• Tidak ada hasil yang ditemukan

NILAI MORAL DALAM PANTUN MELAYU: ANALISIS PENDEKATAN MORAL

3.1 PENDAHULUAN

Nilai moral yang tinggi merupakan budaya orang Melayu untuk melihat masyarakatnya hidup dalam harmoni. Nilai-nilai murni boleh ditakrifkan sebagai amalan yang baik dalam kehidupan, umpamanya hormat-menghormati, tolong-menolong, prihatin, bersimpati, berperikemanusiaan dan lain-lain lagi. Melalui pantun hasil karya masyarakat Melayu tradisional, kaya dengan pemikiran yang tajam meneroka pelbagai sudut dalam kehidupan seharian. Nilai-nilai murni merupakan nilai-nilai yang tidak mengandungi unsur-unsur asing yang mencemarkan sikap seseorang. Dalam pantun Melayu nilai-nilai murni diterapkan untuk menjadi pedoman hidup, mendidik serta mengajar masyarakat tradisi ke arah kebaikan.

ANALISIS PENDEKATAN MORAL

Pantun Melayu terdiri daripada beberapa jenis seperti pantun adat, agama, nasihat, jenaka, budi, kanak-kanak, perkahwinan, teka teki, peribahasa, kasih sayang anak dagang dan sebagainya. Setiap pantun yang dicipta mempunyai fungsi atau kegunaannya tersendiri. Dalam masyarakat Melayu, pantun merupakan satu corak komunikasi berseni yang digunakan di tempat yang tertentu. Misalnya, dalam upacara yang tertentu atau untuk menyampaikan sesuatu dalam maksud kiasan dan sindiran.

Penggunaan pantun secara sindiran bertujuan agar individu, masyarakat, puak, kaum

80

yang kena sindir atau yang kena nasihat itu tidak terasa marah, tetapi sebaliknya mengambil pengajaran dan berazam untuk membaiki perangai atau perbuatan yang tidak digemari.

Pantun yang disampaikan memerlukan pertimbangan dalam penyampaian isi, seandainya persoalan ini tidak diberi pemerhatian oleh orang yang melafazkan pantun, dikhuatiri akan menimbulkan salah faham kepada pendengar, terutama pantun yang berkait dengan sindiran dan nasihat. Cara melafazkan pantun harus dijaga agar maksud dan tujuan sesuatu pantun itu sampai kepada sasaran.

Pantun Melayu yang dicipta oleh masyarakat Melayu tradisional mempunyai beberapa fungsi. Antaranya untuk mendidik masyarakat Melayu pelbagai golongan masyarakat dengan nasihat daripada orang lama yang banyak pengalaman hidup dan amat peka terhadap sesuatu perkara. Justeru itu, medium pantun menjadi sebagai alat untuk memberi peringatan kepada golongan muda dan kanak-kanak. Seterusnya, pantun juga menjadi saluran luahan rasa kasih sayang teruna dara, suami isteri, antara anak kepada ibu dan bapa. Tanpa mengira batasan, pantun diucapkan, disulami dengan kata-kata yang indah, berbunga-bunga, puji-pujian yang menggambarkan kasih sayang, cinta dan rindu dendam.

Pantun juga berfungsi menyampaikan rasa penghargaan atau terima kasih, sesuai dengan masyarakat Melayu yang terkenal dengan sifat mengenang budi dan jasa.

