AKTIVITI KEMENTERIAN/JABATAN DAN KAJIAN KHAS
JABATAN PERIKANAN NEGERI SABAH PROJEK PENTERNAKAN RUMPAI LAUT
24. OBJEKTIF PENGAUDITAN
26.1.16 Rancangan Pemasaran
LKIM akan mengendalikan pembelian dan pemasaran rumpai laut. Pengendalian ini akan dilaksanakan oleh Unit Perintis Projek Penternakan Rumpai Laut bagi pihak LKIM di mana ia akan membeli terus rumpai laut kering daripada penternak dan menjualnya kepada kilang memproses rumpai laut di daerah Semporna.
26.1.17 Kaedah Pemantauan
Bagi memastikan pelaksanaan projek Penternakan Rampai Laut berjalan dengan baik dan dapat mencapai sasaran yang dirancangkan, pemantauan yang rapi hendaklah dibuat terhadap projek yang dilaksanakan itu. Bagi tujuan tersebut, tiga Jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Induk Projek, Jawatankuasa Pelaksanaan Dan Kewangan dan Jawatankuasa Pemantau Projek akan diwujudkan bagi menyelia dan memantau pelaksanaan projek ini. Selain itu, Jabatan dengan kerjasama Jawatankuasa Bertindak Bersama Program Pembangunan Rakyat Termiskin akan menubuhkan Unit Perintis Penternakan Rampai Laut bagi mentadbir dan mengurus projek ini.
Pada pandangan Audit, projek ini telah dirancang dengan baik di mana Jabatan dan Agensi yang terlibat telah diberi tanggungjawab sepenuhnya untuk melaksanakan tugas yang diamanahkan. Selain itu, beberapa Jawatankuasa juga diwujudkan bagi memastikan strategi dan objektif projek dapat dicapai dan seterusnya dapat menyumbang kepada peningkatan pendapatan dan taraf hidup kumpulan sasar. 26.2 PELAKSANAAN
Bagi memastikan projek mencapai objektifnya, aktiviti yang dirancang perlu dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan. Kejayaan projek ternakan rumpai laut adalah bergantung kepada keberkesanan pelaksanaan dan penglibatan secara aktif para penternak.
26.2.1 Kajian Kemungkinan
Kajian yang telah dijalankan oleh Jabatan mendapati kawasan perairan laut Sabah melebihi 100,000 hektar sesuai dan berpotensi untuk penternakan rumpai laut. Analisis yang dijalankan menunjukkan kawasan perairan laut di Utara dan Timur Selatan (Tenggara) Pantai Sabah lebih sesuai berbanding dengan kawasan perairan Barat Laut Sabah. Jadual 27 menunjukkan kawasan yang dimaksudkan.
89
Jadual 27
Kawasan Berpotensi Untuk Penternakan Rumpai Laut
Bil. Kawasan Keluasan
(Hektar)
1. Kawasan Barat 300 2. Kawasan Utara 15,959 3. Kawasan Timur Laut 1,825 4. Kawasan Tenggara 84,330
Jumlah 102,414
Sumber: Rekod Jabatan Perikanan Sabah
Kawasan Timur Selatan (Tenggara) yang mempunyai kawasan perairan laut seluas 84,330 hektar dan daerah Semporna yang terletak di kawasan ini yang mempunyai kawasan seluas 6,228 hektar sesuai untuk ternakan rumpai laut. Kawasan ini sesuai kerana pengaliran airnya perlahan (supaya nutrien dibawa dan diganti secara semula jadi), tidak berarus deras, tidak berombak atau angin kuat, mempunyai kawasan berbatu karang dan berpasir. Selain itu, kawasan perairan ini juga mempunyai tumbuhan laut, kedalaman air tidak kurang 0.15 meter semasa air surut dan melebihi 2 meter semasa air pasang serta mempunyai dasar laut yang kukuh untuk menahan pancang.
Pada pendapat Audit, berdasarkan kajian kemungkinan kawasan perairan di Semporna adalah sesuai untuk projek ternakan rumpai laut.
26.2.2 Garis Panduan
Jabatan telah menyediakan satu garis panduan yang perlu diikuti oleh peserta sebelum dan semasa menyertai projek ini. Garis panduan ini merangkumi semua komponen akuakultur termasuk ternakan rumpai laut. Antara kaedah yang ditetapkan adalah seperti berikut:
a) Pemilihan Kawasan
Perairan di kawasan penternakan di daerah Semporna adalah sesuai untuk projek penternakan rumpai laut. Mengikut rekod Jabatan, seluas 6,228 hektar kawasan di Semporna adalah sesuai untuk projek penternakan rumpai laut. Butiran lengkap mengenainya adalah seperti di Jadual 28.
