• Tidak ada hasil yang ditemukan

SEMIOTIK DALAM SENI BUDAYA MELAYU

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2024

Membagikan "SEMIOTIK DALAM SENI BUDAYA MELAYU"

Copied!
11
0
0

Teks penuh

(1)

SEMIOTIK DALAM SENI BUDAYA MELAYU

Oleh Arba’iyah bt Ab. Aziz1, Mohamad Kamal bin Abd Aziz2 1. Pengenalan

Semiotik bukanlah teori yang baharu. Kewujudan teori ini sudahpun digunakan sesekian lama terutama dalam bidang bahasa (linguistik) atau komunikasi. Ia kemudiannya diperkembangkan penggunaannya dalam seni visual. Istilah semiotik adalah berasal dari kata Yunani iaitu 'semeion' atau ‘semeitikos’ yang bermaksud tanda.

Semiotik ialah teori berkaitan tanda. Tanda pula boleh diterjemahkan sebagai sesuatu yang mewakili sesuatu. Ia boleh terbentuk secara semula jadi atau menerusi buatan manusia. Teori ini menjelaskan bagaimana tanda-tanda itu boleh mewakili sesuatu benda sama ada dalam bentuk imej, objek, bunyi, pergerakan, ekspresi atau dalam bentuk pemikiran ataupun idea. Jelasnya, semiotik merupakan kajian penting dalam kehidupan khususnya dalam bentuk komunikasi.

Boleh dikatakan, hampir semua sesuatu berpotensi diwujudkan sebagai tanda namun ia hanya berfungsi sebagai tanda jika diinterpretasikan sebagai tanda. Dalam erti kata lain ia perlu dikenali sebagai tanda jika mahu tanditu berperanan. Tanda berdiri pada maknanya dari segi struktur dan konteksnya di mana ia dilihat, dibaca dan difahami.

Jelasnya, semiotik diwujudkan bagi mengetahui makna-makna yang terkandung pada tanda atau dalam menafsirkan sesuatu makna. Kita ambil contoh warna. Warna adalah berperanan sebagai tanda sama ada dilihat dalam konteks seni visual ataupun dari sudut budaya. Warna merah umpamanya mempunyai pelbagai konotasi tentangnya, demikian juga warna hitam dan warna putih. Dalam seni catan, warna merah dikatakan warna tenaga manakala dari sudut budaya, ia adalah lambang keberanian, ketangkasan atau kemakmuran bagi sesetengah masyarakat. Warna putih ialah warna yang suci, terang dan mulia dan warna kuning yang kuat atau kuning kunyit ialah warna Diraja atau kuning raja (Azah Aziz,2009). Justeru, warna putih sering dikaitkan dengan lambang kesucian, warna kuning mempamerkan keceriaan, hijau membawa makna kesegaran manakala hitam dikaitkan dengan kematian atau simbol cabaran atau halangan. Namun apapun tafsirannya, semuanya bergantung kepada kajian, analisis atau pengiktirafan yang difahami dan diterima dalam sesebuah masyarakat. Bermakna, konsep sesuatu pemaknaan itu tidak terlepas dari perspektif atau nilai-nilai tertentu serta konsep budaya yang menjadi asas pemikiran masyarakat di mana simbol tersebut diciptakan.

2. Pembentukan Semiotik Dalam Masyarakat Melayu

Lumrahnya, Melayu dikaitkan dengan nilai kerohanian dan kemanusiaan mereka. Ia memperjelaskan akan ciri-ciri keperibadian seperti kesantunan serta nilai etika dan budi yang luhur. Menurut Abdullah Mohamed (1987) nama Melayu digunakan bersempena nama tempat iaitu Semenanjung Tanah Melayu) manakala kesohoran bangsa Melayu mula disebut sejak era kegemilangan empayar Melaka iaitu sekitar kurun ke-15 Masihi bilamana raja-raja Temasik dan Melaka turut berasal dari

‘Malayu’ atau ‘Jambi’ sekarang. Dari segi etimologi, perkataan Melayu adalah berasal daripada perkataan Melaju yang bererti cepat, deras dan tangkas. Mereka adalah orang yang disifatkan cerdas dan setiap tindak-tanduk mereka selalunya cepat, deras dan kreatif. Jelasnya, orang-orang Melayu sudahpun memiliki tradisi budaya yang cemerlang sebelum mereka menerima agama Islam lagi (Wan Abdul Kadir, 2000). Wujud penyesuaian antara tradisi warisan budaya dengan tuntutan Islam. Oleh yang demikian, mereka berupaya mengekalkan dan mempertahankan tradisi dan identiti budaya sebagai warisan bangsa.

