• Tidak ada hasil yang ditemukan

GAPENIAGA Kuala Lumpur 2020

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2021

Membagikan "GAPENIAGA Kuala Lumpur 2020"

Copied!
176
0
0

Teks penuh

(1)
(2)
(3)

GAPENIAGA Kuala Lumpur

(4)

Hak Cipta Terpelihara. Tidak dibenarkan mengeluar ulang mana-mana bahagian kandungan ini dalam apa-apa juga bentuk dan dengan apa cara pun sama ada secara elektronik, fotokopi, mekanik, rakaman atau lain-lain sebelum mendapat

keizinan daripada pemilik hak cipta terlebih dahulu. Abdul Hadi Abdol Rahim

dari pasir gudang ke persada global : KUMPULAN RENCANA AKADEMIA UITM PASIR GUDANG / Abdul Hadi Abdol Rahim [and 20 others] ; Editor: Mohd. Ali Muhamad Don, PhD, Suhadiyana Hanapi, Phd, Nurul’ain Haris. ISBN 978-967-5522-23-9

1. Academic writing. 2. Authorship.

3. Education, Higher—Malaysia--Johor. I. Mohd. Ali Muhamad Don.

II. Suhadiyana Hanapi. III. Nurul’Ain Haris. IV. Judul. 808.02

Penulis

KATHERINA TATI SITAIM | UMMU HANI ABU HASSAN | ZARIDA RASDI ABANG MEDIAN ABANG SAID | DAYANGKU MASTURA HAMIR HABEED MOHD | HAMIZUN SHAH | MOHAMAD KHOLID HAMZAH MUHD MANSUR ABDULLAH | NIM YORZA | OSMAN AYOB | RODIAH SAID

SAIFULLIZAN YAHAYA | SHIELD SAHRAN | SUJATA WEE

Editor

MOHAMAD SALEEH RAHAMAD A. RAZAK ADAM Penerbit GAPENIAGA SDN BHD 899, Jalan Belfield 50460 Kuala Lumpur. PERCETAKAN MAJUJAYA Sdn. Bhd. (452231-W)

No. 68, Jalan 14-E Ampang New Village

(5)

KAMI bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana mengizinkan kami melaksanakan amanah yang tercatat dalam misi penubuhan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) melalui penerbitan buku ini. GAPENA yang ditubuhkan pada 23 Oktober 1970 menganjurkan Sayembara Penulisan Cerpen 50 Tahun GAPENA sempena sambutan ulang tahun ke-50 pada tahun 2020 ini.

Penganjuran ini sejajar dengan misi penubuhannya yang antara lain untuk menyatupadukan penulis tanah air yang menulis dalam bahasa kebangsaan; mengusahakan peluang untuk penulis memajukan bakat mereka; dan berusaha memajukan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Daripada sayembara ini kami menemukan penampilan bakat baharu di samping ketekalan penulis yang sudah lama menumpahkan bakti mereka dalam dunia kesusasteraan

Perutusan

(6)

tanah air. Gabungan antara generasi ini memberikan harapan kepada kami untuk melihat dunia sastera kita terus hidup dan berkembang.

Kami juga berterima kasih kepada semua pihak yang menjayakan sayembara dan penerbitan buku ini seperti pihak Tan Sri Zahid Hamidi sewaktu menjadi Timbalan Perdana Menteri, Dewan Bahasa dan Pustaka, badan kerabat GAPENA di seluruh negara, serta penyelenggara sayembara dan penerbitan.

Semoga usaha ini akan menambahkan kecemerlangan sastera dan memupuk semangat para penulis untuk terus menghasilkan karya yang bermutu dari segi kesasteraannya.

Datuk Zainal Abidin Borhan Ketua Satu GAPENA

(7)

Laporan

Panel Penilai

Sayembara Penulisan Cerpen

50 Tahun GAPENA

SEPANJANG penubuhan GAPENA selama 50 tahun, pelbagai kegiatan kesusasteraan, kebahasaan dan kebudayaan yang berskala kecil dan berskala besar telah dilaksanakan di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa. Hari Puisi Nasional, Hari Sastera dan Pertemuan Sasterawan Nusantara ialah sebahagian daripada kegiatan pengembangan sastera peringkat kebangsaan dan serantau yang dianjurkan secara tekal. Penganjuran kegiatan berskala besar, khususnya di negara yang didiami komuniti Melayu merupakan salah satu gagasan untuk membina jaringan persaudaraan dunia Melayu, sebuah bangsa yang memiliki tradisi ketamadunan tinggi. Dalam tempoh tersebut juga, GAPENA turut menganjurkan kegiatan pengiktirafan tokoh dan karya. Usaha pengiktirafan tokoh bertujuan untuk memberikan penghargaan kepada sasterawan yang telah memberikan sumbangan penting dalam penghasilan karya bermutu.

(8)

Pengiktirafan juga diberikan kepada sasterawan berdasarkan sumbangan mereka dalam menggerakkan pembangunan penulis melalui kegiatan berpersatuan. Sumbangan tersebut seterusnya meninggalkan impak besar kepada perkembangan kesusasteraan Melayu.

Dari segi pengiktirafan karya pula, GAPENA telah menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak sebagai suatu insentif untuk menggalakkan penghasilan karya bermutu sebagai bahan bacaan yang dapat mencetuskan pemikiran dan pembentukan sahsiah. Sayembara Novel GAPENA-Yayasan Sabah yang bermula pada tahun 1979 dan berlangsung sebanyak empat kali mencetuskan suatu fenomena dalam kegiatan pengkaryaan novel bermutu tinggi melalui penghasilan, antaranya novel Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman dan Seorang Tua di Kaki Gunung. Sayembara Cerpen ESSO-GAPENA yang berlangsung mulai tahun 1980 sehingga tahun 1995 telah menghasilkan sebanyak sembilan antologi dalam siri Sayembara. Penganjuran Sayembara ini bukan sahaja menghasilkan karya yang mampu meraih Hadiah Sastera Malaysia, tetapi juga menarik penyertaan penulis muda dan kalangan penulis bukan Melayu.

Pada tahun 2020, bersempena dengan sambutan 50 tahun GAPENA, GAPENA menganjurkan sayembara penulisan cerpen sebagai salah satu kegiatan bagi menyemarakkan sambutan ulang tahun tersebut. Cerpen sebagai sebuah genre yang popular, mampu berperanan sebagai penggerak pembangunan kesusasteraan tanah air. Selama tempoh tiga dasawarsa sehingga akhir abad ke-20, sumbangan GAPENA dalam penghasilan karya bermutu dapat dilihat melalui hasil sayembara. Dalam dua dekad awal alaf baru ini, GAPENA berasa penting untuk meneruskan usaha pengiktirafan karya

(9)

seterusnya mencetuskan suatu suasana pengkaryaan yang kondusif, yang dapat mewakili bentuk, nilai dan pemikiran baharu dalam karya. Gejolak pelbagai isu sosiobudaya, politik dan ekonomi, yang dihadapi dan dialami oleh pengarang hasil daripada pemerhatian, pengalaman, pembacaan, pencerakinan secara halus dan teliti, juga diharap akan dapat menghasilkan karya yang tinggi nilai estetiknya. Karya ini akhirnya berupaya menjadi bahan bacaan terbaik dan bermutu serta menjadi tanda aras perkembangan sastera mutakhir.

Pihak Urus Setia telah menerima sebanyak 97 buah cerpen daripada penulis yang menganggotai persatuan penulis yang bergabung dengan GAPENA sebagai syarat utama penyertaan. Penilaian dilakukan secara saksama dengan memberikan tumpuan pada persoalan, keindahan bentuk, strategi naratif, dan kekuatan bahasa. Kesan ekspresif yang menjadi nuansa keseluruhan pencapaian sesebuah karya juga menjadi ukuran.

Hasil penilaian berdasarkan teras penilaian tersebut, 15 buah cerpen telah diperakukan untuk diberi hadiah seperti yang berikut:

Hadiah Utama

• Katherina Tati Sitaim, “Jejak-jejak yang Tertinggal” • Ummu Hani Abu Hassan, “Cerita Tentang Ubat” • Zarida Rasdi, “Tako-Tsubo”

Sagu Hati

• Abang Median Abang Said, “Menulis Cerita Ini Pekerjaan Gila”

• Dayangku Mastura, “Esok Kiamat”

(10)

• Hamir Habeed Mohd, “Meraba dalam Benderang” • Hamizun Shah, “Semangat Pulau Bambu”

• Mohamad Kholid Hamzah, ‘Estet”

• Muhd Mansur Abdullah, “Aku Anak Ayah” • Nim Yorza, “Inemuri”

• Osman Ayob, “Hari Jadi ke-100” • Rodiah Said, “Surat Terakhir”

• Saifullizan Yahaya, “Cetera di Jalan Kampung Kuli” • Shield Sahran, “Kerana Sebiji Manggis”

• Sujata Wee, “A Fen Anak Mama”

Ulasan Penghakiman Pemenang Hadiah Utama

Cerpen “Jejak-jejak yang Tertinggal” mengambil latar hubungan dingin suami isteri lanjut usia apabila suaminya, seorang pesara, mengalami gejala demensia, kemerosotaan daya ingatan yang teruk. Masalah ini menguji kesabaran isteri untuk melayan kerenah suaminya yang pelupa dan mengulang-ulang perkara dan perbuatan yang sama. Masaalah ini mencetuskan bauran rasa yang pelbagai: marah, jengkel, belas kasihan, sebal dan sabar. Isteri mengaitkan masalah demensia suaminya itu sebagai berpunca daripada tekanan perasaannya yang berhadapan dengan masalah rumah tangganya yang tidak bahagia selama 10 tahun dengan isteri kedua yang hanya menumpang senang. Sewaktu suaminya mula dikesan mengalami gejala kemerosotan daya ingatan, isteri muda meninggalkan suaminya untuk diuruskan isteri pertama.

Kekuatan cerpen ini adalah pada ketelitian garapan ruang psikologi isteri yang berhadapan dengan dilema menguruskan suami yang separuh nyanyuk. Pergolakan psikologi isteri secara bawah sedar berbaur dan diamuk rasa

(11)

tidak menentu. Permasalahan psikologikal ini muncul secara berculang-caling untuk memperlihatkan takat atau tahap tekanan yang dialaminya. Gejolak rasa itu dilampiaskan secara monolog dalaman, monolog, dan secara verbal, serta melalui aksi sikap dan tindakannya.

