• Tidak ada hasil yang ditemukan

Aku Anak Ayah

Dalam dokumen GAPENIAGA Kuala Lumpur 2020 (Halaman 107-147)

MUHD MANSUR ABDULLAH

SEMENTARA aku menunggu azan subuh, di luar terasa udara begitu sejuk. Suasana lewat hujung dinihari begini memang terlalu sunyi dan sepi. Sungguh menyegarkan. Sejak tadi aku masih bertelut di sejadah. Baru sahaja lepas bersolat sunat taubat. Sehabis salam aku terus menadah tangan. Berdoa kepada Allah, meminta ampun ke hadrat-Nya dengan penuh khusyuk dan tawaduk.

Tiba-tiba sahaja ingatanku terkenang betapalah nasib diriku. Aku anak tunggal ayah yang gagal menyempurnakan wasiat terakhirnya. “Ingat Jantan, kamulah satu-satunya anak lelaki ayah. Menjadi pewaris tunggal ayah. Sebagai waris ayah, kamu wajib menyempurnakan tanggungjawabmu. Aku tak minta banyak, cuma aku mahu kamu bertanggungjawab sepenuhnya kepada hidup kami berdua apabila kami sudah tua nanti. Aku rasa tanggungjawabku terhadap kamu sudah kulaksanakan sepenuhnya.”

Pesannya itu kuingat benar. Ketika itu aku baru sahaja balik dari tanah suci. Baru sahaja menamatkan pengajianku di Universiti King Abdul Aziz, Makkah. Ketika ayahku mengucapkan peringatannya itu kulihat air matanya meleleh. Aku turut empati terhadap permintaannya itu.

Alhamdulillah, setiap bulan gajiku, kuserahkan sebahagian kepada ibuku. Ibuku kadang-kadang menolak. “Bukankah kamu lebih memerlukan wang belanja untuk kamu bekerja. Tak usahlah kamu susah kerana kami. Duit ayah kamu ada. Cukup untuk kita makan bertiga. Kamu tabunglah untuk masa depan kamu, Jantan!”

“Emak, `kan ini janji saya pada ayah. Berdosa kalau saya abaikan. Duit pada emak itu terpulanglah, kalau emak fikirkan perlu untuk ditabung, simpanlah! Itu hak emak!”

Meleleh air mata emakku mendengar pengakuanku itu. Terasa belas pula di hatiku ketika itu. Entah kenapa iba-tiba sahaja hatiku sedih bercampur pilu. Hatiku pedih bagaikan luka disiram cuka. Perasaan sayu mengepung seluruh emosiku. Dan air mataku gugur berderai. Bagaikan air hujan mencurah-curah luruh dari cucur atap. Tidak mampu kusekat-sekat. Tidak dapat kutahan-tahan.

Rasa sedih dan pilu bercampur aduk. Hiba datang sama menyerang nuraniku. Aku tersedu-sedu, lemas dibuatnya. Doaku entah ke mana? Permintaanku entah ke mana? Cuma kenangan duka yang datang menyelubungi jiwaku ketika ini.

“Ayah bangga atas kejayaanmu, anakku. Tidak sia-sia aku hantar kamu belajar hingga ke Makkah tempoh hari. Tentu banyak ilmu pengetahuan yang telah kaupelajari di Makkatul Mukaramah sana. Malah melebihi ilmu yang ayah

miliki. Ayah pasti ilmu yang kautimba di sana lebih luas daripada Laut Merah itu sendiri. Namun begitu ingatlah ilmu Allah itu maha luas. Maka ilmu yang kauperoleh itu baru hanya setitik tinta dari mata penamu saja, Jantan!” nasihat ayahku.

Aku faham, aku mengerti maksud ayahku itu. Dan aku bersyukur kerana terhindar daripada memiliki sifat ujub, takbur dan sombong. Jauh daripada berbangga dengan ilmu yang ada. Sesungguhnya, ayahku mahu memberitahu bahawa tak sebanyak mana pun ilmu pengetahuan yang dapat kupelajari daripada jumlah ilmu Allah itu sendiri! Maka aku harus menyedari hakikat diriku.

Tujuh tahun aku di sana. Aku masih ingat, setelah tamat berguru di pondok Haji Lah aku dihantar ayah ke tanah suci itu. Di sana aku berguru dengan bekas tuan guru ayah, Mualim Haji Sheikh Awaluddin Al-Banjari. Beliau tokoh agamawan tersohor di sana, dan sudah menetap di tanah suci itu lebih kurang setengah abad yang lalu.

