• Tidak ada hasil yang ditemukan

Jejak-Jejak Yang Tertinggal

Dalam dokumen GAPENIAGA Kuala Lumpur 2020 (Halaman 21-45)

KATHERINA TATI SITAIM

WANGI kari daging yang sedang aku masak membuat aku lapar. Aku teringat kata-kata nenekku ketika aku lapar begini dan meminta supaya makanan cepat dihidangkan. Nenek akan tersenyum dan berbisik, “Bah capat-capat tah masak, ani

urang betian lapar,” sambil merenung masakan yang belum

masak lagi. Konon kata nenek, sekiranya berbisik begitu ketika masak, masakan akan cepat masak. Aku tersenyum terkenang nenekku yang begitu banyak pantang larang dan kepercayaannya.

Nenekku memang fasih berbahasa Brunei. Maklumlah ramai saudara-maranya berkahwin dengan orang Brunei. Kehidupan kami juga semua berlandaskan beberapa pantang larang dan adat etnik Brunei dan Kadazan.

Sekarang siapa yang hendak kujadikan alasan supaya makanan cepat masak. Tiada pula orang yang mengandung di rumah ini. Aku tersenyum sendiri teringat kenangan lalu.

Kenangan manis dan pahit banyak aku lalui sehingga usia sudah mencecah warga emas ini. Usia yang membuatkan diri sudah tidak diperlukan di mana-mana pekerjaan. Sektor swasta pun sudah tidak laku. Sudah dalam usia persaraan. Berehat sementara menanti panggilan Tuhan.

Rumah ini kini bukan seperti dahulu lagi, yang sering riuh rendah dengan jerit pekik anak-anak. Anak-anak sudah dewasa dan ada keluarga sendiri. Aku dan suamiku, masih setia menjadi penghuni rumah yang sudah berusia 40 tahun lebih ini. Rumah yang suamiku beli daripada hasil titik peluhnya bekerja dengan potongan gaji selama 20 tahun. Rumah yang sudah bebas daripada hutang piutang. Rumah yang banyak menyimpan suka dan duka.

Kini suamiku sudah sepuluh tahun bersara, namun masih mendapat gaji persaraan setiap bulan. Setidak-tidaknya tidaklah kosong hidupnya. Masih ada gaji walau tidak sebaik dahulu, lebih daripada cukup untuk menyara hidup kami berdua. Dalam usia lanjut begini, kami belum meminta wang bantuan daripada anak. Namun anak-anak tetap sentiasa membawa cucu-cucu ke rumah pada setiap hujung minggu dan membawa berbagai-bagai juadah. Kami tetap gembira. Anak-anak semuanya prihatin walau masing-masing sudah mempunyai keluarga. Namun pada hari-hari lain, kehidupan begitu sunyi tanpa riuh rendah anak-anak dan cucu cucu.

“Aku lapar.”

Suara suamiku membuat aku terkejut daripada kenangan lalu. “Ya, ya, sekejap lagi masak, tunggulah dahulu,” jawabku sambil terus meneruskan kerja di dapur.

“Kau sudah masak?” tanya suamiku.

“Sudah, tunggu saja, nanti aku hidang,” jawabku selamba.

“Masak apa?” tanyanya lagi.

Aku mengeluh, sudah tidak mampu melayannya dengan baik. Kalau aku bagitahu, apa menu yang kumasak, dia tidak akan faham. Dia sudah lupa apa itu kari daging yang sedang kumasak. Dia bukan faham pun. Dia sudah tidak tahu apa itu kari atau apa jua jenis menu masakan. Suamiku sudah tidak tahu apa-apa pun yang aku katakan. Dia akan bertanya berkali-kali, seperti aku tidak pernah menjawab soalannya atau bercakap sepatah pun kepadanya. Dia pasti akan bertanya berkali-kali sehingga tahap kesabaranku hilang! Kadang-kadang aku cuba bersabar, mendiamkan diri apabila dia bertanya berkali-kali, benar-benar mencabar kesabaranku setiap hari.

“Eh…sudahlah, pergi duduk dahulu, aku siapkan makanan. Nah minum kopi dulu,” kataku sambil menghidangkan secawan kopi.

“Kau sudah siap masak?” tanyanya lagi.

Aduh…terkadang aku tidak tahu bahasa apa yang harus aku cakap. Walau berbahasa Inggeris pun dia sudah kurang faham. Bukan tidak mendengar atau tuli, tetapi dia sudah tidak memahami. Bercakap dan menerangkan berkali-kali baru dia faham. Terkadang sampai suara naik tinggi, baru dia mengerti.

Kadang-kadang aku marah pada diri sendiri kerana tiada kesabaran untuk melayan setiap katanya. Tetapi melayan kerenahnya, membuat darah tinggiku naik! Aku jadi kasar dan marah. Kadang-kadang aku mencubit dan memukul lengannya kerana dia susah memahamiku.

Dia cuma melihat perangaiku. Pandangannya seperti penuh kehairanan, kenapa aku mencubit tangannya? Kenapa aku memukul lengannya? Aku juga tidak suka dengan JEJAK-JEJAK YANG TERTINGGAL

perbuatanku. Sering aku menyesal dan berdoa semoga Tuhan memberi aku kesabaran setinggi Gunung Kinabalu atau seluas Laut Cina Selatan, agar aku tidak menyakiti hatinya dan menyakiti perasaanku sendiri.

Pada setiap malam aku berbaring dengan rasa sesal dan bersalah. Kenapa harus aku kasar begini. Tetapi aku tidak dapat melawan kegeraman yang menghantuiku setiap hari! Kadang-kadang aku mengungkit cerita lama, dan itu pun membuat aku bertambah gila! Dia sudah lupa semuanya.

Aku juga terbayang, kalau nanti usiaku seperti dia, aku juga akan nyanyuk seperti dia. Siapa akan memeliharaku? Akan tabahkah anak-anak dan menantumenerima aku yang sudah nyanyuk?

Aku memejamkan mata. Aku tak sanggup! Aku tak sanggup dilayan dengan kasar oleh mereka. Diherdik dan mungkin dimaki-maki? Nah! Kalau aku tidak mahu dilayan begitu, aku mesti berbuat baik pada suamiku. Dan inilah yang membuat aku mempunyai sedikit kesabaran untuk menjaga suamiku.

“Kau ini pegawai dahulu, kenapa begini cepat otak kau jadi beku! Jadi nyanyuk begini!” bentakku, apabila dia sudah tidak tahu apa-apa yang aku perkatakan.

Aku mula mernyedari dia sudah mula menghidap penyakit demensia, apabila berkali-kali dia salah masuk lorong untuk balik ke rumah. Dia akan memandu terus, dan aku mula mula tidak peduli. Dalam hatiku mungkin dia mahu pergi ke tempat anak atau ke tempat lain. Tetapi apabila sudah masuk ke jalan mati, aku bertanya ke mana dia mahu pergi. Dia menjawab hendak pulang ke rumah, dan aku mengatakan dia sudah salah jalan. Dia masih boleh terfikir dan masih boleh beristighfar apabila salah jalan, dan akhirnya dia sudah tidak aku benarkan memandu lagi.

Kadang-kadang aku marah dalam diam. Aku teringat semasa muda dia seorang yang kacak dan sering berselingkuh! Sampai dia terpaksa mengahwini seorang wanita kerana wanita itu meminta dia mengahwininya dengan ancaman. Dia terpaksa mengahwini wanita itu. Teman sepejabatnya yang seksi dan cantik. Seorang wanita mata duitan yang menipu bahawa dia sedang mengandungkan anak suamiku. Ternyata dia berbohong. Namun suamiku bertahan juga. Perkahwinan dengan wanita itu bertahan selama sepuluh tahun sehingga dia sendiri yang meninggalkan suamiku.

Bukan aku membenci atau berdendam, namun pada setiap hari seperti ada saja yang mencabar kesabaranku. Melayan orang yang sudah menghadapi penyakit demensia bukanlah mudah. Nasib baik anak-anak sering memberikan dorongan dan nasihat walau mereka tidak dapat membahagi masa untuk membantu kesukaran yang aku hadapi. Aku tidak menyalahkan mereka. Mereka juga mempunyai keluarga sendiri. Mujur aku masih boleh menjaganya, walaupun diri sendiri tidak sihat. Suamiku sihat. Dia tidak mempunyai penyakit selain mengidap demensia.

