• Tidak ada hasil yang ditemukan

Walaupun bidang bahasa meliputi aspek yang luas iaitu merangkumi aspek-aspek fonologi, morfologi, sintaksis, semantik dan lain-lain, namun analisis kajian ini hanyalah terbatas kepada analisis pemahaman makna tersirat kanak-kanak prasekolah semasa berinteraksi. Fokus kajian hanyalah tertumpu kepada tahap pemahaman makna tersirat sama ada dari sudut keupayaan memahami ujaran atau penghasilan ujaran yang mempunyai maksud tersirat.

Pemilihan sampel kajian ini hanya terhad pada kanak-kanak prasekolah yang berusia antara empat hingga enam tahun sahaja. Memandangkan ini adalah satu kajian kes, maka hanya sebilangan sampel sahaja yang dipilih untuk mewakili golongan kanak-kanak yang seusia dengan mereka. Sampel kajian yang dipilih juga hanya terhad kepada kanak-kanak Melayu sahaja. Semua kanak-kanak yang dijadikan sampel adalah terdiri daripada kanak-kanak yang berada dalam kelas sosial pertengahan.

Pemilihan ini dilakukan berdasarkan saranan yang telah dikemukakan oleh Asmah Hj Omar (2002) yang mengatakan bahawa pemilihan sampel yang terdiri daripada mereka yang mempunyai latar belakang bahasa dan sosiobudaya yang sama dengan pengkaji adalah lebih baik kerana pengkaji lebih mudah memahami sampel kajian tersebut.

Hasilnya, kesimpulan yang lebih tepat akan dapat dibuat oleh pengkaji di akhir kajian memandangkan pengkaji sendiri telah mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang lebih mendalam terutamanya yang berkaitan dengan pengaruh budaya dan persekitaran dalam mempengaruhi bahasa dan pemahaman kanak-kanak keseluruhannya.

Selain itu, faktor budaya juga memainkan peranan penting dalam aspek pemilihan sampel dan bidang kajian. Pemilihan sampel yang mempunyai budaya dan cara hidup yang sama dengan pengkaji adalah lebih baik kerana ciri-ciri ini akan memudahkan pengkaji memahami perbualan kanak-kanak dan seterusnya memudahkan pengkaji membuat kesimpulan dan rumusan. Ini kerana budaya amat penting dalam mempengaruhi ciri-ciri perbualan, pemikiran dan pemahaman kanak-kanak.

Lazimnya, ciri-ciri budaya sesuatu masyarakat itu akan ditonjolkan dalam bahasa yang diucapkan yang disebut juga sebagai pengetahuan tentang dunia mereka. Perkara ini sangat penting dalam kajian makna tersirat ujaran kerana apa yang diujarkan oleh penutur adalah sangat berkait rapat dengan budaya mereka. Keadaan ini dapat dilihat khususnya dalam budaya masyarakat Melayu yang terlalu mementingkan aspek kesantunan ketika berbahasa (rujuk Bab 2, bahagian 2.5.1).

Dalam pertuturan khususnya yang berupa penyampaian hajat tersirat seperti meminta sesuatu atau meminta pertolongan daripada pendengar, membuat arahan, membuat teguran dan sebgainya, Masyarakat Melayu akan cuba menyampaikannya dengan sebaik mungkin secara berlapik, beralas dan tidak secara berterus terang atau langsung. Semua ini merupakan aturan yang harus dipatuhi oleh anggota masyarakat supaya tidak dianggap kurang sopan atau tidak beradab (Zaitul Azma Zainon Hamzah, 2009).

Realitinya, norma-norma atau nilai-nilai budaya, peraturan dan pematuhan terhadap peraturan dan norma-norma sosial serta sistem nilai ini telah ditunjukkan oleh pemakai bahasa melalui cara pertuturan mereka setiap hari. Nyata sekali, cara bercakap dan cara menyampaikan hasrat dalam kalangan penutur bahasa Melayu banyak dipengaruhi oleh budaya serta norma-norma sosial masyarakat itu sendiri. Pastilah, situasi seperti ini juga

akan mempengaruhi bahasa dan tahap pemahaman makna tersirat dalam kalangan kanak-kanak secara umum.

Kajian terhadap data ujaran kanak-kanak dibuat dengan memberi penekanan terhadap konteks semasa ujaran dilafazkan oleh penutur kerana perkara tersebut amat penting dalam menentukan makna sesuatu ujaran. Sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini, kajian makna merupakan satu bentuk kajian yang bergantung sepenuhnya terhadap pemahaman pendengar kerana ia tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Ini menjadikan kajian dalam bidang makna adalah sama seperti kajian terhadap struktur dan bentuk bahasa atau aspek-aspek lain yang penting dalam pengkajian bahasa seperti analisis linguistik yang merangkumi bidang fonologi bahasa, morfologi, sintaksis dan lain-lain.

