• Tidak ada hasil yang ditemukan

Menulis Cerita Ini Pekerjaan Gila

Dalam dokumen GAPENIAGA Kuala Lumpur 2020 (Halaman 57-79)

ABANG MEDIAN ABANG SAID

INI bukan cerita main-main. Semua yang diceritakan ini benar. Ada banyak aksi ganas dan mengerikan. Aku perlu menyusun ayatku sebaik mungkin supaya pembaca dapat merasai suasana tegang tersebut. Unsur dramatik perlu ditonjolkan dengan berkesan. Debaran perlu mampu menggoncang dada. Kalau boleh, biar putus tangkai jantung. Anda semua akan mati membaca cerita ini. Tak percaya? Anda akan tahu juga nanti.

Aku perlu membuka cerita ini dengan gambaran yang menggugah emosi pembaca. Aku mulakannya begini: Lelaki itu duduk di ruai rumah panjang dan dipaksa menangisi kematian seorang lelaki tua. Parang tajam berkilat memantulkan cahaya bulan berada tepat di lehernya. Lelaki itu bernama Pijo–seorang lelaki berbangsa Narum dan merupakan graduan miskin hingga perut yang menggelepar kelaparan menyebabkannya mengambil upah menangisi

kematian melalui upacara ngirau untuk masyarakat Kayan atau nyabak buah bagi masyarakat Iban setelah memperoleh kebolehan tersebut melalui mimpi. Mungkin kebolehan itu juga diperoleh daripada kemiskinannya. Biarpun dua upacara ini tampak sama, kaedahnya jauh berbeza. Sewaktu Pijo melakukan nyabak buah, dia berhubung dengan roh si mati secara spiritual. Apabila disuruh melakukan ngirau dia hanya melakukannya untuk melontarkan perasaan hiba agar perasaan yang sama dirasai oleh seluruh penduduk rumah panjang. Disebabkan tidak ada generasi baharu masyarakat Dayak dan Orang Ulu yang mahu menjalankan tugas ini (selalunya dilakukan oleh orang perempuan), maka Pijo cuba mengisi kelompangan tersebut. Oleh itu, sekarang Pijo tidak menganggur lagi.

Sebaiknya, aku memperkenalkan dirinya terlebih dahulu–lelaki dengan mulut sedikit lebar, bibir merekah, hidung pesek dan mata yang sedikit bulat. Ramai yang mengatakan bahawa wajahnya seperti vakum yang mampu diisi dengan apa-apa perasaan. Mungkin itulah keistimewaan Pijo hingga dijemput dan diupah ke setiap pelosok dan teluk.

Anda masih tidak yakin dengan cerita ini? Aku akan memasukkan tarikh dan tahun supaya tampak ada elemen sejarah. Anda boleh mengaitkannya dengan peristiwa-peristiwa lain yang berlaku pada masa yang hampir sama. Seolah-olah ada fragmen kehidupan masyarakat yang tidak ditonjolkan atau disembunyikan. Cerita ini berlaku pada _______________ . Argh, biarlah anda isi dengan tarikh sendiri! Sejarah itu kadangkala sengaja direka. Lagipun ini cerita rahsia. Boleh saja anda isi tempat kosong itu dengan tarikh hari ini kerana anda membacanya pada hari ini.

Untuk menunjukkan bahawa cerita ini bukan cerita rekaan, aku masukkan latar tempat kejadian. Kisah ini

bermula di Marudi–tempat Pijo dilahirkan, iaitu sebuah pekan kecil yang menjadi pusat pentadbiran Daerah Baram. Untuk kalian masuk ke dalam cerita ini, sila kalian buka peta Baram atau melayari internet pada alamat https://www. nas.gov.sg atau kalian taip sahaja ‘Peta Baram’ pada enjin carian google. Kalian akan dibawa ke bahagian timur laut Sarawak melalui Kampung Long Banyok yang dihuni oleh masyarakat Morek, masyarakat Penan yang tinggal nun jauh di hujung sungai seperti di Long Sait, masyarakat Kelabit di perbukitan Bario, masyarakat Kayan yang tinggal di tengah-tengah Sungai Baram hingga ke Long Naah dan juga masyarakat Kenyah yang berada jauh di hulu Baram hingga ke Kampung Lio Mato. Bayangkan, kira-kira 23 etnik tinggal di daerah tersebut. Pijo lahir pada tahun 1998–pada waktu itu Regatta Baram diadakan, iaitu satu upacara lumba perahu yang dijalankan dua tahun sekali. Mengikut sejarah, Regatta Baram diperkenalkan pada tahun 1899 oleh Residen Charles Hose, orang kepercayaan Rajah Brooke untuk menyelesaikan pertelingkahan kaum melalui perlumbaan perahu di Sungai Baram. Tahun 1899 dan 1998; secara kebetulan atau tidak, persis ada kebersamaan. Kelahiran Pijo telah menghidupkan upacara ngirau dan nyabak buah seperti menunjukkan sedikit persamaan dan kesatuan budaya antara masyarakat Iban dengan Kayan–sama seperti Baram Regatta.

