• Tidak ada hasil yang ditemukan

Rumah Sudah Tukang Dibunuh

Dalam dokumen Diriku Yang Kukenal (Halaman 24-34)

Rahsia yang terkandung dalam rumah ini ialah sebab makanya tukang dibunuh oleh yang punya rumah, setelah rumah siap. Tujuannya supaya jangan ada orang lain yang bisa membikin rumah seperti itu, kerana dia tak mahu rumah yang lain yang serupa dengan rumahnya.

* * *

Mengenai jalan, ada pula ceritanya, iaitu di muka kita terentang jalan panjang tak habis-habisnya. Mahu ke mana kita? Banyak sudah orang menuruti jalan yang terentang itu, akan tetapi tak banyak orang yang sampai kepada tujuannya semula, dan banyak pula yang tersesat dengan tak tentu jalan pulang atau kembali, dan tak kurang pula banyaknya yang tak puas pada jalan yang ditempuhinya itu. Kalau begitu, tentu jalan yang dilalui orang banyak itu bukan jalan yang sebenarnya jalan, atau kekurangan syarat dalam perjalanan.

Sebagai seorang Islam, pada tiap-tiap rakaat sembahyang kita sentiasa memohon kepada Tuhan iaitu dengan membaca:

“Ihdina alssirata almustaqeem; Tunjukilah kami jalan yang lurus.”

(Surat Al-Fatihah ayat 6)

“Sirata allatheena anAAamta AAalayhim ghayri almaghdoobi AAalayhim wala alddalleen; Iaitu jalan orang-orang yang telah Engkau kurniakan ni’kmat kepada mereka, sedangkan mereka itu bukan orang-orang yang dimurkai dan bukan pula orang-orang-orang-orang yang sesat.

(Surat Al-Fatihah Ayat 7) Sudahkah kita perdapat itu jalan? Kalau belum, adakah pernah

kita usahakan mencari jalan itu sampai kita dapat petunjuk dari-Nya?

Berdasarkan keterangan di atas, jalan yang dimaksud tentu telah ditunjukkan kepada orang-orang yang sebelum kita, iaitu jalan yang diberi nikmat, yang tiada dimurkai dan tiada sesat.

Sekarang kita kembali mempelajari kisah yang pertama, iaitu kepada ‘Rumah Nampak Jalan Tak Tentu.’ Pengertian kebanyakan orang tentang perkataan di atas ialah, di waktu mendapat kesulitan, yang mana dia tak dapat menyelesaikannya, maka dilahirkannyalah perkataan tersebut di atas “Rumah nampak, jalan tak tentu,” atau ‘tidak tahu.’ Ke mana tujuannya yang sebenarnya perkataan itu?

Biasanya, tiap-tiap orang akan mendirikan rumah, sudah tersedia lapangan (kawasan tapak rumah) untuk itu. Dan sebelum rumah dibikin, selamanya ada jalan untuk ke lapangan itu, dan seterusnya sampai rumah itu selesai, jalan selamanya ada, dan perlu ada. Dan dalam hal ini, kejadian lain, ‘Rumah Nampak Jalan Tak Tentu.’

Pastilah ini bukan rumah yang sebenarnya. Rumah yang dimaksud, yang penuh mengandung rahsia itu ialah badan diri kita. Bukankah didalamnya ada aliran atau jalan, dan berbataskan bulu dan kulit kita? Jadi adalah yang dimaksud orang yang tahu meninggalkan pepatah itu untuk menjadi buah pemikiran bagi orang di belakang hari. Jadi, adalah untuk memecahkan rahsia rumah itu kita mesti cari jalan untuk memasukinya. Kita harus mengenal segala sesuatunya yang ada pada kita serta kegunaannya, sampai kita dapat mengenal diri sendiri dan diri itulah yang mengandung rahsia.

Bagaimana jalan untuk mengenal diri itu? Apalagi menguasainya? Dengan alam fikirankah? Sanggupkah tenaga alam fikiran kita menemui diri secara positif? Kuatkah saraf-saraf kita untuk itu? Tenaga alam fikiran, kesanggupannya ialah menghayal, menggambarkan barang yang tidak ada, tapi ada; ada dalam

angan-angan, dalam cita-cita, dalam idea, jadi tetap dalam keadaan negatif, sedangkan ilmu pengetahuan menghendaki positif, kenyataan atau realiti. Jalan untuk mengetahui itu letaknya di rasa, kerana rasa itulah yang amat banyak mengandung rahsia. Dan kalau rasa yang sebenarnya telah kita perdapat, dengan sendirinya mudah kita memecah Rahsia-Nya. Untuk mendapat rasa yang sebenarnya secara positif, kita harus menembus dinding yang menutup aliran dari dalam itu.

