• Tidak ada hasil yang ditemukan

Kajian berbentuk kualitatif ini bertujuan untuk meneroka amalan pengajaran guru di dalam bilik darjah Pemulihan Khas dari aspek perancangan, pelaksanaan, dan penilaian, menganalisis masalah penguasaan kemahiran bahasa dalam kalangan murid Pemulihan Khas dan mengenal pasti strategi pembelajaran bahasa yang diaplikasikan oleh guru Pemulihan Khas terhadap murid dalam pelaksanaan Program Pemulihan Khas. Frasa “Pemulihan Khas” digunakan khusus dalam penyelidikan ini merujuk program untuk murid yang bermasalah pembelajaran di negara ini khususnya dalam menguasai kemahiran 3M. Murid tersebut ditempatkan di dalam satu bilik khas yang dinamakan Bilik Pemulihan Khas. Walau bagaimanapun, bagi rujukan di negara luar atau rujukan secara am, frasa “murid bermasalah pembelajaran” digunakan. Penyelidikan ini menggunakan pemerhatian, kajian dokumen, dan temu bual bagi pengumpulan data. Peserta kajian terdiri daripada guru Pemulihan Khas. Kajian hanya dikhususkan kepada pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu. Lokasi kajian ialah sekolah-sekolah rendah tertentu di Negeri Perlis (dengan kebenaran Jabatan Pelajaran Negeri Perlis).

25 1.9 Definisi Istilah

1.9.1 Amalan Pengajaran Guru

Pengajaran dalam kajian ini memberi maksud proses penyebaran ilmu yang merangkumi siri aktiviti saintifik berdasarkan teori dan kaedah mengajar serta komunikasi antara guru dan murid. Tujuan pengajaran adalah untuk mewujudkan pembelajaran yang meliputi semua aktiviti pengajaran guru disertai dengan aktiviti pembelajaran pelajar. Tafsiran pengajaran adalah dalam pelbagai bentuk iaitu pengajaran berpusatkan guru, pengajaran berpusatkan murid, dan pengajaran bersifat sebagai proses, komunikasi, sains, dan seni. Pengajaran yang bersifat proses melibatkan proses penyebaran ilmu dan penguasaan ilmu oleh murid perlu dijalankan secara sistematik.

Sementara pengajaran pemulihan Bahasa Melayu merujuk kepada pengetahuan yang mereka miliki tentang sesuatu tajuk. Pengajaran guru juga disesuaikan dengan kebolehan pencapaian murid dan disampaikan dalam bentuk yang terancang menerusi tindakan yang guru lakukan di dalam bilik darjah (Shulman, 1987). Pelbagai pendekatan boleh digunakan dalam menyampaikan sesuatu pengajaran yang berpandukan sukatan pelajaran yang termaktub dalam kurikulum pemulihan Bahasa Melayu.

1.9.2 Program Pemulihan Khas

Program Pemulihan Khas merupakan program pendidikan yang dijalankan secara tetap dengan melibatkan sekumpulan murid yang telah dipilih dan diajar mengikut strategi dan pelunjuran yang terdapat dalam Buku Panduan Pemulihan, KPM (1984). Program Pemulihan Khas didefinisikan sebagai satu program pendidikan disediakan

26

untuk murid yang mengalami masalah dalam penguasaan kemahiran 3M yang kompleks disebabkan oleh faktor persekitaran. Program ini dijalankan oleh guru yang khusus, di ruang yang khusus (Buku Panduan Pemulihan, 1984) .” Program Pemulihan Khas mengikut pengertian yang akan digunakan dalam penyelidikan ini adalah merujuk seperti mana pandangan Sharifah Alwiah Alsagoff (1986: m.s.371) iaitu pendidikan pemulihan sebagai “... satu tindakan khusus yang diambil untuk mengatasi keperluan pendidikan murid yang mengalami kesusahan dari segi pembelajaran di dalam bilik khas di sekolah biasa, di pusat khusus yang dihadiri oleh murid secara sambilan, dalam kumpulan yang diasingkan daripada sekolah biasa dan di dalam darjah untuk pengajaran khusus oleh guru pemulihan.” Selain itu, Ishak Harun dan Koh, (1983: m.s.191) mendefinisikan sebagai “perkhidmatan khas untuk memenuhi keperluan-keperluan kanak-kanak yang menghadapi masalah-masalah pembelajaran di sekolah-sekolah biasa.”

