• Tidak ada hasil yang ditemukan

METODOLOGI KAJIAN

3.7 Kaedah Pengumpulan Data

3.7.1 Pemerhatian Proses Pengajaran dan Pembelajaran

Pemerhatian merupakan kaedah pengumpulan data yang utama dalam kajian ini. Juga merupakan asas dan metod yang sangat penting dalam semua penyelidikan kualitatif (Baker, 1999; Marshall & Rosman, 2006). Menurut Fox (1988), kaedah pemerhatian selalunya digunakan apabila penyelidik cuba menyelidik norma, nilai dan maksud terkongsi peserta yang diselidik. Pemerhatian yang dibuat tidak terhad kepada proses merekod data dari persekitran, sebaliknya penyelidik perlu memerhati secara aktif, mendengar dan menyusun data keseluruhan yang diperoleh mempunyai makna dan bererti kepada penyelidikan yang dijalankan. Selanjutnya pemerhatian

149

membolehkan dapatan yang diperoleh secara langsung daripada peristiwa yang berlaku.

Terdapat beberapa kebaikan menggunakan kaedah pemerhatian. Menurut Hancock (1998), dua kebaikan utama pengumpulan data menggunakan cara pemerhatian ialah: (a) pemerhatian membolehkan penyelidik melihat situasi secara menyeluruh dalam konteks penyelidikan. (b) pemerhatian terbuka kepada penggunaan peralatan rakaman visual dan audio. Ghaziah, Nabilah, Shireena Basree, Rohaya, & Norshidah (2010) menyatakan bahawa pemerhatian yang dirakam secara terus-menerus bukan sahaja akan mengelakkan imbasan berat sebelah (biased recall), malah pemerhatian juga membolehkan analisis dijalankan secara berulang dan terperinci. Selain itu, pemerhatian sebagai kaedah pengumpulan data meningkatkan semakan silang data (cross reference) yang diperoleh, terutamanya apabila digunakan bersama kaedah pengumpulan data yang berlainan (Denzin & Lincoln, 1998).

Kaedah pemerhatian dilakukan bersandarkan kepada tujuan kajian ini iaitu untuk mengumpul maklumat mengenai fenomena yang sebenar atau realiti yang berlaku di dalam bilik darjah ketika pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran dalam kalangan murid Pemulihan Khas dalam aspek menguasai kemahiran 3M. Dalam penyelidikan ini, kes yang dikaji ialah amalan pengajaran seorang guru di dalam sebuah bilik darjah Pemulihan Khas bagi pengajaran mata pelajaran Bahasa Melayu. Jenis pemerhatian yang digunakan ialah pemerhatian bukan peserta (non-participant observation). Penyelidik juga memastikan untuk tidak mengganggu aktiviti yang berlangsung agar pemerhatian yang dijalankan realiti yang berlaku. Sebelum pemerhatian sebenar berlangsung, penyelidik berada di dalam bilik darjah yang

150

diperhati untuk beberapa kali bagi membiasakan kehadiran penyelidik dengan guru dan murid. Teknik ini penting bagi mengurangkan kesan kehadiran penyelidik kepada kes yang sedang dikaji.

Semasa pemerhatian sebenar, pemerhatian yang diteliti dilakukan untuk melihat proses pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu dijalankan oleh guru Pemulihan Khas. Pemerhatian secara langsung di dalam bilik darjah dapat meningkatkan kebolehpercayaan data yang diperoleh. Sehubungan dengan itu, perolehan dapatan adalah lebih realistik. Maklumat juga diperoleh dalam konteks bilik darjah, iaitu tempat berlakunya proses pengajaran dan pembelajaran pemulihan Bahasa Melayu dan bukannya daripada pandangan guru atau murid atau hanya rakaman perbualan. Bagi tujuan tersebut, senarai semak amalan pengajaran guru disediakan. Senarai semak tersebut adalah dirujuk atau bersumberkan daripada Senarai Semak Amalan Pengajaran Berkesan oleh Hopkins (2008: 92-93). Format dan item senarai semak tersebut seperti di lampiran E. Sementara format “helaian log pemerhatian” di lampiran D adalah dirujuk daripada Nor Asikin Salleh (2008).

