• Tidak ada hasil yang ditemukan

KAJIAN LITERATUR

2.3 Perkembangan Pemahaman Makna Kanak-kanak

2.5.1 Definisi Komunikasi

Komunikasi didefinisi sebagai satu bentuk perhubungan sama ada secara langsung atau dengan menggunakan perantaraan seperti surat, radio, telefon dan lain-lain (Kamus Dewan, 2005, 812). Komunikasi boleh dilakukan dalam bentuk lisan atau bukan lisan. Komunikasi bukan lisan boleh berbentuk isyarat, bahasa gerak geri, sentuhan, hubungan mata dan penulisan.

Tidak boleh dinafikan bahawa, kemampuan dan keupayaan kanak-kanak dalam mentafsir serta menghasilkan makna tersirat semasa berinteraksi, dapat melambangkan sebahagian daripada kecekapan berkomunikasi seseorang kanak-kanak itu sendiri. Kanak-kanak yang mampu mempelbagaikan kaedah penglahiran makna semasa membuat ujaran adalah merupakan satu keadaan yang menunjukkan kanak-kanak mempunyai ciri-ciri kecekapan berbahasa dan berkomunikasi.

Kecekapan bekomunikasi amat penting kerana manusia berhubung antara satu sama lain melalui komunikasi, menyatakan pendapat, melahirkan ide, perasaan dan sebagainya.

Komunikasi boleh dianggap sebagai satu proses manusia menghantar dan menerima mesej. Mesej disampaikan dengan menggunakan bahasa. Jadi kecekapan berbahasa dan berkomunikasi merupakan dua ciri yang berjalan seiring dan saling melengkapi. Penggunaan bahasa yang sesuai dalam mencapai komunikasi yang berkesan adalah amat penting. Kepentingan bahasa dalam menyampaikan sesuatu mesej semasa berkomunikasi memang tidak boleh disangkal. Asmah Hj. Omar (1993) telah menyatakan bahasa merupakan teropong penglihatan dunia manusia. Pernyataan ini menggambarkan betapa pentingnya pengetahuan dan penglahiran bahasa dalam sesuatu komunikasi.

Untuk mendapatkan pemahaman yang lebih jelas tentang komunikasi, berikut akan diterangkan beberapa definisi serta perbincangan-perbincangan berkaitan dengan komunikasi yang telah dilakukan dan dipaparkan oleh pengkaji-pengkaji sebelum ini. Pemahaman terhadap konsep dan peraturan-peraturan serta jenis-jenis komunikasi akan membantu memudahkan kita memahami dengan lebih jelas tentang komunikasi kanak-kanak, kecekapan berbahasa dan seterusnya penguasaan makna tersirat dalam interaksi kanak-kanak.

Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad (2001) mengatakan bahawa, komunikasi sangat penting dalam kehidupan manusia kerana manusia sentiasa berkomunikasi untuk menjalin sebuah hubungan antara satu sama lain dalam kehidupan bermasyarakat. Melalui komunikasi manusia berkongsi atau bertukar-tukar idea, maklumat dan perasaan dan melalui komunikasi juga manusia saling berhubung dan mengetahui tentang sesuatu hal masing-masing (Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad, 2001: 1).

Mohd Baharuddin dan Mohd Kharie (2006) pula mengatakan bahawa komunikasi lisan boleh mengukuhkan sesuatu maklumat yang disampaikan apabila seseorang itu ingin menegaskan sesuatu perkara. Melalui komunikasi lisan, maklumat dapat disalurkan secara terus atau spontan kepada khalayak. Melalui komunikasi manusia juga boleh saling menyampaikan pesan dari seseorang kepada orang lain untuk memberitahu, mengubah sikap, menyatakan pendapat, atau perilaku, baik secara lisan (langsung) ataupun tidak langsung yang disampaikan melalui penggunaan simbol-simbol seperti kata-kata, gambar-gambar, pergerakan badan dan lain-lain (Dosen Agustina Zubair, 2006: 1).

Komunikasi melibatkan penyampaian ide dan perasaan dari satu pihak kepada pihak yang lain agar terjadi keadaan saling mempengaruhi diantara satu sama lain (Abu Bakar, 2010: 1). Biasanya kita berkomunikasi kerana ingin mempengaruhi pemahaman, sikap dan tindakan pihak lain sama ada mereka bersetuju atau tidak ke atas sesuatu isu yang dibincangkan.

Komunikasi juga merupakan proses dua hala antara penyampai maklumat, serta penerima maklumat. Malah seseorang penyampai maklumat akan juga menjadi penerima maklumat dari penyampai yang sebelumnya dan ia merupakan penerima maklumat mengikut giliran. Secara ringkasnya, komunikasi boleh diistilahkan sebagai

satu proses dimana manusia menghantar dan menerima mesej, berkongsi atau

bertukar-tukar idea, maklumat dan perasaan. Komunikasi juga menjadi penghubung antara semua ahli masyarakat kerana melalui pertuturan orang ramai dapat berhubung dan bertukar-tukar pendapat. Malah manusia juga berkomunikasi melalui bahasa bukan lisan iaitu menerusi gerak, isyarat atau simbol, dengan tujuan untuk memberi dan bertukar-tukar maklumat.

Istilah komunikasi sebenarnya berasal daripada perkataan Latin iaitu ‘communiatus’ yang bermaksud berkongsi sesuatu. Ia merupakan proses penyampaian mesej atau makna oleh seseorang kepada orang lain (Noor Aina Dani, 2007: 108). Komunikasi hanya akan berlaku sekiranya ada makna yang hendak disampaikan. Sumber makna memang ada dalam fikiran si penyampai makna yang mungkin terdiri dari penyampaian perasaan, pengetahuan, peringatan dan pendapat yang disampaikan dari otak atau pemikiran si penyampai kepada penerima melalui pelbagai bentuk dan cara penyampaian.

Bleum (1966) mentafsirkan komunikasi sebagai proses yang bermula apabila sesuatu mesej (maklumat) daripada pengirim kemudian dipindahkan menerusi alat saluran khas kepada penerima yang kemudiannya memberikan maklumbalas (mengekod dan mentafsir) terhadap mesej tersebut. Penerima pula akan bertindak mengembalikan isyarat dalam bentuk verbal atau bukan verbal kepada pengirim untuk menyampaikan isyarat sama ada mesej yang diterima tersebut difahami atau tidak difahaminya.

Theodorson & Theodorson (1969) pula menyatakan komunikasi adalah pengiriman maklumat, pemikiran, sikap atau emosi daripada seseorang individu atau kumpulan kepada individu atau kumpulan yang lain dengan menggunakan simbol-simbol. Apabila seseorang berkomunikasi ia bermakna yang mereka sebenarnya sedang berusaha berkongsi ide atau maklumat dengan individu atau orang yang sedang berkomunikasi dengannya.

Wilbur Schramn (1971) berpendapat bahawa komunikasi boleh dianggap sebagai satu perkongsian orientasi terhadap satu set isyarat maklumat. Sementara Roger (1969) pula

berpendapat komunikasi sebagai satu proses apabila kedua-dua belah pihak yang terlibat membentuk dan berkongsi maklumat antara satu sama lain dengan tujuan untuk mencapai kesefahaman bersama. Perkongsian yang ditekankan dalam sesuatu komunikasi itu ialah dari segi makna sesuatu isyarat. Sesuatu isyarat atau maklumat mungkin memberikan makna yang berlainan kepada dua individu. Carl Horland (1953) telah mengeluarkan pendapat yang mengatakan bahawa, komunikasi sebagai proses penyampaian ransangan (lazimnya secara lisan) dengan tujuan untuk menukar tingkah laku individu lain.

Charles Osgood (1954) berpendapat komunikasi berlaku apabila satu sistem atau sumber cuba mempengaruhi sistem lain atau sasarannya dengan memanipulasikan beberapa simbol alternatif yang boleh disampaikan melalui saluran yang menghubungkan mereka. Manakala Carter (1973) telah mengeluarkan pendapat yang mengatakan bahawa komunikasi adalah satu tingkah laku. Hal ini kerana menurut beliau, apabila seseorang individu berkomunikasi beliau bukan sahaja akan bertindak terhadap maklumat yang sampai kepadanya, tetapi sebaliknya apabila individu berkomunikasi, ia berusaha untuk mencari maklumat yang boleh digunakan bagi mengatasi permasalahan yang sedang dihadapinya supaya ia mempunyai gambaran yang lebih tepat tentang alam persekitaran yang perlu dihadapinya.

Daripada definisi-definisi yang telah diberikan di atas oleh sarjana-sarjana komunikasi, dapatlah dirumuskan bahawa komunikasi itu merupakan satu proses pemindahan makna iaitu maklumat, ide, pengetahuan, persefahaman lambang-lambang lain daripada sumber atau penyampai kepada penerima melalui saluran-saluran tertentu dengan harapan mewujudkan persamaan.

Sumber ide enkod saluran maklumbalas

Penerima pemahaman dekod penerimaan

Rajah 2.1 Proses Komunikasi (Abdul Mua’ti@ Zamri Ahmad, 2001: 14)

Sebenarnya terdapat beberapa unsur penting dalam komunikasi yang antaranya ialah sumber, penerima, utusan, encoder, saluran, gangguan, decoder, rangka rujuk, maklum balas dan maklumat awal. Sumber merupakan punca sesuatu utusan yang boleh terdiri daripada individu, satu kumpulan, persatuan atau organisasi.

Idea- pemikiran yang terjana dalam minda sumber

Enkod- usaha sumber untuk mengolah idea tadi dalam

satu pakej yang dapat disalurkan

Saluran- usaha sumber menghantar mesejnya yang

sudah diolah kepada penerima.

Penerimaan- sasaran kepada usaha penyaluran. Ia berlaku pada penerima.

Dekod- iaitu usaha penerima untuk mentafsirkan mesej yang diterimanya.

Pemahaman- hasil usaha pentafsiran mesej oleh penerima Maklum balas- tindak balas penerima terhadap mesej yang

diterimanya

Gangguan- apa sahaja yang terdapat dalam alam sekitar

yang menggugat penghantaran dan

penerimaan mesej.

Suasana- keadaan sekeliling komunikasi sewaktu proses komunikasi berlangsung

Sumber- punca yang mencetuskan mesej

(Abdul Mua’ti@ Zamri Ahmad, 2001: 14)

Rajah di atas menunjukkan proses penerimaan maklumat oleh pendengar daripada ujaran yang disampaikan oleh penutur. Apabila penutur menyampaikan ide atau maklumat, ia akan diproses oleh pendengar atau sasaran melalui proses-proses yang tetap sebagaimana ditunjukkan dalam rajah di atas.

Dalam proses komunikasi, sumber ialah sesiapa yang mempunyai pendapat, fikiran, perasaan atau utusan yang ingin disampaikan kepada orang lain. Contohnya, dalam sebuah bilik darjah, guru merupakan sumber komunikasi kerana guru yang bertanggungjawab menyampaikan maklumat kepada pelajar-pelajarnya. Pendengar, yang terdiri daripada seseorang individu, kumpulan kecil, sebuah organisasi atau sejumlah orang ramai, pula merupakan sasaran sesuatu utusan. Utusan merupakan mesej, perasaan, fikiran, pendapat atau fakta yang ingin disampaikan.

Enkoder adalah keupayaan sensori motor seseorang yang bertanggungjawab untuk mengubah apakah yang ingin disampaikan oleh sumber dalam bentuk kod dan kemudian menyampaikannya dalam bentuk utusan. Saluran merupakan perantaraan yang membawa utusan daripada sumber kepada penerima. Pemilihan saluran penting kerana ia membantu keberkesanan komunikasi. Pemilihannya hendaklah disesuaikan dengan keupayaan penerima dan utusan yang hendak disampaikan.

Gangguan berlaku apabila penerima tidak dapat menerima utusan yang disampaikan dengan jelas sebagaimana yang disampaikan oleh sumber. Gangguan boleh berlaku disebabkan oleh saluran, keadaan sekeliling atau pemikiran kita. Decoder

bertanggungjawab untuk menterjemah utusan yang diterima. Rangka rujuk merupakan pengalaman dan pengetahuan tentang sesuatu perkara yang menjadi tajuk komunikasi. Ia penting kerana sesuatu komunikasi tidak akan berkesan jika sumber dan penerima tidak mempunyai rangka rujuk yang sama (ibid.).

Untuk keberkesanan sesuatu komuikasi, sumber dan penerima mestilah mempunyai rangka rujuk yang sama. Maklum balas merujuk pada keadaan yang berlaku apabila penerima memberikan reaksi terhadap utusan yang disampaikan oleh sumber, dan maklumat awal adalah merupakan maklumat yang diperolehi oleh sumber komunikasi tentang unsur-unsur lain seperti penerima, saluran dan utusan untuk dijadikan bahan rujukan sebelum maklumat disebarkan kepada penerima (Sulaiman Masri, 2003).