• Tidak ada hasil yang ditemukan

4.1 PENDAHULUAN

Peribahasa merupakan cerminan peradaban sekaligus melambangkan jati diri masyarakat Melayu. Peribahasa dapat dijadikan pegangan atau panduan di dalam kehidupan seseorang kerana banyak peribahasa mengandungi pengajaran yang tidak bercanggah dengan agama Islam. Sentiasa mengajar manusia untuk mencari dan menganjurkan kebenaran, kemuliaan dan menegakkan yang hak. Peribahasa Melayu dapat melahirkan pemikiran Melayu disampaikan secara halus dengan bahasa yang ringkas tetapi penuh dengan maksud membimbing, menjadi pegangan, fungsinya untuk mengajar supaya tidak tersasar daripada nilai-nilai moral yang baik dan memberi manfaat kepada masyarakat. Justeru itu, pantun peribahasa yang akan dianalisis ini tidak lari daripada menyentuh tentang pemikiran orang Melayu dan juga kearifan mereka memperlihatkan identiti budaya Melayu melalui falsafah, akal budi bangsa Melayu yang terserlah dalam peribahasa. Selain daripada bahasanya yang indah, objek alam dan metaforanya menjadi latar menunjukan kekuasaan Allah SWT sebagai pencipta yang maha berkuasa. Teori Pengkaedaan Melayu melalui pendekatan gunaan, sastera sebagai objek alam yang kejadiannya memberi manfaat kepada manusia dan penghidupannya.

Pendekatan moral dapat mengesan nilai-nilai kemelayuan, soal kepercayaan, kebudayaan dan cara hidup orang Melayu beragama, bermaruah dan memperlihatkan sastera sebagai sumber ilmu pengetahuan dan pengajaran.

123

DEFINISI PEMIKIRAN MELAYU DAN KEARIFAN TEMPATAN

Pemikiran Melayu1 disampaikan secara tersurat dan tersirat dalam peribahasa Melayu. Pemikiran dalam peribahasa Melayu turut menyerlahkan satu gambaran nilai sosial, nilai moral, dan fungsi adat dalam kehidupan bermasyarakat sekali gus menonjolkan falsafah bangsa Melayu yang ada kaitannya dengan metafizik, epistimologi, etika, logik, dan estetika hasil interaksi mereka terhadap alam benda, alam flora dan fauna yang ada di sekeliling mereka.

A-Faraqi melihat pemikiran atau falsafah sebagai; Ilmu pengetahuan tentang kealaman yang wujud dan bertujuan untuk menyelidik yang sebenarnya (2010: 392).

Pemikiran Melayu mengetengahkan konsep Melayu sebagai sebuah tamadun yang bertapak di Alam Melayu dan telah membina suatu tradisi pemikiran bertunjangkan budaya Melayu dan agama Islam. Hasilnya lahirlah pelbagai ragam ungkapan klasik yang memancarkan kehebatan dan kekreatifan pemikiran Melayu. Globalisasi merupakan agenda tajaan Barat yang berteraskan sains dan teknologi dan terpisah daripada institusi agama. Barat merancang apabila globalisasi melanda dunia, kesannya kepada dunia Melayu umat Melayu akan meminggirkan agama mereka kerana Melayu itu amat sinonim dengan Islam. Dalam soal jati diri Melayu, barangkali ada sesetengah individu terlupa bahawa umat Melayu sebenarnya memiliki suatu khazanah yang sudah semakin dipinggirkan iaitu tulisan jawi memainkan peranan penting dalam mengangkat martabat umat Melayu suatu ketika dahulu sebelum sistem tulisan rumi diperkenalkan. Segala maklumat, ilmu pengetahuan, hikayat dan surat-menyurat menggunakan tulisan jawi ketika itu hingga menjadikan umat Melayu tersohor di mata dunia.

