• Tidak ada hasil yang ditemukan

Faktor-Faktor Penyebab Masalah Penguasaan Pembelajaran

BAB 2: SOROTAN LITERATUR

2.3 Perkembangan Pendidikan Pemulihan Khas di Malaysia Selepas Tahun

2.4.1 Faktor-Faktor Penyebab Masalah Penguasaan Pembelajaran

Kanak-kanak yang belajar dalam sebuah kelas adalah berbeza daripada segi minat, kebolehan, dan bakat. Kadar keupayaan seseorang kanak-kanak dalam menanggapi pembelajaran juga berbeza kerana wujudnya golongan yang cepat dan lambat semasa menerima pembelajaran. Kanak-kanak pemulihan khas yang lambat menerima pembelajaran juga tidak terkecuali dalam hal ini. Dalam membincangkan faktor-faktor masalah penguasaan pembelajaran, pengkaji-pengkaji sebelum ini seperti Duncan (1953), Abraham (1964), Sharifah Alwiah Alsagoff (1983), Mok (1990), Koh (1992), Syed Abu Bakar Syed Akil (1997), dan Ee (1998) telah memberikan pandangan masing-masing mengenai isu ini.

Berdasarkan pandangan pengkaji tersebut, dapat disimpulkan bahawa terdapatnya tiga faktor utama yang menyebabkan kanak-kanak pemulihan khas mundur dalam pembelajaran. Faktor-faktor tersebut adalah disebabkan oleh faktor mental, fizikal, dan sosial. Faktor-faktor mental adalah disebabkan oleh masalah intelektual (Duncan 1953, p.18-19), keupayaan mental terhad (Abraham 1964, p.6-7), kecerdasan akal yang disebabkan masalah penerimaan kadar pembelajaran dan arahan sendiri (Sharifah Alwiah Alsagoff 1983, p.382-383), faktor kurang kecerdasan (Mok 1990, p.10-11), otak yang tidak berfungsi dengan betul dan sempurna dan kecacatan semasa dilahirkan atau kemalangan (Syed Abu Bakar Syed Akil 1997, p.12), dan kesulitan semasa dilahirkan, kecederaan akal, dan penyakit berkaitan otak (Ee 1998, p.170-171). Pada masa yang sama, faktor yang dikaitkan dengan mental ini juga dibahagikan pula kepada tiga kategori, iaitu ketidakupayaan yang bersifat semula jadi, disebabkan kaedah kelahiran, dan semasa fasa perkembangan.

University

37

Ketidakupayaan mental yang berlaku secara semula jadi ini pula disebabkan oleh warisan baka atau keturunan ibu bapa (Mok 1990, p.10). Dalam hal ini, warisan baka ini berlaku apabila wujudnya penerimaan baka yang cacat dan kecacatan genetik ini menyebabkan otak seseorang kanak-kanak tidak berfungsi dengan betul dan sempurna (Syed Abu Bakar Syed Akil 1997, p.12). Ibu bapa dikatakan sebagai pembawa baka keterhadan intelektual dan kerosakan genetik ini berpunca daripada pengambilan ubat-ubatan, pencegahan kehamilan, diet, atau pembedahan (Abraham 1964, p.7). Warisan baka yang bermasalah ini juga adakalanya tidak dapat diperhatikan dalam kelainan bentuk fizikal dan ada kanak-kanak mendapat penyakit seperti phenylketonuria, hypothyroidism, dan sebagainya selepas beberapa tahun kelahiran.

Situasi ini dikukuhkan lagi melalui kajian Eames (1960, p.33) yang mengaitkan masalah neurologi dan endokrinologi sebagai penyebab kanak-kanak lemah dalam menerima pembelajaran dan Pendfield’s & Roberts (1959, p.1719-1725) yang mengaitkan masalah memori dalam ketidakupayaan semula jadi kanak-kanak yang lambat belajar. Seterusnya, ketidakupayaan selepas dilahirkan ini dikatakan berpunca daripada kelahiran tidak normal atau kelahiran tidak cukup bulan (Mok, 1990 p.10) dan penggunaan alat-alat untuk mengeluarkan bayi atau kekurangan oksigen (anoxia dan hypoxia) semasa kelahiran (Ee 1998, p.170-171). Semasa fasa-fasa perkembangan seseorang kanak-kanak kecederaan yang berlaku seperti kemalangan atau terjatuh dari tempat tinggi dan bengkak pada kawasan otak disebabkan oleh demam panas.

Faktor kedua yang dikaitkan dengan masalah penguasaan pembelajaran adalah faktor fizikal adalah masalah penglihatan, pendengaran, pertuturan, dan saraf (Sharifah Alwiah Alsagoff 1983, p.375-376; Ee 1998, p.168-170; & Mok 1990, p.11-12). Masalah penglihatan, misalnya dikaitkan dengan masalah rabun jauh (miopia), rabun dekat (hyperopia), kecacatan kornea, dan saiz biji mata yang tidak sama. Masalah penglihatan ini menyebabkan seseorang kanak-kanak tidak dapat memfokuskan

University

38

penglihatan mereka kepada bahan pembelajaran. Bahan-bahan pembelajaran seperti tulisan tidak dapat dilihat dengan jelas dan kabur. Keadaan ini menyebabkan kanak-kanak mengelakkan diri daripada membaca, membuat kerja sekolah, dan tugasan yang berjarak dekat (Sharifah Alwiah Alsagoff 1983, p.377-378). Kanak-kanak ini juga selalunya menunjukkan keadaan mata berair, bengkak, dan sebagainya. Mereka juga menunjukkan tingkah laku seperti menjenguk ke hadapan, suka menggosok mata, dan pergerakan yang terlalu kerap semasa membaca (Ee 1998, p.169).