Pada huraian yang telah sudah telah diterangkan, bahawa di dalam batang tubuh kita, kita mempunyai dua aliran pada jalan yang sama. Aliran yang berlainan isinya, aliran lahir dan aliran batin; kedua-duanya berdindingkan bulu dan kulit. Untuk mengetahui isi, tentu kita harus menembus dinding menurut saluran yang telah ada dari dalam. Kedua aliran itu berisikan daya tenaga, iaitu yang satu berisikan tenaga hidup dan satu lagi berisikan daya tenaga kehidupan, disebab-keranakan adanya yang menghidupkan berada bersertanya. Tenaga hidup tersebut ialah tenaga mendatang dengan sendirinya, dan tak dapat kita menguasainya sebelum kita dapat mengenalnya, dan tenaga kehidupan ialah tenaga lahir yang kita pergunakan sehari-hari.

Kehidupan kita di dalam penuh berisi dengan pergerakan-pergerakan yang bagi kita terjadi dengan sendirinya. Untuk dapat mengetahui perbezaan daya tenaga dari kedua aliran itu, hendaklah kita cuba mencarinya pada badan diri kita, umpamanya dengan mengadakan latihan-latihan sampai kita dapat menemuinya. Yang akan dicari ialah tenaga yang tersembunyi, iaitu tenaga yang tak sanggup kita menguasainya. Kita latih diri kita iaitu dengan mematikan badan sebelum mati. Caranya ialah dengan duduk tenang, hentikan segala gerak-geri kita di luar dan gerak fikiran, sehingga yang tinggal dan yang terasa bagi kita ialah gerak yang kita tak sanggup menguasainya, iaitu gerak jalan turun-naiknya pernafasan kita. Latihan ini lakukan dan bawalah dengan berulang-ulang, sampai kita dapat menurutkan jalannya gerak pernafasan

kita dari dalam. Bagi kita, adalah gerak pernafasan itu terjadi dengan sendirinya, dan untuk difikirkan dan diperhatikan sampai diketahui hendaknya bahawa ada sesuatu yang terkandung dalam batang tubuh kita.

Sudahkah kita dapat mengetahui, sampai merasakan dan mengakui kepastian bahawa adalah yang kita kandung itu ialah yang dinamakan roh, jiwa, nyawa dan sebagainya? Pelajarilah keadaan badan diri kita semenjak dari luar sampai ke dalam, sampai mendalam, sampai kita menemui apa yang dinamakan orang nyawa, jiwa, roh itu. Dan setelah mendapat kepastian, baru kita akui akan kebenaran kata-kata orang yang berilmu itu. Janganlah hendaknya kita menjadi pak turut, menerima sahaja apa yang dikatakan orang.

Kita ingat pada kita sendiri sewaktu dalam kandungan, iaitu dalam kejadian di bumi dan alam yang sempit yang bagi ibu yang mengandung yang hanya merasakan pergerakan di dalam sebagai pembawaannya, dan untuk ini si ibu harus melahirkan supaya kandungan itu menjadi kenyataan. Kita yang tadinya dikandung, setelah terlahir maka kebalikannya yang terjadi, iaitu mengandung. Sebagaimana ibu kita menanggung sewaktu kita dikandung, maka setelah terlahir, sebelumnya kita melahirkan kandungan kita, kita sentiasa akan menanggung. Rahsia kandungan ibu kita setelah kita dilahirkan telah terbuka dengan adanya kita, akan tetapi sudahkan kita mengetahui akan rahsia kandungan kita? Untuk mengetahuinya tentu kita harus melahirkan kandungan kita itu. Sama-sama mengandung, berlainan kandungan dan penanggungan. Rahsia yang pertama yang dilahirkan anak. Dan apa kiranya rahsia kandungan yang kedua? Sewaktu kita dalam kandungan, tinggal di alam sempit, kita tak pernah mengeluh, tak tahu apa-apa, tak berasa lapar, tak tahu menangis, tak tahu kekurangan, akan tetapi setelah kita berada di alam yang lapang, di alam yang dinamakan dunia kita merintih, menangis, lapar, haus dan lain sebagainya. Kenapa kita berasa kekurangan dan sentiasa tidak

puas? Renungkan dalam-dalam. Cuba balik-balikkan fikiran kita kepada sewaktu kita di dalam kandungan, dan kepada sewaktu di luar kandungan.