Aku tidak melencongkan cerita asalku. Memang parang yang berkilat sedang berada di leher Pijo. Sewaktu parang itu dihayunkan ke udara, berdesau bunyi angin terbelah. Jikalau muzik sape dimainkan, alunan itu pun akan terbelah. Wajah Pijo basah. Wajah ketakutan jelas kelihatan. Agan–anak kepada lelaki tua yang meninggal dunia itu–begitu marah dengan kegagalan Pijo menjalankan tugas yang diberikan.

Sudah dua malam Pijo cuba melakukannya. Mayat lelaki tua itu dibaringkan di ruai rumah panjang di dalam keranda yang diukir dengan motif hudoq atau figura manusia yang lengkap, iaitu mempunyai kepala, kaki dan tangan. Keadaan kulit si mati agak kebiruan terutama pada bahagian mulut. Perutnya kembung. Anak matanya mengembang dan sedikit terbuka. Banyak rambutnya telah gugur.

Malam sebelumnya, Pijo duduk di hadapan mayat lelaki tua itu. Dia merenung mukanya. Pijo mengetap bibir, menarik nafas dan cuba bermeditasi untuk fokus dengan tugasan tersebut. Pijo meluruskan tangan sambil menekan lutut. Dia gagal mengeluarkan air mata. Hampir dia hilang sabar. Reputasinya akan tercalar.

Sepatutnya tugasan itu mudah. Untuk upacara ngirau, dia hanya perlu menangis. Pijo tidak perlu berhubung dengan roh si mati untuk memperkatakan kebaikan semasa hayatnya. Dia bukannya melakukan upacara nyabak buah. Si mati berbangsa Kayan dan bukan berbangsa Iban. Sebelum-sebelum ini, sewaktu melakukan nyabak buah, air matanya melimpah persis air terjun yang menyejukkan mayat yang ingin dihantar ke dunia sebayan, iaitu tempat roh mereka dikembalikan. Bagi masyarakat Iban, roh tersebut akan melalui titian tinggi atau disebut sebagai Andau Titi Rawan, iaitu titian halus seperti meniti selembar rambut.

Pijo sudah merasai kelainan sewaktu kakinya menapak sahaja ke kampung tersebut. Selepas sampai di sebuah pangkalan kecil setelah berperahu selama empat jam dengan enjin berkuasa 30 kuda, dia perlu berjalan kaki selama 30 minit. Tanah becak hingga perjalanan terasa lambat. Langkahan kaki tersekat-sekat.

Pada petang remang yang gelisah, dia menjejakkan kaki ke kampung itu. Seekor burung gagak hinggap di

dahan sambil mengeluarkan bunyi. Itu gambaran biasa sewaktu dia ingin memulakan upacara menangisi kematian. Pijo mengintimi resah pada kesunyian kampung hingga dia menapak di depan pintu rumah si mati. Pijo terpegun. Rumah panjang di kampung itu sangat mewah. Rumah si mati terletak di tengah-tengah–tiga tingkat dan sangat besar. Anak lelaki si mati yang menyambut Pijo. Katanya, mayat itu akan dikebumikan selepas upacara ngirau selesai dilakukan.

Salong juga telah siap diukir untuk menyimpan barangan

berharga atau barangan yang pernah dipakai oleh ayahnya semasa hidup. Tidak ada sesiapa yang boleh balik selagi tugasan tidak selesai. Rumah tumpangan untuk bermalam telah disediakan.

Hanya Agan dan adik perempuannya yang berusia awal 20-an tinggal di rumah itu. Kedua-duanya belum berkahwin biarpun Agan tampak lebih berusia.

Sewaktu Pijo gagal pada cubaan pertamanya pada malam itu, Agan merenungnya tajam. Wajahnya masam sambil menyisipkan jelingan tajam hingga menggusarkan jiwa. Pandangannya seperti merobek dada dengan parang ilang yang digunakan untuk memenggal kepala. Adiknya pula lebih banyak menundukkan wajah dengan wajah gementar.

“Aku sanggup tunggu. Jikalau kau perlu mengambil masa berhari-hari sekalipun, tak mengapa … asalkan upacara

ngirau itu selesai sebelum mayatnya dikuburkan.”

Malam itu mata Pijo tidak mahu lelap biarpun berkali-kali dia memusing badan untuk mencari keselesaan. Jikalau tertidur pun, setiap sejam dia akan terjaga. Kedinginan malam tidak mampu mendamaikan jiwa. Ada kegusaran dalam hati yang entah apa. Seperti ada sesuatu yang tidak MENULIS CERITA INI PEKERJAAN GILA

mampu ditafsirkan. Seperti ada cerita yang bergantungan. Pijo terasa ingin menjalankan upacara nyabak buah untuk merungkaikan misteri tentang si mati secara mistik. Dia tidak mahu menjalankan upacara ngirau yang hanya melampiaskan kesedihan kepada si mati. Dia terasa ingin berhubungan dengan roh si mati untuk mengetahui sejarah hidupnya melalui upacara nyabak buah biarpun si mati itu berbangsa Kayan! Sememangnya dia menjadi kalap seketika. Ada keanehan yang jelas terasa.

Pagi berikutnya tetap hadir dalam keadaan suram. Sama ada ngirau atau nyabak buah, mampukah dia mengeluarkan air mata pada pagi ini? Sewaktu Pijo bermeditasi sebelum matahari terbit, dia didatangi banyak suara persis suara penduduk kampung yang pernah berhubungan dengan lelaki tua itu. Suara yang muncul dari dalam. Suara-suara itu bertempik. Suara-suara itu mengherdik.

Pijo mempunyai jiwa yang perasa hingga pagi itu, dia terdengar kicauan burung kedasih. Sudah jarang dia mendengar kicauan burung tersebut. Bulu tengkuk tiba-tiba meremang mendengar kicauannya yang agak mistik dan sedikit mengerikan. Dia tahu, burung ini sarat dengan mitos kematian. Burung tersebut seperti mengkhabarkan sesuatu.

Ruai rumah panjang itu masih berwajah muram dan suram. Pijo melakukan upacara itu dengan menunggu malam. Wajah anak perempuan kepada lelaki tua itu tetap menampakkan kegementaran. Wajah Agan pula tetap dengan keseriusan. Mayat kali ini telah dipindahkan ke dalam rumah. Pijo terpempan melihat ramai penduduk kampung yang duduk mengelilingi mayat lelaki tua itu. Tidak ada garis kesedihan. Yang kelihatan hanyalah kerut dan kedut ketegangan. Kehadiran mereka tampak terpaksa.

Suasana kembali sepi sehingga bunyi lalat yang terbang pun kedengaran. Tiada sesiapa yang membuka mulut. Agan sudah masuk ke bilik. Amanah diserahkan sepenuhnya kepada Pijo.

Pijo mengeluarkan pinggan, nasi pulut, garam, pinang, tembakau, daun apong, telur dan gelas air tuak. Dia cuba melakukan upacara nyabak buah dan berhubungan dengan roh si mati. Arahan Agan diingkari. Pijo tidak mahu menjalankan upacara ngirau. Tempat lelaki tua itu dilindunginya dengan

pua kumbu supaya si mati memahami bahawa dunianya

sudah terpisah antara alam hidup dengan alam kematian. Sambil duduk mengunjur, Pijo cuba bermeditasi masuk ke dalam fikiran si mati, juga pemikiran penduduk kampung yang ada di sekelilingnya. Badannya bergetar. Pada waktu yang sama peluh merecik di tubuh. Roh si mati merasuk ke dalam tubuhnya. Betulkah apa yang terpapar? Betulkah? Pijo bertembang dengan alunan suara sumbang sambil memegang pua kumbu dengan tangan kiri untuk menutup muka sambil menyusun kata-kata spontan tentang perbuatan si mati dahulu:

