AKTIVITI KEMENTERIAN/JABATAN DAN KAJIAN KHAS
PENGURUSAN PROGRAM LATIHAN INSTITUT TEKNIKAL DAN PERDAGANGAN 33. LATAR BELAKANG
B) Bahagian Teknikal (Sijil)
5. Pendawaian Elektrik 6 Bulan 2 6. Kimpalan Dan Fabrikasi Logam 6 Bulan 2 7. Penyejukbekuan Dan Penyamanan Udara 6 Bulan 2 8. Mekanikal Kenderaan Perdagangan 6 Bulan 2 9. Mekanikal Kenderaan Motor 6 Bulan 2
Sumber : Rekod Jabatan Pembangunan Sumber Manusia dan Institut
Jabatan turut menetapkan objektif terhadap kursus Bahagian Perdagangan dan Teknikal. Objektif kursus Bahagian Perdagangan adalah untuk memberikan dorongan dan latihan asas perniagaan kepada kaum bumiputera terutamanya para belia dari luar bandar agar mereka dapat menceburi diri dalam bidang perniagaan dan perusahaan serta melatih mereka untuk bekerja sendiri. Manakala objektif kursus Bahagian Teknikal pula adalah untuk memberikan kemahiran di kalangan belia luar bandar dan menggalakkan mereka menceburi pekerjaan kolar biru serta melatih mereka untuk bekerja sendiri.
a) Pemilihan Jenis Kursus
Pemilihan jenis kursus yang akan ditawarkan seperti mana yang dinyatakan di atas adalah berdasarkan salah satu daripada fungsi yang telah ditetapkan oleh Ketua Menteri kepada Jabatan. Pada awal penubuhannya, Jabatan perlu menganjurkan kursus/latihan perniagaan kecil-kecilan, keusahawanan dan kemahiran teknikal kepada belia lepasan persekolahan, kakitangan syarikat swasta, usahawan perniagaan kecil dan sebagainya. Jenis kursus yang akan dianjurkan juga merupakan hasil kesinambungan program latihan yang dianjurkan oleh Institut di bawah Jabatan Perindustrian sebelum diambil alih oleh Jabatan.
b) Pengiktirafan
Institut merancang mendapatkan pengiktirafan sebagai Pusat Bertauliah daripada Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) dan memperolehi Persijilan Kemahiran Malaysia (SKM) terhadap kesemua kursus/latihan yang dianjurkan. Untuk itu Institut merancang memperolehi SKM terhadap kursus yang dianjurkan secara berperingkat. Di awal perancangan, satu kursus iaitu kursus Juru Kecantikan dan Pendandan Rambut (SKM Tahap 1) sahaja akan dipohon untuk mendapatkan pengiktirafan persijilan SKM. Ini akan disusuli dengan 5 kursus teknikal semasa RMK8 dan 1 kursus pengurusan perniagaan kecil semasa RMK9.
Institut hanya merancang mendapatkan pengiktirafan persijilan SKM pada tahap 1 dan 2 sahaja. Sehubungan itu, Institut perlu memenuhi beberapa kriteria MLVK sebelum boleh mendapatkan pengiktirafan persijilan SKM terhadap kursus yang dianjurkan oleh Institut. Antara kriteria tersebut ialah sistem latihan dan penilaian serta kemudahan fizikal pembelajaran mengikut Standard Kemahiran Kebangsaan (National Occupational Skill Standard), tenaga pengajar yang berkelayakan dan berkemahiran dan mempunyai Pegawai Penilai dan Pegawai Pengesah Dalaman yang bertauliah.
36.1.6 Kaedah Pembelajaran
Institut merancang melaksanakan program latihan secara pembelajaran teori (kelas), pembelajaran secara amali (praktikal) dan latihan industri on the job training. Setiap jenis kaedah pembelajaran ini akan ditentukan jumlah jam/hari yang diperlukan. Pembelajaran secara latihan industri akan ditetapkan selama 460 jam manakala bakinya adalah jumlah jam yang diperuntukkan menerusi pembelajaran secara teori dan amali. Bagaimanapun, jumlah jam menerusi pembelajaran secara teori dan amali ini adalah bergantung kepada tempoh tamat setiap kursus. Bagaimanapun, kaedah pembelajaran ini akan lebih menjurus kepada keterampilan pelatih dalam bidang kemahiran seperti mana yang dikehendaki oleh MLVK.