Merujuk pernyataan Jabatan Pendidikan Khas, KPM (1999), terdapat dua konsep pendidikan pemulihan iaitu: (a) Pendidikan Pemulihan Khas di dalam bilik khas; dan (b) Pendidikan Pemulihan di dalam bilik darjah biasa. Penyelidikan ini membataskan kajian terhadap Pendidikan Pemulihan Khas di dalam bilik khas. Program Pemulihan Khas menyediakan pendidikan untuk murid yang telah dikenal pasti mempunyai masalah literasi dan masalah kemahiran mengira. Dalam sistem ini murid-murid dibawa keluar daripada kelas biasa dan diajar di dalam kelas khas atau yang berasingan (withdrawal teaching). Guru yang mengajar kelas ini dikenali sebagai guru Pemulihan Khas. Pendidikan pemulihan dalam bilik darjah biasa pula merujuk kepada pemulihan yang diberikan oleh guru-guru biasa dalam kelas biasa. Dalam sistem ini guru-guru kelas menggunakan masa tambahan untuk mengajar

murid-27

murid yang bermasalah dalam pembelajaran. Pengajaran tambahan di dalam kelas biasa melibatkan murid secara individu atau dengan kumpulan-kumpulan kecil murid yang diberi tugasan seperti yang diberikan kepada murid-murid lain atau tugasan yang sama dengan sedikit modifikasi.

Dalam penyelidikan ini, pendidikan pemulihan digunakan secara interchangeable kerana membawa maksud yang sama iaitu merujuk kepada semua strategi, program dan perkhidmatan yang disediakan oleh sekolah-sekolah rendah untuk membantu murid-murid “lemah” menguasai kemahiran 3M dalam kelas-kelas Pemulihan Khas. Pendidikan pemulihan membantu murid-murid tahun satu hingga enam yang berpencapaian rendah memperoleh pencapaian yang lebih kurang sama dengan murid-murid lain yang sebaya dengan mereka di peringkat persekolahan yang sama. Penyelidikan ini tidak melibatkan perkhidmatan pendidikan khas yang diberikan kepada murid-murid yang berkeperluan khas seperti murid-murid buta, pekak, terencat akal, cacat anggota dan juga murid-murid cemerlang.

1.9.3 Murid Pemulihan Khas

Murid Pemulihan Khas ialah kanak-kanak yang menghadapi kesukaran dalam penguasaan kemahiran asas 3M disebabkan oleh faktor persekitaran dan bukan kognitif. Dalam klasifikasi murid Pemulihan Khas, murid bermasalah pembelajaran ringan tidak menunjukkan sebarang tanda fizikal khas seperti penglihatan dan ketajaman pendengaran yang boleh diukur (Reschly, 1996). Murid Pemulihan Khas juga adalah murid yang tidak boleh menguasai kemahiran asas bahasa. Jais Sahok dan Mat Nor Husin, (1990: m.s.9) mendefinisikan, “kanak-kanak pemulihan sama dengan kanak-kanak lembam yang mempunyai pencapaian lebih rendah daripada

28

rakan sebaya mereka di dalam kelas. Lembam yang dimaksudkan bukanlah bermakna lemah dalam semua perkara atau mata pelajaran. Tetapi mungkin lemah dalam satu mata pelajaran atau mungkin dua mata pelajaran atau juga lemah dalam aspek-aspek tertentu dalam sesuatu kemahiran asas.”

KPM merumuskan bahawa “perbezaan minat, pengalaman, bakat dan gaya belajar individu murid mengakibatkan segolongan mereka lebih lambat atau terkebelakang menguasai sesuatu kemahiran berbanding rakan sebayanya. Sekiranya mereka tidak diberi pengajaran pemulihan, mereka mungkin gagal memperoleh pendidikan yang perlu dan potensi mereka akan terbenam. Melalui Program Pemulihan Khas keperluan-keperluan murid berpencapaian rendah dapat dikenal pasti dan dipenuhi” (2003: m.s.2). Dalam penyelidikan ini, penyelidik menggunakan frasa “Pemulihan Khas,” khusus bagi murid yang bermasalah pembelajaran di dalam negera ini. Jika rujukan kajian daripada luar negara, penyelidik menggunakan frasa “murid bermasalah pembelajaran,” kerana frasa tersebut lebih umum dan program di luar negara merangkumi kepelbagaian istilah. Dalam konteks kajian ini, murid-murid Pemulihan Khas belajar di dalam bilik darjah mengikut tahap kebolehan mereka dengan kriteria penempatan ditetapkan oleh pihak sekolah.

