• Tidak ada hasil yang ditemukan

Analisis Novel Justeru Impian di Jaring

Dalam dokumen KOMSAS Tg 3.pdf (Halaman 40-43)

Sinopsis

Novel Justeru Impian di Jaring  mengisahkan cabaran dan dugaan yang dihadapi oleh Syahir, iaitu pemain badminton perseorangan negara dalam usaha merebut gelaran juara dunia. Untuk menyertai Kejohanan Badminton Antarabangsa yang akan diadakan di Jakarta, Syahir dan para pemain badminton negara perlu menyertai kejohanan Terbuka Johor kerana prestasi semasa yang akan dinilai, bukannya ranking dunia. Syahir sangat kecewa akan keputusan tersebut kerana persiapannya selama berbulan-bulan untuk merebut tempat ke kejohanan berprestij itu masih belum memadai.

Penglibatan Syahir dalam sukan badminton pada mulanya ditentang oleh abahnya. Namun begitu, apabila dia lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah, abahnya memberikan kebenaran dengan syarat dia harus memelihara syariat Islam. Sehingga kini, Syahir tetap berpakaian menutup aurat walaupun ketika menyertai kejohanan antarabangsa. Syariat yang diamalkan oleh Syahir ini telah mengubah hati Wan Najlah, iaitu pemain perseorangan wanita negara untuk turut menutup aurat ketika bermain badminton. Berdasarkan undian Kejohanan Terbuka Johor, Syahir akan bertemu dengan Syed  Amiri. Syahir sudah mengenali Syed Amiri sejak zaman persekolahan lagi. Syed Amiri tidak menyenangi Syahir sejak dahulu dan selalu mencari peluang untuk menyakiti hatinya. Engku  Aiman, ketua jurulatih juga sering mencari kesalahan Syahir dan menyindirnya.

Syahir ke Johor Bahru walaupun agak risau akan kesihatan emaknya. Dia juga bimbang akan Haji Marzuki, iaitu jurulatihnya yang tidak dapat datang ke Johor Bahru kerana demam selesema. Syahir melayakkan diri ke peringkat suku akhir dan akan menentang Syed Amiri. Dr. Asyraf bertanyakan Syahir tentang hubungannya dengan seorang artis dan menghulurkan sebuah tabloid hiburan. Syahir terkejut apabila melihat gambarnya bersama-sama seorang artis wanita di halaman belakang tabloid itu. Syahir teringat akan peristiwa dia bergambar bersama-sama lima orang gadis termasuklah artis tersebut di lobi pejabat Azmie.

Syahir telah kalah dalam perlawanan peringkat suku akhir menentang Syed Amiri. Selain hilang tumpuan akibat terganggu oleh gosip yang tersiar dalam akhbar, dia terpaksa berdepan dengan keputusan pengadil yang berat sebelah. Kekalahan ini menyebabkan impian Syahir untuk menyertai Kejohanan Badminton Antarabangsa berkecai. Atas ketegasan Haji Marzuki, akhirnya Syahir telah terpilih untuk menggantikan Gopinath ke Jakarta. Hal ini demikian kerana, Gopinath telah cedera parah akibat kemalangan jalan raya.

Sehari sebelum berangkat ke Jakarta, emak Syahir telah diserang strok dan dimasukkan ke hospital. Syahir berada dalam dilema sama ada ingin berada di samping emaknya atau ke Jakarta. Kemudian, Kak Uda Syahrizah memberitahu Syahir bahawa keadaan emak mereka semakin stabil dan Kak Uda Syahrizah menyuruh Syahir ke Jakarta. Sebelum berangkat ke Jakarta, Syahir singgah di hospital untuk menziarahi dan memohon restu emaknya.

Kejohanan Badminton Antarabangsa dibuka secara rasmi pada hari Rabu. Pada permulaan perlawanan, Syahir, Kam Heng, Bernard, Syed Amiri, gandingan Wan Najhan-Boon Lee, Nik Shahnizam-Jian Hua, dan Siew Yai-Kim Seng telah menang. Pada hari berikutnya, Syahir telah menang dalam pertemuan dengan pemain dari China bernama Xiang Yimou. Para pemain dimestikan menjalani ujian air kencing yang diadakan secara tiba-tiba. Seterusnya, Syahir berjaya menewaskan Eddy Heryanto dan melayakkan diri ke peringkat suku akhir.  Walaupun sibuk, namun Syahir selalu menghubungi Kak Uda Syahrizah untuk bertanyakan

keadaan emaknya.