(2)

Kebudayaan adalah suatu aturan atau sistem perlakuan yang wujud secara kolektif, ditentukan oleh gagasan serta nilai-nilai yang bertindak untuk mengawal dan menyusun atur kehidupan individu dan masyarakat. Dalam setiap kebudayaan, terdapat pelbagai tanda atau perlambangan bagi penentuan sesuatu maksud atau untuk menentukan setiap situasi. Setiap sesorang mempelajari dalam konteks budayanya khusus bagi sesuatu yang baik, bagus, dan benar. Setiap sikap, nilai dan tujuan adalah ditentukan oleh kebudayaannya di mana ia berada.

Kesedaran untuk terus menghormati dan menghargai aspek-aspek kesenian dan nilai warisan kebudayaan Melayu sudah lama bertapak kukuh di jiwa orang Melayu.

Kewujudannnya adalah selari dengan jati diri dan semangat patriotisme bangsa Melayu.

Penelitian terhadap aspek simbol dan makna amat sinonim dengan budaya masyarakat Melayu yang begitu kaya dan sarat dengan nilai, norma, kepercayaan, adat, world-view, pantang larang, falsafah dan pegangan agama yang sebahagiannya masih utuh menjadi penghayatan dan pegangan dalam budaya kehidupan orang-orang Melayu.

Penggunaan tanda, simbol atau lambang digunakan adalah untuk mezahirkan atau menyampaikan sesuatu. Ia merujuk kepada sesuatu benda untuk menjelaskan tentang sesuatu yang lain, yang mempunyai makna yang lebih luas dan tidak terhad kepada makna simbol itu sahaja (Norhayati Ab. Rahman, 2006). Justeru makna yang dibentuk inilah yang kemudiannya menjadi dasar terbentuknya ideologi pada sesebuah tanda.

Sebagai salah satu kajian pemikiran dalam kajian budaya, semiotik melihat bagaimana budaya menjadi landasan pemikiran dari pembentukan makna dalam sesuatu tanda.

Semiotik telah lama menerokai sistem-sistem, aturan-aturan, kelaziman-kelaziman yang memungkinkan sesuatu tanda itu mempunyai pengertian tertentu. Misalnya, dalam seni visual, wujud kerangka kefahaman tentang pelbagai interaksi antara imej dan masyarakat, imej dengan penonton serta bagaimana karyawan, penonton dan masyarakat umum menghasilkan pemaknaan tersebut. Dari sudut budaya pula, tanda terhasil untuk memudahkan dari segi interaksi, kefahaman serta pematuhan dan penerimaan bersama.

Perlu dijelaskan bahawa seni itu adalah salah satu daripada cabang kebudayaan yang sangat berpengaruh. Secara realitinya, bidang seni mampu menonjolkan nilai, martabat dan keagungan sesuatu bangsa. Buktinya, sejarah dunia mencatatkan bahawa kegemilangan sesuatu tamadun itu banyak tercapai menerusi ketinggian nilai seni yang akhirnya menjadi simbol kepada keagungan sesuatu bangsa (Arba’iyah Ab. Aziz, 2018) Maka sudah sewajarnya, penghargaan terhadap khazanah seni dan warisan budaya itu terus dihayati, hidup subur dan terpelihara agar tidak lupus ditelan waktu.

Dalam seni Melayu, ia tidak dilihat dari sudut fungsi semata-mata tetapi menjadi lebih bermakna dan praktikal jika dinilai dari sudut simbol dan maknanya. Bererti, setiap hasil ciptaan yang tercipta indah, terangkum makna dan intipati tertentu yang mencerminkan pemikiran masyarakatnya. Penghayatan terhadap nilai dalaman merupakan unsur penting dalam masyarakat Melayu. Pengalaman hidup dengan alam banyak mempengaruhi pemikiran dan pandangan dunia mereka tentang alam sekitar (Othman Yatim, 2000). Simbol atau lambang seakan cantuman antara manusia dan kebudayaannya. Dari perspektif ini, manusia seakan tidak pernah melihat, menemui dan mengetahui dunia secara langsung, tetapi mengenali dunia melalui simbol berasaskan apa yang diamati daripada alam sekelilingnya. Simbol merupakan suatu ciri atau lambang yang mempunyai makna yang mujarad (Muhammad Afandi, 1995). Dalam kesenian Melayu, makna dan falsafah budayanya memperlihatkan satu bentuk susun atur atau etika yang diwarisi secara turun temurun. Seni diterjemahkan melalui gabungan ekspresi batiniah dengan aspek lahiriah insani secara pernyataan, pengungkapan atau ekspresi

