• Tidak ada hasil yang ditemukan

Pandangan Pakar Dan Orang-Orang Berjaya Dalam Pembinaan Kompetensi Asas EQ

RUMUSAN DAN IMPLIKASI KAJIAN

5.3 PERBINCANGAN HASIL KAJIAN

5.3.2 Pandangan Pakar Dan Orang-Orang Berjaya Dalam Pembinaan Kompetensi Asas EQ

Dapatan kajian menunjukkan terdapat kaedah-kaedah tertentu yang dinyatakan oleh subjek untuk pembinaan kompetensi EQ yang dikenal pasti melalui analisis keperluan. Hasil temu bual individu mahupun kumpulan menunjukkan satu paten yang dapat dikatakan sebagai satu kaedah yang dilakukan oleh subjek untuk pembinaan kompetensi EQ mereka. Di bawah ini dibincangkan hasil dapatan kajian tersebut dengan pelbagai kajian lain yang telah dilakukan oleh penyelidik-penyelidik dalam bidang yang hampir bersamaan.

(i) Pembinaan Kesedaran Emosi

Kompetensi pertama yang perlu diberikan intervensi adalah ”kesedaran emosi”. Kesedaran emosi merujuk kepada keupayaan seseorang untuk mengenal pasti emosi yang wujud dalam dirinya, dan dia dapat mengenal pasti kesan emosi tersebut terhadap dirinya sendiri. Individu ini biasanya sentiasa sedar dan dapat menjangka kesan yang akan terjadi akibat daripada luahan perasaan yang dia lakukan, sama ada terhadap dirinya mahupun orang lain. Individu ini juga sentiasa menjadikan nilai yang terdapat dalam dirinya sebagai panduan untuk menilai emosi sendiri. Skovholt dan D’Rozario (2000), Saadi (2001) menyatakan bahawa guru yang mampu menguasai emosi mereka dapat mewujudkan pembelajaran yang menyenangkan. Justeru guru yang pandai mengurus dan mengawal emosi sendiri, dan memahami perasaan yang bermain dalam dirinya lebih disenangi oleh pelajar (Goleman 1995, 1999).

Menurut Semmel (1986) terkadang seseorang secara tidak sedar sering tidak melayani emosi sendiri. Menurut beliau seseorang yang tidak pandai melayani emosi sendiri dapat dikatakan mengalami kerugian dalam kehidupan mereka, kerana dia tidak dapat memberi makna kepada emosi-emosi yang pernah dilalui (sama ada emosi yang positif nahupun emosi yang negatif). Menurut beliau pengalaman emosi tersebut dapat

mempengaruhi kehidupan seseorang. Seseorang yang tidak pandai melayani emosi sendiri kemungkinan boleh menimbulkan penyakit fizikal kepada dirinya, kerana ketika seseorang cuba untuk meniadakan emosinya secara psikologis badan sering menjadi mangsa pelayan emosi tersebut, inilah yang menyebabkan badan menjadi sakit.

Semmel (1986) juga menyatakan bahawa menerima emosi, dan memilih cara yang konstruktif untuk memanfaatkan emosi tersebut sememangnya bukan perkara yang mudah. Seseorang perlu berjuang untuk menguasai emosi sendiri. Kemampuan seseorang untuk menguasai emosi sendiri dapat menciptakan hidup yang lebih menyenangkan dan dapat bertindak secara waras dalam menjalankan tugas sebagai insan dan khalifah Allah di bumi ini. Untuk pembinaan kompetensi ini, dapatan kajian menunjukkan terdapat lima perkara penting yang dikongsikan oleh subjek. Perkara- perkara tersebut adalah memperbaiki diri, mengimbas pengalaman lepas, usaha secara berterusan, berfikir sebelum bertindak, dan kembali kepada akidah ataupun keyakinan.

Memperbaiki diri merujuk kepada kemampuan individu untuk sentiasa bekerja keras, proaktif, serta selalu berusaha memperbaiki diri sendiri. Pembinaan kesedaran emosi melalui pendekatan ini yang dimaksudkan adalah individu perlu bekerja keras dan sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri terlebih dahulu, sehingga akhirnya mereka mengenal keadaan dirinya sendiri. Dapatan kajian ini selari dengan pandangan Bar-On (2000) yang menyatakan bahawa that EI is learned through life experience. Santoso (2004) juga menyatakan bahawa kecerdasan emosi (EQ) sememangnya tidak berkembang secara semulajadi selari dengan perkembangan umur dan kematangan fizikal seseorang. Justeru kematangan EQ sangat bergantung pada proses latihan dan pendidikan secara berterusan (Cakan & Altun 2005; Punia 2002; Click 2002; Moriarty & Buckley 2003). Dadang Hawari (2003) pula menyatakan perkembangan EQ berkait rapat dengan perkembangan personaliti (personality development) dan kematangan personaliti (maturity of personality). Justeru, pengalaman-pengalaman hidup yang dilalui dapat membantu individu menjadi seorang memiliki EQ yang tinggi.

