• Tidak ada hasil yang ditemukan

Yang Terbuka – Pintu Yang Dibukakan – Yang Membuka Aku

Dalam dokumen Diriku Yang Kukenal (Halaman 133-137)

Kalau engkau termasuk golongan yang terbuka, maka segala pintu akan terbuka terus bagimu. Kalau engkau golongan yang dibukakan, maka untuk keluar engkau harus ditunjukkan jalan dengan dibimbing (dituntun). Kalau engkau termasuk golongan yang membuka, maka adalah kewajipanmu membimbing (menuntun) dan menunjukkan jalan bagi orang yang engkau buka.

Saya yang tadinya menurut setahuku telah terbuka dengan sendiri, berjalan keluar sebagai seorang pengembara. Aku berjalan semenjak pintu telah terbuka bagiku; berjalan seorang diri dengan mengorbankan apa yang ada padaku. Bertahun-tahun sudah aku berjalan, dan banyaklah pengalaman yang aku perdapat selama dalam perjalanan. Aku berjalan dan terus berjalan.

Dalam perjalanan, aku menemui ‘Anak Kunci’ dan dengannya aku telah dapat membuka dan memasuki, dan telah banyak yang telah aku bukakan. Amat sayang mereka tidak mengerti dan tidak banyak tahu, dan amat sedikit pula di antara mereka yang

berterima-kasih padaku. Dia mahu buah yang sudah masak sahaja dan disuapkan lagi ke mulutnya. Di waktu disuapkan membayangkan keuntungan untuknya sendiri dengan tidak mempedulikan orang lain, apalagi yang memberinya. Makanan empuk aku berikan dijadikannya makanan yang keras oleh kerana pembawaannya keras. Aku membawanya ke syurga, tetapi dia membawa aku ke neraka. Anehnya lagi, di saat-saat yang tertentu aku disalahkan. Aku dihukum tanpa diadili. Akan tetapi, untunglah aku bukan dia.

Makanan yang lazat lagi empuk yang aku berikan dapat diterimanya dengan sangat mudah menelannya kerana menurutkan jalanku, akan tetapi di waktu mengeluarkannya (iaitu di waktu mempergunakannya), bukan jalan yang aku tunjukkan yang diturutinya, melainkan dia memakai jalan sendiri iaitu jalan yang berisikan hawa nafsu. Maka berlainan keinginan dengan kehendak, seiring tetapi bertukar jalan.

Aku kembali kepada diriku sendiri, kembali memikirkan keadaanku. Telah banyak aku berbuat dan telah banyak kali pula aku berjalan. Apa hasilnya? Hasilnya bagiku ialah seperti menghasta kain sarung; sampainya di situ ke di situ juga. Sebabnya ialah aku terlampau banyak melihat keluar, sedangkan di luar jalan terlampau banyak simpangnya. Yang terang hasilnya bagiku ialah aku telah pandai membuka dan membawa berjalan sekali keluar. Hendak ke mana mereka aku bawa? Sudah tentu menuruti jalan yang telah aku tempuh.

Aku membawanya keluar. Aku tunjukki mereka jalan dan aku biarkan mereka berjalan. Tujuanku supaya mereka lekas cerdas, lekas pandai dan lekas tahu. Ada di antara mereka telah puas dengan apa yang diperdapatnya dan menurut, dan menuruti jalan sendiri dengan tidak mengingat lagi untuk kembali ke pangkalan. Ya, dia telah besar dan telah dapat menjalankan sendiri pada tangkapannya. Ada pula di antara mereka sentiasa berasa kekurangan dan tidak puas dan kembali ke pangkalan minta diisi,

minta ditambah. Kedatangan mereka itu kembali aku terima dengan perasaan kasih-sayang walaupun kadang-kadang hatiku mendongkol (geram dalam hati) disebab-kerana tindak-laku perbuatannya. Aku bersihkan dirinya. Aku siangi jalannya dan aku beri dia lagi isi, akan tetapi kebanyakkan yang tersua, telur yang aku berikan bukan berkembang sampai menghasilkan turunan yang bertelur pula, melainkan adalah telur itu lantaran enak rasanya baginya, dipecahnya, didadarnya, digorengnya dan dimakannya, dan keluar menjadi kotoran. Aku tidak rugi, kerana bagiku banyak persiapan-persiapan yang lain. Hanya aku berasa menyesal dan kesal kerana pemberianku disia-siakan sampai terbuang percuma sahaja. Emas yang 24 karat keluarnya menjadi loyang dan tembaga yang sangat rendah nilai dan harganya. Sayang, kebanyakan di antara mereka tidak tahu.

Aku kembali ke diriku sendiri dan aku pelajari kembali apa yang terjadi padaku. Aku dapati, ada pula yang begitu saja meninggalkan aku dengan tidak mempercayai ilmuku lagi kerana percubaannya mengasalkan (mencari salasilah) ilmuku tidak menghasilkan yang dihajatinya. Dia menjauhi aku dan ada pula yang mengatakan yang bukan-bukan mengenai Aku.

Bagiku, didatangi atau tidak oleh orang-orang seperti itu sama sahaja. Bahkan kalau boleh, saya mengatakan terima kasih padanya kerana oleh tindak-laku perbuatannya itu aku ingat kembali ke diriku sendiri. Aku tidak akan menyalahkan orang lain, melainkan aku akan menyalahkan diriku sendiri, kerana tadinya aku menganggap adalah orang-orang itu sama sahaja seperti saya. Tetapi, setelah pakaianku kuberikan padanya, kenyataannya mereka itu tidaklah seperti saya kerana pakaianku yang begitu bagus dasar dan warnanya, ada yang jadi sudah robek-robek dan kotor, dan bagi setengahnya ada pula sudah hilang ragi dan warnanya telah mulai pudar.

Sebaliknya, ada pula yang selalu menghubungiku dapat memahami aku dan dapat merasakan akan hikmahnya pakaianku

yang dipakainya, dan dapat pula mengetahui sakit-senang aku dan mengenal aku. Golongan mereka ini hanya sedikit (tidak banyak), yang termasuk orang yang mengerjakan suruh dan menghentikan tegah.

Keinginanku untuk mendapatkan orang yang cerdas, berpengetahuan umum, ber-Tuhan dalam erti kata yang sebenarnya, dapat menangkap dan menerima apa-apa yang kuberikan dan mengamalkan dengan sebaik-baiknya belum tercapai. Banyak tujuanku. Lebih dari itu, bersama-samanya menggali dan mempelajari dengan lebih mendalam menuju kepada pengakuan; diakui oleh cerdik-pandai, diakui oleh orang berilmu, diakui oleh ulamak dan mendapat pengakuan hendaknya di mana-mana sehingga menjadi pengakuan umum untuk diamalkan sendiri-sendiri dan bersama-sama. Pengalaman-pengalaman yang banyak itu menyebabkan aku sering kembali ke diri sendiri, memperbaiki diri, menyendiri, mencari jalan yang benar.

Banyak sudah yang terbuka olehku dan banyak pula sudah yang sakit mendapat ubat dariku. Orang lain Aku buka sampai terbuka, dan aku tidak tahu siapa yang membuka aku. Setahuku, aku telah terbuka. Bagi orang yang telah terbuka, maka adalah orang yang membukanya itu Aku. Dan aku, siapa yang membukaku? Aku tak dapat tahu, setahu aku, aku sudah terbuka. Dan pengalaman juga menunjukkan bahawa Aku telah keluar dan sering keluar, yang bererti pintu telah terbuka bagiku.

Tiada guru yang kudapati tempatku bertanya atau belajar, akan tetapi yang kudapati hanya ahli-ahli untuk membanding. Aku mencari dan mencari, dan adalah kalau boleh dikatakan, pengalamanlah yang jadi guruku. Dan begitulah aku sampai menjadi seorang pengembara, mencari jalan yang sebenarnya jalan, iaitu jalan yang berpetunjuk, jalan yang memberi nikmat, tidak dimurkai dan tidak pula sesat.

Dan aku temuilah itu jalan yang sebenarnya jalan yang menjadi peganganku sampai saat sekarang ini dan seterusnya.

Insya-Allah. Rupanya jalan itu letaknya bukan di luar, malahan di

diri sendiri. Jalannya hidup, bukan mati, lagi berisi. Isinya nikmat lagi memberi. Pemberiannya mendatangkan nikmat lagi terang, bukan gelap. Dan begitulah selama hayatku aku sentiasa akan membuka dan terus membuka. Kalau tidak ada, yang akan kubuka diriku sendiri, membuka rahsia diri untuk aku jadikan ilmu pengetahuan yang menuju kepada pengakuan (pengakuan dari orang banyak). Aku akan mengaliri yang dapat kualiri dan mengalir dan mengalir (mengaliri yang patut aku aliri) dan aku akan berjalan terus dan terus berjalan.

Dalam dokumen Diriku Yang Kukenal (Halaman 133-137)