Dalam hatiku pernah beranggapan bahawa isteri mudanya seorang yang sangat pintar. Apabila suamiku sudah mula jadi pelupa, sudah mula nyanyuk, dia merancang untuk melepaskan diri daripada menjaga suami yang nyanyuk suatu hari nanti.

Terlintas dalam hatiku, kenapa ada anak menghantar orang tua mereka ke rumah warga tua. Siapa pun tidak mahu menghantar orang tua ke rumah seperti itu tetapi tiada cara lain untuk dibuat demi keselamatan orang tua mereka.

Aku terfikir menghantar orang tua ke rumah warga tua bukan kerana tidak menyayangi orang tua tetapi kerana JEJAK-JEJAK YANG TERTINGGAL

sayanglah mereka terpaksa menghantar orang tua ke sana kerana mereka sudah tidak dapat menumpukan perhatian pada ibu bapa yang sudah beransur nyanyuk, yang perlu diberi perhatian seperti seorang bayi, sedangkan mereka punya bayi dan anak anak kecil.

Aku mula memikirkan, mungkin itulah sebabnya orang tua terpinggir di rumah warga emas. Jauh dalam lubuk hatiku, kalau boleh aku tidak mahu terpinggir di rumah warga tua.

“Kalau boleh, saya tidak mahu panjang umur, saya tidak mahu menyusahkan anak-anak.” Terngiang-ngiang kata-kata ibuku yang sakit terlantar selama dua bulan. Ibuku mengotakan kata-katanya. Ketika suatu hari dia sudah tidak boleh mengawal pergerakan ke tandas dan makan dengan baik, dia menghembuskan nafas terakhir dalam tidurnya. Syurga buat ibuku. Dia pergi dengan tenang tanpa mahu menyusahkan kami untuk mengurus makan minumnya. Hatiku sebak. Itu bukan pinta kami tetapi permintaan ibu kepada Tuhan.

Aku pernah berbincang dengan anak-anak, kalaulah ada rumah persaraan seperti retire home yang ada di negara Barat, aku mahu pergi ke sana dan tinggal bersama dengan suamiku, biar kami diurus oleh pekerja rumah persaraan itu. Mungkin simpanan suamiku cukup untuk menampung perbelanjaan kami. Aku ingin menempatkan suamiku dahulu di sana. Aku sendiri sudah melihat keadaan rumah persaraan itu ketika aku melawat rumah persaraan di Adelaide, Australia. Tempat yang aman dan harmoni. Pasti warga tua tidak sepi di sana. Semua ada tempat riadah, tempat bercucuk tanam, tempat berjumpa sanak saudara, tempat bersukan dan menari. Rumah itu tidak seperti rumah

warga tua di sini. Rumah itu seperti rumah sendiri, dengan bilik sendiri lengkap dengan televisyen dan lain-lain: bilik membaca, perpustakaan, bilik untuk menonton wayang gambar. Memang seronok dan sepadan dengan nama rumah persaraan, untuk berehat dan disayangi oleh semua orang.

“Tetapi rumah begitu tiada di sini, mama,” jawab anak sulungku. “Kalau ada alangkah bagusnya,” katanya lagi. “Tetapi mama, kalau pun ada rumah persaraan begitu, kami tidak mahu mama dan papa tinggal di sana.”

“Kami membesar dengan kasih sayang, dijaga dengan baik hingga berjaya, kenapa kami harus hantar kamu ke rumah persaraan? Walaupun rumah itu amat baik bagi warga tua.

“Kalaupun kami tidak mampu menjaga, kami boleh upah orang gaji menjaga mama dan papa, asalkan berada di rumah sendiri. Kalau mama dan papa sudah tua dan sudah nyanyuk, kami akan pelihara,” kata anak bongsuku.

“Mama fikir, saudara-saudara mama dan papa akan suka bila kami buat mama dan papa begitu. Kami bukan anak derhaka,” kata anak keduaku yang sering marah apabila aku meleter kerana ayah mereka sudah sudah mula nyanyuk dan buang tabiat.

“Jangan mama cakap begitu, jangan mama hina papa. Mama pun esok-esok akan tua dan nyanyuk macam papa juga,” kata anak keduaku sambil ketawa walau dia marah aku memburuk-burukkan ayahnya.