Tahap-tahap perubahan emosi yang tidak stabil ini bukan semata-mata disebabkan oleh dilema keberadaan personaliti separuh nyanyuk suaminya tetapi turut dikuasai oleh kenangan silam yang melukakan hatinya oleh sikap suami yang pada masa mudanya berselingkuh dan menduakannya. Kebijakan cerpen ini ini adalah apabila keliaran dan ketidakstabilan emosinya itu diseimbangkan dan dikawal oleh kesedarannya tentang hakikat iman, erti kesetiaan seseorang isteri, dan keinsafannya terhadap hakikat budi, bakti suaminya terhadap anak-anaknya sehingga berjaya. Isteri berusaha memaafkan suaminya, meskipun hatinya pernah dilukai. Terdapat keseimbangan antara pengemukaan persoalan, perwatakan dan teknik garapan naratif apabila jalur-jalur peristiwa semasa itu dijungkir balik dengan memanfaatkan teknik sorot kembali. Melalui strategi ini, tahap permasalahan, sebab dan akibat yang mencetuskan konflik dan pergolakan psikologi itu dapat didalami dengan berkesan.

Cerpen “Cerita Tentang Ubat” menampilkan penyerapan budaya yang dialami oleh pelajar Malaysia sewaktu berada di luar negara dalam tempoh yang lama. Demikian Ahda, yang berada di daerah Taerung, Seoul, Korea cuba memasuki lingkungan baharunya secara polos. Dia mula menggemari makanan dan gaya hidup Korea. Dia juga cuba melepaskan stigma dirinya yang berpenyakit sejak kecil dan bergantung pada ubat-ubatan moden terutama selepas kematian

(12)

neneknya yang selama ini lebih mempercayai kemujaraban ubatan organik. Di Korea, oleh sifat musim yang berubah-ubah, dia tidak dapat bertahan, kesihatannya kembali merosot dan dia terpaksa bergantung semula pada bekalan ubat di farmasi yang tumbuh rancak sebagai sebuah industri yang berpotensi. Disebabkan daya tahan tubuhnya yang lemah itu, ibunya selalu mengawasinya. Sewaktu di Korea, Ahda cuba mengubah penandaan sedemikian, menjadi mandiri dan tidak bergantung pada sesiapa. Dia menghuni bilik secara bersendirian, berulang-alik ke universiti dan berkunjung ke persekitaran yang digemarinya berseorangan, sehingga akhirnya dia sedar, dia tidak mempunyai kawan rapat termasuk dari negaranya. Penyerapan budaya tidak mengubah keperibadiannya tetapi lebih kepada bagaimana keupayaannya menyesuaikan nilai tersebut dan memberikan keselesaan dan kebaikan jalinan hubungan manusiawi.

Kekuatan cerpen ini terletak pada kesatuan bentuknya yang alami. Persoalan berkaitan penyerapan budaya yang dialami wataknya dapat dinukilkan dengan berkesan sehingga liku-liku permasalahan watak itu dapat difahami. Kewajaran penampilan sikap dan pendiriannya yang kadangkala kelihatan egois, adalah sebagai kesan daripada ‘protesnya’ terhadap pengalaman masa kecilnya yang mudah diserang penyakit dan sentiasa dikawal pergerakannya. Apabila berada di lingkungan luar secara bersendirian, berjuhan dari keluarganya, dia mula belajar berhadapan dengan pelbagai permasalahan dalam lingkungan baharu yang dihuninya secara mandiri. Teknik plotnya lancar dengan sebab akibat yang dapat memperkukuh subjek. Gaya bahasanya kemas dengan pemilihan frasa perbandingan yang dapat menjelaskan gejolak pemikiran dan sikap watak.

(13)

Cerpen “Tako–Tsubo” ialah naratif tentang hubungan manusiawi yang berlaku secara lintas budaya. Hubungan antara dua bangsa, berlainan budaya dari dua negara menemukan pengalaman baharu tentang sosiobudaya dan pandangan sarwa sesebuah bangsa. Hubungan ini dapat dipertautkan melalui sikap keterbukaan untuk saling memahami dan saling menghormati budaya masing-masing. Namun demikian, apabila nilai tersebut diperangkap oleh sentimen sempit akan keutamaan bangsa, keluhuran hubungan itu akan terlerai. Sentimen yang tegar itu boleh membawa musibah. Demikianlah permasalahan yang menimpa watak-wataknya, apabila percintaan dan disusuli perkahwinan Rashdan dengan Sakura dibantah oleh kedua-dua keluarga yang mempunyai latar budaya yang berbeza. Apabila ikatan kesetiaan itu terlerai oleh sikap suami yang curang, suami yang diharap menjadi tempat untuk melindungi dan menjaga kebajikan isteri yang piatu di negara asing, akibatnya isteri kehilangan tempat untuk bergantung. Sakura mengalami depresi teruk sehingga mengalami gejala pembesaran jantung yang abnormal, berpunca daripada oleh hormon stress yang tidak terkawal. Gejala sedemikian dikenali sebagai Takotsubo Cardiomyopathy.

Cerpen ini digerakkan oleh simbol dan perlambangan yang berfungsi dengan baik. Tako-Tsubo daripada suatu sisi, ialah sejenis balang diperbuat daripada tanah liat, berbentuk lebar pada bahagian dasarnya, berlekuk dan bertali pada leher balang. Balang ini diikat secara berangkai-rangkai dan diletakkan di dasar laut untuk memerangkap sotong kurita yang memasukinya untuk bersembunyi, seterusnya terperangkap apabila cuba keluar oleh keluk yang sempit dan terperangkap oleh jerutan tali pada leher

(14)

balang. Balang ini diasosiasikan sebagai perangkap emosi yang parah. Sakura tidak dapat membebaskan tekanan atau stress yang dialaminya disebabkan kecurangan suaminya dan kemudiannya disusuli kematian suaminya akibat kemalangan. Musibah yang bertimpa-timpa mengakibatkan dia mengalami depresi dan mengalami gejala Takotsubo yang boleh menjejaskan kesihatan jantungnya jika tidak dapat membendung kesedihan dan kekecewaannya yang melampau.

Tako-tsubo yang pecah kesan hentakan kepalanya sewaktu terjatuh dan berserak diandaikan sebagai dapat diperekat dan disusun semula, bagaikan dia dapat menyusun dan merencanakan semula kehidupannya yang musnah. Namun demikian, hati otousan yang retak kerana ditinggalkan anak yang berkahwin dan berhijrah ke luar negara tanpa restunya, bagaimanakah dapat dicantumkannya. Tako-tsubo ialah permainan lambang yang berfungsi untuk mengungkapkan konflik emosi akibat permasalahan dihadapi pelakunya. Teknik sorot kembali dapat membawa persoalan ini dengan berkesan.

Ulasan Penghakiman Pemenang Sagu Hati

Cerpen-cerpen yang memenangi hadiah sagu hati menampilkan persoalan yang rencam. Dalam cerpen “Cetera di Jalan Kampung Kuli”, dikemukakan persoalan berkaitan dengan kelunturan keperibadian bangsa yang kurang menghargai nilai warisan yang identikal dengan bangsanya. Sikap sedemikian mengakibatkan kegemilangan nilai dan ketuanan bangsa itu ditenggelami unsur budaya asing. Kelunturan sikap ini juga disebabkan kecelaruan intrig politik yang gagal mengukuhkan kelangsungan hayat bangsanya.

(15)

Terdapat juga cerpen lain yang memiliki nuansa persoalan yang sedemikian, iaitu berkaitan dengan soal pengekalan tanah milik daripada terlepas ke tangan pendatang asing. Cerpen “Semangat Pulau Bambu” membawa sudut pandang baharu apabila memperlihatkan sikap bertolak ansur peribumi terhadap pemilikan tanah warisan kepada kaum lain yang sekian lama mejadi warganegara, asalkan tanah tidak terlepas kepada warga pendatang yang keras sikapnya dan tidak memahami budaya dan nilai setempat. Cerpen “Surat Terakhir” ialah suatu cetusan kecaknaan individu terhadap kepentingan untuk menjaga kemaslahatan masyarakatnya melalui peningkatan budaya kerja yang cekap, serta perubahan struktur sosiobudaya dan sikap politik yang lebih adil untuk memberikan faedah kepada umum.

Cerpen “Esok Kiamat” mengemukakan sisi gelap individu yang haloba, memeras insan lain, yang akhirnya membinasakan dirinya. Cerpen “Aku Anak Ayah” dan “Hari Jadi ke-100” adalah berkaitan dengan isu-isu kemanusiaan yang dijebak oleh gaya hidup dan norma baharu akibat COVID-19. Kedua-duanya membawa sudut pandangan yang berbeza, dalam suatu peristiwa, COVID-19 mengakibatkan anak yang terdidik dan arif dalam bidang agama tidak dapat menguruskan jenazah bapanya dan terpaksa merelakan urusan jenazah bapanya mengikut tatacara baharu oleh orang lain. Gaya wacana memberikan kekuatan kepada cerpen “Aku Anak Ayah”.

Cerpen “Hari jadi ke-100” menggunakan latar PKP dan PKPB. Pada saat masyarakat berhadapan dengan musibah wabak COVID-19, berlaku perebutan jawatan kedua-dua pelaku; seorang yang berusia 100 tahun cuba mengekalkan

(16)

legasi kepemimpinannya, dan yang lebih muda berasa lebih berhak untuk menggantikannya sesegera mungkin. Akhirnya kedua-duanya kehilangan jawatan itu apabila kampungnya tenggelam oleh runtuhan lereng bukit yang kurang diperhatikan mara bahayanya semasa tempoh PKP. Cerpen ini mengilas makna perlakuan intrig politik yang mengutamakan kepentingan pencapaian peribadi berbanding dengan kepentingan rakyat.

Cerpen “Meraba dalam Benderang” menyentuh isu bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu sains dan matematik dari jurus sudut pandang sarjana luar negara. Cerpen “Estet” mengemukakan persoalan yang berkaitan dengan upaya untuk keluar daripada kehidupan resam dunia lingkungannya di estet untuk mengubah kehidupan yang lebih baik, namun keinginannya itu gagal kerana kehilangan keyakinan untuk berada di luar daripada lingkungan keselesaan dan kebiasaannya. Cerpen “A Fen Anak Mama” mengemukakan isu pergeseran hierarki kelas dalam budaya bandaran dan luar bandar kaum China. Hubungan ini akhirnya mengorbankan nilai kemanusiaan.

Cerpen “Inemuri” cuba membawa suatu bentuk perubahan budaya kerja yang diilhamkan dari Jepun, iaitu tidur seketika sewaktu waktu rehat untuk meningkatkan produktiviti. Cerpen “Kerana Sebiji Manggis” dihadirkan dalam bentuk filosofikal untuk mengkritik sikap manusia yang hidupnya terlalu berkira tetapi dia kurang pula memberi. Cerpen “Menulis Cerita Ini Pekerjaan Gila” sebuah cerpen yang eksprerimental. Namun begitu, subjeknya yang berkaitan dengan amalan adat istiadat yang misterius dan upaya untuk pelestariannya dapat didalami motifnya.

