• Tidak ada hasil yang ditemukan

TINJAUAN LITERATUR

2.5.1.3 Model Pengajaran dan Pembelajaran Guru oleh Al-Ghazali

Asas pengambilan pemikiran tentang pengajaran oleh Al-Ghazali dalam penyelidikan ini berasaskan bahawa (Hamid Fahmy Zakarsyi, 1990): (a) pemikiran Al-Ghazali tentang pendidikan yang berorientasikan sistem integrasi di antara keduniaan dan keagamaan hendaklah dijadikan landasan bagi menghadapi masalah pendidikan yang telah terpisah di antara aspek keduniaan dan keagamaan. Namun

62

demikian perlu pengubahsuaian yang berdasarkan keadaan masyarakat pada masa kini. (b) prinsip-prinsip penyusunan kurikulum yang dikemukakan oleh Al-Ghazali hendaklah diambil kira sebagai strategi asas untuk merencanakan kurikulum. (c) kaedah proses pengajaran dan pembelajaran, dan kaedah pendidikan akhlak hendaklah dimasukkan ke dalam kurikulum pendidikan guru serta dijadikan asas kepada pembinaan peribadi guru sebagai agen memindahkan akhlak mulia.

Imam Al-Ghazali dalam tulisannya Ihya Ulumuddin yang diterjemahkan oleh Ahmad Abdurraziq Al-Bakri (2007), telah menggariskan lapan aspek yang perlu dimiliki oleh guru dalam pengajaran dan pembelajaran iaitu (a) penyayang terhadap pelajar, (b) mengikut jejak Rasaulullah SAW dalam pengajaran iaitu tidak mengharapkan balasan, (c) sentiasa memberi nasihat dengan berhikmah kepada murid, (d) mahir dalam kaedah, teknik pengajaran dan pembelajaran, (e) perihatin terhadap murid yang lembap, (f) cekap dalam mendisiplinkan murid,(g) menghormati mata pelajaran dengan tidak memperlekehkan ilmu orang lain, dan (h) menguasai ilmu pengetahuan dan mengamalkannya.

Dalam kajian ini, penyelidik merumuskan prinsip utama amalan pengajaran seorang guru berasaskan model pengajaran yang dikemukakan oleh oleh Al-Ghazali adalah (a) penguasaan ilmu pengetahuan, (b) penguasaan kemahiran melalui kaedah pengajaran dan pembelajaran, dan (b) memiliki keperibadian mulia. Ketiga-tiga prinsip tersebut dibincang secara bersama.

Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang dipraktikan oleh seseorang guru dalam pengajarannya di dalam bilik darjah merupakan aspek yang paling kritikal dalam

63

bidang pendidikan. Zawawi (1990), menyatakan bahawa kaedah merupakan satu perancangan atau prosedur bagi melaksanakan sesuatu pengajaran secara teratur, kemas dan sistematik secara keseluruhan untuk menyampaikan bahan pengajaran. Kaedah juga merujuk kepada satu siri tindakan guru yang sistematik dan berlandaskan kepada sesuatu pendekatan yang dipilih, dengan tujuan mencapai objektif pelajaran dalam jangka masa pendek. Sharifah Alwiah (1984) pula menyatakan bahawa kaedah pengajaran ialah peredaran ke arah sesuatu tujuan pengajaran yang telah dirancang dengan teratur. Dalam penyelidikan ini, penguasaan kaedah merujuk kepada cara disusun oleh guru untuk menyampaikan ilmu pengetahuan dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.

Dari sudut terminologi kaedah yang berkaitan dengan proses pengajaran dan pembelajaran disebut pedagogi, metodologi, dan strategi proses pengajaran dan pembelajaran. Al-Ghazali tidak menyebutnya sebagai kaedah. Hal ini merupakan masalah terminologi semata-mata, namun tidak mengelirukan. Al-Ghazali menamakannya sebagai tugas-tugas guru.

Penguasaan guru terhadap kaedah-kaedah pengajaran yang betul, penting dalam pengajaran dan pembelajaran kerana kurikulum atau sukatan pelajaran yang baik sekali pun tidak ada gunanya sekiranya tidak seiring dengan pemilihan kaedah pengajaran yang betul dan guru-guru yang berkualiti (Ahmad Mohd. Salleh, 2004).

Berhubung dengan garis panduan kepada guru, menurut Hamid Fahmy Zarkasyi (1990), Al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin menghuraikan strategi-strategi seperti berikut: (a) guru hendaklah melahirkan perasaan simpati kepada muridnya

seolah-64

olah mereka anak-anaknya. Sikap guru terhadap muridnya hendaklah seiring dengan perasaan kasih sayang bapa kepada anaknya. Perhubungan hendaklah dalam keadaan penuh kasih sayang antara satu sama lain. (b) guru tidak seharusnya merasakan murid menjadi beban kepadanya malah perlu mempunyai perasaan berkewajipan ke atas murid-muridnya. Selanjutnya, guru tidak harus menjadikan tugas mengajar itu seperti usaha perniagaan, tidak mengharapkan ganjaran dan ucapan terima kasih. Guru sewajarnya menganggap aktiviti mengajar itu sebagai ganjaran yang besar kepadanya kerana guru merupakan manusia yang menyemai benih dan akhirnya akan menuai hasil yang berlipat ganda. (c) Guru seharusnya memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada murid-muridnya tentang pengajian mereka dan tidak seharusnya memberi kerja-kerja di luar kemampuan dan keupayaan murid. Perkara ini selaras dengan idea ahli pendidikan dan psikologi moden iaitu pendidikan seharusnya ditentukan mengikut kebolehan dan potensi-potensi murid.