Pemerhatian juga membolehkan penyelidik memerhati suatu amalan yang biasanya dianggap rutin oleh peserta kajian. Oleh itu, penyelidik dapat merekodkan sesuatu amalan pengajaran yang berlaku di dalam bilik darjah secara tepat. Semasa pemerhatian dijalankan, penyelidik menggunakan catatan pengalaman untuk mencatatkan semua peristiwa yang berlaku dan dikukuhkan lagi dengan penggunaan rakaman video. Hasil rakaman video ditranskripkan bagi merincikan data pemerhatian.

151

Rakaman video merupakan alatan utama penyelidik bagi mendapatkan data pemerhatian. Rakaman video ini dilakukan semasa pengajaran berlangsung. Rakaman hanya dibuat berdasarkan keperluan dan kesanggupan peserta kajian. Rakaman ini juga boleh dikatakan sebagai satu “set mata kedua” yang membolehkan penyelidik merekodkan kegiatan di dalam bilik darjah dan memperoleh data yang mungkin tidak dilihat atau didengar oleh penyelidik. Rakaman video juga boleh bertindak sebagai satu cara untuk mengesah dan menyokong data-data yang diperoleh daripada pemerhatian di dalam bilik darjah dan catatan lapangan (Marohani, 1996). Selain itu, rakaman video juga membolehkan penyelidik membuat imbasan kembali dan juga bertindak sebagai satu cara untuk mengikuti dan mengkaji secara terperinci butiran yang mungkin tertinggal semasa pemerhatian dijalankan. Penggunaan rakaman video bukan sahaja melengkapkan pemerhatian tetapi juga memberi idea dan pemahaman yang lebih untuk penyelidik bertindak membuat pemerhatian di dalam darjah seterusnya.

Namun begitu tidak semua pemerhatian dirakamkan, penyelidik hanya merakamkan pemerhatian tersebut sekiranya diberi kebenaran atau penyelidik merasakan peserta kajian dan murid selesa dan tidak mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung. Bagi menambahkan keberkesanan kaedah pemerhatian ini, penyelidik melakukan beberapa prosedur asas iaitu memohon kebenaran guru besar, mendapatkan jadual waktu peserta supaya tidak berlaku pertindihan jadual waktu, memastikan tidak mengganggu aktiviti sekolah dan peserta kajian.

152 3.7.2 Kajian Dokumen

Data daripada dapatan pemerhatian, diperkuatkan lagi dengan data analisis dokumen. Sesuatu dokumen itu boleh terdiri daripada sebarang rekod bertulis atau tidak bertulis yang boleh menambah maklumat dan mengembangkan pemahaman secara keseluruhan situasi kajian yang dijalankan. Pelbagai jenis dokumen yang sesuai bagi kajian yang berbentuk kualitatif seperti yang dinyatakan oleh Gay (1996), dan Taylor & Bogdan (1984). Dalam kajian ini penyelidik mengumpulkan bahan-bahan yang terdiri daripada gambar-gambar, bahan bercetak dan bertulis. Dokumen yang dikumpul, diteliti sepanjang proses pengumpulan data termasuk kertas ujian saringan, kertas ujian diagnosis, lembaran kerja, buku latihan, sukatan pelajaran, huraian sukatan pelajaran, buku rekod mengajar yang mengandungi rancangan pengajaran dan pembelajaran harian, laporan aktiviti, gambar-gambar, video dan sebagainya. Oleh kerana objektif kedua penyelidikan ini ialah mengenal pasti masalah penguasaan kemahiran bahasa dalam kalangan murid Pemulihan Khas, maka fokus utamanya ialah menganalisis kertas ujian saringan, kertas ujian diagnostik, lembaran kerja, modul dan buku latihan. Namun begitu diyakini bahawa tidak semua dapat disimpan oleh penyelidik, seperti buku rekod mengajar. Oleh itu, bahan atau dokumen tersebut hanya diteliti semasa proses pengumpulan data. Maklumat-maklumat yang diperlukan dicatat dalam buku catatan penyelidik atau diambil foto.