kelompok yang membentuk majoriti penduduk di negara ini, agama yang dianuti etnik Melayu ini diangkat sebagai agama Persekutuan. Islam juga menjadi agama rasmi negeri-negeri Melayu di Semenanjung dan juga Sabah.
Aktiviti 1.2
Bincangkan perbezaan antara takrifan etnik autoriti dan harian.
Gunakan contoh-contoh untuk menyokong hujah anda.
Rumusan
1. Pada 1960, bilangan penduduk Malaysia ialah 8 juta orang.
Bilangan ini melonjak kepada 28.3 juta pada 2010. Ia dijangka terus meningkat kepada 40 juta penduduk pada 2040.
2. Negeri yang mempunyai bilangan penduduk teramai di Malaysia ialah Selangor dengan 5.5 juta manakala Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan bilangan penduduk yang terendah, 0.07 juta.
3. Malaysia mempunyai lebih daripada 200 kumpulan etnik dan sub-etnik.
4. Terdapat dua takrifan etnik yang berbeza iaitu takrifan autoriti dan takrifan harian. Dalam konteks ini, takrifan Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan adalah berbeza dengan takrifan yang diguna pakai oleh individu masyarakat dalam kehidupan harian. Begitu jugalah dengan takrifan kumpulan etnik lain.
5. Migrasi adalah penyumbang terbesar kepada pembentukan masyarakat pelbagai etnik di Malaysia.
6. Tahap migrasi di Malaysia boleh dibahagikan kepada empat fasa; iaitu fasa kemasukan orang Melayu secara besar-besar pada era sebelum masihi; penghijrahan Melayu Sumatra dan sejumlah kecil etnik Cina dan India antara awal masihi hingga kurun ke-16; kemasukan beramai-ramai orang Cina, India dan Indonesia antara lewat kurun ke-18 dan awal kurun ke-19;
dan migrasi yang berlaku pada pertengahan kurun ke-20.
7. Sabah mempunyai kumpulan etnik dan sub-etnik yang paling banyak dalam kalangan negeri-negeri di Malaysia; lebih kurang 70 kumpulan.
8. Kumpulan etnik yang paling besar di Malaysia ialah Melayu, Cina dan India.
9. Walaupun Bumiputera Sabah dan Sarawak adalah kumpulan minoriti, mereka membentuk kumpulan etnik yang terbesar di kedua-dua negeri ini. Di Sabah, antara kumpulan etnik yang terbesar ialah Kadazan-Dusun, Bajau, Melayu dan Murut manakala Iban, Melayu, Bidayuh dan Melanau adalah antara kelompok etnik yang terbesar di Sarawak.
10. Islam adalah agama yang paling besar penganutnya di Malaysia.
Ini diikuti oleh agama Buddha, Kristian dan Hindu. Etnik Melayu adalah kelompok terbesar penganut agama Islam.
Latihan Kendiri 1.1
1. Bincangkan pertumbuhan penduduk di Malaysia sejak 1960 hingga 2010.
2. Apakah yang dimaksudkan dengan konsep takrifan autoriti dan takrifan harian?
3. Senaraikan kelompok Orang Asal di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
4. Bincangkan empat tahap migrasi yang membawa kepada pembentukan masyarakat pelbagai etnik di Malaysia.
5. Jelaskan peranan agama dalam pembentukan identiti etnik.
Cadangan jawapan untuk aktiviti
Maklum Balas Aktiviti 1.1
Populasi penduduk di Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak pada awal kurun ke-20 adalah dianggarkan berjumlah 3 juta sahaja.
Pada 1960, ia meningkat secara signifikan kepada 8 juta.
Pada 1991, populasi penduduk Malaysia terus meningkat kepada 17 juta orang.
Berdasarkan perangkaan terkini pada tahun 2000, populasi penduduk di Malaysia ialah 28 juta.
Angka ini dijangka mencecah 40 juta pada 2040.
Antara negeri yang mempunyai populasi penduduk yang tertinggi ialah Selangor, Johor, Sabah dan Sarawak.
Manakala Negeri Sembilan, Melaka dan Perlis mempunyai populasi penduduk yang terendah dalam kalangan negeri-negeri di Malaysia.
Walaupun Sabah dan Sarawak adalah adalah antara negeri yang terbesar dari segi saiz fizikalnya, jumlah penduduk di kedua-dua negeri ini boleh dianggap kecil.
Pada 1960, hanya 15 peratus penduduk Malaysia menetap di negeri- negeri Malaysia timur ini.
Perangkaan ini meningkat kepada 20.4 peratus pada 2010.
Aktiviti 1.2
1. Takrifan identiti etnik, menurut Shamsul A.B. (2012), boleh dikategorikan kepada dua, iaitu takrifan autoriti dan takrifan harian.
2. Takrifan autoriti adalah identiti yang diberikan oleh pihak berkuasa manakala takrifan harian adalah identiti yang diguna pakai individu masyarakat dalam kehidupan harian mereka.
3. Takrifan autoriti adalah identiti yang digunakan dalam urusan rasmi manakala takrifan harian pula digunakan dalam interaksi harian.
4. Sempadan etnik bagi takrifan autoriti adalah bersifat tetap manakala sempadan etnik bagi takrifan harian adalah lebih fleksebil.