Analisis makna berdasarkan konteks perlu dilakukan untuk menilai pemahaman makna tersirat kanak-kanak kerana dalam sesetengah keadaan sesuatu ujaran tidak diucapkan secara jelas dan langsung. Kebanyakan makna ujaran diujarkan secara beralas atau berlapik melalui penyampaian makna secara yang tersirat menggunakan ujaran yang tersurat. Fenomena ini menyebabkan analisis makna perlu dilakukan berdasarkan penilaian terhadap konteks kerana penutur sering membuat ujaran yang mempunyai maksud yang tersirat iaitu yang perlu disesuaikan dengan konteks. Oleh itu, untuk memahami dan mendapatkan makna yang lebih tepat seseorang pendengar perlulah mengetahui serta berkongsi konteks yang sama dengan para penutur.

Penggunaan prinsip kerjasama Grice dalam usaha melihat atau mengkaji pemahaman makna tersirat dalam kalangan kanak-kanak pula dapat dilakukan dengan mengesan keadaan atau situasi perlanggaran maksim-maksim prinsip kerjasama yang wujud dalam data interaksi kanak. Analisis pemahaman makna tersirat dalam kalangan

kanak-kanak akan dilakukan dengan melihat kenapakah situasi perlanggaran maksim-maksim tertentu prinsip kerjasama Grice ini berlaku semasa kanak-kanak berinteraksi. Mungkin situasi perlanggaran maksim-maksim tertentu prinsip kerjasama Grice ini wujud dalam interaksi kanak-kanak kerana mereka cuba menyampaikan mesej secara tersirat atau sebaliknya ia dilakukan kerana kelemahan aspek komunikasi kanak-kanak itu sendiri. Untuk menjawab persoalan ini dan usaha membuktikan kemampuan kanak-kanak menyampaikan mesej tersirat melalui situasi perlanggaran maksim, maka analisis implikatur akan dilakukan untuk melihat mesej sebenar yang cuba disampaikan oleh kanak-kanak di sebalik situasi perlanggaran maksim tersebut.

Dari sudut penerimaan, penilaian pemahaman pendengar terhadap sesuatu ujaran yang yang mempunyai maksud tersirat (ujaran yang mempunyai situasi perlanggaran pelbagai maksim) pula, boleh dinilai berdasarkan kemampuan kanak-kanak (pendengar) memproses serta mentafsir makna ujaran (yang mempunyai ciri-ciri perlanggaran maksim) itu dengan tepat seperti apa yang dihajati oleh penutur. Sekiranya kanak-kanak mampu serta berupaya membuat tafsiran yang tepat terhadap ujaran-ujaran tersebut (ujaran yang mempunyai pelbagai situasi perlanggaran maksim prinsip kerjasama Grice), maka ia menunjukkan bahawa kanak-kanak yang dikaji sebenarnya mempunyai tahap pemahaman makna tersirat yang baik.

Selain itu, kajian pemahaman makna tersirat dalam kalangan kanak-kanak juga telah dilakukan dengan menggunakan kaedah analisis pertanyaan. Kajian juga dilakukan dengan mengesan kehadiran pertanyaan-pertanyaan di dalam data yang mempunyai pelbagai mesej tersirat. Maknanya, semasa kanak-kanak mengajukan pertanyaan, ia bukanlah kerana niat mereka yang ingin membuat pertanyaan secara literal

semata-mata, sebaliknya kanak-kanak juga cuba menyampaikan pelbagai mesej tersirat melalui pertanyaan tersebut.

Kemampuan kanak-kanak menyampaikan dan mentafsir pertanyaan yang mempunyai pelbagai mesej tersirat akan menyerlahkan lagi keupayaan sebenar kanak-kanak dalam memahami makna tersirat ujaran. Ia merujuk kepada kemampuan penutur mengujarkan pelbagai mesej tersirat melalui pertanyaan. Mesej-mesej tersirat itu mungkin dalam pelbagai niat seperti membuat permintaan, mengajak atau mengarahkan/memerintahkan rakan melakukan sesuatu, mengutuk rakan, memprotes dan sebagainya, yang telah disampaikan secara tersirat dalam pelbagai bentuk pertanyaan. Kemampuan kanak-kanak (pendengar) pula dalam mentafsir pelbagai maksud tersirat yang telah disampaikan dalam pelbagai bentuk dan maksud pertanyaan itu juga dapat menyerlahkan kemampuan sebenar terhadap pemahaman makna tersirat dalam kalangan kanak-kanak prasekolah yang dijadikan sampel kajian.