• Tidak ada hasil yang ditemukan

TINJAUAN LITERATUR

2.6 Teori dan Model Stres .1 Model Stres Guru .1 Model Stres Guru

2.6.6 Kajian-kajian Stres Kerja

Jon, Randy dan De Simone (2009) mendefinisikan stres sebagai satu keadaan yang menyebabkan seseorang individu itu merasa tertekan dalam kehidupan hariannya, manakala Moss (2008) pula berpendapat stres sebagai satu situasi atau perubahan dalam persekitaran kerja yang boleh mewujudkan kemudaratan, penuh ancaman, cabaran atau kekecewaan yang mengubah pola kehidupan individu atau pekerja.

Oleh itu kehadiran stres juga didapati wujud di persekitaran sekolah (Kiveshnie, et al., 2013) disebabkan oleh perubahan dan pertambahan tanggungjawab guru dalam sistem pendidikan (Deventer & Kruger, 2009). Justeru, kajian mengenai isu stres pekerjaan dalam kalangan guru telah banyak diperbincangkan untuk beberapa dekad (Maryam, et al., 2013; Lokanadha & Vijaya, 2013; Rupinder, et al., 2013; Johari &

Noornazifah, 2012; Abouserie, 1996; Borg, 1990; Capel, 1987; Flectcher & Payne,

91

1982; Kyriacou 1981; Kyriacou & Sutcliffe, 1978; Payne & Durham , 1987;

Smilansky, 1984).

Jamaluddin Yusoff (1990) dalam kajiannya tentang masalah profesional yang dihadapi oleh guru novis melalui proses penyesuaian diri di sekolah mendapati kursus perguruan terlalu berbentuk teori dan hanya sedikit sahaja berkaitan dengan praktikal di bilik darjah yang terhad menyebabkan wujudnya stres dan rasa kecewa dalam kalangan mereka (Polumbo & Sanacare, 2007). Ini kerana arus perubahan dan pembaharuan dalam bidang pendidikan hari ini menjadikan tugas guru semakin mencabar dan tanggapan yang mengatakan bahawa kerjaya guru paling kurang stres tidak lagi benar dan diterima (Mohd Nor Jaafar, 2008).

Hasil kajian yang dibuat sama ada di dalam atau luar negara menunjukkan bahawa kerjaya guru boleh diletakkan dalam kalangan pekerjaan yang bertekanan tinggi (Abdul Rahim, 2002). Dapatan kajian ke atas 650 orang guru di Great Britain oleh Dunham (1992) telah membuktikan bahawa stres bagi guru-guru adalah serius dan bukan hanya menjadi permasalahan jangka pendek di peringkat awal profesion perguruan malahan menjadi gelaja yang berterusan sepanjang kerjaya mereka di sekolah.

Di antara faktor stres yang dikenal pasti adalah sikap pelajar yang kurang bermotivasi dan suka menimbulkan gangguan, kekurangan sumber pengajaran, pentadbiran yang tidak cekap, hubungan antara staf yang tidak memuaskan, tugas-tugas pentadbiran dan kekurangan masa untuk melengkapkan tanggungjawab yang

92

diberi serta tiada peluang kenaikan pangkat dan sokongan daripada dalam organisasi (Naidoo, 2012; Payne & Furnham, 1987).

Bebanan tugas yang terpaksa dipikul oleh para guru turut menjadi masalah utama wujudnya ketidakpuasan dan stres dalam kalangan guru. Menurut Sufean Husein (1993) tanggungjawab dan beban kerja guru kini semakin bertambah kerana mereka bukan sahaja menjadi guru tetapi berperanan sebagai kerani dalam melaksanakan urusan sampingan seperti urusan buku teks, hal ehwal kebajikan murid, disiplin, akaun persatuan, kegiatan kurikulum serta kokurikulum dan sebagainya.

Siti Rohani (1991) telah mengkaji tahap stres kerja guru dan pengaruh faktor sekolah ke atas stres kerja dengan menggunakan instrumen yang diubah suai daripada soal selidik Kyriacou dan Sutcliffe (1979). Seramai 200 orang guru sekolah rendah telah dipilih secara rawak sebagai sampel dari sepuluh buah sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil di Seremban dan dapatan kajian menunjukkan guru mengalami stres berkaitan dengan empat faktor, iaitu faktor murid, beban tugas, tekanan masa dan suasana kerja di sekolah. Faktor murid seperti sikap, minat dan kualiti kerja didapati paling kuat menyumbang kepada stres kerja guru, terutamanya dalam kalangan guru wanita. Bilangan murid yang ramai dan kekurangan kemudahan serta peralatan mengajar juga dikenal pasti sebagai punca stres kepada guru. Masalah disiplin, hukuman di sekolah serta peraturan-peraturan yang ditetapkan didapati amat menekan guru.