5. Justeru, takrifan harian adalah lebih dinamik dan kompleks berbanding takrifan autoriti.
1.2 Hubungan Etnik di Malaysia
Objektif
Di akhir topik ini, anda seharusnya dapat:
1. Menjelaskan tahap hubungan etnik di Malaysia.
2. Membincangkan pendekatan kerajaan mentadbir urus hubungan etnik.
3. Meneliti beberapa insiden yang membawa ketegangan dan polarisasi dalam kalangan masyarakat.
4. Membincangkan isu-isu hubungan etnik.
Pengenalan
Topik ini membincangkan keadaan semasa hubungan etnik di Malaysia dalam kerangka yang lebih holistik dengan melihat perkembangan hubungan etnik sejak lebih lima dekad. Ia dimulakan dengan menyelusuri sejarah hubungan etnik di Malaysia sejak era sebelum merdeka hingga kurun ke-21. Setelah itu, Topik 1.2 meneliti usaha kerajaan mentadbir urus hubungan etnik di Malaysia dengan menggunakan pendekatan integrasi nasional. Pola hubungan etnik di negara ini tidak terlepas daripada konflik dan ketegangan. Justeru, adalah penting untuk anda mengetahui hakikat konflik yang wujud dan usaha yang telah diambil untuk menanganinya. Akhir sekali, beberapa isu serta faktor penting yang mempengaruhi hubungan etnik akan dibincangkan agar pemahaman yang bersifat holistik mengenai bentuk dan pola hubungan etnik di Malaysia dapat dicapai.
Hubungan etnik di Malaysia
Masyarakat pelbagai etnik bukanlah suatu fenomena unik yang berlaku di Malaysia sahaja. Hakikatnya, sebilangan besar daripada 197 negara dunia mempunyai masyarakat pelbagai etnik. Jadual 1.8 menunjukkan tahap kepelbagaian etnik di beberapa buah negara termasuk Malaysia. Amerika Syarikat, umpamanya, mempunyai masyarakat pelbagai etnik yang mempunyai susur galur dari setiap benua dunia. Ini menjadikan Amerika sebuah negara yang mempunyai tahap kepelbagaian etnik yang tinggi. Negara lain yang mempunyai kepelbagaian etnik yang tinggi ialah Kanada, Rusia, India dan Nigeria. Malaysia pula dikategori dalam kelompok sederhana bersama dengan United Kingdom, Australia, Israel dan Argentina.
Manakala negara seperti Sweden, Ireland, Mesir, Colombia dan Jepun mempunyai tahap kepelbagaian etnik yang rendah. Kelompok negara ini juga boleh dikategorikan sebagai negara yang mempunyai masyarakat bersifat homogen.
Tinggi Sederhana Rendah
Amerika Syarikat United Kingdom Sweden
Kanada Australia Republik Ireland
Rusia Israel Mesir
India Argentina Colombia
Nigeria Malaysia Jepun
Jadual 1.8 Kepelbagaian etnik beberapa negara terpilih Sumber: Marger (1997: 9)
Sejak merdeka, hubungan etnik di Malaysia memperlihatkan pola turun naik tetapi amnya masyarakat pelbagai etnik hidup dalam keadaan aman dan harmoni (Shamsul, 2012: 4). Pada era awal kemasukan masyarakat luar ke negeri-negeri Melayu, proses asimilasi telah berlaku antara kumpulan ini dan masyarakat tempatan. Perkahwinan campur adalah proses asimilasi yang penting di mana ia menyebabkan sempadan etnik dan budaya kumpulan yang berhijrah semakin menghakis sehingga mereka dampak seperti etnik Melayu pada waktu itu. Walau bagaimanapun, kedatangan beramai- ramai kumpulan masyarakat dari China, India dan Indonesia pada kurun ke-18 dan 19 tidak disusuli dengan proses asimilasi, justeru menyebabkan identiti etnik mereka kekal. Dasar pecah perintah British turut menyumbang kepada pengekalan identiti orang Cina, India dan Indonesia. Interaksi antara kumpulan etnik tetap berlaku tetapi ia hanya terhad dalam lapangan ekonomi sahaja (Abraham, 2004: 1 – 2). Pada era pasca merdeka, masyarakat pelbagai etnik bebas mengamalkan nilai, kepercayaan, bahasa dan cara hidup mereka dan pada masa yang sama menerima kepercayaan dan budaya kumpulan etnik lain. Akan tetapi, pelbagai cabaran terpaksa dihadapi negara dalam menangani hubungan masyarakat pelbagai etnik di Malaysia. Cabaran yang paling besar adalah peristiwa 13 Mei 1969 yang menjadi konflik etnik yang terburuk dalam sejarah negara. Sejak peristiwa yang hampir menggugat asas kehidupan masyarakat pelbagai etnik di negara ini, Malaysia cuba menyemai semangat perpaduan menerusi pelbagai dasar sosio-ekonomi dan politik. Sejak peristiwa 1969, tiada konflik etnik yang serius berlaku sehinggalah insiden Kampung Rawa pada 1998 dan Kampung Medan pada 2001. Walau bagaimanapun, konflik etnik ini mampu dikekang. Hubungan etnik kekal aman dan harmoni selepas itu sehinggalah pertikaman lidah yang tidak putus antara pemimpin kumpulan etnik Melayu dan bukan Melayu selepas pilihan raya umum 2008. Untuk mengupas secara lebih terperinci perkembangan hubungan etnik di Malaysia, Shamsul A.B. (2011: 6 – 12) mengklasifikasi tahap hubungan etnik di Malaysia kepada tiga fasa yang berbeza iaitu era konflik, stabil tapi tegang dan kesepaduan sosial.
