ULASAN BUKU
Pengulas: Nor Hashimah Jalaluddin [email protected]
Universiti Kebangsaan Malaysia
Perbincangan mengenai kata hubung tidak mendapat perhatian serius daripada ahli nahu kerana fungsinya sebagai kata yang menggabungkan frasa, klausa dalam satu ayat tidak mendatangkan masalah pada bahasa Melayu (BM). Tulisan ahli nahu yang lazimnya mendefinisikan sahaja kata hubung sebagai kata tugas seperti contoh di bawah:
1. Aminah mengemas rumah dan ibunya membasuh kain. 2. Ahmad lulus ujian itu tetapi adiknya gagal.
(Nik Safiah: 2004) Ahli nahu lain, seperti Abdullah Hassan (1993), Zaba (2000), Arbak dan Nik Safiah Karim (2004) (1981) telah menggunakan pendekatan struktural dalam menjelaskan kata hubung ini. Asmah telah memberikan maklumat yang terperinci mengenai kata hubung. Malah, pendekatan yang Asmah gunakan juga berlainan dengan ahli nahu di atas. Beliau menegaskan bahawa buku Nahu Melayu Mutakhir (1986) adalah penjelasan mengenai tatabahasa yang tidak terikat pada aliran tertentu. Pada asasnya, pemaparan nahu beliau adalah berdasarkan nahu sistemik, di samping memperhitungkan juga pendekatan struktural, analisis unsur terdekat, analisis makna komponen dan analisis wacana.
Dalam perkembangan terbaharu, tatabahasa mula mendapat perhatian ahli semantik dan pragmatik. Kini banyak kajian mengenai kata hubung mula diketengahkan. Contohnya oleh Diane Blakemore 1985, 1988, 1989, 2000 dan 2002, Carston 1992, Blass 1989, 1990 dan ramai lagi (dalam Hasmidar, 2011). Mereka berminat melihat fungsi dan makna kata
Hasmidar Hassan, 2011, Kata Hubung
“Dan” dan “Tetapi” dari Sudut Pragmatik,
201 halaman, ISBN 978-983-46-0608-4.
kata hubung tersebut. Kata hubung ini bukan sahaja berfungsi sebagai penghubung tetapi juga mempunyai fungsi semantik lain yang lebih menarik.
Sehubungan itu, Hasmidar (2011) telah mengambil langkah yang sama, iaitu cuba mencari kelainan dalam melihat fungsi dan makna bagi kata hubung Melayu. Buku yang bertajuk, Kata Hubung “dan’’ dan “tetapi” dari Sudut Pragmatik telah mencungkil makna kata hubung dalam bahasa Melayu (BM) dengan lebih mendalam. Hamidar mengikut jejak yang sama sebagaimana yang dilakukan oleh Carston dan Blakemore, iaitu menggunakan pendekatan pragmatik dalam melihat fungsi dan makna kata hubung dengan lebih tuntas.
Hasmidar (2011) telah memilih kata hubung “dan” dan “tetapi”. Ada pewajaran di sebalik pemilihan kata ini. Ternyata kajian Imran Ho dan Azhar (2004) membuktikan bahawa kata hubung “dan” menduduki frekuensi tertinggi dalam cerpen manakala “tetapi” menduduki tempat ketiga. Pendekatan semantik dan pragmatik yang diterapkan dalam kajian ini diyakini mampu memberikan penjelasan yang baik dan lebih terperinci tentang kata hubung ini.
Sebelum meneliti tulisan Hasmidar ini, kajian lain mengenai tatabahasa harus dikaitkan sama. Meskipun kajian Nor Hashimah dan Ahmad Harith (2008) mengkaji fungsi dan makna imbuhan peN- tetapi acuan yang digunakan adalah sama, iaitu pendekatan semantik dan pragmatik. Pendekatan ini telah berjaya memberikan satu dapatan kajian yang menarik mengenai imbuhan BM. Pendekatan semantik dan pragmatik telah berjaya mengemaskinikan cara takrifan imbuhan daripada kepelbagaian makna sebagaimana yang disenaraikan oleh ahli nahu terdahulu. Berdasarkan pendekatan semantik dan pragmatik, makna imbuhan peN- diperkemas kepada fungsi manusia, benda, haiwan/tumbuhan dan abstrak. Penggolongan kepada empat makna akan lebih memudahkan pengajaran imbuhan BM kepada pelajar. Contoh yang membezakan antara:
a “…***pelindung*** orang ramai…”; b “…***perosak*** sastera…”; c “…***perancang*** utama…”; d “…menjadi ***pemusnah***…”; dengan,
e “…plastik ***pelindung***…”; f “…racun ***perosak***…”; g “…pil ***perancang***…”; h “…senjata ***pemusnah***…”.
