Perkembangan dunia masa ini telah mendedahkan para remaja kepada kerjaya yang lebih kompleks. Hal ini disebabkan idea globalisasi dan ledakan teknologi maklumat semakin mendapat sambutan serta dorongan daripada pelbagai pihak, terutamanya dalam kalangan negara-negara membangun dan maju. Kesan langsung daripada itu ialah dorongan terhadap kewujudan bidang - bidang baru serta percambahan kerjaya daripada bidang-bidang yang sedia ada.
Kerjaya kini menjadi semakin berfokus dan menjurus kepada tugasan-tugasan khusus. Kewujudan pengkhususan ini secara tidak langsung telah memacu perkembangan industri ke hadapan dengan begitu pantas dan lebih agresif. Hal ini disebabkan wujud bidang-bidang khusus seperti Multimedia, Kejuruteraan Sistem dan Rangkaian, Animasi dan ICT. Jika 20 tahun yang lalu, kita hanya mendengar kerjaya di bidang Sains Komputer, tetapi kini telah wujud bidang-bidang khusus seperti Multimedia, Kejuruteraan Sistem dan Rangkaian, Animasi dan ICT. Oleh yang demikian, memberi fokus kepada bidang-bidang khusus dalam pekerjaan merupakan salah satu cabaran dalam bidang kerjaya remaja.
Globalisasi pula telah menghasilkan pelbagai kerjaya baru yang mungkin, pada awalnya begitu janggal dalam kalangan para remaja. Kewujudan perniagaan secara on- line dan perniagaan jualan langsung telah membuka dimensi baru kepada kaedah berniaga yang selama ini dimonopoli oleh dunia perniagaan konvensional. Kini, masyarakat telah mula dapat menerima sistem baru ini dalam kehidupan seharian mereka. Kerjaya dalam bidang ini turut menjanjikan pulangan yang lumayan.
Dalam aspek yang lain pula, kini telah wujud satu masalah baru dalam kalangan para remaja untuk menentukan kerjaya mereka. Terlalu banyak peluang kerjaya yang terbentang menyebabkan mereka gagal mengenalpasti dan memahami secara mendalam kerjaya yang ingin diceburi. Lantas, kebanyakan remaja hanya mula memikirkan kerjaya mereka selepas menamatkan alam persekolahan atau mendapat keputusan peperiksaan. Pilihan kerjaya kini adalah berdasarkan kepada keputusan peperiksaan , bukan lagi minat dan cita-cita sebenar mereka. Namun remaja harus bersikap positif dan percaya bahawa “di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”. Justeru, terlalu banyak peluang kerjaya yang wujud telah memberi cabaran dan tamparan hebat kepada remaja untuk membuat pilihan yang tepat.
Fenomena ini sebenarnya telah menjadikan para remaja hari ini kurang berdaya saing apabila berada dalam alam pekerjaan. Seringkali kita mendengar keluhan dan rasa tidak puas hati yang diluahkan oleh mereka selepas beberapa tahun bekerja.
Perasaan ini sebenarnya merupakan kesan langsung yang wujud apabila remaja merasakan yang mereka berada dalam keadaan ‘at a wrong time, in a wrong place”. Contohnya,kerjaya yang diceburi bukan pilihan atau minat remaja. Kebanyakan mereka akan menganggap bahawa kerja itu hanya untuk makan gaji atau “sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja”. Tuntasnya, jelaslah kepada kita bahawa remaja menjadi kurang berdaya saing disebabkan oleh kerjaya yang diceburi bukannya pilihan utama mereka.
Sistem pendidikan kini tidak mendedahkan remaja kepada kerjaya pilihan mereka pada usia yang muda sehingga remaja tidak menunjukkan minat yang mendalam untuk mencapai cita-cita mereka. Sistem pendidikan di negara kita juga tidak banyak membantu dalam menjuruskan pendidikan ke arah kerjaya para remaja tersebut. Contohnya, mata pelajaran yang ditawarkan seperti bidang kesusasteraan,kemanusiaan dan sosiologi tidak menjurus kepada alam pekerjaan sebenar. Hal ini berbeza dengan negara-negara maju yang lain kerana mampu melahirkan generasi yang lebih bersikap positif dan agresif dalam bidang yang mereka ceburi pada usia yang muda. Oleh yang demikian, sistem pendidikan yang sedia ada merupakan satu cabaran kepada kerjaya remaja masa kini.
Persoalan penting yang harus diberikan perhatian kini adalah apakah para remaja kita sebenarnya telah bersedia untuk memahami cabaran ini dan bersedia untuk menghadapinya ? Para remaja harus disedarkan bahawa limpahan kerjaya yang wujud masa kini tidak menjanjikan pulangan yang lumayan jika mereka tidak benar-benar memahami keperluan dan cabaran kerjaya tersebut. Kerjaya yang bersifat khusus ini sebenarnya dibangunkan untuk melahirkan tenaga mahir dan pakar dalam bidang tersebut. Sebagai contoh, kerjaya di bidang multimedia memerlukan mereka yang benar-benar menguasai bukan sahaja penggunaan ‘software’ tetapi juga pakar dalam mengolah bahasa pengatucaraan dan teknik sebenar dalam perfileman. Hal ini kemudiannya diterjemahkan kepada hasil kerja yang berkualiti dan mampu diterima oleh pasaran. Para remaja perlu sedar dan bersedia untuk mengorbankan tenaga dan usaha yang bukan sedikit untuk menguasai semua cabang ini.
Selain daripada itu, para remaja juga harus sedar bahawa limpahan kerjaya masa kini tidak bermakna mereka akan dengan mudah memperoleh peluang pekerjaan setelah tamat pengajian mereka. Perkara ini disebabkan tidak semua kerjaya diperlukan oleh industri pada skala yang besar. Akibatnya akan berlaku keadaan para graduan sesuatu bidang terpaksa beralih arah kepada kerjaya lain lantaran kegagalan mencari pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan mereka. Kita sering mendengar bagaimana bidang perguruan menjadi pilihan terakhir mereka yang berkelulusan daripada bidang lain disebabkan desakan untuk mendapatkan kerja.
Kurang pengorbanan terhadap kerjaya yang diceburi juga merupakan cabaran dalam kerjaya remaja. Remaja kurang kesedaran bahawa minat yang benar-benar mendalam harus ada dan dipupuk sejak awal lagi. Malah mereka harus bersedia untuk berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk terus berada dalam kerjaya yang mereka impikan itu. Seorang pelukis contohnya, akan memerlukan masa selama bertahun-tahun bergelumang dalam bidang ini sebelum nama dan hasil kerjanya diiktiraf oleh masyarakat. Keadaan ini bukan sahaja merupakan suatu beban dan cabaran,
tetapi juga memerlukan daya tahan yang amat tinggi dalam diri mereka. Usaha yang bersungguh-sungguh pasti membuahkan hasil. Bak kata pepatah, “kalau tidak dipecahkan ruyung masakan dapat sagunya”. Kesimpulannya,kurangnya sifat tanggungjawab dan sanggup berkorban merupakan cabaran kepada kerjaya remaja.
Justeru, adalah amat penting untuk para remaja hari ini diberikan pemahaman dan sokongan padu daripada pelbagai pihak supaya mereka dapat memilih kerjaya yang benar-benar sesuai dan mampu dilakukan oleh mereka. Unit Bimbingan dan Kaunseling di peringkat sekolah mestilah mempersiapkan diri dengan pelbagai maklumat terkini bagi membolehkan para remaja mendapatkan panduan yang diperlukan seterusnya mampu membantu mereka dalam membuat pilihan yang lebih bijak.