Era konflik (1945 – 1960)
Sebelum Perang Dunia Kedua, masyarakat pelbagai etnik di Tanah Melayu mengamalkan adat serta kepercayaan masing-masing tanpa melakukan banyak interaksi dengan kumpulan etnik lain kecuali dalam lapangan ekonomi. Keadaan ini melahirkan bentuk hubungan etnik yang stabil tetapi tidak menentu. Prasangka dan prejudis bertambah menular semasa Perang Dunia Kedua apabila segelintir
orang Melayu menyertai pentadbiran penjajah Jepun manakala sebilangan orang Cina bersama sejumlah kecil orang Melayu membentuk Parti Komunis Malaya (PKM) untuk menentang Jepun. Selepas perang, PKM melancarkan operasi untuk menghapuskan individu Melayu yang dikatakan bersubahat dengan tentera Jepun.
Operasi yang berlangsung selama 14 hari ini memburukkan lagi hubungan antara orang Melayu dan Cina yang sememangnya agak dingin dan penuh dengan prejudis pada waktu itu.
Ketegangan antara dua kelompok etnik terbesar di Tanah Melayu pada waktu itu berlanjutan apabila kerajaan kolonial British mengisytiharkan rancangan pembentukan Malayan Union pada 1 April 1946. Cadangan ini mendapat tentangan hebat orang Melayu yang melihat Malayan Union sebagai usaha untuk menguntungkan etnik bukan Melayu. Keadaan ini menambahkan lagi ketegangan dalam kalangan pelbagai etnik yang wujud pada ketika itu.
Bagi mengelak ketegangan menjadi semakin parah, kerajaan kolonial British telah menubuhkan Jawatankuasa Perhubungan Komuniti pada 1949 bagi mengembalikan kesepaduan sosial dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik. Jawatankuasa ini berperanan membawa elit Melayu, Cina dan India untuk duduk berbincang bagi mencapai kestabilan dan keharmonian. Kerjasama ini akhirnya membawa kepada konsep perkongsian kuasa yang diterjemahkan kepada penubuhan gabungan tiga parti utama di Tanah Melayu yang dikenali sebagai Perikatan. Pada mulanya, Perikatan dianggotai oleh Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan Persatuan Cina Malaysia (MCA) bagi menghadapi pilihan raya kerajaan tempatan di Kuala Lumpur pada 1952. Gabungan ini kemudiannya diperluaskan kepada Kongres India Malaysia (MIC) pada 1955 bagi menghadapi pilihan raya umum pertama di Malaysia. Kerjasama politik dalam kalangan elit Melayu, Cina dan India ini meredakan ketegangan yang timbul pada era pra merdeka.
Era stabil tapi tegang (1961 – 1970)
Setelah mencapai kemerdekaan, polarisasi etnik masih menebal tanpa adanya usaha jitu kerajaan untuk menanganinya. Selain itu, pembangunan ekonomi juga agak perlahan dan hanya membawa faedah kepada segelintir pihak sahaja. Lantaran itu, elit Melayu melalui beberapa siri persidangan Kongres Ekonomi Bumiputera meminta agar isu peningkatan taraf hidup Melayu diambil perhatian. Mereka juga menuntut supaya bahasa, budaya Melayu dan agama Islam dijadikan teras pentadbiran negara (Mansor 2006: 111). Walaupun ketegangan tetap dirasai pada era 1960an, hubungan etnik masih kekal stabil dan terkawal.
Pada 1963, Sabah, Sarawak dan Singapura bergabung dengan Tanah Melayu untuk membentuk negara baharu yang dikenali sebagai Malaysia. Hubungan etnik kekal stabil pada waktu itu tetapi agak tegang terutamanya antara etnik Melayu dan Cina.
Ketegangan ini akhirnya membawa kepada tercetusnya rusuhan etnik Melayu-Cina di Singapura pada 21 Julai dan 3 September 1964. Pihak berkuasa menganggarkan sejumlah 40 nyawa terkorban manakala ribuan perusuh ditahan.
Tidak lama selepas rusuhan etnik di Singapura, tercetus lagi rusuhan berdarah antara orang Melayu dan Cina di Kuala Lumpur dan beberapa tempat lain sekitarnya pada 13 Mei 1969. Data rasmi mengganggarkan 250 nyawa telah terkorban tetapi ada yang menyatakan angka sebenar adalah jauh lebih tinggi daripada itu. Konflik etnik ini bukan sahaja didorong oleh faktor etnik semata-mata tetapi yang lebih penting ialah faktor sosio-ekonomi. Antaranya ialah masalah ketidaksamarataan, kemunduran dan kemiskinan (Mansor, 2006: 111).
Selepas peristiwa hitam ini, pelbagai usaha telah dilakukan kerajaan untuk mengembalikan kestabilan dan kesepaduan sosial dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik di Malaysia. Salah satu strategi negara ialah untuk memastikan keseimbangan dan keadilan dalam dasar sosio-ekonomi dan politik.
