• Tidak ada hasil yang ditemukan

ALAM SEBAGAI LAMBANG: ANALISIS PENDEKATAN MORAL

3.2 PENDAHULUAN

Perkataan simbol atau lambang berasal daripada bahasa Greek, sumbolon bermaksud ”token, watchword”. Kata sumbolon berasal daripada kata sumballein, bermaksud ”to agree, literally, cast together” (A. F. Scott, 1985: 283). Scott menambah,

111

”a symbol is something standing for something else”. Lambang merupakan perkataan atau farsa yang digunakan untuk maksud lain daripada yang tersurat atau bersifat ambiguiti. Justeru itu, tafsiran maksud atau makna kata atau farsa yang tersurat dalam pantun Melayu dibuat berdasarkan alam diri pantun dan budaya serta pemikiran masyarakat yang melingkunginya (Rahman Shaari, 2001: 56). Menurut Asmah Haji Omar, lambang tidak sama dengan benda, perbuatan, peristiwa atau sifat, tetapi wakilnya sahaja. Lambang adalah pengwujudan konsep dan konsep adalah hasil dari persepsi.

Dengan itu, lambang disimpulkan di sini sebagai sesuatu yang konkrit atau abstrak yang digunakan untuk dibandingkan dengan sesuatu penyataan (1993:1-2).

OBJEK ALAM MEMBERI MANFAAT

Dalam pantun Melayu, penggunaan unsur simbolik, sebagai salah satu jenis unsur putika yang menggerakkan kaitan perasaan dan pemikiran dibentuk daripada unsur alam.

Hal ini berhubung dengan falsafah pantun yang terhasil daripada pemerhatian, penelitian serta pentafsiran terhadap ketentuan alam yang hakiki. Simbolik juga merupakan unsur bahasa perbandingan, selalunya memindahkan sifat seseorang atau sifat sesuatu benda kepada sesuatu yang lain. Juga berfungsi bagi menperjelaskan makna atau maksud yang hendak disampaikan dengan menggunakan benda lain sebagai lambang atau simbolnya.

(Wan Akmal Wan Semara, 2005: 53) Sebagai contoh, sifat binatang kepada manusia, sifat benda kepada manusia, seperti sifat harimau yang buas, sekuntum mawar, kumbang melambangkan si dara dan teruna.

Lambang mendukung makna kata dan diksi dalam pantun. Lambang juga digunakan mengikut konteks pemakaian dan lingkungan budaya masyarakat yang menghasilkan pantun. Unsur bahasa dan kod budaya turut memancarkan jaluran budaya

112

dan pemikiran masyarakat yang mewakili zamannya. Kendahan pantun banyak bergantung pada bahasanya yang indah, berseni, mempunyai nilai akal budi yang menyentuh rasa dan perasaan.

Proses penciptaan lambang berhubung kait dengan budaya dan kehidupan masyarakat Melayu zaman dahulu dan masa kini bila mana proses penciptaan pantun itu dilakukan. Aspek lambang sebenarnya memperkayakan lagi budaya dan bahasa Melayu melalui karya sastera. Lambang digunakan sebagai salah satu unsur bahasa yang penting, boleh ditafsirkan secara terus atau secara tidak langung. Justeru itu, bukan sahaja dapat dikesan melalui karya sastera klasik, namun dalam pantun Melayu terdapat banyak lambang yang digunakan bagi menyampaikan mesej dan persoalan tertentu.

Lambang merupakan objek yang konkrit sebagai perbandingan; sebagai contoh, bulan melambangkan kejelitaan seseorang gadis, matahari daripada alam (nature) lambangkan pemuda yang baik, bangsawan dan bertanggungjawab. Objek yang dipilih, antara lain ialah dunia tumbuh-tumbuhan, haiwan dan kejadian alam. Selain daripada bunga, mawar, melur, dedap, seroja, melati; bahagian-bahagian bunga: tangkai, kelopak, kuntum, madu, dan debu. Proses–proses kewujudan bunga: kembang, layu, segar, menguntum, memecah kelopak, dan gugur. Dunia fauna digunakan seperti lambang pipit, merak, burung, ayam, kambing, purnama, emas, intan atau kaca.