Hubungan akrab ayahku dengan Pak Sheikh itu tak dapat kunafikan. Dengan usahanya juga dia telah memasukkan aku ke Universiti King Abdul Aziz yang tersohor di Timur Tengah itu. Ayahku menghantar wang bekalan setiap bulan. Wang itu hasil daripada sedekah anak-anak muridnya. Sedekah itu dipanjangkannya bagi menanggung pengajianku. Aku akhirnya berjaya pulang dengan segulung ijazah dalam bidang hadis dan dakwah.

Aku sungguh terhutang budi kepada anak-anak murid ayahku itu. Sekarang, aku sudah mula dipanggil ustaz. Sebagai guru agama kampung, aku dilantik menjadi imam masjid di kampungku. Tugasku bukan sahaja menjadi imam solat jemaah, tetapi diminta juga aku memimpin khutbah

Jumaat. Memimpin bacaan Yassin dan tahlil. Aku tidak menolak kerana memang mampu kulakukan semuanya itu.

Aku juga diminta memberi sedikit-sedikit tazkirah, ceramah dan usrah. Malah memandikan dan mengkafankan mayat serta mengimamkan solat jenazah juga aku buat. Secara rasmi kini aku sudah bergelar ustaz serba boleh di daerah kami.

Oleh sebab aku kerap dipanggil ke sana sini berceramah dan berdakwah, aku telah dipelawa oleh pihak TV Al-Hijrah menjadi penceramah tetap dalam rancangan dakwah mereka. Siapa menyangka aku boleh menjadi seleberiti agama sekarang. Di sini aku menyedari bagaimana nasihat ayahku dulu supaya tidak menyombong dan besar kepala apabila ada nama dan disanjung ramai.

Sesekali aku terfikir, apakah maknanya semua kegemilangan dan kemasyhuran yang kumiliki itu kepada arwah ayahku? Aku meratapi sendiri atas sekatan dan perintah yang memisahkan kasih sayangku sebagai anak ayah! Aku terasa bagaikan sengaja digagalkan aku daripada memenuhi janjiku pada arwah ayah.

Selama ini kutanam hasrat mahu menjaganya ketika sakit dan mengajarnya mengucap ketika beliau dalam keadaan sakratulmaut! Tetapi malangnya usahkan mahu mendekatinya, menjenguk atau melawatnya pun tidak dibenarkan. Hati mana yang tidak remuk, perasaan mana yang tidak hampa dan kecewa? Kami sekeluarga dilarang melawatnya sakit di hospital. Malah aku dicegah untuk menyaksikan mayatnya dimandikan dan dikafankan. Ibu tuaku tidak dapat menerima kenyataan itu. Dia menangis tidak berhenti-henti. Tidak dapat dipujuk rayu. Entah

berapa kali orang tua itu jatuh pengsan apabila menerima perkhabaran buruk itu. Aku dapat merasakan betapa patah hatinya. Begitu pedih luka di kalbunya. Suaminya yang tersayang terlantar di hospital pun dilarang untuk pergi melawatnya.

Ibuku mengomel panjang sepanjang hari. Rungutnya tidak menentu. Kebanyakan luahan hatinya mengutuk aku. Dia memarahi aku kerana tidak berbuat apa-apa. Berguni-guni kutuk nista dihujankannya padaku. Demi meredakan berangnya, aku cuba pergi merayu bagi pihak ibuku. Aku dengan penuh harapan nekad pergi menemui Pengarah

Kesihatan Negeri.

Di hadapannya aku merayu supaya Perintah Kawalan Pergerakan yang dikenakan khusus kepada keluargaku dapat dilonggarkan. Aku menjangkakan sebagai seorang seleberiti agama terkenal dapatlah aku membantu rayuanku itu. Ternyata percuma sahaja. Aku diterangkan dengan panjang lebar bahawa arahan itu bukanlah arahan biasa semata-mata, sebaliknya ia merupakan perintah undang-undang.

Perasaan hampa, kecewa dan sakit hatiku datang berlumba-lumba menghasutku. Dan rayuanku gagal juga akhirnya, sehinggakan kami sekeluarga tidak dibenarkan langsung melihat mayat ayahku disempurnakan oleh pekerja-pekerja khas di hospital tersebut sahaja.

Hancur luluh berkecai-kecai perasaanku ketika itu. Betapa sedih dan pilu hatiku kerana tidak dapat menjadi imam menyembahyangi jenazah ayah yang kukasihi. Selama ini ramai pesakit lain yang dapat kuberi bantuan secara sukarela. Termasuk juga pesakit-pesakit daripada kalangan orang berpangkat dan orang kenamaaan negara dan juga ranak-anak raja. Tetapi, apa malangnya, apabila kena giliran

ayah kandungku sendiri yang telah banyak berkorban untuk kejayaanku, aku gagal menunaikan amanatnya, semata-mata kerana perintah PKPD akibat serangan virus COVID-19 itu semata.

Terngiang-ngiang lagi pesanan ayahku dulu, “Kalau ayah mati, Jantan, kamulah yang memandikan mayat ayah. Kamulah yang akan mengafankannya. Dan kamu juga yang paling afdal mengimamkan solat jenazahku. Seterusnya kamulah juga yang akan menyambut jenazahku sewaktu masuk ke liang kubur nanti!”

Sekali lagi air jernih itu membanjiri seluruh pipiku. Dalam esakan itu kutanya diriku sendiri. Kenapa aku gagal melakukan semuanya itu? Apa gunanya segala ilmu yang kuperoleh, apakah ertinya kemasyhuran yang kudapati, kalau tidak dapat berkhidmat untuk ayahku buat kali terakhirnya? Anak mana yang tidak ralat? Anak manakah yang tidak musykil? Rasa kecewa dan kempunan itu kerap menyerang aku sehingga aku kadang-kadang berasa bersalah sendiri dan berdosa pada ayah pada hari itu!

Apakah hikmah di sebalik Allah tidak membenarkan aku melakukan semua permintaan ayahku itu? Apa pula dosa ayahku sehingga pengurusan jenazahnya mesti dilakukan oleh petugas tertentu sahaja? Apakah pula dosaku terhadap ayah, sehingga seolah-olah aku terasa arwah itu memarahiku dan tidak merelakan dirinya aku yang menguruskan semua. Perasaan dan hati kecilku berhujah sama sendiri.

Kadang-kadang aku pernah juga bertanya dengan rasa pelik kepada diriku sendiri. Apakah mayat ayahku sama juga bahayanya dengan mayat penghidap AIDS yang dikatakan sangat berbahaya itu sehingga keluarga terdekat mereka pun tidak dibenarkan melawat dan menguruskan mayatnya? Tiba-tiba rasa gerun dalam hatiku datang menerpa.

Ya, Rabbi, Ya Tuhanku, bukankah arwah ayahku tersohor kerana warak dan alimnya? Arwah itu seorang mantan imam besar Masjid Jamek di tempat kami! Pada masa yang sama beliau seorang guru fardu ain yang mengajar beribu-ribu muridnya di bandar kami. Tetapi kenapa nasibnya Kausamakan tidak ubah seperti penagih dadah tegar yang menghidap AIDS pula?

Aku terfikir lagi, nampaknya tidak ada gunanya dan tidak ada ertinya beratus-ratus malah beribu-ribu ucapan belasungkawa yang dikirim murid-muridnya melalui

twitter, instagram, whatsapp, facebook dan kad-kad takziah

buatnya. Tambah menyedihkan aku, nasib malang Sahibul Samaah Dato Mufti dan murid-muridnya yang ramai itu. Meskipun ada antara mereka itu yang berpangkat tinggi, tidak seorang pun dibenarkan juga melawat jenazah ayahku di hospital.

Hari itu Dato’ Mufti mengunjungiku ke rumah. Beliau menyatakan kegagalannya untuk melawat jenazah almarhum di hospital. Semakin tebal pelik dan hairan di pemikiran warasku!

Namun secara ramah dan mesra, Tuan Mufti itu menasihatkan aku.

“Ustaz kena reda atas segala-galanya. Banyakkan bersabar dan beristighfar. Allah sahaja yang mengetahui di sebalik yang tidak kita ketahui! Semuanya ini adalah kehendak Allah! Bukan kemahuan kita manusia.”

“Memanglah saya reda, Dato’. Saya percaya segala-galanya atas suratan takdir-Nya. Jikalau saya tak sabar, subuh-subuh tadi lagi saya terus berkeras! Saya bawa saja balik jenazah arwah ayah itu. Apa nak jadi pun jadilah, saya tak kira!” Aku cuba menunjukkan sikap protesku terhadap perintah gila manusia itu.