Era kesepaduan sosial (1971 – 2011)
Bagi memastikan peristiwa 13 Mei 1969 tidak berulang lagi, kerajaan mengambil langkah untuk merapatkan jurang sosio-ekonomi antara etnik yang semakin meluas selepas negara mencapai kemerdekaan. Antara dasar yang diperkenalkan untuk menangani isu hubungan etnik pada era pasca 1969 ialah Dasar Ekonomi Baharu (DEB) dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Diperkenalkan bagi tempoh masa panjang (1970-1990), DEB memberi penekanan terhadap isu pembasmian kemiskinan tanpa mengira etnik dan menyusun semula struktur ekonomi agar pekerjaan tidak menampakkan batas etnik. DEB telah mencatatkan kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi, mengurangkan kadar kemiskinan secara drastik dan meningkatkan jumlah kelas menengah dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik.
Selain DEB, kerajaan turut memperkenalkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan pada 1971. Objektif dasar ini adalah untuk memperkukuh perpaduan melalui identiti nasional yang berteraskan budaya dan kepercayaan etnik majoriti iaitu Melayu. Dasar ini diterima baik oleh kumpulan etnik Melayu kerana ianya adalah selari dengan budaya dan kepercayaan mereka tetapi lain pulanya dengan kumpulan etnik minoriti.
Timbul persoalan bahawa dasar kebudayaan ini bertujuan untuk menghapuskan identiti etnik mereka. Umpamanya, dasar ini menggariskan bahawa tarian singa wajar ditukar kepada tarian harimau bagi mencerminkan keunikan negara ini. Perubahan sebegini menimbulkan rasa tidak puas hati kelompok minoriti. Atas sebab inilah, usaha kerajaan untuk melahirkan bangsa Malaysia menemui jalan buntu.
Selain itu, dasar-dasar yang diperkenalkan pada era pasca 1969 berupaya mengembalikan kestabilan dan keharmonian tetapi ia turut meningkatkan polarisasi antara etnik. Lantaran itu, terdapat beberapa insiden ketegangan yang berlaku dalam kalangan beberapa kumpulan etnik pada lewat tahun 1990an seperti di Kampung Rawa, Pulau Pinang dan Kampung Medan. Konflik etnik ini bukan didorong semata-mata oleh faktor etnik tetapi juga ketidakseimbangan pembangunan dan urus tadbir kerajaan, ketidaksamarataan antara wilayah, kemiskinan bandar dan peminggiran beberapa segmen masyarakat (Mansor et. al., 2006: 102).
Setelah lebih lima dekad mencapai kemerdekaan, kumpulan etnik minoriti menuntut supaya hak warganegara diberi sama rata dan kek agihan ekonomi diagih secara adil tanpa mengira batas etnik. Tuntutan ini bukan sengaja untuk mempersoalkan kontrak sosial yang dipersetujui pada ambang kemerdekaan, sebaliknya ia adalah manifestasi perubahan sosio-ekonomi yang telah melanda masyarakat pelbagai etnik di Malaysia.
Orang Cina, India dan Indonesia bukannya warga asing sebaliknya mereka adalah orang Malaysia. Justeru, timbul persoalan mengapa ada kumpulan etnik yang mendapat keistimewaan yang lebih berbanding kumpulan etnik lain walhal mereka semua adalah warganegara. Polemik ini membawa kepada cabaran baharu kepada negara dalam menangani isu hubungan etnik di Malaysia. Keseimbangan harus dicapai antara memenuhi tuntutan kumpulan majoriti Melayu dan kelompok etnik minoriti agar kestabilan serta keharmonian dapat dipelihara.
Aktiviti 1.3
Bincangkan secara ringkas tiga fasa hubungan etnik di Malaysia.
Integrasi nasional
Kajian hubungan etnik di Malaysia didominasi dua pendekatan yang berbeza iaitu konflik dan orde. Pendekatan pertama cenderung mengkaji isu ketegangan dan konflik di Malaysia. Kestabilan yang ada, menurut pendekatan ini, hanyalah bersifat sementara sahaja. Apabila timbul isu atau insiden panas yang membabitkan kumpulan etnik yang berbeza, ia berupaya mencetuskan rusuhan dan pertumpahan darah.
Alternatif kepada pendekatan konflik ialah pendekatan orde. Pendekatan ini tidak menafikan kewujudan konflik yang sememangnya sesuatu yang lumrah dalam masyarakat pelbagai etnik. Sebaliknya, ia cuba menekankan kepada isu kestabilan dan keharmonian. Hakikat bahawa insiden rusuhan etnik jarang berlaku di Malaysia menunjukkan bahawa kestabilan dan keharmonian adalah sesuatu yang boleh dicapai. Kedua-dua pendekatan kajian hubungan etnik ini adalah penting kerana ia boleh memberi pemahaman yang bersifat holistik mengenai bentuk dan pola hubungan etnik di Malaysia. Hasil kajian kedua-dua pendekatan ini menjadi fokus perbincangan dalam bahagian seterusnya.
Dalam usaha untuk mengurus hubungan etnik di Malaysia, kerajaan telah berusaha membentuk integrasi nasional agar kestabilan dan keharmonian dapat dicapai.
Integrasi, menurut Howards Wriggins, ialah proses menyatukan masyarakat etnik yang pelbagai supaya menjadi sebuah bangsa yang bersatu. John McAlister pula mentakrif integrasi nasional sebagai proses pembentukan sebuah bangsa yang dahulunya berpecah kepada sebuah bangsa yang baharu dan bersatu (Wan Hashim, 2001: 4).
