• Tidak ada hasil yang ditemukan

Cetera Di Jalan Kampung Kuli

Dalam dokumen GAPENIAGA Kuala Lumpur 2020 (Halaman 147-176)

SAIFULLIZAN YAHAYA

SEUSAI menunaikan solat subuh yang tinggal beberapa minit lagi, saya beristighfar berkali-kali, kerana teringat perbuatan tergesa-gesa itu amalan syaitan. Rasa bersalah itu timbul kepada saya yang telah tersedar awal kerana digerakkan oleh jam penggera daripada telefon pintar berkali-kali, selain saya yang pasti terdengar dengan jelas suara azan subuh. Tetapi sikap menunda-nunda yang ada pada diri menyebabkan saya hampir menunaikan subuh gajah. Adakah subuh gajah ini? Saya bertanya sendiri sambil tangan melipat sejadah hotel.

Saya kemudian menyelak langsir hotel, mencari-cari kelibat masjid yang mengumandangkan azan tadi. Tidak dijumpai. Mungkin bukan di sebelah sini. Mungkin di sebelah lain. Saya memujuk diri kerana suara azan yang saya dengar tadi terasa-rasa sangat jelas, atau saya yang bermimpi? Saya lihat hari masih lagi gelap. Awal lagi, bisik saya sendiri. Elok

juga jika saya berjalan-jalan melihat bandar bersejarah ini di awal pagi.

Saya yang telah tercegat di hadapan hotel tidak tahu hendak menuju ke arah mana walaupun niat dalam hati saya ingin menziarahi makamnya. Semalam rakan-rakan daripada jabatan kerajaan yang lain ada memberitahu bahawa hotel yang kami inap ini dekat dengan makam Hang Jebat. Khabar itu habis begitu sahaja. Sebaliknya saya pula yang teruja sendiri. Bukan apa, sejak kecil saya telah pun mendengar kisah Hang Tuah dan Hang Jebat ini. Arwah ayah saya seorang peminat tegar filem Melayu, terutamanya lakonan Nordin Ahmad. Saya pun tidak tahu mengapa tetapi yang pasti hero Melayu itu pernah melakonkan watak Hang Jebat, dan saya pernah menonton bersama-sama ayah suatu waktu dahulu. Kesannya hingga sekarang apabila terdengar nama Hang Jebat, saya akan terbayangkan wajah Nordin Ahmad dan lakonannya.

Sedang saya ingin menentukan arah untuk melangkah, saya disapa oleh seorang gadis. Saya ingat gadis tersebutlah yang menyambut saya dengan ramah di kaunter semalam, sewaktu ingin mendaftar masuk ke bilik.

“Tuan, hendak ke mana?” tanyanya mesra.

Tergodakah saya yang sudah mempunyai seorang isteri dan tiga anak yang sedang meningkat remaja, bisik saya sendiri sambil membalas senyumannya dan menyahut soalannya, “Saya dengar dekat hotel ini ada makam Hang Jebat, cadang hendak ke sana.”

“Oh, tidaklah dekat jika berjalan kaki tetapi boleh sahaja jika tuan sanggup.” Begitu balasnya.

Saya jadi terkelu sedikit. Tetapi saya cuba membalas lagi, “Jadi jauhkah?”

“Tidak, saya tidak kata jauh, cuma mungkin tuan akan rasa penat jika berjalan kaki dan tidak ada apa-apa pun di makam tersebut. Kedai-kedai pun masih belum dibuka,” jelas gadis itu lagi sambil mempamerkan lesung pipitnya.

Dan saya yang tahu sebabnya gadis itu menjawab sebegitu tersenyum sambil membalas dengan nada mengusik tanpa niat apa-apa, “Oh saya nampak tuakah?”

Gadis itu ketawa sopan, “Tidak…tidak, saya bukan bermaksud begitu. Maksud saya kesian tuan, jika sampai di sana tidak ada apa-apa yang menarik.”

“Tidak mengapa, saya saja ingin beriadah sedikit pagi ini sambil-sambil menziarahi seseorang yang pernah menjadi sejarah kepada negara kita.” Begitu alasan saya yang sejujurnya tidak saya sangka-sangka kerana saya sendiri pun sejak memasuki universiti mula menafikan kewujudan Hang Tuah, apatah lagi Hang Jebat dan saudara-saudaranya. Bagi saya itu semua hanya dongengan yang direka untuk menimbulkan semangat kemelayuan orang Melayu yang tidak yakin untuk bersaing dengan kaum lain, khususnya kaum Cina, yang sememangnya mempunyai sejarah yang hebat di benua mereka.

“Tetapi jika tuan kata begitu, baguslah kerana saya sebagai anak Melaka juga sedikit malu apabila ada orang Melayu sendiri yang tidak pun teruja tentang makam Hang Jebat tersebut. Mereka lebih tertarik dengan pusat beli-belah dan hotel-hotel besar di bandar ini daripada sejarahnya. Selat Melaka juga mereka tidak tahu di mana letaknya.”

Saya sekali lagi terasa terpukul dengan kata-kata gadis tersebut. Sangka saya dia remaja yang kosong tetapi ada isinya. Mungkin tadi dia menduga saya. Mungkin juga dia berketurunan Tun Fatimah.

“Tuan, jika hendak ke Makam Hang Jebat, ikut ke arah jalan ini, terus sahaja, dan kemudian belok ke kiri dan kemudian sekali lagi belok ke kiri. Insya-Allah nanti tuan akan nampak makam tersebut yang ditulis dalam tulisan jawi. Makam itu terletak di tengah-tengah dua bangunan lama dan di salah satu bangunan telah dijadikan kafe retro.”

Saya pun mengucapkan terima kasih dan meninggalkan gadis itu dengan satu godaan yang lain. Dan sepanjang jalan, saya lihat semua kedai lama dengan tulisan Cina. Hairan juga saya bagaimana Hang Jebat boleh dimakamkan di sini. Bukan di satu kawasan yang terdiri daripada kampung Melayu. Hairan datang lagi dalam diri ini kerana setahu saya makam Hang Kasturi juga terletak berhampiran juga. Sekarang kawasan tersebut telah pun menjadi tumpuan pelancong khususnya dari China, dan makam Hang Kasturi itu pun tersorok seakan tidak dihiraukan oleh orang Melayu yang melalui Jonker Street.

Saya yang masih bersarang dengan tanda tanya itu terus meneka-neka dengan sangka buruk: mungkin kedua-dua pahlawan itu pernah menderhaka kepada rajanya menyebabkan mereka dimakamkan di satu kawasan yang bukan di kampung Melayu. Namun, setahu saya Hang Jebat yang menderhaka tetapi kenapa Hang Kasturi juga dimakamkan di kawasan ini. Atau Hang Kasturi juga turut menderhaka kerana saya pernah juga mendengar, sebenarnya Hang Kasturi yang menderhaka bukan Hang Jebat. Entahlah, mungkin perlu satu kajian yang menyeluruh dan lengkap. Entahlah, saya yang tidak pernah pun belajar sastera sewaktu di sekolah, apatah lagi di universiti kerana saya mengkhusus dalam hal- ehwal ekonomi menyebabkan nama pahlawan-pahlawan Melayu itu hanya menjadi ingatan

melalui cerita guru sejarah atau bahasa dan filem-filem yang ditonton sahaja.

Sambil terus berfikir itu, kaki saya juga turut melangkah dengan mata saya menghayati struktur dan bentuk rumah-rumah kedai lama. Banyak juga rumah-rumah kedai yang telah direka bentuk kembali menjadi daya tarikan para pelancong. Kreatif juga mereka untuk menjana ekonomi dalam industri pelancongan ini. Saya terasa sedikit berbangga kerana inilah antara yang kami bengkelkan selama dua hari ini untuk meneliti satu kertas cadangan dalam meningkatkan ekonomi pelancongan di kawasan-kawasan yang menjadi daya tarikan orang ramai. Antara cadangan tersebut ialah membaik pulih rumah kedai atau bangunan lama untuk dijadikan tumpuan pelancong dalam dan luar negeri. Rumah-rumah kedai itu kebanyakan menjadi bangunan lusuh atau kami istilahkan bangunan ‘berhantu’ kerana kesan pembangunan di kawasan baharu atau ada kesan daripada pembukaan lebuh raya berpuluh-puluh tahun dahulu.