Faktor fizikal juga dikatakan dapat dikaitkan dengan keadaan kesihatan murid itu sendiri (Mok 1990, p.11). Kanak-kanak yang kurang sihat selalunya mudah diserang pelbagai jenis penyakit dan kerap tidak hadir ke sekolah. Mereka sering kelihatan tidak bermaya dan tidak bertenaga ketika semasa di sekolah. Keadaan fizikal yang sering kelihatan ini dikaitkan dengan makanan dan pemakanan yang tidak sempurna (Syed Abu Bakar Syed Akil 1997, p.12). Keadaan kekurangan zat ini sering kali dikaitkan dengan kecerdasan, kadar penerimaan pembelajaran, tingkah laku dan personaliti seseorang kanak-kanak seperti yang dinyatakan oleh Martin & Stendler (1959), iaitu “Behaviour and personality are related both to rate of development, or developmental status, to physique and size” (Martin & Stendler 1959, p.472).

Faktor ketiga yang menyebabkan kanak-kanak bermasalah menguasai pembelajaran adalah faktor sosial. Faktor sosial ini merupakan faktor dominan mengaitkan kanak-kanak pemulihan khas dengan kesukaran dalam penguasaan kemahiran 3M (membaca, menulis, dan mengira) (Jabatan Pendidikan Khas 2008, p.6). Faktor ini pula dibahagikan kepada faktor sosio-ekonomi dan sosio budaya. Faktor sosio ekonomi termasuklah keadaan kemiskinan, persekitaran, serta pengajaran dan pembelajaran (Duncan 1953, p.12-18; Abraham 1964, p.8-11; Ee 1998, p.168, & Koh 1992, p.14). Keadaan kemiskinan dikaitkan dengan sekatan persekitaran yang tidak menggalakkan pembelajaran seperti tidak mempunyai buku-buku rujukan, bahan

University

39

pembelajaran, dan tempat yang selesa untuk belajar (Koh 1992, p.14 & Duncan 1953, p.13-15).

Kekurangan ini menyebabkan kanak-kanak tidak mempunyai pengalaman menamakan, membandingkan, dan mengaitkan bahan-bahan pembelajaran yang dimiliki di rumah dengan pembelajaran di sekolah. Dalam hal ini, Koh (1992) mengaitkan sekatan ini dan kesannya kepada keupayaan membaca kanak-kanak yang disifatkannya sebagai kanak-kanak kurang beruntung (p.14-15). Beliau telah membandingkan kosa kata yang dimiliki oleh kanak-kanak dengan taraf sosio-ekonomi rendah dengan kanak-kanak kelas sederhana. Kanak-kanak daripada kelas sosio-ekonomi yang rendah dikatakan mempunyai kosa kata yang bersifat sehala dan terarah kepada konteks tertentu sahaja. Jika dibandingkan dengan kanak-kanak daripada kelas sederhana mempunyai kosa kata yang tidak terbatas kepada sesuatu konteks sahaja. Situasi ini tentunya akan mempengaruhi keupayaan belajar kerana ada kosa kata yang digunakan mungkin tidak pernah didengar sebelum ini dan tidak pula difahami maksudnya.

Masalah ketidaksesuaian pengajaran dan pembelajaran juga dikatakan berpunca daripada kurikulum yang kurang sesuai dengan perkembangan kognitif kanak-kanak, strategi dan kaedah yang kurang sesuai, dan bahan pelajaran yang disediakan kurang menarik minat murid-murid (Mok 1990, p.9). Kanak-kanak yang merasakan bahawa kaedah pengajaran dan pembelajaran yang kurang menarik minat mereka juga mungkin tidak suka untuk ke sekolah dan situasi ini membawa kepada masalah ketidakhadiran yang kerap (Abraham 1964, p.9). Ketidakhadiran yang kerap membawa kepada masalah keciciran dalam pembelajaran kerana kanak-kanak tertinggal pelajaran yang diajar di dalam kelas. Duncan (1953) pula menyatakan bahawa mengajar sesuatu kemahiran sebelum masanya juga boleh menyebabkan pembelajaran menjadi kurang bermakna (p.17). Dalam situasi ini, kaedah pembelajaran yang terlalu bersifat analitikal

University

40

menyebabkan kanak-kanak sukar mengaitkan pembelajaran baru dengan pengalaman sedia adanya. Hal ini demikian kerana pembelajaran yang berkesan adalah berlaku secara semula jadi apabila kanak-kanak didedahkan dengan keseluruhan masalah dengan kesukaran dalam lingkungan keupayaannya.

Berdasarkan faktor-faktor yang dinyatakan tadi, masalah penguasaan pembelajaran dapat disimpulkan sebagai sesuatu yang kompleks. Faktor-faktor ini boleh wujud secara bersendirian atau gabungan daripada ketiga-tiga faktor yang dinyatakan di atas. Dalam hal ini, guru yang cekap dapat mengesan ketidakupayaan seseorang kanak-kanak dan jenis masalah yang dihadapinya. Faktor-faktor di atas juga boleh dijadikan panduan kepada guru untuk mengubah kaedah pengajaran berdasarkan keupayaan seseorang kanak-kanak atau merancang kaedah pemulihan yang bersesuaian dengan jenis masalah yang dihadapi. Jika kelemahan kanak-kanak dalam pembelajaran tidak mampu dipulihkan, guru-guru perlu merujuk mereka kepada pakar atau pengamal perubatan yang boleh mengesahkan ketidakupayaan kanak-kanak tersebut secara klinikal. Melalui pengesahan tersebut, jenis-jenis pendidikan yang sesuai, sama ada pendidikan pemulihan atau pendidikan khas dapat diberikan kepada mereka.