“Saya lapar `ni, mana makanan?”

Terkejut aku daripada fikiran yang bergentayangan tadi. Dengan segera aku mencedok makanan untuk suamiku. Dia sedang duduk sambil minum kopi yang aku buat untuknya sementara menunggu lauk masak.

“Nah makanlah,” kataku. Aku melihat dia berkerut melihat masakanku. Rasa geram bermain dalam diriku.

“Bersihkah piring dan sudu ini,” katanya sambil membelek-belekkan sudu dan garfu. “Cuci dulu,” katanya lagi sambil menunjukkan piring kosong yang aku letak di hadapannya.

“Bersih ‘tu, sudah dicuci,” jawabku tanpa mengambil sudu dan garfu yang dipegangnya untuk dibasuh kembali mengikut kemahuannya.

Namun begitu dia bangkit dan berjalan menuju ke dapur, membasuh kembali piring dan sudu yang aku beri tadi. Aku melihat dengan menahan sabar. Memang begitulah tabiatnya sejak diam saja di rumah. Sejak mula ada tanda menghidap demensia.

Dalam hatiku, bagus juga kerana dia masih tahu kebersihan. Semua masakan pun dia akan tanya, “Bersihkah?” Perbuatannya membuat aku geram. Macamlah selama ini aku bagi dia barang barang kotor! Kalau budak-budak, mahu saja aku berteriak dan merotannya.

Namun aku masih sedar, dia suamiku. Dia pasangan yang aku pilih 45 tahun dahulu. Aku sudah berjanji, dalam susah senang, dalam sakit dan sihat aku tetap setia menjaganya dan akan bersama dengannya. Aku masih ingat janjiku dahulu ketika kami disatukan. Dan apabila dia memilih untuk mengahwini isteri muda, aku juga tidak meninggalkannya. Demi anak-anak dan janji, aku bersabar. Aku tetap menanti dan berdoa, suatu masa nanti dia akan bertaubat dan kembali ke pangkuanku dan anak-anak.

“Rin, kalau kau memilih untuk bercerai, kau pasti akan kahwin lagi. Kau masih muda,” kata ibuku dahulu apabila aku mengatakan aku ingin meminta cerai setelah suamiku berkahwin lagi.

“Kau tahu, kalau kau kahwin lagi, belum tentu suami barumu akan menyayangi anak-anakmu. Bayangkan tiga-tiga anak itu akan mendapat ayah tiri,” sambung ibuku. “Belum tentu suami barumu akan menyayangi anak-anakmu, dia cuma sayangkan kau saja.

“Kau dengar dan baca ‘kan, berita bagaimana ayah tiri mendera anak anak tiri. Kau tidak takut, Rin?” tanya ibu sambil merenung wajahku.

Aku kalut.

Ibu terus berleter apabila aku terus mendiamkan diri. Bukan aku tidak menerima teguran ibu, tetapi aku sedang memikirkan segala kata ibu. Aku tidak rela anak-anak aku menderita dengan ayah tiri. Walau sekarang aku tidak terfikir untuk berkahwin lagi jika aku bercerai dengan suamiku. Cukuplah lelaki seorang ini menjadi suamiku. Aku tidak akan berkahwin lagi. Itulah tekadku ketika inginkan perceraian.

Namun begitu betul kata ibu, aku masih muda. Kalau aku jatuh hati pada lelaki yang mahu memelihara aku dan anak-anakku, pasti aku akan menerima lamarannya. Mungkin betul kata-kata ibu, suami baharuku akan mendera anak-anakku, kerana dia cuma menyayangiku, bukan anak anakku. Ya Tuhan! Aku tak rela anak-anakku didera, dipersia-siakan. Aku tak mahu!

Lantas ketika menerima leteran dan nasihat ibu, aku membawa anak-anakku pulang ke rumah suamiku. Suamiku tiada di rumah kerana dia sibuk dengan rumah baharunya. Sejak itu aku bertekad, biarlah aku menderita asalkan anak-anakku bahagia. Biarlah makan nasi berlaukkan garam, aku tidak akan meninggalkan rumah suamiku ini.

