• Tidak ada hasil yang ditemukan

METODOLOGI KAJIAN

3.4 INSTRUMEN KAJIAN

3.4.1 Instrumen Fasa Pertama

Fasa pertama kajian ini menggunakan satu set instrumen Kepintaran Emosi Malaysia- Dewasa (IKEM-D) atau Malaysian Emotional Quotient Inventory-Adult (MEQI-A) yang dibina oleh Noriah et al. (2004). Noriah et al. telah membina instrumen ini daripada tahun 2002, dan telah mengalami beberapa kali revisi, sehingga tahun 2007. Instrumen berkenaan dimulakan dalam bentuk kertas dan pensil dengan jumlah item yang agak banyak (263 item), dan setelah mengalami beberapa kali revisi akhirnya jumlah item telah berkurang menjadi 182 item serta tersedia dalam dua pilihan, iaitu dalam bentuk kertas dan pensil dan di atas talian yang boleh dijawab secara online. Sehingga sekarang instrumen ini telah diterjemahkan ke dalam lima bahasa, iaitu

bahasa Inggeris, bahasa Mandarin, Bahasa Korea, bahasa Arab dan bahasa Indonesia. Termasuk bahasa Melayu, maknanya instrumen tersebut telah tersedia dalam enam bahasa.

Instrumen ini telah dinilai di peringkat Universiti, peringkat kebangsaan dan beberapa kali di peringkat antarabangsa. Hasil penilaian tersebut, masing-masing memperolehi pingat emas di peringkat Universiti tahun 2004, pingat perak di peringkat kebangsaan tahun 2005, mendapat anugerah hasil penyelidikan terbaik kategori sains sosial di peringkat antarabangsa di Seoul Korea Selatan pada tahun 2006, dan memperolehi pingat perak pada pertandingan hasil penyelidikan peringkat antarabangsa ”ITEX” di Kuala Lumpur pada tahun 2008. Instrumen ini juga telah dipamerkan oleh UKM sebagai hasil inovasi penyelidikan yang memiliki nilai komersial yang tinggi pada tahun 2008 di Geneva dan April 2009 di Jerman.

Instrumen tersebut telah dibangunkan melalui peruntukan projek IRPA (International Research Priority Area) yang ditaja oleh Kementerian Alam Sekitar Malaysia pada tahun 2002. Kajian awal pembinaan instrumen berkenaan diasaskan kepada konsep EQ yang dicadangkan oleh Goleman (1995) yang mengandungi lima domain EQ iaitu, kesedaran kendiri, regulasi kendiri, motivasi kendiri,empati dan kemahiran sosial. Bagaimanapun setelah kajian dijalankan kepada seluruh penjawat Awam di Malaysia, seperti polis, pegawai penjara, pegawai imegresyen dan juru rawat, dapatan kajian menunjukkan wujudnya penambahan dua domain EQ baru yang dinyatakan oleh masyarakat tempatan, iaitu kerohanian dan kematangan. Maka pembinaan instrumen EQ tersebut telah dibuat berdasarkan tujuh domain EQ mengikut konteks tempatan.

Instrumen ini terdiri dari dua bahagian utama iaitu (i) bahagian maklumat dan latar belakang responden, seperti umur, jantina, organisasi dan pengalaman bekerja. (ii) bahagian kedua adalah pernyataan-pernyataan yang mengukur setiap domain dan sub domain EQ seperti yang dinyatakan oleh Goleman-Noriah et al. (2004), iaitu kesedaran kendiri, regulasi kendiri, motivasi kendiri, empati, kemahiran sosial, kerohanian dan kematangan. Untuk menjadikan instrumen ini lebih berkesan, cara pengukurannya telah dipecahkan kepada dua bahagian iaitu, pengukuran dalam bentuk

pernyataan persepsi dan pengukuran dalam bentuk pernyataan prestasi ataupun pencapaian (performance test). Bagaimanapun, secara keseluruhan domain dan sub domain EQ tersebut lebih banyak diukur melalui penyataan-pernyataan persepsi. Sedangkan pernyataan-pernyataan berbentuk pencapaian digunakan untuk membantu penyelidik memastikan sama ada subjek kajian menjawab instrumen tersebut dengan betul ataupun secara sambil lewa. Daripada tujuh domain EQ yang dikenal pasti oleh Noriah et al. (2004) hanya empat domain sahaja (kesedaran kendiri, regulasi kendiri, motivasi kendiri dan empati) yang diukur melalui pernyataan persepsi dan pencapaian tersebut. Sedang tiga domain yang lain (kemahiran sosial, kerohanian dan kematangan) hanya diukur melalui pernyataan-pernyataan dalam bentuk persepsi (Rujuk myeq.net.my).

Item-item yang dinyatakan dalam bentuk persepsi, direspons oleh subjek kajian melalui skala likert lima-mata, iaitu 1- Sangat Tidak Setuju, 2- Tidak Setuju, 3- Tidak Pasti, 4- Setuju dan 5- Sangat Setuju. Setiap item yang dinyatakan merujuk kepada perasaan dan tingkah laku peribadi subjek yang menjawab instrumen tersebut. Tiada jawapan benar dan salah pada setiap pernyataan yang diberikan, yang pentingnya adalah subjek mestilah menjawab secara ikhlas dan jujur setiap pernyataan yang diberikan.

Sedangkan bahagian pencapaian pula dinyatakan melalui dua keadaan, iaitu soalan terbuka (open ended question) dan dalam bentuk senario (seperti foto emosi, gambar/lanskap dan maze). Subjek memberikan maklumbalas mereka terhadap soalan terbuka, foto/gambar dan maze tersebut sesuai dengan apa yang dirasainya apabila melihat senario yang dinyatakan. Contoh soalan terbuka, dinyatakan dalam situasi pelbagai “mengapa saya perlu mengetahui perasaan saya sendiri?” subjek akan menjawab secara bertulis dalam bentuk tindak balas dengan menyatakan alasan kenapa dirinya perlu mengawal perasaan sendiri. Untuk foto dan gambar/landskap, subjek disuguhkan dengan contoh foto-foto dan gambar/landskap dengan warna semula jadi. Subjek diminta memberikan maklumbalas mereka sesuai dengan skala yang diberikan apabila melihat foto dan gambar/landskap tersebut. Contoh subjek diberikan contoh foto wajah seorang perempuan dalam keadaan murung, subjek akan menyatakan

maklumbalas mereka terhadap foto tersebut (1- tidak sedih, 2- sedikit sedih, 3- tidak pasti, 4- sedih dan 5- sangat sedih).

Demikian juga dengan gambar/landskap, subjek ditunjukkan contoh pemandangan sebuah pulau yang indah di tengah laut, kemudian mereka akan memberikan respons bagaimana keamatan perasaan yang dialami oleh dirinya (1- sangat rendah, 2- rendah, 3- tidak pasti, 4- tinggi dan 5- sangat tinggi). Sedangkan untuk bahagian maze pula (jalan berliku) subjek diberikan bentuk maze yang paling mudah sehingga bentuk maze yang paling sukar. Di tengah-tengah maze tersebut terdapat satu benda yang perlu dikeluarkan mengikut liku-liku jalan sesuai dengan maze yang disediakan. Subjek diminta untuk mencari jalan keluar yang betul dengan cara memberikan coretan pada jalan keluar yang mereka kenal pasti, seterusnya subjek diminta untuk menandakan tahap motivasi dirinya ketika mencari jalan keluar tersebut (1-sangat rendah, 2- rendah, 3- sederhana, 4- tinggi dan 5- sangat tinggi).