Jadual 28
Keluasan Kawasan Penternakan Rumpai Laut Mengikut Pulau
Nama Pulau Keluasan Kawasan Sesuai (Hektar) Keluasan Kawasan Diperuntukkan (Hektar) Keluasan Ladang Diusahakan (Hektar) Peratusan (%) Bilangan Penternak
Pulau Omadal & Sekitarnya
809 202 61 30 81 Pulau Selakan 405 121 22 18 18 Pulau Menampilik 809 122 20 17 24 Pulau Melanta Kobal 81 81 10 12 11 Belum diterokai 4,124 _ _ _ 6
Jumlah 6,228 526 113 77 140
Sumber: Rekod Unit Penternakan Rumpai Laut, Semporna
Semakan Audit mendapati daripada 113 hektar ladang yang diusahakan oleh penternak, hanya 20 hektar telah diwartakan untuk penzonan industri ternakan rumpai laut di daerah Semporna oleh Kerajaan Negeri. Selebihnya masih dalam pertimbangan pihak berkuasa Kerajaan Negeri.
Pada pendapat Audit, kawasan penternak boleh diperluaskan. Selain itu, bagi memudahkan penguatkuasaan undang-undang diambil dan sebagai langkah kawalan serta mengelakkan kawasan tersebut dieksploitasikan sewenang-wenangnya, semua kawasan yang telah diusahakan perlu diwartakan dengan segera.
b) Kaedah Pengkulturan/Penternakan Rumpai Laut
Kaedah yang telah diperkenalkan di Semporna ialah kaedah Penternakan Separuh Terapung. Kaedah ini didapati sesuai kerana kebanyakan kawasan perairan mempunyai kedalaman airnya antara 1 hingga 3 meter. Mengikut kaedah ini, tali diikat di dasar pancang dan diapungkan dengan pelampung. Bibit digantung pada tali di bawah paras air dan kedudukannya akan turun naik mengikut pasang surut air laut. Penggunaan kaedah ini (separuh terapung) adalah yang termurah berbanding kaedah pancang dan rakit.
Pada pendapat Audit, kaedah ini adalah sesuai kerana bibit yang telah diikat pada tali boleh bergerak mengikut paras ketinggian air laut. Selain itu, kaedah ini juga yang paling ekonomik.
c) Pusingan Tempoh Ternakan
Mengikut perancangan, tempoh 1 pusingan ternakan rumpai laut (sehingga hasil tuaian dijual) ialah selama 60 hari. Dengan ini bermakna bagi tempoh satu tahun peserta boleh menternak sehingga 6 pusingan. Semakan Audit mendapati 3
91
golongan peserta iaitu aktif, aktif bermusim dan kurang aktif. Bagi peserta yang aktif tempoh 1 pusingan ternakan adalah lebih kurang sama dengan apa yang dirancang. Bagi peserta yang aktif bermusim, hanya 2 pusingan sahaja yang mampu dijalankan. Keadaan ini berlaku disebabkan perubahan cuaca dan serangan perosak seperti ikan dan penyu. Bagi peserta yang kurang aktif pula, mereka hanya mencuba sekali dan terus meninggalkan projek ini.
Pada pendapat Audit, kawasan alternatif hendaklah diperuntukkan kepada penternak bermusim supaya mereka boleh meneruskan projek ini sepanjang tahun. Bagi peserta yang kurang aktif pula, galakan dan promosi hendaklah diperhebat untuk menarik minat mereka.
d) Pemilihan Peserta
Jabatan telah menetapkan bahawa setiap pemohon yang ingin menyertai projek ini hendaklah melengkapkan borang Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat. Pegawai dari Unit Penternakan Projek Ternakan Rumpai Laut akan membuat lawatan sambil menjalankan kaji selidik dengan cara menemu bual setiap pemohon berpandukan kepada maklumat yang terkandung pada borang berkenaan. Borang permohonan serta ulasan dari Unit projek ini dikemukakan ke Ibu Pejabat, Jabatan untuk kelulusan. Pemohon yang berjaya dikehendaki menandatangani Surat Akuan Perjanjian Peserta bahawa pemohon telah bersetuju dan berjanji untuk mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan.
Pada pendapat Audit, kaedah pemilihan yang diamalkan sekarang adalah memuaskan dan mampu mengelakkan pemohon memberi maklumat yang tidak tepat.