Contoh data korpus di atas adalah daripada imbuhan peN- yang mempunyai kepelbagaian fungsi. Misalnya, “pelindung orang ramai” dan “plastik pelindung”, terdapat juga “perancang utama” dan ada “pil perancang” dan banyak lagi contoh imbuhan peN dengan pelbagai fungsi dan makna. Walau bagaimanakah imbuhan peN- yang mempunyai pelbagai makna harus dibezakan.
Berbantukan janaan korpus dan teori semantik dan pragmatik, kita mampu membezakan antara kedua-duanya. “Pelindung orang ramai” pastinya merujuk manusia sementara “plastik pelindung” merujuk alat. Jadi peN- boleh berfungsi dan merujuk manusia, iaitu pelaku seperti petani, manakala “plastik pelindung” pula merujuk alat. Begitu juga dengan kata “perosak sastera” dan “racun perosak”. Ahli nahu lama akan mengkategorikan perosak selalunya kepada manusia, sedangkan janaan korpus membuktikan kata ini juga boleh berfungsi sebagai benda. Maklumat pragmatik membantu kita mentafsir semula makna peN- dan memberikan penjelasan yang lebih menarik. Secara tidak langsung, maklumat pragmatik juga dapat mengemaskan penggolongan makna imbuhan peN- BM. Inilah kelebihan menggunakan data korpus dan pendekatan semantik dan pragmatik dalam menghuraikan sifat dan pola imbuhan BM.
Kaedah yang sama turut digunakan Hasmidar dalam menilai semula fungsi dan makna kata hubung. Berdasarkan janaan korpus, beberapa penemuan baharu berjaya ditemui. Dengan memaparkan contoh yang empirik sifatnya, berdasarkan data cerpen berserta ujian linguistik bagi mengukuhkan dakwaan beliau, pendefinisian semantik dan pragmatik bagi kata hubung “dan” dan “tetapi” dapat diketengahkan. Antara contoh yang diberikan adalah seperti yang berikut:
Kata Hubung “Dan” yang Mengimplikasikan Maksud Kesinambungan atau Pertalian
1.***Dan*** mata liarnya seperti “radar” meneliti pula tubuh badan Sabinah yang baru sahaja bangun itu.
Kedudukan “dan” pada pangkal ayat bertentangan dengan definisi ahli nahu sebelum ini. Menurut definisi ahli nahu, “dan” ialah kata yang menghubungkan dua atau lebih frasa atau klausa yang sama tara sifatnya atau kata yang menggandingkan dua unsur. Kata ini seharusnya hadir di tengah-tengah frasa atau klausa bagi menghubungkan frasa atau klausa tersebut”. Untuk menjadikan ayat di atas gramatis, maka “dan” di pangkal ayat itu boleh digugurkan. Namun demikian, makna sebenar yang hendak dicapai gagal diketengahkan. Jika “dan” digugurkan, ayat itu akan menjadi ayat tunggal dengan makna yang berbeza juga. Sedangkan ada maksud tersendiri hendak diketengahkan yang merupakan satu kesinambungan, mempunyai permulaan dan akhiran dalam sebuah wacana. Kata “pula” bertindak sebagai pembuktian linguistik bahawa ayat ini mempunyai konteks pemula dalam satu wacana yang lebih besar. Jika “dan” digugurkan maka tafsiran makna yang lebih luas gagal dilakukan. Malah, pola ini paling kerap muncul dalam data konkordans yang digunakan dalam kajian ini. Secara keseluruhannya, lebih banyak fungsi kata hubung “dan” ditemui berdasarkan analisis semantik dan pragmatik sebagaimana tergambar dalam Jadual 1 di bawah.
Jadual 1 Bentuk linguistik yang hadir dalam setiap maksud yang diimplikasikan
oleh kata hubung dan.
Maksud yang Diimplikasikan Bentuk Linguistik
Kesinambungan atau pertalian Kata hubung dan hanya hadir pada pangkal ayat.
Menggabungkan dua item yang setara Tiada
Perlakuan serentak Kata hubung dan boleh digantikan oleh kata hubung sambil. Subjek atau pelaku yang sama.
Sebagai tambahan Boleh diparafrasa dengan malahan dan juga.
Perlakuan berurutan Kata hubung dan boleh digantikan oleh kata hubung lalu dan kemudian. Penjelasan lanjut Tiada
Maksud yang Diimplikasikan Bentuk Linguistik
Menambahkan sifat sesuatu item/
perkara Kata hubung dan hanya menggabungkan Frasa Adjektif dan Frasa Adjektif. Kata hubung dan boleh digantikan oleh malahan dan boleh menerima bukan sahaja. Dua atau Lebih suasana yang hadir
serentak Kata hubung dan boleh digantikan dengan manakala. Subjek atau pelaku tidak sama.
Sebab dan akibat Kata hubung dan boleh diikuti oleh sebagai akibat. Ayatnya boleh disongsangkan dan menerima kata hubung kerana sebagai ganti kata hubung dan.
Kajian mengenai kata hubung “tetapi” juga telah dilakukan oleh sarjana barat. Blakemore, Carston dan ramai lagi (Hasmidar, 2011) telah membuktikan kehadiran makna “tetapi” lebih luas fungsinya selain sebagai kata hubung. Kajian mereka berlandaskan semantik dan pragmatik. Langkah yang sama turut dilakukan oleh Hasmidar (2011). Contoh di bawah ialah salah satu daripadanya:
Kata hubung “Tetapi” yang Mengimplikasikan Maksud Memberikan Penjelasan Lanjut
2. Sejam tadi dia sendiri berada di tengah-tengah pentas itu, ***tapi***entah mengapa hatinya tidak senang…
Kata hubung “tetapi” di sini mengimplikasikan maksud memberikan penjelasan lanjut. Klausa kedua dalam ayat di atas ialah maklumat baharu yang menerangkan dengan lebih lanjut maklumat klausa pertama. Contoh ayat ini dapat menambah definisi kata hubung “tetapi” bukan sahaja sebagai kata hubung berlawanan malah boleh meluas kepada makna yang lain. Lazimnya ahli nahu akan mengambil contoh yang menunjukkan bagaimana “tetapi” mempunyai maklumat yang bertentangan, seperti contoh pada halaman 344.
Dia suka pergi ke pesta, tetapi saya tidak. Kipas itu mahal, tetapi yang ini tidak.
(Asmah 1986) Bagi kes ayat 2 di atas, makna yang disampaikan bukan bermaksud pertentangan tetapi mengimplikasikan penjelasan lanjut. Klausa kedua ternyata tidak membawa sebarang maksud pertentangan tetapi lanjutan dan penjelasan kepada perasaan “dia yang berada di pentas”. Dalam contoh ayat 2 di atas, kata hubung “tetapi” tidak boleh digugurkan kerana akan menyebabkan ayat menjadi tidak gramatis dan anomali sifatnya. Berdasarkan teori Relevans ayat jenis ini bukan sahaja memberikan petunjuk tingkah laku ostensif tetapi juga sebagai prosedur pemahaman dengan usaha memproses maklumat yang rendah. Daripada analisis data kata hubung “tetapi”, maka dirumuskan keseluruhan fungsi makna baharu yang lebih menarik bagi “tetapi” seperti Jadual 2.
Jadual 2 Bentuk linguistik yang hadir dalam setiap maksud yang diimplikasikan
oleh kata hubung tetapi.
Maksud yang diimplikasikan Bentuk linguistik
Pertentangan Tiada
Memberikan penjelasan lanjut. Menyamai kata hubung dan yang mengimplikasikan maksud memberikan penjelasan lanjut, maka kata hubung tetapi boleh bertukar ganti dengan dan. Penunjuk kesinambungan untuk
meneruskan perbualan atau pertanyaan Boleh bertukar ganti dengan kata hubung dan, dan dalam konteks ayat tertentu ada yang boleh bertukar ganti dengan malahan. (rujuk ayat 10).
Penafian Kata nafi “tidak” hadir dalam klausa kedua yang digabungkan oleh kata hubung tetapi.
Keadaan atau tujuan yang belum/ tidak
tercapai. Ujaran mengandungi kata bantu ragam seperti mahu, hendak dan
Maksud yang diimplikasikan Bentuk linguistik
Pembetulan Kata nafi tidak atau bukan hadir dalam klausa yang pertama.
Nyatalah cara tradisional yang melihat kata hubung dapat difikirkan semula. Fungsi asal kata hubung adalah untuk menghubungkan frasa dan klausa yang setara. Walau bagaimanapun cara tradisional ini banyak meninggalkan kekaburan yang perlu dihuraikan apabila data korpus digunakan dalam menganalisis kata hubung BM. Pendekatan pragmatik yang memasukkan unsur konteks dalam ujaran telah berjaya membantu memberikan pemahaman baharu pada kata hubung BM itu sendiri.
RUJUKAN
Abdullah Hassan & Liaw Yock Fang, 1994. Nahu Melayu Moden. Kuala Lumpur: Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Asmah Haji Omar, 1986. Nahu Melayu Muktahir. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hasmidar Hassan, 2011. Kata Hubung “Dan” dan “Tetapi” dari Sudut Pragmatik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Imran Ho & Azhar Jaludin, “Perbendaharaan Kata dalam Bidang Komputer dan Teknologi Maklumat: satu Kajian Korpus” dlm Jurnal Jendela Alam 3, 270-88, 2004.
Nik Safiah Karim et al., 2004. Tatabahasa Dewan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Nor Hashimah Jalaluddin & Ahmad Harith Syah, “Penelitian Makna Imbuhan Pen- Dalam Bahasa Melayu: Satu Kajian Rangka Rujuk Silang” dlm. GEMA Online Jilid 9(2) 57-72, 2009.
Za’ba, 2000. Pelita Bahasa Melayu Penggal 1. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka