• Tidak ada hasil yang ditemukan

Model Abiliti Kecerdasan Emosi Mayer dan Salovey

TINJAUAN LITERATUR

2.3 Demografi dan Kecerdasan Emosi, Stres serta Komitmen

2.4.1 Model Abiliti Kecerdasan Emosi Mayer dan Salovey

Mayer dan Salovey (2004) telah merangka semula perkembangan model kecerdasan emosi secara lebih saintifik bila mana mereka mendapati model-model sebelumnya tidak berupaya sepenuhnya dari segi memproses, merealisasi dan keberkesanan dalam aspek emosi. Ini kerana sesetengah orang lebih berkemampuan mengurus emosi diri dengan baik seperti dapat mengidentifikasikan perasaaan diri sendiri, perasaan orang lain dan dapat menyelesaikan masalah-masalah atau isu yang berkaitan emosi. Oleh itu mereka telah membentuk model yang berasaskan pertimbangan kognitif untuk membezakan dan menggunakan emosi (Goleman, 2007).

Justeru definisi kecerdasan emosi sebagai kecerdasan sosial iaitu kemampuan untuk mengamati emosi dirinya dan orang lain, mengklasifikasikannya serta menggunakan maklumat tersebut sebagai panduan untuk memikir sesuatu tindakan yang bersesuaian (Mayer & Salovey, 2004) telah distrukturkan semula dan melibatkan aspek berkaitan (a) kemampuan untuk menilai emosi (b) kemampuan mental dalam mempersepsi emosi (c) kemampuan untuk berhubung dengan orang bawahan dan (d) kemampuan menyuntik emosi sebagai kaedah membantu memahami emosi dirinya dan orang lain (Mayer & Salovey, 2008).

Berasaskan kepada definisi tersebut satu model abiliti kecerdasan emosi telah dibentuk yang merangkumi empat kelompok iaitu:

45

1) Persepsi emosi iaitu kebolehan mengenal pasti emosi dan meluahkanya dengan tepat seperti kemampuan untuk mengenal pasti perlakuan emosi melalui wajah, cerita dan muzik.

2) Penggunaan emosi iaitu kebolehan menggunakan emosi secara konstruktif dalam membuat keputusan dan menyelesaikan masalah.

3) Memahami emosi iaitu kebolehan mentafsir maksud-maksud pelbagai emosi, tujuanya dan hubungannya dengan pemikiran dan perasaan serta kesanya pada interaksi antara satu sama lain.

4) Pengurusan emosi iaitu kebolehan mengurus emosi supaya ada peningkatan dalam aspek personal dan sosial meliputi implikasi fakta-fakta sosial dan peraturan-peraturan dalam emosi diri sendiri dan orang lain.

Kelompok pertama: Melibatkan persepsi emosi iaitu kemampuan yang digunakan untuk mengenal pasti emosi dan komunikasi bukan lisan. Empat komponen penting yang terdapat dalam keupayaan ini ialah (a) keupayaan untuk mengenal pasti emosi yang ada pada dirinya sendiri, (b) keupayaan untuk mengenal pasti emosi orang lain, (c) keupayaan untuk menunjukkan emosi dengan tepat, dan (d) keupayaan untuk meneliti emosi yang sebenarnya daripada reaksi berpura-pura (Mayer & Salovey, 2000).

Keupayaan untuk mengenal pasti emosi yang terdapat pada orang lain telah berkembang daripada pengalaman yang melibatkan bahasa, kelakuan, warna, kerja-kerja seni dan reka cipta (Yocum, 2006). Hughes dan Dunn (2002) mendapati

46

bahawa kanak-kanak yang berumur empat tahun mampu mengenal pasti dan membekalkan satu sebab bagi emosi negatif. Yocum (2006) juga menyatakan bahawa keupayaan untuk menjelaskan emosi sebenar berbanding berpura-pura merupakan salah satu kemahiran kritikal dalam perkembangan kelompok pertama ini. Pengkaji ini telah menjelaskanya seperti berikut;

Seseorang yang mempunyai keupayaan yang tinggi untuk meneliti emosi akan mencapai kecemerlangan dalam mengenal pasti emosi sebenar serta dapat dilihat daripada pihak yang tidak ikhlas. Seseorang individu yang mahir dalam membezakan emosi benar atau pun berpura-pura juga mempunyai peluang yang agak tinggi untuk menjadi unggul dalam memanipulasikan seseorang secara emosi, tidak kira tujuannya adalah baik atau pun tidak.