Memperbaiki diri merupakan satu usaha untuk mengetahui diri sendiri, usaha sebegini sebenarnya memberi kesan terhadap kejayaan di tempat kerja dan juga dalam

kehidupan seseorang (Ainon 2005). Menurut beliau individu yang mempunyai sifat sebegini didapati lebih berjaya dalam kerjaya dan kehidupan mereka. Dengan perkataan lain semakin tinggi tahap kefahaman seseorang terhadap dirinya kemungkinan mereka untuk berjaya adalah lebih besar berbanding dengan orang lain yang tidak dapat mengenal pasti siapakah dirinya sebenar. Ini adalah merupakan salah satu ciri psikologi yang membezakan seseorang yang cepat naik ke tangga kejayaan, sama ada di tempat kerja mahupun dalam kehidupan berbanding dengan orang lain (Longhorn 2004; Fatt 2002; Bennis 2001; Bar-On and Parker 2000; Chen et al. 1998; Dulewicz and Higgs 1998; Goleman 1998).

Sebaliknya individu yang tidak mahu memperbaiki diri dikaitkan dengan individu yang gagal. Kegagalan ini boleh jadi kerana dirinya tidak terbuka terhadap maklum balas yang diberikan oleh orang-orang yang beriteraksi dengan dirinya, terutamanya apabila maklum balas yang diberikan oleh orang lain berbentuk kritikan kepada dirinya. Individu yang mempunyai kesedaran emosi yang tinggi menerima dengan fikiran terbuka dan dapat menjadikan kritikan yang diberikan oleh orang lain tersebut sebagai ingatan terhadap dirinya bagi membuat refleksi kendiri supaya dapat diperbaiki untuk meraih kehidupan yang lebih baik.

Kemampuan subjek yang sentiasa bekerja keras untuk memperbaiki diri seperti ditunjukkan dalam kajian ini sememangnya boleh membawa mereka pada kejayaan. Kejayaan dimaksudkan di sini adalah, kejayaan untuk melihat ke dalam diri sendiri, sehingga dapat menjadi pendorong untuk menciptakan peluang kejayaan dalam kehidupan mereka, sama ada untuk diri sendiri mahupun orang lain (Dulewicz and Higgs 2000; Mandell and Pherwani 2003). Individu yang sentiasa menjadikan pengalaman sebegini untuk memperbaiki diri, sememangnya lebih cenderung untuk memperoleh kejayaan dalam kehidupan (Dulewicz & Higgs 1998; Weisinger 1998). Kebiasaanya individu seperti ini lebih bijak menilai pengalaman hidup mereka (Jordan et al. 2002), sehingga apabila diberikan peluang untuk memimpin, kecenderungan mereka untuk berjaya adalah lebih tinggi berbanding dengan orang-orang yang tidak mahu membuka diri ataupun menerima pandangan orang lain (Higgs and Rowland, 2002; Prati et al. 2003). Individu sebegini juga mempunyai budaya kerja yang lebih efektif dan mudah menyesuaikan diri dengan persekitarannya. Menurut Nikolaou &

Tsaousis (2002), Bar-On et al. (2000) individu sebegini juga memiliki strategi yang mantap kerana sentiasa belajar daripada pengalaman hidup yang pernah dia lalui.