124

Masyarakat Melayu tradisi kaya dengan falsafah dan ketajaman pemikiran yang dapat mentafsir sesuatu perkara hanya menggunakan beberapa rangkap pantun yang dituturkan. “Pantun memperlihatkan tiga aspek yang menjadi darah daging orang Melayu dalam budayanya iaitu yang pertama, aspek ketidaklangsungan dalam penyampaiannya makna sesuatu dan diberinya lapis-lapis makna yang sengaja dibayangkan. Orang Melayu begitu halus dalam memperkatakan sesuatu sehingga maksud yang sebenarnya dibayangkan dengan begitu indah sekali. Inilah yang dikatakan maksud pantun. Setiap maksud dirahsiakan melalui bayangan-bayangan yang amat indah sekali. Ada kerahsiaan di dalam budaya pantun itu sendiri” (Shahnon Ahmad, 2006: 310).

Pembayang pantun sudah menjadi kebiasaan orang Melayu mengaplikasikan pantun apabila hendak memberi pengajaran, teguran, nasihat dan sindiran. Selain itu, pantun yang popular berperanan sebagai wadah dan falsafah yang berguna kepada masyarakat. Pantun peribahasa disampaikan dalam bahasa yang indah, menarik, halus dan sedap didengar. Lazimya, orang Melayu menggunakan bahasa yang indah, kemas dan padat; ungkapan bahasa ini telah berkembang menjadi peribahasa. Ribuan peribahasa yang terdapat dalam masyarakat kita dicipta oleh ahli fikir, cendekiawan, para pemuka bangsa atau pujangga sesebuah masyarakat. Kemungkinan peribahasa itu dicipta oleh anggota masyarakat biasa amat tipis. Jika ada, ini mungkin secara kebetulan sahaja. Namun demikian, individu yang mencipta peribahasa itu mestilah seorang yang dihormati kerana kedudukannya dalam masyarakat atau kerana usianya. Orang-orang tua zaman dahulu sahaja telah lama merasai asam garam kehidupan, mempunyai banyak pantun peribahasa juga medan seharusnya boleh dipercayai. Kewibawaan dari segi penutur telah menghasilkan banyak kata-kata mutiara” (Afizah, Fatin, Nifawati, Khairunnisa, Shahidah, Sopianti dan Hazurah, 2003: 24).

125

Pengalaman dan pengetahuan merupakan salah satu wadah komunikasi masyarakat Melayu lama yang berupaya mengambarkan kehidupan sosial budaya dan cara hidup masyarakat zaman silam. Melalui peribahasa juga, khalayak dapat mengesan sikap masyarakat Melayu dan sistem kepercayaan yang berkembang dalam kalangan mereka. Justeru itu, pantun peribahasa digunakan dengan begitu meluas dalam masyarakat tradisi diwarisi dari zaman ke zaman. Pemikiran Melayu disampaikan secara tersurat dan tersirat melaluinya. Hal ini digambar seperti berikut;

Dalam rintangan pemikiran asas bangsa Melayu dan Nusantara, peribahasa dan pantunlah menjadi wadah terpenting. Melalui logika kebijaksanaan kolektif dan asosiasi. Puisi, baris-baris melukis jiwa bangsa itu, memberi suara kepada persoalan yang dihadapi secara bersambungan, untuk beberapa ratus kurun,malah ribuan dalam hal praktikal dan perasaan, jasmaniah dan rohaniah, yang akhirnya diterjemahkan ke dalam berbagai-bagai pendapat, nilai, undang-undang, kasih sayang serta berbagai-bagai jalur perasaan lainnya. Dalam hal ini, kita menemui sasterawan/pendita, dua tugas berlainan, tetapi digabungkan dengan cukup ilmiah (Rogayah A. Hamid, Jumaah Illias, 2006: 1)

Melalui pantun peribahasa Melayu juga, terpancar usaha bangsa Melayu mencari makna terhadap sesuatu perlakuan serta usaha mencapai tindakan dan keputusan yang sewajarnya dengan perlakuan tadi. Usaha ini dikatakan membentuk proses membina ilmu dan kefahaman yang melibatkan aktiviti mental dalam kognisi manusia yang seterusnya membangun pemikiran. Pemikiran dirujuk sesuatu yang difikirkan dan dicernakan dalam bentuk sesuatu idea, saranan atau konsep yang boleh sahaja dilakukan atau dilaksanakan, atau tidak dilaksanakan sehingga bangsa itu memiliki dan mewarisi hasil pemikiran itu. Justeru itu, peribahasa Melayu dapat membuktikan bahawa pemikiran orang Melayu lama mempunyai peranan yang besar dalam ciptaan mereka;

Peribahasa Melayu mempunyai kaitan yang rapat dengan kehidupan dan pemikiran bangsa Melayu. Sebagai salah satu daripada puisi tertua yang memaparkan akal budi bangsa Melayu, penciptaan peribahasa sangat terikat

126

dengan adat istiadat Melayu lama. Sejajar dengan itu, menerusi peribahasa dapat dikaji struktur sosial bangsa Melayu lama, sikap, aktiviti kehidupan serta falsafah hidup yang mereka anuti. Sementara, peribahasa Melayu yang telah dicipta berdasarkan pengalaman hidup turut memancarkan nilai dan hati budi orang Melayu. Perwatakan serta sifat-sifat orang Melayu juga dapat diketahui daripada peribahasa Melayu, (Wilkinson, 1907). Malah peribahasa berperanan sebagai hukum adat dan nasihat moral dalam mengawal tindak tanduk anggota masyarakatnya. Penciptaannya yang berdasarkan fenomena sebenar kehidupan masyarakat, (Hamilton, 1947) turut menyerlahkan pemikiran bangsa Melayu tentang alam kehidupan yang mereka tempuhi. Dalam peribahasa, terpancarnya hubungan antara bahasa dengan pemikiran bangsa Melayu. Cara bangsa Melayu memandang dunianya tersimpul dalam peribahasa yang dicipta mereka (Zaitul Azma Zainon Hamzah, Ahmad Fuad Mat Hassan, 2011: 32)

Falsafah yang mendasari pemikiran bangsa Melayu dahulu adalah terhasil melalui pengamatan, penghayatan terhadap agama, akal budi, adat dan budaya, serta alam kehidupan yang meliputi alam flora, alam fauna, alam benda serta alam sekeliling yang melatari kehidupan mereka. Sementara itu, penghayatan terhadap agama Islam oleh bangsa Melayu telah turut mempengaruhi pemikiran Melayu dalam penciptaan peribahasa. Hal ini berlaku semenjak bangsa Melayu memeluk agama Islam, sejak terjadinya titik pertemuan dan perpaduan antara ajaran Islam dengan adat serta sistem nilai dan norma hidup dalam kebudayaan Melayu yang mendorong lahirnya kesepakatan dalam kehidupan dapat memahami unsur pengetahuan daripada ketentuan-ketentuan pada hukum alam lalu diungkapkan dalam peribahasa (Zaitul Azma Zainon Hamzah, Ahmad Fuad Mat Hassan, 2011: 34-35). Istilah falsafah dijelaskan seperti berikut;

Istilah “falsafah” yang masuk ke dalam tradisi perilmuan tempatan banyak disangkakan peringkat awalnya datang dari bahasa Arab, meskipun ada tanda-tanda ia di bawa oleh kesan kehadiran Islam tetapi sebenarnya berasal dari Eropah. Sebelum kedatangan Islam, orang Arab sendiri tidak mempunyai falsafah, walaupun mereka mempunyai hikmah dan hukama yang berarti bijaksana dan ahli bijak pandai. Sebenarnya ia merupakan suatu bentuk ilmu pengtahuan yang diciptakan oleh orang Yunani dahulu kala. Hal ini dibicarakan dengan panjang lebar oleh Said al- Andalusia pada abad ke 10 melalui bukunya yang dikenali di dunia Barat sebagai “Classes of the Nation”. Dalam bahasa Arab falsafah berubah sedikit bunyinya menjadi “falsafat”. Istilah ini kemudiannya di sebut “filsafat” oleh orang Indonesia (Mana Sikana, 1996: 3).

127

Falsafah Pantun cukup jelas bila diselami melalui pembayang yang diucapkan yang lebih jelas lagi indah hati nurani orang Melayu yang diungkapkan melalui baris maksudnya. Pemikiran dan nilai falsafah yang terdapat dalam pantun Melayu, kadang kala memerlukan ketinggian akal bagi meahami maksud yang tersurat dan tersirat yang disarankan di dalamya. Ketajaman pemikiran orang Melayu dijelmakan daripada bait-bait pantun dan disimpulkan secara gabungan pembayang dan maksud samada ianya berbentuk nasihat, mengajar, sindiran, ingatan atau seribu macam maksud yang dapat mendidik masyarakat ke arah kemulian hati, berbudi bahasa, ketinggian ilmu dan pelbagai bidang dalam kehidupan bermasyarakat. Falsafah dalam Islam dibicarakan sebagai ibu ilmu pengetahuan berpaksikan Al Quran dan Sunah;

Dalam Islam falsafah dikenali sebagai ibu kepada ilmu pengetahuan. Mempelajari ilmu falsafah berpandukan Al-Quran membolehkan cendekiawan Islam membahas dan mencabar teori terdahulu secara terkawal antara cendekiawan Islam yang menguasai falsafah Greek ialah Al Kindi (sekitar 800-870 Masihi) yang mahir dalam teori Plato dan Al Farabi (870-950 Masihi) yang menguasai teori Aristotle (Ros Mahawati Ahmad Zakaria, Utusan Malaysia:18 Februari 2011)

Kearifan tempatan2 merupakan pengetahuan yang muncul dalam masa dan ruang yang panjang. Evolusi ini berlaku bersama dengan masyarakat dan lingkungannya dalam sistem tempatan yang dialami. Proses evolusi yang bagitu panjang dan menjadi darah daging dalam masyarakat dapat dijadikan kearifan tempatan sebagai sumber pengetahuan dalam kehidupan seharian. Kearifan tempatan bukan sekadar tingkah laku masyarakat tetapi lebih jauh daripada itu, mampu mewarnai seluruh kehidupan masyarakat yang penuh peradaban merangkumi nilai-nilai yang diyakini, juga sebagai acuan dalam menilai ketamadunan sesebuah bangsa. Hal ini, diserlahkan kerana kearifan tempatan yang terkandung di dalamnya berisi unsur kecerdasan kreativiti dan pengtahuan tempatan yang amat berguna dan diikuti khusus dalam konteks pembangunan

128

masyarakatnya. Secara langsung, kearifan tempatan boleh diertikan sebagai nilai–nilai budaya yang baik yang ada dalam sesuatu masyarakat. Sebagai contoh beberapa pantun diperturunkan yang terpancar pemikiran orang Melayu dan kearifan tempatan yang disalurkan melalui bait-bait pantun namun perlu dikupas secara halusi dan terperinci. Oleh sebab pantun mempunyai dua lapis makna, perlu disingkap dan di dalami keakar umbi.

Tambahan pula nilai falsafahnya sarat dengan pengajaran serta pedoman hidup oleh khalayak. Sebagai contoh beberapa pantun peribahasa diperturunkan yang mempunyai nilai falsafah dan kearifan orang Melayu tradisional berasaskan Teori Pengkaedahan Melayu berdasarkan cara dan sikap hidup, kepercayaan dan kebudayaan masyarakat setempat yang melahirkan sasteranya sendiri ;

Pohon keduduk tepi perigi,

Belum berbunga sudah ditebang;

Belum disuruh sudah pergi,

Belum dipanggil sudah datang. (Loo Mun, 1968: 11)

Bunga Keduduk atau Senduduk

Peribahasa yang terungkap dalam pantun “belum disuruh sudah pergi, belum dipanggil sudah datang”, bermaksud seseorang yang mempunyai daya pemikiran yang tinggi, arif dan rajin dapat membuat sesuatu keputusan dengan tepat tanpa perlu diberi

