Title [Kebudayaan]
Author(s) Muhammad Ariff bin Ahmad
Copyright © 1960 Muhammad Ariff bin Ahmad
Muhammad Ariff Ahmad RADIO SINGAPURA 27.2.60
Saudara Pendengar,
Dalam forum kebudayaan minggu lalu telah tertimbul soal bagaimana bentok kebudayaan yang harus di-jadikan teras kebudayaan kebangsaan kita. Barangkali amat sadikit sekali pendapat peserta2 forum itu yang telah di-dengar kerana soal itu terbit bagitu mendadak dan dalam tempoh forum itu hampir tamat baharu soal itu terkemukakan.
Yang demikian barangkali ada baik-nya kalau peluang berchakap malam ini saya gunakan untok mengemukakan beberapa pendapat tentang apa-nya dan bagaimana-nya kebudayaan Melayu ini harus di-jadikan teras kebudayaan kebangsaan kita, yang sedang kita usahakan sekarang ini.
Che’gu Mahmud Ahmad menerusi buku-nya “Kebudayaan sa-pintas lalu” telah menerangkan bahwa Tuan Adi Negoro, dalam buku-nya “Falsafah Ratu Dunia”, memberi kesimpulan tentang kebudayaan itu ia-lah: bahwa kebudayaan itu membersehkan jiwa manusia dengan pendidekan dan pelajaran dalam hal kebatinan, budi pekerti dan kesenian;
bahwa kebudayaan itu ia-lah hasil penyempurnaan yang terbukti pada kelakuan manusia dan dalam chara manusia itu hidup; dan bahwa kebudayaan itu ia-lah hasil dari usaha manusia yang telah mempunyai kemajuan hidup.
Sebab itu, maka kebudayaan Melayu yang harus di-jadikan teras kebudayaan kebangsaan itu mesti-lah pilihan daripada hal2 kebudayaan kita yang mempunyai tenaga yang dapat membersehkan jiwa kita rakyat negeri ini saperti yang di-perlukan; sa-suatu yang dapat menghasilkan kesempurnaan yang terbukti pada kelakuan dan chara hidup rakyat negara ini seluroh-nya; serta sa-suatu hasil usaha orang Melayu yang dapat di- katakan mempunyai kemajuan hidup ini.
Menurut kesimpulan pertama: kebudayaan itu membersehkan jiwa manusia dengan pendidekan dan pelajaran dalam hal kebatinan dan budi pekerti itu, kita manusia Melayu ini berpegang kepada suatu keperchayaan, ia-itu UGAMA. Seluroh orang Melayu kita ini berugama – ugama Islam – walau pun ada juga sa-tengah2-nya tidak beramal menurut rukun dan sharat ugama yang di-wajibkan, tetapi ugama itu lekat benar dalam jiwa orang Melayu kita. Sebab itu ugama-lah yang harus menjadi teras pertama kebudayaan
kebangsaan kita. Seluroh rakyat kita yang mendakwa diri-nya rakyat Malayan yang berkebudayaan Malayan tidak-lah harus mengelakkan diri-nya daripada sa-suatu ugama atau pegangan yang mungkin membersehkan jiwa mereka atau mengajarkan mereka
supaya berbuat baik dalam hidup itu, untok memenohi kesimpulan pertama tentang kebudayaan itu.
Hal ini tidak-lah akan menimbulkan sa-barang kesulitan kapada tokoh2 dan
pembangun2 kebudayaan kebangsaan negara kita, kerana sa-benar-nya kita – rata2 rakyat Singapura ini ini memang sudah sedia berugama. Orang Melayu berugama Islam, orang China pada umum-nya berugama Buddha demikian pula orang India berugama Hindu dan yang lain2 berugama masehi.
Pada kesimpulan kedua: bahwa kebudayaan itu ia-lah hasil penyempurnaan yang terbukti pada kelakuan dan chara manusia itu hidup, maka kita manusia Melayu ini telah berpegang dengan tegoh-nya kapada dua pendapat, dari zaman nenek-moyang kita
dahulukala lagi. Kita orang2 Melayu sudah berpegang dan beramal dengan demokerasi dan faham-sosialis dari semenjak kita belum dapat menyebut per-kataan demokerasi dan
sosialis itu.