Saya yang sedikit terasa letih mula berasa yang saya telah berjalan terlalu jauh dan mungkin tersesat. Saya tidak nampak lagi satu kawasan yang ada tertera nama Makam Hang Jebat. Mungkin saya telah disesatkan gara-gara sangka buruk saya kepada kedua-dua pahlawan Melayu itu tadi. Tetapi rasanya saya tidak lagi jatuh berdosa. Namun, saya tetap beristighfar berkali-kali sambil teringat kuliah seorang ustaz yang pernah saya hadiri. Dalam kuliah itu, ustaz tersebut menyatakan, Allah tidak melarang kita berprasangka tetapi Allah meminta kita menjauhi banyak prasangka kerana sebahagian prasangka itu dosa dan sebahagian itu tidak. Ia menjadi berdosa apabila prasangka itu disampaikan kepada orang lain dan tidak benar. Tetapi tidak jatuh berdosa jika CETERA DI JALAN KAMPUNG KULI

ia hanya setakat baru lintas dalam hati dan fikiran sahaja. Harapan saya, sangka saya tentang dua pahlawan Melayu itu, tidak lagi jatuh berdosa kerana masih lagi berbentuk lintasan sahaja dalam fikiran saya.

Seketika itu, saya terpandang sebuah tanda tandas awam. Saya teringin juga untuk singgah untuk menunaikan hajat kecil walaupun tidak terlalu mendesak. Ada lopak air di luar kawasan tandas tersebut. Kelihatan juga tandas itu seperti tidak diselenggara dengan baik. Sayang kedua-dua pintu tandas lelaki dan wanita masih lagi berkunci. Mungkin masih terlalu pagi. Untuk melepaskan lelah berjalan, saya melabuhkan punggung saya di atas bangku yang juga sudah lusuh kelihatannya. Tidak disangka-sangka, sebaik saya menoleh ke kiri, saya terpandang pintu gerbang yang tertulis Makam Hang Jebat. Hati saya berdetik gembira serentak terfikir mengapa ada tandas awam berdekatan dengan makam pahlawan Melayu ini? Saya tidak mahu melanjutkan prasangka lagi.

Saya pun segera berdiri dan melangkah untuk menuju ke makam tersebut. Saya pun tidak mahu berlama-lama kerana jika mengikut urus setia bengkel kami semalam, bengkel akan disambung semula pada pukul 9:30 pagi ini. Sepatutnya pukul 8:00 pagi, tetapi atas persetujuan bersama, dilewatkan sejam kerana semalam pun bengkel kami hampir pukul 1: 00 pagi baru ditamatkan oleh Pengerusi.

Saya telah pun berdiri di depan pintu gerbang tersebut yang terhalang oleh sebuah kereta Proton Saga yang memarkir di situ. Ya, sepanjang bahu jalan tersebut ada sahaja kereta yang parkir. Betul kata gadis itu, di kanan makam itu ada sebuah rumah kedai yang telah diubah suai menjadi kafe retro atau retrospektif yang rasanya untuk bukan non-Muslim.

Di kirinya pula masih lagi saya lihat sebuah rumah kedai lama yang telah kosong. Saya pun segera masuk ke kawasan makam tersebut. Kelihatan satu papan tanda maklumat yang memaparkan salasilah Hang Jebat dan kubur-kubur lain yang ada di sekitar makam pahlawan tersebut. Semuanya terdiri daripada ahli keluarga dan pengikutnya.