1.9.4 Guru Pemulihan Khas

Menurut Al-Ghazali, guru dalam pengertian akademik ialah seseorang yang menyampaikan sesuatu kepada orang lain atau seseorang yang menyertai sesuatu institusi untuk menyampaikan ilmu pengetahuan kepada pelajarnya (Hamid Fahmy Zarkasyi, 1990). Definisi kedua perkataan guru yang diberikan oleh Al-Ghazali, ialah “... seseorang yang menyampaikan sesuatu yang baik, positif, kreatif atau membina kepada seseorang yang berkemahuan tanpa mengira peringkat umur walau

29

terpaksa melalui dengan pelbagai cara dan kaedah sekalipun, tanpa mengharapkan sebarang ganjaran” (Hamid Fahmy Zarkasyi, 1990: m.s.67-68). Dalam penyelidikan ini, guru yang dimaksudkan ialah guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu bagi kumpulan murid Pemulihan Khas. Guru yang dipilih sebagai subjek kajian adalah yang berpengalaman atau telah mengajar mata pelajaran berkaitan yang melebihi tiga tahun.

Dalam penyelidikan ini guru kelas Pemulihan Khas ialah pengesan (kelemahan) dan pemulih kelemahan yang dilakukan terhadap individu murid yang telah dikesan. Selanjutnya amalan guru Pemulihan Khas dalam penyelidikan ini ialah (a) menjalankan diagnostik melalui ujian diagnostik yang direka khas. (b) melaksanakan tugas yang tidak dilakukan oleh guru lain dan harus mempelajari dengan lebih mendalam kaedah-kaedah terbaru pemulihan murid bermasalah pembelajaran ringan. (c) mendapat kerjasama daripada semua guru lain, termasuk guru besar dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi murid Pemulihan Khas.

1.9.5 Strategi Pengajaran

Strategi dikategorikan sebagai perancangan operasi (Zahara Aziz, Khadijah Abdul Razak & Anuar Ahmad, 1999). Selain daripada itu, strategi ditafsirkan sebagai satu aktiviti pengurusan atau kaedah yang digunakan untuk mencapai sesuatu matlamat. Istilah ini juga dirujuk sebagai satu set aksi pengajaran untuk mencapai objektif yang dikehendaki. Manakala dalam konteks pendidikan, strategi didefinisikan sebagai cara yang diaplikasikan untuk menterjemah teori ke dalam amalan aplikasi kaedah, pendekatan dan teknik. Abdull Sukor (2011), mendefinisikan strategi pengajaran sebagai rancangan yang terperinci untuk mencapai kejayaan dalam perancangan

30

melalui strategi berpusatkan guru, strategi berpusatkan pelajar dan strategi berpusatkan bahan. Congelosi (1992) mentakrifkan strategi sebagai cara guru menyusun atur pengajaran dan bahan bantu mengajar. Strategi dikaitkan dengan cara mana guru menawarkan dan menyusun atur kemahiran mengajarnya bagi menepati objektif atau hasil pembelajaran (Munby, 2001). Dalam penyelidikan ini, strategi merupakan langkah-langkah pengajaran, aktiviti-aktiviti pembelajaran bergabung dengan bahan bantu mengajar, pendekatan, kaedah dan teknik yang digunakan oleh guru bagi melaksanakan proses pengajaran.

1.9.6 Strategi Pembelajaran Bahasa

Strategi pembelajaran bahasa ialah strategi yang melibatkan prosedur mental dan komunikatif untuk mempelajari dan menggunakan bahasa dalam kerangka mem- pertingkatkan pencapaian dan penguasaan bahasa sasaran (Zamri & Mohamed Amin, 2007; Kamarul Shukri, Nik Mohd. Rahimi, Mohamed Amin & Zamri, 2008). Dalam penyelidikan ini, strategi pembelajaran bahasa ialah strategi pembelajaran Bahasa Melayu di dalam bilik darjah berasaskan kemahiran mendengar dan bertutur, kemahiran membaca dan kemahiran menulis yang digunakan ketika pengajaran mata pelajaran Bahasa Melayu seperti berinteraksi dengan guru serta rakan sekelas, bersoal jawab, berbual, bercerita, membaca, membuat latihan, membuat rujukan, dan menumpukan perhatian ketika guru mengajar.