Anggota tubuh manusia juga dijadikan lambang, misalnya buah hati, gemala, biij mata, batu kepala, junjungan dan sebagainya. Teruna dihubung kait dengan binatang, seperti kumbang, buaya, ular, naga atau burung: cenderawasih, pungguk, merak, jentayu, rajawal, geroda, helang, pipit dan sebagainya. Selain itu, suria, langit, awan, bumi dan laut turut juga dijadikan lambang. Pemilihan lambang tidak dlakukan dengan

sewenang-113

wenangnya, disesuaikan dengan kehendak pantun. Sebagai contoh; terdapat lambang bunga, air, ikan, bukit dan paya. Sebagai contoh pantun peribahasa yang mengutarakan lambang alam yang akan dianalisis menggunakan Teori Pengkaedahan Melayu melalui pendekatan moral;

Di tepi pemuda mengail ikan,

Pemudi memetik bunga raya;

Ada air ada ikan,

Ada bukit adalah paya. (Loo Mun, 1968: 40)

Lambang alam jelas digunakan dalam pantun tersebut, antaranya bunga melambangkan wanita. Air dan ikan tidak dapat dipisahkan. Peribahasa mengatakan ”di mana ada air di situ ada ikan”, ”di mana ada bukit di situ ada paya”. Lambang yang digunakan menjurus tentang peribahasa pertama mengaitkan air dan ikan bermaksud ada negeri ada rakyatnya. Bukit dan paya melambangkan, ada baik dan ada buruknya.

Dengan hanya menggunakan perlambangan bunga, air, ikan, bukit dan paya khalayak dapat memahami maksud yang tersirat di sebalik pantun tersebut. Rangkap pantun berikutnya petikan daripada Pantun Peribahasa Melayu (1968) susunan Loo Mun.

Penggunaan objek alam dalam peribahasa yang diperturunkan menunjukkan bahawa sastera sebagai objek alam yang kejadiannya memberi manfaat kepada manusia. Hal ini, dapat memberi peringatan bahawa setiap kejadian yang dijadikan oleh Allah SWT mempunyai rahsia tertentu, manusia perlu mengambil iktibar daripada kejatian tersebut agar meningkatkan ketakwaan kepada Nya. Pentingnya ianya mempunyai nilai moral mengajak manusia ke arah kebaikan.

Yang jurang bersama jurang, Yang bukit bersama bukit;

Yang enggang bersama enggang,

Yang pipit bersama pipit. (Loo Mun, 1968: 28)

114

Perlambangan jurang, bukit, burung enggang, pipit menjadi simbol yang ditonjolkan. Bukit dan jurang melambangkan keperitan untuk mendaki atau menawanya, tambahan pula jurang yang dalam menjadi rintangan atau penghalang. Enggang merupakan lambang orang kaya atau bangsawan, si pipit ditujukan kepada golongan masyarakat biasa dan tanpa darjat atau disegani. Masyarakat kini masih lagi menjaga status enggang dan pipit terutama dalam kalangan orang bangsawan dan berkedudukan.

Namun tidaklah keterlaluan dikatakan menebal seperti zaman 50-an dan 60-an.

Bagaimanapun masih lagi berlaku dalam masyarakat moden era globalisasi. Ukuran darjat, keturunan dan kekayaan menjadi fenomena setiap bangsa di dunia. Tidak boleh dinafikan indahnya bahasa pantun hasil karya pengarang yang melihat alam sekeliling sebagai saluran komunikasi berkesan kepada masyarakat lama. Suatu peringatan untuk mendidik khalayak agar tidak membeza-beza kedudukan, pangkat atau darjat. Pantun berikutnya pula;

Orang India memetik kelapa,

Kelapa dijual kepada orang lain;

Kutu mati di atas kepala,

Tuma mati di tepi kain. (Loo Mun, 1968: 42)

Kutu dan tuma dijadikan lambang dalam pantun peribahasa di atas, perbandingan antara ”kutu mati di atas kepala, tuma mati di tepi kain”. dua perkara yang berbeza.

Kematian seseorang biarlah di tempat yang mulia umpama kutu mati di atas kepala. Mati seseorang di tempat yang hina, ibarat tuma mati di tepi kain. Kutu sejenis parasit yang menghisap darah dikepala, sementara pijat sering membuat sarang di tepi-tepi kain.

Lambang ’kepala’ merupakan sesuatu yang sangat mulia bagi masyarakat Melayu,

”jangan sampai pijak kepala” bermaksud jangan sampai seseorang itu hilang hormat kepada seseorang. Lambang yang sering digunakan oleh orang Melayu lama

115

berpandukan situasi pengalaman semasa dan melihat kejadian alam sebagai pencetus melahirkan peribahasa untuk dijadikan sebagai pedoman dalam menjalankan kehidupan seharian. Sentiasa beringat sebelum melakukan sesuatu perkara buruk, jadikan pedoman bahawa setinggi mana kebijaksanaan manusia namun tidak dapat menandingi kuasa Allah yang Maha Esa. Allah SWT berfirman menegaskan bahawa; ”Dialah Allah yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu dan Dia berkehendak menuju langit, lalu dijadikannya tujuh langit dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu’’. (Al Quran dan Terjemahan, Surah Al-Baqarah, 29: 13). Setiap ciptaan Allah SWT memberi kegunaan kepada manusia dan makhluk lain di dunia ini, peringatan melalui objek alam memberi kesan dan sebagai alat untuk memberi kemanfaatan kepada manusia dan kehidupannya.