Dialah si tamak harta

pemimpin desa si penyalah guna kuasa menindas penduduk kampung terdahulu tanah adat dicanang untuk dimaju

penduduk yang buta huruf dan lurus bendul memikirkan semua usaha itu betul

geran-geran tanah adat telah dikumpul dimajukan atas satu geran besar dikendalikan oleh syarikat luar dia memegang syer terbesar dalam pengurusan ladang sawit

tak mempedulikan si miskin yang perit pajakan tanah dibuat untuk 30 tahun dalam tempoh yang panjang beralun ramai pemilik tanah telah meninggal anak cucu tak tahu hak milik tanah asal kedudukan tanah tak diketahui oleh waris geran tanah terus hilang tidak tertulis

Ada genangan pada kelopak mata Pijo. Kesedihan itu bukan untuk si mati tetapi kepada penduduk kampung yang telah pergi. Hak mereka diperkuda. Nasib mereka dipersenda. Semua itu berputar dalam pita mindanya. Pijo cuba membuka mata tetapi kelopak matanya terus melekat dan tertutup. Pijo seolah-olah dipaksa untuk menyaksikan segala penindasan yang dilakukan oleh si mati dalam ruang mindanya.

Fikirannya terus dibawa ke peristiwa lain tentang pembinaan hidro mini di Long Kejin. Lelaki tua itulah yang mendesak penduduk kampung untuk bersetuju dengan projek tersebut. Penduduk kampung yang menentang akan dipulaukan. Malah ada yang diugut sehingga terpaksa menandatangani borang kontrak yang berat sebelah. Pampasan yang diberikan terlalu kecil untuk kebun yang sedang berbuah. Akhirnya penduduk kampung bukan sahaja kehilangan tanah malahan kawasan petempatan mereka rosak dilanda banjir tatkala empangan itu melimpah sewaktu musim tengkujuh. Empangan itu terpaksa dibuka kerana dikhuatiri pecah oleh mampatan air. Penduduk kampung juga hilang sumber rezeki tatkala hidupan liar semakin pupus akibat pembersihan hutan. Menembak babi hutan dan pelanduk tidak semudah dahulu. Pencemaran air daripada pembinaan empangan tersebut mengganggu

habitat ikan empurau dan ikan semah yang menjadi kebanggaan masyarakat di hulu sungai Baram.

Pijo berasa mengah dan lelah menyusun cerita yang berlintasan dalam kepala menjadi puisi untuk dialunkan dalam nyabak buah. Selalunya hanya cerita-cerita yang baik disampaikan tetapi entah mengapa, upacara nyabak buah yang dilakukannya kali ini hanya memperkatakan hal-hal yang buruk. Pijo seperti mengumpulkan roh orang terdahulu yang telah pun mati. Roh orang-orang yang terdahulu yang memberikan gambaran tentang lelaki tua yang terbujur kaku di hadapanku.

Pijo cuba mendapatkan cerita yang lebih lanjut tentang lelaki tua tersebut. Tapi pada waktu itu jugalah tubuhnya digoncang dengan begitu kuat. Terasa ada benda tajam di lehernya.

Itulah yang aku ceritakan pada awal-awal tadi. Agan sedang mengacukan parang tepat di leher Pijo. Wajahnya bengis. Nafas marahnya berhembusan ke muka Pijo. Nafas Pijo pula tersekat-sekat dengan dada yang berombak.

“Mengapa dibuka pekung tentang keburukan ayahku? Aku berikan upah untuk kau menghargai dan mencuci rohnya supaya roh itu bersemadi dengan tenang. Bukan dengan cara sebegini.” Mata Agan merah menyala. Kilatan parang di tangan bukan sahaja memantulkan cahaya bulan tetapi juga memantulkan kemarahannya. Mata mereka bertembung. Segala perasaan bertarung.

Agan tidak main-main. Dia menghayunkan parangnya yang tajam berkilat. Kesabarannya terpenggal hingga dia tidak berfikir panjang untuk memenggal kepala Pijo. Darah memercik ke dinding ruang tamu. Kepala bergolek di lantai.

Kemudian Agan mencerlung ke arah lelaki yang menyamar dan duduk bersama-sama penduduk kampung

lain. Agan pastinya kenal dengan orang luar. Lelaki itu diheret di sebelah mayat Pijo. Lelaki itu menggigil dengan wajah yang pucat seperti mayat lelaki tua itu. Akulah lelaki itu.