Pantun sebegini banyak dicipta untuk menyampaikan rasa penghargaan dan terima kasih kepada orang-orang yang telah berjasa dan berbudi. Selain itu, untuk menguji ketangkasan minda dan fikiran, pantun teka-teki digunakan. Secara keseluruhannya,

81

pantun merupakan alat untuk hiburan, pengajaran kepada masyarakat serta dapat digunakan dalam apa jua situasi;

Salah satu daripada beberapa ciri utama pantun Melayu ialah sifatnya yang fungsional; iaitu puisi itu berfungsi dalam kehidupan masyarakat. Seperti genre puisi Melayu tradisional yang lain, rangkap-rangkap pantun juga merupakan hasil kegunaan dan peranannya dalam sesuatu fungsi atau sesuatu kegiatan sosial, baik bersifat hiburan, pengajaran, pengisi acara sebuah majlis mahupun sebagai sebuah upacara ritual (Harun Mat Piah, 2001: Ix)

Sebagai contoh perhatikan beberapa rangkap pantun peribahasa memperlihatkan betapa indahnya bahasa, kaya isinya dalam setiap pantun yang disampaikan dan juga mesej pengarang terhadap khalayak sebagai pedoman atau nasihat berguna.

Dari Jambi pergi Maluku,

Lalu singgah di Kota Lama;

Biar mati seperti kutu,

Jangan mati seperti tuma. (Loo Mun,1968: 18)

Peribahasa “Biar mati seperti kutu, jangan mati seperti tuma” menjelaskan bahawa mati di tempat yang mulia lebih baik daripada mati di tempat yang hina. Kutu di atas kepala sementara tuma sering berasa di tepi kain. Kepala merupakan tempat yang mulia jika dibandingkan dengan tepi kain. Lantaran itu orang Melayu tradisional sering memberi nasihat melalui peribahasa secara kiasan agar setiap orang dapat membuat kebaikan dan melarang daripada melakukan kejahatan. Kematian juga diambil kira agar seseorang perlu beringat dan diingati dalam masyarakat lama. Pengamatan orang Melayu tradisional tentang alam dan pengalaman hidup melahirkan peribahasa yang terdapat dalam pantun di atas. Amat bertepatan dengan Teori Pengkaedahan Melayu yang menjurus tentang pandangan hidup dan kebudayaan Melayu serta memaparkan nilai moral yang baik terdapat dalam pantun peribahasa tersebut.

82

Nasihat orang Melayu tradisional disampaikan melalui rangkap-rangkap pantun yang segar lagi indah bahasanya, menyarankan agar berhati-hati menjalankan sebarang pekerjaan supaya tidak tergesa-gesa demi untuk keselamatan diri.

Orang Hindi duduk bertelut,

Duduk bertelut mengadap candi;

Kasihkan padi buangkan rumput,

Kasihkan rumput buangkan padi. (Loo Mun, 1968: 19)

Pantun peribahasa di atas terdapat peribahasa berbunyi “kasihkan padi buangkan rumput, kasihkan rumput buangkan padi” bermaksud, memberi ingatan jika kasihkan anak isteri, jangan sesekali mengasihi perempuan lain. Kerukunan rumah tangga menjadi asas dalam sesebuah keluarga bahagia. Tumpuan kasih sayang terhadap keluarga lebih utama daripada menyemai kasih dengan orang lain kerana akibatnya diri sendiri yang akan merana. Hebatnya orang Melayu tradisional menyalurkan pemikiran mereka hanya dengan peribahasa yang ringkas lagi padat dan amat berkesan. Pantun berikutnya pula;

Indahnya padang di Batu berendam, Padang terbang Negeri Melaka;

Keris pedang tiada tajam,

Tajam lagi mulut manusia. (Loo Mun, 1968: 20)

Peribahasa yang tertera dalam pantun di bawah “keris pedang tiada tajam, tajam lagi mulut manusia”. Masyarakat lama melihat keris, lembing, pisau dan pedang tidak tajam setajam mulut manusia. Tutur kata daripada lidah manusia boleh merobek kalbu, lukanya akan mengambil masa untuk sembuh. Seperti kata pepatah Melayu “Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa”. Peringatan yang cukup berguna melalui peribahasa di atas dapat memberi pedoman hidup agar setiap orang dapat menjaga tutur kata melalui mulut atau lidah masing-masing. Firman Allah SWT melalui Surah Al Ahzab

83

ayat 70 berbunyi; “Hai orang-orang yang beriman, bertawakal kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar” (Al-Qu’ran dan Terjemahan, 1971: 680)

Bijak sungguh Nakhoda Haridan,

Hendak memperdayakan Raja Laksamana;

Macam timun dengan durian,

Mengolek luka di golek luka. (Loo Mun, 1968: 21)

Ibarat orang yang tiada terdaya untuk melawan orang berkuasa. Orang susah bersaing dengan orang yang kaya raya. Orang biasa melawan orang yang mempunyai kuasa, tentunya berpihak kepada orang kuat dan berkuasa. Peribahasa di atas “macam timun dengan durian, mengolek luka di golek luka”, menggambarkan yang lemah umpama mentimun dan yang kuat umpama durian yang berduri, mentimun mengolek pun luka di golek pun luka. Akhirnya mentimun juga yang menerima akibatnya.

Mati pipit kerana padi,

Mati semut kerana gula;

Panas setahun hujan sehari,

Telaga yang kering penuh semula. (Loo Mun, 1968: 23)

Peribahasa yang dapat dua rangkap peribahasa dikesan dalam pantun di atas,

“mati pipit kerana padi, mati semut kerana gula”, “panas setahun hujan sehari, telaga yang kering penuh semula” pesanan orang Melayu tradisi tentang kelemahan manusia sejagat berkaitan pujuk rayu boleh menyebabkan seseorang itu menjadi lemah. Manusia sering tertipu lantaran pujuk rayu seseorang. Panas setahun hujan sehari menerangkan seseorang yang melakukan kebaikan dalam masa setahun hilang kebaikannya disebabkan sekali melakukan keburukan. Nilai murni terdapat melalui peribahasa ciptaan Melayu lama sangat menitik berat serta memberi pengajaran kepada masyarakat agar

84

nila moral yang baik diamalkan dalam kehidupan seharian. jangan termakan pujuk rayu sebarang, jangan melakukan kejahatan walaupun sekali. tingginya pemikiran Melayu diterapkan hanya beberapa patah perkataan melalui peribahasa.

Masyarakat Melayu tradisi suatu ketika dahulu amat mementingkan penggunaan peribahasa dalam percakapan seharian. Hal demikian kerana pada mereka peribahasa merupakan bahasa halus serta indah digunakan. Selain itu, peribahasa juga melambangkan yang bahasa Melayu sarat dengan kiasan tetapi pada masa yang sama peribahasa turut menitikberatkan kesantunannya. Masyarakat Melayu tradisi sangat mementingkan nilai baik dalam kehidupan seharian, setiap gerak geri diperhatikan dengan mata hati agar tidak tersasar ke jalan keburukan. Nasihat dan peringatan diutamakan; pantun peribahasa di bawah menjelaskan;

Terbang pipit terbanglah helang, Mati seekor kena sambar;

Bintang di langit dapat dibilang,

Arang di mukanya tidak sedar. (Loo Mun, 1968: 25)

Peribahasa Melayu yang tertera dalam pantun di atas yang berbunyi, ”bintang di langit dapat dibilang, tidak sedar di mukanya arang” menjelaskan bahawa lazimya manusia cepat menyalahi kesilapan atau kelemahan orang lain, sementara kesilapan sendiri di depan mata tidak sedar. Ungkapan peribahasa boleh mengingatkan tentang nilai murni yang perlu ada bagi setiap individu supaya melihat kesilapan atau kelemahan diri sendiri sebelum melihat kesilapan dan kelemahan orang lain. Dengan itu pantun ini menyarankan setiap ndividu berusaha membaiki diri dahulu dengan mengamalkan nilai moral yang baik sebelum menegur orang lain. Falsafah orang Melayu lama melihat betapa nilai-nilai murni boleh ditunjulkan melalui bait-bait peribahasa. Bertepatan dengan

85

Teori Pengkaedahan Melayu gagasan Hashim Awang melalui pendekatan moral bahawa pantun sebagai objek alam berupaya memberi manfaat juga sebagai alat untuk memberi panduan hidup yang berguna kepada masyarakat.

Berikutnya pantun perbahasa berbunyi;

Adat di bawa mati,

Darah membawa berahi;

Cangkat sama didaki,

Lurah sama dituruni. (Loo Mun, 1968: 25)

Masyarakat Melayu tradisional mengamalkan budaya tolong menolong sesama mereka. Peribahasa yang terdapat dalam pantun tersebut, ”cangkat sama didaki, lurah sama dituruni”, menjelaskan bahawa biar sama-sama merasai kesusasahan dan kesenangan. Nilai moral yang boleh dikutip daripada pantun ini iaitu, perpaduan menjadi tunggak utama masyarakat dahulu untuk melahirkan sebuah masyarakat yang saling bantu membantu, tidak kira pada masa susah atau pun pada masa senang. Nilai-nilai murni ini diamalkan menjadikan masyarakat Melayu tradisi hidup dalam keadaan harmoni dan aman damai dalam suatu keluarga besar. Sistem gotong-royong yang diamalkan oleh masyarakat tradisi lebih kepada nilai-nilai murni untuk membantu antara mereka dalam pelbagai situasi. Keakraban terjalin dalam masyarakat seperti kata pepatah, ”hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah”. Ertinya banyak sama merasa, sedikit sama dikongsi. Sifat orang Melayu tradisional bermaufakat merupakan nilai moral yang dipegang dan dijadikan pedoman hidup bermasyarakat. Gotong royong, tolong menolong dalam masyarakat merupakan budaya turun temurun yang diamalkan. Besesuaian dengan pendekatan moral, pantun peribahasa di atas mengambarkan nilai moral yang sangat baik untuk dijadikan ikutan oleh masyarakat.

86 Kilat sabung silang menjilang,

Hendak memanah dewa dan mambang;

Harimau mati meninggalkan belang,

Gajah mati meninggalkan tulang. (Loo Mun, 1968:28)

Peribahasa ”harimau mati meninggalkan belang, gajah mati meninggalkan tulang”

bermaksud, manusia dituntut membuat kebaikan semasa hayatnya, melakukan kebaikan sesama insan menjadi amalan yang sangat baik malah dituntut oleh agama. Firman Allah SWT dalan Surah Al Hujuraat ayat ke 10 bermaksud; Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara kerana itu damaikanlah antara kedua suadaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat (Al Quran dan Terjemahan, 1971, 10: 846). Terdapat peribahasa yang lazim dilafazkan iaitu, ”harimau mati menginggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama, gajah mati meninggalkan tulang”. Setiap kebaikan yang dilakukan oleh seseorang akan diingati, dikenang sepanjang zaman waluapun dia sudah tiada di dunia ini. Nilai mengenang budi ditanam dalam sanubari masyarakat lama, yang baik diingat dan yang buruk usah dilakukan.

Nasihat yang terdapat dalam pantun peribahasa tersebut menyarankan kepada khalayak bahawa nilai murni seperti mengenang budi dan melakukan pekerjaan yang baik akan menjadi ingangatan sepanjang zaman oleh masyarakat. Usah melakukan perkara yang tidak baik dalam kehidupan kerana ianya juga akan menjadi percakapan khalayak walau pun kita sudah tiada di dunia ini. Sejajar dengan pendekatan moral bahawa sastera mampu menyingkap dan memberi pengalaman kepada manusia.

Pantun peribahasa seterunya;

Kalau masuk ke dalam liang,

Berjaga-jaga digigit anggara;

Besar pasak dari tiang,

Besar sendal dari pelegar. (Loo Mun, 1968: 42)

87

Peribahasa dalam pantun di atas, ”besar pasak dari tiang, besar sendal dari pelegar” bermaksud seseorang itu berbelanja lebih daripada kemampuan sebenarnya.

Peringatan yang amat berguna kepada khalayak agar ”mengukur baju di badan sendiri”, bermaksud keupayaan seseorang mempunyai had, jangan mengikut kelebihan orang lain kerana boleh membawa akibat buruk kepada diri sendiri. Nilai kemanusiaan terpancar melalui peribahasa di atas menunjukkan bahawa masyarakat Melayu tradisional begitu peka dalam pelbagai hal untuk membina sebuah bangsa yang harmoni dan berdisiplin.

Persoalan moral yang diterapkan melalui peribahasa menunjukkan bahawa jangan terikut-ikut rentak atau cara hidup orang lain, semestinya mengikut kemampuan diri sendiri. Suatu peringatan yang sangat berguna untuk diaplikasi dalam menempuh ranjau kehidupan dan juga sebagai pengajaran agar tidak melakukan dalam kehidupan seharian.

Hal ini amat bertepatan dengan Teori Pengkaedahan Melayu melalui pendekatan moral yang dibincangkan.

Orang Dayak orang Iban,

Datang ke Malaya jadi pengesan;

Kasihkan anak tangan tangankan,

Kasihkan isteri tinggal tinggalkan. (Loo Mun, 1968: 29)

”Kasihkan anak tangan tangankan, kasihkan isteri tinggal tinggalkan” merupakan peribahasa yang terdapat dalam pantun di atas. Peringatan yang cukup berguna melalui peribahasa tersebut agar jangan terlampau memberi manja kepada anak-anak.

Disebabkan terlalu menurut kehendak anak-anak tanpa batasan ianya akan merosakkan diri anak-anak itu sendiri. Biarlah manja bertempat mengikut nilai-nilai yang baik sahaja.

Begitu juga jangan kasihkan isteri tanpa had boleh memberi kesan buruk terhadap hubungan suami isteri. keburukan lebih terserlah daripada kebaikan. Oleh sebab itu

88

pesanan orang tua-tua mengatakan, ”buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali”, Mencurah kasih sayang terhadap anak isteri juga perlu ada batasan tertentu, jangan berlebih lebihan. Nilai moral yang tinggi diterapkan agar masyarakat mengambil ingatan supaya menjaga kerharmonian dalam membina keluarga bahagia. Nilai moral yang baik ditonjolkan melaui pantun dan peribahasa yang dianalisis menunjukkan bahawa masyarakat Melayu mempunyai budaya tinggi bagaimana bentuk untuk mengajar dan mendidik masyarakat dalam situasi tertentu khususnya alam rumah tangga. Nilai murni ditanam malah disemai untuk mewujudkan keharmonian berkeluarga yang menjadi asas kerukunan berkeluarga. Nilai-nilai moral terdapat dalam pantun di atas yang boleh memberi pengajaran dan pedoman hidup seseorang bila menempuh gerbang rumah tangga nanti.

Dewi Syahperi orang kayangan,

Menjelma sebagai puteri yang cantik;

Niat hati nak getah bayan,

Sudah bergetah burong serindit. (Loo Mun, 1968: 30)

Terdapat peribahasa yang ditemui dalam pantun di atas ”niat hati nak getah bayan, sudah bergetah burung serindit” bermaksud, lain yang dihajat, lain yang diperolehi.

Sudah menjadi resam dunia iaitu tidak semua yang diinginkan akan dapat dimiliki. Namun khalayak dianjurkan untuk sbersyukur apa yang dikurniakan oleh Allah SWT, diharap hal ini menjadi amalan bersama. Allah SWT berfirman dalam Suruh Ibrahim ayat 7 yang bermasud; ”Dan (ingatlah juga), takala Tuhanmu memaklumkan: ”Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat Ku), maka sesungguhnya azab Ku amat pedih” (Al Quran dan Terjemahan, 1971: 380). Peribahasa Melayu sejajar dengan kehendak suruhan agama Islam yang menyeru umatnya agar sentiasa bersyukur atas apa yang telah dikurniakan