Saranan dan nasihat yang berguna untuk melahirkan masyarakat yang bersifat terpuji dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan.

Bila Cik Goh membuat sajak, Adiknya suka menyanyi-nyanyi;

Mati rusa kerana jejak,

Mati kuau kerana bunyi. (Loo Mun, 1968: 43)

Maksud yang tersirat dan tersurat dalam pantun peribahasa di atas, ”mati rusa kerana jejak, mati kuau kerana bunyi” bermaksud seseorang mendapat bencana lantaran perbuatannya sendiri atau kerana sesuatu yang menjadi kemegahannya. Peribahasa yang sama ”mati kuang kerana bunyi”. Luasnya fikiran orang Melayu tradisional bermain dengan bahasa lambang, memperlihatkan keindahan sesebuah pantun yang diucapkan disamping maksud yang memerlukan daya kreativiti menghuraikan mesej yang hendak disampaikan. Melalui objek rusa dan kuau atau kuang didapati mempunyai nilai terhadap kegunaan sastera untuk khalayak serta memberi kesan kepada pembaca. Nilai moral yang hendak disampaikan oleh pengarang agar berhati-hati setiap perbuatan jangan

116

sampai merosakkan diri sendiri. Kebesaran Allah SWT mencipta langit, lautan, haiwan ditegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud;

"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, perselisihan malam dan siang, dan bahtera yang berlayar di laut dengan memberi manfaat kepada manusia, dan apa-apa yang Allah turunkan dari langit berupa air, lalu dengan air Dia dihidupkan bumi sesudah mati (kering) nya, dan di bumi itu Dia menyebarkan segala jenis haiwan, dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dengan bumi; sungguh (terdapat) tanda-tanda (keesaan dan kebesaran Allah) bagi golongan yang berakal” (Al Quran dan Terjemahan, 1971,Surah Al-Baqarah,164:

40)

Lambang yang berupa objek yang konkrit digunakan sebagai kepada suatu idea yang abstrak; tetapi antara kedua-duanya mempunyai hubungan erti yang telus (transparent) atau mudah difahami, misalnya selasih merujuk kekasih memang ada hubungan yang rapat antara selasih dan kasih. Hal ini boleh diamati dengan perkataan-perkataan lain yang sehubungan dengannya, seperti sayang, cinta, rindu, dendam, hasrat, hajat, ingin dan lain-lain. Embun, air, api, pasir, ombak, laut, rimba, hutan, bukit, gunung dan belantara. Seterusnya, padi dihubungkan dengan budi dan sebagainya.

Perlambangan peribahasa, kiasan yang sudah tetap maknanya digunakan sebagai lambang-lambang dalam pantun, samada dalam pasangan sampiran atau maksud. Banyak perkataan, klausa, kalimat atau rangkai kata daripada beberapa objek digunakan sebagai lambang dalam kehidupan sehari-hari. Sebagai contoh, beberapa lambang; buah, berembang dan bidara, melambangkan seorang wanita; bersubang, memakai subang daripada emas atau bunga melambangkan gadis yang masih dara; dan perkataan dara diberi kata melalui kata bidara. ”Mumbang ditebuk tupai” adalah kiasan kepada gadis yang telah dinodai. Selain itu, ”buah dimakan tikus”, ”sarung sudah dipakai”,

117

”kelapa ditebuk tupai”, atau ”tergunting dalam lipatan”. Pantun peribahasa berikutnya pula;

Tunjukkan saya jalan ke pekan, Hajat di hati membeli barang;

Burung mati kerana makan,

Manusia mati kerana wang. (Loo Mun, 1968: 44)

Peribahasa ”burung mati kerana makan, manusia mati kerana wang”, menjelaskan tentang sifat tamak haloba yang sudah menjadi lumrah manusia, ”burung mati kerana makan” dan ”manusia mati kerana wang” pula merupakan lambang yang tertara dalam pantun di atas. Justeru itu, ’wang’ menjadikan seseorang manusia itu lupa diri, sombong, angkuh dan sanggup melakukan apa sahaja demi wang. Keburukannya ialah apabila wang menjadi buruan manusia demi kekayaan dan sanggup melakukan tanpa mengira hukum halal dan haram. Penegasan melalui pantun di atas dan peribahasa yang dihasikan agar manusia jangan bersifat tamak dan mengejar wang ringgit dalam kehidupannya, kerana wang manusia boleh lupa diri dan menjadikan dirinya sombong.

