• Tidak ada hasil yang ditemukan

TINJAUAN LITERATUR

2.3 Demografi dan Kecerdasan Emosi, Stres serta Komitmen

2.4.2 Teori Prestasi Kecerdasan Emosi

Teori ini dirangka oleh Goleman (2000) berasaskan penulisannya di dalam buku The Emotionally Intelligent Workplace yang bertajuk Working with Emotional Intelligence. Goleman membahagikan kecerdasan emosi kepada lima dimensi iaitu (a) kesedaran kendiri (b) kawalan kendiri (c) motivasi (d) kesedaran sosial atau empati dan (e) kemahiran sosial di mana kesedaran kendiri, pengurusan diri, dan motivasi adalah subset kepada kompetensi diri manakala kesedaran sosial dan kemahiran sosial adalah komponen kompetensi sosial. Goleman (2007) juga

51

menjelaskan bahawa kelima-lima dimensi ini dapat meningkatkan tahap kehidupan dan pembelajaran bagi individu dari pelbagai budaya.

(a) Kompetensi diri

Dimensi kesedaran kendiri dibahagi kepada tiga bahagian. Pertama, kesedaran emosi kendiri iaitu kemampuan seseorang untuk mengenali dan memahami perasaannya sendiri. Misalnya, seseorang boleh mengenal pasti dirinya berasa bersalah, iri hati, bahagia, atau sedih dengan cepat. Kedua, penilaian diri yang tepat di mana ia bermaksud seseorang menyedari tentang kemampuan dan keterbatasannya, belajar daripada kesalahan, tahu perkara yang harus diperbaiki dan masa yang sesuai untuk bekerjasama dengan orang lain (Matthews, Zeider &

Roberts, 2002). Keyakinan pula merujuk kepada kepercayaan tentang keberkesanan kendiri iaitu satu persepsi berkaitan dengan kemampuan seseorang untuk melakukan apa yang diperlukan bagi mencapai tujuannya manakala unsur yang terakhir dalam dimensi ini adalah harga diri dan merupakan penilaian diri seseorang secara keseluruhannya.

Kawalan kendiri iaitu dimensi kedua meliputi pengurusan impuls dan perasaan sedih yang mengandungi kompetensi seperti berikut; pengawalan diri, kepercayaan, sifat berhati-hati, penyesuaian, dan inovasi (Goleman, 2000). Pertamanya, pengawalan diri adalah satu kompetensi pengendalian diri yang paling asas. Cherniss dan Adler (2000) "orang yang memiliki kompetensi ini mampu menguruskan perasaan impulsif dan emosi sedih, sentiasa positif walaupun dalam situasi yang sulit, dan tenang di bawah tekanan" manakala individu dengan kompetensi kepercayaan akan

52

berperilaku secara beretika dan otentik. Mereka unggul dalam membina kepercayaan kerana kebolehpercayaan dan kemampuan untuk mengakui kesalahan sendiri (Goleman, 2000). Kepercayaan adalah sangat penting untuk hubungan interpersonal yang sihat dan pengawalan dalam organisasi.

Sifat berhati-hati adalah satu contoh untuk pengendalian diri. Goleman (2000) menyatakan bahawa individu yang berhati-hati “memenuhi komitmen dan menepati janji, bertanggungjawab, mempunyai perancangan dan serius dalam kerja mereka”.

Walau bagaimanapun, dapatan kajian menunjukkan bahawa sifat berhati-hati mempunyai kolerasi positif paling kuat dengan latihan dan prestasi kerja (Barrick &

Mount, 2001). Penemuan ini amat berharga kepada golongan pendidik kerana mereka dapat memahami perilaku dan sikap pelajar.

Penyesuaian adalah keupayaan seseorang individu untuk mengubahsuai tindakan ketika menerima maklumat baru. Goleman (2000) menegaskan bahawa individu-individu yang mampu menyesuaikan diri dapat melakukan perkara-perkara berikut:

1) Mengendalikan pelbagai tuntutan, pemilikan dan perubahan.

2) Dapat menyesuaikan respons dan taktik dengan keadaan yang sentiasa berubah.

3) Fleksibel dalam melihat sesuatu perkara .