“Maaf … aku hanya penulis cerita.” Aku gelagapan dan tergeletak di atas lantai. Terasa susah mendeskripsi situasi yang dialami sendiri. Aku lebih dikuasai ketakutan.

“Aku tidak mahu cerita yang diketahui oleh kawan kau tadi tersebar ke luar dan diketahui oleh orang lain. Cerita di kampung ini perlu mati di sini sahaja.”

Gigi bergeretuk. “Aku hanya penulis kreatif. Penulis cereka…bukan penulis berita. Orang akan anggap cerpen yang aku tulis itu rekaan. Percayalah!”

Tampaknya memang Agan serius dengan apa-apa yang dikatakannya. Pengikut-pengikutnya memegang erat dan mendepakan tanganku. Langsung tiada kompromi. Parang ilang yang masih basah dengan darah Pijo sudah berada tepat di tengkukku. Yang pasti, dia tidak mahu cerita ini tersebar dan dibaca oleh orang luar.

Persoalannya, mengapa anda boleh membaca cerita ini sedangkan Agan tidak berkompromi untuk terus memenggal leherku? Jawapannya anda boleh tulis di sini : ___________ _________________________________ . Anda akan menjadi calon peperiksaan yang menjawab soalan kemahiran berfikir aras tinggi.

Yang pasti, dia akan mengejar anda semua untuk memenggal semua yang membaca cerita ini kerana anda telah mengetahui kebenarannya.

Glosari :

Ikan empurau - sejenis ikan sungai yang hanya terdapat di hulu sungai Baram atau dikenali ikan berlian kerana harganya yang mencecah RM500 sekilogram.

Sebayan - dunia selepas kematian mengikut kepercayaan

masyarakat Iban

Nyabak buah - upacara menangisi kematian bagi masyarakat

Iban diikuti dengan penceritaan tentang perjalanan hidup si mati sebelum pengebumiannya

Ngirau - upacara menangisi kematian bagi masyarakat Kayan Salong - struktur kayu seperti kotak dan berbumbung dibina

untuk menyimpan segala benda milik si mati

Pua kumbu - sejenis kain tenunan masyarakat Iban yang

dipercayai mempunyai kuasa ghaib untuk ritual adat

DAYANGKU MASTURA

SUARA itu membingit lagi.

“Esok kiamat! Esok kiamat! Esok kiamat…!!!”

Kata-kata itu mengiang-ngiang lagi, bingit dan merasuk gegendang telinga.

“Diam!!!” Dia menjerit tetapi jeritannya itu tidak memberi kesan. “Burung celaka, aku cakap…diam! Diam!” Dia menjerit lagi.

Memang kurang ajar, burung itu masih mengulang-ulang perkataan azimatnya: Esok kiamat! Sungguh malang, burung itu bukan seperti budak suruhannya atau pekerja-pekerjanya yang akur, patuh dan taat setia mengikut cakapnya. Memang kurang ajar, burung itu juga bukan seperti isterinya, si Latifah yang masuk diajar.

Burung itu masih mengulang-ulang ayat yang sama, “Esok kiamat!” “Diam!!!” Dia memekik sehabis suara;

sejurus itu juga dia terjaga. Lencun habis tubuhnya, degupan jantungnya juga kencang.

Rupanya dia bermimpi. Dia tertidur di dalam kereta pacuan empat kuasa kudanya, gara-gara memenuhi janji. Dia menghela nafas lega sambil tangan kanannya mengurut dada dan tangan kirinya mengusap-usap kepalanya yang botak licin dan bertambah licin berminyak dengan campuran linangan keringat. Ternyata, udara pendingin masih tidak mampu mengeringkan keringat, apalagi mengamankan degupan kencang jantungnya.

Pintu kereta itu dibuka, dia keluar dan menyedut udara hutan pinggiran anak bukit itu. Pandangannya menerawang kosong di antara ruang langit dengan bumi. Fikirannya kacau semula oleh mimpi yang kebelakangan ini kerap mengusutkan tidurnya, membuatkan dia tidak dapat membezakan antara realiti dengan mimpi. Kenapa dia perlu mendengar suara burung tengik itu? Seminggu lepas, tidur paginya terganggu lagi dengan kicauan burung tersebut. Ah! Kicauankah namanya itu kalau setiap suara yang keluar hampir menyamai bahasa dan suara manusia? Dan lebih malang kerana dia bukan bermimpi atau berkhayal-seakan-akan benar berlaku, burung itu mengulang-ulang perkataan sama yang meruntun jiwa, hingga terasa bernanah serta mencacar di dalam dan di luar tubuhnya.

Pandangannya menerawang kosong semula di antara ruang langit dengan bumi. Lama dia berdiam dan mendengar denyut jantungnya sendiri. Dia memandang lagi tanah kosong yang terbentang luas di hadapannya. Hatinya jadi berbunga kerana mengingati tanah kosong itu menjanjikan keuntungan berkali-kali lipat ganda. Berkotak-kotak perancangannya bakal dilakukan sebaik-baik sahaja mendapat pembayaran tanah tersebut.

“Beruntung seperti Tuan Haji, rezeki melimpah ruah… peluang membuat kerja-kerja amal terbuka luas.” Suara Imam Nasir, menyinggah.

Hmm…dia mencebik dalam diam: Itulah kata-kata yang biasa didengar. Kamu ingat semua kesenangan ini datang bergolek? Tidak sama sekali! Semua ini adalah usaha keras sendiri, bukan kerana ihsan orang lain. Macam mana boleh maju kalau kerja kamu hanya menunggu belas ihsan dan malas bekerja. Kamu ingat aku kumpul harta ini untuk mengenyangkan perut orang lainkah? Setiap masa ada saja yang datang minta simpati, minta bantuan guna nama anak yatim, golongan asnaf, ibu-ibu tunggal, gelandangan dan macam-macam lagi. Apa untungnya dengan aku? Tiada untung apa-apa kecuali harta aku berkurangan, rungutnya, berpanjangan.

Tapi kali ini, dia akan mengikut nasihat si Ramli-dia akan menukar strategi yang sepatutnya telah lama dilakukan. Ada beberapa idea dalam kotak perancangannya. Dia akan menahan diri dan berpura-pura bermurah hati untuk menderma sejumlah duit ke beberapa rumah kebajikan anak-anak yatim. Pihak media perlu dipanggil untuk membuat liputan. Bukanlah satu kerugian menghulurkan sedikit tip penghargaan untuk orang surat khabar demi mengangkat nama sendiri.

Tiba-tiba dentuman kuat dari langit. “Esok kiamat!” Kata-kata puaka itu menyirnakan angan-angannya. Dia memandang sekitar, mencari dari arah mana suara burung itu. Diamati sungguh-sungguh dan akhirnya dia pasti bahawa suara itu hanya perasaannya. Dia menyumpah dalam hati.

Pagi tadi, mimpinya mengganggu lagi. Kicauan burung menyisip dalam tidurnya, sungguh meracau. Mimpinya itu:

ESOK KIAMAT

dia menang ketawa. Ya, ketawa penuh kemenangan. Apa tidaknya, berhasil menjual tanah seluas 100 hektar. Hati siapa yang tidak gembira, tipu dan bohonglah jika tidak gembira. Dia ketawa lagi dan lagi.

Tapi entah kenapa, tiba-tiba dia didengarkan dengan kicauan burung? Kicauan itu mulanya sedap didengar bagaikan mengiringi tawa kemenangannya tetapi semakin lama didengar, kicauan itu semakin pelik bunyinya. Esok kiamat! Ya itulah bunyinya. Kicauan itu bukan kicauan biasa. Malah boleh dikatakan itu bukan kicauan tetapi adalah kata-kata. Burung itu pandai bercakap? Ah! Itu perkara biasa tetapi kenapa ‘esok kiamat’ yang disebut? Siapa tuan punya burung itu? Tuan dan burungnya sama bodoh!

Esok kiamat! Sekali lagi burung itu membuatkan tawanya terdiam dan mimpinya terhenti. Ah! Mimpinya berderai, ketawanya berantakan. Celaka! kutuknya dalam hati. Keindahan paginya telah dirampas.

Dengan rasa berat, dia menggeliat, bangun dan dalam beberapa langkahnya ke bilik air, tiba-tiba kedengaran semula lantunan suara burung itu. Langkahnya terpaku,

Dalam dokumen GAPENIAGA Kuala Lumpur 2020 (Halaman 57-79)

Dokumen terkait