93

Chaplin (1995) pula telah menjalankan kajian untuk mengenal pasti sumber-sumber stres dengan kepuasan kerja ke atas 267 orang guru sekolah rendah di England.

Subjek kajian diarah menjawab 18 item soal selidik berkenaan dengan stres yang dialami dan kepuasan kerja. Hasil kajiannya mengenal pasti tiga sumber stres iaitu kebimbangan tentang kerjaya, tingkah laku dan sikap pelajar serta tanggungjawab pekerjaan. Kebimbangan terhadap kerjaya mempunyai hubungan paling kuat dengan stres pekerjaan.

Seterusnya, Chua Bee Seok dan Adi Fahrudin (2000) mendapati stres dan strategi daya tindak dalam kalangan guru sekolah menengah di Kota Kinabalu, Sabah tidak terdapat perbezaan yang signifikan di antara subjek lelaki dan perempuan serta subjek yang bertingkahlaku jenis A dan bukan jenis A untuk kekerapan menggunakan strategi daya tindak keseluruhan dan keenam-enam aspek strategi daya tindak (sokongan sosial, strategi tugas, logik, pengurusan masa, hubungan interpersonal, dan keterlibatan dalam aktiviti). Hasil analisis regresi menunjukkan sumber stres faktor intrinsik dalam kerja merupakan peramal yang signifikan kepada kepuasan kerja. Sumber stres ‘halangan kerja atau rumah’ pula adalah peramal yang signifikan bagi masalah kesihatan mental dan sumber stres, manakala ‘hubungan dengan orang lain’ merupakan peramal kepada masalah kesihatan fizikal.

Kyriacou dan Sutcliffe telah menjalankan empat kajian di sekolah-sekolah bersaiz sederhana dan beraneka jurusan di England di mana guru diminta menilai tahap stres kerja dalam pekerjaan mereka. Dalam kajian mereka yang pertama, Kyriacou dan Sutcliffe (1977) melaporkan 29.3 peratus daripada 109 orang responden di sembilan

94

buah sekolah mentaksirkan pekerjaan mereka amat tertekan atau terlalu tertekan.

Hanya 1.8 peratus responden tidak menghadapi sebarang stres akibat daripada kerja mereka.

Hasil daripada penyelidikan kedua, Kyriacou dan Sutcliffe (1978) mendedahkan 19.9 peratus daripada 257 orang guru di 16 buah sekolah menilai kerja mereka amat tertekan atau terlalu tertekan dan hanya 4.7 peratus responden menilai kerja mereka tiada stres langsung. Kajian ini juga mengkaji 10 sumber stres pekerjaan berdasarkan nilai min yang tertinggi, iaitu tingkah laku pelajar yang tidak berminat untuk belajar, cabaran untuk meninggikan atau mempertahankan kualiti pelajaran, kesuntukan masa untuk berinteraksi dengan pelajar, pelajar yang sering melakukan kesalahan, pelajar yang tidak berminat dengan aktiviti, kekurangan masa untuk melengkapkan kerja dan menanda buku pelajar. Analisis selanjutnya mengupas daripada 51 sumber stres kerja, tiga faktor yang menyumbang 52 peratus stres kerja kepada guru telah dikenal pasti. Faktor-faktor tersebut adalah salah laku pelajar, suasana tempat kerja yang kurang memuaskan dan kekurangan masa.

Hasil kajian ketiga Kyriacou dan Sutcliffe (1979) pula mendapati 23.4 peratus daripada 218 orang responden di 16 buah sekolah mentaksirkan kerja mereka amat tertekan atau terlalu tertekan. Empat punca stres kerja turut dikenal pasti, iaitu menjamin mutu atau meningkatkan kualiti pengajaran, pelajar malas belajar, pelajar sering melakukan kesalahan dan bebanan tugas yang terlalu banyak. Punca-punca stres kerja ini juga tersenarai di dalam sepuluh sumber stres kerja di dalam kajian sebelum ini manakala dalam kajian keempat mereka, Kyriacou dan Sutcliffe

95

melaporkan bahawa terdapat 30.7 peratus daripada 130 orang guru di 11 buah sekolah menyatakan kerja mereka amat tertekan atau terlalu tertekan.

.