Plunkett dan Attner (1997) menyatakan untuk menjadi adaptif seseorang individu memerlukan tenaga, komitmen, dan perhatian. Oleh itu, kemampuan menyesuaikan

53

diri sebagai kecerdasan peribadi boleh berubah di antara rumah, tempat kerja, dan bilik darjah. Unsur kompetensi kawalan kendiri yang terakhir ialah inovasi. Goleman (2000) menjelaskan bahawa individu yang inovatif “mencari idea baru daripada pelbagai sumber, menyelesaikan masalah, menghasilkan idea dan perspektif baru serta risiko dalam pemikiran mereka”.

Dimensi ketiga dalam rangka kompetensi emosi Goleman ialah motivasi. Ia terdiri daripada dorongan prestasi, komitmen, inisiatif, dan optimisme. Goleman (2000) menyatakan bahawa individu yang mempunyai kompetensi dorongan prestasi menunjukkan perlakuan berikut:

1) Berorientasikan hasil dan mempunyai dorongan yang tinggi untuk mencapai tujuan dan piawainya

2) Menentukan tujuan yang mencabar dan mengambil risiko.

3) Mencari maklumat untuk mengurangkan ketidakpastian dan mencari jalan untuk penambahbaikan

4) Belajar untuk memperbaiki prestasi.

Komitmen merujuk kepada sejauh mana seseorang individu terlibat dalam apa pun yang dilakukan. Goleman (2000) menekankan bahawa orang yang mempunyai kompetensi ini boleh membuat pengorbanan dengan mudah bagi mencapai tujuan organisasi atau menjayakan sesuatu tugasan kumpulan. Komitmen seseorang kepada tujuan, objektif dan program atau projek akademik adalah penting untuk menentukan kejayaan sesebuah organisasi.

54

Inisiatif adalah satu kualiti bagi pendidik, ibu bapa, dan pemimpin. Goleman menjelaskan bahawa orang yang berinisiatif biasanya mempunyai ciri-ciri berikut:

1) Bersedia untuk merebut peluang.

2) Mengejar pencapaian yang lebih tinggi daripada yang ditentukan.

3) Mengelakkan birokrasi dan melanggar peraturan apabila diperlukan untuk menyiapkan kerja.

4) Memobilisasikan orang lain melalui usaha-usaha yang bersungguh-sungguh dan luar biasa .

Kompetensi motivasi yang terakhir adalah optimistik. Optimistik adalah kebolehan untuk menjangka keputusan pada tindakan dan perkara yang terbaik. Goleman (2007) menegaskan bahawa optimistik juga dapat meramalkan kejayaan akademik serta penting kepada psikologis dan para pengurus perniagaan untuk menghasilkan tahap prestasi tertinggi dalam kalangan pelajar atau pekerja mereka.

(b) Kompetensi Sosial

Dimensi kesedaran sosial adalah aspek penting dalam kecerdasan emosi dan merupakan satu kesedaran terhadap keadaan emosi, kehendak dan keperluan orang lain. Ioannidou dan Konstantikaki (2008) mendapati bahawa orang yang berempati mungkin akan dapat membantu orang lain yang memerlukan bantuan kerana mereka dapat merasai kesulitan orang lain. Goleman (2000) menjelaskan bahawa kesedaran sosial mengandungi kompetensi berikut: memahami dan memajukan orang lain, berorientasikan perkhidmatan, meningkatkan kepelbagaian, dan kesedaran terhadap politik. Contohnya, orang yang mendapat skor yang tinggi dalam empati lebih

55

menghormati orang lain dan mereka lebih memahami pelbagai pandangan (Cherniss

& Alder, 2000). Orang yang berempati dapat membaca ungkapan, nada suara, dan petunjuk emosi lebih baik daripada orang lain. Hasilnya, individu yang berempati akan dapat membina hubungan yang lebih rapat, atau memaparkan perilaku alturistik.

Dimensi terakhir bagi rangka kecerdasan emosi Goleman ialah kemahiran sosial yang merangkumi kualiti pengaruh, komunikasi, pengurusan konflik, kepimpinan, pemangkin perubahan, pembinaan hubungan, kolaborasi dan kemampuan berpasukan. Individu yang cerdas emosinya akan dapat mengembangkan hubungan interpersonal melalui penggunaan kemahiran sosial. Perkembangan kemahiran-kemahiran sosial ini pada tahap awal dapat membantu individu dalam bidang akademik dan cabaran pada masa depan dengan lebih baik. Pada hakikatnya, kualiti kecerdasan kemahiran sosial ini akan menambah nilai di bilik darjah, tempat kerja, dan perkembangan diri.