HALANGAN PENGLIBATAN POLITIK ANAK MUDA DI DALAM DAN DI LUAR KAMPUS (1970AN-1990AN)
4.2 Perkembangan Pengajian Tinggi dan Kesannya pada Anak Muda .1 Pertumbuhan Ekonomi dan Pengkoporatan Universiti
4.2.3 Politik Anak Muda di Universiti
46 Rujuk Perkara 11, Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Dasar Pelajaran, Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka, 1979, hlm 1.
104
Demonstrasi Baling pada Disember 1974 menyebabkan ramai aktivis dan akademis telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). AUKU telah mengakibatkan anak muda yang memasuki kampus selepas tahun 1975, tidak lagi mempunyai hubungan sejarah dengan gerakan mahasiswa sebelumnya. Minggu orientasi pelajar telah dikawal oleh Hal Ehwal Pelajar. Maka, mahasiswa baru pastinya tidak didedahkan dengan sejarah panjang perjuangan mahasiswa.
Persekitaran universiti berubah dengan dramatik, kawasan kampus mula dipagar dan di Universiti Malaya, sudut pidato diratakan. Nama pemimpin PMUM sejak tahun 1972 hingga 1975 ditanggalkan daripada dinding pejabat PMUM bagi memutuskan sejarah PMUM dengan generasi baru mahasiswa. Jika sebelum ini mereka bebas untuk menerbitkan majalah dan risalah, kini semuanya harus mendapat kebenaran daripada pentadbir universiti. Akhbar kebanggaan Mahasiswa Universiti Malaya ketika itu, Mahasiswa Negara, digantikan dengan Budiman yang lebih lembut.
Namun, perubahan yang paling ketara apabila menjelang pertengahan 1980-an, beberapa orang bekas pimpinan mahasiswa menyertai kerajaan, antaranya Shahril Samad, Aziz Shamsudin, Sanusi Junid dan pastinya paling menggemparkan adalah tindakan Anwar Ibrahim meletakkan jawatan dalam ABIM dan menyertai kerajaan menjelang Pilihan Raya 1982 (Weiss 2011: 194).
Kemasukan Anwar Ibrahim dalam UMNO pada tahun 1982 telah memberi kesan kepada politik kampus, khasnya dalam kalangan mahasiswa Islam yang sebelum ini melihat beliau sebagai tokoh yang ‘sealiran’ dengan PAS. Malah, PAS seolah-olah menerima hakikat ini dan menyerahkan pengkaderan aktivis mahasiswa Islam kepada ABIM yang diasaskan oleh Anwar. Setelah kemasukan Anwar, pada awalnya wujud kekeliruan dalam kalangan aktvis PAS dan ABIM sehinggalah pada tahun 1985, kedua-duanya telah mengambil keputusan untuk tidak lagi saling
105
membantu. Dalam tempoh ini, kerja pengkaderan mahasiswa yang pro-PAS diambil alih oleh Islamic Representative Council (IRC) namun kerjasama ini haya mampu bertahan hingga 1988/9. Pada akhir 1980an inilah lahirnya Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) yang kemudiannya membentuk Gagasan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) (Shuhaimi 1992: 50-65). Dua kumpulan aktivis politik kampus inilah yang memberi saingan kepada kumpulan pro-establishment, tajaan UMNO, Angkatan Mahasiswa Negara yang kemudiannya menjadi Tindakan Siswa Bersatu (TSB) dan kini dijenamakan semula sebagai Aspirasi.
Pada era 80-an, penglibatan mahasiswa dalam politik kurang memberangsangkan. Gerakan mahasiswa lebih tertumpu kepada program-program seperti kebajikan masyarakat manakala tumpuan kepada identiti Islam mula diberi penekanan. Di samping itu, aktiviti-aktiviti dakwah dan pentarbiyahan mahasiswa mula mengambil tempat. Sebagaimana dijelaskan pada bab awal, tempoh ini merupakan tempoh berlakunya Islamisasi yang rancak, baik di dalam kampus, mahupun di luar kampus. Karya-karya tokoh gerakan Islam seperti Hassan al-Banna, Sayyid Qutb dan Maududi telah disebar secara meluas di kampus-kampus (Fathi Aris Omar 2005). PMIUM pada tahun 1986 umpamanya, telah mendesak HEP untuk mengubah pendekatan minggu orientasi mahasiswa yang dikatakan melalaikan dengan;
1. Mengkhusus satu malam untuk diadakan ceramah berkaitan aspek pengenalan Islam sebagai gaya hidup.
2. Memansuhkan program yang boleh dianggap melalaikan dan bertentangan dengan akhlak Islam, termasuk ‘Malam Bakat Kampus’.