Selanjutnya Al-Ghazali menekankan tunjuk ajar perlulah berorientasikan pencapaian tujuan ilmu pengetahuan iaitu untuk menghampirkan diri kepada Allah, bukannya kekuasaan, kesombongan dan pertelagahan. Kaedah tunjuk ajar yang digunakan oleh guru hendaklah dengan cara yang simpati, bukannya dengan cara membenci dan mencela kerana cara ini akan mewujudkan gangguan hubungan, menggalakkan sifat durhaka dan melahirkan kedegilan. Guru bagi sesuatu mata pelajaran hendaklah berusaha bagi menyediakan muridnya untuk mempelajari mata pelajaran lain. Hal ini kerana seseorang guru itu tidak seharusnya memperkecilkan nilai sesuatu mata pelajaran yang bukan bidangnya. Semasa pengajaran berlangsung, seseorang hendaklah mengetahui kemampuan muridnya memahami pelajaran dan menyampaikan pengetahuannya tanpa diskriminasi. Idea ini selaras dengan teori

65

pembelajaran moden yang dipanggil peraturan enekualiti berhubung dengan perbezaan individu di dalam bilik darjah kerana wujud perbezaan kemampuan dalam kalangan pelajar. Lantaran berdasarkan “perbezaan individu” ini, seseorang guru itu hendaklah menyampaikan sesuatu kepada muridnya yang mundur dengan keterangan yang jelas dan sesuai dengan kefahamannya yang terhad itu. Tidak seharusnya menyampaikan dengan secara terperinci untuk sesuatu yang sukar diikuti sehingga murid tidak merasakan kesan pengajaran guru tersebut.

Amalan pengajaran guru yang baik dapat dilihat melalui kepandaiannya menggunakan kepelbagaian kaedah yang sesuai dalam pengajaran dan pembelajaran dengan mengukur tahap kemampuan murid dalam menerima sesuatu ilmu yang disampaikan kepada mereka. Pendidik yang baik ialah pendidik yang sentiasa meneladani Rasulullah SAW dalam pengajarannya, mencontohi keutuhan peribadi Rasulullah SAW, dan penggunaan kaedah yang sesuai dengan kemampuan. Jelasnya, dengan kaedah pengajaran yang sesuai, Rasulullah SAW berjaya mengajar dan membimbing para sahabat sehingga menjadi satu generasi yang mantap iman serta bertakwa kepada Allah. Dalam konteks hari ini, jika kaedah yang digunakan tidak sesuai maka akan membawa kepada ketidakcapaian objektif atau matlamat sesuatu pengajaran dan pembelajaran.

Sesungguhnya guru memainkan peranan penting dalam pemilihan kaedah yang sesuai semasa menyampaikan ilmu yang berkesan serta mencapai matlamat dan objektif yang diharapkan dalam sesuatu pengajaran dan pembelajaran. Menepati amalan pengajaran guru yang ditekankan oleh Al-Ghazali dalam sesuatu pengajaran dan pembelajaran, pemilihan kaedah yang sesuai bagi memudahkan murid

66

memahami isi pelajaran mengikut tahap kefahaman mereka. Bagaimanapun menurut Sharifah Alwiah (1984), tidak ada satu kaedah yang dikatakan terbaik atau lebih sesuai untuk sesuatu mata pelajaran. Oleh itu, guru perlu bijak memilih kaedah pengajaran yang sesuai dengan matlamat yang ingin dicapai dengan mengukur tahap perkembangan dan kematangan serta kecerdasan muridnya.

Selain daripada itu, Al-Ghazali juga mengemukakan prosedur dalam proses pembelajaran; pertama: diam, kedua: mendengar, ketiga: mengulangi, keempat: melakukan, dan kelima: memberitahu (Hamid Fahmy Zarkasyi, 1990). Pembelajaran merupakan proses di mana pengalaman yang dilalui membawa kepada perubahan yang tekal kepada ilmu pengetahuan atau tingkah laku (Woolfolk, 2007).

Al-Ghazali juga menyenaraikan tugas-tugas murid berkaitan dengan adab murid dengan guru iaitu (Hamid Fahmy Zarkasyi, 1990): (a) sebelum belajar, seseorang murid itu mestilah membersihkan jiwanya dari kecenderungan yang buruk dan perangai yang jelek. Ini disebabkan ilmu itu tempatnya di hati. Tambahan pula, mencari ilmu seperti melakukan penyembahan hati serta berdoa untuk kemurnian kekendiriannya. Jadi, seandainya seseorang murid mempunyai perangai buruk, mungkin berkeupayaan untuk memperoleh ilmu tetapi ilmu yang diperoleh itu tidak berfaedah baginya. (b) murid semestinya menumpukan sepenuh perhatian kepada ilmu yang dipelajari dan tidak sewajarnya perhatian diberikan kepada perkara-perkara lain. Hal ini disebabkan ilmu tidak akan mendatangkan apa-apa faedah kepada seseorang kecuali jika dia sendiri menyerlahkan keinginan sepenuhnya kepada ilmu itu. (c) murid tidak seharusnya menghina guru dan bersikap meninggi diri terhadap guru tetapi sebaliknya dia meyakini dan menghormati gurunya. Ilmu

67

pengetahuan tidak akan diperoleh dengan berkat melalui personaliti yang rendah. Seseorang yang berkemampuan untuk mendapat ilmu tetapi gagal dalam usahanya itu hendaklah mencari puncanya dengan membuka secepat mungkin telinga, hati dan memberi perhatian yang mendalam, merendah diri dan bersyukur dengan apa yang telah dikurniakan kepadanya.

Selanjutnya, seseorang murid itu hendaklah menurut apa yang disuruh oleh gurunya dengan mengetepikan pandangannya kerana kesilapan guru kadang kala berfaedah kepadanya. Berhubung dengan mengajukan pertanyaan kepada guru, Al-Ghazali menerangkan, walaupun ini digalakkan oleh Allah tetapi biarlah pertanyaan itu dibenarkan oleh gurunya. Dengan kata lain, mengajukan perkataan untuk perkara yang tidak mampu difahami amatlah dilarang dan tidak mendatangkan faedah.

Sesungguhnya pandangan Al-Ghazali berhubung dengan proses pengajaran dan pembelajaran ialah menekankan aspek psychospiritual para guru dan murid. Hal ini kerana “ilmu” bukan sahaja diserap melalui fikiran tetapi juga diserap oleh “hati” (Hamid Fahmy Zarkasyi, 1990). Ilmu pengetahuan dan nilai yang handak disampaikan, mustahil akan berjaya tanpa usaha dan memahaminya dengan bersungguh-sungguh ilmu tersebut. Sikap guru yang terpuji dan terhormat dapat mewujudkan suasana kasih sayang yang seterusnya memainkan peranan yang besar dalam motif penyampaian ilmu. Menurut Hamid Fahmy Zarkasyi (1990), Pandangan Al-Ghazali tentang proses pengajaran dan pembelajaran tidak bercanggah dengan teori pembelajaran dari segi psikologi. Malah merupakan prinsip asas jika dibandingkan dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran moden yang lebih kompleks dan terperinci.

68 2.5.2 Model Guru Sebagai Penentu Ketetapan

Model Guru Sebagai Penentu Ketetapan merupakan satu model berkaitan dengan pengajaran berkesan (Cooper, 2006; Sharifah Alwiah, 1986). Model ini dibina dengan andaian bahawa tingkah laku pengajaran dapat mempengaruhi dan memberi kesan pembelajaran dan tingkah laku pelajar. Prosedur pengajaran guru berkait rapat dengan tiga fungsi asas pengajaran, iaitu; (a) perancangan, (b) pelaksanaan, dan (c) penilaian (Sharifah Alwiah, 1986).

Fungsi perancangan memerlukan guru membuat ketetapan mengenai keperluan murid, matlamat dan objektif yang sesuai, motivasi murid, kaedah, dan strategi yang sesuai untuk mencapai objektif pengajaran. Fungsi pelaksanaan pula memerlukan guru melaksanakan ketetapan-ketetapan yang dirumuskannya dalam peringkat perancangan. Peringkat pelaksanaan ini berlaku apabila guru berinteraksi dengan murid. Guru juga perlu mempunyai kebolehan untuk menyampaikan dan menerangkan perkara yang diajar, mendengar idea dan pandangan murid, memperkenal topik kepada murid, menunjukkan sesuatu yang diajar, mendapatkan maklum balas murid dan mencapai penutup dengan mendapat tindak balas murid. Dalam aspek penilaian, guru perlu membuat ketetapan mengenai kesesuaian objektif pengajaran yang dipilih, kesesuaian strategi-strategi pengajaran dengan objektif, dan sama ada murid mencapai matlamat dan objektif yang telah ditentukan oleh guru.

Berdasarkan penelitian ini, guru dapat menentukan sama ada objektif pengajarannya telah tercapai atau guru perlu membuat perancangan atau strategi baru. Sehubungan dengan itu, pengetahuan tentang teori mengenai pembelajaran dan tingkah laku manusia, sikap yang menggalakkan pembelajaran dan hubungan manusia,

69

pengetahuan dalam mata pelajaran yang diajar dan pelbagai kecekapan mengajar yang lain, boleh membekalkan guru kecekapan dan kemahiran yang diperlukan untuk merancang, melaksanakan, menilai, dan mengubah suai ketetapan profesionalnya.

Rajah 2.3. Teori Guru Sebagai Penentu Ketetapan Pengajaran (sumber daripada

Cooper, 2006; Sharifah Alwiah, 1986)