Siapakah yang berkuasa di antara kita? Badankah yang berkuasa atas diri atau dirikah yang berkuasa atas badan? Yang pasti ialah badan mengandung diri dan diri terkandung dalam badan. Kenyataannya keluar, badan menguasai kita. Akan tetapi, alangkah ganjilnya rumah yang menguasai penghuninya, sedangkan yang punya rumah tak berkuasa atas rumahnya. Akibat salah anggapan dan pandangan, maka dirilah yang merana, menderita, merintih. Suatu pandangan hidup yang salah, dia bercermin kepada badannya, bukan ke dirinya. Akan tetapi, terhadap orang lain dia bercermin ke diri orang. Tak salahnya kalau dia berasa rendah dari orang lain (rendah diri). Untuk ini, selain kita harus memperbesar diri, kita harus juga merubah pandangan. Kalau selama ini badan yang menyelubungi diri yang dikemukakan, kita harus merubah dengan dirilah yang dikemukakan dengan mengikut sertakan badan. Selama ini badan yang ke muka dengan pergerakannya sendiri dengan tidak menghiraukan diri sendiri. Orang yang tak tahu di dirinya, tak berpendirian dan amat mudah dipengaruhi dan dikuasai orang lain.
Apa ertinya kita kalau seluruh keadaan kita dikuasai oleh orang lain? Dari itu, belajarlah mengenal diri dan mengetahui rahsia diri supaya dapat merubah pandangan hidup. Diri seharusnya meliputi badan keseluruhannya dan kalau perlu sanggup menguasai seluruh keadaan sekeliling kita, bahkan lebih dari itu. Bagi diri,
adalah segala sesuatunya jauh tak berantara, dekat tak berbatas. Bagi badan, jauh diturut, dekat dijangkau. Membawakan diri ada dua jalan iaitu bagi orang yang telah dapat mengenal dan menemuinya:
Pertama: Pada diri ada jalan. Kalau badan membawa diri berjalan untuk keperluan sesuatu, maka jalan dirilah yang akan diturutkan sebab diri lebih tahu dari kita sendiri (ingatlah akan perjalanan Nabi Musa dengan Nabi Khidir).
Kedua: Diri yang telah meliputi keadaan kita keseluruhannya berjalan sendiri pada jalannya dan membawa dan mempergunakan segala yang ada sebagai alat untuk mencapai tujuan.
Segala selubung atau tabir atau dinding, dengan apa yang ada padanya, dia sanggup menembusnya, apalagi kalau pintu telah terbuka. Diri yang diliputi dan meliputi tak akan dapat dikuasai orang lain, bahkan sebaliknya diri dapat menguasai orang lain dan keadaan sekeliling. Kalau terjadi perang, tanding untuk kuasa-menguasai, maka yang kuat yang akan menang. Kekuatan ada pada kebenaran. Dan Yang Maha Kuasa ialah Tuhan.
Kesimpulannya, kalau diri telah ditemui, maka segala tindak-laku perbuatan kita hendaklah dengan diri sebab diri itulah yang banyak tahu, yang banyak mengandung rahsia dan Rahsia Tuhan ada padanya.
Dan aku mengadakan pengakuan untuk mendapat Pengakuan. Aku adakan pengakuan terhadap Tuhan, ‘tiada yang lain yang kusembah melainkan Allah,’ dan aku adakan pengakuan terhadap ‘Muhammad Rasul Allah’ dengan membaca sebanyak mungkin Dua Kalimah Syahadah, kerana bagiku adalah hikmah yang terkandung dalam Dua Kalimah Syahadah itu, antara lain; PENGAKUAN (KESAKSIAN), PANGKAT dan MARTABAT.
berulang-ulang, iaitu pertama; pengakuan dariku, kedua dari diriku dan ketiga dari badanku. Dari siapa Pengakuan itu akan aku nantikan? Sudahkah aku mendapat Pengakuan dari Tuhan? Aku insaf, aku sedar bahawa adalah aku manusia biasa dan pengakuan aku harapkan dan nantikan dari orang banyak, dari cerdik-pandai, dari orang yang berilmu, dari alim ulamak.
Palembang, Indonesia 21 Jun 1966
KATAKU
Kataku: ‘A’-ku – Badan-ku – Diri-ku
‘A’ datang dari Allah, ‘Badan’ dijadikan dari tanah, ‘Diri’ mendatang kemudian.
Mula pertama aku diciptakan sampai berupa dan bertampan dan berwujud oleh Yang Maha Kuasa dijadikan dari tanah. Itulah badan-ku. Kemudian ditiupkan-Nya Roh ke dalam batang tubuhku. Yang Meniupkan Tuhan. Maka terdirilah ‘A’-ku. Yang Mendirikan Allah dan berdirilah ‘A’-ku dengan sendirinya.
Dengan adanya ‘A’-ku maka hiduplah badan diriku. Dan jadilah aku menjadi manusia hidup oleh kerana ada yang menghidupkanku. ‘A’-ku datang dari Allah. Badanku dijadikan dari tanah. Allah, Tuhan-ku Yang Meniupkan Roh-Nya ke dalam batang tubuhku. Maka berdirilah ‘A’-ku.
Aku sebenarnya adalah Roh. Aku diberi Tuhan mata untuk melihat, telinga untuk mendengar, hidung untuk mencium bau-bauan, lidah untuk merasa, otak untuk berfikir, akal untuk menimbang (neraca). Semua Anugerah Tuhan itu tempatnya pada bahagian teratas dari badanku iaitu di kepalaku.
Dan Didudukkan aku di dalam sebuah rumah yang berisikan alat perabut yang serba sederhana tetapi sangat berguna seperti hati,
jantung, limpa, rabu, empedu yang tempatnya di dalam dadaku. Dan diberi-Nya aku perut berserta isinya yang berpusat dan mengandung banyak daya-guna dan mempunyai alat pelepasan untuk membuang hampas atau kotoran. Dan pada bahagian belakangku yang dinamakan punggung dan pinggang berisikan pula alat-alat seperti buah pinggang yang menghasilkan bibit-bibit tunas saringan dan saluran yang menyalurkan air kencing dan bibit-bibit tunas melalui alat yang tertentu pula.
Dan diberi-Nya aku kaki, tangan untuk menyampaikan tujuan, keinginan dan kehendak lahir. Dan begitulah pemberian Tuhan kepadaku, yang garis besarnya terdiri dari bulu, kulit, darah, daging, hati, jantung, limpa, rabu, empedu, urat, tulang, otak benak, Disusun dan diatur oleh Yang Maha Penyusun lagi Maha Pengatur; suatu susunan dan aturan yang patut menjadi bahan pelajaran bagi kita untuk ditiru sebagai perumpamaan.
Dan begitu pula seluruh batang tubuhku dibalut dengan apa yang dinamakan kulit yang ditumbuhi bulu di atasnya, salah satu dari panca-indera kita untuk dapat merasakan apa yang dapat dirasakannya, satu pemberian dari Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Penyayang yang patut disyukuri.
Aku yang berbadan dan berdiri, menjalankan kehidupan sendiri di dalam dengan tidak banyak mendapat halang rintangan, akan tetapi perjalanan hidupku di luar yang dibawakan oleh badanku tidaklah dapat menyenangkan Aku, bahkan kebanyakkan hasil kerjanya menyebabkan Aku mengeluh oleh kerana Aku menderita dibuatnya. Jalan kehidupan yang dibawakan ke luar, tidak ada pegangan (suatu perjalanan yang meraba-raba dalam gelap-gelita) yang lebih banyak membawa akibat tidak menguntungkan daripada menguntungkan. Di mana letaknya kesalahannya? Segala kesalahan terletak pada ketidak tahuan apa erti hidup yang sebenarnya dan terlampau banyak melihat kehidupan di luar.
Memang semenjak dari dahulukala, kebanyakan manusia tidak beruntung hidup disebab-keranakan salah memahamkan erti hidup yang sebenarnya. Telah lama kehendak badan diturutkan dan jarang didapat kehendak hati. Kalau kehendak hati yang diperdapat, pasti akan memuaskan kepada perasan badan dan diri. Kehendak badan yang susah diperdapat kebanyakannya membawa kecewa kepada diri kerana kehendak badan sangat tak habis-habisnya. Dapat satu mahu satu lagi, dapat satu lagi mahu lagi dan begitulah seterusnya. Maka inilah yang dinamakan kehendak hawa nafsu yang tak pernah merasa puas. Sedangkan kesanggupan badan untuk mencapai kehendak yang banyak itu tidak ada. Pembawaan badan yang salah itulah yang menyebabkan kita manusia tidak beruntung.
Mungkinkah diri sanggup menyampaikan kehendak hati? Kalau mungkin, bagaimana caranya diri membawakannya? Pembawaan badan berlainan dengan pembawaan diri. Badan yang selama ini tak pandai membawakan diri, berasa rendah terhadap orang lain kerana dia berkaca ke badannya dan bercermin kepada kelebihan orang lain. Badannya yang dianggapnya dirinya dan begitu pula terhadap orang lain, kelebihan orang diambilnya sebagai ukuran. Oleh kerananya, dengan sendirinya dia berasa kekurangan dari orang lain.
Kelebihan orang berlain-lain pula. Ada kerana pangkatnya, kedudukannya, ilmu pengetahuannya dan lain sebagainya. Maka adalah kesemuanya yang disebutkan itu tambahannya datangnya dari luar dan tidak kekal. Dan bagaimana dengan dirinya? Adakah mereka berasa puas dengan keadaannya itu? Cuba-cubalah bertanya kepada orang-orang yang punya kelebihan seperti yang disebutkan di atas itu. Kalau mereka berilmu dan berpengetahuan, maka ilmu dan pengetahuannya dipergunakannya untuk memperbesar, memperkaya, memperelok badannya sendiri. Jarang dipergunakannya untuk kebaikan bersama atau umum.
orang yang punya kelebihan itu. Sikap hormat dan menghargai tak dibawakan untuk menunjukkan kehalusan budi-pekerti kita terhadap seseorang. Itupun tak boleh berlebih-lebihan, apalagi sengaja dibuat-buat.
Apa yang dikehendaki diri dari kita? Yang dikehendaki diri ialah penyerahan; penyerahan keseluruhannya supaya dia bisa bebas berbuat. Serahkanlah seluruh badan kepadanya sehingga dia yang menguasainya dan supaya dapat dia merasakan keadaan badannya sendiri.
Ketahuilah bahawa kehidupan diri kita di dalam terbatas oleh bulu dan kulit kita. Oleh kerana badan tak mengetahuinya dan tak pernah mahu mengenalinya, maka pintu untuknya keluar sentiasa tertutup. Badan terlampau berpegang kepada kenyataan, kepada yang ada. Walaupun dia mengetahui dan mengakui bahawa padanya ada diri yang letaknya di dalam batang-tubuhnya, maka anggapannya pada dirinya sendiri itu seumpama barang mati (pasif, tidak aktif), padahal kerana badannya makanya diri itu diadakan. Kerana burunglah makanya sangkar dibuat.
Diri yang patut dikenali itu:
• Berdiri dengan sendirinya bagi badan, memberi daya hidup kepada badan kita di dalam dengan mengaliri seluruh batang tubuh kita menurut jalannya aliran darah kita.
• Dia mengandung daya-tenaga yang ada pada badan yang dinamakan tenaga ghaib, yang tak bisa dilihat. • Untuk dapat mengenalnya lebih mendalam, diri harus
dapat menembus dinding yang membatasinya dengan alam luar dan keluar melalui pintu-pintu tertentu. Ini akan terjadi setelah kita dapat merubah pandangan hidup; yang kalau tadinya badan yang dianggap kita, setelah kita dapat menyerahkan badan kita padanya sampai badan tadi telah menjadi kepunyaannya, maka
dirilah yang menjadi kita iaitu diri yang berbadan. • Diri akan membawa badan bergerak dengan
menembus alam sendiri dan lambat-laun tetapi pasti akan dapat merasakan yang bahawa pintu baginya telah terbuka iaitu yang dapat benar kita merasakannya ialah melalui hujung jari-jari, hujung kuku kita. Padanya ada jalan iaitu jalan sendiri di dalam dan kalau kita dapat menemui jalan itu dan kita cuba menuruti jalannya, maka dengan beransur-ansur rahsianya akan terbuka dan dapat dimengerti. Jalannya berisi dan isinya menghendaki penelitian kita lebih mendalam untuk dapat mengambil manfaat daripadanya.