Kita telah kehilangan sesuatu, iaitu tali pergantungan; tali yang berisikan serba ada untuk kebahagiaan kita. Kita telah kehilangan bahagia dengan terputusnya tali pergantungan kita. Si ibu yang mengandung dan menanggung tadi, setelah mendengar akan suara yang dilahirkannya tak dapat melahirkan kegembiraannya, sebaliknya si anak yang tak tahu apa-apa, setelah lahir berontak mengeluarkan suaranya kerana tali pergantungannya telah putus, semenjak tali pusatnya diputuskan; putus sudah tali hubungan yang dikandung dengan yang mengandung.

Kalau tadinya si budak dapat makan langsung dari ibunya, maka semenjak itu dia harus menantikan segala sesuatunya dari luar. Dia harus belajar untuk hidup dan menarik pelajaran dari kehidupannya yang telah dijalaninya. Dan semenjak telah putus tali pergantungan kehidupan itu, maka terbataslah sudah kehidupannya. Dia harus hidup dengan apa yang ada padanya, dan untuk kelanjutan kehidupannya. Jadi untuk mengetahui rahsia hidup itu, dia harus pelajari itu hidup yang ada padanya.

Kita harus melahirkan kandungan kita itu. Sama-sama mengandung, tetapi berbeza kandungan dan berlainan pula penanggungan. Kandungan yang pertama telah diketahui, iaitu anak. Kandungan yang kedua tak mungkin anak kerana seperti telah dikatakan juga, berlainan kandungan. Letaknya pun berlainan. Kandungan yang pertama letaknya di perut, di rahim ibu, dan letaknya yang kedua itu bukan di perut, melainkan di dalam dada kita. Mungkinkah kita bisa melahirkan kandungan kita itu? Sanggupkah kita sendiri melahirkannya?

Untuk mengetahui dan memecahkan rahsianya, kita kembali latihan semula, iaitu mencari diri kita yang berdiri dengan sendirinya itu. Setelah kita dapat menemui jalannya pernafasan kita yang turun-naik itu yang berasal dari dalam, maka dengan

mematikan segala tenaga kita yang ada, kita cuba menurutkan turun-naiknya pernafasan kita itu dengan pengertian kita mulai memakai, atau mempergunakan tenaga dari dalam, iaitu tenaga yang menyebabkan turun-naiknya pernafasan kita. Lancarnya latihan kita dan sampai kepada meningkatnya pergerakan yang dibawakan oleh daya tenaga yang berasalkan dari jalannya pernafasan kita bergantung kepada pandainya kita membawakannya. Untuk dapat membawakannya sampai mengerti, ialah pandai kita menyerahkan segala sesuatu apa yang ada pada kita padanya; iaitu pada yang berdiri dengan sendirinya itu. Dia akan bebas bergerak, kalau apa yang ada pada kita telah dipunyai dan dikuasainya, dengan pengertian kalau tadinya kita menganggap dia kepunyaan kita, maka sekarang adalah sebaliknya yang terjadi, iaitu kita jadikan kita menjadi kepunyaannya.

Setahu kita, dia telah ada bersama kita, dan adalah dia itu kepunyaan kita; kurnia atau anugerah Yang Maha Esa lagi Maha Besar kepada kita. Dia datang, datang dari-Nya dan akan kembali kepada-Nya pula. Dan adalah kedatangannya kepada kita untuk kesempurnaan kejadian kita. Dan tidaklah sempurna kita rasanya, kalau kita tidak mengetahui, mengenal dan menemuinya. Adalah dia itu langsung dari Yang Maha Esa, dan adalah keadaan kita dijadikan dari yang telah dijadikan. Tingkatannya juga lebih tinggi dari kita, kerana dia asli (original) dan kita dari yang dijadikan. Sungguhpun yang menjadikan kita itu Tuhan Yang Maha Esa juga, satu asal tetapi berlainan keadaan.

Dia ada tetapi tiada. Kita ada dan nyata. Dia yang telah berada bersama kita, bahkan terkandung dalam batang tubuh kita, kenapa kita tak dapat menemuinya? Tuhan telah memberikannya kepada kita untuk hidup, bukan untuk mati. Jadi, nyatalah sudah ada kelebihannya dari kita, dan rahsia hidup dan kehidupan kita padanyalah letaknya. Dan kalau kita ingin hidup bahagia, tentu dia mesti kita cari dan kita temui, kerana seperti telah dikatakan di atas, padanyalah terletak rahsia hidup itu. Untuk mengetahui dan

menemuinya, tentu lebih dahulu harus kita pecahkan soal antara kita dengan dia, dengan jalan memisahkan yang satu dengan yang lain, antara badan dan diri, atau antara dia dan aku.