Perkahwinan keduanya mendapat tentangan daripada keluargaku dan keluarganya, namun kerana dia sudah

mabuk kepayang, tiada sesiapa yang dapat menghalang kemahuannya. Aku dengan seberat-berat hati pun terpaksa berdiam diri dengan keputusannya, apalagi dia sudah jarang-jarang pulang ke rumah.

Mengikut adat, suamiku harus membayar sogit kepada aku dan anak-anakku kalau dia mahu berkahwin lagi dan memadukan aku. Suamiku dikehendaki menyediakan seekor kerbau untuk aku dan anak-anakku. Kesemua binatang itu harus disembelih, dan sanak saudara terdekat dan jiran-jiran harus dijemput untuk makan bersama. Suamiku dan isteri baharunya tidak akan dijemput. Kalau mereka datang pun, mereka tidak boleh memakan masakan daripada daging sogit itu.

Selepas seminggu membayar sogit untuk aku dan anak-anak, berkahwin dan berpindah ke rumah isteri baharunya. Aku dan anak anak masih tinggal di rumah yang dibeli oleh suamiku. Suamiku juga sering datang melawat kami. Dia tidak lupa pada tanggungjawabnya sebagai bapa kepada anak-anakku.

Begitulah kalau tinggal di kampung dan masih memegang kepercayaan tradisi. Andai aku membawa perkara ini ke mahkamah, denda yang lebih berat akan dikenakan pada suamiku mengikut undang-undang sivil.

Ibu masih kuat dengan kepercayaan lama. Kalau mengikut aku, aku tidak mahu membuat makan-makan begini, membuat hati terhiris luka. Namun kata ibu ini untuk maruah aku, dan kesejahteraan anak-anak supaya mereka tidak dipandang hina oleh masyarakat di kampung dan tiada bala menimpa, konon. Aku pasrah dan mengikut sahaja.

Hari memakan sogit tiba. Suamiku datang dan duduk bersama ibu dan ayahku. Dia menangis meminta maaf

kepada kedua-dua orang tuaku. Dia cuba menghampiriku tetapi ketika itu hatiku hancur dan seakan-akan aku mahu menghancurkan wajahnya juga! Namun ibuku sentiasa bersamaku, memberi aku kata-kata sokongan dan nasihat demi anak-anak, katanya. Dan aku patuh pada kata-kata ibu.

Mengenang kembali peristiwa lalu, memang seperti mengopek parut luka. Terlalu pedih. Sakit. Ngilu. Aku cuba melupakan semuanya. Tiada apa-apa yang harus kusesali; aku sebenarnya menang.

Ada hikmah di sebalik kejadian yang berlaku dalam kehidupanku. Yang penting ketiga-tiga anakku menyayangiku lebih daripada segalanya. Mereka hartaku. Untuk diriku, tanpa banyak halangan aku dapat membaiki diri, menceburkan diri dalam perniagaan yang membuat hidupku kembali bersinar. Dan aku tetap setia. Tuhan mengabulkan doaku, walau Dia mengembalikan suamiku ketika dia sedang separuh nyanyuk. Namun begitu untuk anak-anakku, mereka tidak akan susah pada masa akan datang. Bukan aku tamak. Tetapi harta sepencarian bakal diwarisi oleh anak-anakku.

Mungkin untuk merawat demensia suamiku sudah agak terlambat. Namun aku mahu memastikan hidupku untuk beberapa tahun mendatang dijauhi demensia yang bakal menggelapkan hidupku. Kemurungan atau tekanan perasaan akan mempercepat proses demensia ini. Mengikut doktor yang merawat suamiku, penyakit ini boleh dirawat daripada menjadi serius. “Jangan berputus asa,” kata dokror itu. Menurut Dr.Nurul yang merawat suamiku, 80% pesakit boleh sembuh dengan rawatan perubatan dan terapi melalui kaunseling dan beberapa rawatan perubatan moden dan tradisi. Rawatan psikoterapi perubatan boleh membantu

suamiku sebelum rawatan lain dibuat seperti rangsangan saraf vagus (VNS) atau terapi elektrikonvulsif (ECT).