(17)

Kesimpulan

Sayembara Penulisan Cerpen 50 Tahun GAPENA menyuguhkan kerencaman subjek, bentuk dan strategi naratif. Cerpen menjadi wahana pengarang untuk mewacanakan pemikiran dan sudut pandang mereka dalam mendalami pelbagai gejolak sosiobudaya, ekonomi dan politik. Sebahagian cerpen telah mencapai tahap yang membanggakan apabila intipati subjek dapat dikemukakan dengan kesan ekspresif yang kuat. Sayembara ini adalah suatu usaha yang baik untuk meneruskan tradisi pengkaryaan cerpen yang bermutu dan memberikan sumbangan besar terhadap gerakan pembangunan kesusasteraan tanah air. Penilai

Dr Mohd Hanafi Ibrahim (Ketua Penilai) Profesor Dr Hashim Ismail

Haji Hamzah Hamdani

(18)
(19)

Kandungan

Perutusan Ketua Satu GAPENA v Laporan Panel Penilai Sayembara Penulisan Cerpen

50 Tahun GAPENA vii

Pemenang Hadiah Utama KATHERINA TATI SITAIM

Jejak-Jejak Yang Tertinggal 1

UMMU HANI ABU HASSAN

Cerita tentang Ubat 15

ZARIDA RASDI

Tako-Tsubo 27 Pemenang Sagu Hati

ABANG MEDIAN ABANG SAID

(20)

DAYANGKU MASTURA

Esok Kiamat 53

HAMIR HABEED MOHD

Meraba Dalam Benderang 65

HAMIZUN SHAH

Semangat Pulau Bambu 77

MOHAMAD KHOLID HAMZAH

Estet 89 MUHD MANSUR ABDULLAH

Aku Anak Ayah 97

NIM YORZA

Inemuri 109

OSMAN AYOB

Hari Jadi ke-100 119

RODIAH SAID

Surat Terakhir 129

SAIFULLIZAN YAHAYA

Cetera di Jalan Kampung Kuli 139

SHIELD SAHRAN

Kerana Sebiji Manggis 151

SUJATA WEE

(21)

Jejak-Jejak Yang Tertinggal

KATHERINA TATI SITAIM

WANGI kari daging yang sedang aku masak membuat aku lapar. Aku teringat kata-kata nenekku ketika aku lapar begini dan meminta supaya makanan cepat dihidangkan. Nenek akan tersenyum dan berbisik, “Bah capat-capat tah masak, ani urang betian lapar,” sambil merenung masakan yang belum masak lagi. Konon kata nenek, sekiranya berbisik begitu ketika masak, masakan akan cepat masak. Aku tersenyum terkenang nenekku yang begitu banyak pantang larang dan kepercayaannya.

Nenekku memang fasih berbahasa Brunei. Maklumlah ramai saudara-maranya berkahwin dengan orang Brunei. Kehidupan kami juga semua berlandaskan beberapa pantang larang dan adat etnik Brunei dan Kadazan.

Sekarang siapa yang hendak kujadikan alasan supaya makanan cepat masak. Tiada pula orang yang mengandung di rumah ini. Aku tersenyum sendiri teringat kenangan lalu.

(22)

Kenangan manis dan pahit banyak aku lalui sehingga usia sudah mencecah warga emas ini. Usia yang membuatkan diri sudah tidak diperlukan di mana-mana pekerjaan. Sektor swasta pun sudah tidak laku. Sudah dalam usia persaraan. Berehat sementara menanti panggilan Tuhan.

Rumah ini kini bukan seperti dahulu lagi, yang sering riuh rendah dengan jerit pekik anak-anak. Anak-anak sudah dewasa dan ada keluarga sendiri. Aku dan suamiku, masih setia menjadi penghuni rumah yang sudah berusia 40 tahun lebih ini. Rumah yang suamiku beli daripada hasil titik peluhnya bekerja dengan potongan gaji selama 20 tahun. Rumah yang sudah bebas daripada hutang piutang. Rumah yang banyak menyimpan suka dan duka.

Kini suamiku sudah sepuluh tahun bersara, namun masih mendapat gaji persaraan setiap bulan. Setidak-tidaknya tidaklah kosong hidupnya. Masih ada gaji walau tidak sebaik dahulu, lebih daripada cukup untuk menyara hidup kami berdua. Dalam usia lanjut begini, kami belum meminta wang bantuan daripada anak. Namun anak-anak tetap sentiasa membawa cucu-cucu ke rumah pada setiap hujung minggu dan membawa berbagai-bagai juadah. Kami tetap gembira. Anak-anak semuanya prihatin walau masing-masing sudah mempunyai keluarga. Namun pada hari-hari lain, kehidupan begitu sunyi tanpa riuh rendah anak-anak dan cucu cucu.

“Aku lapar.”

Suara suamiku membuat aku terkejut daripada kenangan lalu. “Ya, ya, sekejap lagi masak, tunggulah dahulu,” jawabku sambil terus meneruskan kerja di dapur.

“Kau sudah masak?” tanya suamiku.

“Sudah, tunggu saja, nanti aku hidang,” jawabku selamba.

(23)

“Masak apa?” tanyanya lagi.

Aku mengeluh, sudah tidak mampu melayannya dengan baik. Kalau aku bagitahu, apa menu yang kumasak, dia tidak akan faham. Dia sudah lupa apa itu kari daging yang sedang kumasak. Dia bukan faham pun. Dia sudah tidak tahu apa itu kari atau apa jua jenis menu masakan. Suamiku sudah tidak tahu apa-apa pun yang aku katakan. Dia akan bertanya berkali-kali, seperti aku tidak pernah menjawab soalannya atau bercakap sepatah pun kepadanya. Dia pasti akan bertanya berkali-kali sehingga tahap kesabaranku hilang! Kadang-kadang aku cuba bersabar, mendiamkan diri apabila dia bertanya berkali-kali, benar-benar mencabar kesabaranku setiap hari.

“Eh…sudahlah, pergi duduk dahulu, aku siapkan makanan. Nah minum kopi dulu,” kataku sambil menghidangkan secawan kopi.

“Kau sudah siap masak?” tanyanya lagi.

Aduh…terkadang aku tidak tahu bahasa apa yang harus aku cakap. Walau berbahasa Inggeris pun dia sudah kurang faham. Bukan tidak mendengar atau tuli, tetapi dia sudah tidak memahami. Bercakap dan menerangkan berkali-kali baru dia faham. Terkadang sampai suara naik tinggi, baru dia mengerti.

Kadang-kadang aku marah pada diri sendiri kerana tiada kesabaran untuk melayan setiap katanya. Tetapi melayan kerenahnya, membuat darah tinggiku naik! Aku jadi kasar dan marah. Kadang-kadang aku mencubit dan memukul lengannya kerana dia susah memahamiku.

Dia cuma melihat perangaiku. Pandangannya seperti penuh kehairanan, kenapa aku mencubit tangannya? Kenapa aku memukul lengannya? Aku juga tidak suka dengan

(24)

perbuatanku. Sering aku menyesal dan berdoa semoga Tuhan memberi aku kesabaran setinggi Gunung Kinabalu atau seluas Laut Cina Selatan, agar aku tidak menyakiti hatinya dan menyakiti perasaanku sendiri.

Pada setiap malam aku berbaring dengan rasa sesal dan bersalah. Kenapa harus aku kasar begini. Tetapi aku tidak dapat melawan kegeraman yang menghantuiku setiap hari! Kadang-kadang aku mengungkit cerita lama, dan itu pun membuat aku bertambah gila! Dia sudah lupa semuanya.

Aku juga terbayang, kalau nanti usiaku seperti dia, aku juga akan nyanyuk seperti dia. Siapa akan memeliharaku? Akan tabahkah anak-anak dan menantumenerima aku yang sudah nyanyuk?

Aku memejamkan mata. Aku tak sanggup! Aku tak sanggup dilayan dengan kasar oleh mereka. Diherdik dan mungkin dimaki-maki? Nah! Kalau aku tidak mahu dilayan begitu, aku mesti berbuat baik pada suamiku. Dan inilah yang membuat aku mempunyai sedikit kesabaran untuk menjaga suamiku.

“Kau ini pegawai dahulu, kenapa begini cepat otak kau jadi beku! Jadi nyanyuk begini!” bentakku, apabila dia sudah tidak tahu apa-apa yang aku perkatakan.

Aku mula mernyedari dia sudah mula menghidap penyakit demensia, apabila berkali-kali dia salah masuk lorong untuk balik ke rumah. Dia akan memandu terus, dan aku mula mula tidak peduli. Dalam hatiku mungkin dia mahu pergi ke tempat anak atau ke tempat lain. Tetapi apabila sudah masuk ke jalan mati, aku bertanya ke mana dia mahu pergi. Dia menjawab hendak pulang ke rumah, dan aku mengatakan dia sudah salah jalan. Dia masih boleh terfikir dan masih boleh beristighfar apabila salah jalan, dan akhirnya dia sudah tidak aku benarkan memandu lagi.

(25)

Kadang-kadang aku marah dalam diam. Aku teringat semasa muda dia seorang yang kacak dan sering berselingkuh! Sampai dia terpaksa mengahwini seorang wanita kerana wanita itu meminta dia mengahwininya dengan ancaman. Dia terpaksa mengahwini wanita itu. Teman sepejabatnya yang seksi dan cantik. Seorang wanita mata duitan yang menipu bahawa dia sedang mengandungkan anak suamiku. Ternyata dia berbohong. Namun suamiku bertahan juga. Perkahwinan dengan wanita itu bertahan selama sepuluh tahun sehingga dia sendiri yang meninggalkan suamiku.

Bukan aku membenci atau berdendam, namun pada setiap hari seperti ada saja yang mencabar kesabaranku. Melayan orang yang sudah menghadapi penyakit demensia bukanlah mudah. Nasib baik anak-anak sering memberikan dorongan dan nasihat walau mereka tidak dapat membahagi masa untuk membantu kesukaran yang aku hadapi. Aku tidak menyalahkan mereka. Mereka juga mempunyai keluarga sendiri. Mujur aku masih boleh menjaganya, walaupun diri sendiri tidak sihat. Suamiku sihat. Dia tidak mempunyai penyakit selain mengidap demensia.

Dalam hatiku pernah beranggapan bahawa isteri mudanya seorang yang sangat pintar. Apabila suamiku sudah mula jadi pelupa, sudah mula nyanyuk, dia merancang untuk melepaskan diri daripada menjaga suami yang nyanyuk suatu hari nanti.

Terlintas dalam hatiku, kenapa ada anak menghantar orang tua mereka ke rumah warga tua. Siapa pun tidak mahu menghantar orang tua ke rumah seperti itu tetapi tiada cara lain untuk dibuat demi keselamatan orang tua mereka.

Aku terfikir menghantar orang tua ke rumah warga tua bukan kerana tidak menyayangi orang tua tetapi kerana

(26)

sayanglah mereka terpaksa menghantar orang tua ke sana kerana mereka sudah tidak dapat menumpukan perhatian pada ibu bapa yang sudah beransur nyanyuk, yang perlu diberi perhatian seperti seorang bayi, sedangkan mereka punya bayi dan anak anak kecil.

Aku mula memikirkan, mungkin itulah sebabnya orang tua terpinggir di rumah warga emas. Jauh dalam lubuk hatiku, kalau boleh aku tidak mahu terpinggir di rumah warga tua.

“Kalau boleh, saya tidak mahu panjang umur, saya tidak mahu menyusahkan anak-anak.” Terngiang-ngiang kata-kata ibuku yang sakit terlantar selama dua bulan. Ibuku mengotakan kata-katanya. Ketika suatu hari dia sudah tidak boleh mengawal pergerakan ke tandas dan makan dengan baik, dia menghembuskan nafas terakhir dalam tidurnya. Syurga buat ibuku. Dia pergi dengan tenang tanpa mahu menyusahkan kami untuk mengurus makan minumnya. Hatiku sebak. Itu bukan pinta kami tetapi permintaan ibu kepada Tuhan.

Aku pernah berbincang dengan anak-anak, kalaulah ada rumah persaraan seperti retire home yang ada di negara Barat, aku mahu pergi ke sana dan tinggal bersama dengan suamiku, biar kami diurus oleh pekerja rumah persaraan itu. Mungkin simpanan suamiku cukup untuk menampung perbelanjaan kami. Aku ingin menempatkan suamiku dahulu di sana. Aku sendiri sudah melihat keadaan rumah persaraan itu ketika aku melawat rumah persaraan di Adelaide, Australia. Tempat yang aman dan harmoni. Pasti warga tua tidak sepi di sana. Semua ada tempat riadah, tempat bercucuk tanam, tempat berjumpa sanak saudara, tempat bersukan dan menari. Rumah itu tidak seperti rumah

(27)

warga tua di sini. Rumah itu seperti rumah sendiri, dengan bilik sendiri lengkap dengan televisyen dan lain-lain: bilik membaca, perpustakaan, bilik untuk menonton wayang gambar. Memang seronok dan sepadan dengan nama rumah persaraan, untuk berehat dan disayangi oleh semua orang.

“Tetapi rumah begitu tiada di sini, mama,” jawab anak sulungku. “Kalau ada alangkah bagusnya,” katanya lagi. “Tetapi mama, kalau pun ada rumah persaraan begitu, kami tidak mahu mama dan papa tinggal di sana.”

“Kami membesar dengan kasih sayang, dijaga dengan baik hingga berjaya, kenapa kami harus hantar kamu ke rumah persaraan? Walaupun rumah itu amat baik bagi warga tua.

“Kalaupun kami tidak mampu menjaga, kami boleh upah orang gaji menjaga mama dan papa, asalkan berada di rumah sendiri. Kalau mama dan papa sudah tua dan sudah nyanyuk, kami akan pelihara,” kata anak bongsuku.

“Mama fikir, saudara-saudara mama dan papa akan suka bila kami buat mama dan papa begitu. Kami bukan anak derhaka,” kata anak keduaku yang sering marah apabila aku meleter kerana ayah mereka sudah sudah mula nyanyuk dan buang tabiat.

“Jangan mama cakap begitu, jangan mama hina papa. Mama pun esok-esok akan tua dan nyanyuk macam papa juga,” kata anak keduaku sambil ketawa walau dia marah aku memburuk-burukkan ayahnya.

“Saya lapar `ni, mana makanan?”

Terkejut aku daripada fikiran yang bergentayangan tadi. Dengan segera aku mencedok makanan untuk suamiku. Dia sedang duduk sambil minum kopi yang aku buat untuknya sementara menunggu lauk masak.

(28)

“Nah makanlah,” kataku. Aku melihat dia berkerut melihat masakanku. Rasa geram bermain dalam diriku.

“Bersihkah piring dan sudu ini,” katanya sambil membelek-belekkan sudu dan garfu. “Cuci dulu,” katanya lagi sambil menunjukkan piring kosong yang aku letak di hadapannya.

“Bersih ‘tu, sudah dicuci,” jawabku tanpa mengambil sudu dan garfu yang dipegangnya untuk dibasuh kembali mengikut kemahuannya.

Namun begitu dia bangkit dan berjalan menuju ke dapur, membasuh kembali piring dan sudu yang aku beri tadi. Aku melihat dengan menahan sabar. Memang begitulah tabiatnya sejak diam saja di rumah. Sejak mula ada tanda menghidap demensia.

Dalam hatiku, bagus juga kerana dia masih tahu kebersihan. Semua masakan pun dia akan tanya, “Bersihkah?” Perbuatannya membuat aku geram. Macamlah selama ini aku bagi dia barang barang kotor! Kalau budak-budak, mahu saja aku berteriak dan merotannya.

Namun aku masih sedar, dia suamiku. Dia pasangan yang aku pilih 45 tahun dahulu. Aku sudah berjanji, dalam susah senang, dalam sakit dan sihat aku tetap setia menjaganya dan akan bersama dengannya. Aku masih ingat janjiku dahulu ketika kami disatukan. Dan apabila dia memilih untuk mengahwini isteri muda, aku juga tidak meninggalkannya. Demi anak-anak dan janji, aku bersabar. Aku tetap menanti dan berdoa, suatu masa nanti dia akan bertaubat dan kembali ke pangkuanku dan anak-anak.

“Rin, kalau kau memilih untuk bercerai, kau pasti akan kahwin lagi. Kau masih muda,” kata ibuku dahulu apabila aku mengatakan aku ingin meminta cerai setelah suamiku berkahwin lagi.

(29)

“Kau tahu, kalau kau kahwin lagi, belum tentu suami barumu akan menyayangi anak-anakmu. Bayangkan tiga-tiga anak itu akan mendapat ayah tiri,” sambung ibuku. “Belum tentu suami barumu akan menyayangi anak-anakmu, dia cuma sayangkan kau saja.

“Kau dengar dan baca ‘kan, berita bagaimana ayah tiri mendera anak anak tiri. Kau tidak takut, Rin?” tanya ibu sambil merenung wajahku.

Aku kalut.

Ibu terus berleter apabila aku terus mendiamkan diri. Bukan aku tidak menerima teguran ibu, tetapi aku sedang memikirkan segala kata ibu. Aku tidak rela anak-anak aku menderita dengan ayah tiri. Walau sekarang aku tidak terfikir untuk berkahwin lagi jika aku bercerai dengan suamiku. Cukuplah lelaki seorang ini menjadi suamiku. Aku tidak akan berkahwin lagi. Itulah tekadku ketika inginkan perceraian.

Namun begitu betul kata ibu, aku masih muda. Kalau aku jatuh hati pada lelaki yang mahu memelihara aku dan anak-anakku, pasti aku akan menerima lamarannya. Mungkin betul kata-kata ibu, suami baharuku akan mendera anak-anakku, kerana dia cuma menyayangiku, bukan anak anakku. Ya Tuhan! Aku tak rela anak-anakku didera, dipersia-siakan. Aku tak mahu!

Lantas ketika menerima leteran dan nasihat ibu, aku membawa anak-anakku pulang ke rumah suamiku. Suamiku tiada di rumah kerana dia sibuk dengan rumah baharunya. Sejak itu aku bertekad, biarlah aku menderita asalkan anak-anakku bahagia. Biarlah makan nasi berlaukkan garam, aku tidak akan meninggalkan rumah suamiku ini.

Perkahwinan keduanya mendapat tentangan daripada keluargaku dan keluarganya, namun kerana dia sudah

(30)

mabuk kepayang, tiada sesiapa yang dapat menghalang kemahuannya. Aku dengan seberat-berat hati pun terpaksa berdiam diri dengan keputusannya, apalagi dia sudah jarang-jarang pulang ke rumah.

Mengikut adat, suamiku harus membayar sogit kepada aku dan anak-anakku kalau dia mahu berkahwin lagi dan memadukan aku. Suamiku dikehendaki menyediakan seekor kerbau untuk aku dan anak-anakku. Kesemua binatang itu harus disembelih, dan sanak saudara terdekat dan jiran-jiran harus dijemput untuk makan bersama. Suamiku dan isteri baharunya tidak akan dijemput. Kalau mereka datang pun, mereka tidak boleh memakan masakan daripada daging sogit itu.

Selepas seminggu membayar sogit untuk aku dan anak-anak, berkahwin dan berpindah ke rumah isteri baharunya. Aku dan anak anak masih tinggal di rumah yang dibeli oleh suamiku. Suamiku juga sering datang melawat kami. Dia tidak lupa pada tanggungjawabnya sebagai bapa kepada anak-anakku.

Begitulah kalau tinggal di kampung dan masih memegang kepercayaan tradisi. Andai aku membawa perkara ini ke mahkamah, denda yang lebih berat akan dikenakan pada suamiku mengikut undang-undang sivil.

Ibu masih kuat dengan kepercayaan lama. Kalau mengikut aku, aku tidak mahu membuat makan-makan begini, membuat hati terhiris luka. Namun kata ibu ini untuk maruah aku, dan kesejahteraan anak-anak supaya mereka tidak dipandang hina oleh masyarakat di kampung dan tiada bala menimpa, konon. Aku pasrah dan mengikut sahaja.

Hari memakan sogit tiba. Suamiku datang dan duduk bersama ibu dan ayahku. Dia menangis meminta maaf

(31)

kepada kedua-dua orang tuaku. Dia cuba menghampiriku tetapi ketika itu hatiku hancur dan seakan-akan aku mahu menghancurkan wajahnya juga! Namun ibuku sentiasa bersamaku, memberi aku kata-kata sokongan dan nasihat demi anak-anak, katanya. Dan aku patuh pada kata-kata ibu.

Mengenang kembali peristiwa lalu, memang seperti mengopek parut luka. Terlalu pedih. Sakit. Ngilu. Aku cuba melupakan semuanya. Tiada apa-apa yang harus kusesali; aku sebenarnya menang.

Ada hikmah di sebalik kejadian yang berlaku dalam kehidupanku. Yang penting ketiga-tiga anakku menyayangiku lebih daripada segalanya. Mereka hartaku. Untuk diriku, tanpa banyak halangan aku dapat membaiki diri, menceburkan diri dalam perniagaan yang membuat hidupku kembali bersinar. Dan aku tetap setia. Tuhan mengabulkan doaku, walau Dia mengembalikan suamiku ketika dia sedang separuh nyanyuk. Namun begitu untuk anak-anakku, mereka tidak akan susah pada masa akan datang. Bukan aku tamak. Tetapi harta sepencarian bakal diwarisi oleh anak-anakku.

Mungkin untuk merawat demensia suamiku sudah agak terlambat. Namun aku mahu memastikan hidupku untuk beberapa tahun mendatang dijauhi demensia yang bakal menggelapkan hidupku. Kemurungan atau tekanan perasaan akan mempercepat proses demensia ini. Mengikut doktor yang merawat suamiku, penyakit ini boleh dirawat daripada menjadi serius. “Jangan berputus asa,” kata dokror itu. Menurut Dr.Nurul yang merawat suamiku, 80% pesakit boleh sembuh dengan rawatan perubatan dan terapi melalui kaunseling dan beberapa rawatan perubatan moden dan tradisi. Rawatan psikoterapi perubatan boleh membantu

(32)

suamiku sebelum rawatan lain dibuat seperti rangsangan saraf vagus (VNS) atau terapi elektrikonvulsif (ECT).

Aku merenung wajah suamiku yang sedang makan sambil menonton televisyen. Hiba menggamit jiwaku. Aku terkenang jejak-jejak perjalanan hidup kami. Sekarang kami berdua sudah tua, warga emas yang kaya dengan pengalaman hidup. Dari muda hingga kulit kami berkedut, kami masih bersama. Anak-anak telah kami didik dengan baik. Anak-anak menjadi orang yang berjaya dan beriman. Orang tua yang separuh nyanyuk, yang bergelar suami itu telah membuat anak-anaknya berjaya walau kasih sayangnya pernah berbelah bagi selama sepuluh tahun. Berkat kesabaran, kami bersatu kembali. Aku dan anak-anak telah memaafkan keterlanjurannya dahulu. Tiada insan yang sempurna. Kesalahan dan kesilapan lalu ialah pengajaran, dan kita tidak dapat memutarkan waktu itu kembali. Namun begitu jejak-jejak yang ditinggalkannya menjadikan dia seperti bapa mithali, bapa yang sempurna, walau sekarang dia memeningkan kepalaku kerana terpaksa menahan sabar melayan keadaannya.

Ya Tuhan, berilah aku kesabaran dan kesihatan yang baik, agar aku dapat menjaga suamiku, ayah kepada tiga orang anak dan datuk kepada lima orang cucu ini. Semoga Tuhan mengampuni setiap salah laku dan dosa kami sepanjang menjalani hidup di dunia ini.

“Yang penting puan dan anak-anak harus memberikan sokongan dan bantuan pada suami puan,” kata Dr. Nurul. “Kita tidak dapat menyembuhkan dia sepenuhnya, tetapi kita boleh mencegahnya dari bertambah buruk.”

Aku percaya suamiku tidak dapat sembuh dan kembali aktif seperti dulu, tetapi dia boleh dirawat agar tidak

(33)

menjadi nyanyuk 100%. Namun terlalu banyak sebenarnya kebaikan yang telah dibuat suamiku untuk anak-anakku. Perkahwinan keduanya bukanlah memberi dia kebahagiaan malah membuat dia banyak menghadapi tekanan jiwa dan kemurungan. Menurut doktor, mungkin juga itu punca suamiku menghidap kemurungan yang berat sehingga otaknya mengecut cepat. Mempercepat dia mendapat demensia.

Glosari:

Bah, capat-capat tah masak, ani urang betian lapar - cepatlah masak, ada orang sedang mengandung lapar.

Sogit: bayaran atau denda kerana melakukan kesalahan mengikut adat kampung daripada suku Kadazandusun.

(34)

UMMU HANI ABU HASSAN

SATU

AKHIRNYA, aku mendapat jawapan setelah melalui lorong-lorong di sekitar bilik sewaku untuk tempoh 12 bulan aku tinggal di Taerung, Seoul. Jawapannya adalah terdapat 11 buah farmasi atau bahasa Koreanya, yakgug, di daerah kecil ini. Walaupun kebanyakan farmasi hanya sebuah kedai ubat kecil, jarak antara satu farmasi dengan farmasi yang lain kira-kira 500 meter dan paling jauh 1 kilometer. Sama seperti kedai kopi dan kedai 24 jam, tumbuhlah sebanyak mana pun dan di mana pun, orang yang mengunjunginya seperti kelkatu laparkan cahaya. Aku yang terkenal dalam keluargaku sebagai ‘anti ubat’ kini telah bertukar menjadi ‘hantu ubat’ semenjak bergelar mahasiswa tahun pertama di Korea University, iaitu satu daripada lima universiti terbaik Korea. Apakah universiti ini mewajibkan mahasiswanya makan ubat? Tidak. Tetapi untuk aku bertahan di ranting

(35)

‘pohon orang-orang pintar’ itu, aku memerlukan ubat. Sebenarnya, aku tidak cocok dengan cuaca empat musim terutama musim dingin dan musim panas di sini. Bulan Januari sehingga bulan Mac, aku diserang bronkitis berulang kali; masuk ke bulan Jun sehingga Ogos, aku diserang pula demam panas dan penyakit kulit. Akhirnya, aku pasrah bahawa aku memerlukan ubat sebagaimana orang-orang Korea memerlukan kopi dalam kehidupan mereka.

Aku datang ke Seoul akhir Januari 2019 bersama ibu. Dia menguruskan kemasukanku ke universiti dan tempat tinggal, sebelum pulang seorang diri ke tanah air. Selain wang bernilai RM12,000 (atau 3 juta Won), ibu turut membekali aku sebuah beg kecil berisi ubat, vitamin dan minyak sapuan.

“Ahda perlu semua ini. Duit berjimat cermat, tetapi ubat jangan disimpan. Bila sakit makan ubat!” pesan ibu.

Aku endah tak endah dengan pesanan keduanya. Aku sejak kecil membenci kalimah ‘doktor’ dan ‘ubat’. Mungkin kerana ‘kerap’ berjodoh. Ketika umurku tiga tahun, kakiku termasuk ke dalam rantai motosikal yang sedang bergerak, gara-gara aku melompat turun. Mendengar jeritan kuatku, barulah datukku memberhentikan motosikalnya. Akibatnya, dua jari kakiku hampir putus dan sebulan aku tinggal di hospital. Di usiaku lima tahun, paru-paruku dijangkiti bakteria. Tiga minggu badanku dipaksa menerima cairan antibiotik yang disuntik melalui tangan kecilku. Kukira, antibodiku mulai goyah untuk melawan penyakit secara alami, kerana zaman kanak-kanakku ditemani puluhan botol paracetamol untuk menyelesaikan demam dan berbotol expectorant bagi membasmi kahak. Kerana penyakit demam dan batuk setia mengunjungiku, nenek mencadangkan perubatan secara tradisional. Ubat demam diganti dengan

(36)

celupan air daun bunga raya dan air asam jawa; jika aku batuk, nenek juga memberiku madu atau air limau madu. Akhirnya, aku jatuh cinta dengan cara nenek, dibandingkan cara ibu yang mudah ‘mahu memberi wang’ kepada klinik atau farmasi.

Ketika aku berusia 14 tahun, ibu menjalani pembedahan membuang fibroid yang kedua. Kali pertama selepas setahun melahirkanku, anak tunggalnya. Ngeri aku melihat tempat pembedahan yang menegak dari bawah pusat hingga ke ari-ari. Seorang teman ibu menasihatinya agar menolak ubat hospital untuk pulih. Katanya, tiada ubat untuk menghilangkan sakit pembedahan kecuali ubat tahan sakit jenis morphine atau tramadol. Lalu ibu menuruti langkah temannya dengan meminum pati buah delima, minyak zaitun dan cuka kurma. Dengan izin Tuhan, ibu sembuh pantas. Hidupnya selepas itu penuh dengan makanan organik dan vitamin. Dia sudah tidak mendesak aku ke klinik lagi terutama apabila mendengar aku bersin atau batuk.

Aku tidak mengenali sesiapa pun di Seoul. Yang menyambutku dan empat pelajar dari Thailand, Indonesia, Singapura dan Vietnam ialah seorang pegawai daripada Kementerian Pendidikan Korea. Kami semua ialah wakil pelajar negara Asia Tenggara yang berjaya mendapat Biasiswa Kerajaan Korea. Hanya aku ditemani ibu, rakan-rakan lain datang seorang diri. Ibu seperti tidak meyakini kemandirianku mencari tempat tinggal dan barang-barang keperluan terutama makanan halal. Anehnya, selepas kepulangan ibu, aku berasa selamat menjadi diriku sendiri: tinggal seorang di bilik sewa, tidak peduli sesiapa pun yang tinggal sebelah bilikku, berulang-alik ke universiti menaiki kereta api bawah tanah, bersantai di café, dan menaiki bas biru

(37)

CERITA TENTANG UBAT

147 untuk ke mana-mana gedung membeli-belah di Seoul. Setiap malam ibu menelefonku dari Malaysia, bertanyakan apakah aku sudah mendapat kawan? Aku ketawa.

“Saya tidak perlu lagi kawan kerana ‘kawan setia’ saya setiap malam menelefon dari Malaysia,” balasku.

Ibu berdehem, tahu aku merujuknya.

“Carilah kawan, jika sakit senang ada orang tolong kita,” katanya.

Kerana aku tidak mendengar ‘nasihat’ ibu, jadilah aku si pengira kedai ubat. Untungnya, tiada sesiapa pun daripada kalangan penjual ubat yang mahu menyelidik latar belakangku dengan soalan yang sering aku dapat ketika mengunjungi kawasan pelancong Melayu di Itaewon: “Kamu dari mana?”, “Kamu melancongkah di Korea?”, “Berapa lama kamu tinggal di Seoul?“, “Kamu tidak mahu bekerja di Koreakah?”, “Kenapa kamu suka Korea?”, “Kamu peminat Kpop ya?”, “Tidak takutkah kamu berjalan-jalan seorang diri di Korea?”, “Kamu mahu cari pasangan hidup orang Korea?” Kukira soalan-soalan itu akan menambahkan sakit kepalaku pada saat salju mulai jatuh awal Disember 2019.

Hampir setahun aku di Seoul, aku gagal mendapat kawan rapat daripada kalangan rakan senegara. Beberapa orang daripada mereka hanya menjadi rakan di universiti. Keluar dari kawasan universiti, aku tidak mahu diganggu dengan persoalan personal. Semua yang berada di sekelilingku bagai magnet yang menarikku untuk melepaskan masa lalu, dan mencintai yang baharu. Tidak lagi rumit tanpa beras Thailand, santan Vietnam atau sambal bilis ibu. Kimchi dan sup tauhu Taerung lengkap menyihirku bertenaga setiap hari. Penjaga kedai ubat yang sering kukunjungi sudah mula bercakap-cakap denganku. Bahasa ibundanya menjadi kunci mengapa

(38)

aku terus setia ke farmasinya, sedangkan aku paling benci jika orang sudah mula bertanya, “Kamu melancong atau tinggal di Korea?” dan apabila mereka tahu aku bukan melancong, soalan berikutnya adalah, “Kamu belajar di mana?”, “Kamu ambil jurusan apa?” Mujurlah soalan itu ditutup dengan kata-kata si penjual ubat kepadaku, “Wah, bahasa Koreamu sangat bagus!”