(3)

yang terbit dari kemampuan akal dalam menyatakan rasa keindahan dalam pelbagai ragam dan bentuk (Zainal Abidin Borhan, 2006). Menghayati kesenian Melayu mengajak kita menelusuri akan kegemilangan pencapaian silam yang amat membanggakan. Ia sekali gus mengisahkan akan kebolehan, kecekapan, kearifan dan kreativiti seseorang karyawan atau seniman Melayu yang sekali gus mencerminkan asas ketamadunan bangsa. Antara kepelbagaian warisan seni unggul yang masih segar ialah seperti ukiran kayu, senjata tradisi, anyaman, seni tekstil, seni tembikar, seni logam dan seni bina.

Banyak artifak seni Melayu ini membawa simbol atau tanda yang jelas tentang kegemilangan suatu peradaban masyarakat pada satu-satu masa dan tempat (Mohd Koharuddin Mohd. Balwi, 2005). Pengaruh Hindu-Buddha umpamanya telah meninggalkan rantaian pengaruh yang bukan sedikit dalam budaya orang Melayu.

Tergambar simbol-simbol motif seperti pohon beringin atau pohon hayat serta motif bunga teratai atau palma sebagai simbol utama yang memberi makna kelahiran dari pengaruh tersebut yang banyak menghiasi kraftangan Melayu tradisi (Siti Zainon, 1986).

Motif-motif di Alam Melayu sebelum kedatangan Islam juga sedikit sebanyak telah dipengaruhi oleh motif subjek bernyawa sebagai simbol dan penghormatan dalam penciptaan seni (Haziyah Husin, 2006). Contoh motif fauna adalah seperti motif burung Garuda atau burung Merak.

Sekitar abad ke-14 Masihi, Islam mula dikenali di Alam Melayu dan sekali gus berupaya mengubah pegangan dan persepsi orang Melayu daripada kepercayaan sebelumnya.

Setiap hasil seni mula disandarkan kepada simbol alam kehidupan seperti alam flora, alam semulajadi dan kosmologi seperti bulan, matahari, awan, gunung-ganang dan bukit- bukau yang kuat berpegang kepada kepercayaan mereka yang tidak wujud kontradiksi dengan nilai Islam (Muhammad Afandi, 1995). Motif-motif yang berupa hidupan bernyawa tidak lagi wujud berasaskan kepada pegangan agama. Namun menurut Ku Zam Zam (1989), penciptaan seni yang diperolehi daripada hidupan bernyawa masih juga dibuat, tetapi dalam bentuk abstrak dan simbolik supaya ia tidak menyalahi akidah.

Tegasnya, setiap pengolahan simbol-simbol tertentu bagi mewakili sesuatu makna atau idea sebenarnya bukanlah dilakukan secara sewenang-wenangnya, malahan situasi tersebut adalah mencerminkan akan ketertiban dan kelebihan orang Melayu yang sangat kaya dengan bahan-bahan kiasan yang penuh dengan unsur-unsur simbolisme yang sangat dikagumi.

3. Semiotik Dalam Seni Budaya Melayu

Masyarakat Melayu sentiasa berhadapan dengan alam sekeliling sebagai tatacara kehidupan dengan memerhati atau mengamati setiap pencarian idea bagi mengisi ruang di dalam kesenian mereka. Menurut Azah Aziz (2009) orang Melayu adalah suatu bangsa yang berbudaya cinta pada keagungan dan keindahan alam semula jadi. Atas keakraban hubungan dengan alam, karyawan Melayu sentiasa menyajikan sumber seni yang begitu unik dan kaya nilai. Daripada sumber inspirasi inilah, mereka begitu cakna mengoptimumkan dan memperkembangkan daya kreativiti mereka ke atas motif-motif. Pelbagai unsur-unsur alam semulajadi diabadikan menjadi motif-motif pilihan dalam seni Melayu.

Tanda atau lambang telah digunakan secara meluas dalam kehidupan orang Melayu. Ia kadangkala menjelaskan tentang suatu hubungan dari sudut metafizikal, mitologi, magis dan kepercayaan dalam suatu bentuk seni. Semua aspek tersebut memainkan peranan penting dalam melahirkan tanda atau simbol pada sesuatu motif. Ia menjelaskan tentang apa yang terbentuk adalah berdasarkan kepada pengalaman hidup yang dilalui,

(4)

pengaruh sejarah, kepercayaan, agama dan alam sekitar. Semuanya bermula daripada hubungan kehidupan yang berharmoni dengan alam, di samping dilengkapi kepandaian karyawan dalam mentafsir makna dan falsafah tersendiri untuk dihayati oleh masyarakatnya. Kesedaran orang-orang Melayu dalam mencipta dan menghias makna semakin jelas perkembangannya sejak dari dahulu lagi. Dalam seni ukiran kayu misalnya, terdapat nilaian falsafah Melayu yang sangat halus bermakna. Bentuk dan motif ukiran, amat berkait rapat dengan cara hidup orang Melayu. Ia suatu gambaran tentang budaya, nilai dan kepercayaan mereka. Sebilangan besar motif tradisional memiliki makna simbolik iaitu suatu cerminan nilai warisan yang diperturunkan dari generasi pengukir kayu. Contohnya, bagi setiap lengkuk ukirannya terukir makna tersirat, di mana setiap olahan silatannya dilihat suatu lingkaran mesra yang membawa tanda penyatuan atau konsep ‘bersatu’. Di situ juga tampak jalinan kemesraan, tiada tanda pemusuhan serta bayangan gambaran pengabadian kepada keesaan Tuhan. Ukiran pada motif

‘Awan Larat’ pula membawa maksud berkembangnya agama Islam yang bermula dari suatu tempat dan berarak pantas ke serata pelusuk dunia (Arba’iyah Ab. Aziz, 2018).

Motif fauna seperti ‘Ayam Berlaga’, ‘Badak Mudik’, ‘Jari Buaya’, dan ‘Tebuan Tergantung’

masing-masing terpahat perlambangan yang tertentu. Manakala motif ukiran ‘Itik Pulang Petang’ pula diperlambangkan sebagai kepatuhan kepada ketua atau pemimpin.

Fig. 1. Ukiran kayu. Sumber gambar: Muzium negeri Terengganu

Sebelum kedatangan Islam, motif ukiran dipengaruhi oleh agama Hindu. Ini dapat dipandang pada sebilangan besar reka bentuk kukuran kelapa yang digambarkan mempunyai badan, kaki, ekor yang kelihatan seperti haiwan. Namun, setelah kedatangan Islam, motif paparan sedemikian mulai ditiadakan. Pada masa ini, kebanyakan ukiran kukuran kelapa hanya diukir dengan motif-motif flora seperti motif daun sulur kacang, ketamguri, ketola, bakawali, kedudut, kembek, pucuk rebung, daun pulut, ketumbit, bunga kacang, kiambang dan lain-lain. Dari aspek estetiknya jelas, di mana seni ukir Melayu memperlihatkan akan sifat ukiran itu sendiri seperti berpunca, hujung menunduk, keseimbangan rupa dan ruang, olahan bersederhana serta pergerakan berharmoni.

Bagi ukiran kepala Perahu, ternyata kemahiran pengukir Melayu begitu tinggi kerana sejarah kegemilangan tamadun Melayu adalah bermula di bidang maritim. Antara motif yang diperagakan ialah motif bangau dan motif naga. Bersandarkan kepercayaan

(5)

tradisi, bangau adalah perlambangan bagi nelayan yang mencari rezeki di laut, yang diassosiasikan dengan kecekapan yang dimiliki burung bangau dalam pencarian tempat yang mempunyai banyak ikan. Sementara itu motif kepala Garuda dan motif naga juga digunakan oleh para nelayan Pantai Timur.

Rekaan dan seni bina rumah Melayu tradisional bukan sahaja kelihatan indah dan unik, tetapi banyak sekali nilai semiotiknya. Di bahagian bumbung, ukiran dipasang pada bahagian depan yang menutup ruang di antaranya manakala bumbung ditutupi atap.

Tebar layar pada bahagian hadapan rumah merupakan papan ukiran yang diilhami dari reka bentuk kapal. Mereka beranggapan pemilik rumah akan selalu mendapat banyak kekayaan kerana ditafsirkan sebagai lambang kemurahan rezeki. Lebih menarik, buah Buton yang terdapat di bahagian dalam atau di luar rumah Melayu pula adalah dikatakan sebagai pelindung daripada dipanah petir atau ditimpa pokok besar ke atas rumah tersebut.

Dalam seni logam pula, terdapat beberapa penghasilan seni Melayu yang sangat istimewa. Keris Melayu umpamanya terlihat akan kehalusan dan keunikan seninya khusus pada ulu, pamor dan sarungnya. Ketertiban dan kekemasan teknik buatannya juga mempamerkan akan nilai kehalusan budi dan lambang kecerdasan fikiran orang Melayu.

