Biarlah satu bagiku tetapi mencukupi, daripada sembilan puluh sembilan tetapi tidak cukup. Aku teringat akan kisah dua orang bersaudara mendatangi seorang yang dianggapnya ahli, minta hukum yang adil dan jangan dianiayai, dengan menunjukkan jalan yang betul. Keduanya berselisih. Aniaya yang seorang pada yang lain.
Seorang di antaranya berkata, “Ini saudara saya. Ia mempunyai sembilan puluh sembilan (99) ekor kambing dan saya hanya mempunyai seekor sahaja. Lalu katanya kepada saya, ‘berikanlah kambing engkau ini kepada saya menjaganya,’ dan dikalahkannya saya dengan percakapannya.”
Berkata si ahli tadi, “Sungguh ia aniaya sekali pada engkau kerana meminta kambing engkau itu supaya dipercampurkannya kepada kambingnya. Sungguh banyak orang-orang yang
bersyarikat itu aniaya yang seorang kepada yang lain kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, tetapi amat sedikit bilangan mereka itu.”
Kisah ini aku perdapat dari al-Qur’an Surat 38, Shaad ayat 22 – 24. Dan adalah si ahli yang dimaksud Nabi Daud. Maka dengan kedatangan kedua orang bersaudara itu membawa perkaranya kepada Nabi Daud, tahulah ia bahawa Tuhan mencubai dia, lalu meminta ampun kepada Tuhan, seraya terlungkup tunduk dan kembali.
Bagi Nabi Daud, kedatangan orang berdua bersaudara itu dianggapnya sebagai ujian dari Tuhan. Maka orang lain, adalah bagi kita yang datang kemudian dapat menunjukkan jalan yang betul-betul hendaknya seperti yang dikehendaki kedua bersaudara itu, dengan tidak merugikan yang punyai seekor kambing dan yang telah punya sembilan puluh sembilan ekor itu mendapat pula yang dikehendakinya dengan tidak merugikan
Bagiku orang yang datang kemudian dan yang telah jauh berjalan, telah banyak menjalankan dan telah banyak pula yang terjalankan dan sudah biasa berjalan sendiri, maka aku akan mengatakan:
Kepada yang telah punya 99 ekor kambing dan belum merasa cukup, cukupkanlah dengan apa yang ada padamu. Dengan pandainya engkau mencukupkan dengan apa yang ada padamu, maka kamu tidak akan merugikan orang lain.
Kepada yang punya seekor, cukupkanlah saudaramu yang telah punya 99 ekor itu dengan apa yang ada padamu. Dengan pandainya engkau mencukupkan saudaramu itu dengan apa yang ada padamu, maka engkau tidak akan merugikan dirimu sendiri.
Kalau masing-asing tak tahu jalannya, maka sebaiknya bertanyalah kepada yang tahu. Untuk yang telah sampai
mempunyai sebanyak 99 tetapi belum berasa cukup, tandanya dia sudah terlampau jauh berjalan keluar untuk mencari. Maka untuk supaya dapat mencukupi, dia harus berjalan ke dalam, ke dirinya kerana di dirinyalah letaknya kekurangan itu. Begitu pula yang punyai seekor kambing itu, dia harus berjalan keluar dengan dirinya untuk mencari kelebihan supaya dia dapat mencukupkan yang kekurangan dengan tidak merugikan dirinya sendiri. Dan kalau jalan yang sebenarnya telah ditemui, maka tiada yang sulit yang tak bisa diatasi dengannya. Dari itu carilah jalan yang benar.
Berjalan ke dalam dimaksud ialah ke dalam rumah sendiri dan berjalan keluar ialah keluar rumah sendiri. Maka adalah yang telah punya 99 ekor kambing itu umpama dahan-dahan kayu yang tak berbatang, dan yang punya hanya seekor itu ialah batang kayu yang tak berdahan. Jadi yang diperlukan oleh dahan yang banyak ialah batang dan oleh batang ialah dahan. Apa sebabnya yang 99 itu tak berbatang? Jawabnya ialah oleh kerana datangnya atau diperdapat dari luar dan tatkala mencarinya badanlah yang dianggap batangnya. Oleh kerana itu, walau berapa banyak sudah diperdapat, namun keinginan untuk menambah lagi tetap mendatang atau mahu lagi, oleh kerana tidak puas atau belum puas.
Dan begitulah kesudahannya bagi seseorang yang mencari sesuatu untuk sesuatu, seumpama ada yang sudah dapat dalam bilangan 9 dan ingin mencari yang satu untuk mencukupkan, dan begitu pula ada yang telah lewat dari sepuluh, kerana yang dimintakannya satu untuk mencukupkan, maka diperdapat dua, maka sampailah pula dia dalam bilangan sudah mencapai sebanyak sembilan puluh sembilan. Yang mempunyai seekor kambing atau satu, tidak mencari lagi keluar untuk menguatkan, melainkan dicukupkannya dengan apa yang ada padanya iaitu batang tubuhnya berserta isinya oleh kerana dia mengerti akan yang satu itu.
Begitulah Tuhan dengan Rahsia-Nya, Yang Memberi beberapa contoh sebagai perumpamaan; cukupkanlah yang di luar
dengan yang di dalam dan yang di dalam harus keluar untuk dapat mencukupi.
Dan begitulah setelah aku dapat memecahkan rahsia yang terkandung pada kisah yang kukisahkan di atas dengan menunjukkan jalan yang betul kepada dua orang bersaudara yang berselisih itu, maka untukku aku perdapat pula pelajaran bagaimana cara menghukum secara adil dengan tidak merugikan kedua-belah pihak, dan aku beruntung telah mendapat pula pelajaran menemui jalan untuk mencukupi diriku sendiri dan mencukupi diri orang lain dengan tidak merugikan diriku sendiri.
Dan begitu pula telah banyak orang yang aku bukakan jalan; aku tunjukkan jalan dengan membawanya berjalan. Selagi aku yang membawa mereka itu berjalan semuanya berjalan dengan betul, akan tetapi mereka tidak mengerti. Buktinya, setelah aku membawanya berhenti berjalan dan bertanya apa yang telah dilakukan, aku tiada mendapat jawapan yang betul. Mereka tak dapat mengatakan apa yang telah dilakukannya, apa yang telah diperbuatnya dan apa yang telah dirasakannya. Mereka belum dapat memperbezakan antara yang satu dengan yang lain. Kebanyakan mereka salah tangkapan. Kenyataannya, di waktu mereka berjalan sendiri-sendiri dengan menggunakan jalanku, maka jarang mereka yang sampai dapat menemui tujuannya kerana di samping dia menurutkan jalanku dia memakai jalannya sendiri pula. Maka adalah hasilnya tidak memuaskan kerana dalam praktiknya telah berlaku kata pepatah, ‘Seiring bertukar jalan.’ Perjalanan yang kuberikan padanya dicampur-adukkannya dengan jalannya sendiri iaitu gerak fikirannya.
Dan aku berjalan terus dan terus berjalan; berjalan sendiri, berjalan bersama-sama, membawa orang berjalan, menjalankan yang harus kujalankan sehingga telah banyak yang terjalankan olehku. Di dalam perjalanan yang jauh tetapi dekat, aku dapat menemui kisah perjalanan Nabi Musa dengan Nabi Khidir yang telah dikurniakan Tuhan Rahmat dan mendapat pengajaran ilmu
pengetahuan (al-Qur’an Surat al-Kahfi ayat 65 – 73).
Saya sangat tertarik akan kisah perjalanan dua orang Hamba Allah itu dan ingin sekali hendak ikut menurutkan jejak perjalanannya. Semoga dengan dapat menurutkan jejak perjalanannya itu aku akan mendapat pula pelajaran ilmu pengetahuan seperti yang telah dikurniakan Tuhan kepada Nabi Khidir itu. Aku telah dapat menemuinya. Penemuan padanya tidaklah seperti pertemuan Nabi Musa iaitu di pertemuan dua laut, melainkan kalau boleh kukatakan, aku telah dapat menemuinya di pertemuan kiri dan kanan. Dan aku akan menurutkan jalannya sebagaimana yang dikehendakinya. Dan untuk badanku yang telah banyak melakukan perjalanan dan telah jauh berjalan, telah banyak lurah yang dituruni, telah banyak bukit yang didaki, maka aku mencari kedudukan untuknya. Kasihan aku kepada badanku yang kurus lagi lemah itu. Dan aku berjalan terus sebagai seorang pengembara. Suatu perjalanan yang pulang dan pergi ke Pusat.