129

ingatan. Sebagai contoh seseorang yang bertanggungjawab dalam melaksanakan sesuatu tugasan, memahami ketikanya sesuatu tugas itu perlu dilaksanakan. Inilah pemikiran atau falsafah yang terkandung dalam pantun di atas, Gambaran tentang kebijaksanaan orang Melayu dahulu menggunakan peribahasa bagi menyanjungi sifat yang terpuji. Dalam baris pembayang berikut, pohon keduduk atau senduduk selalunya berada di tepi perigi. Pohon senduduk mudah tumbuh di kampung-kampung tradisi dan di belukar, juga di tepi pantai, buahnya berwarna ungu menjadi kegemaran kanak-kanak masa dahulu memakannya. Pada masa kini senduduk tidak lagi dikenali oleh generasi muda kerana pohon ini sudah jarang didapati. Masyarakat Melayu dahulu terutama kanak-kanak sering kali mengemari buah-buah tradisi seperti keriang, keriang dot, jambu keling, setol, mempelam bemban, bacang, remia, kerekup, kerkaip, rembia, kemunting, jentik, rambai yang menjadi kegemaran kanak-kanak dahulu. Teori Pengkaedahan Melayu melalui pendekatan gunaan dapat memperlihatkan tentang kebijaksanaan Orang Melayu tradisional melihat sesuatu perkara hanya menggunakan peribahasa secara ringkas dan penuh dengan masej yang mendalam.

Pantun berikutnya ialah tentang sebuah peribahasa yang masih digunakan maknanya sentiasa sesuai dan bersifat sejagat.

Hari-hari pergi ke bendang,

Bawalah tajak dengan cangkul;

Berapalah berat mata memandang,

Berat lagi bahu memikul. (Loo Mun, 1968:12)

130

Sawah Padi

Peribahasa berikut melalui pantun di atas, “berapalah berat mata memandang, berat lagi bahu memikul”. Pengertian pantun peribahasa tersebut, secara keseluruhannya menyatakan tentang seseorang yang menghadapi kesulitan atau musibah dalam kehidupan lebih memahami situasi yang dihadapinya berbanding orang yang melihatnya sahaja. Islam juga memberi panduan ketika menghadapi sebarang kesusahan manusia diajak kembali kepada peringatan Nabi Muhammad SAW yang diterangkan melalui hadisnya; “Dan jika sesuatu kesusahan mengenaimu janganlah engkau berkata: jika aku telah berbuat begini dan begitu, begini dan begitulah jadinya. Melainkan hendakalah kamu katakan: Allah SWT telah mentakdirkan dan apayang ia suka, ia perbuat “Kerana sesungguhnya perkataan: andaikata itu memberi peluang pada syaitan” (Hadis Riwayat Muslim) .

Pembayang pantun yang menyerlahkan lagi tentang kearifan tempatan.

Masyarakat Melayu lama mengerjakan sawah sebagai punca pendapatan utama. Oleh itu, setiap hari mereka pergi ke bendang sebagaimana kelaziman sebagai masyarakat tani. Tajak ialah alat untuk menajak rumput di dalam sawah dan di tepi batas bendang.

Cangkul pula diguna untuk merata tanah dan ‘mengandam’ atau meluruskan batas bendang supaya rumput rumpai tidak tumbuh liar dan menganggu anak padi di tepi batas.

Justeru itu, alatan bagi mengerjakan bendang seperti tajak dan cangkul menjadi suatu

131

kemastian bagi orang Melayu tradisi. Kepandaian dan kemahiran membuat cangkul dan tajak dan alatan besi lain sudah sinonim dengan masyarakat tradisi. Malahan peralatan itu dibuat sendiri oleh orang Melayu dengan kearifan mereka bertukang besi menempa dan mencanai besi untuk membentuk cangkul dan tajak. Teknologi besi sudah terdapat dalam masyarakat Melayu lama.

