• Tidak ada hasil yang ditemukan

BAB 2: SOROTAN LITERATUR

2.8 Analisis Sorotan Kajian

Bahagian ini akan membincangkan kesimpulan daripada sorotan yang telah dilakukan dan dihubungkan dengan lompang kajian yang terdapat dalam kajian terdahulu. Antara isu yang diketengahkan ialah program LINUS, pembelajaran bahasa, pengaplikasian kaedah belajar membaca, kelemahan dalam bacaan

Pertama, isu-isu yang diketengahkan dalam pendidikan pemulihan beberapa tahun belakangan ini adalah berkaitan program LINUS yang dijalankan di sekolah-sekolah. Program LINUS merupakan penambahbaikan kepada program pemulihan terdahulu (Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis) dan menyasarkan bahawa semua murid yang bukan kategori bermasalah pembelajaran mesti menguasai asas literasi dan numerasi selepas tiga tahun persekolahan. Melalui kajian yang telah disorot sebelum ini, terdapat tiga kajian dalam Malaysia tahun 2014 hingga 2016 menyentuh tentang program LINUS itu sendiri. Kajian-kajian tersebut adalah kajian yang dilakukan oleh Nazariyah Sani (2014), Siti Zulaiha Ahmad & Arifin Abdul Mutalib (2015), dan Norfairus Hadzir, Aimi Munirah Alias, Aimi Liyana Kamarudin, & Hanis Maisarah Mohd Yusof (2016). Berdasarkan kajian Nazariyah Sani ini, beliau mendapati bahawa program LINUS yang dilaksanakan mulai tahun 2010 ini masih gagal menyelesaikan masalah membaca dalam kalangan kanak-kanak pemulihan khas.

Siti Zulaiha Ahmad & Arifin Abdul Mutalib menjelaskan bahawa masalah penggunaan bahan bantu mengajar juga dinyatakan kerana pengajaran guru hanya bergantung pada buku latihan LINUS dan pengajaran LINUS biasa dalam kelas sahaja. Pada masa yang sama, kajian oleh Norfairus Hadzir, Aini Munirah Alias, Aina Liyana Kamarulzaman, dan Haniz Maisarah Mohd Yusof juga melihat persepsi guru semasa

University

97

menjalankan penilaian LINUS 2.0 bagi mata pelajaran bahasa Inggeris. Kajian ini juga telah menyentuh tentang masalah yang dihadapi oleh guru adalah berkaitan dengan pemahaman program LINUS sendiri, cara pengendalian program, dan kaedah penilaian yang dilakukan.

Seterusnya, Nurlaila Kuslan menjelaskan bahawa kekuatan program pemulihan khas bergantung kepada keupayaan guru mengaplikasikan kaedah atau pendekatan yang sesuai semasa mengajar kemahiran membaca. Pengajaran membaca perlu dijalankan secara berperingkat dimulakan dengan mengenal huruf dan menjalankan latih tubi membaca secara langsung atau tidak langsung. Abdull Sukor & Kalaidevi juga berpendapat bahawa pembelajaran secara berperingkat seperti yang terdapat dalam pembelajaran masteri membolehkan guru memantau kelemahan murid-murid pemulihan khas. Murid-murid yang tidak menguasai kemahiran yang diajarkan diberikan pembelajaran pemulihan, manakala murid-murid yang sudah menguasainya pula boleh menjalani aktiviti pengayaan. Pada masa yang sama, Manisah Muhammad Ali & Muhammad Nazeri berpendapat pembinaan bahan bacaan bergred sesuai bagi kanak-kanak pemulihan kerana bahan tersebut dibina berasaskan peringkat kesukaran yang dihadapi oleh mereka. Lompang kajian yang dilihat adalah berkaitan dengan pengujian keupayaan bacaan sebenar dalam kalangan kanak-kanak pemulihan khas. Subjek-subjek kajian diuji secara menyeluruh tahap keupayaan bacaan mereka daripada aspek huruf, bunyi dan sebutan, dan tatabahasa.

Kedua, isu yang dibincangkan berkaitan dengan pembelajaran bahasa kanak-kanak pemulihan ialah masalah pembelajaran bahasa. Perbincangan oleh Selvarajan & Vasanthagumar menyatakan bahawa kanak-kanak pemulihan mempunyai pencapaian yang tidak konsisten dalam pembelajaran kerana mempunyai keupayaan kognitif dan motivasi yang rendah sehingga mempengaruhi pencapaian mereka. Vijayalakshmi, Kumarasamy, & Thalavapalayam pula mendapati bahawa kanak-kanak pemulihan khas

University

98

ini sering kali dipengaruhi oleh bahasa ibunda mereka, rakan sebaya, persekitaran, dan sebagainya semasa mempelajari bahasa.

Ketiga, Coltheart & Prior telah menyentuh berkaitan pengaplikasian kaedah membaca yang sesuai kepada kanak-kanak pemulihan khas. Kaedah keseluruhan perkataan didapati kurang berkesan kerana kanak-kanak terpaksa meneka sesuatu perkataan berdasarkan bentuknya yang dibantu gambar. Situasi ini amat bertentangan dengan kaedah fonik sintetik yang memperkenalkan huruf dan suku kata terlebih dahulu. Feagens, Kainz, Amendum, Ginsberg, Wood, & Bock mendapati bahawa terdapat dua aras kesukaran bacaan, iaitu kesukaran aspek fonologi atau fonemik serta keupayaan menamakan secara tepat dan cepat. Kesannya, kanak-kanak boleh mendikod perkataan dengan baik tetapi bermasalah dengan kelajuan serta kelancaran bacaan.

Dalam aspek kesukaran bacaan pula, Nur Laila Kuslan menyenaraikan 14 jenis kelemahan yang dihadapi oleh kanak-kanak ini semasa membaca huruf, suku kata, dan perkataan. Mereka didapati belum mengenali semua nama dan bentuk huruf, serta keliru dengan nama huruf besar dan kecil yang seakan-akan sama bentuknya. Vikneswari pula mendapati kanak-kanak pemulihan khas keliru dengan huruf-huruf kecil yang seakan-akan sama bentuknya dan tidak mengenali semua huruf sepenuhnya terutamanya huruf besar. Kavitha pula menyatakan bahawa kesilapan yang dilakukan oleh kanak-kanak semasa membaca ialah salah mengeja dan menggabung, membaca, dan membunyikan suku kata tertutup, gabungan, diftong, digraf, dan sebagainya. Kesukaran mengeja perkataan dengan suku kata tertutup pula memang menjadi masalah utama dalam kalangan kanak-kanak pemulihan khas, terutamanya yang melibatkan suku kata tertutup KV+KV+KV.

Perbincangan berkaitan dapatan-dapatan kajian lalu menyimpulkan bahawa masalah bacaan yang ditunjukkan oleh kanak-kanak pemulihan khas memerlukan bahan

University

99

bantu mengajar (BBM) yang dapat mengatasi masalah bacaan. Pembinaan Kit Asas Membaca dapat membantu subjek kajian dapat aspek asas bacaan yang meliputi keupayaan mengenal pasti huruf, membunyikan bunyi dan suku kata, serta konteks tatabahasa. Perbincangan tentang kajian lalu ini kebanyakannya berfokus kepada masalah bacaan yang dihadapi oleh kanak-kanak pemulihan khas sahaja. Ada sesetengah kajian yang melibatkan proses pembinaan bahan-bahan pengajaran tetapi jumlahnya sangat terhad. Bahan-bahan pengajaran yang dibina pula didapati tidak merangkumi aspek penting bacaan dan hanya berfokus kepada satu-satu kemahiran sahaja. Dalam konteks kajian ini, kemahiran bacaan yang dapat diajarkan kepada kanak-kanak pemulihan khas meliputi tiga perkara, iaitu huruf, bunyi dan sebutan, dan konteks tatabahasa.

2.9 Rumusan

Secara keseluruhannya, bab ini membincangkan mengenai kajian-kajian yang telah dijalankan oleh pengkaji-pengkaji sepuluh tahun belakangan ini. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa isu yang wujud dalam pendidikan pemulihan seperti isu program LINUS, masalah yang dihadapi dalam menjalankan penilaian Ujian LINUS, isu guru, dan sebagainya. Isu-isu ini didapati mempunyai hubungan dalam kualiti pendidikan pemulihan khas. Perbincangan dalam bab ini menyimpulkan bahawa terdapat beberapa kekangan dalam pembelajaran pendidikan pemulihan itu sendiri seperti pengaplikasian teknik, pendekatan, kaedah, dan penggunaan Bahan Bantu Mengajar (BBM) yang sesuai. Oleh itu, bagi mengisi lompang kajian ini, pembinaan Kit Asas Membaca merupakan salah satu alternatif membantu menyelesaikan isu BBM dalam kelas pemulihan khas.

University

100