• Tidak ada hasil yang ditemukan

RUMUSAN DAN IMPLIKASI KAJIAN

5.2 RUMUSAN HASIL KAJIAN

Rumusan hasil kajian dilaporkan berdasarkan fasa-fasa kajian ini, iaitu dimulakan dengan ujian keperluan (need analysis) bagi menentukan kompetensi EQ yang perlu diberikan intervensi dalam kalangan guru-guru, diteruskan dengan kajian kes, iaitu temu bual individu dan temu bual berkumpulan untuk melihat pandangan pakar dan orang-orang berjaya dalam pembinaan kompetensi EQ tersebut. Dalam fasa kajian kes juga, dilaporkan hasil analisis dokumen untuk menentukan kaedah yang sesuai digunakan dalam latihan EQ terhadap guru-guru yang terlibat dalam kajian ini. Selanjutnya diikuti dengan proses pembinaan modul, pengujian modul dan melihat pandangan subjek tentang latihan menggunakan modul yang dibina.

Daripada analisis keperluan yang dilakukan, dapatan kajian menunjukkan terdapat 11 kompetensi EQ yang perlu diberikan perhatian untuk diberikan intervensterhadap sub domain kesedaran kendiri (kesedaran emosi, penilaian kendiri yang tepat,

keyakinan diri dan niat). Dua sub domain regulasi kendiri (kawalan kendiri dan kebolehpercayaan). Satu sub domain motivasi kendiri iaitu dorongan pencapaian. Dua sub domain empati (membantu orang lain dan mengembangkan potensi orang lain). Dua sub domain kemahiran sosial iaitu mempengaruhi orang lain dan pengurusan konflik. Secara keseluruhan 11 sub domain berkenaan memperolehi skor antara 60.00 sehingga 79.89. Menurut Noriah (2008) skor sebegini sememangnya sudah boleh dianggap baik, memandangkan individu ataupun kumpulan yang memperolehinya telahpun memiliki kompetensi berkenaan. Bagaimanapun kompetensi ini masih belum konsisten dalam amalan individu dan kumpulan tersebut. Menurut beliau akan menjadi lebih baik apabila kompetensi ini dapat dipertingkatkan, sehingga lebih membantu dalam mengembangkan potensi individu terbabit.

Pandangan pakar dan orang-orang berjaya untuk pembinaan kompetensi tersebut, didapati wujud kaedah-kaedah tertentu yang dikongsikan oleh subjek untuk meningkatkan masing-masing kompetensi itu. Pertama adalah empat subdomain yang terdapat dalam domain kesedaran kendiri (kesedaran emosi, penilaian kendiri yang tepat, kayakinan diri dan niat). Untuk pembinaan kesedaran emosi dapatan kajian menunjukkan terdapat lima kaedah yang dikongsikan iaitu dengan cara memperbaiki diri sendiri, merefleksi pengalaman-pengalaman hidup yang pernah dilalui, berusaha secara berterusan, berfikir sebelum bertindak dan kembali kepada akidah ataupun keyakinan masing-masing. Memperbaiki diri sendiri di sini merujuk kepada kemahuan seseorang untuk sentiasa memperbaiki dirinya, sentiasa bekerja keras dan proaktif dalam kehidupan. Merefleksi pengalaman lepas pula merujuk kepada kemampuan seseorang untuk menjadikan pengalaman yang pernah dilalui sebagai panduan untuk memuhasabah diri sendiri. Usaha berterusan pula menggambarkan tentang konsistensi seseorang dalam berusaha. Sedangkan berfikir sebelum bertindak menunjukkan ketelitian seseorang dalam melakukan sesuatu tindakan. Dengan perkataan lain individu sebegini sentiasa bertanya kepada hati nurani sebelum mengambil sesatu tindakan. Manakala akidah dan keyakinan pula menunjukkan timbulnya kesedaran kerana yakin dengan keberadaan Yang Maha Tinggi dalam kehidupanya.

Untuk pembinaan penilaian kendiri yang tepat, dapatan kajian menunjukkan terdapat empat kaedah yang dikongsikan oleh subjek iaitu dengan cara menyedari

peranan diri sendiri dalam satu-satu keadaan. Memberikan ruang kepada orang lain untuk memberikan penilaian tentang diri kita. Selanjutnya dengan cara merefleksi kesilapan yang pernah dilakukan, dan terakhir sekali dengan cara berusaha dengan maksimum dan konsisten, iaitu memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap sesuatu tangungjawab yang diamanahkan kepada kita.

Untuk keyakinan diri pula, subjek kajian juga menyatakan empat perkara yang sentiasa mereka lakukan untuk pembinaan keyakinan diri mereka, iaitu sentiasa berfikir positif, persediaan yang sempurna apabila melakukan sesuatu, mesti ada kemahiran yang kukuh tentang sesuatu pekerjaan yang hendak dilakukan dan setiasa berdoa kepada Yang Maha Kuasa agar diberikan keyakinan diri dalam melakukan sesuatu pekerjaan yang diamanahkan. Sedangkan untuk pembinaan niat pula, dapatan kajian menunjukkan tiga perkara penting yang dikongsikan oleh subjek, iaitu sentiasa melihat tugasan sebagai satu amanah dan ibadah daripada Yang Maha Kuasa, sentiasa membersihkan diri daripada unsur-unsur yang tidak baik ataupun menyandarkan sesuatu perkara yang dilakukan kepada Yang Maha Kuasa, dan sentiasa meluruskan niat sebelum memulakan sesuatu tugasan yang diberikan.

Kedua adalah dua subdomain regulasi kendiri (kawalan kendiri dan kebolehpercayaan). Untuk pembinaan kawalan kendiri hasil kajian menunjukkan terdapat empat perkara penting yang dikongsikan oleh subjek kajian iaitu melihat orang lain daripada pespektif diri mereka, sentiasa berfikir secara rasional, sentiasa bersabar dan bertenang dalam menyikapi sesuatu perkara dan keyakinan terhadap agama. Manakala untuk pembinaan kebolehpercayaan pula didapati dua perkara penting yang dikongsikan oleh subjek kajian iaitu sentiasa melakukan sesuatu mengikut yang benar dan sentiasa bersikap jujur dalam melakukan pekerjaan yang diberikan.

Ketiga, adalah satu subdomain motivasi kendiri iaitu dorongan pencapaian. Dalam pembinaan dorongan pencapaian ini terdapat lapan kaedah yang dikongsikan oleh subjek kajian iaitu melihat cabaran sebagai peluang untuk berjaya, perancangan yang baik, disiplin dan istiqamah dalam melakukan pekerjaan, berusaha secara maksimum, belajar daripada keberhasilan orang lain, belajar daripada kegagalan diri

sendiri, matlamat mesti jelas dan sentiasa melihat kejayaan itu sebagai satu amanah daripada Yang Maha Kuasa yang perlu direbut oleh individu.

Keempat adalah dua subdomain empati (memahamai orang lain dan mengembangkan potensi orang lain). Subjek kajian menyatakan bahawa terdapat tiga perkara yang menyebabkan diri mereka sentiasa peka dengan keadaan orang lain, perkara-perkara tersebut adalah sentiasa mengambil berat tentang keadaan yang dirasakan oleh orang lain, mahu bertolak ansur dan merendahkan ego apabila berhadapan dengan orang lain, dan bersikap fleksibel ataupun mahu menerima orang lain dalam pelbagai keadaan. Sedangkan untuk mengembangkan potensi orang lain pula, dapatan kajian menunjukkan tiga perkara penting yang dikongsikan oleh subjek kajian iaitu sentiasa memberikan sokongan dan galakan kepada orang lain, memberikan peluang kepada orang lain untuk meneroka dan mengembangkan diri mereka serta memberikan kesedaran kepada orang lain berkenaan agar mereka dapat melihat dirinya dengan lebih positif dan boleh berjaya sama seperti orang lain.

Kelima adalah dua subdomain kemahiran sosial (mempengaruhi orang lain dan pengurusan konflik). Untuk mempengaruhi orang lain, hasil kajian mendapati tiga perkara penting yang perlu diperhatikan oleh seseorang iaitu sentiasa membuat orang lain senang terhadap diri kita (make them happy), membina rasa kebersamaan ataupun merapatkan jurang antara diri sendiri dengan orang lain, dan sentiasa memberikan idea beserta sokongan yang kukuh apabila berhadapan dengan orang lain. Terakhir adalah pembinaan cara pengurusan konflik, subjek kajian menyatakan terdapat empat perkara penting yang perlu diperhatikan dalam pengurusan konflik, iaitu mengumpulkan maklumat terlebih dahulu daripada individu ataupun kumpulan yang berkonflik, tidak memihak dalam membantu menyelesaikan konflik tersebut, kembali kepada Agama, dan menunjukkan matlamat dalam organisasi apabila yang berkonflik itu adalah individu-individu dalam satu pasukan.