Seperti yang telah dilaporkan sebelum ini dapatan kajian menunjukkan terdapat beberapa perkara yang dilakukan oleh subjek untuk memperbaiki diri mereka, seperti bekerja keras, muhasabah diri, membuka peluang kepada orang lain untuk memberikan pandangan terhadap dirinya dan sebagainya. Perkara-perkara yang dilakukan oleh subjek tersebut selari dengan pandangan Ainon (2005) yang menyatakan beberapa cara yang boleh dilakukan untuk mengenali diri sendiri. Pertama adalah mendengar pandangan orang lain berkenaan dengan diri kita, kerana dengan cara sebegini seseorang dapat menilai dan memperbiki diri sendiri daripada perspektif orang lain. Individu yang memiliki kesedaran emosi yang tinggi selalu peka dengan pandangan orang lain terhadap dirinya. Dia berpandangan bahawa dirinya akan lebih mudah untuk mengenal pasti perkara-perkara yang perlu diperbaiki apabila mendapat maklum balas daripada orang lain. Cara kedua adalah sengaja meminta pandangan orang lain berkaitan dengan diri kita sendiri. Selanjutnya sentiasa berlatih untuk melihat ke dalam diri sebagaimana orang lain melihat diri kita. Cara terakhir adalah dengan cara mendedahkan lebih banyak maklumat tentang diri kita yang kemungkinan selama ini dijadikan rahasia sendiri.

Kedah-kaedah seperti itu sememangnya banyak dikongsikan oleh subjek yang terlibat dalam kajian ini, tanpa mereka sedari kedaan ini banyak memberikan sumbangan kepada kejayaan yang mereka perolehi. Justeru Jamali, Sidani & Abu-Zaki (2006) mencadangkan bahawa agar pembinaan terhadap cara-cara memperbaiki diri tersebut perlu dilakukan secara berterusan sama ada oleh individu mahupun organisasi. Dalam kajian beliau dinyatakan bahawa:

...EI should be a major focus in training and development efforts at all organizational levels and for both genders. This is particularly true if organizations realize the value of nurturing a critical mass of EI competencies for superior performance.

Pandangan hampir sama juga dinyatakan oleh Ashkanasy & Daus (2005) menyatakan bahawa:

...It is also important to popularize the notion that while EI may indeed touch on individual differences, it tends to grow over time and can be improved and harnessed through proper training and development initiatives.

Perkara kedua yang ditunjukkan oleh hasil kajian adalah pembinaan kesedaran emosi dengan cara “mereflek pengalaman lepas”. Mereflek pengalaman lepas ini merujuk kepada kemampuan seseorang untuk menjadikan pengalaman sebagai panduan untuk memuhasabah diri. Mereflek pengalaman lepas sememangnya dapat memberikan kesedaran terhadap seseorang yang mahu belajar daripada pengalaman tersebut. Keadaan inilah yang cuba digambarkan oleh Abu Sangkan (2006) yang menyatakan bahawa “Al-Qur’an merupakan lukisan jiwa manusia”. Sejarah telah menceritakan bahawa Al-Qur’an diturunkan secara beransur-ansur kepada Muhammad saw. Ini kerana Allah Maha tahu bahawa Al-Qur’an tersebut merupakan perjalanan fitrah jiwa manusia, sehingga mereka dapat lebih mudah mengetahui kebenaranya melalui pelbagai peristiwa yang menjadi penyebab turunya Al-Qur’an tersebut, peristiwa inilah yang disebut dengan pengalaman.

Bukti kejayaan Rasulullah belajar melalui pengalaman telah ditunjukkan dengan melekatnya Al-Qur’an dalam dirinya, malah dalam beberapa hadis diriwayatkan bahawa Al-Qur’an merupakan akhlaknya. Kenapa ini boleh terjadi? Kerana dirinya telah mengalami dan merasakan perkara-perkara yang berkaitan dengan sebab-musabab diturunkan Al-Qur’an kepada dirinya. Inilah yang disebut oleh pakar tafsir dengan istilah asbabun nuzul, yang sifatnya adalah membenarkan dan meluruskan pengalaman yang telah dilalui oleh Rasulullah saw.

Kajian ini juga mendapati bahawa salah satu perkara yang dikongsikan oleh subjek untuk mewujudkan kesedaran emosi adalah sentiasa “belajar daripada pengalaman”. Secara tidak langsung sebenarnya mereka telah menyatakan bahawa belajar daripada pengalaman itu merupakan kaedah terbaik bagi diri mereka. Sememangnya cara ini yang ditunjukkan oleh Allah swt untuk mengajar Rasulnya

Muhammad saw. Rasulullah dikatakan sebagai seorang yang ummi (tidak boleh membaca dan menulis), namun beliau telah menjadi idola umat sehingga ke hari ini (Hart 2005), kerana dirinya mampu menunjukkan yang terbaik, kerana sentiasa belajar melalui pengalaman. Pertanyaannya adalah, kenapa orang-orang seperti ini sering memperolehi kejayaan? Jawapanya adalah kerana mereka sebenarnya telah mengkuti perjalanan fitrah yang ditunjukkan oleh Maha guru yang mengatur alam semesta ini. Seperti yang dinyatakan dalam Surah Al-Furqan, ayat 32 berikut ini.

