• Tidak ada hasil yang ditemukan

Meraba Dalam Benderang

Dalam dokumen GAPENIAGA Kuala Lumpur 2020 (Halaman 79-89)

HAMIR HABEED MOHD

SEKIRANYA aku diberi pilihan, kemungkinan besar aku tidak akan mengambil subjek Isu-isu Pendidikan di Asia yang disampaikan oleh Shimazaki Sensei tetapi dek kerana subjek ini ialah subjek wajib, aku terpaksa mengikuti kuliah yang paling membosankan selama dua jam untuk tempoh empat belas minggu. Namanya pun kuliah, pengajaran disampaikan secara sehala tanpa pembentangan slaid. Tiada tayangan video atau alat bantuan mengajar yang digunakan. Aku anggarkan usia Shimazaki Sensei sekitar 65 tahun. Suara Shimazaki Sensei tidak sekuat suara Honda Sensei yang masih muda. Walaupun menggunakan mikrofon, suaranya agak perlahan untuk aku. Aksi Shimazaki Sensei juga tidak seagresif aksi Gooda Sensei malah boleh dikatakan statik. Aneh, dewan kuliah berkapasiti 200 mahasiswa ini akan penuh hingga tamat kuliah.

Kekuatan Shimazaki Sensei adalah pada namanya. Bersumberkan maklumat daripada seorang senior, sebelum bertugas di universiti, dia pernah menjadi guru bahasa Jepun di 17 buah negara termasuk Malaysia. Paling lama tiga tahun di China dan paling singkat tiga bulan di Savoca, Itali. Pun begitu, beret yang dipakainya sekarang dikatakan dibelinya sewaktu mengajarkan bahasa Jepun kepada sekumpulan peminat filem-filem animasi Jepun di Savoca. Beret itulah yang menjadi citra yang sinonim padanya sehingga Shimazaki Sensei digelar Encik Beret.

Banyak kali juga aku membelek-belek buku bacaan wajib untuk subjek Shimazaki Sensei tetapi aku tidak menemukan sebarang petunjuk yang mengaitkan isi kuliah dengan buku tersebut. Walaupun namanya isu-isu pendidikan, fokusnya lebih kepada isu-isu pendidikan bahasa Jepun. Sesekali dia akan melangkah keluar dan mengupas isu jurang pendidikan antara bandar dengan di luar bandar India, isu kemudahan dan kekurangan guru di Filipina, masalah keciciran murid sekolah di Palestin.

Masa ada kira-kira 20 minit lagi sebelum tamat kuliah. Tiba-tiba bangkit seorang perempuan yang memperkenalkan dirinya sebagai Sasaki dan bercakap tentang pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris di Malaysia. Perkara yang menarik minat Sasaki-san ialah tindakan kerajaan yang dilihatnya sedikit bertentangan dengan dasar bahasa di Malaysia. Walaupun pandangannya neutral, persoalan yang berlegar-legar di fikiranku ialah siapakah Sasaki-san ini?

“Terima kasih Sasaki-san atas perkongsian sebentar tadi. Untuk makluman semua, Sasaki-san ialah pelajar PhD bawah seliaan saya dan menjalankan penyelidikannya di

Malaysia. Bukankah ada pelajar dari Malaysia dalam kuliah ini?” Mata Shimazaki Sensei seperti mesin pengimbas, dari kanan tempat dia berdiri ke bahagian kiri.

Aku yang tersentak menjadi serba salah tetapi tangan kanan aku sudah terpacak pada paras pipiku.

“Kita mahu mendengar pandangan pelajar Malaysia sendiri berhubung pelaksanaan dasar ini.” Shimazaki Sensei memandang tepat ke arahku. “Nama kamu?”

“Abu Bakaru,” beritahuku menggantikan nama sebenarku Abu Bakar.

“Asal? Kuala Lumpur?” “Terengganu.”

“Abu-san jumpa saya selepas ini. Okay, kelas kita tamat di sini hari ini.”

Ketika aku masih terpinga-pinga dengan tugasan Shimazaki Sensei, Sasaki-san segera mendapatkan aku dan memperkenalkan dirinya dalam bahasa Melayu. Sasaki-san tidak fasih tetapi dia memiliki sejumlah kosa kata asas dalam bahasa Melayu untuk diselitkan dalam perbualan.

“Saya guru bahasa Jepun di Malaysia. Tiga tahun saya di Japan Foundation Kuala Lumpur mengajarkan bahasa Jepun dan membimbing guru bahasa Jepun di sana. Saya suka akan Malaysia terutamanya budaya dan bahasa Melayu. Saya ditawari mengajar bahasa Jepun di Turki selepas tamat tempoh mengajar di Kuala Lumpur tetapi saya membuat keputusan untuk menyambung pelajaran di peringkat PhD.”

Perbualan kami terhenti sebaik-baik sahaja dihampiri oleh Shimazaki Sensei.

“Abu-san bentangkan sedikit latar belakang pendidikan di Malaysia sebelum pelaksanaan dasar tersebut dan objektif pelaksanaannya secara ringkas. Tidak perlu mendalam,

cukup untuk memberi gambaran dasar tersebut kepada pelajar-pelajar.”

Senyuman Sasaki-san menyuakan keyakinan kepadaku. Empat hari selepas itu, aku berjanji untuk berjumpa dengan Sasaki-san di kafe universiti. Jam 2:00 petang, kafe sudah lengang. Pelawaan Sasaki-san untuk makan tengah hari terpaksa aku tolak kerana kafe di situ agak kurang mesra dengan pegangan tauhidku.

“Tak lapar?” tanya Sasaki-san setelah memesan soba. “Saya ada bawa bekal roti,” ujarku jujur. Dua keping roti dengan telur goreng serta salad sudah tersedia di dalam beg sandangku.

“Sasaki-san minum kopi dalam tin?” “Minum.”

Aku melangkah ke deretan mesin swalayan untuk mendapatkan dua tin Cafe au Lait keluaran Boss dan membawa ke meja yang dipilih oleh Sasaki-san lebih awal.

“Duit untuk kopi,” sambil mengunjuk duit syiling 500 yen.

“Saya belanja, lagipun saya yang perlukan bantuan Sasaki-san,” jawabku jujur tetapi seketika kemudian aku berasa serba salah dengan kejujuran aku sendiri.

Sasaki-san terkejut sedikit, “Betulkah? Terima kasih.” “Boleh san ceritakan tentang kajian PhD

Sasaki-san?”

“Sewaktu saya mengajar di Malaysia, dasar pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains menerusi bahasa Inggeris baru bermula. Bagi saya, ini suatu perkembangan yang menarik. Jadi, sebaik-baik sahaja kontrak mengajar di Malaysia tamat, saya telah kembali ke Jepun dan berbincang dengan pensyarah ijazah sarjana saya. Pensyarah saya yang

mencadangkan Shimazaki Sensei kerana kepakarannya dalam bidang ini. Kebetulan, pensyarah saya juga pernah terlibat dalam beberapa kajian bersama dengan Shimazaki

Sensei.”

“Apa manfaat kajian ini kepada Sasaki-san, walhal isu sebenar bukannya berkisar di Jepun?”

“Saya melihat isu ini sebagai satu isu yang besar. Secara ringkas, kalau pendekatan yang digunakan oleh Malaysia ini bagus, mungkin kami boleh terapkan kepada rakyat Jepun. Bukankah orang Jepun dikatakan sangat lemah dalam berbahasa Inggeris?” Sasaki-san tersenyum.

“Sasaki-san boleh berbahasa Inggeris?”

“Boleh tapi saya suka bahasa Melayu,” ujarnya dalam bahasa Melayu dengan senyuman yang tersipu-sipu.

“Macam mana dengan persediaan Abu-san? Bagi saya bantu untuk menyemaknya,” ujar Sasaki-san selepas selesai makan dan memulangkan mangkuk soba.

Komputer riba sudah aku buka. Sejurus selepas

Sasaki-san menghirup seteguk Cafe au Lait, skrinnya aku halakan

untuk tatapan Sasaki-san. “Saya sudah sediakan lapan slaid, boleh Sasaki-san semak?”

Sambil membaca penerangan aku dalam slaid,

Sasaki-san membetulkan beberapa kesilapan tatabahasa.

“Hujah asas tindakan kerajaan kami memilih bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik adalah atas dasar keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan sumber tenaga manusia untuk mencapai taraf negara maju menjelang tahun 2020 agar rakyat Malaysia dapat bersaing pada era globalisasi. Oleh hal yang demikian, tujuan dasar ini sangat jelas, iaitu untuk menyediakan murid-murid yang MERABA DALAM BENDERANG

berkemahiran dalam bahasa Inggeris sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi seperti di universiti,” ulasku sebaik-baik Sasaki-san selesai menyemak slaid pertamaku.

“Di samping itu, perkembangan sains dan teknologi juga menuntut kita mempelajari bahasa Inggeris. Pelbagai inovasi dan penemuan baharu dalam bidang ini berlaku dengan pantas dan capaian maklumat mengenai perkembangan dalam bidang ini banyak terdapat dalam bahasa Inggeris. Oleh hal yang demikian, murid-murid harus diasuh lebih awal iaitu di peringkat sekolah lagi untuk menguasai bahasa Inggeris agar mereka tidak menghadapi sebarang masalah kelak,” jelas aku berbantukan nota bertulis tangan yang menjadi panduan sewaktu aku menyiapkan slaid-slaidku. Sasaki-san terus-menerus membetulkan beberapa kesalahan istilah yang aku gunakan.

“Slaid ini adalah beberapa contoh mudah untuk memberi kefahaman kepada pendengar,” sambil menjenguk ke arah skrin komputer yang masih mengadap Sasaki-san. “Istilah-istilah sains seperti fotosintesis, pemanasan global misalnya dapat difahami oleh murid lebih awal.”

“Tetapi, bukankah pemahaman konsep proses fotosintesis menuntut lebih daripada pemahaman istilah semata-mata,” sampuk Sasaki-san segera.

“Boleh bukan kita memahami sesuatu konsep tanpa memahami istilah?”

Kali ini Sasaki-san tidak menjawab tapi aku dapat mengesan ada putik senyuman yang tidak sempat berkembang. “Okay, selesai semua slaid.”

“Teruk bahasa Jepun saya?”

“Orang Jepun juga melakukan kesilapan dalam bahasa Jepun,” beritahu Sasaki-san memupuk keyakinan diriku.

“Kesalahan yang dilakukan kerana tidak mengetahuinya masih boleh dimaafkan tetapi tidak untuk kesalahan yang disengajakan. Bahasa perlu dituturkan dengan jiwa dan raga.”

“Kata-kata ahli falsafah Malaysiakah?” “Saya main sebut saja.”

Terbahak-bahak kami ketawa.

Sesi perbincangan kami selepas itu melencong ke sesi perbahasan. Oleh sebab Sasaki-san pelajar PhD barangkali, dia memiliki bahan bacaan yang sangat luas. Hujah-hujahnya disokong dengan pelbagai kajian dan data. Hujah aku disokong dengan apa? Pengetahuan sedia ada tanpa fakta dan sedikit kedegilan.

“Ada satu kajian yang sangat menarik yang telah dikendalikan oleh salah seorang pensyarah UKM, Bangi iaitu Prof. Dr Nor Hashimah. Kajian yang dilaksanakan pada tahun 2004 menunjukkan 75% murid bersetuju bahawa mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris mendatangkan masalah dari aspek pemahaman.” Sasaki-san mencapai tin Cafe au Lait dan meneguknya. “Kajian ini sebenarnya selari dengan kajian yang dilaksanakan oleh UNESCO lama dulu, iaitu pada tahun 1951 yang menyarankan agar pendidikan dilaksanakan dalam bahasa ibunda kerana medium terbaik dalam usaha untuk memahami sesuatu ilmu adalah dalam bahasa ibunda masing-masing.”

“Ini adalah sedikit daripada dapatan saya. Saya akan sampaikan dalam bentuk analogi. Sekiranya murid sekolah di negara Abu-san ialah pesakit, rawatan yang cuba diberikan untuk merawat pesakit adalah salah. Lebih kurang macam orang yang sakit jantung dirawat dengan rawat dengan ubat sakit mata. Maksud saya, untuk menguasai bahasa Inggeris, MERABA DALAM BENDERANG

Abu-san perlu memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris. Mempelbagaikan teknik pengajaran dan pembelajaran, mengaplikasikan teknologi dalam bahasa Inggeris, banyak lagi,” sampuk Sasaki-san.

Aku masih mencari perca-perca hujah untuk merasionalkan alasan. Jarum diam di dindingku sudah tidak berdetik. Setelah tiga tahun aku berada di bumi Sakura, pertama kali aku merasakan aku bertanggungjawab kepada negaraku. Aku bertanggungjawab untuk menjelaskan dasar kerajaan kepada masyarakat antarabangsa dan perlu memberi imej yang baik kepada mereka.

