• Tidak ada hasil yang ditemukan

BAB TIGA

3.10 Kaedah Menganalisis Data

3.10.1 Kerangka Teori

Kerangka teori adalah merujuk kepada teori yang dijadikan sebagai kerangka kajian dalam mengukur atau menilai pemahaman makna tersirat dalam kalangan kanak-kanak yang berusia empat hingga enam tahun. Penilaian dilakukan dengan mengenalpasti ciri-ciri perlanggaran maksim tertentu prinsip kerjasamanya Grice yang wujud dalam data sebelum analisis implikatur dilakukan untuk melihat atau mengesan kehadiran makna tersirat dalam ujaran-ujaran yang dihasilkan oleh kanak-kanak.

Selain itu penilaian tentang pemahaman makna tersirat dalam kalangan kanak-kanak juga telah dibuat dengan mengkaji maksud pertanyaan yang dihasilkan oleh kanak semasa berinteraksi. Dalam budaya masyarakat Melayu, penutur sering menggunakan pertanyaan untuk menyampaikan pelbagai tujuan. Maksudnya, pertanyaan bukan hanya mengandungi makna tersurat untuk bertanya semata-mata malah kadangkala ia diajukan dengan niat untuk menyampaikan pelbagai mesej tersirat yang lain (lihat perbincangan dalam Bab 4).

3.10.1.1 Prinsip Kerjasama Grice (1975)

Prinsip kerjasama (co-operative principle) merupakan satu garis panduan utama perbualan yang telah diperkenalkan oleh Grice. Prinsip ini didukung oleh empat maksim yang seolah-olah menjadi peraturan dalam perbualan. Penutur yang berhajat untuk menyampaikan maklumat dinasihatkan agar mematuhi kesemua prinsip dan maksim yang telah ditetapkan. Kegagalan berbuat demikian akan dianggap melanggar tatacara perbualan yang berkesan dan mungkin akan menggagalkan tujuan sebenar perbualan. Prinsip kerjasama yang dicadangkan ialah seperti berikut:

“Jadikan sumbangan anda sebagaimana yang dikehendaki sahaja, di tahap perbualan itu berlaku dan tepat pula dengan arah tujuan perbualan yang sedang berlangsung”.

(Nor Hashimah Jalaluddin, 2003)

Prinsip kerjasama ini dibantu pula oleh empat maksim iaitu maksim kualiti, maksim kuantiti, maksim hubungan dan maksim cara. Setiap maksim ini dibincangkan dalam bahagian seterusnya.

a. Maksim Kualiti

Maksim ini menyatakan bahawa setiap sumbangan daripada penutur itu hendaklah bersifat benar dan berdasarkan bukti-bukti yang mencukupi. Seseorang itu dianggap telah melanggar maksim kualiti sekiranya dia menuturkan perkara-perkara yang palsu atau sesuatu yang dia sendiri tidak mempunyai maklumat yang mencukupi atau bukti yang sahih tentang sesuatu perkara yang dituturkan itu. Sekiranya ujaran yang dibuat disedari merupakan perkara yang tidak benar atau palsu, maka ujaran tersebut dianggap sebagai telah melanggar maksim kualiti.

b. Maksim Kuantiti

Penutur hendaklah menjadikan maklumat yang ingin disampaikan seinformatif yang boleh sebagaimana yang dikehendaki dalam perbualan yang sedang berlangsung dengan mengelakkan daripada memberikan maklumat yang terlampau informatif sehingga melebihi hadnya dan jangan memberikan maklumat yang terlampau pendek dari yang sepatutnya.

c. Maksim Relevans

Penutur hendaklah menjadikan maklumatnya relevan. Iaitu penutur harus mengatakan sesuatu yang berkaitan dengan topik perbualan sahaja. Grice (1975) mengatakan bahawa kita hendaklah sentiasa membuat ujaran yang mempunyai hubungan atau relevan. Kita sebagai penutur hendaklah sentiasa memberikan sumbangan terhadap perkara yang dibualkan dengan mengatakan sesuatu yang mempunyai kaitan dengan topik perbualan pada masa itu sahaja. Sekiranya perkara yang diucapkan tidak mempunyai hubungan dengan maksim relevan ini, maka ujaran tersebut bolehlah dianggap sebagai telah melanggar maksim relevan atau hubungan.

d. Maksim Cara

Maksim cara atau perlaksanaan ini adalah melibatkan cara kita menyampaikan maklumat semasa berkomunikasi. Maksim ini menetapkan sumbangan yang diberikan hendaklah jelas dan mudah difahami. Oleh itu, untuk memastikan bahawa sumbangan adalah jelas dan terang, beberapa langkah harus diambil seperti:

a) Penutur hendaklah mengelak daripada memperkatakan sesuatu yang tidak jelas dan tidak sahih.

b) Penutur juga perlulah mengelak daripada memperkatakan sesuatu yang samar, kabur dan tidak jelas.

c) Penutur hendaklah menyampaikan mesej dengan cara yang mudah dan singkat agar senang difahami oleh pendengar.

d) Penutur juga bertanggungjawab untuk menyampaikan mesej dengan cara yang teratur (mengikut susunan) daripada satu maklumat ke maklumat yang lain (iaitu perkara yang berlaku dahulu hendaklah didahulukan dan perkara yang berlaku kemudian hendaklah dikemudiankan). Penjelasan yang terlalu panjang lebar atau terlalu kabur boleh juga dianggap sebagai melanggar maksim ini (Nor Hashimah Jalaluddin, 2003).

Apabila seseorang penutur melakukan perlanggaran maksim, maka pendengar perlulah merujuk kepada implikatur untuk membolehkannya mendapatkan makna sebenar yang hendak disampaikan oleh penutur. Contohnya apabila seseorang berkata “aduh sejuk dan nyamannya” semasa berjalan di bawah terik matahari dalam cuaca yang panas, akan menyebabkan pendengar terpaksa memproses ujaran tersebut berdasarkan konsep implikatur dimana pendengar haruslah menganggap bahawa penutur tidak mahu pengucapannya ditafsirkan secara literal, dan harus memahami bahawa penutur sebenarnya mencuba menyampaikan sesuatu yang maksudnya berlainan daripada pengucapannya yang sebenar. Untuk memungkinkan pendengar memproses mesej secara tersirat, pendengar perlulah melalui konteks dan peristiwa yang sama dengan penutur. Pendengar perlulah mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang sama dengan penutur terutamanya terhadap perkara yang sedang diperkatakan oleh penutur itu.

Malah, untuk membolehkan pendengar mendapatkan makna yang sebenar, penutur mestilah benar-benar pasti bahawa pendengar sememangnya menyedari bahawa beliau tidak mahu pertuturannya itu ditafsirkan secara literal. Sekiranya berlaku pentafsiran

secara literal oleh pendengar, maka akan terputuslah komunikasi di antara kedua-dua pihak kerana pendengar tidak akan faham apa yang dimaksudkan oleh penutur tersebut. Hal ini akan dilihat dalam data ujaran kanak-kanak nanti sama ada kanak-kanak mampu membuat ujaran dan tafsiran yang berbentuk bukan literal (ibid.). Implikatur hanya dapat beroperasi jika pendengar menganggap bahawa penutur masih mematuhi maksim-maksim perbualan atau prinsip saling berkerjasama.

3.10.1.2 Konsep Implikatur Perbualan

Konsep implikatur adalah satu bentuk pentafsiran makna yang melewati batas-batas makna literal sesebuah ayat (Grice, 1975). Carston (1988) berpendapat, implikatur perbualan ialah berkaitan dengan mesej yang tersirat yang cuba disampaikan dengan ujaran yang tersurat. Implikatur melibatkan apa-apa yang diujarkan secara eksplisit (secara ujaran) dan juga apa-apa yang dilahirkan secara implisit (apa yang diimplikasi atau dimaksudkan).

Konsep implikatur yang diutarakan oleh Grice (1975) ini adalah merupakan satu konsep yang bertalian rapat dengan ‘prinsip saling berkerjasama’ (co-operative principle) yang pernah dikemukakannya. Prinsip ini mempunyai empat maksim iaitu maksim kuantiti, maksim kualiti, maksim hubungan (relevan) dan maksim kelakuan. Jika sesuatu ujaran itu kabur dan maknanya hanya akan diketahui melalui konteks, maka ayat itu juga akan dianggap sebagai implikatur.

Dalam pentafsiran makna berdasarkan konsep implikatur, usaha memproses maklumat yang digunakan adalah jauh lebih tinggi dimana jika pentafsiran makna dilakukan di peringkat semantik, hanya selapis usaha memproses maklumat diperlukan, tetapai dalam pentafsiran makna menggunakan konsep impikatur, ada dua lapisan maklumat

yang diperlukan. Mula-mula pentafsiran perlu dilakukan diperingkat makna tersurat terlebih dahulu sebelum membuat tafsiran pada peringkat makna tersirat pula.

3.11 Ruang Lingkup Pentafsiran Makna Ujaran (Kaedah Mentafsir Makna

Ujaran)

Berdasarkan pendapat yang telah dikemukakan oleh Grice (1975) jelaslah bahawa makna untuk sesuatu ujaran dapat difahami melalui dua ruang lingkup pentafsiran iaitu pertama ialah melalui penganalisaan secara semantik dan yang kedua ialah penganalisaan secara pragmatik. Lantaran itu, untuk membantu pembaca mendapatkan penjelasan yang lebih jelas, maka pengkaji akan menerangkan dengan lebih terperinci tentang konsep semantik dan pragmatik dalam bahagian seterusnya: