• Tidak ada hasil yang ditemukan

METODOLOGI KAJIAN

3.3. SUBJEK KAJIAN

Fasa pertama kajian ini melibatkan guru-guru yang berkhidmat di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia, yang sedang melanjutkan pendidikan peringkat Master dan doktor falsafah di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Fasa kedua melibatkan lapan orang pakar (pakar psikologi/kaunseling, pakar agama, pakar pendidikan orang dewasa, dan 24 orang-orang yang berjaya dalam kerja yang mereka ceburi. Pemilihan pakar dan orang-orang berjaya tersebut secara terperinci dibincangkan selepas ini. Manakala fasa ketiga pula melibatkan sekumpulan guru-guru yang dipilih daripada kumpulan guru-guru yang terlibat pada fasa pertama kajian ini.

3.3.1 Subjek Kajian Fasa Pertama

Fasa pertama kajian ini melibatkan 112 orang guru yang berkhidmat di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia, yang sedang melanjutkan pendidikan Master dan doktor falsafah di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Memandangkan kajian ini merupakan kajian awal dalam pembinaan modul EQ untuk guru-guru, maka kajian ini cuba dijalankan dalam skala yang tidak terlalu besar, kerana hasil kajian ini bukannya untuk tujuan generalisasi kepada seluruh guru-guru di Malaysia, tetapi untuk mendapatkan gambaran tentang kompetensi asas EQ yang perlu diberikan intervensi dalam kalangan guru-guru yang terlibat dalam kajian ini. Berdasarkan kompetensi asas EQ yang diperolehi, pengkaji cuba memikirkan bentuk modul EQ yang sesuai digunakan dalam intervensi EQ bagi guru-guru berkenaan, yang boleh dikembangkan oleh pengkaji selepas ini kepada skop yang lebih besar. Harapan pengkaji adalah apabila pembinaan modul ini berjaya dilakukan, pengkaji berikutnya dapat menguji keberkesanan modul yang dihasilkan untuk tujuan latihan EQ dalam kalangan guru-guru. Satu perkara lagi yang memotivasikan pengkaji melibatkan guru- guru ini ialah kerana mereka datang daripada pelbagai sekolah di bawah Kementerian Pelajaran yang tersebar hampir seluruh Malaysia. Kepelbagaian ini dijangkakan dapat memberikan data yang komprehensif yang dapat menggambarkan kompetensi asas EQ guru-guru tersebut. Perkara ini sangat penting untuk panduan dalam pembinaan modul EQ yang menjadi tujuan utama kajian ini.

Menurut Krejcie dan Morgan (dlm Wiersma 2000) semakin besar saiz populasi semakin besar pula saiz dan nisbah sampel yang diperlukan untuk mewakili populasi tersebut. Beliau telah memberikan satu panduan bagi menentukan jumlah sampel yang sesuai dalam sesebuah kajian. Sampel seramai 384 orang adalah mencukupi untuk populasi 100,000 orang dan seterusnya. Neuman (2000) juga menyatakan bahawa 300 orang subjek (lebih kurang 30 peratus) daripada populasi yang berjumlah 1000 orang adalah mencukupi untuk mendapat ketepatan yang sesuai dalam sesebuah kajian. Manakala menurut Wiersma (2000) pula menyatakan bahawa saiz sampel antara 200- 500 responden adalah memadai untuk menjalankan sesebuah kajian. Bagaimanapun, untuk tujuan kajian ini pengkaji tidak mengambil kira nisbah pengambilan subjek kajian seperti yang dicadangkan oleh pakar-pakar tersebut, kerana kajian ini tidak bertujuan untuk membuat generalisasi kepada seluruh populasi guru di Malaysia. Walaubagaimanapun pengkaji cuba mendapatkan jumlah subjek yang bersesuaian untuk mendapatkan data yang komprehensif bagi tujuan pembinaan modul latihan EQ. Pemilihan 112 orang guru seperti yang dinyatakan di atas telah dilakukan menggunakan kaedah sampel bertujun (porposive sampling), iaitu teknik pemilihan subjek dengan cara mengambil kira ciri-ciri tertentu. Ciri-ciri dimaksudkan di sini adalah subjek yang dipilih diandaikan dapat memberikan data yang komprehensif untuk kajian ini.

3.3.2 Subjek Kajian Fasa Kedua

Pada fasa kedua (kajian kes) pula pemilihan subjek merujuk kepada “social situation” (Sugiono 2005). Situasi sosial ini merujuk kepada tempat (place), pelaku (actors) dan aktiviti (activity) yang berinteraksi secara bersinergi. Situasi sosial di dalam kajian ini merujuk kepada situasi sekolah, aktornya adalah guru-guru dan aktivitinya adalah pendidikan. Walaubagaimanapun, untuk tujuan mendapatkan data yang komprehensif dan berkualiti, pengkaji tidak mengambil guru-guru sepenuhnya, tetapi juga melibatkan pakar dan orang-orang yang dianggap berjaya untuk berkongsi pengalaman dalam mendapatkan pandangan untuk pembinan satu modul latihan yang sesuai digunakan pada seting sekolah, iaitu modul yang sesuai untuk meningkatkan EQ guru- guru.

Pemilihan subjek fasa kedua ini juga dilakukan menggunakan kaedah “porposive sampling” iaitu teknik pengambilan subjek kajian dengan mengambil kira pertimbangan-pertimbangan tertentu seperti yang telah disentuh sebelum ini. Pertimbangan dimaksudkan dalam kajian ini adalah subjek yang dipilih dianggap pakar dalam bidang kajian yang sedang dijalankan, dan subjek yang dipilih dijangkakan dapat memberikan data secara komprehensif untuk kajian ini. Untuk kajian ini, pengkaji memerlukan pengalaman beberapa orang pakar dan orang-orang yang dianggap berjaya dalam bidang yang mereka ceburi. Pengalaman yang dikongsikan oleh pakar dan orang-orang berjaya tersebut sangat penting untuk pembinaan modul EQ bagi meningkatkan kompetensi asas EQ di kalangan guru-guru yang dihasilkan pada fasa pertama kajian ini.

Pemilihan pakar dan orang-orang berjaya tersebut juga mengambil kira beberapa kajian sebelum ini, yang menyatakan bahawa orang-orang tersebut dikaitkan dengan EQ yang tinggi. Dari itu pengalaman mereka sangat bermakna dikongsi dengan orang lain dalam bentuk latihan yang bersesuaian, dalam hal ini pengkaji cuba menyusun dalam bentuk modul EQ. Teknik “porposive sampling” ini termasuk ke dalam nonprobality sampling iaitu pengambilan subjek kajian bergantung kepada pengkaji melihat subjek tersebut, adakah mereka dapat memberikan data sepenuhnya ataupun sebaliknya (Sugiyono 2005). Justeru, penentuan pemilihan subjek melalui kaedah tersebut sebenarnya bergantung kepada penyelidik dalam melihat kesesuaian subjek yang akan dilibatkan dalam kajian yang dijalankan.

Kriteria pemilihan subjek yang dilibatkan dalam kajian ini ditetapkan oleh pengkaji sendiri dengan mengambil kira pelbagai pertimbangan seperti yang telah dilaporkan pada perenggan sebelum ini. Pemilihan pakar adalah atas pertimbangan akademik yang boleh dikongsi oleh pakar-pakar tersebut yang boleh digunakan untuk meningkatkan kompetensi asas EQ guru yang terlibat dalam kajian ini, kerana mereka memiliki pelbagai pengalaman signifikan dalam mewujudkan kejayaan dirinya, dan sangat berharga untuk dikongsi dengan orang lain. Sedangkan pemilihan subjek berdasarkan kejayaan pula, dengan alasan bahawa orang-orang yang berjaya kebiasaan mempunyai teknik-teknik dan cara-cara tersendiri yang boleh menghantarkan dirinya kepada kejayaan. Orang-orang berjaya kebiasaanya memiliki cara yang unik dan

berbeza dengan kebiasaan orang-orang yang biasa (normal). Teknik dan cara-cara mereka tersebut dicungkil oleh pengkaji melalui temubual mendalam, dan seterusnya ditransletkan ke dalam bentuk aktiviti yang dibuat dalam bentuk modul latihan, agar dapat membantu orang lain berjaya seperti mereka, dalam hal ini aktiviti dan modul tersebut ditunjukan untuk keperluan guru-guru yang menjadi sasaran kajian ini.

Untuk jumlah subjek yang diperlukan pada fasa kedua ini, Lincoln dan Guba (dlm Sugiono 2005) menyatakan bahawa “naturalistic sampling is, then, very difference from conventional sampling. It is base on informational, not statistical, consideration. Its purpose is to maximize information , not to facilitate generalization. Justeru, pemilihan subjek dalam kajian kualitatif tidak berasaskan kepada jumlah ataupun kuantiti sampel seperti dalam kajian kuantitatif, yang paling penting adalah subjek yang dipilih dapat memberikan maklumat ataupun data secara maksimum, dan subjek yang terlibat memberikan maklumat yang lebih kurang sama (sampai pada peringkat ketepuan data). Lincoln dan Guba (dlm Sugiono 2005) juga menyatakan bahawa “If the purpose is to maximize information, then sampling is terminated when no new information is fourth-coming from newly sampled units; thus redundancy is the primary criterion”. Nasution (dlm Sugiyono 2005) pula menyatakan bahawa penentuan jumlah subjek dianggap mencukupi apabila data yang diperolehi telah sampai pada tahap “redundancy” ataupun telah sampai pada tahap ketepuan data. Maknanya, walaupun pengkaji menambahkan subjek yang baru namun tidak lagi memberikan maklumat dan penambahan data.

Pemilihan subjek yang akan dilibatkan dalam sesebuah kajian, Bungin (2003) mencadangkan tiga tahapan pemilihan subjek tersebut, iaitu (i) pemilihan subjek awal yang mesti berhubungkait dengan fokus penyelidikan, (ii) pemilihan subjek lanjutan bagi memperluas maklumat dan mencari variasi yang mungkin muncul dari subjek berikutnya dan (iii) menghentikan pengambilan subjek apabila tidak ditemukan lagi variasi maklumat daripada subjek-subjek yang telah ditemubual. Bagaimanapun, pemilihan subjek awal menjadi prioriti utama bagi mendapatkan maklumat yang sesuai dengan kajian ini, kerana ianya boleh mempengaruhi kelancaran dalam mengumpulkan maklumat-maklumat penting berikutnya.

Spradley (1980) juga mencadangkan beberapa kriteria untuk pemilihan subjek kajian kualitatif, iaitu: (i) subjek yang dipilih mestilah berpengalaman, memahami sepenuhnya tentang fenomena yang dikaji, (ii) subjek yang dipilih masih aktif dalam bidang yang dikaji, (iii) mempunyai masa yang cukup untuk memberikan maklumat kepada penyelidik semasa temubual dijalankan, dan (iv) subjek mestilah dapat memberikan maklumat yang selari dengan fakta. Beliau juga menambahkan, yang terpenting daripada subjek-subjek yang dipilih adalah memiliki predikat “key informan”.

Pemilihan pakar dan orang-orang yang berjaya dalam bidang yang mereka ceburi, adalah selari dengan pandangan Goleman, Mayer, Salovey dan Bar On yang menyatakan bahawa kebanyakan daripada individu yang berjaya mempunyai EQ yang tinggi. Kajian yang dijalankan oleh Goleman (1999) mendapati bahawa 80% kejayaan seseorang disumbangkan oleh EQ yang mereka miliki dan 20% sahaja disumbangkan oleh IQ. Sebaliknya Goleman (1999) juga menyatakan bahawa individu yang tidak berkebolehan mengawal emosi apabila berinteraksi dengan orang lain tidak dapat menjalankan tugasan dengan baik. Justeru, beliau mencadangkan bahawa di samping kebolehan yang lain, juga diperlukan EQ yang tinggi. Pemilihan subjek berdasarkan kepakaran pula, merujuk kepada kajian Noriah et al. (2004), Syafrimen (2004), Syed Najmuddin (2005) & Wan Ashibah (2004) yang mendapati bahawa “kematangan dan kerohanian” sangat berpengaruh dalam meningkat EQ seseorang. Kematangan dimaksudkan adalah kematangan ilmu pengetahuan, umur dan pengalaman. Individu yang matang dalam sesuatu disiplin ilmu adalah dianggap pakar dalam bidang berkenaan.

3.3.3 Subjek Kajian Fasa Ketiga

Fasa ketiga ini melibatkan 33 orang guru yang dipilih daripada 112 orang guru yang memberikan respons terhadap instrumen IKEM/MEQI pada fasa pertama kajian ini. Mereka dipilih berdasarkan hasil analisis terhadap data yang mereka berikan pada fasa pertama berkenaan. Merujuk kepada cara interpretasi instrumen EQ yang dicadangkan oleh Noriah (2008), yang menyatakan bahawa individu yang memperolehi skor Min di bawah 80 peratus, menunjukkan individu berkenaan perlu kepada latihan untuk

memperkukuhkan lagi kompetensi EQ yang terdapat pada individu berkenaan. Justeru, 33 orang guru yang dipilih dan dilibatkan pada fasa ketiga ini adalah guru-guru yang memperolehi skor di bawah 80 peratus tersebut. Guru-guru yang dilibatkan pada fasa ini adalah untuk tujuan pengujian modul EQ yang dibina. Pemilihan mereka juga dibuat bagi memudahkan pengkaji untuk melihat kesesuaian modul EQ yang dibina, iaitu dengan cara membandingkan skor mereka pada fasa pertama tersebut dengan skor yang mereka perolehi selepas mereka mengikuti latihan EQ menggunakan modul EQ yang dibina.