Setelah berjaya menewaskan Han Xuanze pada peringkat suku akhir dan lawan yang seterusnya terpaksa menarik diri akibat kecederaan betis, Syahir berjaya melangkah ke perlawanan akhir menentang Andri Mirnawan dari Indonesia. Haji Marzuki beberapa kali menjelaskan strategi yang dirangka olehnya kepada Syahir. Sebelum menghadapi perlawanan itu, Haji Marzuki memberitahu Syahir bahawa beliau sudah berjanji dengan pihak atasan yang beliau akan meletakkan jawatan sekiranya Syahir tidak menjuarai kejohanan antarabangsa itu. Syahir sangat terkejut, namun dia berjanji akan bermain dengan bersungguh-sungguh.

Perlawanan akhir bermula pada pukul 8.30 malam. Walaupun agak tertekan oleh denyutan pada bahagian sekitar pusatnya, namun Syahir memenangi set pertama. Konsentrasi Syahir terganggu dalam set kedua apabila pengadil perlawanan menerima kesaksian penjaga garisan. Syahir perlu menamatkan perlawanan dengan segera kerana dia berasa tidak berdaya untuk bertarung dalam set ketiga setelah beberapa kali terpaksa menahan kesakitan. Selepas menghadapi beberapa dugaan terhadap pengadilan, Syahir berjaya menewaskan Andri Mirnawan dengan taktik permainannya.

Semasa upacara penyampaian hadiah dan medal, kesakitan yang dialami oleh Syahir menyerang lagi dan dia hampir rebah. Syahir berjaya menjalani pembedahan akibat radang apendiks di Jakarta dan terlantar di hospital selama beberapa hari. Setibanya di Malaysia, Syahir melawat emaknya yang semakin stabil di hospital. Syahir memeluk dan mencium emaknya sambil menyerahkan medal kemenangannya. Abang Long Syahir mengucapkan tahniah kepada Syahir dan mengatakan bahawa keluarga sangat bangga akannya. Apabila Kak Ngah Syamilah bertanyakan rancangan Syahir seterusnya, Syahir menjawab bahawa dia akan menyertai Sukan Olimpik.

Tema

Tema novel Justeru Impian di Jaring  ialah ketabahan seorang pemain badminton dalam menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran sehingga meraih gelaran juara dunia. Syahir Ramzi, iaitu pemain badminton perseorangan negara menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan seperti kontroversi pemilihan pemain ke Kejohanan Badminton Antarabangsa, fitnah wanita yang mencemarkan imejnya, kebimbangan terhadap kesihatan emaknya, dan kekalahan pada peringkat suku akhir dalam perlawanan yang berat sebelah. Namun begitu, berkat kesabaran dan kesungguhannya, akhirnya Syahir memenangi Kejohanan Badminton Antarabangsa dan meraih gelaran juara dunia.

Persoalan

1. Semangat kerjasama dalam pasukan.

Syahir bekerjasama dengan Boon Lee, Bernard, Kam Heng, Gopinath, dan pemain-pemain lain dalam satu pasukan.

2. Sikap tanggungjawab dalam menjalankan tugas.

Haji Marzuki menjalankan tugas melatih pemain-pemain badminton perseorangan negara dengan penuh tanggungjawab.

3. Menegakkan syariat Islam dalam bidang sukan.

Syahir memakai pakaian mengikut syariat Islam termasuklah ketika menyertai pertandingan badminton pada peringkat antarabangsa.

4. Kasih sayang terhadap ibu.

Syahir sangat sayang dan mengambil berat terhadap emaknya. 5. Ketidakadilan dalam sesuatu perlawanan.

Syahir sangat marah apabila berlaku ketidakadilan dalam perlawanan badminton kejohanan Terbuka Johor.

6. Mengakui kesalahan diri.

Syahir meminta maaf daripada Wan Najlah yang mungkin tersinggung oleh kata-katanya. 7. Keazaman untuk mengharumkan nama negara dan agama.

Syahir berazam untuk meraih gelaran juara dunia dalam sukan badminton kerana ingin mengharumkan nama negara dan agama.

Plot

Binaan Plot

Peristiwa dalam novel Justeru Impian di Jaring disusun secara kronologi. 1. Permulaan

Pembaca diperkenalkan dengan watak Syahir yang merupakan pemain badminton perseorangan negara serta watak pemain-pemain skuad kebangsaan yang lain, seperti Wan Najhan, Boon Lee, Syed Amiri, Bernard, dan Kam Heng. Pembaca juga diperkenalkan dengan watak jurulatih kebangsaan, iaitu Haji Marzuki, Mas Suparman, dan Engku Aiman. Pada permulaan cerita, digambarkan semua pemain badminton skuad kebangsaan mendengar taklimat selepas sesi latihan berakhir di dewan latihan. Syahir digambarkan tidak berpuas hati kerana para pemain dikehendaki menyertai Terbuka Johor untuk melayakkan diri ke Kejohanan Badminton Antarabangsa yang akan diadakan di Jakarta.

2. Perkembangan

Peringkat perkembangan cerita bermula apabila Syahir teringat akan keluarganya serta abahnya  yang tidak suka akan penglibatannya dalam sukan badminton dengan alasan sukan akan mengganggu pelajaran. Akhirnya, abahnya akur akan keputusan Syahir untuk terlibat dalam sukan badminton apabila dia lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah. Namun begitu, abahnya berpesan agar dia memelihara syariat Islam dalam bersukan. Syahir telah meluahkan kekecewaannya kepada Haji Marzuki terhadap sikap dolak-dalik pihak atasan. Haji Marzuki menyuruh Syahir dan beberapa pemain lain bersabar. Syed Amiri yang dijangka akan bertemu dengan Syahir pada peringkat suku akhir di Terbuka Johor pula selalu menyindir dan menyakitkan hati Syahir. Semasa berada di pejabat Azmie, Syahir mendapat panggilan telefon daripada Wan Najhan yang mengatakan bahawa Wan Najlah membuat kejutan di kem latihan pemain wanita dengan memakai tudung dan seluar trek panjang. Kemudian, Syahir bergambar bersama-sama empat orang penuntut dari UITM serta seorang artis bernama Ratna. 3. Perumitan

Pada peringkat perumitan, Syahir pergi ke Johor Bahru untuk menyertai kejohanan Terbuka Johor dengan hati yang berat kerana emaknya sakit. Pada masa yang sama, Haji Marzuki juga tidak dapat bersama-samanya kerana menghidap demam selesema. Ketika berada di Johor, Dr. Asyraf bertanyakan hubungan Syahir dengan artis bernama Ratna dan menunjukkan tabloid hiburan  yang memaparkan gambarnya bersama dengan artis itu. Syahir telah tewas kepada Syed Amiri

dalam perlawanan suku akhir disebabkan terganggu oleh gosip tersebut serta pengadilan yang berat sebelah. Akibatnya, impian Syahir untuk menyertai Kejohanan Badminton Antarabangsa di Jakarta berkecai.

4. Klimaks

Gopinath telah cedera parah akibat kemalangan jalan raya. Haji Marzuki telah memilih Syahir untuk menggantikan Gopinath ke Jakarta. Syahir berasa bersyukur dengan pemilihan tersebut. Namun demikian, Syed Amiri dan Engku Aiman selalu menghina dan mengutuk Syahir. Sehari sebelum bertolak ke Jakarta, emak Syahir telah dimasukkan ke hospital akibat strok. Syahir berada dalam dilema sama ada ingin pergi ke Jakarta atau tidak. Dengan sokongan daripada Kak Uda Syahrizah, Syahir berlepas ke Jakarta. Syahir bertanding dengan beberapa orang pemain yang hebat dari luar negara. Akhirnya, Syahir melayakkan diri ke perlawanan akhir dan akan menentang pemain dari Indonesia, iaitu Andri Mirnawan. Haji Marzuki meletakkan pertaruhan yang tinggi terhadap kemenangan Syahir. Syahir bermain dengan bersungguh-sungguh walaupun mengalami kesakitan di bahagian sekitar pusat. Syahir juga tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan dalam perlawanan itu.

5. Peleraian

Pada peringkat peleraian, Syahir berjaya menewaskan Andri Mirnawan. Syahir berasa amat bersyukur atas kemenangan itu. Semasa upacara penyampaian hadiah dan medal, Syahir hampir rebah akibat kesakitan yang dialaminya menyerang lagi. Syahir menjalani pembedahan akibat radang apendiks di Jakarta dan terlantar di hospital selama beberapa hari. Setibanya di Malaysia, Syahir melawat emaknya yang semakin stabil di hospital dan menyerahkan medal kemenangannya. Ahli keluarganya mengucapkan tahniah dan mereka amat bangga akan Syahir. Kemudian, Syahir memberitahu keluarganya tentang rancangannya untuk menyertai Sukan Olimpik.

Dalam dokumen KOMSAS Tg 3.pdf (Halaman 40-43)

Dokumen terkait