SEBELUM PERANG DUNIA II SEHINGGA AUKU
2.8 Anak Muda di Universiti
Pada pertengahan 1950an juga, mahasiswa di Universiti Malaya38 yang ketika itu masih di Singapura mula menjalinkan hubungan dengan tokoh-tokoh ASAS 50.
Antara yang paling rapat dengan Samad Ismail, Keris Mas, Usman Awang ketika itu adalah mahasiswa pengajian sastera, Syed Husin Ali kemudiannya menjadi Setiausaha pada tahun dua dan ketika tahun tiga menjadi Presiden Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM). Beliau juga pernah menjadi Setiausaha Agung dan Naib Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Bendahari Persatuan Islam (PIUM). Menurut Syed Husin, melalui persahabatannya dengan tokoh ASAS 50, beliau kemudiannya dikenalkan dengan aktivis kiri Singapura seperti Lim Chin Sion, James Putucheary dan S.Woodhull (Syed Husin Ali 2012: 27-34). Malah, Syed Husin Ali menulis latihan ilmiah untuk Sarjana Muda tentang ASAS 50 yang bertajuk “Pertubuhan Bahasa dan Sastera Melayu di Singapura Selepas Perang Dunia Kedua”.
38 Pendidikan Universiti di Malaysia hanya bermula pada 1949, apabila King Edward VII College of Medicine (1905) dan Raffles College (1929), ditubuhkan di Singapura dan digabungkan di University of Malaya (UM) (kemudian sebagai Universiti Malaya). Kampus dibuka di Kuala Lumpur pada akhir 1950-an, kemudiannya kedua-dua cawangan berpecah sepenuhnya beberapa tahun kemudian, cawangan di Kuala Lumpur mengekalkan nama Universiti Malaya. Pelajar Melayu sepanjang tahun 1950-an kurang daripada 10 peratus, jauh lebih rendah daripada nisbah orang Melayu di Semenanjung. Nisbah masih kekal hanya 1/4 pada tahun 1965, tetapi melonjak kepada 70 peratus dalam tempoh sedekad, selepas perubahan besar melalui perlaksanaan DEB dan dasar bahasa.
Sementara itu, Malaysia mula mengembangkan sistem pengajian tinggi, menubuhkan universiti awam, kemudian institusi swasta pada pertengahan 1990-an, yang sekarang terdapat berpuluh-puluh bertaburan di seluruh Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Perubahan ini dibincangkan dengan lebih lanjut dalam Bab 3.
65
Pada tahun-tahun awal universiti di Malaysia – tahun 1950-an dan 1960-an – menjadi mahasiswa sangat terhormat kerana hanya sejumlah kecil sahaja berpeluang melanjutkan pelajaran ke universiti. Pelajar dididik untuk mematuhi peraturan dan menjadi graduan dengan kerjaya yang stabil. Kelab Sosialis UM di Singapura menguasai politik kampus pada tahun 1950, kesatuan pelajar dan akhbar mereka ini sangat berpengaruh. Antara tokoh utama Kelab Sosialis ketika itu adalah Abdullah Majid, Rajakumar, Ungku Omar, Agoes Salim, Kassim Ahmad, Lim Hock Siew, dan Poh Soo Kai (Syed Husin Ali 20012: 33). Jurnal berbahas Inggeris, Fajar mempunyai jumlah pembaca yang ramai, baik dalam mahupun luar kampus walaupun kadar celik huruf, terutamanya dalam bahasa Inggeris, masih rendah.39 Artikel isu Mei 1954, mempersoalkan dasar Britain dan Amerika Syarikat ke atas Vietnam dan seluruh Asia Tenggara, merupakan ujian besar terhadap autonomi universiti dan kebebasan akademik. Selepas perdebatan mendadak dalam kalangan pegawai kolonial, lapan ahli sidang redaksi jurnal telah ditangkap dan didakwa atas tuduhan hasutan (Weiss 2009: 506).
Dalam tahun 1958, Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya cawangan Kuala Lumpur ditubuhkan. Pada tahun-tahun awalnya, persatuan ini tidaklah begitu aktif dan kritikal, lebih banyak mengadakan aktiviti rekreasi dan sukan sahaja. Tambahan pula, Universiti Malaya ketika dibuka pada tahun 1957 hanya mempunyai kira-kira 300 mahasiswa sahaja dan pada tahun 1962, jumlah ini meningkat sedikit kepada 1,341 orang. Sungguhpun mahasiswa UM mula bersikap kritikal terhadap pentadbiran universiti dan kerajaan sejak awal lagi, namun hanya pada tahun 1964, mula menampakkan kekuatan mahasiswa yang besar. Kira-kira 1,000 orang mahasiswa berdemonstrasi menuntut agar lima orang rakan mereka yang dibuang
39 Satu ribu naskah bagi setiap isu dijual di dalam kampus dan di kedai buku luar kampus (Weiss 2009: 506)
66
universiti kerana melakukan ‘ragging’ diterima semula. Begitu juga dengan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM). Pada tahun-tahun awal di UM, PBMUM hanya menumpukan kegiatan penulisan sastera, program kebudayaan, dan lawatan sekitar Kuala Lumpur. Namun hanya mulai tahun 1956, PBMUM mula bersikap lebih vokal dan memperluaskan takrif kebudayaan yang mencakupi aspek politik, pelajaran, sosial, dan ekonomi. Pada tahun tersebut, PBMUM mula mengadakan siri forum yang serius antaranya ‘Soal Ekonomi Bumiputera’, ‘Faham Nasionalisma Malaysia’, ‘Peranan Intelektual Melayu’ dan ‘Mengenai Bangsa Melayu Mundur’ (Muhammad Abu Bakar 1973: 36-37).
Tahun 1960-an adalah tahun penting bagi anak muda serta dunia. Pada tahun ini, anak muda telah memulakan gerakan besar-besaran di serata dunia. Banyaknya terinspirasi dengan gerakan counterculture di Amerika Utara dan UK. Antara yang terawal dan terpenting adalah Berkeley Free Speech Movement (1963-64).
Mahasiswa di Malaya mula mengenali Mario Savio, pelajar falsafah di University Berkeley. Kemudiannya munculnya gerakan “hippies,” dan pastinya yang paling diingat adalah konsert musik Woodstock yang menghimpunkan hampir 500,000 orang anak muda di Amerika. Begitu juga dengan rusuhan mahasiswa di Perancis pada tahun 1968. Semua ini memberi kesan kepada gerakan mahasiswa di dalam negara pada waktu itu. Ini ditambah lagi dengan peristiwa perpisahan Singapura dari Malaysia pada tahun 1965, kejatuhan regin Soekarno dan Perang Vietnam yang berlarutan.
Pada bulan Disember 1967, Kelab Sosialis UM di Kuala Lumpur ditubuhkan.
Mahasiswa mula lebih serius dengan ideologi politik dan mula melibatkan diri dengan lebih dekat melalui penyebaran risalah dan kemuncaknya pada tahun 1969, PMUM yang kuat dipengaruhi oleh Kelab Sosialis mengambil keputusan untuk
67
melibatkan diri dalam kempen pilihan raya. Mereka berhasrat untuk memberi gambaran sebenar kepada masyarakat berkenaan isu politik semasa tanpa menggunakan pendekatan perkauman. Mereka menerbitkan manifesto mereka sendiri dan menuntut agar masyarakat hanya memangkah calon yang memperjuangkan kandungan manifesto mereka. Antara yang dituntut adalah ‘hak rakyat untuk terlibat dalam proses politik tanpa mengira warna kulit, ideologi dan bangsa’, ‘mendesak kerajaan membebaskan tahanan politik dan membicarakan mereka di mahkamah’, membangunakan ekonomi orang Melayu miskin’,‘mengadakan reformasi tanah untuk pertani’, dan ‘menghapuskan penempatan tentera asing di seluruh negara’. Usaha mereka ini mendapat sambutan daripada masyarakat, sebanyak 13 rapat umum telah diadakan dengan dihadiri lebih 100,000 orang. Mereka telah mengembara ke seluruh Semenanjung dari utara ke selatan (Muhammad Abu Bakar 1973: 80-81). Sebagaimana maklum, Parti Perikatan telah kalah teruk pada tahun itu dan kemudian terjadinya tragedi 13 Mei 1969.
Namun, mahasiswa terus bersikap kritikal dan konfransional dengan kerajaan.
PBMUM mengadakan demonstrasi anti-Tunku kerana beranggapan Tunku harus bertanggungjawab terhadap tragedi 13 Mei. Isu itu bertambah hangat apabila Tunku membuat kenyataan di dalam akhbar menuduh Presiden PMUM ketika itu, Syed Hamid Ali, adalah orang yang memohon permit polis untuk mengadakan perarakan membawa mayat pemuda Cina yang mati ditembak oleh polis di Kepong sebelum pilihan raya. Tuduhan ini dinafikan oleh Syed Hamid (Muhammad Abu Bakar 1973).
Rentetan daripada beberapa siri demonstrasi lainnya, semasa cuti semester awal tahun 1971, tiba-tiba kerajaan mengumumkan penggubalan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971. Penggubalan ini berkait dengan laporan Jawatankuasa Kaji Kampus (1970) yang dibentuk oleh MAGERAN yang bertujuan
68
mengawal aktiviti kampus. PMUM antara yang kuat membantah rang undang-undang ini dan telah mengadakan protes serta menyerahkan memorandum bantahan.
Namun, akhirnya rang undang-undang ini diluluskan juga oleh parlimen. PMUM juga mendapat sokongan daripada persatuan mahasiswa Institut Teknologi Mara, Persatuan Pelajar Universiti Pulau Pinang dan lain-lain lagi.