Mari-lah chuba dengar Perbilangan Adat Perpateh yang menyatakan kesatuan hati ini:-
Dudok berpelasasan,
dekat rumah dekat kampong, halaman satu, sa-permainan, sa-perigi – sa-permandian, sa-gayong – sa-pergiliran, sa-jamban – sa-tepian,
Muafakat tak berubah, rahsia tak bertukar, Ibarat labu menjalar ka-hulu, Ibarat kundor menjalar ka-hilir,
pangkal-nya sama di-pupok puchok-nya sama di-gentis buah-nya sama di-tarek.
Ka-bukit sama di-daki, ka-lurah sama di-turuni ka-laut sama di-renang.
kok berat sama dipikul kok ringan sama di-junjung Hati gajah sama di-lapah hati kuman sama di-checha.
Saudara2 Pendengar,
Biar saya ulangi kata2: halaman satu sa-permainan; sa-perigi sa-permandian; sa- gayong sa-pergiliran; sa-jamban sa-tepian itu. Apa-kah itu bukan demokerasi? Apa-kah perbilangan itu tidak menunjokkan bahwa orang Melayu biasa hidup bertimbang rasa sa- sama manusia? Lihat-lah mereka sanggup bergilir mandi sa-orang sa-gayong………..
Dengar-lah kata2 ini pula:-
Muafakat tak berubah – rahsia tak bertukar;
Ibarat labu menjalar ka-hulu – ibarat kundor menjalar ka-hilir, pangkal-nya sama di-pupok; puchok-nya sama di-gantis; buah-nya sama di-tarek…………
Apa-kah ini tidak sosialis?
Bagaimana pula pendapat saudara2 pendengar tentang kata2:
ka-bukit sama di-daki; ka-lurah sama di-turuni; ka-laut sama di-renang……….. Kok berat sama di-pikul;
kok ringan sama di-jinjing;
hati gajah sama di-lapah
hati kuman sama do-chechah……itu?
Tidak-kah juga ini menunjokkan bahwa susunan hidup orang Melayu dari semenjak dahulukala lagi sudah berpegang kapada dasar 2 sosio-demokerasi?
Saudara2 pendengan!
Tidak-kah pernah kita melihat atau mendengar cherita2 orang menyeraya – Orang bergotong-royong mendirikan rumah jiran-nya; atau orang mengerjakan sawah dengan tenaga sa-kampong? Orang menyeraya menuai beramai2? Tidak-kah pernah kita
mendenger kesah2 orang berDERAU di-kedah atau kesah2 orang sambat-an di-Singapura?
Apa-kah chara bergotong-royong beramai2 dengan sukarela yang di-anjor-kan oleh pemerentah Singapura kerana operation2 jalan terpilaut di-Nicol Highway atau di-Kallang Park atau operation Pantai Chantek itu, suatu hal baharu bagi kita? Saya fikir kerja bergotong-royong dengan sukarela kerana kebajikan itu sudah menjadi kebiasaan kita orang2 Melayu. Chara hidup bergotong-royong saperti itu tentu-lah suatu kebiasaan juga kapada rakyat Singapura yang bukan Melayu – China dan India. Apa-kah mereka keneratan hendak menerima sistem ini – sistem kebudayaan Melayu saperti ini – menjadi teras
kebudayaan kebangsaan kita?
Saudara pendengar,
Sejarah telah membuktikan bahwa negeri kita ini telah di-datangi oleh orang2 dari mana2 bahagian dunia kerana keperluan2 yang tertentu. Perkara ini telah berlaku semenjak zaman manusia baru tahukan hal bahawa sa-lain dari tempat dan kawasan hidup-nya ada juga tempat2 lain yang ada manusia hidup dan boleh memberi keuntongan kapada mereka.
“Sa-kali ayer bah sa-kali pasir berubah” kata peribahasa Melayu. Demikian pula-lah hal-nya dengan kita orang Melayu yang sentiasa – dari satu masa ka-satu masa – di-datangi oleh orang2 asing. Dan kita orang2 Melayu yang terkenal lemah lembut budibahasa-nya:
pengaseh dan pemurah ini sentiasa-lah melayani tetamu kita itu dengan penoh hormat dan khidmat. Berdasarkan kehendak ‘adat: ka-bukit sama di-daki ka-lurah sama di-turuni – dan hati gajah sama di-lapah hati kuman sama di-chechah yang merupakan kemurnian sosio- demokerasi kita itu maka kita telah sentiasa melayani tetamu itu dengan chara yang demikian baik dan simpati; sa-hingga pergaulan antara kita dengan tetamu2 itu telah menimbulkan suatu falsafat dalam kebudayaan, ia-itu dalam hal kebudayaan ini kita patut- lah ada fahaman give-and-take (memberi dan menerima) – bertolak ansor.