DUA

Kim Dae Bu ialah pemuda pertama yang mengajakku minum di kedai kopi berdua. Aku singgah di kedai ubatnya untuk membeli pelekat herba yang digunakan sebagai pengecut jerawat. Dia secara serius berkata, “Jom minum, saya belanja!”

Aku membalas, “Saya tidak minum,” kerana aku tahu, kata minum di Korea selalu merujuk kepada arak atau minuman mabuk seperti soju.

Dia ketawa. “Kopi atau teh, bolehlah,” rayunya.

Kami berjalan ke Kedai Kopi Ediya yang tidak jauh dari bangunan bilik sewaku, dan juga Farmasi Daebak milik keluarga Dae Bu.

Cerita tentang ubat menjadi modal perbualan kami. Dae Bu berkisah tentang ubat pertama yang masuk ke mulutnya ialah tonik anak kura-kura. Aku kegelian saat dia memberitahu anak kura-kura direbus menjadi sup dan amat mujarab bagi penyakit demam panas. Aku tidak ingat ubat apakah paling ngeri pernah masuk ke mulutku, tetapi sebagai Muslim, aku menjelaskan kepada Dae Bu, binatang eksotik dan babi haram dimakan dalam Islam.

“Perniagaan ubat ialah perniagaan yang akan bertahan sampai dunia ini hancur. Bayangkan jika seorang manusia di Korea ini mengambil 10 biji pil sehari. Setahun menjadi

(39)

CERITA TENTANG UBAT

3,650 biji, jika berlanjutan 10 tahun, jumlahnya menjadi 36,500 biji. Itu seorang, kalau 30 juta orang?” Dae Bu ketawa kecil, memberiku bayangan mengapa farmasi di Korea bagai cendawan tumbuh selepas hujan.

“Ketika kanak-kanak, aku selalu sakit. Jadi, nenek mengambilku daripada emak. Nenek memberiku ubat yang kupanggil ‘tahi kambing’ pada mulanya kerana berbentuk bulat dan kehitaman. Tapi nenek mengubah namanya menjadi ‘gula-gula suci’. Rasanya enak tidak seperti rupanya. Manis dan sedikit pedas, pahit. Apabila besar, aku baru tahu itu makjun buatan nenekku. Dia menggunakan habatus sauda’ (Nigella sativa) yang dicampur dengan madu asli, guna untuk melancarkan darah dan menyihatkan badan yang lemah.” Aku senyum, mengesat air mata.

“Kau menangis?” Dae Bu terpinga melihat air mata spontanku.

“Nenekku meninggal dunia ketika aku kanak-kanak. Selepas nenek pergi, aku lebih mesra dengan ubat hospital. Aku fikir, di Seoul aku menjadi lebih sihat rupanya tidak,” balasku.

“Kau kerap ke farmasi, paling tidak satu kali seminggu. Menurutku, kesihatanmu tidak begitu baik, mungkin salah memilih ubat,” kata Dae Bu, seperti orang Korea lain suka berterus terang.

Aku tersentak. Selama ini aku memikirkan hidupku selamat di sini tanpa sesiapa ‘menyibuk’ tentangku.

“Kau pasti hairan, siapa yang memberitahuku tentangmu?” Dae Bu seperti tahu apa yang bermain di kepalaku. Adakah 11 buah farmasi di daerah ini milik keluarganya?

“Ibuku ialah pengerusi persatuan kedai ubat di Taerung. Dalam mesyuarat lalu, mereka ada

(40)

menyebut-nyebut tentangmu. Maaf, sebenarnya penampilanmu yang menyebabkan kau popular. Ada yang berkata kau dari Arab Saudi, ada yang berkata kau dari Bangladesh dan Turki. Tiada sesiapa pun berkata kau dari Malaysia,” cerita Dae Bu.

Hatiku tiba-tiba menjadi panas dan air coklat hangat di depanku berubah dingin. Tidak kusangka, semua farmasi yang kukunjungi, yang penjualnya kelihatan baik dan tidak suka menyibuk, rupanya berlainan sikap. Pasti Dae Bu akan menjadi pelapor ‘berita-berita terkini’ dan sahih tentangku.

“Jangan salah sangka. Ini adalah tradisi Daerah Taerung, kedai ubat selalu menjadi pusat gosip yang sihat. Dari mulut-mulut, emmm biasanya mulut orang-orang tua yang membeli ubat sambil bercerita, orang itu sakit, orang itu mungkin salah ubat dan pihak kami akan menyelidik lebih mendalam.”

“Saya tidak sangka daerah ini adalah daerah para penyibuk.” Aku juga pantas berterus terang.

“Menyibuk ialah kata kunci kesihatan. Kita perlu menyibuk untuk menghentikan wabak. Empat tahun lalu, Korea diledaki wabak MERS-Cov. Wabak ini dari Timur Tengah. Jadi, banyak orang Korea terutama orang tua yang jarang bergaul dengan orang asing, mereka takut melihat orang dari Timur Tengah.”

“Mereka fikir aku orang Arab dan pembawa wabak?” Aku menerka.

“Mereka itu bukanlah ramai, mungkin 10 orang daripada 100 orang di sini,” Dae Bu senyum.

“Jadi merekalah yang membilang berapa kali aku mengambil ubat di farmasi? Mereka takut aku berpenyakit?” Aku mula resah. Setiap hari aku berpapasan dengan orang tua lebih banyak dibandingkan dengan orang seusiaku dan

(41)

CERITA TENTANG UBAT

Dae Bu. Ahjusyi si penjaga bangunan amat ramah padaku. Umurnya 70-an, tetapi masih gagah. Apakah dia juga termasuk golongan ‘si penyibuk’?

“Aku menjelaskan, kau seorang yang sihat. Hanya tubuhmu perlu disesuaikan dengan cuaca. Kau tidak perlukan ubat moden. Ubat alami lebih baik untukmu seperti propolis, omega 3 dan ginseng merah. Bukankah kau sudah mengamalkan minum yuchacha sekarang? Kombinasi peraman lemon dan madu sangat baik untuk tubuh,” kata Dae Bu.

Aku sebenarnya tidak berminat lagi untuk menghabiskan air di depanku. Apa yang terjadi sekarang ini, terutama kata-kata yang keluar dari mulut Dae Bu tentang ‘tradisi Taerung’ tidak pernah aku fikirkan sekalipun dalam mimpi. Setahun aku bahagia menghindari orang-orang senegaraku agar tidak dikenali, tetapi rupanya aku terlebih ‘dikenali’ di sini. Mereka mengagak-agak tahap kesihatanku, dan mempromosikan ubat yang sesuai untukku.

“Aku akan ke Beijing minggu depan, akan kubelikan kau herba terbaik di sana. Kau suka teh hijau?” Dae Bu seakan mengerti kekecewaanku, dia mahu mengambil hati.

“Terima kasih, Dae Bu, aku pulang dulu. Perutku sudah mencari nasi, makanan juga ubat, `kan?” Aku bangun dan menundukkan sedikit kepala.

Aku tidak dapat melelapkan mata. Kesakitan baharuku nampaknya lebih parah daripada migrain atau senggugut. Hatiku yang sakit mendorong tanganku menghubungi seseorang.

“Afifah, maaf saya telefon malam-malam. Saya ingin pindah ke asrama universiti secepat mungkin. Bolehkah Afifah bantu saya?”

(42)

Jawapan Afifah mengingatkan aku pada kata-kata ibu, “Carilah kawan, jika sakit senang ada orang tolong kita.” TIGA

Aku ingin bertemu Kim Dae Bu buat kali terakhir. Walaupun aku berpindah gara-gara ‘ceritanya’ tetapi banyak panduan ubatnya cocok dengan tubuhku. Dia juga pernah memberiku sebotol yuchacha buatan neneknya. Berkat peraman lemon dan madu itu, musim dingin kali ini aku tidak dijangkiti selesema dan batuk.

“Dae Bu sekarang berada di Beijing. Kamu mahu bertanyakan ubat padanya?” tanya wanita muda, mungkin adiknya.

“Tidak apa, nanti saya datang lagi.” Sewaktu menyebut ‘datang lagi’ aku berazam akan datang ke Daerah Taerung sehari sebelum aku meninggalkan Korea selama-lamanya, mungkin tiga tahun akan datang.

Afifah dan dua rakan Malaysia lain membantuku memindahkan barang-barang dari bilik ke van yang disewa khas. Pengawal tua masih hairan mengapa aku pindah secara tiba-tiba?

“Tinggal di dalam kampus lebih murah,” kataku, merahsiakan asbab sebenar.

Aku bertanyakan kekosongan bilik asrama pada waktu yang tepat. Sekarang, cuti musim dingin berlangsung, para pelajar tahun akhir sudah melepaskan bilik masing-masing. Afifah menawari aku menjadi rakan biliknya; dan dengan senang hati aku menerima. Aku sudah belajar daripada kesilapanku selama setahun. Ubat bukan hanya di farmasi tetapi manusia sekeliling juga ialah ubat kehidupan.

Salju turun lebat tanggal 30 Januari 2020, hari kelahiranku yang ke-22 tahun. Tiada sesiapa pun meraikannya kecuali ibu

(43)

CERITA TENTANG UBAT

yang setia menelefonku pada setiap malam. Afifah pulang bercuti ke Malaysia. Aku pula bercadang ke Pulau Jeju dan bertemu ibu di sana. Ibu ialah ubat kesunyianku.

Kamar asrama universiti lebih besar, berkongsi dua orang. Namun, untuk memasak, aku perlu menggunakan dapur yang dikongsi dengan para pelajar lain, dari pelbagai negara. Aku melirik ke rak makanan Afifah, bersusun mi segera pelbagai jenama, dari Malaysia, Indonesia dan Korea. Apakah Afifah tidak pernah sakit? Aku teringat bulan-bulan pertama di Korea, mi segera dan makanan di dalam tin ialah menu harianku sehinggalah aku mengalami sakit kepala yang teruk. Itulah permulaan aku mengunjungi farmasi.

“Kamu tentu banyak makan mi segera. Itu tidak cocok dengan tubuhmu,” kata Kim Dae Bu selepas dua kali aku mendapatkan ubat migrain di farmasinya. “Aku pernah menjadi mahasiswa, aku tahu apa yang mereka makan setiap hari,” katanyanya lagi, apabila melihatku kaget.

“Jika kamu berjumpa orang tua yang sihat, bertanyalah pada mereka, apa yang mereka tidak makan. Jawapan mereka pasti salah satu yang tidak disentuh ialah mi segera!”