Dengan kejadian konflik yang berlaku sebelum ini, Malaysia cuba mengembalikan kestabilan dan kesepaduan sosial melalui proses integrasi nasional. Inisiatif ini diterjemahkan dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 di mana identiti nasional yang berteraskan budaya dan kepercayaan orang Melayu diangkat sebagai teras utama dasar tersebut. Objekif dasar ini ialah untuk memperkukuh perpaduan dan memelihara keperibadian kebangsaan, berasaskan budaya penduduk asli (Melayu) dan agama Islam.
Seterusnya pada tahun 1991, kerajaan di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad memperkenalkan konsep Bangsa Malaysia. Konsep bangsa Malaysia ini digarap seiring dengan Dasar Wawasan 2020 yang diperkenalkan Tun Dr Mahathir pada tahun yang sama. Untuk mencapai status negara maju pada tahun 2020, Tun Dr Mahathir menggariskan sembilan cabaran yang perlu dihadapi negara.
Berdasarkan beberapa siri ucapan Tun Dr Mahathir sejak 1998, beliau mentakrifkan bangsa Malaysia sebagai ‘kelompok yang boleh mengidentifikasi diri mereka dengan negara ini, bercakap Bahasa Malaysia dan menerima perlembagaan tetapi pada masa yang sama kekal sebagai orang Cina, India, Iban atau Kadazan’ (Mohamed Mustapha, 2006: 54). Dengan kata lain, bangsa Malaysia hanya mengambil bentuk identiti politik tetapi mengekalkan identiti budaya dan kepercayaan kumpulan etnik masing-masing.
Konsep bangsa Malaysia ini lebih menjurus kepada pendekatan masyarakat plural di mana setiap kumpulan etnik minoriti diberi kebebasan untuk mengekalkan budaya dan kepercayaan mereka masing-masing tetapi bekerjasama dengan kumpulan etnik lain dalam lapangan ekonomi dan politik.
Aktiviti 1.4
Senaraikan cabaran-cabaran yang dihadapi negara dalam merealisasikan pembentukan bangsa Malaysia.
Polarisasi dan ketegangan
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, pendekatan konflik sering mendominasi kajian hubungan etnik di Malaysia. Ramai pengkaji seperti Freedman (1960), Esman (1972), Hirschman (1975), Basham (1983), Horowitz (1983), Abdullah Taib (1984), Fatimah Daud (1985), Agoes Salim (1975), Lim (1995), Sanusi Osman (1989), Jesudason (1989), Lee (1990), Mohd Noor Nawawi (1990) dan Cheu Hock Tong (1995) mendakwa bahawa polarisasi semakin menebal dan hubungan etnik semakin menegang (Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara, 2004: 20).
Salah satu penulisan yang menilai kerapuhan hubungan etnik di Malaysia ialah Syed Husin Ali (2008). Beliau berpendapat bahawa sentimen etnik masih menebal walaupun pelbagai usaha telah diambil untuk mengurangkannya. Sentimen sebegini akhirnya membawa kepada pelbagai konflik di Malaysia (Syed, 2008: 87); iaitu di
• Batu Pahat (1945 – 46)
• Batu Malim, Raub (1946)
• Batu Kikir (1946)
• Pulau Pinang (1958)
• Pangkor (1959)
• Bukit Mertajam (1967)
• Kuala Lumpur (1969) dan
• Kampung Rawa, Pulau Pinang (1998)
Syed berpendapat bahawa sentimen etnik yang menebal ini mampu membawa kepada konflik dan keganasan yang serius. Beliau menggariskan beberapa faktor yang telah menyumbang kepada konflik etnik di Malaysia.
1. Rusuhan etnik berlaku kerana perbezaan dan percanggahan nilai atau kepentingan. Memandangkan setiap kumpulan etnik mempunyai budaya serta kepercayaan yang berbeza, konflik mudah tercetus sekiranya berlaku insiden yang menyentuh sensitiviti kumpulan etnik tertentu.
2. Sikap stereotaip dan prejudis boleh membawa kepada ketegangan. Sikap ini timbul disebabkan oleh kegagalan kumpulan etnik yang berbeza memahami budaya serta kepercayaan etnik lain.
3. Ketidakseimbangan dalam lapangan ekonomi dan politik mampu mencetuskan konflik. Apabila ada kelompok etnik tertentu memperoleh kekayaan manakala kelompok lain pula terpinggir, ketidakseimbangan ini akan menimbulkan rasa tidak puas hati dan seterusnya tentangan.
4. Dasar pecah perintah kerajaan menyebabkan isu serta tindakan tertentu dieksploitasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk meraih sokongan umum. Ini boleh membawa kepada rusuhan etnik.
Memahami hubungan etnik
Majoriti masyarakat pelbagai etnik di Malaysia masih komited untuk mengekalkan kestabilan dan keharmonian yang sudah lama terpelihara. Walau bagaimanapun, kesabaran serta toleransi masyarakat Malaysia sudah pasti ada hadnya. Justeru, suara-suara ekstrim yang lantang mendominasi wacana umum tidak wajar dibiarkan.
Walau pun isu-isu sensitif ini tidak semestinya membawa kepada konflik dan rusuhan etnik, ia sudah pasti mengukuhkan lagi sentimen stereotaip dan prejudis dalam kalangan masyarakat.