Dalam Islam Allah SWT mengajar agar manusia berpandukan ajaran Al Qur’an dan Sunah Nabi SAW dalam menjalani kehidupan untuk kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat. Masyarakat Melayu dahulu melihat bahawa wang atau kekayaan boleh menjadikan seseorang menjadi hilang pertimbangan. Nilai budaya Melayu mahu masyarakat mengambil ingatan dan juga sebagai pedoman, jangan menjadi burung mati kerana kekenyangan makan atau menjadi ’manusia mati kerana gilakan wang atau kekayaan. Wang adalah lambang kemewahan dalam peribahasa tersebut, melalui pendekatan moral, peribahasa tersebut mencerminkan bahawa objek alam mempunyai memberi manfaat kepada kebaikan serta memberi kesan kepada khalayak untuk ke jalan yang baik.

118

Berikutnya pula pantun yang menyentuh sifat dan budaya orang Melayu tentang hebatnya kiasan dalam pantun.

Bila kapal terbang melambung, Di langit terbang kapal melalu;

Putus tali dapat dihubung,

Putus arang bercerai lalu. (Loo Mun, 1968: 46)

Lambang alam sekeliling menjadi sumber pengarang merealisasikan maksud yang hendak disampaikan. Hebatnya kiasan masyarakat Melayu lama menggambarkan tali dan arang sebagai lambang untuk mengambarkan situasi perkahwinan atau persahabatan yang sudah putus dan tidak dapat disambung lagi. peribahasa ”putus tali dapat dihubung, putus arang bercerai lalu”, bersamaan dengan ”putus tali boleh disambung, patah arang mudah sekali”. Falsafahnya, masyarakat Melayu lama memerhati tali atau benang yang kalau putus boleh disambung, begitu juga arang jika patah tidak mungkin boleh dicantum semula. Pengalaman hidup seharian menjadikan penciptaan peribahasa amat unik dan menunjukkan keintelektual bangsa Melayu tradisional memandang jauh ke hadapan. Nilai murni terpancar hanya melalui bait-bait pantun peribahasa yang tersusun indah, padat dan mencetuskan pelbagai pengajaran.”’Masyarakat Melayu lama akrab dengan alam tumbuhan, alam haiwan dan alam cakerwala. Hal ini adalah disebabkan masyarakat pada masa tersebut sering berinteraksi dengan alam yang berada di sekeliling mereka sama ada di laut, di hutan, di bendang, di ladang dan di gunung” (Harun Mat Piah, 1989: 115). Analisis peribahasa yang diperturunkan bersesuaian dengan Teori Pengkaedahan Melayu gagasan Hashim Awang melalui pendekatan moral berdasarkan sifat orang Melayu tradisional mempunyai nilai budaya, ketatasusilaan yang tinggi untuk ingat mengigat bangsanya.

119

Kehebatan pemikiran orang Melayu yang disampaikan melalui pantun peribahasa yang maknanya cukup mendalam. Manusia jangan sesekali terpedaya dengan pujuk rayu atau bentuk ’godaan’ yang menyenangkan namun akibatnya kesusahan yang diperolehi.

Umpama kata peribahasa, ”mati semut kerana gula, mati ikan kerana umpan”. Pantun selanjutnya menjelaskan situasi ini;

Emak ke kedai membeli gula,

Lalu membeli sekupang belacan;

Mati semut kerana gula,

Mati ikan kerana umpan. (Loo Mun, 1968: 47)

Lambang gula sebagai manisan, semut menghurung gula dan sangup mati kerananya. Begitu juga ikan akan mati ditangkap lantaran terpesona dengan umpan yang diletakkan pula dimata ikail. Nasib manusia juga seperti semut dan ikan; jika pertimbangan tidak dilakukan dengan akal, pujuk rayu dan janji manis boleh membawa ke kancah kehancuran. Sastera ciptaan manusia, alam ciptaan Allah SWT, setiap kejadian oleh Allah SWT mempunyai hikmah, begitu juga sastera yang dihasilkan oleh manusia sebagai objek alam yang memberi manfaat hasil daripada karya tersebut. Peribahasa yang dibincangkan, pengarang melihat semut dan gula, ikan dan umpan sebagai objek alam, namun hasil gabungan dan pemerhatian kejadian Allah SWT tadi menjadi peringatan dan pedoman dalam kehidupan. Nasihat dan pengajaran menjadi amalan masyarakat Melayu tradisonal untuk membentuk nilai murni dalam bermasyarakat.

