• Tidak ada hasil yang ditemukan

KAJIAN LITERATUR

2.3 Perkembangan Pemahaman Makna Kanak-kanak

2.3.1 Makna Ujaran

2.3.1.1 Jenis-jenis Makna Ujaran

Antara perkara penting yang perlu diketahui dan difahami oleh pembaca khususnya mereka yang bukan terdiri daripada ahli bahasa ialah tentang jenis-jenis makna ujaran. Ini kerana terdapat dua aspek makna yang nyata amat berbeza dalam pentafsiran ujaran. Lantaran itu, untuk mendapatkan pemahaman yang lebih jelas tentang makna ujaran, maka kita perlulah mempunyai pengetahuan yang jelas tentang jenis-jenis makna agar kita mampu membuat pentafsiran yang tepat.

Merujuk pembahagian yang telah dibuat oleh Grice (1975) didapati bahawa sesuatu ujaran itu boleh ditafsirkan dalam dua bentuk yang berbeza iaitu yang pertama, ujaran boleh ditafsirkan sebagai ‘apa yang diperkatakan’ manakala yang kedua pula ialah ujaran boleh ditafsirkan sebagai ‘apa yang diimplikasikan’. Ini menunjukkan bahawa makna ujaran mempunyai dua aspek yang berbeza iaitu pertama, makna ujaran yang memerlukan pentafsiran dari sudut semantik/tersurat yang dikenali juga sebagai

makna/maksud linguistik (apa yang diperkatakan). Manakala yang kedua ialah makna

ujaran yang memerlukan pentafsiran pragmatik yang juga dikenali sebagai maksud

penutur (makna dalaman atau tersirat) (apa yang diimplikasikan).

a. Maksud Penutur atau Makna Tersirat

Maksud-penutur atau makna tersirat adalah merujuk kepada niat seseorang penutur apabila beliau menghasilkan sesuatu pengucapan linguistik. Dengan kata lain, erti sesuatu ayat/ujaran bukanlah semata-mata ditentukan oleh makna setiap perkataan dan pertalian struktur antara perkara-perkara yang membina sesebuah ayat, tetapi oleh faktor-faktor lain juga iaitu intonasi pengucapan, keperihalan keadaan kewujudan ayat, keperihalan keadaan penutur (konteks) dan tujuan atau sebab sesuatu ayat diucapkan oleh penutur.

Makna sesuatu kata adalah bergantung kepada cara penggunaan perkataan itu dalam menyampaikan maksudnya (Wittgensten dalam Ullman, 1974). Sesuatu perkataan yang mempunyai makna yang kabur, perlu ditafsir dengan melihat cara penggunaannya terlebih dahulu dalam usaha mendapatkan makna yang lebih jelas. Maksud-penutur atau makna penutur adalah merujuk kepada makna yang ada dalam pemikiran penutur yang mungkin sangat berbeza dengan apa yang diujarkan pada waktu itu. Makna penutur ini merupakan makna yang bersifat harfiah dan sudah pasti cara pentafsirannya adalah di luar ruang lingkup bidang semantik, bahkan ia merupakan sebahagian daripada aspek pragmatik.

Bahasa tersirat adalah bahasa yang mempunyai maksud yang berlainan dengan makna yang diujarkan atau disebut serta mempunyai maksud ayat yang berlapis-lapis. Dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga (2002) makna bahasa tersirat bermaksud sebagai bahasa yang tersembunyi atau terkandung dalam sesuatu serta bersifat mendalam. Dalam hal ini, pengguna bahasa akan mengalami kesukaran untuk memahami sesuatu makna yang hendak disampaikan dalam perkataan yang menggunakan bahasa tersirat.

Penggunaan bahasa tersirat dalam perbualan haruslah difahami secara mendalam kerana ia merujuk kepada makna yang berlainan daripada maksud asal yang telah diucapkan. Penggunaan bahasa tersirat juga turut menunjukkan kesopanan dalam berbahasa kerana penggunaan ayat yang tidak menyinggung perasaan dan menggunakan bahasa yang sopan serta diterima oleh khalayak.

b. Makna Tersurat @ Makna Linguistik (Linguistic Meaning)

Makna-linguistik atau makna tersurat pula adalah merujuk kepada ekspresi linguistik yang merupakan sebahagian daripada bahasa atau makna yang diperoleh semata-mata daripada makna yang tertulis atau makna yang diujarkan sahaja. Makna linguistik adalah berbeza dengan maksud penutur kerana ia mempunyai kaitan langsung dengan makna harfiah (makna berdasarkan ciri-ciri semantik) (Frank Parker, 1994). Pada umumnya, makna linguistik sesuatu ungkapan hanyalah berupa makna atau makna-makna ungkapan tersebut dalam sesuatu bahasa. Dengan kata lain, makna-makna linguistik sebenarnya adalah merujuk kepada makna teks semata-mata dan boleh juga dikatakan sebagai makna tersurat sesuatu kata atau ayat yang diujarkan.

Sebaliknya, makna penutur atau makna tersirat adalah berbeza daripada makna linguistik, bergantung kepada sama ada penutur bercakap secara harfiah atau tidak

harfiah. Apabila kita bercakap secara harfiah, kita menyatakan maksud yang sama

dengan makna kata yang kita gunakan, dan dalam kes ini tidak ada perbezaan yang penting antara makna penutur dengan makna linguistik. Tetapi apabila kita bercakap secara tidak harfiah, kita menyatakan maksud yang berbeza daripada makna kata yang kita gunakan (Adrian Akmajian, 1995). Keadaan ini juga boleh dirujuk sebagai pentafsiran makna berdasarkan makna tersirat atau makna dalaman yang bergantung kepada konteks semasa sesuatu ujaran itu dilafazkan. Contoh lain penggunaan tidak harfiah bahasa ialah kiasan terbalik dan sindiran.

c. Makna Rujukan

Dalam pengkajian makna dan tahap pemahaman penutur atau pendengar dalam membuat ujaran dan mentafsir makna ujaran, adalah amat penting bagi kita meneliti tentang satu perkara yang agak mustahak dalam menterjemahkan makna iaitu rujukan.

Dalam aspek rujukan, samalah juga dengan mengkaji aspek maksud. Ia dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu rujukan-penutur (speaker reference) dan

rujukan-linguistik (linguistic reference). Bahagian seterusnya akan membincangkan

dengan lebih lanjut lagi tentang kedua-dua jenis rujukan ini (ibid.).

i. Rujukan Penutur (Speaker Reference)

Rujukan penutur adalah merujuk kepada perkara yang dirujuk oleh penutur dengan menggunakan sesuatu ekspresi linguistik. Sebagai contoh, sekiranya seseorang mengucapkan ayat Here comes President Reagan secara berjenaka, iaitu dengan merujuk seorang pengemis wanita yang sedang berjalan di tepi jalan, maka rujukan-penutur bagi ekspresi President Reagan tersebut dimaksudkan untuk pengemis wanita berkenaan.

Sebenarnya, rujukan-penutur adalah terletak di luar ruang lingkup bidang semantik. Hal ini disebabkan ia adalah bervariasi mengikut penutur dan konteks di mana pentafsiran makna ujaran biasanya akan bergantung kepada niat sebenar yang cuba disampaikan oleh penutur dengan merujuk kepada konteks yang berlaku dan kadang kala ia sangat bertentangan dengan maksud yang ditafsir secara linguistik yang hanya merujuk pada makna teks semata-mata. Lantaran itu, ia boleh disifatkan sebagai sebahagian daripada bidang pragmatik.

ii. Rujukan Linguistik (Linguistic Reference)

Rujukan Linguistik adalah berbeza dengan rujukan penutur, tertakluk dalam ruang lingkup bidang semantik, memandangkan ia mempunyai perkaitan dengan aspek rujukan iaitu fungsi sistematik sesuatu bahasa itu sendiri, bukannya merujuk penutur dan konteks (Adrian Akmajian, 1990). Rujukan-linguistik dalam erti kata yang lain

pula, merupakan suatu denotasi sistematik tentang ekspresi linguistik yang berperanan sebagai sebahagian daripada bahasa. Sebagai contoh, ayat tadi jika di tafsir dari ekspresi linguistik akan bermaksud atau merujuk kepada tokoh negara Ronald Reagan (ibid.).

2.4 Kepentingan Konteks dalam Pentafsiran Makna Ujaran

Dalam hal komunikasi, konteks merupakan suatu faktor yang amat penting (Leech, 1974), terutamanya dalam usaha mentafsir ujaran yang mempunyai makna tersirat. Wittgenstein dalam bukunya ‘Penyiasatan Falsafah’ (Philosophical Investigations) (1953), pernah dengan tegas menyatakan bahawa makna kata tidak dapat diketahui kecuali dilihat dalam penggunaannya, atau dalam konteks penggunaannya. Demikian juga Ullmann (1974) berhujah bahawa makna perkataan hanya dapat ditentukan berdasarkan penelitian terhadap penggunaannya.

Dalam kajian penggunaan bahasa, khususnya dalam usaha menilai tahap pemahaman makna tersirat kanak-kanak prasekolah, apa yang paling penting ialah mengaitkan ujaran yang dibuat dengan konteks yang berlaku pada masa sesuatu ujaran itu dituturkan. Dengan kata lain, makna sebenar sesuatu ujaran adalah bergantung kepada konteks yang berlaku semasa sesuatu ujaran diperkatakan oleh penuturnya. Oleh yang demikian, penganalisaan terhadap makna tersirat adalah amat memerlukan pemerhatian terhadap konteks, iaitu melihat kepada situasi yang berlaku yang mengiringi sesuatu ujaran itu.

Nor Hashimah Jalaluddin (2003) dalam bukunya yang bertajuk Bahasa Dalam

Perniagaan: Satu Analisis Semantik dan Pragmatik telah mendefinisikan konteks

Konteks tidak terhad kepada maklumat tentang persekitaran fizikal yang paling dekat dan ujaran terdahulu yang paling hampir. Konteks juga melibatkan masa depan, hipotesis saintifik atau kepercayaan ugama, kenangan lucu, andaian am tentang budaya dan kepercayaan terhadap pemikiran si penutur. Kesemuanya memainkan peranan dalam interpretasi ujaran.

Dalam bukunya itu, Nor Hashimah Jalaluddin (2003) telah menerangkan dengan agak jelas tentang konteks dan proses-proses yang akhirnya dapat menimbulkan pula kesan konteks kepada pendengar dalam membantu interpretasi makna yang seterusnya. Kesan konteks yang dimaksudkan ini ialah andaian awal yang ada kepada pendengar tentang maklumat yang relevan dengan diri pendengar.

Oleh kerana usaha menganalisis tahap pemahaman makna tersirat dalam kalangan kanak-kanak prasekolah merupakan suatu kajian yang dilakukan terhadap bahan atau

benda yang tidak dapat dilihat, iaitu hanya melibatkan kajian psikologi dalam erti kata

kita terpaksa menduga apa yang berlaku dalam otak seseorang, maka pentafsiran makna ujaran tersirat perlulah dilakukan berdasarkan penilaian terhadap konteks yang berlaku sepanjang proses interaksi berlangsung. Ianya adalah untuk mengelakkan kemungkinan berlaku tersalah tafsir dan sebagainya.

Pentafsiran makna tersirat ujaran berdasarkan penilaian terhadap konteks adalah amat mustahak kerana makna tersirat sesuatu kata/ujaran itu sebenarnya bergantung sepenuhnya pada konteks. Misalnya perkataan gila! Kalau disebut semasa bertengkar mungkin ia bermakna marah. Kalau disebut semasa sedang berbual dan bergurau dengan kawan-kawan, ia bermaksud satu gurauan yang tidak serius dan tidak mendatangkan kemarahan pada pendengar, manakala kalau perkataan itu disebut dalam

ayat berita yang menceritakan tentang seseorang, maka ia dianggap sebagai bermaksud

gila yang sebenarnya yang merujuk kepada seseorang yang tidak siuman (Abdullah

Hassan, 1980). Jadi, ujaran yang dibuat dalam pelbagai konteks akan pelbagai juga maknanya. Penerangan ini menunjukkan betapa pentingnya konteks dalam menilai makna ujaran yang sebenarnya yang dimaksudkan oleh penutur.

2.5 Kecekapan Komunikasi Kanak-kanak

Untuk memahami makna tersirat yang terkandung dalam ujaran yang dituturkan oleh kanak-kanak, pentafsiran bukan sahaja dibuat berdasarkan ujaran yang dituturkan semata-mata tetapi pentafsiran makna tersirat juga perlu dibuat dengan mengambil kira konteks atau bentuk komunikasi bukan verbal yang mengiringi sesuatu ujaran itu.

Penilaian terhadap pemerolehan dan pemahaman makna tersirat dalam kalangan kanak-kanak adalah dibuat berdasarkan analisis data ujaran kanak-kanak-kanak-kanak yang dirakamkan semasa kanak-kanak berkomunikasi sesama mereka. Keupayaan memahami makna tersirat kanak-kanak dinilai dari sudut keupayaan kanak-kanak membuat tafsiran dan juga kemampuan mereka membuat ujaran yang mempunyai makna tersirat dalam komunikasi yang sempurna. Komunikasi yang sempurna di sini bermaksud, wujudnya situasi penyampaian ide dan perasaan dari satu pihak kepada pihak yang lain agar terjadi keadaan saling mempengaruhi diantara satu sama lain.

Seseorang kanak-kanak yang bijak menyampaikan niat tersirat untuk mencapai segala maksud yang diingini semasa berkomunikasi, dia akan dianggap sebagai seorang individu yang cekap berkomunikasi. Kecekapan berkomunikasi bukan sahaja setakat mengetahui kod bahasa yang didengari atau dituturkan, malah pengguna bahasa juga harus mengetahui tentang maklumat yang jelas terhadap apa-apa yang hendak

diperkatakan, kepada siapa hendak diperkatakan, dan bagaimanakah cara hendak mengujarkannya dengan sesuai dalam situasi-situasi tertentu (Troike, 1991: 23). Kecekapan berkomunikasi melibatkan andaian pengetahuan sosial dan kebudayaan yang dimiliki para penuturnya untuk membolehkan mereka menggunakan dan menginterpretasi bentuk-bentuk linguistik bahasa ibundanya (ibid.). Lantaran itu, menilai pemahaman makna tersirat dalam kalangan kanak-kanak prasekolah bukan sahaja dapat menyerlahkan pemahaman makna tersirat dalam kalangan mereka semata-mata, malah kajian ini juga dapat digunakan untuk menilai kecekapan kanak-kanak prasekolah berkomunikasi.