Rajah 6.1: Persembahan Teater Tok Ampoo
6.7 Profil Idelog UBU
6.7.2 Fathi Aris Omar
165
Fathi Aris Omar merupakan seorang rasionalis (setidaknya beliau senang dengan label itu). Beliau punya minat membaca sejak usia kecil lagi, seawal 8 atau 9 tahun (1976 atau 1977). Beliau dilahir dan dibesarkan dalam keluarga miskin desa. Ibu bapanya bercerai ketika beliau kecil. Maka, ibu dan neneklah yang membesarkan beliau dan ibunya hanya bekerja kampung dan sering pula sakit-sakit. Fathi cuma dibekalkan belanja sebanyak 10sen sehari. Ada waktunya Fathi makan nasi lemak dan minum susu subsidi di kantin sekolah. Dengan duit 10 sen itu, Fathi jimat-jimat dan tabung untuk membeli Utusan Pelajar, surat khabar pelajar waktu itu (dan, kemudian terbit Mingguan Kanak-kanak).
Rencana-rencana akhbar yang dibacanya ketika itu bukanlah akhbar yang dibeli – tetapi diambil oleh ibunya dari rumah-rumah jiran untuk kegunaan alas di dapur. Tabiatnya inilah yang menyuburkan minatnya kepada dunia kewartawanan.
Minat politiknya berkembang sejak awal 1980-an, ketika di Tingkatan 3 di Sekolah Menengah Sains Terengganu. Waktu itu beberapa teman mengajak beliau untuk menyertai usrah. Antara buku awal yang membentuk jalan fikirannya adalah buku Fathi Yakan110, ‘Apa Ertinya Saya Menganut Islam?’ dan juga karya Abul A’la Maududi, ‘Iman, Islam, Jihad’ (asal, Fundamentals of Islam), ‘Problema Kemiskinan’ karya Yusuf Qaradhawi dan buku-buku Islam yang diterjemahkan waktu itu, khususnya oleh Dewan Pustaka Fajar, Hizbi dan juga Pustaka Salam.
Semasa di sekolah itu jugalah, Fathi mula mengikuti kaset-kaset kuliah (misalnya huraian Ma’alim fit Tariq oleh Abdul Hadi Awang) dan kaset-kaset ceramah politik pemimpin PAS. Beliau juga mula tertarik dengan ceramah - ceramah politik kritika itu. Tambah beliau:
110 Beliau pada awal perkenalannya dengan karya Fathi Yakan amat mengkagumi tokoh ini. Beliau diberitahu bahawa Fathi Yakan adalah seorang jurutera dan dalam masa yang sama seorang ulama, pendakwah. Nama pena Fathi Aris ini juga datang daripada tokoh besar ini.
166
Tinggal di asrama penuh memang sukar bergerak tetapi ada waktu-waktunya kami ‘melompat pagar’ diam-diam untuk mengikuti ceramah politik atau ke kuliah di Rusila. Pada 1985, saya dipilih sebagai pengawas sekolah dan saya menyalah gunakan kuasa itu untuk melindungi kawan-kawan aktivis yang
‘melompat pagar’ (ketawa). Maksudnya, sejak dulu lagi, kami sudah mengamalkan ‘hak demokratik’ walaupun berdepan dengan ‘risiko politik’
(ketawa)
Menurutnya, teman-temannya sejak di sekolah dan kampus memang ‘kaki buku’.
Tidak ramai tetapi kebetulan beliau sering bertemu teman-teman aktivis (satu jemaah atau lain jemaah) yang serius berfikir, baca buku, berdebat dan mengkaji isu-isu semasa. Tempohnya antara 1983 hingga 1991. Mereka pada awalnya aktif melatih tenaga-tenaga baru (pelajar baru) dan menghasilkan penerbitan (dalaman). Ada waktunya penerbitan di peringkat kampus ITM (kini UiTM), sama ada di Shah Alam atau di Arau. Beliau menulis ke Harakah sejak 1988 (sehingga tamat kuliah 1991).
Dampak yang paling besar pada pemikiran beliau muncul apabila timbul krisis sesama gerakan Islam di kampus (dan juga, sebahagiannya, di luar kampus) antara 1986-1989. Ia bermula selepas ketewasan PAS dalam pilihanraya umum 1986 di muktamar parti itu di Rusila. Isunya penyusupan orang-orang IRC (Islamic Representative Council) ke dalam PAS, khususnya Pemuda Pusat dan Selangor.
Selain itu, pengalaman kuliah di Institut Teknologi Mara (ITM) banyak membentuknya. ITM ketika itu ada kuliah agama wajib, dua jam setiap minggu selama enam semester (diploma). Tapi dua tahun pertama bagi Fathi cukup membosankan sebab mengajarkan hal-hal yang telah ‘khatam’, misalnya konsep jihad, dakwah, tauhid uluhiyyah, sekularisme dan segala hal asas yang telah selesai sejak di sekolah. Tetapi setahun terakhir paling menarik perhatiannya, ‘Sejarah dan Falsafah Sains Islam’. Pendedahan kepada isu-isu falsafah ilmu ini banyak membuka fikiran dan perspektif beliau tentang intelektualisme, rasionaliti dan budaya ilmu.
167
Beliau kemudiannya berkenalan dengan buku Maududi, Fundamentals of Islam. Siri kuliah dan bahan bacaan baharu ini menyebabkan pandangannya terhadap tarbiah gerakan Islam berubah. Baginya gerakan Islam (dalam konteks waktu itu, JIM) ‘syok sendiri’.
Mulai dari itu, Fathi kemudiannya bertemu dengan karya Syed Hussein Alatas (Intelektual Masyarakat Membangun dan Sosiologi Rasuah), Goenawan Mohamad (Siri Catatan Pinggir), John Stuart Mill (On Liberty), George Orwell (Nineteen Eighty Four), Jean Jean-Paul Sartre (The Age Of Reason), Alvin Toffler (Future Shock dan Third Wave), Majid Fakhry (A History of Islamic Philosophy), Bertrand Russell (A History Of Western Philosophy), Friedrich August Hayek (The Counter Revolution of Science), Seyyed Hossein Nasr (Science and Civilization in Islam), Osman Bakar (Classification of Knowledge in Islam), Syed Nagiub al-Attas (Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu) dan pastinya karya – karya Habermas seperti Toward a Rational Society (1967), Rationality and Religion (1998), Philosophical-Political Profiles (1983).
Fathi kini lebih dikenali sebagai aktivis media dan penulis kolum yang telah menerbitkan rampaian tulisannya dalam buku Patah Balek: Catatan Terpenting Reformasi (2005). Beliau banyak mengupas tema-tema utama krisis politik dan intelektual Era Reformasi 1998. Fathi menerima anugerah kebebasan akhbar daripada Reporters Sans Frontieres (RSF), Paris, Perancis pada tahun 2000 dan juga zamalah (felo) Cendekiawan Awam Asia (API) daripada Nippon Foundation, Tokyo pada 2004. Beliau sebelum ini bertugas di Star Publication sebagai ketua pemberita sebelum berpindah ke Malaysiakini sebagai Ketua Editor (jawatan terkini).
168
Fathi banyak mengisi dimensi intelektual dalam UBU. Fathi yang sangat terinspirasi dengan karya Habermas amat menekuni keperluan dan kepentingan ruang awam yang rasional. Beliau banyak menggalakkan aktivis bukan hanya kritikal terhadap pemerintah – Barisan Nasional – malah juga terhadap pembangkang. Fathi kemudiannya datang dengan istilah masparti (massa politik tanpa parti) untuk meletakkan senpadan yang jelas antara politik partisan dengan yang tidak. Sikap Fathi ini kadang – kala dilihat terlalu idealistik dan teoritikal, namun kehadirannya dalam UBU seakan mengimbangi Hisham yang kental dengan ‘gerak aktivisnya’.
6.8 Kesimpulan
UBU cuba mendekati masyarakat dan dalam masa yang sama banyak terlibat dengan advokasi isu-isu mahasiswa. UBU tidaklah boleh dikatakan hanya sebagai komuniti mahasiswa sahaja kerana keanggotaannya yang melangkaui ranah kampus. Pada peringkat awal terdapat usaha untuk menstrukturkan UBU dan usaha ini lebih kepada tried and error sementara memahami kedinamikan komuniti mereka. UBU selepas 2004 – apabila ruang yang mereka sewa tidak mampu lagi dikekalkan – telah menjadi lebih luwes daripada sudut penyusunan program dan gerak kerja. Ditambah pula dengan tuntutan realiti kehidupan – kerjaya dan keluarga – maka komitmen itu harus diuruskan dalam bentuk yang berbeza. Maka, setiap anggota UBU mula menubuhkan kelompok-kelompok sosial mereka sendiri dan bekerjasa dengan kelompok sosial yang dibangunkan oleh anggota lain. Mereka juga mula mempunyai fokus yang lebih terarah – sebagai penulis lagu popular, aktivis politik, akedemia, ahli politik, pengarah/penerbit filem dan lainnya. Namun yang jelas, mereka ini dapat
169
diidentifikasikan sebagai kelompok yang merayakan kepelbagaian, mempunyai asprisiasi seni – filem, lakon, catan, puisi dan lainnya – yang umumnya lebih tinggi, dan mempunyai semangat sukarelawan yang tinggi. Hal ini dapat dilihat melalui penyertaan mereka dalam program anjuran NGO lainnya. Penting juga diberi perhatian berkenaan bentuk-bentuk aktivisme yang mereka lakukan itu. Pada awalnya dapat dilihat bahawa aktivisme yang mereka usahakan itu berbentuk penyalinan daripada ‘Barat’, namun dengan perlahan-lahan melalui pembentukan pengalaman mereka mula mengerti dan menyesuaikan dengan dinamik sosial masyarakat negara ini. Kedinamikan inilah ciri-ciri kebudayaan setempat yang diakomodasikan dengan keperluan aktivisme, baik dari sudut kebudayaan dan keintelektualan mahupun gerak kerjanya.
170 BAB 7
MENEMPATKAN KEMBALI ANAK MUDA