Seperti dinyatakan pada perenggan sebelumnya, instrumen ini mengukur tujuh domain EQ iaitu kesedaran kendiri, regulasi kendiri, motivasi kendiri, empati, kemahiran sosial, kerohanian dan kematangan. Terdapat empat bahagian item pada domain kesedaran kendiri, iaitu (i) kesedaran emosi, ii) penilaian kendiri yang tepat, (iii) keyakinan diri dan (iv) kejujuran. Terdapat lima bahagian item pada domain regulasi kendiri, iaitu (i) kawalan kendiri, (ii) kebolehpercayaan, (iii) responsibility, (iv) kebolehsuaian dan (v) inovasi. Terdapat empat bahagian item pada domain motivasi kendiri, iaitu (i) dorongan pencapaian, (ii) komitmen, (iii) (inisiatif dan (iv) minat. Bagi domain empati pula terdapat tujuh bahagian item iaitu (i) memahami orang lain, (ii) membantu orang lain, (iii) leveraging diversity, (iv) berorientasi perkhidmatan, (v) mengembangkan potensi orang lain, (vi) kesedaran politik, dan (vii) perasaan kasih sayang. Bagi domain kemahiran sosial pula terdapat 8 bahagian item iaitu (i) mempengaruhi orang lain, (ii) pengurusan konflik, (iii) kepemimpinan, (iv) pemangkin perubahan, (v) menjalin hubungan, (vi) kerjasama, (vii) keupayaan dalam kerja berpasukan, dan (viii) komunikasi. Sedangkan untuk domain kerohanian (spiritualiti) dan kematangan (maturity) tidak terdapat bahagian-bahagian item seperti lima domain EQ sebelumnya.

i. Bahagian Kesedaran Kendiri

a. Item-item bahagian kesedaran emosi mengukur sejauh mana subjek peka terhadap emosi yang wujud di dalam dirinya. Contoh: “saya boleh memaafkan diri sendiri setelah melakukan kesilapan”.

b. Item-item bahagian penilaian kendiri yang tepat pula mengukur ketepatan subjek menilai kekuatan dan kelemahan diri sendiri. Contoh: “kesilapan yang saya lakukan tidak memberi kesan berpanjangan terhadap perasaan saya”.

c. Bahagian keyakinan diri pula mengukur tentang sejauh mana subjek merasa yakin dengan dirinya sendiri. Contoh: “Saya tidak malu memberikan pandangan walaupun berbeza daripada orang lain”.

d. Sedangkan bahagian kejujuran pula melihat sejauh mana subjek dapat melihat perubahan perasaan yang berlaku di dalam dirinya. Contoh: “saya dapat merasakan perubahan perasaan apabila melakukan sesuatu dengan tujuan tertentu”.

ii. Bahagian Regulasi Kendiri

a. Item-item bahagian kawalan kendiri adalah melihat kekuatan subjek mengawal pelbagai emosi negatif yang muncul di dalam dirinya. Contoh:“Saya tidak mudah tersinggung apabila orang lain mengata saya”.

b. Bahagian kebolehpercayaan, menilai kejujuran dan integriti diri responden. Contoh: “Saya sentiasa menepati waktu temu janji ”.

c. Bahagian responsibility mengukur sikap dan rasa tanggungjawab yang dimiliki oleh subjek . Contoh: “Saya akan menyelesaikan semua tugasan dengan sempurna”.

d. Bahagian kebolehsuaian diri adalah menilai tentang kemampuan subjek dalam menyesuaikan diri dalam sesuatu keadaan. Contoh: “Saya boleh menyesuaikan diri dengan mudah dalam pelbagai situasi”.

e. Bahagian inovasi pula menilai tentang keupayaan subjek dalam menerima sesuatu perubahan inovasi. Contoh: ”Saya sentiasa bersikap terbuka kepada idea baru”.

iii. Bahagian Motivasi Kendiri

a. Item-item bahagian dorongan pencapaian mengukur tentang kekuatan dorongan subjek untuk mencapai kecemerlangan. Contoh: “Saya sentiasa memastikan prestasi saya di tahap cemerlang”.

b. Bahagian komitmen mengukur kesepaduan keupayaan subjek untuk menjaga dan melakukan sesuatu komitmen yang diberikan kepadanya. Contoh: “Saya akan menyiapkan semua tugasan sehingga selesai”.

c. Bahagian inisiatif mengukur tentang kesediaan subjek untuk merebut peluang yang ada. Contoh: “ Saya suka menawarkan diri untuk mengikuti kursus-kursus yang boleh meningkatkan kecemerlangan saya”.

d. Bahagian minat pula menilai tentang minat yang ada pada diri subjek dalam menjalankan sesuatu tugas. Contoh: “Saya tidak cepat bosan bila melakukan sesuatu tugasan”.