Aku mengatakan jalan itu adalah memberi nikmat, tidak dimurkai dan tiada pula sesat. Kita yang di luar (badan) dapat belajar daripadanya dengan menurutkan jalannya. Untuk ini aku ingatkan kepada kisah perjalanan dua orang hamba Allah iaitu Nabi Musa dan Nabi Khidir. Nabi Musa dapat menemuinya dengan petunjuk Tuhan, di pertemuan permukaan dua laut, dan aku dapat menemuinya dengan petunjuk al-Qur’an di waktu dapat membaca kisah perjalanan kedua orang hamba Allah itu di pertemuan permukaan kiri dan kanan. Dan begitulah aku dapat menemukan jalan diriku sendiri. Aku kemukakan diriku dengan menghemat kepada tenaga lahirku yang lemah. Badanku tak kuat, punggungku cacat sesudah mengalami dua kali pembedahan. Aku mempergunakan tenaga baru yang selama ini bagiku terpendam dan belum pernah aku mengenalnya secara langsung. Aku kasihan ke badanku yang telah banyak menjalankan kehidupan dengan telah banyak pula pengalaman, akan tetapi tak banyak menghasilkan.
Aku teringat akan hari tuaku, masa depanku dan hari terakhirku, dan apa yang akan kupersembahkan kepada Tuhan-ku nanti. Aku ingin hidup untuk lebih lama lagi, kalau boleh untuk
seribu tahun lagi. Kerana apa? Ya, kerana aku banyak menemui dan mendapat tenaga-tenaga baru yang akan kupergunakan untuk tujuan hidup dengan tidak menyusahkan badanku sendiri dan orang lain. Ini aku perdapat setelah aku dapat menemui dan mengenal diriku sendiri yang banyak mengandung rahsia itu.
Kumpulan tenaga-tenaga baru yang ada di diriku itu adanya tidak terbatas kerana selain yang ada padaku, sangat banyak adanya di luar. Dan pada diriku ada jalan untuk menghubungi tenaga-tenaga yang banyak di luar itu. Dan begitulah pula aku yang tadinya terlampau percaya kepada kenyataan, kebendaan, kepada kesanggupan badan dengan tidak mengindahkan diri, semenjak aku dapat menemui dan mengenal diriku yang banyak mengandung rahsia itu, menjalankan kehidupanku dengan mempergunakan jalan diriku untuk tujuan sesuatu, dengan pengertian dirikulah yang berbuat dengan mengikut sertakan badanku. Dan dalam pada itu tenaga badanku tidak banyak berbuat.
Aku perbaiki kesalahan yang diperbuat oleh badanku selama ini, dengan diriku yang berbuat sebagai amalanku. Banyak sudah diriku berbuat dan banyak pula sudah orang mendapat hikmahnya dari perbuatan diriku itu. Tak kurang pula orang yang mendatangiku untuk meminta sesuatu padaku. Mereka–mereka yang mendatangiku ingin mempunyai seperti apa yang telah kupunyai dan aku berikanlah apa yang ada padaku, di diriku. Sayang, banyak di antara mereka tidak mengerti dan salah tangkapan.
Kalau tadinya aku berat ke luar, maka dengan pembawaan diriku, dengan berdiri di diriku maka aku jadi berat ke dalam. Oleh kerananya, aku lebih senang tinggal dalam rumah daripada bepergian tak tentu arah tujuan, dan perasaanku bertambah lebih senang lagi di waktu aku duduk sendiri dengan menyendiri. Dan di waktu itu banyaklah yang aku perbuat dan perdapat. Oleh amal perbuatan diriku itu, aku mulai dikenal orang dan berubah pandangan orang yang telah kenal padaku tadinya, dan tak kurang
pula banyaknya orang yang kenal namaku kerana banyak disebut orang akan tetapi tak kenal rupa dan bentukku. Ini oleh kerana pembawaan diriku yang lebih suka tinggal di rumah. Dan akibatnya, bermacam pula penilaian orang terhadap badan diriku. Dan bagiku sendiri membawa akibat juga. Kadang-kadang dengan tidak aku sedari, aku sudah begitu jauh tenggelam dengan diriku sampai aku lupa kepada kewajipan lahirku dan kebanyakan perbuatan orang, banyak yang tidak aku sukai. Tempoh-tempoh aku harus menyesuaikan diriku dengan orang lain, supaya ada saling pengertian. Perbuatan seperti ini bagiku suatu kemunduran.
Aku yang telah duduk di universiti, tempoh-tempoh (kadang) dipaksa untuk berfikir cara di tingkatan SPM, kadang-kadang di sekolah rendah dan tidak kurang pula menjadi seorang yang tak bersekolah kalau aku berhadapan dengan orang yang buta huruf. Aku yang telah tahu di diri dan yang berbuat dengan mengikut-sertakan badanku, berhadapan dengan orang yang berpendirian pada badan, kepada kenyataan, kepada kebendaan. Untuk mencapai tujuanku dan tujuan orang yang mendatangiku, harus menurutkan dahulu aliran fikiran orang-orang itu dan setelahnya ada persesuaian, maka kumasukkanlah aliranku yang tak ada padanya. Mereka-mereka mendatangiku oleh kerana berasa kekurangan dan menganggap apa yang diperlunya itu ada padaku.
Kedatangan mereka itu untuk keperluan sesuatu. Bagiku tandanya ada kelebihan padaku dan aku memberinya dengan tidak merugi dan merosak kepada diriku sendiri. Mereka-mereka baru duduk di tingkatan nol (kosong) dan aku telah di tingkat III. Ada pula yang telah duduk di tingkat I, ini menurut perhitunganku sendiri, dan ada pula yang telah duduk di angka 11, 12, 13 dan lain sebagainya. Perhitungan sebelas bagiku telah lebih dari cukup, tetapi masih kurang kerana belum mencukupi. Satu bagiku adalah aku, dua diriku (hamba), tiga badanku (saya). Yang Esa – Tuhan.
Sebagai seorang manusia, saya harus berjuang untuk mendapatkan keperluan hidup. Oleh kerana saya mesti makan,
minum, berpakaian, bergaul, berumah tangga dan lain sebagainya, saya harus mempelajari diri sendiri sampai dapat mengenalnya untuk supaya jangan terlalu susah hendaknya menjalani kehidupan dan mengisi keperluan lahiriah dan batiniah. Saya harus menyederhanakan kehidupan saya berhubung dengan sederhananya keadaanku, seperti yang dicontohkan Tuhan kepada apa yang ada pada badanku (alat-alat yang serba sederhana).
Saya harus merubah corak kehidupanku kerana keinginanku ketenangan dan kedamaian. Ketenangan dan kedamaian aku perdapat di diriku. Bersama dengannya pula, aku temui jalan hidup yang sebenarnya. Dan dengan jalan yang telah menjadi kepunyaanku itu, hamba berjalan mengharungi lautan hidup yang maha luas dengan tenang dan damai.
Hamba berjalan sebagai seorang musafir yang berkelana kian ke mari menjalankan tugas terhadap Tuhan, terhadap badan diriku sendiri kerana seluruh tindak-laku perbuatanku kujadikan amalanku. Hamba melakukan perjalanan seorang diri dengan badan, bersama-sama dengan orang lain; melakukan perjalanan yang jauh kataku, tetapi dekat. Hamba memberi dan sentiasa memberi dan menerima untuk badan. Hamba hidup dan sentiasa hidup oleh kerana ada yang menghidupkan. Hamba yang dihidupkan tadi menghidupkan pula, terutama badanku sendiri. Hamba berjalan terus dan terus berjalan. Hamba berjalan sampai di batas. Di mana batasnya, hamba tak tahu kerana belum terbayang lagi di pelupuk mataku. Rasanya masih jauh. Dan sudah jauh pula hamba berjalan, tetapi hamba tidak berasa payah. Kerana apa? Kerana jalanku memberi nikmat lagi berisi, tidak dimurkai dan tidak pula sesat. Badanku? Aku kasihan padanya. Bukankah aku terkandung di dalamnya? Dia aku senangkan. Aku biarkan dia berbaring, istirahat. Dan aku berjalan terus dengan tidak meninggalkannya seperti perjalanan seorang hamba Allah yang tak banyak dapat orang mengetahuinya.
