Peranan OMS
PERANAN ORGANISASI MASYARAKAT SIVIL DI ACEH SEBELUM DAN PASCA MoU HELSINKI
4.1 Pengenalan
Bab keempat ini berhujah mengenai peranan Organisasi Masyarakat Sivil (OMS) di Aceh semasa konflik atau sebelum MoU Helsinki, era pemulihan dan pembinaan semula pasca tsunami serta pasca MoU Helsinki. Bab ini juga turut membincangkan mengenai peranan utama OMS semasa era konflik dan pasca MoU Helsinki serta jenis-jenis usaha yang dilakukan untuk menyokong perdamaian di Aceh.
Huraian awal bab ini mengenai peranan OMS di Aceh dalam masyarakat menerusi usaha peningkatan kelompok masyarakat pada era konflik atau sebelum MoU Helsinki, termasuk usaha advokasi terhadap pencabulan Hak Asasi Manusia (HAM) dan penamatan Daerah Operasi Militer (DOM).
Bahagian kedua, dihuraikan mengenai peranan OMS dalam usaha untuk mewujudkan damai di Aceh dengan membincangkan mengenai sejumlah peristiwa utama yang menyokong proses-proses perdamaian.
Bahagian ketiga dibincangkan mengenai peranan OMS Aceh pasca MoU Helsinki. Huraian ini dimulakan dengan aktor-aktor utamanya, jenis dan fungsi OMS di Aceh dalam pembinaan perdamaian, penyertaan OMS pasca tsunami, penyertaan dalam advokasi dasar, serta perkembangan OMS di Aceh pasca tsunami dan MoU Helsinki. Turut dihuraikan mengenai peranan strategis OMS Aceh dalam pembinaan perdamaian dan transformasi konflik.
Berdasarkan huraian pada Bab 2 dan Bab 3, difahami bahawa OMS di Aceh telah lama wujud dan melakukan pelbagai usaha terhadap masyarakat Aceh semenjak awal abad ke 20. OMS di Aceh terus mengalami perubahan selari dengan peristiwa konflik yang berlaku. Contohnya, OMS mula dilaksanakan oleh kaum ulama melalui isu pendidikan dan berkembang pada isu ekonomi dengan harapan wujudnya masyarakat Aceh yang maju dalam pelbagai aspek.
Apabila bermulanya era Orde Baru di Indonesia (1966-1998), berkurangnya kesan daripada pengaruh ulama telah memberi ruang terhadap wujudnya pertubuhan OMS. Impak daripada era Orde Baru telah mewujudkan kesedaran pada sebahagian golongan masyarakat untuk menyokong perubahan di Indonesia dan juga di Aceh.
Seperti yang telah dihuraikan dalam Bab 2, penyelidik menggunakan konsep Adi Suryadi Culla (2006) dalam memberikan takrif kepada masyarakat sivil, iaitu masyarakat sivil merupakan pertubuhan-pertubuhan yang mempunyai matlamat yang berbeza-beza, ekslusif dan terpisah-pisah serta memiliki asas yang dikongsi bersama untuk bertindak secara bersama seperti kebebasan individu dan hak asasi manusia. Selain itu, masyarakat sivil juga merupakan kuasa yang boleh melakukan check and balances terhadap dominasi kerajaan dan ia turut memiliki kuasa politik tersendiri yang boleh mengimbangi kuasa kerajaan.
Menerusi penulisan ini, penyelidik lebih fokus pada 6 (enam) gabungan pertubuhan sahaja disebabkan 6 (enam) gabungan pertubuhan ini mempunyai peranan dan strategi menerusi pelbagai aktivitinya dan mempunyai hubungan dengan usaha memenuhi hak-hak masyarakat dan pembinaan perdamaian. Selain
itu 6 (enam) gabungan pertubuhan ini masih lagi melaksanakan pelbagai aktivitinya dalam pembinaan perdamaian bagi memastikan kelestarian perdamaian di Aceh sebelum MoU Helsinki dan pasca MoU Helsinki. Gabungan pertubuhan OMS tersebut ialah Forum LSM Aceh, Kelompok Kerja Transformasi Gender Aceh (KKTGA), Koalisi NGO HAM Aceh, Balai Syura Ureung Inong Aceh (BSUIA) atau Balai Syura, SuLOH dan Jaringan Kerja Masyarakat Adat (JKMA) Aceh.
Penyelidik juga membincangkan 5 (lima) pertubuhan lainnya yang menjadi sebahagian daripada pakatan seperti Lembaga Bantuan Hukum (LBH) Banda Aceh, KontraS Aceh, Acehnese Civil Society Task Force (ACSTF), Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GeRAK) Aceh serta Masyarakat Transparansi Aceh (MaTA) yang sesuai dengan agenda untuk dilaksanakan dalam pembinaan perdamaian. Pakatan ini diwujudkan kerana setiap pertubuhan mempunyai peranan masing-masing dalam pembinaan perdamaian sama ada secara langsung dan tidak langsung325.
4.2. Peranan Organisasi Masyarakat Sivil Aceh Sebelum MoU Helsinki
Masyarakat sivil Aceh mempunyai sejarah panjang dalam memperjuangkan demokrasi dan HAM di bumi Serambi Mekkah. Pelbagai peranan telah dijalankan oleh OMS Aceh bermula dengan pendekatan konvensional seperti advokasi HAM, pemerkasaan komuniti terutama dalam bidang ekonomi dan kesejahteraan hidup (livelihood), serta menuntut penamatan DOM dan usaha referendum. Situasi konflik di Aceh telah mendorong seluruh komponen masyarakat sivil Aceh bergerak aktif untuk menamatkan konflik bersenjata antara RI-GAM. Dalam melaksanakan peranannya, masyarakat sivil Aceh kerap
325 Sebagaimana kriteria yang ditentukan penyelidik dalam Bab III.
berhadapan dengan risiko seperti keganasan, intimidasi, penjara dan beberapa aktivis juga pernah mengalami penculikan dan pembunuhan326.
Salah satu pihak yang sentiasa berusaha mengubah keadaan konflik ke peringkat yang lebih baik, sebelum tsunami berlaku lagi di Aceh adalah kumpulan-kumpulan masyarakat sivil. Usaha-usaha ini juga terus dilanjutkan sehingga ke era pasca tsunami dan pasca perjanjian damai327.
Berikut huraian mengenai usaha yang dilaksanakan OMS di Aceh sebelum MoU Helsinki berdasar 3 (tiga) bahagian utama iaitu pemerkasaan masyarakat, advokasi pencabulan HAM, dan penamatan Daerah Operasi Militari (DOM).
4.2.1 Organisasi Masyarakat Sivil Aceh dan Agenda Pemerkasaan
OMS di Aceh telah melaksanakan pelbagai usaha untuk menyokong masyarakat termasuk pemerkasaan masyarakat. Sepanjang period 1990 – 2001 telah tertubuh pelbagai pertubuhan terutamanya Ornop/NGO/LSM sama ada pertubuhan mahupun gabungan pertubuhan bukan kerajaan. Namun, dalam huraian OMS dan agenda pemerkasaan ini penulis hanya mengambil 3 (tiga) gabungan pertubuhan iaitu Forum LSM Aceh, KKTG Aceh dan SuLOH sebagai contoh kerana terkait aktiviti yang dilakukan dalam masyarakat yang memberi impak bagi aktivis OMS di Aceh.
4.2.1.1. Forum LSM Aceh
Forum LSM Aceh merupakan gabungan pertubuhan pertama tempatan yang ditubuhkan oleh sejumlah aktivis OMS di Aceh. Gabungan
326 Sutoro Eko dkk (2009) Pelajaran Dari Aceh : Masyarakat Sipil Mendemokratiskan Daerah. Jakarta: Yappika.
Halaman 18.
327 Lukman, 2007, op.cit, halaman 111.
pertubuhan ini sebagai wadah komunikasi dan maklumat antara sesama OMS di Aceh. Forum LSM Aceh menempatkan usaha advokasi terhadap pelbagai permasalahan masyarakat sebagai bahagian dari gerakan OMS Aceh dalam pemerkasaan dan pengukuhan masyarakat sivil. Forum LSM Aceh menjadi bahagian dari gabungan pertubuhan bukan kerajaan untuk memperjuangkan keadilan, peningkatan pengawasan rakyat atas polisi, peradilan yang sihat serta penyelenggaraan kerajaan yang baik, bersih dan berwibawa. Oleh itu, seluruh aktiviti dan program yang dilaksanakan Forum LSM Aceh beserta anggotanya diarahkan pada usaha–usaha pengukuhan hak–hak rakyat sebagai bahagian dari usaha menuju masyarakat sivil.
Forum LSM Aceh mempunyai amanah penting bagi pengukuhan masyarakat sivil di Aceh dengan 3 (tiga) peranan utama iaitu fasilitasi, asistensi dan advokasi bagi ahli jaringan pertubuhan mahupun keluar dengan semua pemegang taruh. Berikut adalah profil Forum LSM Aceh :
Jadual 5: Profil Forum LSM Aceh