Maka oleh kerana terlalu lama kita bergaul dengan mereka itu lalu bertambah dan berkurang serta ada di-antara-nya berubah-lah bentok kebudayaan kita sekarang, walau pun sifat-nya masih merupakan keaslian. Hal itu menyebabkan juga kita pandai ber-
“selamat pagi” dan ber-“selamat malam” menggantikan uchapan “assalamu alaikum dan wa alaikumussalam”: pandai-lah kita menekmati wayang2 gambar menggantikan kenekmatan wayang kulit; pandai-lah kita menekmati boxing mengantikan kenekmatan silat penchak.
Kita menjadi lebeh chenderong kapada badminton; bola-sepak dan lain2 sa-bagai ganti kapada kesukaan bermain gasing dan wau.
Bagaimana pun oleh kerana lama bergaul dengan kita sa-hingga mesra-lah tetamu kita itu dengan chara penghidupan kita sa-hari2 ini maka sama ada di-sedari atau tidak di- sedari; sama ada dengan sukarela atau ter-paksa, mereka pun tahu-lah makan bertangan sa-bagai ganti bergarpu; masok ka-rumah menanggalkan kasut sa-bagai ganti membuka topi. Tahu-lah mereka beronggeng sa-bagai ganti dancing – walaupun mereka baru tertarek kapada ronggeng itu sa-telah ronggeng itu di-permodenkan, dan suka-lah mereka
berbahasa Melayu dan rela menjadikan bahasa Melayu kita ini sa-bagai bahasa Kebangsaan kita bersama di-negara ini.
Maka oleh perubahan dan tokok tambah-nya hal2 kebudayaan saperti yang saya katakan tadi itu, rasa-nya, orang2 yang bukan Melayu tetapi menjadi rakyat negeri ini tidak merasa keberatan untok menerima bahwa Kebudayaan Melayu ini menjadi teras
kebudayaan kebangsaan kita. Apalagi kalau di-fikirkan masak2 bahwa antara kita orang2
Melayu dengan mereka yang asal-nya datang kerana bertamu-tamu, kemudian oleh kerana lekat hati-nya menchintai tanah-air kita ini lalu menjadikan diri mereka rakyat bagi tanah-air ini itu, suatu pemberian kita yang amat tinggi nilai-nya – berbanding dengan keadaan2 dan resam negara mana pun juga di-dunia ini.
Maka berdasarkan fahaman bertolak-ansor (give-and-take) itu rasa-nya tidak-lah mereka keberatan menerima kebudayaan Melayu ini sa-bagai teras kebudayaan
kebangsaan kita kelak. Bagi pihak kita tentu-lah berfikir lebeh saksama lagi menentukan mana2 bahagian kebudayaan kita yang harus di-jadikan kebudayaan kebangsaan itu. Teras kebudayaan ia-lah dasar atau foundation bagi kebudayaan. Sa-elok2-nya mesti-lah dasar yang banyak persamaan atau yang lebeh mudah di-samakan dengan kebudayaan rakan2 kita itu yang kita pileh menjadi teras Kebudayaan Kebangsaan itu, supaya sesuai-lah usaha kita itu kelak dengan kemahuan “KEBUDAYAAN NILAI BANGSA”. Kebudayaan kita itu-lah kelak menunjokkan peribadi kebangsaan kita.
Kalau kita- orang Melayu, orang China dan Tamil – rakyat negeri ini mithal-nya hidup dengan nasi (beras) yang tersebab oleh nature negeri kita ini bagitu maka menjamu tamu2 negara hendak-lah di-buat dengan jamuan nasi (walau apa pun jenis masakan-nya – tapi teras-nya ternyata nasi), tidak-lah mereka itu di-jamu dengan minuman keras atau cock-tail yang tidak menunjokkan keperi-badian kebangsaan kita.
Saudara pendengar,
Saya rasa, chukup sekian dulu untok kali ini ia-itu sa-bagai lanjutan atau rentetan (kata orang sekarang) soal2 yang di-timbulkan dalam forum kebudayaan minggu lalu mengenai chorak apa-kah kebudayaan Melayu yang harus di-jadikan teras kebudayaan nasional kita; tetapi pada masa itu kita tak ada masa chukup untok berchakap berkenaan dengan-nya. Kalau di-takdirkan kita bertemu kembali, insha ’Allah saya akan lanjutkan juga uchapan ini dari lain2 segi.
Sekian, Selamat Malam………….
Dan Selamat berpuasa, esok…….. kalau malam ini nampak anak bulan………