• Tidak ada hasil yang ditemukan

BAB TIGA

3.6 Kaedah Kajian

Kaedah dalam kajian ini ialah merujuk kepada kaedah atau proses pungutan atau pengumpulan data bagi tujuan menganalisis pemerolehan dan penguasaan bahasa kanak-kanak daripada sudut pemahaman makna tersirat ini dilakukan.

Dalam kajian ini, tempat atau kawasan rakaman (lihat Jadual 3.2) dilakukan ialah di sekolah, rumah pengkaji, rumah sampel kanak-kanak dan juga di taman permainan. Pemilihan tempat atau lokasi-lokasi ini adalah untuk mendapatkan ujaran yang banyak dan pelbagai. Pemilihan rumah sampel kanak-kanak dibuat kerana sampel kanak-kanak yang dipilih itu tidak banyak berbicara semasa di rumah pengkaji. Oleh sebab itu, pengkaji telah meminta bantuan daripada ibu bapa kanak-kanak tersebut untuk membuat rakaman. Walau bagaimanapun, hasil yang diperolehi kurang memuaskan. Ini menyebabkan kerja-kerja merekodkan data terpaksa dibuat berulang kali.

3.7 Kaedah Kajian Kualitatif dan Kuantitatif

Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif dan kuantitatif. Istilah kualitatif sebenarnya adalah berasal daripada kata kualiti. Kualiti ini tidak merujuk kepada mutu tetapi sebaliknya kepada ciri-ciri yang ada pada gejala yang diselidik oleh pengkaji. Dalam kajian fonologi misalnya, kajian kualitatif melibatkan ciri-ciri yang ada pada vokal, konsonan, diftong, intonasi dan sebagainya. Begitu juga dalam kajian morfologi yang melihat kepada ciri-ciri morfem dan alomorf (Asmah Hj Omar, ibid.: 34). Dalam pendekatan kuantitatif, pengiraan dibuat untuk menunjukkan gejala atau ciri yang lebih banyak atau lebih kerap berlaku berbanding dengan ciri atau gejala lain.

Bagi menghasilkan kesimpulan, lazimnya ciri yang lebih banyak atau kerap itulah yang diberikan perhatian khusus. Pendekatan kuantitatif memerlukan kemahiran dalam pengiraan. Biasanya pengiraan secara peratusan boleh digunakan. Namun, statistik akan digunakan bagi mendapatkan keputusan yang lebih meyakinkan (Asmah Hj Omar, ibid.: 35). Dalam kajian yang berkaitan dengan analisis pemahaman makna tersirat dalam kalangan kanak-kanak ini sebenarnya telah dilakukan dengan menggunakan kedua-dua jenis kaedah yang telah diterangkan sebelum ini. Sebenarnya, untuk mendapatkan kajian

yang lebih mendalam dan keputusan yang baik, kedua-dua kaedah ini boleh digunakan secara bersepadu (Mohamad Najib, 1999).

Dalam kajian ini, kedua-dua kaedah kajian ini dipilih kerana kedua-duanya lebih mementingkan kualiti, intipati kajian dan pemahaman tentang fenomena (perlakuan manusia) yang dikaji melalui kerangka rujukan yang tertentu. Kerangka rujukan yang digunakan dalam proses menganalisa data dalam kajian ini ialah Teori Relevan, Prinsip Kerjasama Grice, Implikatur Perbualan dan Lakuan Bahasa (bahasa verbal).

3. 8 Kaedah Pengumpulan Data dan Prosedur

Berdasarkan kajian lepas, terdapat beberapa jenis prosedur yang boleh digunakan dalam proses pengumpulan data tentang pemerolehan dan penguasaan bahasa dalam kalangan kanak-kanak. Antaranya adalah dengan berdasarkan pemerhatian yang dilakukan secara langsung dan spontan terhadap pertuturan kanak-kanak dalam situasi sebenar seperti yang telah dibuat oleh Bowermann (1973), Berko (1958) dan Smith (1973).

Biasanya proses pengumpulan data yang dilakukan secara pemerhatian terhadap pertuturan spontan kanak-kanak dilakukan dengan terperinci terhadap saiz sampel yang kecil sahaja yang hanya terdiri daripada dua sehingga empat orang kanak-kanak sahaja. Cara yang kedua pula adalah melibatkan proses pengumpulan data melalui eksperimen dengan menggunakan instrumen khas untuk mendorong kanak-kanak menghasilkan bentuk-bentuk bahasa yang hendak dikaji (Juriah Long, 1993).

Jika dilihat pada kajian yang telah dibuat oleh pengkaji-pengkaji bahasa kanak-kanak yang terdahulu, didapati bahawa kaedah pengumpulan data melalui cara pertama iaitu berdasarkan pemerhatian yang dilakukan secara langsung dan spontan terhadap

pertuturan kanak-kanak dalam situasi yang sebenar lebih banyak digunakan berbanding dengan penggunaan instrumen khas untuk mendorong kanak-kanak menghasilkan bentuk-bentuk bahasa yang hendak dikaji.

Hal ini dapat dilihat berdasarkan kajian-kajian lepas yang telah dibuat oleh ahli-ahli bahasa seperti Bloomfield (1970 dan 1973), Brown (1973) dan Atan Long (1970). Cara ini juga dipilih selaras dengan cadangan oleh Labov yang merupakan seorang ahli sosiolinguistik terkenal. Labov (1970) telah menyatakan bahawa cara yang terbaik untuk memperolehi data yang bermutu dan lengkap daripada percakapan seseorang individu adalah dengan berdasarkan pemerhatian yang nyata.

Untuk mendapatkan hasil yang lebih baik, iaitu data mentah yang pelbagai dan sesuai dengan tujuan kajian, kedua-dua kaedah di atas telah digunakan oleh pengkaji dalam proses pengumpulan data. Hal ini amat penting untuk mendapatkan pertuturan yang sempurna dan ujaran yang boleh dijadikan sebagai data yang sesuai untuk dianalisis. Tanpa penggunaan kedua-dua kaedah ini, kemungkinan data yang diperolehi tidak mencukupi. Ini kerana tidak mungkin ujaran yang berkesan dan mencukupi akan diperolehi tanpa penggunaan strategi-strategi tertentu seperti penggunaan alat-alat permainan untuk mendorong kanak-kanak bercakap, membuat pemerhatian terhadap ujaran secara spontan, membuat rakaman dan sebagainya.

Tanpa strategi, perancangan dan persediaan yang rapi, tidak mungkin data yang mencukupi akan diperolehi. Apa yang penting ialah, data yang dikutip itu mestilah yang sesuai digunakan dan dapat menjawab hipotesis kajian. Hal ini kerana, semasa proses rakaman dibuat, pelbagai masalah telah dihadapi oleh pengkaji terutamanya untuk mendapatkan ujaran yang sempurna, jelas dan sesuai dengan kajian. Oleh itu, dalam

proses pengumpulan data, perkara yang telah dilakukan adalah membuat rakaman secara langsung dan spontan terhadap ujaran yang diucapkan oleh responden. Rakaman telah dibuat terhadap pertuturan kanak-kanak semasa mereka sedang bermain, berbual dengan rakan sebaya, dengan guru, ibu bapa, orang dewasa dan sesiapa sahaja yang ada di sekeliling mereka.

Rakaman terhadap pertuturan kanak-kanak telah dibuat dengan menggunakan pita rakaman. Selain membuat rakaman secara langsung, pengumpulan data juga dibuat berdasarkan pemerhatian, di mana pengkaji telah menyertai kanak-kanak semasa mereka berkomunikasi, memerhati dan menyalin semula ujaran-ujaran yang diucapkan oleh kanak-kanak yang dirasakan sesuai dijadikan data. Kaedah ini telah dilakukan dengan membuat catatan terhadap ujaran serta konteks semasa komunikasi tersebut berlangsung. Cara ini juga agak berkesan kerana pengkaji dapat mencatatkan ujaran-ujaran yang sesuai untuk kajian.

Dalam usaha mendapatkan ujaran yang banyak, pelbagai, dan berkualiti, pengkaji telah membuat rakaman, mencatat perbualan, membuat pemerhatian terhadap kanak-kanak dalam pelbagai situasi. Misalnya, semasa proses pengumpulan data dibuat, tempat kajian bukan sahaja difokuskan kepada sekolah tadika semata-mata, malah pengkaji juga telah mendapatkan data yang diambil semasa kanak-kanak berada di taman permainan, semasa kanak-kanak berada di rumah bersama ibu-bapa, kawan-kawan dan rakan-rakan sebaya mereka. Perbualan yang berlangsung secara spontan dalam pelbagai situasi serta aktiviti yang dilakukan oleh kanak-kanak telah dirakamkan dalam usaha mendapatkan data yang pelbagai dan berkualiti serta bertepatan dengan objektif kajian.

Pengkaji juga telah mengajak dan mengumpulkan sekumpulan kanak-kanak supaya datang ke rumah pengkaji dan kumpulan kanak-kanak itu dibiarkan bermain serta berkomunikasi secara bebas sesama mereka. Barang-barang permainan dan alat bantuan yang lain seperti alat tulis, lukisan, pensil warna, kapur tulis dan papan hitam juga telah disediakan. Semasa proses rakaman dibuat, pengkaji telah menggunakan pelbagai cara untuk mendorong kanak-kanak tersebut berbual-bual sesama mereka tanpa berasa janggal atau terganggu dengan kehadiran pengkaji.

Hal ini penting kerana proses pengumpulan data merupakan aspek paling penting dalam memastikan kejayaan sesuatu kajian. Persoalan kajian dan hipotesis kajian tidak mungkin terjawab tanpa adanya data yang sesuai dan mencukupi untuk dijadikan bahan analisis. Ia juga penting untuk dijadikan sebagai sokongan dan bukti terhadap setiap pernyataan dan kesimpulan yang dibuat.

Kaedah yang kurang berkesan semasa proses pengumpulan data tidak akan dapat membantu para pengkaji mendapatkan data yang banyak, pelbagai dan sesuai dengan tujuan kajian, dan akhirnya akan mengganggu proses kajian serta akan menyebabkan pelbagai masalah akan timbul. Apatah lagi respondennya adalah terdiri daripada kanak-kanak kecil yang masih belum matang menyebabkan banyak kaedah terpaksa digunakan dalam usaha mendapatkan data yang mencukupi dan sesuai dengan ruang lingkup kajian.