Institut turut merancang menggubal kurikulum/sukatan pelajaran dan sistem penilaian mengikut Standard Kemahiran Kebangsaan seperti berikut :-
a) Kurikulum/Sukatan Pelajaran
Selaras dengan rancangan Institut untuk menjadi Pusat Bertauliah daripada MLVK, Institut akan mengubahsuai skop dan isi kandungan sukatan pelajaran yang sedia ada mengikut kesesuaian kurikulum dan sukatan pelajaran program latihan MLVK (dikenali sebagai panduan latihan teknikal). Tujuannya adalah untuk menggantikan kurikulum dan sukatan pelajaran yang dibangunkan bersama dengan International
Development Programme of Australian Universities and Colleges (IDP) iaitu
berteraskan kurikulum dan sukatan pelajaran universiti dan kolej di Australia. Mata pelajaran tambahan juga akan turut dikekalkan seperti Bahasa Inggeris, Simpan Kira, Asas Komputer dan sebagainya. Ia bertujuan melengkapkan pengetahuan pelajar mengikut keperluan masa kini. Rancangan pengubahsuaian kurikulum/sukatan pelajaran ini atau pun panduan latihan teknikal Training Learning
Guide terhadap 5 kursus teknikal adalah di bawah RMK8 manakala di bawah
RMK9 pula, satu kursus dirancang untuk diadaptasikan mengikut piawaian MLVK.
b) Sistem Penilaian Pelatih
Institut merancang untuk mewujudkan sistem penilaian pelatih mengikut piawaian MLVK. Sistem penilaian tersebut akan dibahagikan kepada 2 bentuk penilaian iaitu penilaian prestasi dan penilaian pengetahuan. Penilaian prestasi akan dilaksanakan menerusi pemerhatian secara langsung di tempat kerja, ujian
141
keterampilan, ujian kefasihan dan projek/kerja kursus. Manakala penilaian pengetahuan ialah menerusi ujian lisan, ujian bertulis secara terbuka dan ujian berbagai pilihan. Bagi tujuan menjamin mutu persijilan ini, Institut akan mewujudkan atau melantik Pegawai Penilai dan Pegawai Pengesah Dalaman manakala MLVK pula akan melantik Pegawai Pengesah Luaran bagi tujuan menjalankan pemantauan dan memastikan kursus/latihan dijalankan mengikut Standard Kemahiran Kebangsaan.
36.1.7 Keperluan Guna Tenaga Dan Latihan
Keperluan perjawatan bagi tenaga pengajar juga dirancang dan ditetapkan bagi tujuan memastikan setiap program latihan di Institut dapat dijalankan dengan teratur. Bagi maksud tersebut, Institut memerlukan 29 jawatan jurulatih iaitu di bawah skim Perkhidmatan Penolong Pegawai Latihan Gred E32 sebanyak 3 jawatan, Penolong Pegawai Latihan Gred E27 sebanyak 14 jawatan manakala Pembantu Pegawai Latihan Vokasional Gred J29 dan Pembantu Pegawai Latihan Vokasional Gred J17 masing-masing sebanyak 6 jawatan.
a) Kriteria/Kelayakan Tenaga Pengajar
Kriteria dan kelayakan akademik tenaga pengajar ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah iaitu berdasarkan Skim Perkhidmatan masing-masing. Calon yang ingin memohon jawatan tenaga pengajar sekurang-kurangnya mempunyai atau memiliki kelulusan akademik Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap 2. Antara kriteria lain yang diperlukan adalah seperti berikut:
i) Warganegara Malaysia.
ii) Umur tidak kurang dari 18 tahun pada tarikh tutup iklan jawatan. iii) Kebolehan/Keupayaan Bahasa Malaysia/Bahasa Melayu.
iv) Pengalaman pekerjaan yang berkaitan jika memohon jawatan Pembantu
Pegawai Latihan.
