• Tidak ada hasil yang ditemukan

Tako-Tsubo

Dalam dokumen GAPENIAGA Kuala Lumpur 2020 (Halaman 45-57)

ZARIDA RASDI

Tsukiji, Chuo-ku, Tokyo.

NUN di ufuk timur, suria pagi mulai menyapa dunia. Pesonanya masih sama, namun melihat pagi seindah ini di tanah tumpah darahku, sebuah anugerah yang tak terkira. Daerah terpencil petempatan nelayan yang terletak bersebelahan Kota Ginza menuju Teluk Tokyo ini, sering mengingatkanku untuk pulang–tak peduli sejauh mana aku telah terbang. Walaupun aku tidak pasti kepulangan ini bakal disambut mesra atau dingin oleh mereka, aku percaya, Tsukiji tidak akan menolak kepulanganku. Aku adalah sebahagian daripada tanah dan laut Tsukiji. Aku masih anak nelayan Tsujiki yang sama. Yang berubah hanyalah kepercayaan dan peganganku.

Bagasi yang masih bertampal tag penerbangan dari Malaysia aku letakkan di atas pasir pantai. Aku duduk menghadap laut, berdiam sejenak, menghirup angin

lembut Teluk Tokyo yang menyapa muka. Di pantai, ombak menderu-deru, berderau-derau bunyi riaknya. Merdu nyanyian ombak meredakan rinduku yang membuak.

Memandang jauh ke tengah samudera, aku memuji-muji keagungan Ilahi yang menjadikan laut di sini sebagai medan pertemuan antara arus panas Kurosyiwa dengan arus dingin Oyashiwa. Pertembungan semula jadi arus panas dengan dingin itulah yang menjadi pengaruh penting kepada percambahan plankton di dasar laut; justeru, faktor itulah yang menjadi penyebab majunya perusahaan perikanan di sini.

Sayup-sayup kedengaran enjin bot-bot nelayan melawan arus menuju ke pantai. Dalam aku termangu-mangu, sebuah bot kecil mendarat tidak jauh dari tempat aku duduk. Tekong dan awak-awak yang turun dari bot sibuk mengendalikan hasil tangkapan. Dalam kekalutan mereka mengisi dan memunggah muatan, aku terpandang seberkas tako-tsubo yang diseret keluar oleh seorang awak-awak tua. Demi terpandang tako-tsubo itu, segera kenangan lama tertayang semula di layar mata.

“Eh, balang tanah liat apa ini, diikat berangkai-rangkai?” tanyanya kehairanan, saat terpandang tako-tsubo yang tersusun kemas di bangsal.

“Oh, balang tanah liat ni, namanya tako-tsubo!” jawab

otousan-ku.

“Tako-tsubo? Untuk apa, pak cik?”

“Tako-tsubo ini perangkap sotong kurita. Cuba tengok, dasar balang ini lebar, sotong kurita akan masuk dan duduk berlindung di dalamnya tetapi leher balang yang berlekuk dan bertali akan mencerut kepalanya daripada terlepas keluar.”

“Tidak ada yang terlepas keluar dari balang itukah?” tanyanya.

“Selalunya ketika tako-tsubo dibawa naik ke permukaan, setelah beberapa hari berada di dasar laut, jarang kosong. Sotong kurita yang terperangkap tak akan berusaha melarikan diri. Mereka akan leka menjadikan tako-tsubo sebagai tempat perlindungan daripada ancaman musuh,” jelas otousan panjang lebar, petang itu.

Seketika setelah otousan beredar, kami menyambung bicara perihal tako-tsubo. Aku menyerangguh di beranda. Dia duduk di tangga.

“Kasihan si kurita yang tertipu masuk ke dalam

tako-tsubo,” ujarku.

“Begitu jugalah dalam kehidupan kita ini, jika tersalah langkah akan terjerumus masuk perangkap,” katanya.

“Bagaimana jika saya si kurita itu?” tanyaku, menduga. “Jika kamu menjadi kurita yang terperangkap, saya akan datang menyelamatkan kamu keluar dari tako-tsubo.”