Sejak itulah aku menuruti nasihatnya, dan secara tidak sengaja, menjadi rakannya. Aku memejam mata. Tahun 2020, aku ingin menghadiahkan kesihatan buat diriku. Apakah maksudnya, aku akan meninggalkan ubat? Bukan. Aku ingin menjadikan sekelilingku adalah ubat tanpa perlu bergantung pada farmasi lagi.

Di luar jendela, salju menjadi permaidani bumi. Semuanya kelihatan putih. Kim Dae Bu pasti sudah pulang dari Beijing dua minggu yang lalu. Ralatkah dia mengetahui aku pindah mengejut? Bagaimana herba dan teh hijau yang mahu dihadiahkan padaku? Ah...ah...kenapa aku teringatkan dia?

(44)

Telefonku berbunyi. Nombor yang tidak dikenali tertera.

“Ahda Nur binti Ahmad?” tanya si pemanggil. Aku mengeyakan.

“Boleh saya tahu, berapa hari bulan kamu pindah dari Daerah Taerung?”

“29 Disember 2019. Mengapa, encik? Encik siapa?” “Oh, mujurlah begitu. Saya pegawai kesihatan universiti. Untuk pengetahuan kamu, dua hari lepas, Daerah Taerung dijangkiti wabak SARS-Cov-2. Kami diberitahu, kamu tinggal di sana sebelum ini. Syukurlah, kamu berpindah lebih awal. Jangan lupa baca infomasi wabak di laman web universiti. Korea sedang bersiap siaga sekarang!”

Dadaku berombak kencang. Tanganku laju membuka sesawang akhbar Korean Herald. ‘Ahli Farmasi dijangkiti Coronavirus 2 di Beijing’. Aku membaca berita itu. Walaupun tanpa nama si pembawa virus, aku meyakini dia ialah Kim Dae Bu! Aku melepaskan telefon tangan, menangis semahunya. Perasan gembira dan sedih berbaur. Tuhan menyelamatkan aku. Bagaimana jika aku masih di sana sekarang? Allah!

“Ahda, saya balik Malaysia dulu. Jaga diri baik-baik. Banyakkan berdoa kepada Allah SWT. Doa para pemusafir ilmu seperti kita pasti Allah makbulkan.” Terngiang kata-kata Afifah sebelum bertolak ke lapangan terbang. Ya. Doa. Ketika aku memperhitungkan jumlah farmasi yang berjasa padaku, aku terlupa bahawa doalah ubat paling mustajab dan ajaib di dunia.

(45)

Tako-Tsubo

ZARIDA RASDI

Tsukiji, Chuo-ku, Tokyo.

NUN di ufuk timur, suria pagi mulai menyapa dunia. Pesonanya masih sama, namun melihat pagi seindah ini di tanah tumpah darahku, sebuah anugerah yang tak terkira. Daerah terpencil petempatan nelayan yang terletak bersebelahan Kota Ginza menuju Teluk Tokyo ini, sering mengingatkanku untuk pulang–tak peduli sejauh mana aku telah terbang. Walaupun aku tidak pasti kepulangan ini bakal disambut mesra atau dingin oleh mereka, aku percaya, Tsukiji tidak akan menolak kepulanganku. Aku adalah sebahagian daripada tanah dan laut Tsukiji. Aku masih anak nelayan Tsujiki yang sama. Yang berubah hanyalah kepercayaan dan peganganku.

Bagasi yang masih bertampal tag penerbangan dari Malaysia aku letakkan di atas pasir pantai. Aku duduk menghadap laut, berdiam sejenak, menghirup angin

(46)

lembut Teluk Tokyo yang menyapa muka. Di pantai, ombak menderu-deru, berderau-derau bunyi riaknya. Merdu nyanyian ombak meredakan rinduku yang membuak.

Memandang jauh ke tengah samudera, aku memuji-muji keagungan Ilahi yang menjadikan laut di sini sebagai medan pertemuan antara arus panas Kurosyiwa dengan arus dingin Oyashiwa. Pertembungan semula jadi arus panas dengan dingin itulah yang menjadi pengaruh penting kepada percambahan plankton di dasar laut; justeru, faktor itulah yang menjadi penyebab majunya perusahaan perikanan di sini.

Sayup-sayup kedengaran enjin bot-bot nelayan melawan arus menuju ke pantai. Dalam aku termangu-mangu, sebuah bot kecil mendarat tidak jauh dari tempat aku duduk. Tekong dan awak-awak yang turun dari bot sibuk mengendalikan hasil tangkapan. Dalam kekalutan mereka mengisi dan memunggah muatan, aku terpandang seberkas tako-tsubo yang diseret keluar oleh seorang awak-awak tua. Demi terpandang tako-tsubo itu, segera kenangan lama tertayang semula di layar mata.

“Eh, balang tanah liat apa ini, diikat berangkai-rangkai?” tanyanya kehairanan, saat terpandang tako-tsubo yang tersusun kemas di bangsal.

“Oh, balang tanah liat ni, namanya tako-tsubo!” jawab otousan-ku.

“Tako-tsubo? Untuk apa, pak cik?”

“Tako-tsubo ini perangkap sotong kurita. Cuba tengok, dasar balang ini lebar, sotong kurita akan masuk dan duduk berlindung di dalamnya tetapi leher balang yang berlekuk dan bertali akan mencerut kepalanya daripada terlepas keluar.”

(47)

“Tidak ada yang terlepas keluar dari balang itukah?” tanyanya.

“Selalunya ketika tako-tsubo dibawa naik ke permukaan, setelah beberapa hari berada di dasar laut, jarang kosong. Sotong kurita yang terperangkap tak akan berusaha melarikan diri. Mereka akan leka menjadikan tako-tsubo sebagai tempat perlindungan daripada ancaman musuh,” jelas otousan panjang lebar, petang itu.

Seketika setelah otousan beredar, kami menyambung bicara perihal tako-tsubo. Aku menyerangguh di beranda. Dia duduk di tangga.

“Kasihan si kurita yang tertipu masuk ke dalam tako-tsubo,” ujarku.

“Begitu jugalah dalam kehidupan kita ini, jika tersalah langkah akan terjerumus masuk perangkap,” katanya.

“Bagaimana jika saya si kurita itu?” tanyaku, menduga. “Jika kamu menjadi kurita yang terperangkap, saya akan datang menyelamatkan kamu keluar dari tako-tsubo.”

Kami sama-sama ketawa. ***

Aku mengenalinya sewaktu kami menuntut di Universiti Tokyo. Kunjungannya ke daerah kami disambut baik oleh otousan dan seluruh kaum kerabatku memandangkan dia menjadi tetamu sekali gus anak angkat otousan dalam projek amal yang dianjurkan kampus kami. Dengan perwatakan ramah dan pekertinya yang sopan berbudi, lambang keperibadian anak Melayu jati, dia telah menawan bukan sahaja kaum kerabatku bahkan seluruh kejiranan kami. Segalanya berjalan lancar seperti dirancang sehinggalah pada hari majlis perpisahan projek amal tersebut.

Dia yang duduk di sebelahku resah gelisah. Berjurus-jurus dia termenung seperti berfikir mencari jawapan

(48)

sebelum bersuara lirih, “Pak cik, saya ingin berterus terang tentang hal hubungan saya dengan Sakura.” Dengan berani dia berdepan secara lelaki. Otousan tersentak dan riak wajahnya jelas terperanjat.

“Er...maksud kamu?” tanya otousan. Mulutnya berdesit-desit. Dengan kening terangkat, dia membeliakkan matanya, merenung tajam wajah kami bersilih ganti.

Ketika matanya dihalakan ke arahku, dadaku berombak kencang. Jantungku tertikam.

“Saya dan Sakura saling mencintai. Saya mohon restu pak cik untuk berkahwin dengan Sakura.” Dia melontar kata dalam getar debar yang ketara. Di kedua-dua pelipisnya, ada peluh yang merenik.

“Mana boleh! Agama, adat dan budaya kita berbeza. Kami sudi menerima kamu di sini sebagai tetamu tetapi bukan sebagai menantu dan ahli keluarga, ” bentak otousan. Nafasnya berdesir kuat. Hembusan nafas yang direngus secara paksa itu mempamerkan kekecewaannya yang teramat.

“Otousan, saya mohon restu.” Lekas-lekas aku bangun dan tunduk hormat tiga kali.

“Aku lebih rela kamu mati di tanganku daripada menderhaka kepada nenek moyang sendiri!” Laungan bengis otousan yang dirasuk amarah, bergegar hingga ke rumah-rumah berdekatan petempatan kami. Pandangan matanya berbinar-binar bagaikan api yang menyala-nyala menyambar mataku yang terbuntang tidak berkelip. Rentung sekujur tubuhku dalam panahan amarah itu.

“Jika kamu memilih dia, bemakna kamu bukan lagi waris kami,” tingkah seorang kerabat, waris tertua dalam keluarga. Serentak, waris-waris yang lain menghalakan

(49)

pandangan pijar ke arahku. Darah dalam tubuh, kering disedut sengangar pandangan mereka.

Aku pandang wajah Tamara, sepupuku merangkap sahabat akrab. Lewat pandangan itu aku mengharapkan sokongannya. Dia angguk perlahan.

Majlis mesra pada hari itu bertukar menjadi tragedi yang meragut hubungan kekeluargaan kami. Aku bukan sahaja kehilangan otousan malah seluruh kaum kerabat mendiang okasaan yang turut menentang hubungan kami.

Dengan pertolongan Tamara, aku pergi meninggalkan semua yang dikasihi pada subuh esoknya. Kepergianku dahulu bukan semata-mata kerana cinta tetapi aku pergi demi menyahut seruan llahi. Dia hanyalah pengantara suratan takdirku; segala yang terjadi, rencana Yang Maha Esa.

Kemelut perhubungan kami tidak berakhir di situ. Seminggu berikutnya aku mengikut Rashdan pulang ke Malaysia. Dan seperti dijangka, keluarganya turut membantah dan enggan memberi restu.

“Jika begini keadaannya, kita tiada pilihan, melainkan kahwin lari!” ujarnya.

Menjadi isteri yang dicintai sepenuh jiwa merupakan suatu anugerah yang paling bermakna meskipun aku tak punya sesiapa di sini melainkan dia. Kasih sayangnya yang tulus sedikit banyak mengurangkan kesedihan yang kutanggung sejak berpisah dengan otousan, walaupun ia tidak pernah hilang. Beberapa kali aku cuba menghubungi otousan namun tidak pernah berhasil. Surat-suratku tidak pernah berbalas. Pun begitu, aku dan Rashdan tidak pernah berputus asa berusaha untuk menjernihkan kekeruhan yang terjadi pada kedua-dua belah keluarga kami.