“Tak bolehlah begitu, ustaz. Kita `kan ada prosedurnya. Kita terpaksa akur jika itulah perintah dan undang-undangnya! Dalam soal begini, setiap mayat yang disabitkan dengan penyakit yang didatangkan oleh virus COVID-19 itu penularannya sangat berbahaya. Sebab itulah semua kita ditegah ketat mendekatinya. Cuba lihat, semasa hayatnya lagi arwah terpaksa dikuarantina selama empat belas hari dengan rawatan rapi oleh doktor pakar yang khusus!”

“Tapi, doktor pakar juga gagal menyelamatkan ayah saya, Dato’. Bererti doktor-doktor seluruh dunia ini pun masih jahil tentang ancaman virus COVID-19 ini hinggakan terpaksa menggunakan khidmat doktor pakar dari negeri Cina juga.” Aku cuba menghujah Tuan Mufti dengan berhemah.

“Ustaz, dulu bukankah belajar di Universiti King Abd. Aziz?” Lembut sekali pertanyaannya.

“Benar Tuan Mufti!. Tapi saya tidak mempelajari bidang kedoktoran. Jadi hal-hal medikal sebegini saya memang jahil sekali.” Aku merendah diri.

“Tapi ‘kan ustaz pernah mendengar seruan yang mengatakan, ‘Tuntutlah ilmu hingga ke negeri Cina?’” tanyanya dengan suara lembut dan mesra.

Aku terkesima dibuatnya. Aku tidak faham apa sebenarnya yang dimaksudkan Tuan Mufti itu. Sukar bagiku untuk menerima hakikatnya! Tiba-tiba sahaja aku terasa buntu untuk memikirkannya pula. Terbetik di hatiku, musibah apakah yang didatangkan Allah sebegini rupa sehingga penularan wabak ini menggugat seluruh umat manusia di dunia? Masakan penyakit sebegini, boleh melanda dunia tanpa sebab akibatnya! Apakah ini satu kifarah sebagaimana Tuhan menurunkan ribut, banjir, kebakaran dan tanah runtuh apabila Allah hendak membinasakan kekufuran manusia?

Aku teringat, dalam al-Quran banyak kali disebut Allah telah membinasakan beberapa kaum yang menderhaka terhadap-Nya. Maka adakah wabak virus COVID-19 ini juga merupakan musibah daripada Allah semata-mata mahu memberitahu manusia supaya jangan cuba mendustai perintah-Nya? Sebab itulah Allah turunkan bala yang berupa wabak dahsyat begini pula? Hati kecilku mula mencerakinnya. Namun perasaanku pula cuba menafikan. Bukankah firman Tuhan ada menyebut, setiap penyakit itu ada ubatnya? Maksudnya supaya manusia berusaha menyelidikinya. Tetapi mengapa manusia tidak mencari dan mengkaji penyelesaiannya? Apakah ayat-ayat al-Quran tidak mampu dijadikan sebagai ubat dan pencegahnya sehinggakan terpaksa pakar-pakar dari negeri Cina juga didatangkan bagi membantu membanteras virus ini pula.

Mana pakar-pakar dari Jerman, Britain, Russia dan juga Amerika Syarikat itu? Mereka itulah yang sering mengagung-agungkan kejayaan mereka dengan sombong dan bongkak! Mendakwa mereka telah mencipta segala kemudahan melalui perkembangan teknologinya. Malah ada sesetengah daripada mereka itu secara takbur mendakwa berupaya menyambung usia manusia?

“Kalau memang benar, mengapakah pula para doktor dari Cina juga yang diharapkan untuk membantu menyelesaikan kegawatan virus COVID-19 di dunia ini? Jikalau begitu, Dato’, benarlah seperti mana seruan dalam agama kita yang mengakui bahawa di Cina saja barangkali boleh didapati ubatnya?” Aku bersungut hampa!

“Analoginya mudah sangat, ustaz. Cuba kita tanyakan pula mengapa Nabi besar junjungan kita Muhammad SAW, Allah lahirkan di Makkah dan tidak di Filipina atau

di Russia atau di Malaysia? Natijahnya kerana waktu itu negara Arab ada wabak penyakit menular, iaitu jahiliyah! Maka baginda diutuskan Allah bagi mengubati penyakit bangsa di negaranya sendiri. Begitulah barangkali Allah menurunkan penyakit virus COVID-19 ini di China, agar kita mengkaji adakah doktor pakar dari negeri itu juga yang ada ilmu penawarnya? Wallahualam!” ujar Dato’ Mufti itu sambil tersenyum meleret.