Dapatan yang hampir sama turut dikongsi daripada kajian Kiveshnie dan Christoff (2013) punca-punca stres guru adalah disebabkan terlalu banyak kerja, tekanan masa, masalah dengan pelajar, konflik antara rakan sekerja, tahap kebisingan yang tinggi, kesesakan di bilik darjah dan bilik guru, kurang penghargaan dan sikap negatif terhadap ikhtisas. Kajian Vandana dan Sharda (2013) pula mendapati kewujudan stres adalah disebabkan kekaburan peranan guru, kelas yang tidak berdisiplin, keganasan pelajar, masalah hubungan dengan rakan sekerja, lambakan kerja dan pengurusan sekolah yang tidak memuaskan (Jurgen, 2013). Selain itu, kajian Lim-Ng Ai Tee (1990) ke atas sampel seramai 380 orang guru di sembilan buah sekolah menengah kerajaan di Singapura mendapati kurang daripada 1/3 responden mengalami stres yang tinggi. Di antara tiga aspek yang dikaji adalah tingkah laku pelajar, hambatan masa dan konflik peranan. Aspek tekanan masa merupakan faktor yang dominan mempengaruhi stres kerja guru-guru tersebut.

Hasil kajian Caroline dan Moses (2011) serta Dua (1994) menyokong dapatan di atas bahawa terdapat faktor-faktor yang menyebabkan stres iaitu bebanan kerja atau suasana kerja yang kurang memuaskan, peranan dalam organisasi, perkembangan kerjaya, hubungan personal, budaya organisasi dan faktor penghargaan. Seterusnya, Boyle, et al., (1995) dan Dunham (1992) menegaskan intipati utama yang boleh menyumbang kepada stres kerja guru ialah (a) salah laku pelajar (b) kekangan masa

96

dan sumber, (c) keperluan penghargaan (d) hubungan antara personal yang kurang baik dan (e) bebanan tugas.

Keadaan ini pernah dijelaskan oleh Faridah dan Zubaidah (1999) di mana guru sering berhadapan dengan masalah sosial, murid-murid yang terbiar dan masalah disiplin yang menakutkan serta disusuli pula oleh stres kerja yang tinggi. Di samping itu, faktor beban tugas turut mempengaruhi proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah di mana guru diganggu dengan masalah salah laku pelajar dan menyebabkan guru terdedah kepada stres. Selain tugas mendidik pelajar, guru juga perlu berdepan dengan kerenah disiplin yang menambahkan lagi beban kerja mereka.

Muhamad (1995) memetik laporan Kongres Kesatuan Guru-Guru Malaysia menyatakan bahawa guru-guru menghadapi stres dengan kerja-kerja persediaan mengajar seperti menyediakan perancangan tahunan, penggal, mingguan dan harian dan di bilik darjah, guru juga menghadapi stres dengan karenah dan bilangan murid yang ramai.

Dapatan yang sama pernah diterokai oleh hasil kajian Siti Rohani (1991), menunjukkan guru mengalami stres berhubung dengan lima perkara iaitu faktor murid, bebanan tugas, tekanan masa, keadaan kerja dan suasana di sekolah. Stres yang paling tinggi adalah disebabkan oleh faktor murid-murid seperti sikap, minat dan kerja yang tidak memuaskan. Guru juga didapati mengalami stres apabila terdapat bilangan murid yang ramai dalam kelas, kekurangan kemudahan mengajar, masalah disiplin dan hukuman yang perlu dikenakan kepada pelajar serta peraturan yang terdapat di sekolah.

97

Sebaliknya, Basinun dalam Kamaruzaman Kamarudin (2007) menyatakan antara masalah utama guru adalah kenaikan gaji yang kecil, peluang kenaikan pangkat terhad dan tekanan kerja yang keterlaluan. Kenyataan ini selaras dengan kajian oleh Rupinder, Lalita dan Aarti (2013) dalam kajian mereka terhadap guru-guru di Doaba, India yang menjelaskan faktor utama mewujudkan stres dalam kalangan guru ialah masalah gaji yang rendah diikuti oleh persekitaran kerja, hubungan dengan rakan sekerja, keselamatan dalam pekerjaan dan bebanan tugas yang berlebihan. Mereka mendapati sekiranya faktor-faktor ini dapat diatasi, maka ianya boleh meningkatkan komitmen dan kepuasan kerja dalam kalangan guru.

