• Tidak ada hasil yang ditemukan

PERANAN ICT DALAM PEMBANGUNAN NEGARA

Dalam dokumen KARANGAN RESPON TERBUKA.doc (Halaman 63-65)

Gelombang revolusi ketiga yang melanda dunia telah mengubah cara hidup rakyat Malaysia. Revolusi yang bertunjangkan Teknologi maklumat (ICT) ini merupakan kombinasi komputer, telekomunikasi dan sistem maklumat yang menjadi pemangkin untuk merealisasikan matlamat Wawasan 2020. Revolusi ini juga dapat melahirkan masyarakat Malaysia yang berpendidikan dan bermaklumat agar kita setanding dan berdiri sama tinggi serta duduk sama rendah dengan rakyat negara maju yang lain. Lantaran itu, kerajaan tidak teragak-agak untuk membuat pelaburan yang besar untuk memajukan bidang ini dengan pembinaan Koridor Raya Multimedia(MSC) kerana bidang ini dapat membangunkan negara dengan lebih pesat.

ICT dapat meningkatkan pengurusan dan pentadbiran negara. Hasrat negara untuk mewujudkan kerajaan elektronik (e-kerajaan ) akan lebih cepat tercapai. Semua urusan kerajaan akan dijalankan melalui media elektronik. Pengurusan dokumen- dokumen, permohonan pelbagai jenis lesen serta pembaharuan permit-permit yang berkaitan dapat dijalankan dengan mudah, cepat dan tepat. Ringkasnya, data dan maklumat dapat diproses dengan segera. Secara langsung, hal ini akan menjimatkan masa, tenaga, dan wang kerajaan serta rakyat kerana segala maklumat berada di hujung jari. Selain itu, dasar kerajaan juga dapat disebarkan secara meluas kepada rakyat. Pendek kata , pentadbiran kerajaan dan swasta menjadi lebih cepat dan cekap lantas dapat meningkatkan keyakinan pelabur dan orang luar.

Lanjutan daripada itu, ICT dapat memajukan sistem pendidikan di negara kita. Penubuhan Sekolah Bestari dapat direalisasikan. Pelajar-pelajar menggunakan komputer dalam pembelajaran. Bahan pembelajaran disediakan dalam pakej multimedia yang dimuatkan dalam komputer. Guru hanya bertindak sebagai fasilitator. Pelajar- pelajar pintar dapat mengikuti pelajaran lebih tinggi tanpa batasan kelas dan umur. Keadaaan ini akan dapat melahirkan lebih ramai cendekiawan yang dapat membantu dalam pembangunan negara. Di samping itu, pelajar-pelajar sekolah bestari turut dapat berkongsi maklumat dengan pelajar-pelajar di sekolah di seluruh negara dan dunia melalui persidangan video atau penggunaan e-mel. Dasar langit terbuka yang ada sekarang dapat melahirkan generasi berilmu dan bermaklumat, yang sama-sama akan memajukan negara. Sistem pendidikan jarak jauh juga dapat dilancarkan. Keadaan ini menawarkan peluang pendidikan yang lebih luas di samping menjimatkan kos. Kemudahan ini akan melahirkan modal insan yang mahir menerajui sektor telekomunikasi negara suatu hari ini. Pendek kata, ICT membolehkan sistem pendidikan Malaysia bertaraf dunia.

Kemajuan ICT juga dapat meningkatkan kemajuan ekonomi negara. Perdagangan anatarabangsa dapat dijalankan. Peniaga dan pengusaha dapat mengendalikan perniagaan mereka di seluruh dunia. Mereka dapat menghubungi sesiapa sahaja di seluruh dunia melalui persidangan video, mesin faksimili, Internet dan e-mel. Pengaplikasian dunia tanpa sempadan, membolehkan para peniaga dapat mengikuti perkembangan terkini pasaran saham antarabangsa dan domestik. Setiap

masa mereka dapat mengikuti trend terkini perniagaan dunia di samping memahami kehendak para pengguna. Dengan ini dapatlah golongan peniaga ini membuat keputusan yang berkaitan urusan perniagaan dengan bijak dan tepat. Mereka juga mampu menjalin hubungan dagangan dengan rangkaian yang lebih luas sama ada di dalam negara, mahupun di luar negara. Di samping itu, Malaysia juga boleh menjadi pusat pemasaran tanpa sempadan. Pelbagai kemudahan seperti perlindungan undang- undang, tempat kediaman berkualiti serta kemudahan telekomunikasi disediakan. Maka, hasrat kerajaan untuk menjadi hub bagi pelbagai jenis barangan pengguna dapat direalisasikan. Intihanya, Malaysia mampu menjadi pusat perdagangan antarabangsa

ICT juga dapat meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan menerusi teleperubatan. Menerusi kaedah teleperubatan, doktor tempatan dapat berinteraksi secara terus dengan pakar-pakar perubatan lain di seluruh dunia. Perbincangan sesama mereka dapat dijalankan secara terus dan cepat tanpa membazirkan masa dan wang. Pakar-pakar luar negara tidak perlu berada di dalam bilik pesakit negara kita ketika rawatan diberikan. Pakar-pakar tersebut akan merawat pesakit di Malaysia melalui kaedah teleperubatan ini dengan bantuan doktor tempatan. Seterusnya, setiap penemuan terbaru dalam bidang perubatan dan kaedah rawatan terkini juga dapat disebarkan serta-merta. Dengan itu, pakar perubatan kita setanding dengan pakar luar negara dan secara tidak langsung taraf kesihatan dan pengetahuan rakyat tentang kesihatan turut meningkat. Secara keseluruhannya, ICT membolehkan rawatan yang lebih cepat, selamat dan menjimatkan dapat dinikmati oleh rakyat di negara ini.

Tidak ketinggalan juga, ICT dapat memajukan pelbagai bidang yang diusahakan di negara kita. Umpamanya bidang pertanian. Menerusi ICT, pelbagai teknik atau kaedah terkini dalam bidang ini dapat diketahui oleh para pengusaha. Para petani juga dapat mengetahui penghasilan pelbagai produk baru yang patut diterokai dan diusahakan. Pendek kata, bioteknologi yang begitu diberi penekanan oleh pihak kerajaan menerusi Kementerian Pertanian Malaysia, akan merevolusikan bidang ini pada suatu hari nanti. Pastinya pihak kerajaan mengharapkan pengusaha tempatan akan dapat membangunkan bidang pertanian moden dalam skala besar yang lebih besar, dan seterusnya menghasilkan pulangan yang lebih lumayan. Lanjutan daripada itu, ICT juga dapat memberi nilai tambah kepada industri-industri kecil dan sederhana yang diusahakan oleh rakyat tempatan. Umpamanya, Projek Agribazaar diperkenalkan dengan tujuan untuk membantu pengusaha-pengusaha memasarkan produk-produk mereka secara maya tanpa melibatkan orang tengah. Secara tidak langsung, keadaan ini pastinya akan dapat meningkatkan taraf hidup rakyat, terutamanya yang berada di luar bandar.

Kesimpulannya, kepentingan ICT tiada batasannya kerana

kemampuannya mambangunkan dan melonjakkan pelbagai bidang yang diusahakan dalam kehidupan kita. Jadi, memandangkan hasrat kerajaan untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020 maka, kita sebagai warga yang prihatin dan bertanggungjawab perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi yang menjadi nadi kehidupan masa ini, supaya kita tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung.

KARANGAN RESPON TERBUKA 19

Dalam dokumen KARANGAN RESPON TERBUKA.doc (Halaman 63-65)