... mengapa al-Qur’an tidak diturunkan kepadanya sekaligus...?... demikianlah, supaya kami perkuat hatimu denganya... (QS. al-Furqan, ayat 32).

Pengalaman sememangnya merupakan guru yang sangat berharga dalam kehidupan manusia. Covey (2002) memaparkan pelbagai kisah benar dalam bukunya Living The 7 Habitts tentang kejayaan orang-orang yang belajar daripada pengalaman. Salah satu kisah nyata yang sangat menyayat hati diceritakan oleh Covey adalah pengalaman hidup seorang bapa, kaki minum dan mabuk yang akhirnya membawa kehancurkan dalam kerjaya dan kehidupan keluarga mereka. Namun apabila bapa tersebut dapat belajar daripada pengalaman-pengalaman yang membawa pada kehancuran kehidupanya, akhirnya dia dapat bangkit dan berjaya semula. Yang lebih menarik lagi adalah pengalaman yang dilalui bukan hanya dijadikan pengajaran untuk diri sendiri, namun dijadikan peluang untuk dapat membantu orang lain supaya tidak mengalami nasib sama seperti dirinya.

Berman, Evan & Jonathan ( 2008) juga mendapati dalam kajian mereka bahawa pengurus-pengurus syarikat yang sentiasa belajar daripada pengalaman, sama ada pengalaman yang membawa kepada keberhasilan mahupun pengalaman kegagalan, didapati mempunyai keupayaan yang lebih baik dalam menilai dirinya sendiri dan juga orang lain. Kajian mereka juga menunjukkan bahawa pengurus-pengurus tersebut dapat menilai kekuatan dan kelemahan dirinya dengan baik, serta bijak dalam menangani emosi-emosi negatif yang bergejolak dalam dirinya. Keupayaan pengurus tersebut belajar daripada pengalaman juga memberi kesan terhadap cara mereka menyesuaikan diri, cara mereka berkomunikasi dan membina hubungan dengan orang lain. Justeru mereka menyatakan bahawa;

...Feedback and mentoring processes are directly associated with increased perceptions of EI, while other practices such as training, selection and policy development are only indirectly associated with perceptions of EI.

Mennin and Farach (2007) dalam kajian beliau menyatakan bahawa seseorang yang belajar daripada pengalaman yang pernah mereka lalui akan melihat hidupnya lebih bermakna, kerana terdapat pelbagai pengetahuan yang tersirat di sebalik pengalaman tersebut.

...This finding is consistent with Teasdale and Barnard’s (1993) discussion of implicational meaning, which posits that people have better access to all components of a higher-order meaning structure when they are in the emotional state connected to that structure. It also resonates with cognitive research on mood-dependent memory, which often finds that people more readily access self-generated meaning when in the same emotional state that they were in when they originally constructed it (e.g., Eich, 1995).

Langkah selanjutnya yang dilakukan oleh subjek untuk meningkatkan kesedaran emosi mereka adalah dengan cara “berusaha secara berterusan dan berfikir sebelum bertindak”. Usaha secara berterusan menunjukkan kepada ketahanan diri subjek untuk sentiasa berusaha secara konsisten untuk mempelajari dirinya sendiri. Berfikir sebelum bertindak pula menggambarkan tentang kehati-hatian diri dalam melakukan sesuatu. Kehati-hatian, bertindak secara wajar dan sentiasa bertanya kepada hati nurani telah membantu mereka untuk mengetahui siapa diri mereka sebenarnya. Sehingga keadaan ini dapat membantu mereka untuk bertindak lebih wajar dan tidak agresif dalam melakukan tindakan.

Terakhir yang dikongsikan oleh subjek dalam pembinaan kesedaran emosi mereka adalah dengan cara “kembali kepada akidah ataupun keyakinan”. Akidah dan keyakinan merujuk pada kesedaran tentang keberadaan Tuhan dalam kehidupan mereka. Seperti dinyatakan oleh subjek:

... So, usaha tetap usaha tetapi selepas itu sentiasa berdoa, so maknanya menyerahkan sepenuhnya pada Yang Maha Kuasa.

Dapatan ini menunjukkan tentang kecenderungan fitrah jiwa manusia terhadap kekuatan yang berada diluar dirinya. Kekuatan di luar diri di sini merujuk kepada keyakinan seseorang tersebut, keyakinan inilah yang sebut oleh Ary Ginanjar dengan istilah pusat orbit yang terdapat dalam diri seseorang. Pusat orbit tersebut sentiasa menarik dirinya untuk berjalan pada garis kebenaran.