Bagi maksud pengambilan tenaga pengajar sambilan pula, kriteria dan kelayakan adalah ditetapkan oleh Jabatan iaitu sekurang-kurangnya memiliki kelulusan Diploma yang berkaitan dengan kursus/latihan yang dianjurkan. Manakala kriteria kelayakan bagi jawatan Pegawai Pengesah Dalaman yang menjalankan tugas penilaian kepada pelatih kursus pula adalah sekurang-kurangnya memiliki Ijazah Kejuruteraan Awam.
b) Tatacara Pengambilan Tenaga Pengajar
Jabatan akan memaklumkan kekosongan jawatan tenaga pengajar kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri untuk tindakan pengisian. Antara maklumat yang dinyatakan adalah jumlah dan tarikh kekosongan mengikut jenis jawatan, jumlah calon simpanan, kelayakan atau syarat dan justifikasi keperluan sekiranya skim perkhidmatan yang sedia ada adalah berbeza. Kekosongan
jawatan akan diiklankan melalui surat khabar tempatan dengan tarikh tutup permohonan ditetapkan. Temu duga akan dijalankan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri.
36.1.8 Keperluan Kemudahan, Peralatan Dan Logistik
Institut bertanggungjawab merangka keperluan dan menyediakan kemudahan fizikal dan pembelajaran kepada pelatih yang mengikuti kursus/latihan kemahiran di Institut. Kemudahan yang dirancang adalah seperti berikut:
a) Bangunan Institut
Mengikut Pelan Pembangunan Induk, Institut akan mempunyai 7 blok kembar asrama, tiga blok kembar bilik kuliah, satu blok dewan makan, empat blok rumah pegawai, lapan blok rumah pekerja, empat blok (8 unit) bengkel, satu blok pejabat, satu blok kantin, satu unit rumah Pengetua, satu unit kemudahan sukan, satu blok dewan serba guna dan surau. Kos pembinaan bangunan Institut ini dijangka berjumlah RM22.60 juta manakala jangkaan kapasiti bangunan akan dapat menampung seramai 600 orang pelatih.
b) Kemudahan Logistik Dan Peralatan Pembelajaran
Antara kemudahan logistik yang dirancang adalah seperti berikut:
i) Kenderaan
Kemudahan pengangkutan yang dirancang dan diperlukan adalah bertujuan membawa pelatih semasa menjalani latihan praktikal di luar kampus selain mengadakan aktiviti rekreasi di luar Institut. Bagi maksud tersebut, Institut memerlukan 2 kenderaan iaitu sebuah van dan sebuah bas dengan muatan 44 penumpang.
ii) Peralatan Pembelajaran
Jabatan merancang untuk menaik taraf kemudahan peralatan pembelajaran selaras dengan piawaian MLVK. Tujuannya adalah supaya Institut mendapatkan pengiktirafan sebagai Pusat Bertauliah daripada MLVK terhadap program latihan yang dianjurkan. Ia juga bersesuaian dengan rancangan pembinaan bengkel baru. Peralatan pembelajaran ini akan ditempatkan di bengkel tersebut bagi kursus/latihan teknikal, pendawaian elektrik, penyejukbekuan dan penghawa dingin, kimpalan dan kenderaan automotif.
iii) Kemudahan Pembelajaran Lain Secara Percuma
Pelatih yang mengikuti kursus/latihan di Institut ini akan hanya dikenakan bayaran pendaftaran sejumlah RM60 seorang. Bayaran ini adalah untuk kos pendaftaran dan pembiayaan aktiviti rekreasi pelatih semasa menjalani kursus/latihan. Bagaimanapun, Jabatan ada merancang untuk memberikan wang saku/elaun bulanan sejumlah RM40 setiap pelatih dan menyediakan
143
kemudahan secara percuma seperti pakaian seragam, makanan dan bantuan buku teks. Pelatih juga akan dilindungi dengan kemudahan skim insurans kemalangan atas pembiayaan Jabatan sepanjang tempoh menjalani kursus/latihan di Institut ini.
36.1.9 Keperluan Kewangan
Cadangan dan keperluan kewangan bersama justifikasi keperluan akan dikemukakan kepada Kementerian Pembangunan Sumber Manusia dan Teknologi Maklumat untuk dipanjangkan kepada Kementerian Kewangan bagi tujuan kelulusan bajet tahunan. Pada tahun 2002 hingga 2004, anggaran perbelanjaan mengurus ialah masing-masing berjumlah RM1.13 juta, RM1.14 juta dan RM1.71 juta. Manakala di bawah RMK8, sejumlah RM9.97 juta telah diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan bagi tujuan menaik taraf Institut, pembinaan kemudahan bangunan dan bengkel, pembelian peralatan dan penyediaan Kursus Modul Khas dengan hasrat menjadikan Institut sebagai Pusat Bertauliah daripada MLVK.