Aku merenung wajah suamiku yang sedang makan sambil menonton televisyen. Hiba menggamit jiwaku. Aku terkenang jejak-jejak perjalanan hidup kami. Sekarang kami berdua sudah tua, warga emas yang kaya dengan pengalaman hidup. Dari muda hingga kulit kami berkedut, kami masih bersama. Anak-anak telah kami didik dengan baik. Anak-anak menjadi orang yang berjaya dan beriman. Orang tua yang separuh nyanyuk, yang bergelar suami itu telah membuat anak-anaknya berjaya walau kasih sayangnya pernah berbelah bagi selama sepuluh tahun. Berkat kesabaran, kami bersatu kembali. Aku dan anak-anak telah memaafkan keterlanjurannya dahulu. Tiada insan yang sempurna. Kesalahan dan kesilapan lalu ialah pengajaran, dan kita tidak dapat memutarkan waktu itu kembali. Namun begitu jejak-jejak yang ditinggalkannya menjadikan dia seperti bapa mithali, bapa yang sempurna, walau sekarang dia memeningkan kepalaku kerana terpaksa menahan sabar melayan keadaannya.

Ya Tuhan, berilah aku kesabaran dan kesihatan yang baik, agar aku dapat menjaga suamiku, ayah kepada tiga orang anak dan datuk kepada lima orang cucu ini. Semoga Tuhan mengampuni setiap salah laku dan dosa kami sepanjang menjalani hidup di dunia ini.

“Yang penting puan dan anak-anak harus memberikan sokongan dan bantuan pada suami puan,” kata Dr. Nurul. “Kita tidak dapat menyembuhkan dia sepenuhnya, tetapi kita boleh mencegahnya dari bertambah buruk.”

Aku percaya suamiku tidak dapat sembuh dan kembali aktif seperti dulu, tetapi dia boleh dirawat agar tidak

menjadi nyanyuk 100%. Namun terlalu banyak sebenarnya kebaikan yang telah dibuat suamiku untuk anak-anakku. Perkahwinan keduanya bukanlah memberi dia kebahagiaan malah membuat dia banyak menghadapi tekanan jiwa dan kemurungan. Menurut doktor, mungkin juga itu punca suamiku menghidap kemurungan yang berat sehingga otaknya mengecut cepat. Mempercepat dia mendapat demensia.

Glosari:

Bah, capat-capat tah masak, ani urang betian lapar - cepatlah

masak, ada orang sedang mengandung lapar.

Sogit: bayaran atau denda kerana melakukan kesalahan

mengikut adat kampung daripada suku Kadazandusun. JEJAK-JEJAK YANG TERTINGGAL

UMMU HANI ABU HASSAN

SATU

AKHIRNYA, aku mendapat jawapan setelah melalui lorong-lorong di sekitar bilik sewaku untuk tempoh 12 bulan aku tinggal di Taerung, Seoul. Jawapannya adalah terdapat 11 buah farmasi atau bahasa Koreanya, yakgug, di daerah kecil ini. Walaupun kebanyakan farmasi hanya sebuah kedai ubat kecil, jarak antara satu farmasi dengan farmasi yang lain kira-kira 500 meter dan paling jauh 1 kilometer. Sama seperti kedai kopi dan kedai 24 jam, tumbuhlah sebanyak mana pun dan di mana pun, orang yang mengunjunginya seperti kelkatu laparkan cahaya. Aku yang terkenal dalam keluargaku sebagai ‘anti ubat’ kini telah bertukar menjadi ‘hantu ubat’ semenjak bergelar mahasiswa tahun pertama di Korea University, iaitu satu daripada lima universiti terbaik Korea. Apakah universiti ini mewajibkan mahasiswanya makan ubat? Tidak. Tetapi untuk aku bertahan di ranting

‘pohon orang-orang pintar’ itu, aku memerlukan ubat. Sebenarnya, aku tidak cocok dengan cuaca empat musim terutama musim dingin dan musim panas di sini. Bulan Januari sehingga bulan Mac, aku diserang bronkitis berulang kali; masuk ke bulan Jun sehingga Ogos, aku diserang pula demam panas dan penyakit kulit. Akhirnya, aku pasrah bahawa aku memerlukan ubat sebagaimana orang-orang

Dalam dokumen GAPENIAGA Kuala Lumpur 2020 (Halaman 21-45)

Dokumen terkait