• Tidak ada hasil yang ditemukan

Kaedah Yang Sesuai Dalam Latihan EQ

RUMUSAN DAN IMPLIKASI KAJIAN

5.3 PERBINCANGAN HASIL KAJIAN

5.3.3 Kaedah Yang Sesuai Dalam Latihan EQ

Kajian ini mendapati empat kaedah yang sesuai digunakan dalam memberikan latihan EQ terhadap guru-guru, iaitu; (i) mesti mempunyai model yang jelas untuk dijadikan landasan dalam latihan. (ii) dilaksanakan dengan cara hikmah, iaitu dengan cara memandu peserta latihan agar dapat mengenali dan mempelajari diri sendiri, kerana EQ merupakan aspek dalaman seseorang, (iii) Pembelajaran dalam latihan berlaku melalui pengalaman dan perbuatan, iaitu peserta dapat belajar sendiri melalui aktiviti- aktiviti yang dilakukan dalam latihan,dan (iv) Mestilah berterusan, iaitu memberikan kemahiran kepada peserta agar mereka dapat berlatih secara berterusan, bukan semasa latihan diberikan sahaja.

Memberikan latihan kepada individu mahupun kumpulan tentunya diharapkan berlakunya satu perubahan, perubahan yang diharapkan selari dengan matlamat latihan yang diberikan. Untuk menentukan matlamat sesuatu latihan itu tentunya diperlukan panduan yang jelas, kemana peserta latihan hendak diarahkan. Untuk tujuan itulah diperlukan satu model yang mantap yang boleh dijadikan panduan dalam latihan yang dijalankan. Model tersebut bukan hanya sebagai panduan tetapi juga merupakan resipi untuk mewujudkan cita rasa pada latihan berkenaan. Kajian ini mendapati, cita rasa tersebut (model) merupakan perkara penting yang mesti wujud dalam latihan EQ. Sekiranya tidak ada model yang mantap dijadikan sebagai landasan ataupun boleh dikatakan sebagai resipi latihan, kemungkinan latihan tersebut akan menghasilkan pelbagai cita rasa terhadap orang-orang yang mengikuti latihan yang diberikan. Dengan perkataan lain latihan yang dilakukan tidak mempunyai arah yang jelas, apakah bentuk hasil yang ingin dikeluarkan daripada latihan tersebut.

Resipi kebiasaanya banyak dijual dimana-mana, demikian juga halnya dengan model-model yang ditawarkan untuk pembangunan insan, dalam hal ini khasnya adalah guru-guru. Pelbagai model dijual dipasaran, namun satu pertanyaan penting

yang perlu dijawab adalah, adakah model tersebut sesuai dengan cita rasa ataupun keperluan di Malaysia? Inilah yang dimaksudkan oleh kajian ini bahawa latihan mesti ada model yang mantap untuk dijadikan sebagai panduan. Untuk tujuan latihan ini resipi yang diberikan adalah resipi EQ sebagai penyedap rasa kepada guru-guru untuk membantu pelajar-pelajar menjadi insan cemerlang. Untuk melahirkan murid-murid cemerlang, sudah tentu guru-guru mesti cemerlang terlebih dahulu. Bagi memastikan model yang sesuai untuk keperluan latihan tersebut, pengkaji telah menggunakan model EQ yang bersesuaian keperluan tempatan, yang dihasilkan melalui penyelidikan menggunakan data-data yang diperolehi daripada konteks tempatan. Memandangkan latihan ini ditujukan kepada guru-guru, maka model EQ yang digunakan sepatutnya membawa guru-guru tersebut agar dapat merasakan lagi kepentingan Falsafah Pendidikan Negara yang mesti dijadikan panduan dalam menjayakan pendidikan di negara ini (Tajul Ariffin & Nor’aini Dan 2002). Seperti disentuh sebelum ini, FPN berhasrat melahirkan insan yang seimbang dari segi Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek. Dengan demikian Model EQ yang dijadikan panduan dalam latihan ini adalah berorientasikan kepada menjayakan hasrat FPN tersebut.

Perkara kedua yang didapati oleh kajian ini adalah latihan mesti dilaksanakan dengan cara hikmah. Memandangkan EQ merupakan aspek dalaman seseorang, maka hikmah di sini merujuk kepada modul yang dibina dan orang yang akan memberikan latihan tersebut. Pembinaan modul mesti selari dengan kompetensi yang akan dilatih, dan individu yang akan melaksanakan latihan itu mestilah memiliki kemahiran untuk mengendalikan latihan menggunakan modul EQ tersebut, supaya dapat memberikan kesedaran kepada peserta latihan agar mereka dapat melihat ke dalam diri mereka sendiri, untuk melakukan yang terbaik kepada diri mereka (Mennin and Frank Farach 2007; Barbuti 2006; Lynn 2002). Menurut Mennin and Frank Farach diantara teknik yang bersesuaian untuk latihan EQ adalah behavioral and cognitive therapies, psychodynamic therapies (emotion experience and expression as deterministic), experiential therapies, dan emotions serve functions.

Al-Ghazali menyebut aspek dalaman tersebut dengan istilah Qalb. Qalb diertikan dalam dua bentuk, iaitu qalb daripada sisi spitual dan qalb secara fizikal. Daripada sisi fizikal qalb diertikan dengan hati ataupun jantung. Dari sisi spiritial Qalb

merujuk kepada ruh manusia yang membawa amanah daripada Allah swt yang dihiasi dengan ilmu pengetahuan-Nya, ilmu pengetahuan yang dilandasi dengan fitrah asas manusia tersebut. Ruh selalu mengumandangkan keesaan Allah, sebab ruh tersebut merupakan asal usul utama daripada eksistensi manusia dan merupakan makhluk terakhir yang akan tetap ada pada hari kebangkitan (Muhammad Izzuddin Taufiq 2006). Justeru, cara latihan secara hikmah, iaitu pemilihan pendekatan yang bersuaian dalam menyampaikan latihan tersebut akan mengingatkan seseorang pada makna dirinya yang paling dalam. Surah al-Ra’du: 28 menyatakan:

…Ingatlah, hanya dengan mengingat Allahlah hati menjadi tenteram...(QS. al Ra’du: 28)

Menurut al-Ghazali hati yang tenang adalah hati yang lembut, penuh cahaya ilahi, dan penuh kekuatan spiritual. Hati yang lembut inilah yang menunjukkan identiti seseorang yang sebenar. Dengan kelembutan inilah seseorang dapat mengenal dirinya sendiri semula. Beliau juga menyatakan bahawa hati inilah sebenarnya memberikan pancaran dalam kehidupan seseorang. Seperti dinyatakan dalam hadits Rasulullah saw yang bermaksud:

Dalam tubuh manusia terdapat seketul daging, apabila baik daging tersebut maka baiklah seluruh tubuhnya, dan apabila daging itu rosak maka rosaklah seluruh tubuhnya. Inilah yang disebut dengan hati.

Al-Ghazali juga menyatakan bahawa hati (Qalb) merupakan sumber ilmu pengetahuan. Menurut beliau semua perkara yang dipelajari diolah dan diperjelas dalam hati. Al-Ghazali menyatakan ilmu pengetahuan adalah makna paling dalam daripada hati seseorang, yang didalamnya terdapat pelbagai maklumat yang boleh mengingatkan manusia semula kepada asalnya. Justeru beliau menyatakan hati akan memproses ilmu pengetahuan melalui tiga tahapan, iaitu peringkat keyakinan orang ramai, keyakinan ahli mutakallimin, dan keyakinan al-`arifin iaitu orang-orang yang benar-benar mengetahui hakikat dirinya. Justeru, cara hikmah itulah yang akan menghantarkan seseorang kepada tangga ‘arifin tersebut.

Kaedah ketiga yang diperolehi dalam kajian ini adalah latihan EQ mestilah mampu membuatkan peserta dapat belajar melalui pengalaman sendiri melalui aktiviti-

aktiviti yang dilakukan semasa latihan. Dapatan ini selari dengan pandangan Azhar et al. (2004) pembelajaran mestilah berasaskan kepada tiga kriteria penting iaitu, pembelajaran mestilah menampakan perubahan dalam tingkah laku, pembelajaran mestilah melibatkan pemikiran, dan pembelajaran mesti menghasilkan perubahan melalui pengalaman dan latihan. Justeru, latihan yang berkesan mestilah mengambil kira ketiga-tiga aspek tersebut. Seseorang yang mendapatkan pengetahuan melalui pengalaman sendiri lebih berkesan berbanding dengan pengetahuan yang didapatkan melalui pembelajaran daripada orang lain. Menurut Azhar et al. (2004) latihan yang diberikan perlu menggalakan dan mengekalkan minat peserta berkembang bagi mengembangkan dan memperluaskan pengalaman mereka serta menggalakan mereka menyertai dan mengambail bahagian secara aktif dalam proses latihan yang diberikan. Kaedah akan memandu mereka untuk dapat belajar melalui pengalaman sendiri sepanjang hayat.

Memandangkan EQ mengandungi aspek-aspek yang berkaitan dengan kehidupan peribadi dan sosial, maka latihan yang diberikan sememangnya akan lebih menarik sekiranya latihan tersebut dapat dikaitkan pelbagai pengalaman peserta dan mengambil kira ciri-ciri peribadi seperti umur, kehidupan dan status sosial, pekerjaan dan pelbagai latar belakang kehidupan lainya. Azhar et al. (2004) menyatakan bahawa pengalaman hidup seseorang merupakan instrumen budaya yang membolehkan mereka memainkan peranan diri sendiri dan fasilitator sebagai proses pembelajaran dalam latihan yang mereka ikuti. Justeru, kaedah ini akan memudahkan fasilitator dalam menyampaikan mesej yang hendak disampaikan dalam sesebuah latihan yang dijalankan.

Kaedah keempat yang diperolehi dalam kajian ini adalah kaedah latihan secara berterusan. Latihan secara berterusan tidak bermakna seseorang mesti duduk mengikuti latihan setiap hari untuk menjadikan mereka matang dalam kompetensi yang perlu dipertingkatkan. Latihan secara berterusan bermakna menunjukan kaedah latihan kepada seseorang agar mereka dapat melakukan latihan secara madiri menerusi pelbagai pengalaman dalam kehidupan mereka. Ini selari dengan pandangan Mc Clusky yang menyatakan bahawa perubahan berterusan memerlukan pembelajaran yang berterusan. Pembelajaran berterusan adalah merupakan proses pendidikan

semenjak manusia itu dilahirkan sehingga tamat riwayat hidup mereka, menerusi pendidikan sama ada secara formal, informal dan non formal (Azhar et al. 2004). Ini selari dengan pandangan Bar-On (2000) yang menyatakan bahawa EQ semamangnya dipelajari menerusi pengalaman hidup seseorang. EQ seseorang tidak berkembang secara semulajadi selari dengan perkembangan umur dan kematangan fizikalnya tetapi bergantung pada proses pembelajaran dan latihan secara berterusan (Cakan & Altun2005; Santoso 2004; Punia; 2002; Click 2002; Moriarty & Buckley 2003). Pandangan tersebut dikukuhkan lagi oleh Dadang Hawari (2003) yang menyatakan bahawa perkembangan EQ berkait rapat dengan perkembangan personaliti (personality development) dan kematangan personality (maturity of personality). Justeru, pengalaman hidup yang dilalui seseorang sepanjang hayat mereka dapat membantu dirinya memiliki kematangan EQ tersebut.

Pembelajaran berterusan sememangnya dapat meningkatkan kemahiran seseorang, pengetahuan dan pengalaman dan setrusnya dapat dipraktikan dalam kehidupan seharian, yang akhirnya berobah menjadi karakter seseorang. Pembelajaran secara berterusan dapat meningkatkan kualiti hidup seseorang. Kaedah ini sebenarnya selari dengan kehendak semula jadi manusia yang sentiasa menginginkan perubahan kea rah kebaikan sepanjang hayat mereka. Melalui proses pembelajaran sepanjang hayat seseorang dapat menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku dan dapat mengenal pasti dengan tepat potensi dirinya. Justeru melalui pembelajaran sepanjang hayat seseorang dapat mewujudkan perubahan yang diinginkan sesuai dengan kekuatan potensi yang dimiliki. Prinsip ini selari dengan prinsip Islam seperti diabadikan dalam Al-Qur’an yang menyuruh manusia untuk belajar sepanjang hayat. Pelbagai istilah digunakan dalam Al-Qur’an tentang pembelajaran sepanjang hayat tersebut, seperti menyeruh manusia untuk sentiasa membaca (surah al-‘Alaq 1-5). Juga dinyatakan bahawa:

... Allah akan mengangkat derajat orang-orang yang beriman dan berilmu beberapa derajat...” (Q.S. al-Mujadilah: 11).

Al-Qur’an juga menyatakan dalam bentuk pertanyaan kepada manusia agar mereka dapat memikirkan makna di sebalik pertanyaan tersebut:

Adakah kamu mengira bahawa orang-orang yang mengetahui sama dengan orang yang tidak mengetahui, sesunggiuhnya orang yang berakalah yang dapat menerima pelajaran” (surah al-Zumar: 9).

Semua ini sebenarnya mendorong manusia untuk sentiasa belajar sepanjang hayat, kerana melalui pembelajaran mereka akan memperolehi pelbagai pengetahuan, yang membezakan mereka dengan orang-orang yang tidak berilmu, dan akhirnya derajat mereka akan terangkat oleh ilmu pengetahuan tersebut, kerana ini merupakan janji Allah s.w.t. Justeru, pembinaan EQ secara berterusan seperti yang dicadangkan oleh kajian ini sememangnya membawa kepada keberhasilan, kerana kaedah tersebut bukan hanya satu keperluan dalam kehidupan manusia, tetapi ianya juga merupakan janji Allah swt yang pasti akan terbukti kebenarnya.

5.3.4 Profil Kompetensi Asas EQ Guru-Guru Sebelum dan Selepas Latihan