Namun, keindahan cinta yang kusangka hebat ini tidak berakhir dengan kebahagiaan. Suatu petang, aku menerima

(50)

panggilan telefon daripada seorang perempuan. Kalimat dan pengakuannya lewat panggilan itu telah mengubah warna- warni mimpi menjadi igauan ngeri. Ternyata Rashdan tidak mengotakan janjinya. Dia meninggalkan aku terkapar-kapar sendiri. Duniaku gelap gelita. Lara yang ditinggalkan Rashdan membuat jiwaku sasau meracau. Malam dan siang yang datang sudah tidak kuhirau. Marah, pilu dan rindu membuat fikiranku rancu.

Malam itu tidak sepicing pun mata dapat kupejamkan. Di luar hujan renyai-renyai, di kamar ini aku berendam tsunami air mata. Rasa nyeri yang mencucuk di dada, membuat aku tidak selesa. Nafas sesak, tercungap-cungap semakin menyeksa. Keadaan kesihatan diri yang tidak keruan ini menambahkan kemurunganku. Sehinggalah datang perasaan nekad, ingin kuakhiri segala penderitaan ini di tangan sendiri. Dengan langkah longlai sambil tangan memiuh dada, aku menapak perlahan-lahan ke dapur. Tumpuanku hanyalah pada laci merah. Aku genggam tombolnya lalu menariknya ke hadapan. Demi terbukanya laci itu, mataku tertumpu pada benda tajam yang paling besar. Dengan nekad, kugenggam hulunya lalu menghunus ke atas. Gemerlap kilauan matanya menyilau mataku. Sedang aku nekad untuk bertindak, tiba-tiba guruh berdentum, gegak gempita. Serentak itu, cengkaman di genggaman terlepas ke lantai. Rasa nyeri yang mencucuk dada, membuat tubuhku terjelepuk.

***

Aku seperti di awang-awangan. Di bilik Cardiac Care Unit (CCU) ini, suara para medik bertelagah, bersilang tingkah dengan lentingan peralatan surgikal yang berlaga. Mesin-mesin medikal yang berkeroncong melagukan irama

(51)

serong. Wayar merah, ungu, kelabu, berselirat di seluruh tubuh. Dalam segala kecelaruan tuju, tubuh bermandi peluh. Arus darah menggigil, menjurus beku ke seluruh pembuluh. Nafas yang bertakung di lekum kian laju menerobos rongga hidung. Dag dig dug degupan jantung kian tak bermaya di hujung nyawa.

Terkapar diri dalam debar jerih nafas terakhir. Bergetar lidah melafaz zikir Lailahaillallah. Tiba-tiba, bergemeresik suara merdu bak nyanyian burung syurga, “Tuhan panjangkan umurnya.”

“Aamiin Ya Rabbal’alamin.” Bersipongang suara-suara yang lain bak desiran angin jannah yang pernah kubaca dalam kalam-Nya. Dalam keliru, kaku dan bisu, surah Yaasin mendayu-dayu, bersahut-sahutan di segenap penjuru.

Entah doa siapa antara mereka yang diangkat ke langit ketujuh, sehingga aku kembali tersedar daripada rusuh lena yang luluh? Sujud syukurku pada-Mu, Ya llahi yang sudi mengijabah doa mereka buat aku yang berdosa, sehingga bergetar tiang arasy-Mu meluruhkan Rahman dan Rahim ke katil ini.

Minggu berikutnya aku ke Klinik Pakar Jantung. Aku antara yang terawal tiba di klinik tersebut, pagi itu. Lebih kurang menunggu dalam sepuluh minit, namaku pun dipanggil. Setelah menyantuni Dr. Safari, aku pun duduk.

“Saya anggap kehadiran puan pada hari ini membawa maksud puan telah bersedia mendengar segala penjelasan tentang penyakit puan. Tidak seperti hari itu, puan sangat pasif dan defensif,” kata Dr. Safari.

“Ya. Saya telah bersedia hendak tahu apa masalah jantung saya?”

Dia membuka fail di atas meja sambil membetulkan kaca mata berbingkai putih yang dipakainya lalu berkata, “Kami

(52)

telah meneliti kesemua keputusan ujian dan pemeriksaan jantung puan. Kami juga mengambil kira kemurungan kronik akibat patah hati yang sedang puan lalui. Rumusan keputusan ujian-ujian tersebut mendapati tiada kerosakan pada jantung puan.” Dia menggeleng beberapa kali.

“Jika tiada kerosakan pada jantung saya, kenapa saya sering sesak nafas dan berasa nyeri yang mencucuk di dada kiri?” tingkahku.

“Penyebab utama serangan jantung lazimnya berpunca daripada penyumbatan pada salur darah tetapi terdapat juga kes yang mirip dengan serangan jantung dan selalunya berpunca daripada perasaan sedih, kecewa dan trauma patah hati yang melampau. Kes sebegini disebabkan oleh sindrom patah hati yang juga dikenali sebagai Takotsubo Cardiomyopathy.”

“Tako-tsubo?” ulangku dengan rasa terkejut bukan kepalang.

“Saya difahamkan yang puan berbangsa Jepun. Sudah tentu puan faham makna Takotsubo, bukan?” Dr. Safari memandang tepat ke wajahku.

Aku angguk. Dia menghulurkan sekeping kertas yang bertulis Takotsubo kepadaku.

“Ejaan sepatutnya, Tako-Tsubo,” kataku ketika menyambut huluran kertas itu.

“Benar, tapi ejaan itu merujuk kepada benda. Sedangkan ejaan Takotsubo ini merujuk kepada diagnosis perubatan,” jawabnya.

“Apa hubung kait tako-tsubo dengan jantung saya?” Aku semakin keliru.

“Untuk pengetahuan puan, diagnosis Takotsubo ini mula ditemui oleh Dr. Hikaru Sato dari negara puan. Menurut

(53)

beliau, jantung pesakit Takotsubo akan menunjukkan pembesaran yang abnormal di sebelah kiri ventrikel jantung. Ia menyerupai sebuah balang yang biasanya digunakan untuk menangkap sotong oleh masyarakat Jepun. Dan imej yang sama kami temui di ventrikel kiri puan,” jelas Dr. Safari bersungguh-sungguh. Aku terdiam.

“Ini bermakna gejala serangan jantung puan baru-baru ini bukan disebabkan kerosakan atau penyumbatan pada salur darah jantung tetapi disebabkan oleh peningkatan hormon stres akibat patah hati dan depresi yang melampau. Pengumpulan hormon stress boleh menyebabkan terjadinya sindrom patah hati atau nama lainnya, Takotsubo Cardiomyopathy,” lanjutnya.

“Bahayakah penyakit ini, doktor?” tanyaku, mencari kepastian.

“Bergantung pada pesakit. Jika memilih untuk terus larut dalam kesedihan, peningkatan hormon stress akan memburukkan kesihatan jantung dan kekerapan serangan jantung juga boleh membawa maut.”

Aku terlopong.

Ketika bola mata kami berlaga dia meneruskan bicara, “Saya ingin memberi satu saranan. Puan sudi mendengar?”

“Ya,” sahutku, sepatah.

“Saya syorkan, puan pulanglah ke Jepun untuk perawatan lanjut yang sewajarnya. Dengan segala kecanggihan teknologi dan kepakaran di sana, peluang untuk sembuh 50–50, mengikut pemeriksaan terkini jantung puan,” usul Dr. Safari.

***

Setelah ketawa kami reda, aku bertanya lagi, “Benarkah awak akan menyelamatkan saya keluar dari tako-tsubo?”

(54)

Dia angguk berkali-kali.

“Bagaimana jika awak telah tiada pada saat saya terperangkap di sana?” tanyaku.

“Saya akan berdoa dari sekarang, sekiranya awak menjadi kurita yang terperangkap dalam tako-tsubo, semoga Allah mengirimkan malaikat-Nya membantu awak keluar,” jawabnya.

Air mataku jatuh bagai hujan pada musim tengkujuh saat ayat-ayatnya bergema di telinga. Sungguh aku amat merindui suara itu. Suara yang tidak akan pernah kudengar lagi di alam nyata ini. Terasa seperti dia masih ada di sisi meskipun hakikatnya dia telah lama dijemput pulang sewaktu kemalangan jalan raya tempoh hari. Aku dimaklumkan melalui panggilan telefon oleh seorang jururawat pada petang kejadian itu. Sejak itulah aku jatuh sakit dan disahkan menghidap Takotsubo Cardiomyopathy. Semoga Allah mencucurkan rahmat ke atas roh Almarhum suamiku, Rashdan. Sewaktu aku beredar, awak-awak dan tekong tadi masih ligat memunggah muatan.

Melihat selonggok tako-tsubo tersadai di tepi tangga, aku yakin, otousan ada. Perlahan-lahan aku menapak ke tangga beranda. Dada berdebar-debar dan tangan gementar sewaktu kuketuk pintu rumah. Demi terbukanya pintu, otousan tercegat di situ. Segera aku menyantuninya dengan tunduk hormat tiga kali. Dengan wajah mencuka dia memalingkan muka lalu berkata, “Pergi dan jangan pernah kembali!”

“Otousan, maafkan saya,” sapaku lembut, berharap dia menoleh dan melihatku.

Namun, dia terus berjalan ke depan tanpa langsung mengendahkan aku di muka pintu. Pandang dengan ekor mata pun tidak! Cuma kedengaran kata-katanya ketika

Referensi

Dokumen terkait

Pola pengembangan industri mete yang bertumpu pada industri skala besar dengan ditunjang usaha untuk mengimpor gelondong mete dari negara lain yang memiliki masa panen yang

Perekonomian Indonesia yang semakin Kompetetif menjadikan perusahaan harus memiliki SDM yang memadai dan menguasai sistem secara baik juga memiliki pelyanan yang baik terhadap

Untuk merealisasikan konsep kesatuan ilmu diperlukan kerja keras, kesabaran, dan banyak tahapan proses; yaitu perlakuan yang sama pada ilmu pengetahuan dan agama, dialog,

Sedangkan untuk meningkatkan kapasitas dapat dilakukan dengan memakai jaringan berlapis, yaitu jaringan mikrosel yang dipasangkan pada jaringan makrosel.... Propagasi Gelombang

ANGGOTA DEWAN PERWAKILAN RAKYAT DAERAH KABUPATEN KARAWANG DALAM PEMILIHAN UMUM TAHUN

Dengan menggunakan model Discovery Learning, peserta didik dapat mengidentifikasi dan membandingkan fungsi sosial, struktur teks dan unsur kebahasaan terkait dengan

a) Memperkuat kerjasama antar kota-kota yang ada didunia. b) Menyediakan kesempatan bagi para pejabat kota dan penduduk untuk merasakan dan menjelajahi kebudayaan

Pada praktikum ini tekanan darah diukur dengan metode tidak langsung secara auskultasi dan pengukuran dilakukan pada lengan bagian atas. Tekanan darah dari praktikan