Zaman dahulu mengerjakan sawah padi memerlukan kerbau atau lembu digandingkan dengan tenaga manusia kerana tiada jentera pembajak, mesin padi dan segala teknologi seperti masa kini. Masa berkerja di sawah memakan masa berbulan-bulan. Hal ini disebabkan kerja-kerja membajak menggunakan kudrat kerbau atau lembu.

Masyarakat petani di utara berkebolehan mengajar kerbau atau lembu supaya dapat menurut kata dengan menggunakan bahasa-bahasa tertentu, sebagai contoh;

‘Ha’ih’, menyuruh kerbau berjalan, ‘chah’ menyuruh kerbau ke arah kanan, ‘sok’

menyuruh kerbau ke arah kiri, ‘diam’, menyuruh kerbau berhenti, ‘serot’, menyuruh kerbau undur kebelakang, “paling chah”, menyuruh kerbau pusing ke kanan, ‘paling sok’

menyuruh kerbau pusing ke kiri. Kebolehan masyarakat Melayu lama berkomunikasi dengan kerbau atau lembu amat istimewa dan cukup mengkagumkan. Hubungan manusia dan haiwan terserlah sejak sekian lama dalam masyarakat pesawah.

‘Piama bendang’ atau musim di negeri Kedah mengalami dua musim, musim hujan dan musim panas atau kemarau. Musim hujan bermula dari bulan empat hingga bulan sebelas masihi, sementara musim kemarau bermula dari bulan sebelas hingga bulan empat. Musim hujan musim menanam padi, musim kemarau pula musim memotong padi. Padi ditanam hanya setahun sekali. Alat-alat tradisional3 digunakan untuk mengerjakan sawah untuk membajak petani mengunakan tenggala yang diperbuat

132

daripada kayu bonggor, halban, cengal, beruas dan sebagainya. Selepas menggala, sisir digunakan untuk mengalih tanah bendang sebelum menabur benih padi. Sisir terdiri darpipada dua jenis kayu dan besi. Mata sisir kayu diperbuat daripada batang pinang atau nibong kerana lebih tahan lama walaupun berada dalam air. Sementara sisir besi, matanya diperbuat daripada besi, kecuali pemegangnya daripada kayu. Penyisir kapar matanya daripada batang nibung atau pinang digunakan untuk merata tanah selepas ditenggala dan disisir atau lebih dikenali sebagai ‘pelumat’. Akhir sekali Tenggiling yang diperbuat daripada batang kayu yang dipotong mengikut keperluan. Terdapat dua jenis,

‘Tenggling Belangkas’ dan ‘Tenggiling Belimbing’ ditarik oleh kerbau atau lembu untuk kerja-kerja akhir merata setiap petak bendang bagi melembutkan tanah memudahkan untuk menanam benih padi. Masyarakat Melayu tradisi menanam padi secara bergotong royong, saling bergilir-gilir antara satu sama lain. Semangat berkerjasama dan bantu membantu menjadi ‘darah daging’ ketika itu. Jenis padi yang popular ketika itu, seperti Mayang Emas, Padi Sesat, Pulut Gantong Alu, Malinja, Mahsuri, Radin Goi, Mayang Ebor, Tangkai Rotan memakan masa enam bulan untuk mendapkan hasil (Penanaman Padi Secara Tradisional di kedah).

Kearifan masyarakat tradisi dengan ilmu yang tinggi dapat mencipta alatan membajak sawah menunjukkan mereka berdaya kreatif dan sentiasa inovatif untuk memudahkan kerja-kerja di sawah padi. Keistimewaan pantun peribahasa di atas memperlihatkan budaya orang Melayu lama dengan ketajamannya dapat menyampai dan melahirkan peribahasa dengan menggunakan objek yang ada pada manusia sebagai alat dan pembayang pantun menggunakan objek alam sekeliling sebagai penyampai maksud.