Keris juga membawa simbol kedaulatan, perpaduan, persahabatan, perdamaian, dan ketinggian martabat orang Melayu malah ia tidak sekali-kali mengambarkan permusuhan atau keganasan.

Fig. 2. Keris. Sumber gambar: Muzium negeri Terengganu

Tepak sirih pula merupakan bahan penting dalam upacara adat khasnya dalam majlis pinang meminang yang juga dinamakan ‘sirih meminang’. Ia berperanan sebagai tanda atau ganti pembawa hajat besar daripada ibu bapa yang diwakilinya. Dalam tepak, sirih dilipat bersisip dan tangkainya disusun dalam satu baris. Sirih pula perlu dilipat agar tidak terlihat hujung sirih bagi menjauhkan tanggapan kurang sopan atau tidak menghormati tetamu. Tepak sirih serba lengkap diserikan dengan hiasan bunga segar malah dibungkus dengan keindahan kain songket. Dalam konteks ini, tepak sirih berperanan sebagai sirih adat dan selalu dijadikan sebagai kepala hantaran dalam sesuatu majlis atau upacara formal orang Melayu. Jelasnya, peranan sirih dalam seni budaya dan adat istiadat masyarakat Melayu cukup istimewa. Di sini tepak sirih menjadi lambang atau adat penting dalam budaya Melayu, menjadi penyeri wajah atau pengikat

(6)

kasih dalam upacara pertunangan. Jadi, jelaslah bahawa tepak celapa dan tepak sirih sudah menjadi ciri utama yang diketengahkan terlebih dahulu sebagai adat menerima orang baharu dalam sesuatu keluarga.

Fig. 3. Pending. Sumber gambar: Muzium negeri Terengganu

Dikenali sebagai ratu fabrik unggul atau seni warisan agung, tenunan songket Melayu sememangnya diperakui akan keindahan, keunikan dan kegemilangan seninya.

Keistimewaan songket kerana ia dihasilkan dengan teliti, diadun dengan penuh ketertiban serta setiap motifnya sudah ditelaah dengan ketinggian nilai falsafah dan maknanya.

Oleh yang demikian, ia kaya dengan semiotiknya. Misalnya motif bunga tanjung membawa maksud selamat datang, motif bunga cengkih sebagai lambang kemesraan, bunga teratai sering disimbolkan sebagai konsep kealaman dan ketuhanan, motif ayam jantan menampilkan sifat kepahlawanan, motif potong wajik lambang kasih sayang, motif gunung menggambarkan tingginya cita-cita atau hasrat, motif pending sebagai lambang menutup keaiban dan banyak lagi. Songket bukan sahaja indah pada rupa malah dari segi pemakaiannya juga harus dipakai dengan penuh tertib mengikut adat dan upacara tertentu. Justeru, songket merupakan pakaian atau alat menjunjung adat yang kaya dengan tanda dan perlambangannya.

(7)

Fig. 4. Bunga teratai dalam tenunan songket. Sumber gambar: Muzium negeri Terengganu Selain songket, wanita-wanita Melayu juga memakai baju kebaya labuh, bersama-sama dengan alat perhiasan diri seperti kerongsang atau dokoh. Sebilangan besar gaya hiasan direka khas oleh pandai emas. Hasil ciptaan seni tersebut diukir dengan reka bentuk yang berbeza-beza mengikut citarasa dan golongan si pemakai. Ia juga menjelaskan dari segi hiraki, status dan personaliti. Wanita Melayu lebih mengemari berdasarkan variasi reka bentuk daun sukun.

Selain itu, pending juga merupakan tali pinggang hiasan yang dipakai oleh orang Melayu sama ada lelaki mahupun wanita sebagai pakaian istiadat mereka. Umumnya dipakai di atas pusar untuk melindungi sarung atau sampin lelaki. Wanita Melayu yang paling terkenal dengan pakaian pending ialah Cik Siti Wan Kembang, pemerintah wanita pertama yang terkenal di Kelantan sekitar abad ke-15. Rekaannya dan rupa bentuknya bervariasi, namun pendingnya selalunya adalah berbentuk bujur, dengan ujung tirus, permukaan yang sedikit timbul dan perbatasan yang menonjol, bergraduat atau bergigi.

Ia boleh diperbuat daripada emas atau perak. Pemakaian pending membawa maksud menutup keaiban khusus untuk wanita. Sementara itu, mahkota jika dikaitkan dengan simbol, merupakan lambang kepada sistem pemerintahan beraja atau monarki.