Justeru, kerajaan dan masyarakat umum perlu menangani isu ini dengan berhati-hati tanpa mengetepikan kepentingan serta hak kumpulan etnik yang terlibat. Pendekatan kerajaan yang beralih daripada asimilasi kepada pluralisme wajar dipuji. Selain itu, tindakan kerajaan untuk mengujudkan keseimbangan dalam lapangan ekonomi dan politik sebagai kaedah untuk mengujudkan integrasi nasional juga wajar diteruskan.
Walau bagaimanapun, kerajaan tidak wajar membiarkan kelompok ektrimis etnik dan agama terutamanya daripada kelompok majoriti merosakkan agenda negara ini.
Dakwaan bahawa kelompok ektrimis ini didalangi pihak pemerintah perlu disangkal sekeras-kerasnya dengan mengambil pendekatan tegas terhadap mereka.
Pada masa yang sama, setiap kumpulan etnik dan agama perlu memainkan peranan masing-masing dalam menjaga keharmonian etnik dan kestabilan negara. Dalam usaha mereka memperjuangkan hak serta kepentingan masing-masing, adalah penting usaha ini dilakukan dalam ruang lingkup perlembagaan dan kepentingan nasional. Hujah atau proses melobi perlulah dilakukan dalam keadaan rasional, berhemah dan terkawal.
Bentuk hubungan etnik di Malaysia adalah bersifat plural di mana masyarakat pelbagai etnik mengekalkan identiti masing-masing dan hidup dalam lingkungan kelompok masyarakat mereka sahaja. Interaksi dalam kalangan kumpulan etnik yang berbeza adalah agak minima dan lebih tertumpu dalam lapangan ekonomi dan politik. Walau bagaimanapun, ada yang berpendapat bahawa jurang etnik ini semakin mengecil disebabkan proses pendemokrasian dan globalisasi.
Rumusan
1. Dalam kalangan negara dunia, Malaysia dikategorikan sebagai negara yang mempunyai tahap kepelbagaian etnik yang sederhana. Amerika Syarikat adalah antara negara yang mempunyai tahap kepelbagaian etnik yang tinggi manakala Jepun mempunyai tahap kepelbagaian etnik yang rendah.
2. Pola hubungan etnik di Malaysia boleh dibahagikan kepada tiga fasa yang berbeza iaitu; era konflik (1945 – 1960), era stabil tapi tegang (1961 – 1970) dan era kesepaduan sosial (1971 – 2011).
3. Integrasi nasional ialah usaha memupuk perpaduan serta keharmonian dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik.
Ia boleh dicapai melalui dua kaedah iaitu proses asimilasi dan pluralisme.
4. Kerajaan telah memperkenalkan tiga dasar yang berbeza untuk mencapai integrasi nasional iaitu Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971, Bangsa Malaysia 1991 dan 1Malaysia 2010.
5. Proses asimilasi adalah keadaan di mana kumpulan etnik minoriti mengintegrasi diri mereka ke dalam kehidupan etnik majoriti. Hasilnya, sempadan etnik tidak lagi kelihatan kerana kelompok minoriti hampir menyerupai kelompok majoriti.
6. Pluralisme ialah keadaan di mana setiap kumpulan etnik mengekalkan identiti etnik mereka masing-masing dan hanya berinteraksi dengan kumpulan etnik lain dalam lapangan ekonomi dan politik sahaja.
7. Polarisasi ialah keadaan di mana sempadan etnik menebal sehingga mampu memperkukuhkan jurang perbezaan antara kumpulan etnik yang berbeza.
8. Sejak 1957, hubungan etnik di Malaysia berada pada tahap seimbang dan harmoni walaupun wujud beberapa insiden ketegangan dan rusuhan etnik berdarah.
9. Kajian hubungan etnik di Malaysia terbahagi kepada dua pendekatan berbeza iaitu konflik dan orde. Pendekatan konflik cenderung untuk mengkaji ketegangan dan krisis yang berlaku dalam masyarakat pelbagai etnik. Pendekatan orde pula lebih memfokus kepada kestabilan dan keharmonian dalam masyarakat. Ia tidak menafikan kewujudan konflik, sebaliknya ia melihat konflik sebagai lumrah dalam kehidupan masyarakat pelbagai etnik.
Latihan Kendiri 1.2
1. Bincangkan tiga fasa hubungan etnik di Malaysia.
2. Jelaskan cabaran-cabaran yang dihadapi kerajaan dalam usaha memupuk intergrasi nasional.
3. Bincangkan bentuk hubungan etnik di Malaysia pada era pasca pilihan raya umum 2008.
Cadangan jawapan untuk aktiviti
Maklum Balas Aktiviti 1.3
1. Era konflik
a. Polarisasi etnik agak menebal sebelum Perang Dunia Kedua.
b. Ia bertambah tegang selepas Perang kerana rasa prejudis dan dendam antara orang Melayu dan segelintir Cina dalam Parti Komunis Malaya
c. Untuk meredakan ketegangan, penjajah British mencadangkan konsep perkongsian kuasa antara kumpulan etnik utama.
2. Era stabil tapi tegang
a. Stratifikasi dan polarisasi etnik yang tidak ditangani menambah lagi ketegangan etnik.
b. Keadaan ini diburukkan lagi oleh tahap kemiskinan yang tinggi dalam kalangan orang Melayu dan Bumiputera.
c. Akibatnya, konflik etnik berdarah tercetus pada 13 Mei 1969.