Kami sama-sama ketawa. ***

Aku mengenalinya sewaktu kami menuntut di Universiti Tokyo. Kunjungannya ke daerah kami disambut baik oleh

otousan dan seluruh kaum kerabatku memandangkan dia

menjadi tetamu sekali gus anak angkat otousan dalam projek amal yang dianjurkan kampus kami. Dengan perwatakan ramah dan pekertinya yang sopan berbudi, lambang keperibadian anak Melayu jati, dia telah menawan bukan sahaja kaum kerabatku bahkan seluruh kejiranan kami. Segalanya berjalan lancar seperti dirancang sehinggalah pada hari majlis perpisahan projek amal tersebut.

Dia yang duduk di sebelahku resah gelisah. Berjurus-jurus dia termenung seperti berfikir mencari jawapan

sebelum bersuara lirih, “Pak cik, saya ingin berterus terang tentang hal hubungan saya dengan Sakura.” Dengan berani dia berdepan secara lelaki. Otousan tersentak dan riak wajahnya jelas terperanjat.

“Er...maksud kamu?” tanya otousan. Mulutnya berdesit-desit. Dengan kening terangkat, dia membeliakkan matanya, merenung tajam wajah kami bersilih ganti.

Ketika matanya dihalakan ke arahku, dadaku berombak kencang. Jantungku tertikam.

“Saya dan Sakura saling mencintai. Saya mohon restu pak cik untuk berkahwin dengan Sakura.” Dia melontar kata dalam getar debar yang ketara. Di kedua-dua pelipisnya, ada peluh yang merenik.

“Mana boleh! Agama, adat dan budaya kita berbeza. Kami sudi menerima kamu di sini sebagai tetamu tetapi bukan sebagai menantu dan ahli keluarga, ” bentak otousan. Nafasnya berdesir kuat. Hembusan nafas yang direngus secara paksa itu mempamerkan kekecewaannya yang teramat.

“Otousan, saya mohon restu.” Lekas-lekas aku bangun dan tunduk hormat tiga kali.

“Aku lebih rela kamu mati di tanganku daripada menderhaka kepada nenek moyang sendiri!” Laungan bengis otousan yang dirasuk amarah, bergegar hingga ke rumah-rumah berdekatan petempatan kami. Pandangan matanya berbinar-binar bagaikan api yang menyala-nyala menyambar mataku yang terbuntang tidak berkelip. Rentung sekujur tubuhku dalam panahan amarah itu.

“Jika kamu memilih dia, bemakna kamu bukan lagi waris kami,” tingkah seorang kerabat, waris tertua dalam keluarga. Serentak, waris-waris yang lain menghalakan

pandangan pijar ke arahku. Darah dalam tubuh, kering disedut sengangar pandangan mereka.

Aku pandang wajah Tamara, sepupuku merangkap sahabat akrab. Lewat pandangan itu aku mengharapkan sokongannya. Dia angguk perlahan.

Majlis mesra pada hari itu bertukar menjadi tragedi yang meragut hubungan kekeluargaan kami. Aku bukan sahaja kehilangan otousan malah seluruh kaum kerabat mendiang

okasaan yang turut menentang hubungan kami.

Dengan pertolongan Tamara, aku pergi meninggalkan semua yang dikasihi pada subuh esoknya. Kepergianku dahulu bukan semata-mata kerana cinta tetapi aku pergi demi menyahut seruan llahi. Dia hanyalah pengantara suratan takdirku; segala yang terjadi, rencana Yang Maha Esa.

Kemelut perhubungan kami tidak berakhir di situ. Seminggu berikutnya aku mengikut Rashdan pulang ke Malaysia. Dan seperti dijangka, keluarganya turut membantah dan enggan memberi restu.

“Jika begini keadaannya, kita tiada pilihan, melainkan kahwin lari!” ujarnya.

Menjadi isteri yang dicintai sepenuh jiwa merupakan suatu anugerah yang paling bermakna meskipun aku tak punya sesiapa di sini melainkan dia. Kasih sayangnya yang tulus sedikit banyak mengurangkan kesedihan yang kutanggung sejak berpisah dengan otousan, walaupun ia tidak pernah hilang. Beberapa kali aku cuba menghubungi

otousan namun tidak pernah berhasil. Surat-suratku tidak

pernah berbalas. Pun begitu, aku dan Rashdan tidak pernah berputus asa berusaha untuk menjernihkan kekeruhan yang terjadi pada kedua-dua belah keluarga kami.

Namun, keindahan cinta yang kusangka hebat ini tidak berakhir dengan kebahagiaan. Suatu petang, aku menerima TAKO-TSUBO

panggilan telefon daripada seorang perempuan. Kalimat dan pengakuannya lewat panggilan itu telah mengubah warna- warni mimpi menjadi igauan ngeri. Ternyata Rashdan tidak mengotakan janjinya. Dia meninggalkan aku terkapar-kapar sendiri. Duniaku gelap gelita. Lara yang ditinggalkan Rashdan membuat jiwaku sasau meracau. Malam dan siang yang datang sudah tidak kuhirau. Marah, pilu dan rindu membuat fikiranku rancu.

Malam itu tidak sepicing pun mata dapat kupejamkan. Di luar hujan renyai-renyai, di kamar ini aku berendam tsunami air mata. Rasa nyeri yang mencucuk di dada, membuat aku tidak selesa. Nafas sesak, tercungap-cungap semakin menyeksa. Keadaan kesihatan diri yang tidak keruan ini menambahkan kemurunganku. Sehinggalah datang perasaan nekad, ingin kuakhiri segala penderitaan ini di tangan sendiri. Dengan langkah longlai sambil tangan memiuh dada, aku menapak perlahan-lahan ke dapur. Tumpuanku hanyalah pada laci merah. Aku genggam tombolnya lalu menariknya ke hadapan. Demi terbukanya laci itu, mataku tertumpu pada benda tajam yang paling besar. Dengan nekad, kugenggam hulunya lalu menghunus ke atas. Gemerlap kilauan matanya menyilau mataku. Sedang aku nekad untuk bertindak, tiba-tiba guruh berdentum, gegak gempita. Serentak itu, cengkaman di genggaman terlepas ke lantai. Rasa nyeri yang mencucuk dada, membuat tubuhku terjelepuk.

***

Aku seperti di awang-awangan. Di bilik Cardiac Care Unit (CCU) ini, suara para medik bertelagah, bersilang tingkah dengan lentingan peralatan surgikal yang berlaga. Mesin-mesin medikal yang berkeroncong melagukan irama

serong. Wayar merah, ungu, kelabu, berselirat di seluruh tubuh. Dalam segala kecelaruan tuju, tubuh bermandi peluh. Arus darah menggigil, menjurus beku ke seluruh pembuluh. Nafas yang bertakung di lekum kian laju menerobos rongga hidung. Dag dig dug degupan jantung kian tak bermaya di hujung nyawa.

Terkapar diri dalam debar jerih nafas terakhir. Bergetar lidah melafaz zikir Lailahaillallah. Tiba-tiba, bergemeresik suara merdu bak nyanyian burung syurga, “Tuhan panjangkan umurnya.”

“Aamiin Ya Rabbal’alamin.” Bersipongang suara-suara yang lain bak desiran angin jannah yang pernah kubaca dalam kalam-Nya. Dalam keliru, kaku dan bisu, surah Yaasin mendayu-dayu, bersahut-sahutan di segenap penjuru.

Entah doa siapa antara mereka yang diangkat ke langit ketujuh, sehingga aku kembali tersedar daripada rusuh lena yang luluh? Sujud syukurku pada-Mu, Ya llahi yang sudi mengijabah doa mereka buat aku yang berdosa, sehingga bergetar tiang arasy-Mu meluruhkan Rahman dan Rahim ke katil ini.

Minggu berikutnya aku ke Klinik Pakar Jantung. Aku antara yang terawal tiba di klinik tersebut, pagi itu. Lebih kurang menunggu dalam sepuluh minit, namaku pun dipanggil. Setelah menyantuni Dr. Safari, aku pun duduk.

“Saya anggap kehadiran puan pada hari ini membawa maksud puan telah bersedia mendengar segala penjelasan tentang penyakit puan. Tidak seperti hari itu, puan sangat pasif dan defensif,” kata Dr. Safari.

“Ya. Saya telah bersedia hendak tahu apa masalah jantung saya?”

Dia membuka fail di atas meja sambil membetulkan kaca mata berbingkai putih yang dipakainya lalu berkata, “Kami TAKO-TSUBO

telah meneliti kesemua keputusan ujian dan pemeriksaan jantung puan. Kami juga mengambil kira kemurungan kronik akibat patah hati yang sedang puan lalui. Rumusan keputusan ujian-ujian tersebut mendapati tiada kerosakan pada jantung puan.” Dia menggeleng beberapa kali.

“Jika tiada kerosakan pada jantung saya, kenapa saya sering sesak nafas dan berasa nyeri yang mencucuk di dada kiri?” tingkahku.

“Penyebab utama serangan jantung lazimnya berpunca daripada penyumbatan pada salur darah tetapi terdapat juga kes yang mirip dengan serangan jantung dan selalunya berpunca daripada perasaan sedih, kecewa dan trauma patah hati yang melampau. Kes sebegini disebabkan oleh sindrom patah hati yang juga dikenali sebagai Takotsubo

Cardiomyopathy.”

“Tako-tsubo?” ulangku dengan rasa terkejut bukan kepalang.

“Saya difahamkan yang puan berbangsa Jepun. Sudah tentu puan faham makna Takotsubo, bukan?” Dr. Safari memandang tepat ke wajahku.

Aku angguk. Dia menghulurkan sekeping kertas yang bertulis Takotsubo kepadaku.

“Ejaan sepatutnya, Tako-Tsubo,” kataku ketika menyambut huluran kertas itu.

“Benar, tapi ejaan itu merujuk kepada benda. Sedangkan ejaan Takotsubo ini merujuk kepada diagnosis perubatan,” jawabnya.

“Apa hubung kait tako-tsubo dengan jantung saya?” Aku semakin keliru.

“Untuk pengetahuan puan, diagnosis Takotsubo ini mula ditemui oleh Dr. Hikaru Sato dari negara puan. Menurut

beliau, jantung pesakit Takotsubo akan menunjukkan pembesaran yang abnormal di sebelah kiri ventrikel jantung. Ia menyerupai sebuah balang yang biasanya digunakan untuk menangkap sotong oleh masyarakat Jepun. Dan imej yang sama kami temui di ventrikel kiri puan,” jelas Dr. Safari bersungguh-sungguh. Aku terdiam.

“Ini bermakna gejala serangan jantung puan baru-baru ini bukan disebabkan kerosakan atau penyumbatan pada salur darah jantung tetapi disebabkan oleh peningkatan hormon stres akibat patah hati dan depresi yang melampau. Pengumpulan hormon stress boleh menyebabkan terjadinya sindrom patah hati atau nama lainnya, Takotsubo

Cardiomyopathy,” lanjutnya.

“Bahayakah penyakit ini, doktor?” tanyaku, mencari kepastian.

“Bergantung pada pesakit. Jika memilih untuk terus larut dalam kesedihan, peningkatan hormon stress akan memburukkan kesihatan jantung dan kekerapan serangan jantung juga boleh membawa maut.”

Aku terlopong.

Ketika bola mata kami berlaga dia meneruskan bicara, “Saya ingin memberi satu saranan. Puan sudi mendengar?”

“Ya,” sahutku, sepatah.

“Saya syorkan, puan pulanglah ke Jepun untuk perawatan lanjut yang sewajarnya. Dengan segala kecanggihan teknologi dan kepakaran di sana, peluang untuk sembuh 50–50, mengikut pemeriksaan terkini jantung puan,” usul Dr. Safari.

***

Setelah ketawa kami reda, aku bertanya lagi, “Benarkah awak akan menyelamatkan saya keluar dari tako-tsubo?”

Dia angguk berkali-kali.

“Bagaimana jika awak telah tiada pada saat saya terperangkap di sana?” tanyaku.

“Saya akan berdoa dari sekarang, sekiranya awak menjadi kurita yang terperangkap dalam tako-tsubo, semoga Allah mengirimkan malaikat-Nya membantu awak keluar,” jawabnya.

Air mataku jatuh bagai hujan pada musim tengkujuh saat ayat-ayatnya bergema di telinga. Sungguh aku amat merindui suara itu. Suara yang tidak akan pernah kudengar lagi di alam nyata ini. Terasa seperti dia masih ada di sisi meskipun hakikatnya dia telah lama dijemput pulang sewaktu kemalangan jalan raya tempoh hari. Aku dimaklumkan melalui panggilan telefon oleh seorang jururawat pada petang kejadian itu. Sejak itulah aku jatuh sakit dan disahkan menghidap Takotsubo Cardiomyopathy. Semoga Allah mencucurkan rahmat ke atas roh Almarhum suamiku, Rashdan. Sewaktu aku beredar, awak-awak dan tekong tadi masih ligat memunggah muatan.

Melihat selonggok tako-tsubo tersadai di tepi tangga, aku yakin, otousan ada. Perlahan-lahan aku menapak ke tangga beranda. Dada berdebar-debar dan tangan gementar sewaktu kuketuk pintu rumah. Demi terbukanya pintu, otousan tercegat di situ. Segera aku menyantuninya dengan tunduk hormat tiga kali. Dengan wajah mencuka dia memalingkan muka lalu berkata, “Pergi dan jangan pernah kembali!”

“Otousan, maafkan saya,” sapaku lembut, berharap dia menoleh dan melihatku.

Namun, dia terus berjalan ke depan tanpa langsung mengendahkan aku di muka pintu. Pandang dengan ekor mata pun tidak! Cuma kedengaran kata-katanya ketika

membelakangiku, “Kamu persis mendiang okasaan-mu, meninggalkan rumah ini demi seorang lelaki.”

Cepat-cepat aku membela diri, “Tidak otousan. Saya pergi bukan semata-mata kerana seorang lelaki tetapi... .”

“Aku tak mahu dengar! Pergi, sebelum aku hilang pertimbangan!” herdiknya.

Rasa hampa yang membelit hati membuat tubuhku gemulai dan kaki longlai. Ketika melangkah turun tangga, kakiku terpiuh lalu bergeser bucu tangga dan tergolek ke bawah, gedebuk! Allah, sakitnya! Aku tersembam di tanah, betul-betul di atas longgokan tako-tsubo. Perlahan-lahan aku bangun, duduk. Cecair pekat dan melekit membuak-buak dari dahi turun ke muka. Aku sapu cecair yang berbau hanyir itu dengan tangan. Dapat kurasa dahiku tercarik dan kulit yang tercabik berjuntai di kening. Aduh, pedihnya! Darah di dahi terasa mengalir hingga ke hati.

Longgokan tako-tsubo di tepi tangga berselerak. Pecah sebiji dan terbelah dua. Namun tako-tsubo yang terbelah ini masih boleh ditempel dengan pelekat. Yang berselerak juga dapat disusun semula. Hati otousan yang retak, bagaimanakah hendak kucantum? Ikatan kasih kami yang terlerai, bagaimanakah hendak kusambung?

Rasa nyeri menusuk di dada, sesak nafas tercungap-cangip. Badan lencun bersimbur peluh. Muka basah bersimbah darah. Pandanganku berpendar-pendar. Surat rujukan Dr. Safari kepada Pakar Jantung Hospital Tokyo yang hendak kutunjuk pada otousan tadi terlepas daripada genggaman.

Glosari:

Otousan – Bapa Okasaan - Ibu

Nota: Tsukiji ialah sebuah daerah di Chuo, Jepun. Ia

berhampiran Sungai Sumida yang ditebus guna dari Teluk Tokyo. Di sinilah terletaknya pasar borong ikan dan makanan laut terbesar di dunia.

Rujukan :

A. Tofield. (1 Oktober 2016). Hiraku Sato and Takotsubo Cardiomyopathy, European Heart Journal, Volume 37: 37: 2812.

Angina Pectories–Myocardial Infarction Investigations in Japan. J Am Coll Cardiol 2001: 38: 8.

The Clinical features of Takotsubo Cardiomyopathy. QJM 2003:96:563–573.

Tsuchihashi K, Uesshima K, Uchida T, Oh- Mura N, Kimura K, Owa M, et al. Transcient left VentricularApical Balloning with Coronary Artery Stenosis.

Dalam dokumen GAPENIAGA Kuala Lumpur 2020 (Halaman 45-57)

Dokumen terkait