Lama aku terpegun memikirkannya. Ligat sekali otak di dalam kepalaku berfikir. Jika benar, mengapa arwah ayahku tidak menghantar aku belajar ke negeri Cina sahaja? Kenapa pula aku dihantar ke Arab? Kadang-kadang terfikir jauh di sudut kalbuku, mungkin kalau aku dihantar belajar ilmu kedoktoran ke sana, aku akan dapat tahu lebih dahulu tentang penawar wabak tersebut. Tidaklah sampai manusia berkecempera takut benar terhadap musibah yang datang itu.

“Dato’, barangkali di akhir-akhir zaman ini orang lebih percaya dan yakin terhadap doktor yang hanya seorang insan sahaja daripada yakin kepada Allah. Terbukti sudah, orang di akhir zaman ini rupanya lebih takut akan larangan manusia daripada larangan Tuhannya!

Tuan Mufti tidak menjawab. Tetapi, pencerahannya tadi sungguh menyentuh kalbuku. Kebenaran hakiki tersirat dalam ungkapan kata-katanya itu. Sungguh mulia dan syahdu! Tidak jadi aku hendak meneruskan rasa protes, rasa sakit hati, hampa, dan kecewaku apabila Dato’ Mufti menimbulkan satu keyakinan dalam diriku.

“Ustaz…ketahuilah, setiap kejadian yang Allah ciptakan itu ada hikmahnya. Allah sebenarnya menyuruh manusia mengkaji dan menyelidikinya. Kerana itulah

Allah berfirman, setiap penyakit itu ada ubatnya! Menjadi tugas dan tanggungjawab manusia itu pula mencari dan membuktikannya!”

Sebelum Dato’ Mufti pulang, kami bersalaman sekali lagi di muka pintu. Tiba-tiba baru aku tersedar rupanya aku masih bertelut di atas sejadah sejak dari tadi lagi. Aku pun segera menadah tanganku sambil berjanji, pada siang nanti aku akan kucuba menerangkan sejelas-jelasnya kepada ibuku bahawa sesungguhnya semua kejadian ini adalah dengan kehendak-Nya jua.

Tiba-tiba telefon pintarku membunyikan penggeranya. Kedengaran berkumandang suara azan merdu daripada muazzin yang biasa didengar. Beliau muazzin yang bertugas di Masjidil Haram, Makkah. Aku segera meraupkan kedua-dua belah tanganku ke muka. Tidak lama lagi aku akan berdiri sekali lagi di hadapan-Nya. Sekarang aku terpaksa solat di rumah, kerana dilarang keras pergi berjemaah ke masjid lagi!

Aku segera mengangkat takbir sambil mengucapkan Allah Maha Besar!

NIM YORZA

“TIDUR dalam keadaan berjaga. Ah, pastinya tuan kita itu sudah sinting! Bagaimana mungkin kita tidur dalam keadaan berjaga?” soal Gipin kepada sahabat sekerjanya, Umar.

Inilah perbahasan mereka selama lebih seminggu ini sebaik-baik sahaja mereka mendapat seorang pengurus yang baru. Bagi Umar pula, dia tidak kisah tentang itu kerana dia memang selalu mencuri masa untuk tidur di dalam stor pada waktu rehat tengah hari. Hanya Gipin yang terlalu memikirkan hal itu memandangkan Gipin ialah seorang penyelia yang menjaga hal-ehwal para pekerja. Menurut khabar yang tersebar, Gipin dapat tahu bahawa pengurus baru mereka ini pernah bekerja lama di Jepun. Mungkin ini rahsia kemajuan orang Jepun, fikir Gipin. Lalu diam-diam dia menyimpan hasrat untuk menemui pengurus baru itu apabila ada kelapangan. Hasrat itu pula menggebu-gebu seperti perasaan menantikan saat hendak bertemu kekasih

hati yang lama tidak bersua. Gipin tersenyum mengingatkan Jelita, gadis yang setia menunggunya di kampung.