89

kepadanya dan terus berusaha untuk mencapai cita-cita seterusnya. Hajat yang baik akan dimakbulkan oleh Allah SWT jika diniatkan ikhlas kerana Nya. Peringatan agar setiap hajat belum tentu diperolehi kadang-kadang yang dihajat tidak dapat yang kita hajati namun yang tidak dihajati pula diperolehi. Nilai murni yang terdapat melalui pendekatan moral dalam peribahasa tersebut menyingkap peranan sastera berupaya memberi pengajaran serta manfaat kepada manusia. Selain itu, seseorang perlu mentaati perintah Allah SWT dan bersedia menerima qada dan qadar yang ditentukan oleh Nya. Pantun peribahasa berikut membincang tentang masalah yang sukar diselesaikan.

Anak ikan dimakan ikan,

Anak udang putus kepala;

Hendak ditelan termengkelan,

Hendak diluahkan tidak keluar. (Loo Mun, 1968: 30)

Budaya masyarakat Melayu lama menggunakan peribahasa sebagai alat menyampaikan luahan rasa ketika seseorang itu menghadapi sesuatu masalah yang sangat sulit dalam keadaan serba salah. Peribahasa, ”hendak ditelah termengkelan, hendak diluah tidak keluar”, menjelaskan bahawa seperti juga peribahasa bermaksud sama, ’ditelan mati bapa, diluah mati emak’. Pertimbangan bijaksana perlu dilakukan bila sesuatu perkara terjadi yang memungkinkan keadaan serba salah untuk membuat keputusan. Orang Melayu dahulu menggunakan pandangan intelektual dan cara bertindak agar tidak berlaku seperti diungkapkan oleh ungkapan ”nasi sudah menjadi bubur”. Lantaran itu, nilai moral dalam peribahasa tersebut menunjukkan bahawa masyarakat tradisional mengambil kira semua situasi dalam apa keadaan untuk memberi pedoman dan pengajaran terhadap masyarakatnya. Jelas, Teori Pengkaedahan Melayu melalui pendekatan moral mempunyai nilai-nilai serta keunikkan tersendiri, berteras

90

secara langsung kepada cara atau sikap orang Melayu tradisional tentang hidup bermasyarakat.

Laksamana bentan panglima gagah, Menunjuk bukti bukanlah mudah;

Raja adil raja disembah,

Raja tak adil raja disanggah. (Loo Mun, 1968: 31)

Peribahasa dalam pantun berikut; ”raja adil raja disembah, raja tak adil raja disanggah”, bermaksud seseorang raja atau pemimpin disayangi oleh rakyat jelata apabila mentadbir dengan adil, tetapi apabila seseorang raja atau pemimpin melelakukan kezaliman kepada rakyat semestinya ditentang. Peringatan terhadap pemimpin supaya menjalankan tanggungjawab mengurus sebarang amanah agar berlaku adil kepada rakyat atau ahlinya. Sekiranya berlaku sebarang ketidakadilan dalam menjalankan tugasnya perlu diberi tentangan supaya kembali ke landasan yang betul. Orang Melayu menggunakan peribahasa untuk memberi ingatan kepada pemimpin yang mempunyai kuasa supaya berhati-hati semasa melaksanakan sesuatu perkara agar tidak melakukan kezaliman. Nilai budaya Melayu menyarankan sesuatu perkara melalui kata-kata yang sopan, halus dan terpuji melalui peribahasa. Umum mengetahui bahawa adat orang Melayu tidak menentang pemimpinya secara terang-terangan atau kekerasan sebaliknya secara halus. pantun ini menegur pemimpin secara bersopan. Kearifan orang Melayu turut ditonjolkan supaya tidak menyinggung perasaan orang lain. Nilai moral yang jelas dalam peribahasa tersebut membicara tentang keadilan sebagai seorang pemimpin, bertepatan dengan kehendak agama Islam sendiri yang pentingkan setiap lapisan masyarakat perlu bersikap adil dalam semua keadaan. Selain itu, keadilan menjadi tunggak dan merupakan nilai baik yang sangat memberi manfaat kepada semua makhluk Allah SWT. Pantun berikutnya berbunyi;