3. Era kesepaduan sosial
a. Pelbagai langkah diambil kerajaan untuk mengembalikan kesepaduan sosial.
b. Ini menyumbang kepada kestabilan dan keharmonian etnik.
c. Walau bagaimanapun, beberapa insiden yang membabitkan pertelingkahan etnik tetap berlaku
Aktiviti 1.4
1. Penolakan kumpulan minoriti terhadap budaya Melayu sebagai teras pembentukan identiti nasional.
2. Usaha kerajaan untuk memupuk identiti nasional sering dipolitikkan samada oleh pemimpin Barisan Nasional mahupun pembangkang.
3. Dasar ekonomi dilihat tidak adil kerana lebih mengutamakan orang Melayu dan Bumiputera.
1.3 Konsep dan Teori Hubungan Etnik
Objektif
Di akhir topik ini, anda seharusnya dapat:
1. Mendefinisikan konsep-konsep asas hubungan etnik seperti ras, etnik, stratifikasi, prejudis dan diskriminasi.
2. Menjelaskan pola-pola hubungan etnik.
3. Membincangkan tipologi masyarakat pelbagai etnik.
Pengenalan
Pelbagai persoalan timbul apabila kita cuba mengupas permasalahan hubungan etnik di Malaysia. Apakah yang dimaksudkan dengan etnik? Adakah ia mempunyai pengertian yang sama dengan konsep ras? Apakah pula dimaksudkan dengan hubungan etnik? Apakah bentuk hubungan etnik di Malaysia? Adakah ia bersifat plural atau telah melalui proses asimilasi, dan apakah maksud kedua-dua konsep ini? Apakah pola hubungan etnik di Malaysia sejak lebih lima dekad ini? Adakah ia semakin harmonis atau semakin menegang? Untuk menjawab persoalan-soalan ini, Topik 1.3 mengupas konsep-konsep asas dan teori hubungan etnik yang menjelaskan bentuk serta pola hubungan etnik secara amnya dan di Malaysia khususnya.
Perbincangan mengenai konsep dan teori hubungan etnik ini membolehkan pelajar hubungan etnik mengetahui wacana subjek penting ini dan amalannya.
Topik ini bermula dengan menerangkan konsep-konsep asas seperti ras dan etnik.
Selepas itu, perbincangan diteruskan dengan mengupas konsep stratifikasi etnik, prejudis dan diskriminasi. Ketiga-tiga konsep ini menjelaskan bentuk-bentuk interaksi yang terjalin antara individu dalam kalangan kumpulan etnik yang berbeza.
Selanjutnya, topik ini membincangkan pola dan tipologi hubungan etnik.
Ras dan etnik
Konsep asas dalam kajian hubungan etnik ialah ras dan etnik. Kedua-dua terma ini digunakan secara silih berganti, seolah-olah ia mempunyai maksud serta pengertian yang sama. Hakikatnya, ras dan etnik adalah dua konsep yang berbeza.
Ras
Idea mengenai ras mempunyai susur galur yang panjang dan lama. Ia telah diperdebatkan sejak tamadun purba lagi (Marger, 2011: 19). Walau bagaimanapun, idea dan wacana ras ini mulai mendapat tempat dalam kalangan pengkaji sejak dua kurun kebelakangan ini. Terma ras telah digunakan secara tidak konsisten kerana ia
mempunyai makna yang berbeza kepada kelompok yang berbeza. Ras, pada kurun ke-16 dan 17 di Eropah, merujuk kepada keturunan daripada waris yang sama; di mana pengkelasan kumpulan manusia menekankan kepada pertalian persaudaraan dan bukannya ciri fizikal seperti warna kulit, bentuk muka dan badan. Terma ras, walau bagaimanapun, membawa pengertian yang berbeza pada kurun ke-18. Ia merujuk kepada kelompok manusia yang mempunyai ciri fizikal dan biologi tertentu yang diwarisi secara turun-temurun (Feagin dan Feagin, 1993: 5).
Pada 1684, ahli fizik Peranchis Francois Bernier menjadi individu pertama mengklasifikasi manusia kepada kategori yang berbeza berdasarkan ciri muka dan warna kulit. Beliau membahagikan manusia kepada empat kategori: Timur Jauh, Eropah, Hitam dan Lapp (Walton dan Caliendo, 2011: 3). Selepas itu, beberapa jenis pengkelasan yang berbeza dibentuk oleh pengkaji lain yang umumnya membahagikan manusia berdasarkan ciri fizikal di mana golongan kulit putih Eropah berada di hieraki teratas manakala kelompok Afrika berada di bawah.
Penggunaan terma ras oleh ahli biologi dan antropologi fizikal pada lewat kurun ke-18 dan 19 mengekalkan pengertian fizikal dan biologikal ini. Ahli antropologi fizikal membezakan tiga ciri utama manusia iaitu: (1) ciri anatomi seperti warna kulit, tekstur rambut, bentuk muka dan badan; (2) ciri fisiologi dalaman seperti kadar metabolisme, penyakit genetik dan aktiviti hormon; dan (3) komposisi darah (Marger, 1997: 20). Pada lewat kurun ke-19, ramai pengkaji Eropah mengklasifikasi kelompok manusia yang tidak mempunyai susur galur dari Eropah Utara sebagai kelompok ras yang berstatus rendah. Dalam konteks inilah, ideologi rasisme muncul.