“Maafkan saya, Abu-san. Saya bukan mahu berlawan hujah. Slaid yang disediakan ini sudah bagus. Kesilapan tatabahasa dalam slaid pun tidak banyak. Shimazaki Sensei mahu Abu-san bercakap tentang perkembangan pendidikan di Malaysia. Saya lihat dasar ini sebagai satu dasar yang pelik dan tindakan yang diambil oleh kerajaan negara

Abu-san juga unik tetapi jangan risau, mahasiswa Jepun di sini

kebanyakannya agak sempit dari segi pemikiran. Mereka tidak mempunyai sebarang gambaran atau kefahaman tentang Malaysia. Jadi, saya yakin pembentangan Abu-san akan berjalan lancar,” terang Sasaki-san selepas melihat aku lebih banyak berdiam daripada berkata-kata.

“Minggu depan saya mungkin tak dapat melihat pembentangan Abu-san,” beritahu Sasaki-san sebelum kami meninggalkan kafe.

“Serius?” Aku tersentak. “Mengapa?”

“Saya ada janji temu dengan seorang pelajar PhD di Universiti Tokyo untuk urusan pengumpulan data saya.”

“Saya mengharapkan Sasaki-san untuk bantu saya,” ujar aku serius.

“Tapi slaid-slaid Abu-san tadi lebih hebat daripada saya.”

Sasaki-san mengikut aku sehingga ke tempat letak basikal. Dari situ aku tuntun basikalku menghantar

Sasaki-san ke perhentian bas di Jalan Shimoshita.

Kuliah Shimozaki Sensei minggu berikut bertukar menjadi menarik. Aku lebih serius dan berusaha untuk memahami kuliah Sensei dengan lebih bersungguh-sungguh. Tidaklah membosankan seperti yang aku alami sebelum ini. Bermakna, persediaan dan kesungguhan individu amat penting sebelum mengikuti kelas. Fokus mestilah jelas. Tanpa fokus, fikiran meratibkan perasaan sukar dan kuliah berkalih jadi bosan.

Selepas sejam barulah Shimozaki Sensei mencari aku. Tidak pasti sama ada dia lupa atau disengajakan. “Abu-san boleh bentang?”

Aku bangun sambil mengangguk kecil dan bergerak ke depan. Sudut pandangan aku sudah berbeza. Tiba-tiba ada hampir dua ratus audiens di hadapanku. Gementar mula merayap ke setiap liang darahku sehinggakan aku tidak dapat memasukkan pemacu pena ke slotnya. Mujur ada Myung-hwan rakan futsal aku di depan yang membantu. Barangkali ini adalah kali pertama aku melakukan pembentangan di hadapan khalayak yang ramai dalam bahasa asing.

Sesi pembentangan aku berjalan lancar. Jumlah slaid aku juga tidak berubah, iaitu lapan slaid. Tapi aku ada masukkan sedikit dapatan tambahan selepas pulang dari perbincangan dengan Sasaki-san.

“Terima kasih, Abu-san. Kita mungkin boleh terima satu atau dua soalan,” beritahu Prof. sambil mengarahkan untuk tidak menutup paparan slaid aku.

“Silakan.”

Suasana di dewan kuliah sepi dan aku tidak fikir ada sesiapa pun yang akan bertanya. Itu kelaziman dalam kelas kuliah di sini.

Tiba-tiba bangkit Claudette, perempuan dari Perancis yang dikatakan telah berkahwin dengan seorang ahli perniagaan Jepun. Walaupun usianya lebih tua beberapa tahun daripada aku, dia mendaftar di universiti satu semester lewat daripada aku. “Saya tidak ada soalan tetapi saya sekadar mahu berkongsi pandangan,” ujarnya dalam bahasa Jepun yang sangat fasih. “Sekiranya bahasa Inggeris ialah bahasa ilmu, dan selepas Perang Dunia Kedua, sebagaimana yang kita ketahui Jepun telah kalah dalam peperangan tersebut, Jepun memilih untuk menjadikan bahasa Inggeris tersebut sebagai bahasa ilmu untuk membina negara mereka semula, saya berpendapat Jepun seperti tewas kali kedua dalam satu peperangan. Dalam erti kata lain, kejayaan Jepun pada hari ini adalah hasil daripada keyakinan mereka terhadap bahasa mereka sendiri.”

Aku meraba-raba di dalam dewan kuliah yang benderang, dan Claudette menyalakan pelita fikir untuk aku sepanjang malam.

Glosari:

San: Encik.

Dalam dokumen GAPENIAGA Kuala Lumpur 2020 (Halaman 79-89)

Dokumen terkait