“Dalam dunia korporat masyarakat Jepun, mereka ada satu istilah yang dipanggil Inemuri. Inemuri ini merupakan satu amalan tidur atau melelapkan mata sebentar agar nantinya mempunyai semangat dan tenaga baru untuk meneruskan tugas seterusnya. Ia boleh saja berlaku semasa mesyuarat atau ketika berehat sebentar di tempat kerja tanpa meninggalkan meja atau tempat bekerja. Ia mungkin secepat lima minit atau paling lama selama sejam.” Panjang lebar syarahan pengurus baru yang ditemuinya tadi.

Gipin menghela nafas panjang. Dia bukan tidak faham akan penjelasan oleh pengurusnya tadi. Yang menjadi beban dalam fikirannya sekarang ialah bagaimana dia mahu memberikan penjelasan kepada para pekerja di bawah seliaannya. Dia bimbang nanti, jika salah penjelasannya, para pekerja mungkin akan mengamalkan Inemuri secara berjemaah, apatah lagi jika mereka mengambil masa yang paling lama, iaitu sejam. Pasti kelam kabut seluruh syarikat ini. Suasana itu sudah terbayang di hadapan matanya.

Dia sudah terbayang bagaimana Ainun, seorang kerani bertubuh gempal, bertudung fesyen bawal sedang lena di meja kerjanya dengan bunyi dengkuran kuat seperti bunyi tenggorokan lembu yang baru disembelih. Selama ini pun bukannya dia tidak pernah kedapatan Ainun tidur dengan meletakkan kepalanya di atas meja. Meleleh air liur basi hingga ke atas meja. Apabila dikejutkan, Ainun senyum kesipuan sambil menyatakan dia baru terlelap sebentar. Walaupun sebentar, suara dengkurannya boleh mengatasi bunyi enjin kereta tua yang semput dan terbatuk-batuk. Bunyinya amat menjengkelkan.

Dia juga terbayang Leong, seorang pemandu lori yang berperut buncit, bahkan boleh terlelap dalam taklimat keselamatan harian walaupun hari masih pagi benar. Meskipun bunyi dengkurannya jarang kedengaran tetapi cukup mendengar desahan nafasnya yang berat kerana sendat oleh perut yang boroi itu juga cukup menyesakkan jiwa sesiapa yang mendengarnya. Belum lagi aroma alkohol yang menyengat rongga hidung hasil dari hembusan nafas kasarnya, petanda bahawa dia minum arak semalaman, setiap hari.

Malah sudah tertayang di pelupuk matanya, bagaimana pekerja-pekerja am yang akan tidur berjemaah di tepi longkang di belakang stor selepas waktu makan tengah hari. Ada yang tidur terkangkang. Ada yang tidur sambil buka baju. Ada juga yang tidur menyandar. Semuanya tidur lena seolah-olah tidak pernah tidur selama seribu tahun. Sangat nyenyak dan mengasyikkan.

Bayangan yang menghantui fikirannya ini sangat menyesakkan dadanya. Ia umpama bayangan maut yang akan datang menjemputnya pada bila-bila masa sahaja. “Sedangkan belum ada kebenaran tidur pun, mereka sudah tidur bagai tidak ingat untuk kembali terjaga, apatah lagi dengan kebenaran,” gumamnya dalam hati.

Gipin terus termenung sambil kepalanya ligat berfikir, bagaimana untuk memastikan kebenaran tidur itu tidak disalah guna sehingga menjejaskan prestasi syarikat. Dia cukup kenal budaya kerja di syarikat ini. Malah dia berani jamin, seluruh negara mempunyai sikap dan budaya kerja yang hampir serupa. Oleh sebab itulah dia berpandangan bahawa apa-apa sahaja budaya, baik dari luar, tidak semestinya sesuai dengan masyarakatnya. Cara berfikir juga

INEMURI

amat jauh berbeza. Dia masih ingat keluhan seorang rakan sekampungnya beberapa waktu yang lalu. Rakannya ini seorang guru.

“Kau percaya, adakah logik diwujudkan satu polisi pendidikan untuk menggalakkan murid belajar sendiri. Kononnya ia adalah satu model yang amat berjaya di United Kingdom. Di sana, anak-anak sekolah amat teruja untuk ke sekolah setiap hari. Kau tahu, majoriti anak sekolah kita di sini, ke sekolah pun minta dirotan baru mahu datang. Bagaimana

Dalam dokumen GAPENIAGA Kuala Lumpur 2020 (Halaman 107-147)

Dokumen terkait