Ary Ginanjar (2005) menyatakan bahawa pusat orbit yang terdapat dalam diri seseorang persis sama dengan susunan Galaksi Bima Sakti, yang dijadikan sebagai garis orbit maha luas yang memiliki daya tarik (gravitasi) yang sangat kuat seperti dinyatakan oleh Newton. Pada Galaksi Bima Sakti terdapat titik tengah yang sentiasa menjangkar dan menarik seluruh benda-benda angkasa dalam jangkauan gravitasinya agar tetap berada pada garis orbitnya, ini adalah untuk tujuan agar berlaku keharmonisan dalam perjalanan alam semesta. Beliau menyatakan bahawa, demikian juga halnya dengan pusat gravitasi jiwa seseorang yang terletak pada pusat jiwa. Pakar-pakar psikologi sering menyebut pusat jiwa tersebut dengan istilah ”fikiran bawah sadar”, iaitu satu kekuatan dalam diri seseorang yang sentiasa menarik dirinya ke arah titik pusat tersebut. Tititk pusat ini bersifat universal, maknanya berlaku dan menjangkau seluruh umat manusia, siapapun mereka dan apapun jenis pegangan dan keyakinanya, mereka sentiasa tertarik menuju gaya tarik titik pusat itu, Ary Ginanjar menyebutnya dengan istilah ”spiritual”.

Titik pusat spiritual ini merupakan pusat kekuatan yang mengatur peredaran hidup seseorang. Apabila ada yang mencuba untuk keluar daripada garis orbit tersebut (off line) niscaya akan terjadi reaksi jiwa dan reaksi sosial yang sangat hebat. Sebagai contoh, kita pernah dikejutkan dengan insiden guru mengetuk kepada pelajar dengan kasut sehingga berdarah, pelajar membuli rakan-rakanya sehingga menimbulkan kecederaan, dah bahkan sampai meninggal dunia. Pelbagai reaksi tidak baik telah keluar untuk menantang tindakan guru dan pelajar-pelajar tersebut. Kita juga pernah mendengar oknum guru sebagai pengedar dadah, pelbagai reaksi muncul untuk mengecam perbuat guru tersebut. Apabila ditanya kepada masing-masing peribadi

yang melakukan perbuatan berkenaan, mereka juga merasa resah dengan perbuatan yang telah mereka lakukan. Ini adalah salah satu contoh kecil orang-orang yang coba keluar daripada garis orbit kehidupannya.

Demikian juga sebaliknya, kita selalu mendengar dan melihat guru-guru yang mendapatkan anugerah cemerlang, bagaimanakah reaksi masyarakat terhadap diri mereka? Walaupun bukan dirinya yang memperolehi kecemerlangan tetapi mereka ikut berbangga dengan guru-guru seperti ini. Pelbagai pujian dan komen positif keluar daripada mulut orang ramai tentang guru tersebut. Ini adalah salah satu contoh kepada orang-orang yang sentiasa berada pada garis orbit, semua orang merasakan kedamaian dan ketenagan dengan perbuatan yang dia lakukan. Secara umumnya sama ada cepat atau lambat manusia akan kembali kepada garis orbitnya semula, tunduk pada kehendak nilai-nilai spiritual yang terdapat dalam dirinya (Ary Ginanjar 2007). Apabila ada individu yang degil untuk keluar daripada garis orbitnya (off line), akan lahir energi gravitasi, energi elektromagnetik dan energi atomik yang akan menghancurkan dirinya akibat kedegilan tersebut, serta mengembalikanya pada garis orbit semula. Inilah yang disebut dengan hukum alam ”sunnatullah”