Latihan yang kita bawakan dengan mematikan badan sebelum mati sebenarnya mendatangkan sudah permulaan pemisahan, kerana dengan perbuatan kita itu maka tinggallah yang hidup. Perbuatan kita dengan latihan itu ialah kita meninggalkan yang hidup oleh kerana kita hendak mengetahuinya dalam keadaan yang sebenarnya. Sebelum kita dapat menemui dan menguasainya, kita tak dapat mengatakan kepastiannya yang sebenarnya, apalagi memecahkan rahsianya. Untuk itu hendaklah kita terus berlatih dan berlatih, mencarinya sampai ada pancaran keluar dari hujung jari-jari kita. Dengan telah dapatnya kita merasa pancaran yang keluar dari hujung jari-jari kita itu bererti dinding telah tembus dan rahsia telah terbuka, dan tugas kita ialah mempelajarinya lagi dengan pengalaman-pengalaman atau percubaan-percubaan.

Dia adalah hak milik kita, dan tiadalah orang lain berhak atasnya. Kenapa tak kita pergunakan hak milik kita yang amat berharga itu? Pendirian kita, selain salah kerana tidak berpegang pada diri, barang yang hidup, melainkan kepada badan barang yang mati. Yang terang ada pada kita dan yang gelap pun ada pada kita, kenapa berpegang kepada itu yang gelap? Siang ada pada kita dan malam pun ada pada kita. Siang ialah yang terang dan yang terang adalah diri dan malam adalah gelap dan yang gelap ialah badan. Si terang letaknya di dalam, dan si gelap di luar.

“Engkau masukkan malam ke dalam siang dan Engkau masukkan siang ke dalam malam. Engkau keluarkan yang hidup dari yang mati dan Engkau keluarkan yang mati daripada yang hidup dan Engkau beri rezeki siapa yang Engkau kehendaki tanpa terhitung.”

(Al-Quran Surah Ali Imran ayat 27) Semua orang takut mati kerana salah memahami hidup. Dia

takut ditinggalkan hidup, dari itu makanya dia takut mati. Mereka salah pegang, salah tangkapan, berpegang pada yang mati yang dianggapnya hidup, dan yang hidup sebenarnya hidup tak dipedulikannya selama ini. Bagi kita yang berpegang pada yang hidup tidak akan takut mati, kerana bagi yang hidup istilah mati tak ada. Adalah dia itu kekal dan abadi, mungkin berpindah, pindah tempat. Pembawaan hidup mereka yang seperti itu menuju kepada kematian, dan perjalanan hidup yang kita bawakan menuju kepada hidup yang kekal dan abadi untuk kembali ke pangkalan. Perjalanan mereka ke bawah, perjalanan kita ke atas. Mereka menuju kematian dan kita menuju kehidupan yang kekal dan abadi.

Perjalanan kita bersertanya, iaitu kita telah mati sebelum dimatikan, telah pergi sebelum dipanggil, dan Aku telah kembali dari Sana. Aku telah menemui-Nya. Setelah engkau menemui Aku, dan batas Aku dengan Dia ialah seperti batas antara engkau dengan Aku, iaitu jauh tak berantara dan dekat tak berbatas. Engkau yang tadinya dinding bagiku untuk menghubungi dan menemui-Nya, setelah dapat menemuiku dengan cara pemecahanmu, maka terbukalah jalan bagiku untuk menghubungi dan menemui-Nya, kerana pintu telah terbuka bagiku.

Engkau Aku bawa serta kerana cinta kasih sayangku tertumpah padamu, dan adalah engkau badanku. Kita tidak akan berpisah, kecuali kalau dipisahkan oleh Yang Maha Kuasa, dari itu kuasailah Aku supaya apa yang ada padaku menjadi kepunyaanmu. Bagaimana cara menguasainya? Mudah sahaja, cintailah, kasihilah dan sayangilah Aku. Bagaimana cara mencintai, mengasihi dan menyayanginya? Aku tidak pinta apa yang tidak ada padamu, cukuplah kalau engkau serahkan apa yang ada padamu kepadaku, dan untuk itu akan Aku serahkan pula apa yang ada padaku, sehingga Aku menjadi kepunyaanmu dan engkau menjadi kepunyaanku.