Saya pun melangkah ke Makam Hang Jebat yang besar binaannya berbanding dengan kubur yang lain. Saya pun bertafakur sambil membaca al-Fatihah untuk disedekahkan kepada pahlawan Melayu yang telah menjadi lambang penentangan dalam zaman yang dikelilingi oleh semangat kebangsawanan dan kefeudalan itu. Kadang-kadang saya terfikir juga, penentang harus ada pada setiap zaman, kerana jika hanya mengikut arus selamanya manusia tidak akan berubah. Seperti juga sesuatu bencana atau musibah yang datang, juga akan mengubah sesuatu keadaan. Tetapi untuk mengubah pemikiran mesti ada seorang penentang yang berani kerana melalui pemikirannya, manusia lain yang akan menilai benar atau tidak sesuatu tindakan yang diambil oleh seorang penentang tersebut. Walaupun penentang itu kalah dan kecewa, zaman yang lain akan menilainya. Saya tiba-tiba teringatkan tuturan akhir yang diucapkan oleh Hang Tuah yang dilakonkan oleh seniman P. Ramlee, “Jebat, kaukah yang benar atau akukah yang benar.”

Barangkali kali dialog itu sengaja menjadi pengakhiran filem Hang Tuah tersebut untuk mengheret penonton bukan sahaja menjadi penonton kepada aksi perkelahian dua oleh pahlawan Melayu di atas skrin lebar tetapi mengajak penonton yang keluar panggung untuk berfikir dan menilai kembali sifat kebenaran itu.

Lama juga saya bertafakur dengan berfikir tentang pahlawan ini di depan makam yang mengebumikan

jasadnya. Saya rasa perlu untuk segera melangkah balik ke hotel. Tidak juga mahu berlarut-larut dengan perasaan dan fikiran sendiri. Saya bukan mahasiswa daripada persuratan Melayu yang perlu memikirkan perkara tersebut. Yang perlu saya fikirkan adalah tentang ekonomi negara. Entahlah, mungkin kerana saya bangsa Melayu, terangsang juga untuk menilainya atau usia yang sudah melewati separuh 40-an yang kembali menilai kekuatan bangsa sendiri dalam zaman yang penuh dengan intrig politik di tanah air sendiri mutakhir ini.

Saya terus melangkah meninggalkan makam itu dengan perasaan terharu. Entah saya sendiri tidak tahu mengapa, mungkin saya terheret dengan perasaan sendiri, atau keadaan suasana yang sunyi menyebabkan saya berasa ada sesuatu yang nostalgik. Sepanjang jalan, saya kembali menghayati rumah-rumah kedai yang usang dan yang telah direformasi dengan tema tertentu mengikut daya tarikan masing-masing untuk tujuan pelancongan dan gaya hidup hari ini. Agak sukar juga untuk mencari identiti Melayu Melaka sepanjang jalan yang saya lalui ini. Semuanya berbau citra Cina atau lebih lembut lagi Cina-Baba. Itulah imej yang berjaya memukau pelancong yang hari ini kebanyakannya dibanjiri dari benua Cina. Mungkin ada pelancong tersebut akan terkagum dan terpesona bagaimana datuk nenek mereka telah berjuang dengan sepenuh hati untuk berhijrah mencari penghidupan baharu sambil mengembangkan budaya Cina ke benua lain. Tetapi bagi bangsa saya, mungkin juga terasa terkagum dengan kekayaan budaya dan sikap tolak ansur bangsa sendiri terhadap budaya luar. Hal ini barangkali terus berlangsung sehingga ke saat ini. Begitu fikiran saya merayau dengan langkah yang terus melangkah

untuk pulang ke hotel dan bersiap-siap untuk memasuki bengkel kembali demi meneliti sebuah kertas rancangan pembangunan ekonomi negara dalam bidang pelancongan.

Bagai ada suatu kuasa ajaib, mata saya terpandang sesuatu yang lain. Sebuah kedai yang bertulisan jawi. Tulisan jawi di atasnya dan ruminya di bawahnya. Sangat jelas ditulis “Kedai Buku Melayu”. Sesuatu yang mengujakan dan mengejutkan saya pada hari yang masih lagi pagi ini. Saya mendekati kedai tersebut. Sangat kecil kerana dihimpit dengan dua bangunan rumah kedai yang sudah menjadi pusat hiburan di sebelah kirinya dan kedai makan di sebelah kanannya.