Kelompok kedua: Merujuk kepada penggunaan emosi di mana keupayaan ini juga dikenali sebagai pemikiran pemudah emosi dan fokus dalaman. Kelompok ini merangkumi pengumpulan pengetahuan mengenai tanda-tanda fisiologi emosi yang tersendiri (Mayer, Salovey, & Caruso, 2004). Justeru itu dengan memahami antara emosi dan pemikiran, ia boleh digunakan untuk mengarah perancangan seseorang individu (Izard, 2009). Mayer dan Salovey (2000) mendapatinya sebagai satu

“teater dari minda”, ia merupakan keupayaan seseorang individu dalam menentukan hasil daripada potensi serta memilih tindak balas emosi bersesuaian dengan tindakannya.

Keupayaan-keupayaan yang terdapat dalam kelompok ini ialah (a) emosi yang memfokuskan proses pemikiran individu melalui penekanan kepada maklumat yang penting (b) emosi yang boleh digeneralisasikan tepat pada masanya dan digunakan untuk membuat keputusan (c) emosi dapat menukarkan persepsi seseorang dan

47

membolehkannya mendapatkan pandangan alternatif serta (d) emosi yang berbeza-beza peringkatnya atau dapat mengurangkan proses pemikiran (Mayer & Salovey, 1997).

Kelompok ketiga: Kelompok ini merujuk kepada pemahaman emosi yang berkaitan dengan keupayaan untuk menganalisa emosi dan menyedari kemungkinan kesannya pada masa hadapan (Mayer, Salovey, & Caruso, 2004). Keupayaan dalam kelompok ini ialah (a) kemahiran dalam mengenal dan melabel emosi dengan tepat, (b) kemahiran untuk memahami dan mentafsir maklumat dan hubungan, (c) kemahiran memahami perasaan yang berlainan seperti kegembiraan dan kesengsaraan dan (d) kemahiran memahami peralihan, seperti perasaan teruja yang akan membawa kepada kemarahan, di mana emosi yang kompleks akan dirasai pada masa yang sama (Mayer & Salovey, 2000).

Kelompok keempat; Kelompok ini adalah berkaitan dengan pengurusan emosi. Ia termasuk keupayaan untuk mengenal pasti dan penggunaan tindak balas emosi yang paling sesuai dalam konteks situasi. Mayer, Salovey, dan Caruso (2004) menyatakan bahawa kelompok ini menunjukkan emosi “adalah diuruskan dalam konteks matlamat individu, pengetahuan diri, dan kesedaran sosial”. Empat keupayaan asas yang terdapat dalam kelompok ini ialah (a) sikap keterbukaan pada perasaan positif dan negatif, (b) keupayaan untuk melibatkan diri berdasarkan maklumat tentang kegunaan emosi yang sedia ada, (c) keupayaan menguasai emosi dengan tepat dalam diri sendiri atau pun orang lain dan (d) keupayaan dalam mengawal emosi sendiri serta emosi orang lain dengan memanfaatkan emosi positif dan mengurangkan emosi

48

negatif secara jujur dan tepat (Mayer & Salovey, 2008). Kelompok ini agak sukar untuk dikuasai di mana Mayer dan Salovey (2000) menerangkannya seperti berikut:

‘Kesedaran tentang pengurusan emosi adalah untuk mempertingkatkan pertumbuhan emosi dan daya intelek. Tindakan kepada emosi perlu kepada tolak ansur dan ia tidak bergantung kepada kesenangan atau pun kesukaran.

Hanya sekiranya seseorang itu melayani perasaan, barulah dia mendapat pengajaran daripadanya’.

Justeru, pembahagian kecerdasan emosi ini daripada peringkat yang asas kepada tertinggi telah menunjukkan bahawa wujudnya keperluan integrasi dalam proses psikologikal seseorang individu (Yahya, 2010). Ini disebabkan bahagian yang rendah secara realtifnya memperlihatkan keupayaan untuk menerima dan mempamerkan emosi, manakala peringkat tertinggi lebih kepada justifikasi relektif emosional

Seseorang yang mempunyai kecerdasan emosi yang tinggi peringkatnya akan dapat mewujudkan hubungan sosial yang positif dengan orang lain dan berkebolehan menggunakan maklumat emosi yang terdapat di sekeliling serta lebih cepat bertindak dan peka terhadap sesuatu keadaan (Mayer & Ciarrochi, 2001). Sebaliknya, kecekapan emosi yang rendah akan dikaitkan dengan kemerosotan dalam kesejahteraan emosi dari semasa ke semasa, terutamanya kepada golongan wanita (Ciarrochi & Scott, 2006). Kajian lain yang menyokong idea tersebut menjelaskan bahawa golongan wanita biasanya menggunakan maklumat emosi dengan jumlah yang lebih besar berbanding dengan golongan lelaki.

Kecerdasan emosi yang dibentuk oleh Mayer dan Salovey (2000) telah dikaitkan dengan beberapa aspek kehidupan. Kecerdasan Emosi yang tinggi merupakan satu

49

pemboleh ubah yang utama dalam membina kesejahteraan hidup, kestabilan emosi, dan fungsi interpersonal (Day, et al., 2004; Schutte, et al., 2002) serta kualiti persahabatan. Clarke (2010) pula mendapati bahawa kecerdasan emosi dan perasaan empati mempunyai hubungan yang signifikan dalam pengurusan sesuatu projek.

Kecerdasan emosi juga telah dibuktikan dapat meramal prestasi kerja yang baik (Aydin, et al., 2005), kepuasan para pelanggan (Kernbach & Schutte, 2005), fungsi tingkah laku sosial (Brackett, et al., 2006) serta sokongan moral rakan sekerja (Amitay, & Montrain, 2007).

Untuk tujuan pendidikan dan kegunaan para pelajar, kecerdasan emosi telah dijustifikasikan secara positif dengan kerja-kerja akademik (Petrides et al., 2007;

Rode, et al., 2007). Ini dapat dibuktikan melalui kajian oleh Adeoye Emeke yang mendapati kesan positif dan signifikan terhadap pembelajaran selepas pelajar-palajar melalui satu program latihan selama lapan minggu di Nigeria dan bagi mereka yang mengalami kegagalan untuk menguruskan emosi berkecenderungan mengurangkan prestasi kerja (Yang & Mossholder, 2004), di mana kompetensi emosi yang rendah sering dikaitkan dengan kualiti kerja yang lebih rendah (Ciarrochi & Scott, 2006).

Tahap yang rendah dalam kecerdasan emosi seseorang individu juga menyebabkan pilihan gaya hidup yang negatif berbanding dengan individu yang mempunyai kecerdasan emosi yang lebih tinggi (Brackett, et al., 2006).

Schutte, Malouff, Hall, Haggerty, Cooper, Golden dan Dornheim (1998) telah mencadangkan Skala Penilaian Emosi yang berdasarkan kepada model kecerdasan emosi Mayer dan Salovey (2000) sebagai alat pengukuran dalam kajian mereka.

50

Cadangan tersebut melibatkan perubahan pada sub skalanya iaitu persepsi emosi untuk penilaian emosi, pemahaman emosi bagi kawalan mood, penggunaan emosi tidak berubah dan pengurusan emosi untuk kemahiran sosial (Ciarrochi, et al., 2002).

Skala ini adalah satu inventori laporan kendiri yang mempunyai 33 item dan merujuk kepada sub skala berikut (Ciarrochi, et al., 2001): penilian emosi (item 5, 9, 15, 18, 19, 22, 25, 29, 32, 33), kawalan mood (item 2, 3, 10, 12, 14, 21, 23, 28, 31), penggunaan emosi (item 6, 7, 8, 17, 20, 27) dan kemahiran sosial (item 1, 4, 11, 13, 16, 24, 26, 30). Ciarrochi juga mendapati bahawa skala ini mempunyai ciri-ciri psikometrik yang cukup baik semasa digunakan terhadap remaja di Australia dan Kanada (Charbonneau & Nicol, 2002) dan remaja di Malaysia (Liau, Teoh & Liau, 2003). Seterusnya item-item ini juga telah diterjemah serta digunakan dalam pelbagai bahasa seperti bahasa Ibrani (Carmeli, 2003), Poland (Oginska-Bulik, 2005), Sweden (Sjoberg 2001) dan Turki (Yurtsever, 2003). Justeru skala ini sesuai digunakan untuk menjalankan kajian dan membantu individu menilai diri sendiri seperti matlamat kerjaya atau fungsi emosi (Schutte, et al.,1998).