Seseorang yang berjalan pada garis orbit bermakna mereka hidup dalam keteraturan. Sedangkan seseorang yang keluar daripada garis orbit, bermakna mereka hidup dalam keadaan yang tidak seimbang yang akhir boleh membawa padah terhadap diri sendiri dan juga orang lain. Apabila seseorang dapat meletakan dirinya tepat pada posisi garis orbit tersebut, maka ini adalah langkah yang penuh kekuatan dan keseimbangan, dan inilah yang disebut dengan langkah ”Ihsan” iaitu kemampuan individu untuk mengikuti dan memanfaatkan energi spiritual pada garis orbitnya. Manusia yang sentiasa berjalan pada garis orbit sentiasa merasa melihat dan dilihat oleh Maha Pencipta. Bila dikaitkan dengan dapatan kajian ini, subjek kajian kembali kepada keyakinan untuk pembinaan kesedaran emosi diri mereka. Seperti yang telah disentuh sebelum ini, individu yang mempunyai kesedaran emosi yang tinggi sentiasa dapat menyedari perubahan emosi yang berlaku dalam dirinya dan dapat menyalurkan emosi tersebut dengan cara-cara yang lebih positif sehingga tidak menimbulkan kesan terhadap dirinya dan juga orang lain. Kenapa mereka berjaya membina kesedaran emosi menggunakan pendekatan ini? Kerana mereka dapat menyedari peranan dirinya

yang sebenar, dan pertolongan Tuhan sangat dekat dengan orang-orang yang sentiasa mendekatkan diri kepadanya, seperti dinyatakan pada petikan Al-Qur’an di bawah ini:

Siapa yang berpaling daripada peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit, dan kami akan mengumpulkanya pada hari kiamat dalam keadaan buta (Thaha 20; 124). Maka hadapkanlah wajahmu dengan mantap kepad agama, menurut fitrah Allah yang telah menciptakan fitrah itu pada manusia. Tiada dapat diubah (hukum-hukum) ciptaan Allah. Itulah agama yang benar, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya (Ar-Ruum 30; 30).

(ii) Pembinaan Penilaian Kendiri Yang Tepat

Hasil kajian menunjukkan pembinaan penilaian kendiri yang tepat dilakukan melalui empat kaedah iaitu, sedar dengan peranan, memerlukan orang lain, usaha maksimum dan konsisten, dan merefksi kesilapan yang pernah dilakukan. Sedar dengan peranan merujuk menunjukkan tentang kemampuan seseorang untuk menyedari apakah peranan dirinya dalam kehidupan sama ada dalam keluarga, di tempat kerja mahupun dalam kehidupan bermasyarakat. Memerlukan orang lain pula merujuk kepada kemampuan individu untuk membuka peluang kepada orang lain untuk memberikan penilaian terhadap dirinya. Sedangkan usaha maksimum dan konsisten menunjukkan kemampuan individu untuk memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap tanggungjawab yang diberikan kepada dirinya. Manakala merefleksi kesilapan merujuk kepada kemahiran seseorang untuk menjadikan kesilapan yang pernah dilakukan untuk menilai kekuatan dan kelemahan yang terdapat dalam dirinya.

Ary Ginanjar (2005) menggunakan istilah ketangguhan peribadi (personal atrength) terhadap istilah ”sedar dengan peranan” yang didapati dalam kajian ini. Menurut beliau personal atrength dapat diperolehi oleh seseorang apabila dirinya memiliki prinsip hidup yang kukuh dan jelas. Seseorang dikatakan mempunyai prinsip yang kukuh apabila dirinya tidak mudah terpengaruh dengan persekitaran yang sentiasa berubah dengan pantas. Dirinya tidak menjadi korban daripada perubahan persekitaran yang mungkin dapat merobah prinsip hidup dan cara berfikir seseorang. Seseorang yang memiliki personal strength dapat mengambil satu keputusan yang bijaksana dengan menyelaraskan prinsip yang diyakini dengan keadaan persekitaran,

dia tidak akan menggadaikan prinsip hidupnya semata-semata hanya ingin nampak dilihat moden oleh sesetengah orang. Individu sebegegini sentiasa dapat mengawal fikiran sendiri apabila berhadapan dengan pelbagai tekanan yang wujud pada persekitaran dirinya.

Dapatan ini juga selari dengan pandangan Danah Zohar & Ian Marshall (2002) yang menyatakan bahawa penilaian kendiri yang tepat (sedar dengan peranan) merupakan satu ciri tertinggi bagi seseorang untuk mewujudkan kesedaran kendiri yang tinggi. Seseorang yang mempunyai kesedaran kendiri yang tinggi menurut beliau merupakan ciri tertinggi daripada kecerdasan emosi dan kecerdasan spiritual. Menurut beliau satu kelemahan sistem pendidikan di Amerika adalah mulai daripada alam persekolahan individu sentiasa diajarkan untuk melihat keluar daripada dirinya bukanya ke dalam dirinya. Individu sentiasa dibawa untuk memusatkan perhatian pada fakta dan masalah praktis yang bersifat lahiriyah untuk berorientasi pada tujuan