Menyentuh tentang pantun keadaan manusia dengan alam daripada Muhammad Haji Salleh;

120

”Pantun ialah jenis puisi yang pada dasarnya bergantung kepada perbandingan keadaan manusia dengan keadaan alam. Alam menunjukkan persamaannya dengan manusia dalam cara, perilaku atau nasibnya, dan pengarang mengambil persamaan ini untuk mengiaskan kepada diri manusia. Teknik perbandingan sudah terlihat dalam perbahasa dan puisi lama Melayu” (2000: 134).

Pantun seterusnya yang boleh dikutip sebagai pengajaran oleh khalayak;

Awang sahabat yang sama belajar, Pelajarannya selalu maju;

Malu makan perut lapar,

Malu berkayuh perahu tidak laju. (Loo Mun, 1968: 48)

Peribahasa yang terdapat dalam pantun di atas, ”malu makan perut lapar, malu berkayuh perahu tidak laju”, bermaksud orang yang malas berkerja atau tidak mahu berusaha akan menyebabkan masa depannya menghadapi kesusahan, selalunya orang yang malas tidak akan dapat kesenangan. Lambang perut lapar dan malu berkayuh perahu menunjukan sifat malas seseorang yang tidak mahu berusaha walaupun peluang sudah berada di depan mata. Sifat buruk tersebut boleh menjejaskan seseorang untuk meningkatkan diri ke arah kejayaan. Pemikiran orang Melayu lama yang menyentuh soal malas sebagai nilai buruk dalam masyarakat agar sifat tersebut perlu dihakis. Nilai rajin boleh membawa sesebuah masyarakat mencapai kejayaan dalam arus kehidupan di masa hadapan. Penggunaan objek alam yang terdapat daripada tubuh badan manusia atau alam menjadi pemerhatian pengarang dahulu. Pengamatan mereka dengan mata hati melahirkan bait-bait pantun dan juga peribahasa yang menarik. Hal ini amat bertepatan dengan Teori Pengkaedahan Melayu yang dihasilkan oleh Hashim Awang melalui pendekatan moral dapat menjelaskan bahawa sastera sebenarnya salah satu objek alam ciptaan manusia namun hubung kait dengan objek ciptaan Allah SWT yang

121

setiap kejadian mempunyai sebab hasilnya memberi manfaat kepada manusia dan kehidupannya.

KESIMPULAN

Tidak dapat dinafikan hasil ciptaan pantun atau peribahasa yang digunakan sehingga masa kini secara tidak langsung memperlihatkan keakraban penciptanya dengan alam semesta. Mana mungkin pantun dapat dicipta dengan sebegitu indah sekiranya para penciptanya tidak menghayati unsur-unsur perlambangan yang di gunakan. Kepentingan pemakaian lambang-lambang dalam pantun Melayu sudah semestinya sejajar dengan pemakaian lambang-lambang dalam kehidupan seharian masyarakat itu. Berdasarkan penelitian terhadap pantun-pantun masyarakat Melayu lama, tidak dapat disangkal bahawa penciptaannya memancarkan inti pati pemikiran Melayu.

Segala pengalaman hidup, pandangan hidup dan falsafah yang ingin dikemukakan di dalam pantun menggunakan latar alam sebagai pembayang. Unsur-unsur sedemikian secara tidak langsung memperlihatkan keakraban masyarakat Melayu lama dengan alam semula jadi. Kebolehan seseorang pencipta pantun menggunakan lambang-lambang yang segar dan berkesan di dalam pantun amat mengkagumkan (Harun Mat Piah, 1989:

132). Tanpa lambang-lambang dalam penciptaan pantun, keistimewaan serta keindahannya tidak akan terserlah. Justeru itu, lambang memainkan peranan penting mengeratkan alam dan manusia, seterusnya memperlihatkan kebesaran Allah SWT sebagai pencipta-Nya. Menggunakan pendekatan moral melalui Teori Pengkaedahan Melayu gagasan Hashim Awang dapat membuktikan bahawa objek atau lambang serta kejadiannya mempunyai hikmah yang tersembunyi dapat memberi manfaat dan sebagai pedoman hidup, sarat dengan pengajaran serta nasihat yang berguna kepada khalayak.

122 BAB 4