iv. Bahagian Empati

a. Item-item bahagian memahami orang lain mengukur sejauh mana subjek dapat mengesan dan memahami perasaan orang lain dengan tepat. Contoh: “Saya tahu apabila seseorang cuba menyembunyikan perasaannya.”

b. Membantu orang lain mengukur sejauhmana subjek dapat memberikan pertolongan kepada orang lain. Contoh: “Saya akan membantu orang lain belajar menyelesaikan masalah mereka.”

c. Bahagian leveraging diversity menilai keupayaan subjek mewujudkan peluang- peluang daripada pelbagai keadaan. Contoh: “Saya cuba membina persekitaran yang selesa apabila melakukan sesuatu tugasan bersama rakan-rakan”.

d. Bahagian berorientasikan perkhidmatan mengukur tentang keupayaan subjek dalam menjangka, mengenal pasti dan memenuhi keperluan orang lain. Contoh: “Saya gembira apabila orang berpuas hati dengan pertolongan saya ”.

e. Bahagian mengembangkan potensi orang lain adalah menilai kebolehan subjek dalam mengesan dan mengembangkan potensi yang dimiliki oleh orang lain. Contoh: “Saya suka membantu orang lain yang ingin berubah”.

f. Bahagian kesedaran politik mengukur kebolehan subjek dalam membaca sesuatu keadaan, dan dapat mengenal pasti pihak yang berpengaruh dalam kumpulan tersebut. Contoh: “Saya tahu siapa yang paling berpengaruh dalam kalangan rakan-rakan”.

g. Bahagian penyayang ataupun caring menilai sejauh mana subjek dapat berinteraksi dengan orang lain dengan perasaan kasih sayang yang tulus dan ikhlas. Contoh: “ Saya tidak suka melihat orang lain menderita”.

v. Bahagian Kemahiran Sosial

a. Item-item bahagian mempengaruhi orang lain mengukur tentang kemahiran subjek dalam mempengaruhi orang lain secara berhemah dan berkesan. Contoh: “Rakan-rakan tidak pernah menolak pandangan saya”.

b. Bahagian pengurusan konflik menilai kebolehan subjek dalam menyelesaikan konflik yang dihadapi oleh orang lain. Contoh: “Saya cuba mewujudkan situasi dimana semua individu yang berkonflik akan mendapat faedah bersama ”.

c. Bahagian kepemimpinan mengukur tentang keupayaan subjek dalam membimbing individu dan kumpulan ke arah kecemerlangan. Contoh: “Saya mencari kaedah yang paling sesuai untuk membantu rakan-rakan menyelesaikan sesuatu tugas yang sukar”.

d. Bahagian pemangkin perubahan mengukur tentang keupayaan subjek dalam memulakan sesuatu perubahan. Contoh: “Saya tahu apa yang perlu diubah untuk meningkatkan kecemerlangan diri”.

e. Bahagian menjalin hubungan mengukur kebolehan subjek dalam membina hubungan yang berkesan dengan orang lain. Contoh: “Saya mudah membina hubungan mesra dengan siapa sahaja”

f. Bahagian kerjasama mengukur tentang kemampuan subjek dalam membina kerjasama dalam satu pasukan. Contoh: “Saya boleh melakukan aktiviti berkumpulan dengan sesiapa sahaja”.

g. Bahagian keupayaan berpasukan mengukur tentang keupayaan subjek dalam mewujudkan kerjasama berpasukan yang efektif dalam mewujudkan matlamat

sesebuah organisasi. Contoh: “Saya boleh mewujudkan semangat kerjasama dalam kalangan rakan-rakan”.

h. Bahagian komunikasi menilai tentang kemahiran subjek dalam berkomunikasi dengan orang lain. Contoh: “Saya sedia mendengar pandangan orang lain”.

vi. Bahagian Spiritualiti/Kerohanian

Item-item bahagian kerohanian ini adalah mengukur tentang tahap kerohanian yang wujud dalam diri subjek. Contoh: “Saya suka melihat orang lain berjaya”.

vii. Bahagian Kematangan

Item-item bahagian ini adalah untuk mengukur tentang kemahiran subjek dalam menjadikan pengalaman yang pernah dialami untuk meningkatkan kematangan hidup mereka. Contoh: “Saya banyak belajar dari kesukaran hidup yang pernah dialami”.