Sungguhpun AUKU 1971 sedikit sebanyak menjejaskan aktivisme mahasiswa, namun mereka tetap mengadakan beberapa siri demonstrasi. Malah, pada tahun 1973, Kelab Sosialis telah disusun semula dan berjaya meletakkan calon mereka, Hishamudin Rais, sebagai Setiausaha Agong PMUM. Akan tetapi, pada tahun berikutnya, 1974, PMUM dikuasai oleh ABIM. Peristiwa besar yang menjadi kemuncak gerakan mahasiswa dekad 1970an adalah Demonstrasi Tasik Utara di Johor Baharu. PMUM telah berkemah bersama peneroka bandar lainnya menuntut rumah yang dijanjikan kepada penduduk Tasik Utara. Demonstrasi ini berakhir pada 19 September 1974 apabila Hishamudin Rais, Kalinan Jaya (pemimpin peneroka bandar), Yunus Ali (Ahli Majlis PMUM), Syed Hamid Ali (Setiausaha Agung PSRM), dan Mohd Amin Ahmad (Setiausaha PSRM Johor) ditangkap. Mereka kemudiannya dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu perbicaraan (Mohd Shuhaimi 1995:75).
Tidak lama selepas itu, pada bulan November dan Disember 1974 berlaku demonstrasi Baling. Demonstrasi ini bermula pada 19 November 1974 apabila lebih 1,000 orang petani menunjuk perasaan yang berterusan selama tiga hari. Pada 3 Disember 1974, kira-kira 5,000 orang mahasiswa berdemo di Padang Kelab Selangor menuntut pembelaan ke atas pertani di Baling. Kerajaan tidak mengendahkan tuntutan ini dan 1128 orang ditahan. Tunjuk perasaan berjalan untuk beberapa hari lagi, sehingga pada pagi 9 Disember polis telah memasuki kampus dan menahan
69
ramai pemimpin mahasiswa (Hassan Karim 1984). Tindakan polis menceroboh universiti itu adalah simbol terhapusnya autonomi kampus.
Antara yang ditahan adalah Kamarazaman Yaacob (Presiden PMUM), Adi Satria (Pen. Setiausaha Agung PMUM), Syed Husin Ali, Tengku Shamsul, K.S Nijar, Lim Mah Hui, Sabiha Samad, Anwar Ibrahim dan Ibrahim Ali. Beberapa orang mahasiswa berjaya melarikan diri ke luar negara, termasuk Hishamudin Rais (Setiausaha Agung PMUM). Penangkapan ini, bersama dengan pindaan AUKU 1974 yang lebih mencengkam telah melumpuhkan gerakan mahasiswa (Hassan Karim 1984, Mohd Shuhaimi 1995, Weiss 2011).
AUKU dan kekangan lain terhadap gerakan anak muda ini akan dibincangkan dengan lebih terperinci dalam bab 4. Hal ini kerana, perbincangan mengenai kesan perlaksanaan AUKU dan sekatan lainnya harus difahami bersama dengan perubahan persekitaran politik dan sosio-ekonomi pada tahun1970-an, khasnya akibat perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1970 hingga 1990 yang akan dihuraikan dalam bab 3.
2.9 Kesimpulan
Melalui bab ini dapat diperhatikan bahawa sememangnya anak muda amat aktif dalam melibatkan diri dalam politik di negara ini, baik dalam parti politik, mahupun di luar parti politik. Mereka bukan sahaja berperanan sebagai pengikut atau ahli mana-mana pertubuhan, malah mereka merupakan pengasas dan peneraju utama sesebuah gerakan. Sebagaimana yang diperlihatkan juga, setiap daripada kelompok
70
ini mempunyai hubungan antara satu sama lain. Sejak KMM dan PKMM, API, ASAS 50 dan gerakan mahasiswa kemudiannya, pasti akan ada individu yang saling terkait. Ertinya sentiasa terdapat kesinambungan generasi dan idea.
Menarik juga untuk diperhatikan bagaimana gerakan sosial ini dimatikan melalui kuat kuasa undang-undang. Pada tahun 1948 gerakan ini dimatikan melalui pengisytiharan Darurat dan kemudiannya pada tahun 1971 dan 1974, AUKU dilaksanakan. Tindakan ini dilakukan oleh negara apabila merasaka gerakan ini mula mencabar dan menggugat mereka.
Persoalan yang ingin penulis timbulkan daripada karya ini adalah, jika anak muda secara konsisten terlibat dalam politik negara ini, mengapa kini terdapat persepsi yang mengatakan anak muda apati politik, tidak patriotik, dan kurang jati diri? Jika persepsi ini benar, apakah yang punca titik perubahan (turning point) terhadap partisipasi anak muda? Atau, partisipasi mereka telah mengambil bentuk dan pendekatan baru yang memerlukan pendekatan berbeza untuk memahaminya?
Maka, untuk memahami perubahan ini, pemahaman terhadap tranformasi ekonomi dan sosio-politik masyarakat Malaysia selepas tahun 1970 amat penting.
Huraian lanjut berkenaan perihal ini disediakan dalam bab berikutnya.
71 BAB 3