91

Jika tuan pergi ke Jambi,

Jangan lupa membawa golok;

Baiklah bawa rasmi padi,

Semakin berisi semakin tunduk. (Loo Mun, 1968: 10)

Pokok Padi

Secara keseluruhannya, peribahasa yang membawa maksud seseorang individu hendaklah mempunyai budi pekerti yang mulia dan merendah diri, jangan menjadi sombong dan bongkak walaupun mempunyai kedudukan yang tinggi, sama ada banyaknya wang ringgit, kekayaan, taraf pekerjaan atau darjat yang tinggi dan sebagainya. Peribahasa yang terdapat dalam pantun di atas berbunyi, “baiklah bawa rasmi padi, semakin berisi semakin tunduk”, gabungan peribahasa yang lain “mengikut resam padi semakin berisi semakin tunduk, jangan jadi resam lalang semakin tinggi semakin menegak”. Peringatan kepada khalayak agar “bila memandang bintang di langit, jangan lupa rumput di bumi”. Pengajaran moralnya supaya jangan lupa diri dari mana kita berasal. Hubungan sesama manusia perlu dijaga, juga peranan manusia sebagai makhluk Allah untuk berpegang kepada suruhan-Nya.

Hadis Nabi ada menyebut tentang orang yang berperangai sedemikian; “Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya terdapat kesombongan walau hanya sebesar zarah.” (Hadis Riwayat Muslim). Nilai moral menegaskan agar manusia menghindarkan diri daripada bersifat bongkak dan sombong, semestinya berbudi pekerti yang mulia dan memperlihatkan hubungan manusia dan manusia, juga tanggungjawab manusia kepada Allah SWT kerana sebagai manusia, Islam telah memberi pedoman dan

92

saranan supaya berpegang dengan nilai-nilai moral yang baik dalam kehidupan mereka.

Berasaskan pendekatan moral yang dibuat analisis terbukti nilai-nilai murni terdapat dalam peribahasa tersebut.

Pembayang pantun, Jambi sebagai sebuah tempat di Kepulauan Sumatera, cukup terkenal suatu ketika dahulu semasa permulaan kedatangan Islam di Nusantara, Jambi di antara pusat perdagangan dan penyebaran Islam yang terkenal.

Sementara golok pula adalah senjata berukuran lebih pendek daripada parang, menjadi senjata bagi setiap orang lelaki ketika itu. Hal ini, bertujuan untuk mempertahankan diri daripada musuh atau pelbagai kegunaan. Kemahiran atau kearifan orang Melayu membuat senjata cukup terbilang zaman lampau sehingga sekarang, terutama dari negeri Perak, Terengganu dan Kelantan. Senjata yang dikenali “golok Perak” memang terkenal hingga masa kini; ia digunakan sebagai alat menyembelih ternakan, memotong daging, meraut buluh, rotan dan kerja-kerja kraf tangan. Sesungguhnya, senjata seumpama golok amat penting dalam kehidupan masyarakat Melayu tradisi. Golok sebagai lambang

“kejantanan” seseorang anak muda pada zaman tersebut. Keseluruhan pantun peribahasa di atas memperlihatkan nilai baik yang boleh dijadikan pengajaran dan pedoman hidup, di samping kearifan orang Melayu tradisi mempunyai kebolehan dan

“kejantanan” seseorang anak muda pada zaman tersebut. Keseluruhan pantun peribahasa di atas memperlihatkan nilai baik yang boleh dijadikan pengajaran dan pedoman hidup, di samping kearifan orang Melayu tradisi mempunyai kebolehan dan