Saya mengamati kedai itu buat seketika. Ada terlihat cahaya neon di dalamnya. Saya mendekat lagi. Kedai itu telah dibuka! Saya sedikit teruja lagi. Awal kedai ini dibuka. Jika begitu saya boleh memasukinya. Saya menolak daun pintu itu dengan sopan. Saya telah pun melangkah masuk. Tiada sesiapa di dalamnya tetapi saya tercium aroma buku-buku lama yang tidak tahu bagaimana untuk saya gambarkan kerana saya bukan pengarang. Ah, saya terlihat susunan buku yang bertulisan jawi di sebuah rak yang moden. Di sebelah kanan pula saya melihat susunan buku dalam tulisan rumi di rak yang agak klasik. Menarik, cetus hati saya. Saya tahu tentu tuan atau penjaga kedai ini ada di dalam kedai ini. Barangkali di sebalik dinding belakang yang saya lihat seakan-akan tirai dalam kedai ini. Seperti adab Melayu Islam, saya pun melontarkan salam. Salam kedua saya disambut dengan kemunculan seorang lelaki tua. Masih segak tetapi sudah jelas ketuaannya dengan rambut yang memutih dan cermin mata tebalnya yang tersangkut di atas hidung yang tidak berapa mancung. Hidung Melayu.

Beliau memandang saya seketika. Mengangguk tanda mempersilakan saya sebagai tetamunya atau pelanggannya. Saya ingin memulakan perbualan terus bertanya, “Awal kedai ini dibuka, tuan?” Saya tidak tahu kenapa saya membahasakan dengan tuan walaupun pada awalnya saya ingin menyebutnya pak cik. Mungkin saya terkesan dengan panggilan tuan oleh gadis di hotel tadi.

“Rasanya sudah lewatkah jika usia orang itu seperti saya,” balas beliau.

Saya tidak mengerti juga mulanya menyebabkan saya mungkin saya tersalah masuk kedai.

“Tidak, anak tidak tersalah masuk kedai. Maksud saya tadi, saya yang sudah lanjut usia ini, rasanya waktu seawal pagi ini tidaklah lagi terasa lewat untuk saya yang sekarang terasa masa sangat cepat berlalu, sedang saya tidak dapat lagi memenuhi impian saya yang besar. Tetapi saya tahu itu adat hidup. Tidak semua dapat kita capai dalam kehidupan ini. Kehidupan ini sebuah perjalanan yang akan tetap menemui titik akhirnya di dunia ini.” Dan beliau terus datang menghampiri saya sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman.

Saya membalas dengan penuh akrab. Saya tidak tahu ingin mengulas apa-apa tentang persoalannya tadi kerana terasa seperti beliau dapat membaca perasaan saya sahaja atau beliau memang orang berilmu yang dapat membaca fikiran orang lain. Untuk tidak menampakkan saya terasa janggal, saya cuba mengalihkan persoalan kepada buku-buku yang terdapat di dalam kedainya. “Semua buku-buku ini untuk dijual atau sekadar pameran?”

Sehabis soal ini dilontar, suasana hening agak lama menyebabkan saya bersalah rasanya kerana soalan tersebut mungkin menggores perasannya.

Sebelum sempat saya memohon maaf, beliau membalasnya begini, “Ya, ada yang saya jual tetapi kebanyakan hanya sebagai lambang kepada para pelancong.”

“Maksud tuan?” Saya yang seakan tidak sabar disambut oleh ketawa kecil beliau dan diikuti dengan katanya, “Ya, sebagai lambang kepada para pelancong yang datang ke pesisiran Selat Melaka, bahawa bangsa Melayu sangat kaya dengan khazanah bacaan, bukan sekadar bangunan lama dan makanan yang sedap tetapi kita mempunyai warisan yang membuktikan kita bangsa Melayu telah lama wujud tetapi hanya kesilapan kita sendiri yang tidak mahu bersatu sehingga kita mudah diperdayakan dan dipecahbelahkan oleh sesama kita sendiri demi kepentingan diri atau godaan duniawi seperti yang berlaku pada dua pahlawan Melayu kita.”

Saya tidak tahu adakah saya tersilap melangkah masuk ke kedai tersebut tetapi di pintu hotel, gadis yang tadi menunjukkan arah ke Makam Hang Jebat tersenyum menyambut saya sambil bertanya, “Tuan, sudah berjumpakah dengan Hang Jebat?” Dan saya segera menjawab, “Barangkali saya menemuinya?”

“Siapa?” balas gadis itu.

Saya tidak menjawab tetapi menunjukkan sebuah manuskrip dalam bentuk buku dan dengan nada hairan gadis itu menyebut, “Hikayat Hang Jebat.”

“Ya,” jawab saya dan menyambung, “di kedai buku Melayu” sambil teringat kata-kata beliau yang memberikan buku itu kepada saya dan berkata, “tidak semua boleh kita jual untuk ekonomi kerana lambang itu penting untuk kita meyakinkan diri kita dan bangsa lain bahawa kita benar-benar wujud.”

SHIELD SAHRAN

BUAH manggis, sejenis buah yang bermusim dan mahal apabila dijual. Entah berapa kali aku berhenti di tepi gerai buah dan merenung buah bernama manggis, tapi aku tidak membelinya. Atas alasan? Mahal. Buat apa beli mahal-mahal tapi akhirnya sisa tersadai menjadi kumbahan? Bab makan sememangnya aku juara, juara berkira.

Sehinggalah pada suatu hari, kawan sepejabatku bernama Herry mengajak aku ke kampungnya. Aku fikir untuk apa? Aku tak betah memandu jauh ke kampung orang. Sedangkan kampung aku sendiri aku jenguk pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha sahaja, jadi kenapa aku perlu setuju apabila menerima ajakan ke kampung orang lain?

“Tapi sekarang ni musim buah manggis. Aku dengar kau suka manggis. Kebun atok aku banyak manggis. Ambillah banyak mana kau nak, aku kasi percuma. Dengan syarat kau ambil sendirilah,” ujar Herry, membuatkan aku terbeliak biji mata.

“Betul ke? Percuma?”

“Kalau bab manggis, percumalah. Kalau bab minyak kereta kau, kaubayar sendirilah. Itu pun kalau kau nak, Man. Aku tak paksa.”

“Eh, apa pula paksa? Rezeki jangan ditolak!” ucapku lalu segera memberikan persetujuan.

Sejujurnya, Herry tak tahu sudah berapa lama aku menahan diri untuk tidak membeli manggis di gerai buah-buahan meskipun aku mengidam begitu teruk mengalahkan perempuan mengandung. Seperti yang aku percaya, aku tidak mahu membeli makanan mahal kerana ia akan berakhir di dalam tandas. Tapi itu tidak bermakna aku langsung tidak mencicip manggis. Jika ada rakan sepejabat atau ahli keluarga atau ada pesta makan buah-buahan tempatan percuma, akulah orang pertama yang akan muncul. Sikap berkiraku itu membuatkan aku sering dimarahi keluarga aku.

“Rahman! Jangan sesekali kau berkira bila nak makan! Kalau kau dah berkira dengan makanan kau sendiri, dengan orang pun kau lagi berkira. Kau tahu, makanan itu salah satu rezeki. Bab beri makanan pada perut, jangan kauambil bukan hak kau. Kalau kau nak, kauusahakan sendiri. Jangan asyik rembat makanan orang,” tegur ibuku tegas.

“Lagipun tak ada salah kalau kau ingin nak makan sesuatu, kaubeli. Janganlah terlalu berkira dengan diri sendiri. Siapa lagi nak hargai diri kau melainkan kau sendiri. Janganlah asyik harapkan orang beli makanan yang kau ingin. Aku tak fahamlah dari mana datangnya sikap kikir dan berkira kau ini,” sampuk abah pula, bimbang.

“Tapi itu cuma makanan, untuk apa beli mahal? Orang dah belikan, apa salah minta sikit. Man bukan nak banyak pun. Kalau tak nak bagi, cakap sajalah,” sahutku.

Ibuku mengucap panjang, “Astaghfirullah! Nama kau cantik. Rahman, maksudnya maha pengasih. Bukannya maha meminta-minta! Malulah, bukannya kau tak mampu

Dalam dokumen GAPENIAGA Kuala Lumpur 2020 (Halaman 147-176)

Dokumen terkait