Ilmu pengetahuan orang Melayu tradisional memang hebat dalam membicara pantun di atas, jelas apabila dikaitkan pantun tersebut dengan pendekatan gunaan pelbagai pengetahuan, panduan, nasihat dan dapat menyelami pemikiran tertentu yang dapat

133

memberi bahan renungan kepada manusia. Pantun ini bertepatan dengan pendekatan gunaan apabila dibuat analisis.

Pantun berikut pula merujuk percakapan atau pertuturan seseorang yang dianggap lebih tajam daripada pisau atau parang. Sesungguhnya, seperti kata pepatah Melayu, “kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa”. Kerana mulut seseorang boleh menyebabkan berlaku fitnah dan kerana mulut juga boleh menyebabkan salah faham di antara kita. Pantun berikutnya menyatakan orang Melayu zaman lampau memang pandai mengarang.

Kalau tuan pandai mengarang,

Karangkan kami pantun seloka;

Berapalah tajam pisau parang,

Tajamlah lagi mulut manusia. (Loo Mun, 1968: 12)

Peribahasa yang tertara dalam pantun di atas, “berapalah tajam pisau parang, tajamlah lagi mulut manausia”, peribahasa yang bermaksud mulut atau lidah manusia lebih tajam daripada pisau atau parang. Falsafah yang terdapat dalam pantun tersebut memberi ingatan supaya setiap orang menjaga mulut daripada bertutur perkara yang tidak baik kerana seperti kata pepatah Melayu “kerana mulut badan binasa”. Lantaran itu, mulut diibarat lebih tajam daripada pisau atau parang. Allah SWT berfirman;

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan Katakanlah perkataan yang benar, Niscaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. dan barang siapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, Maka Sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar” (Al Qur’an dan Terjemahan, Surah al Ahzab : 70-71: 6

134

Rasulullah SAW adalah contoh dan ikutan yang terbaik. Baginda SAW sendiri pernah melarang orang Islam mencela dan mencaci kaum musyrikin yang terbunuh dalam peperangan Badar sebagaimana sabdanya bermaksud;

“Sesiapa yang banyak bercakap banyaklah kesalahannya, sesiapa yang banyak kesalahan banyaklah dosanya, api nerakalah yang layak untuk dirinya.” (Hadis riwayat Baihaqi). Sebuah hadis lagi yang disabdakan oleh Rasulullah SAW yang menegaskan tentang bahayanya mulut jika tidak dijaga dengan sebaiknya.

“Tidaklah dihumban muka manusia ke dalam neraka itu sebagai hasil tuaian buruk lidahnya” (Hadis Riwayat At-Tarmizi).

Semestinya setiap makhluk Allah perlu menjaga tutur kata, lidahnya bercakap perkataan yang baik-baik supaya tidak menyebabkan diri berdosa dan tergelincir daripada kehendak Allah dan syariat Rasul SAW.

Pembayang pantun menunjukkan orang Melayu tradisional mempunyai bakat mengarang dalam menghasilkan karya-karya sastera dan ilmu pengetahuan. Sebagai contoh, hasil karya kesusasteraan lama dikumpul dan dibukukan untuk menjadi warisan bangsa. Di samping karya-karya lama yang tidak mempunyai nama pengarangnya.

Kehebatan orang Melayu dahulu berkarya menjadikan bangsa Melayu meninggalkan warisan yang amat berharga buat generasi masa kini. Pantun yang akan dibincangkan merujuk tentang sifat buruk manusia yang selalu ditemui dalam kalangan masyarakat sejagat. Memperlihatkan melalui sastera berupaya memberi tunjuk ajar yang berguna dan menyerlah pemikiran orang Melayu mendidik bangsanya, selain dapat mengesan bahawa orang Melayu tradisional mempunyai kemahiran sebagai pengarang yang hebat.

Pendekatan gunaan yang sangat memberi manfaat kepada manusia terserlah dalam pantun tersebut.

135 Di kiri bukit di kanan bukit,

135 Di kiri bukit di kanan bukit,