Karya-karya dua tokoh pelukis tanah air iaitu Syed Ahmad Jamal dan Mohd. Hoessein Enas didekati bagi membicarakan semiotik dalam konteks seni visual. Dalam siri “Gunung Ledang”, Syed Ahmad Jamal menampilkan simbol segi tiga atau motif “tumpal” dalam kebanyakan karyanya. Ia persis rupa bentuk pucuk rebung, gunungan atau pohon beringin yang mencerminkan konsep kemelayuan atau serantau. Dalam konteks kesenian Melayu tradisi, ’tiga segi’ seakan rupa bentuk tudung saji, tepak sirih, susunan sirih, nasi ambang, sirih junjung dan pulut kuning. Dalam masa yang sama, ia juga menyerupai pohon budi, pohon hayat, pohon Meru dan bunga semangat sebagai manifestasi alam semula jadi yang begitu sinonim dengan rantau Asia Tenggara. Motif ‘tumpal’ dijelmakan bersifat serantau iaitu suatu cerminan gabungan antara budaya yang sebahagiannya semula jadi dan sebahagian lagi adalah objek seni ciptaan manusia. Maka di situ terdapatnya struktur tersirat, rupa, bentuk, perlambangan dan makna, yang mempamerkan suatu keunggulan tentang estetika Melayu.

(8)

Dalam karya ‘Semangat Ledang’ (1978) Syed Ahmad Jamal menggarap paparan menarik dalam kemitosan Melayu mengenai kisah tersiratnya mesej ‘hajat yang tidak kesampaian’. Dari sudut psikologi, gunung sejauh saujana mata memandang segera memberi suatu fenomena alam yang kelihatan begitu agung dan megah. Namun apa yang wajar disedarii, gambaran wajah puncak gunung itu akan semakin menghilang apabila kita semakin menghampirinya. Oleh sebab itu, kita seakan tidak mampu beristirehat daripada memenuhi impian, kemahuan, hasrat atau hajatnya yang sentiasa berharap kepada sesuatu yang lebih tinggi. Dari sudut spritual, ia memberi suatu konotasi tentang kekentalan dan semangat tinggi manusia seperti yang disebut dalam peribahasa Melayu ‘Kalau hendak seribu daya, kalau tidak hendak seribu dalih’. Jelas, perlambangannya berupa suatu aspirasi, iltizam, kemahuan, azam dan tekad yang bukan sekadar berimaginasi atau impian kosong tetapi mampu diterjemahkan realitinya dengan kesungguhan, kemahuan dan penuh rasa tanggunjawab. Dilihat pada keutuhan gunung, lahirlah ungkapan bahawa “Tiada lari gunung dikejar, hilang kabus nampaklah ia” yang memberi pengertian, bahawa di sebalik imej gunung yang sayup itu, banyak pengajaran tentang erti kerendahan dan keterbatasan kita sebagai manusia di samping sentaisa menginsafi dan mengingatkan kita kepada keagungan Allah Maha Pencipta Alam.

Dalam karya lukisan potret, wujud pengertian kritis tentangnya, kerana ia menjadi suatu bentuk rakaman peristiwa yang membentuk tanda kenangan abadi. Melaluinya ia berupaya memaparkan perawakan, perwatakan, status seseorang dalam masyarakat atau ikatan tanda kasih. Dari satu segi, karya seni boleh berperanan sebagai suatu kebenaran yang ideal yang wujud dari kenyataan kehidupan. Ia juga boleh dijadikan sajian untuk membina bangsa menerusi imej-imej yang dipaparkan.

Dalam “Sirih Pinang” (1986), kelihatan citra bintang bertaburan di lapisan puncak awan dan gunungan. Ia diserikan dedaunan pinang dan keluk sulur bayung di bumi. Di situ terdapatnya tumbuh-tumbuhan, lapisan langit dan bumi di samping anyaman tikar yang terungkap pada imageri pelukis. Di tengah komposisi tergambar imej jantung pisang yang diterjemahkan sebagai simbol percintaan antara dua kekasih. Secara simbolisnya, hati melambangkan nadi kehidupan. Rupa dua segi tiga bertemu pada garisan tengah adalah lambang arah dan masa. Jelasnya, wujud penggabungan sebati antara yang realiti dengan yang abstrak.

“Sirih Pinang” (1986) memaparkan adat dan tradisi dalam konteks budaya Melayu.

Menurut Arba’iyah Ab. Aziz (2018), sirih pinang adalah sejenis kudapan pembuka bicara khusus diamalkan dalam urusan resmi adat dan adab Melayu. Ia menjadi penyeri dan lambang adat dan simbol penuh tatacara dalam adat istiadat masyarakat Melayu. Ia juga dilihat sebagai tanda pengikat kasih dalam upacara-upacara perkahwinan, pertunangan dan sebagainya. Begitulah kayanya nilai semiotik dalam seni budaya Melayu.

(9)

Fig. 5. Syed Ahmad Jamal, Sirih Pinang. Sumber gambar: Balai Seni Lukis Negara Meneliti potret “Gadis Melayu” (1959), Mohd. Hoessein Enas merakam keaslian rupa paras seorang gadis Melayu desa yang kaya dengan nilai-nilai kesantunan dan kesederhanaan. Di sini pelukis bijak merakam sifat dan nilai tersebut melalui paparan sikap, akhlak dan emosi. Maka di situlah letaknya tanda atau lambang keelokan seseorang yang mampu dipancarkan bukan sahaja pada paras wajah dari sudut luaran malah merangkumi sifat dalamannya. Dalam karya ini, semiotiknya memperlihatkan seseorang yang berbudi bahasa, bersopan santun dan berhemah tinggi. Justeru, pelukisannya adalah telus sebagai pernyataan dengan mengangkat etos budaya Melayu.

Rumusan

Masyarakat di serata tempat di dunia masing-masing mempunyai pandangan atau tanggapan yang berbeza-beza terhadap alam sekeliling di mana mereka berada.

Ia banyak bergantung kepada faktor-faktor yang mempengaruhi persepsi dan kefahaman tentang sifat-sifat fizikal alam sekelilingnya serta budaya mereka sendiri.

Kesedaran tersebut turut menyumbang kepada pembentukan konvensi-konvensi terhadap alam sekitar dan kehidupan mereka yang diterjemahkan sebagai ‘world-view’. Ia berupa satu konsep atas kemampuan sesuatu masyarakat itu menghasilkan interpretasi- interpretasi tertentu tentang makna kehidupan selaras dengan budayanya, tanda-tanda kejadian alam, masa, ruang, peristiwa dan sebagainya. Ia merupakan satu gagasan yang meliputi pengetahuan dan kepercayaan tentang keadaan alam sekeliling sama ada yang berbentuk konkrit ataupun yang bersifat abstrak.

Dalam proses untuk mengkaji dan memahami kerangka pemikiran dan falsafah budaya orang Melayu maka kajian ini meneliti sumber motif-motif, reka bentuk serta merungkaikan makna-makna yang tersirat sebagai suatu bentuk pendokumentasian dan bahan penghayatan masyarakat.

Jelasnya, teori semiotik merupakan satu kajian yang menghuraikan tentang hubungan antara tanda dan lambang dengan benda atau idea yang dimaksudkan. Pendekatan teori seni ini boleh diklasifikasikan sebagai pragmatik (berguna), sintetik (formal) dan semantik (bermakna). Ia memfokus kepada kod atau konvensi yang memusatkan kepada

(10)

makna ‘inherent’ dan interpretasi budaya. Dalam konteks teori ini wujud beberapa persamaan mengenai kaedah ikonografi yang digunapakai oleh para budayawan atau sejarawan seni untuk menghuraikan makna simbol-simbol tampak dalam pelbagai aspek.

Kewujudan sesuatu budaya itu pula bergantung kepada keupayaan manusia mencipta dan memahami sesuatu simbol itu.

Rujukan

Abdullah Mohamed (Nakula) (1980). Falsafah dan Pemikiran Orang-orang Melayu- Hubungannya Dengan Islam dan Kesenian. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Arba’iyah Ab. Aziz (2018). Simbolisme Dalam Motif Songket Melayu Terenganu. Kuala Lumpur:

Dewan Bahasa dan Pustaka.

Azah Aziz. 2006. Rupa & Gaya. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

Balai Seni Lukis Negara (2009). Syed Ahmad Jamal: Pelukis. Kuala Lumpur: Balai Seni Lukis Negara.

Balai Seni Lukis Negara (2008). Susurmasa. Kuala Lumpur: Balai Seni Lukis Negara.

Rupa & Jiwa, Kesinambungan Tradisi Dalam Senirupa Malaysia Sezaman. (15 Jun -2 Julai 1993.) Katalog Pameran. Kuala Lumpur: Balai Seni Lukis Negara.

Haziyah Hussin (2006). Motif Alam dalam Batik dan Songket Melayu. Kuala Lumpur:

Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ku Zam Zam Ku Idris (Jun 1984). Nilai Keindahan Dalam Seni Kraftangan Melayu. Dewan Budaya, him. 40-

43.

Mana Sikana (1996). Falsafah dan Seni Kreatif Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mana Sikana (1997). Teori dan Pendekatan Kritikan Sastera Moden. Selangor: Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Mohd. Koharuddin Mohd. Balwi (2005) Peradaban Melayu. Skudai: Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor

Mohd Taib Osman (1985). The Traditional Malay Socio-Political World View in Malaysian World-View (Mohd Taib Osman ed.), Singapore: ISEAS.

Muhammad Afandi Yahya (1995). Simbolisme Dalam Seni Bina Rumah Melayu Kelantan.

Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muliyadi Mahamood (2008). Susurmasa: 50 Years of Iconic Modern Malaysian Artwork.

Susurmasa: Timeline. Kuala Lumpur: Balai Seni Lukis Negara.

Norhayati Ab. Rahman (2006). Budaya Wanita' Dalam Penulisan Novel Pengarang Wanita: Dari Perspektif

Model Budaya Elaine Showalter. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Othman Mohd. Yatim (2000). Mengukir Kegemilangan Lalu, Biografi Wan Su Othman, Penerima Anugerah Seni Negara, 1997. Kuala Lumpur: Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan.

Smith, E. L. (2001). Movements in Art since 1945. Canada: Thames & Hudson.

Siti Zainon Ismail, 2016. Pakaian Cara Melayu. Bangi. Universiti Kebangsaan Malaysia Siti Zainon Ismail (1986). Rekabentuk Kraftangan Melayu Tradisi. Kuala Lumpur: Dewan

Bahasa dan Pustaka.

Syed Ahmad Jamal. (2007). Crafts and The Visual Arts. Volume 14, Archipelago Press

(11)

Wan Abdul Kadir (2000). Tradisi dan Perubahan Norma dan Nilai di Kalangan Orang- Orang Melayu.

Selangor: Masfami Enterprise.

Whittick, A. (1971). Symbols: Signs and their meaning and uses in design. London: Leonard Hill.

Whitehead. A. N. (1927). Chapter II. Symbolism, Its Meaning and Effect. New York:

Macmillan Co.

Yahya, Muhammad Afandi (1995). Simbolisme dalam seni bina rumah Melayu Kelantan.

Kuala Lumpur.

Dewan Bahasa dan Pustaka.

Zakaria Ali, 1989. Seni Dan Seniman: Esei-Esei Seni Halus. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Zainal Abidin Borhan (8-9 November 2006). Kesenian Kebangsaan Malaysia Satu Renungan Terhadap Pelestarian Dan Cabaran. Kertas Kerja yang dibentangkan dalam Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu, Kuala Lumpur, Malaysia.

Zainal Abidin Borhan (1999). Budaya Melayu: Akhlak Mulia Masyarakat Jaya. Seminar Kefahaman Budaya, Kementerian Kesenian & Perlancongan Malaysia.

Zainol Abidin Ahmad Shariff (1998). Menemui Moderniti-Empat Puluh tahun Angkatan Pelukis SeMalaysia. Kuala Lumpur: Balai Seni Lukis Negara.

Referensi

Dokumen terkait

Penelitian ini bertujuan untuk mencari dan menemukan ikon, indeks dan simbol yang terdapat pada pantun tradisi makan nasi hadap-hadapan adat pernikahan melayu

Penyelidikan ini mengemukakan empat objektif kajian iaitu: 1) mengkaji kearifan tempatan dalam warisan seni bina rumah tradisional masyarakat Melayu; 2) meneroka

Berdasarkan hasil wawancara yang telah dilakukan mengenai perspektif mahasiswa PGSD terhadap matakuliah adat melayu dalam melestarikan budaya melayu Jambi tersebut

Keris bagi orang Melayu bukan sahaja satu senjata lahiriah untuk mempertahankan diri, tetapi juga menjadi simbol tertentu yang mengandung berbagai falsafah dan

Pada adat pengantin Melayu Ujungbatu Riau terdapat beberapa unsur pendidikan kewarganegaraannya sesuai dengan objek studi civics yang dikemukakan oleh Somantri di

Seni ornamen Melayu Riau merupakan salah satu hasil dari proses kebudayaan suku etnis yang sampai sekarang masih bertahan dan memiliki hubungan yang kuat dengan

Pelukis-pelukis menggunakan gaya repersentasi sebagai simbol dalam menyampaikan makna budaya Melayu seperti seni mempertahankan diri, seni persembahan orang Melayu dan rekabentuk

Pengaruh luar serta kedinamikaan yang ada pada masyarakat Melayu Riau telah membawa seni ornamen Melayu Riau sebagai bagian dari historis perilaku yang pernah diwariskan oleh