36.1.10 Kaedah Pemantauan
Jabatan merancang mewujudkan Jawatankuasa Hal Ehwal Akademik bagi tujuan mengawasi hal ehwal pelajar dan akademik Institut. Jawatankuasa ini akan bermesyuarat sebanyak 2 kali setahun. Jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh Pengarah Jabatan Pembangunan Sumber Manusia dan akan dianggotai oleh Ketua Institut, Ketua Kampus dan 6 pegawai lain yang dilantik. Manakala Jawatankuasa Pemilihan Calon akan diwujudkan untuk tujuan memilih calon yang layak ditawarkan untuk menjalani kursus/latihan di Institut. Jawatankuasa ini akan bermesyuarat 2 kali setahun dan akan dipengerusikan oleh Pengarah Jabatan Pembangunan Sumber Manusia dan Ahli lain terdiri daripada Timbalan Pengarah dan Ketua Penemu duga bagi setiap zon kawasan.
Pada pandangan Audit, Jabatan/Institut secara amnya mempunyai perancangan yang baik untuk menyediakan program latihan kemahiran kepada para belia bertaraf bumiputera di Negeri Sabah. Tujuannya adalah untuk melahirkan guna tenaga mahir dan separa mahir yang berkualiti selain dapat memenuhi keperluan tenaga kerja terhadap pembangunan industri di Negeri Sabah.
36.2 PELAKSANAAN
Bagi tujuan mencapai objektif Institut ini, setiap aktiviti yang dirancang hendaklah dilaksanakan secara cekap, berkesan dan ekonomik.
36.2.1 Undang-undang Dan Peraturan
Pada tahun 1988, penubuhan Jabatan/Institut telah mendapat persetujuan oleh Ketua Menteri menerusi Pekeliling Jabatan Ketua Menteri cc.107/439 Jilid 2/(2) yang berkuat kuasa pada 1 Julai 1988. Antara kandungan pekeliling tersebut adalah menetapkan
fungsi Jabatan untuk mengurus dan mengelola kursus/latihan mengenai perniagaan kecilan, keusahawanan dan kemahiran teknikal untuk belia lepasan persekolahan, kakitangan firma swasta, pengusaha perniagaan kecilan dan lain-lain. Ini secara langsung merupakan mandat dan arahan Ketua Menteri yang perlu dilaksanakan oleh Jabatan/Institut. Semakan Audit terhadap pengelolaan kursus/latihan di Institut menunjukkan kursus/latihan yang dilaksanakan adalah sejajar dengan ketetapan pada pekeliling tersebut.
Pada pendapat Audit, Jabatan/Institut telah melaksanakan dan mematuhi arahan Jabatan Ketua Menteri tersebut.
36.2.2 Garis Panduan
Garis panduan merupakan antara elemen yang penting bagi menjamin pengurusan dan objektif program latihan dapat dilaksanakan dengan cekap dan berkesan. Garis panduan ini adalah bertujuan sebagai panduan mengenai kriteria dan tatacara pengambilan pelatih sejajar dengan matlamat Institut. Jabatan juga telah mendapat pentauliahan MS ISO 9002:1994 terhadap pengendalian latihan dan perkhidmatan pekerjaan. Manakala pelaksanaan dan pematuhan garis panduan mengenai pengambilan pelatih kursus yang telah disediakan oleh Jabatan adalah seperti berikut:
a) Kriteria Pengambilan Pelatih
Semakan Audit telah dilakukan terhadap daftar kemasukan pelatih bagi 3 kursus iaitu Sains Kesetiausahaan, Juru Kecantikan Dan Pendandan Rambut dan Penyejukbekuan Dan Penyamanan Udara untuk menentukan sama ada pengambilan pelatih mematuhi kriteria dari segi kelayakan akademik. Daripada 419 fail pelatih yang disemak pada tahun 2002 hingga 2004 (setakat sesi bulan Julai) menunjukkan seramai 404 pelatih adalah mematuhi kriteria had kelayakan yang ditetapkan iaitu sekurang-kurangnya memiliki/lulus Sijil Pelajaran Malaysia.