Ia adalah ideologi yang melihat hubungan antara ciri fizikal manusia dengan keupayaan psikologi dan intelek mereka. Atas premis inilah, kumpulan ras yang lebih kuat dan lemah dibezakan (Feagin dan Feagin, 1993: 6). Ideologi rasisme ini mendorong kepada merebaknya penjajahan Barat di Asia, Afrika dan Amerika. Ia juga digunakan pemimpin kuku besi seperti Adolf Hitler untuk menindas golongan minoriti Eropah khususnya orang Yahudi.
Walaupun hujah ras ini sangat dominan pada suatu masa dahulu, tiada bukti saintifik untuk menunjukkan hubung kait antara ciri fizikal dengan kemampuan intelek. Tambahan pula, dengan adanya perkahwinan campur dan hubungan merentas budaya, adalah mustahil untuk mengkelaskan manusia berdasarkan ciri fizikal mereka.
Etnik
Jika ahli biologi dan antropologi fizikal cenderung untuk mengelaskan manusia berdasarkan ciri fizikal dan biologi, ahli sains sosial pula lebih cenderung menggunakan lensa sosial. Pendekatan alternatif inilah yang membawa kepada penggunaan terma etnik. Berbeza dengan ras, konsep etnik adalah terma yang dianggap agak baharu. Ia muncul dalam kamus bahasa Inggeris pada tahun 1960an (Marger, 2011: 12). Etnik merujuk kepada kumpulan yang menunjukkan ciri budaya seperti bahasa dan agama yang tertentu. Walau bagaimanapun, ciri budaya yang unik sahaja tidak mencukupi untuk mendefinisikan kumpulan etnik. Satu lagi aspek sempadan etnik yang penting ialah perasaan kekitaan. Ahli sosiologi terkenal, Milton Gordon (1964) menyatakan bahawa kumpulan etnik berperanan sebagai sumber
rujukan sosio-psikologikal dalam membentuk perasaan kekitaan (peoplehood) (dalam Marger, 2011: 13). Perasaan kekitaan ini wujud daripada kesedaran manusia mengenai warisan atau keturunan mereka.
Kebelakangan ini, ramai ahli sosiologi yang mempertikaikan peranan aspek budaya dan perasaan kekitaan sebagai faktor penting pembentukan kumpulan etnik (Marger, 2011: 13). Dalam konteks ini, Barth (1969) berhujah bahawa sempadan etnik itu bersifat subjektif dan sentiasa berubah (dalam Marger 2011:
13). Ahli sosiologi, pada mulanya, beranggapan bahawa apabila kumpulan manusia diasimilasikan ke dalam kelompok masyarakat yang lebih besar, identiti etnik mereka akan terhakis dan terhapus. Sebaliknya, identiti etnik kumpulan minoriti ini masih kekal terpelihara walaupun mereka tidak mempraktikkan adat serta kepercayaan etnik mereka. Ini adalah kerana mereka masih mengidentifikasi diri mereka sebagai sebuah kumpulan etnik. Secara kesimpulan, ada dua pengertian kumpulan etnik: (1) ia adalah sebuah kumpulan manusia yang mempunyai nilai budaya yang tersendiri, dan (2) ia adalah produk daripada pemikiran atau deklarasi sekelompok manusia yang melihat diri mereka sebagai sebuah kumpulan etnik.
Perasaan kekitaan yang melampau secara lumrahnya boleh membawa kepada sikap etnosentrik iaitu pandangan yang beranggapan bahawa kumpulan etniknya adalah lebih tinggi kedudukannya daripada kumpulan etnik lain. Pandangan ini beranggapan bahawa cara dan nilai kumpulan mereka adalah betul dan normal manakala cara serta nilai kumpulan lain sebagai ganjil dan tidak normal. Sikap etnosentrik yang keterlaluan mempunyai impak negatif yang sama dengan rasisme, iaitu konflik antara kumpulan masyarakat yang berbeza.
Stratifikasi, prejudis dan diskriminasi
Dalam setiap masyarakat, ia mempunyai sistem pembahagian sumber yang berbeza. Pembahagian sumber yang berbeza ini membawa kepada wujudnya sistem stratifikasi. Ia adalah sistem yang membahagikan manusia berdasarkan jumlah faedah atau kekayaan negara yang mereka terima. Kelompok yang menerima faedah yang terbanyak akan diletakkan di tampuk teratas sistem hieraki manakala yang mendapat faedah yang sedikit diletakkan di bawah. Masyarakat moden distratifikasikan berdasarkan pelbagai dimensi di mana yang paling dominan ialah stratifikasi kelas. Dalam konteks ini, manusia dibahagikan mengikut pendapatan, kekayaan dan pekerjaan. Satu lagi bentuk stratifikasi yang tidak kurang pentingnya iaitu stratifikasi etnik.
Stratifikasi etnik
Stratifikasi etnik adalah aturan hieraki di mana kumpulan etnik tertentu mengambil kedudukan dominan manakala kelompok etnik lain mempunyai skop kuasa yang lebih kecil bergantung kepada kedudukan mereka dalam hieraki tersebut. Umumnya, hieraki kumpulan dibentuk berdasarkan sejauh mana kumpulan tersebut berbeza dengan kumpulan etnik yang dominan. Kumpulan yang hampir menyerupai kumpulan etnik dominan akan diletakkan di kedudukan tinggi manakala kumpulan