Tan Huat Chye (1996) dalam kajiannya telah menyimpulkan sepuluh punca utama yang mendatangkan stres kepada guru di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) iaitu :

1) terpaksa mengajar kelas yang besar 2) gaji yang kurang

3) sikap buruk pelajar

4) kurang peluang untuk maju dalam profesion 5) terpaksa mengajar kelas yang berbeza kebolehan 6) terpaksa tangani pelajar yang berkelakuan buruk 7) mengambil alih mata pelajaran guru yang tidak hadir 8) terlalu banyak kerja perkeranian

9) kurang kerjasama dari ibu bapa

10) kurang masa rehat disebabkan jadual waktu yang berat

98

Vanderslice (2010) pula percaya sekiranya guru-guru tersebut terpaksa menghabiskan masa yang panjang bersama-sama dengan pelajarnya di dalam kelas akan lebih mudah mendedahkan mereka kepada stres dan sukar untuk membina kecemerlangan dalam profesion (Mc Kinney, et al., 2007). Guru-guru ini terpaksa berhadapan dengan masalah pelajar yang suka membuat bising, biadap atau kurang ajar dan kesukaran mengawal disiplin dalam kelas contohnya, kelas peralihan kerana masalah berkomunikasi dalam Bahasa Melayu. Tugas ini menjadi terlalu sukar kepada guru-guru novis bila mereka terpaksa berhadapan dengan pelajar dari kepelbagaian budaya. Situasi ini boleh menyebabkan mereka meninggalkan profesion kerana tekanan emosi dan burnout di bilik darjah (Chang, 2009).

Menurut kajian Geving (2007) dan Rosmawati (1999) mendedahkan bahawa faktor pekerjaan seperti persekitaran kerja, bebanan tugas, peluang perkembangan kerjaya, perhubungan dalam organisasi, tingkah laku pelajar dan kelemahan pentadbiran sekolah merupakan penyebab kepada stres dalam kalangan guru novis di sekolah menengah. Dapatan menunjukkan faktor utama yang menjadi punca stres kepada kumpulan guru ini ialah aspek tingkah laku pelajar seperti murid tidak sopan, masalah disiplin dan tidak berminat untuk belajar. Malahan sebab dan kesan stres ini juga saling berkaitan antara satu sama lain (Helms, 2012). Ini membuktikan bahawa profesion perguruan adalah suatu pekerjaan yang penuh dengan stres terutamanya kepada guru-guru novis khususnya di kawasan bandar (Granda, et al., 2009).

Menurut Akhito Shimazu, (2003) yang mengkaji kesan pengurusan stres, sokongan sosial dan cara mengatasi stres ke atas guru di Hiroshima mendapati bahawa

99

sokongan sosial adalah penting bagi membantu guru-guru mengatasi masalah stres kerana ia dapat meningkatkan tahap keyakinan dalam diri mereka. Manakala Sue, Kell dan Yijie (2006) mencadangkan beberapa strategi yang boleh dilaksanakan untuk mengatasi stres khususnya dalam kalangan guru novis seperti mewujudkan kolaborasi dengan rakan setugas dan pentadbiran sekolah, luangkan masa bersama rakan-rakan dan keluarga, melakukan aktiviti berjoging dan rekreasi, mendengar muzik, menulis jurnal peribadi dan mendapatkan bantuan professional (Lokanadha

& Vijaya, 2013). Guru-guru juga disarankan untuk menambahbaikan kecerdasan emosi mereka agar lebih bersedia berhadapan dengan tingkah laku murid yang di luar jangkaan (Justice & Espinoza, 2007; Kremenitzer & Miller, 2008) serta mereka mampu untuk mengurangkan tahap stres semasa berada di dalam bilik darjah (Sy, Tram & O’ hara, 2006).

Berdasarkan sorotan literatur yang dihuraikan di atas, jelas menunjukkan bahawa terdapat beberapa faktor yang menyebabkan guru-guru berasa stres. Antaranya adalah faktor beban kerja, kekangan masa, karenah pelajar, hubungan dengan rakan sekerja, ibu bapa pelajar dan pentadbir, bahan bantu mengajar, kurang sokongan dari pihak pentadbir, kesamaran peranan, mengurus aktiviti-aktiviti pelajar dan harapan tinggi daripada ibu bapa pelajar. Memandangkan guru-guru merupakan aset penting yang diperlukan oleh negara, maka golongan guru perlu diberi perhatian khususnya dalam menghadapi stres. Dengan wujudnya stres dalam kalangan guru, akan memberi impak terhadap guru untuk memberi komitmen semasa menjalankan tugas dan tanggungjawab di sekolah.

100 2.7 Komitmen Organisasi