siapa ‘A’-ku? Aku adalah tetap aku. Aku ‘nan sebatang,’ ‘nan tunggal,’ berdiri dan berbadan. Aku dengan badan dan diriku adalah manusia. Badanku tanpa aku adalah seumpama mayat. Dan diriku timbul oleh kerana adanya aku pada badanku. Dia timbul setelah aku ada di dalam badanku. Aku adalah pelita dalam rumahku sendiri. Dikatakan ada, aku tidak ada. Dikatakan tidak ada, aku ada. Keadaanku dalam tiada. Ada dalam sebutan, tidak ada dalam kenyataan. Aku bernama, dan namaku setelah jadi manusia ialah Bagindo Muchtar, pemberian dari ayahku dan hasil perpaduan dari ibu bapaku dengan izin Tuhanku. Pertemuan dari dua titik ibu bapaku yang berasal dari titisan air yang memancar dari ibu bapanya pula tadinya, telah memancarkan dan menitiskan aku pula. Aku tak tahu bilamana aku dijadikan. Yang aku ketahui, aku sudah jadi (aku sudah ada). Dan aku telah dewasa dan menjalankan kehidupan sendiri. Pengalaman perjalanan kehidupanku yang menyebabkan aku ingin mengetahui aku yang sebenarnya. Dan begitulah setelah aku banyak mengadakan perjalanan keluar daerahku, sedangkan yang aku cari tak pernah bertemu, maka aku mulai mempelajari keadaanku, badan diriku. Dalam perjalanan keluar aku pernah rasanya mendarat di sebuah pulau yang ada mercusuarnya (rumah api). Aku dapat mendarat di Sana setelah melalui badai taufan, laut yang bergelombang dan beralun dan aku tertarik akan cahaya lampu yang ada di Sana. Aku naik ke darat. Selangkah demi selangkah aku langkahkan kakiku menuju lampu yang kelihatan dari jauh itu. Alangkah takjubnya aku sewaktu aku berada di bawahnya. Di Sana, rupanya lampu itu tak pernah mati, melainkan hidup terus. Hanya dari jauh kelihatannya hidup-mati. Aku ingin hendak mengetahui rahsianya. Dengan penelitian yang seteliti-telitinya, dapatlah aku mengetahui akan sebab-sebabnya lampu tersebut dari jauh kelihatan hidup-mati.
Di Sana lampu itu hidup terus dan pada keliling lampu ada bola, yang kaca sebelah bahagian dihitamkan dan bahagian lain
dibiarkan begitu sahaja. Dan bola itu berputar terus sehingga bagi orang yang melihat dari jauh, pada giliran putaran gelap lampu itu mati dan pada giliran yang tidak diapa-apakan, hidup, dan begitulah seterusnya. Aku memandang ke jurusan lain. Maka tak jauh dari menara lampu itu, kulihat sebuah rumah dengan dilingkari kawat berduri sekelilingnya. Pada hematku, tentu ada orang yang menunggu rumah tersebut. Dengan perlahan tapi pasti, aku langkahkan pula kakiku selangkah demi selangkah menuju ke rumah itu. Aku dapat menemui pintu untuk masuk ke dalam pekarangan rumah itu sambil melihat orang penunggunya.
Dengan ucapan ‘salam’ yang keluar dari mulutku, aku naiki rumah itu melalui anak tangga dan sampailah aku ke atas rumah tersebut. Salamku tidak dapat jawapan dan aku lakukan berulang-ulang mengucapkan salam. Tiada yang menyahut. Aku sampai di muka pintu untuk masuk ke dalam. Dengan tak kusedari, pintu kutolakkan. Pintu terbuka dan kelihatanlah olehku apa yang ada di dalam bahagian muka rumah itu yang merupakan satu kamar, namun orang yang kucari tak juga nampak. Tanda-tanda banyak menunjukkan padaku bahawa tak boleh tidak tentu mesti ada orang yang menghuni rumah itu. Aku melangkah terus ke dalam dan aku sampai pula kepada sebuah pintu. Tanganku membuka pintu itu pula dan aku berada dalam kamar lain. Dan apa yang nampak