3. Memastikan nilai Islam dihormati dan dipatuhi oleh semua Ahli Jawatankuasa Orientasi47
47 Mohd Shuhaimi Al-Maniri. 1995. Politik Kampus di Sebalik Tabir. Pustaka Generasi Baru. Bandar Baru Bangi, ms 41.
106
Selain itu, di UM juga berlaku demonstrasi membantah konsert Shiela Majid anjuran Pusat Kebudayaan untuk mengumpul dana bagi menubuhkan Orkestra Universiti Malaya. Konsert tersebut dianjurkan pada 10 September 1989 di Dewan Tunku Censelor yang melibatkan hampir 2,000 orang mahasiswa. Demonstrasi ini dianjurkan oleh PMIUM.
Manakala di UKM, konsert Malam Anak Desa Bersama Sudirman yang diadakan pada 5 Januari 1985 hampir dibatalkan terus kerana tentangan keras daripada Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM).
Bersama-sama dengan PMUKM dalam bantahan ini ialah Persatuan Mahasiswa Fakulti Islam, Persatuan Kakitangan Akademik UKM (Presiden Persatuan Kakitangan Akademik UKM (PKAUKM), Profesor Dr. Shahril Mohd Zain dikatakan bertindak sendirian menyokong bantahan itu), Persatuan Anak Kelantan, Jaksa Komsis, Persatuan Mahasiswa Sains dan Dekan Fakulti Pengajian Islam, Haji Idris Omar.48
Suatu lagi percubaan untuk mengagalkan konsert Sudirman pada 17 Ogos 1985 oleh Persatuan Islam Universiti Malaya tidak berjaya kerana ketegasan Naib Canselor Universiti Malaya profesor Diraja Ungku Aziz. Ungku Aziz berkata,
Pihak universiti tidak boleh membatalkan konsert ini semata-mata kerana ada pihak yang tidak menyenanginya atau beranggapan ia bercanggah dengan ajaran Islam. Kerajaan sendiri tidak mengharamkan lagu dan persembahan penyanyi Sudirman.
(Utusan Malaysia, 6 Ogos 1985)
48 Mahathir, Perdana Menteri ketika itu kemudiannya campur tangan. Berikutan dengan itu Konsert Malam Anak Desa Bersama Sudirman diadakan pada 2 Mac 1985 di Dewan Tun Abdul Razak UKM.
Sumber: Utusan Malaysia 3/1/2010. Sudirman Tercabar di UKM.
107
Paling jelas, selepas 14 tahun perlaksanaan AUKU, Naib Canselor Universiti Malaya yang baru dilantik ketika itu, Syed Hussein Al-Attas, telah mengadakan kembali sudut pidato pada 1hb Mac 1989. Namun, sudut pidato ini kurang mendapat sambutan. Tambahan pula, Menteri Pendidikan ketika itu, Anwar Ibrahim, tidak begitu menggalakkan usaha ini kerana kononnya terkeluar dari ‘kesopanan’
mahasiswa (Shuhaimi 1992: 32). Maka, sudut pidato ini kembali terkubur dengan sendirinya. Sebagai tambahan, usaha Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saifuddin Abdullah memperkenalkan kembali Sudut Pidato di Universiti Malaya dan di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 2010 tidak begitu mendapat sambutan daripada mahasiswa. Jelas bahawa sejarah panjang gerakan mahasiswa semenjak sehingga 1970an telah luput daripada memori anak muda di kampus pasca AUKU.
Isu dan advokasi mereka juga telah berubah.
4.3 Politik Anak Muda di Luar Universiti