Ke dalam engkau yang berkuasa, dan ke luar Aku di muka. Tadinya sebelum engkau mengenal Aku, maka adalah Aku

nyawamu. Setelah engkau dapat mengenal Aku, maka tahulah engkau yang bahawa Aku ini sangat berguna padamu. Engkau ketahui bahawa seluruh kehidupanmu bergantung padaku. Setelah engkau menemui Aku maka engkau lebih kenal padaku. Akukah yang akan menjadi engkau, dan engkaukah yang akan menjadi Aku? Aku dan engkau sebenarnya satu, dan memang kita satu. Ilmu pengetahuan yang memisahkan kita, dan Akulah kita, Aku luar dan dalam. Selama ini engkau berjalan sendiri dengan tidak mempedulikan Aku. Sekarang, setelah engkau menemui Aku, apalagi kita telah menjadi Aku, maka kalau engkau berjalan, ikut sertakanlah Aku, dan kalau Aku berjalan, akan mengikut-sertakan engkau pula. Satu arah, satu tujuan dan satu tindakan. Selama ini kita berjalan pada jalan sendiri-sendiri.

Sekarang kita kenal-mengenal satu sama lain. Selapik-seketiduran, sebantal-sekalang hulu, sehina-semulia; ke lurah sama menurun, ke bukit sama mendaki, sakit senang sama-sama kita rasai. Apa yang tidak ada padaku ada padamu, dan ada juga tak ada padamu ada padaku. Engkau selama ini sudah jauh berjalan sendiri dengan tidak mengikut-sertakan Aku, walaupun Aku sentiasa berada bersamamu. Dalam banyak hal, Aku yang menderita, kerana Aku yang merasakan. Sekarang Aku berjalan, dan engkau Aku ikut sertakan. Tugasmu hanya menurutkan, dan mempelajari. Hasilnya untuk kita. Engkau yang tadinya tidak tahu, setelah mempelajari perjalananku akan banyak mendapat yang tidak engkau ketahui selama ini. Aku yang berbuat, engkau yang melakukan, dan hasilnya untuk kita. Bahagiamu terletak padaku dan bahagiaku padamu. Aku sangat berasa bahagia kalau yang Aku perbuat dan lakukan bersertamu menghasilkan yang memuaskan. Lambat-laun engkau akan mengenal Aku yang sebenarnya, dan adalah perbuatanku bagimu namanya ilmu. Oleh kerana Aku ghaib sifatnya, maka namanya ilmu ghaib.

Rahsia kandungan telah terbuka dengan hasil dari latihan-latihan yang telah kita lakukan, iaitu keluarnya pancaran yang

terasa betul pada hujung kuku kita, pada hujung jari-jari kita, dan kita telah melahirkan kandungan kita sendiri. Yang melahirkan kita, dan dilahirkan kita pula. Kita yang telah terlahir itu ialah ‘diri yang berdiri dengan sendirinya,’ yang bergerak dan berjalan dengan sendirinya, akan tetapi duduk di tempatnya. Keluarnya dari badan kita melalui saluran-saluran tertentu yang bernamakan pancaran, yang setelah sanggup menembus alam sendiri, akan sanggup pula menembus alam lain, kalau kita telah dapat menguasai dan mengetahui akan rahsia yang sebenarnya.

Ibu melahirkan kita sebagai seorang manusia, lengkap dengan pembawaan, dan kelahiran kita mengandung pembawaan itu untuk hidup. Untuk melanjutkan jalannya kehidupan kita, supaya hidup dapat menikmati kebahagiaan, maka adalah tugas kita melahirkan kandungan kita, iaitu pembawaan dari rahim ibu. Kebahagiaan hidup yang kita alami di rahim ibu semasa dalam kandungan ibu ialah dengan hidupnya bonda mengandung, atau dengan dua keadaan hidup; iaitu pertama yang mengandung, dan yang kedua yang dikandung. Sebelum kita dapat melahirkan kandungan kita itu, sampai akhir hayat kita, maka sentiasa akan panjanglah jalannya kehidupan kita yang kita rasai, kerana melakukan hidup sendiri.

Maka untuk kesempurnaan jalannya kehidupan kita, lahirkanlah itu kandungan sendiri. Kelahirannya mendatangkan hidup baru bagi kita, dan seimbangkanlah jalannya kehidupan kita. Kita telah bertahun-tahun berjalan sendiri-sendiri mengharungi lautan hidup yang tak bertepi itu, maka pergunakanlah jalan hidup yang baru kita perdapat itu. Apabila itu hidup tidak kita pergunakan, tak perlu disesalkan kalau satu saat nanti kita ditinggalkannya. Dengan telah melahirkan kandungan itu, kita telah menjadi manusia baru dengan tenaga baru, dan yang hidup itulah pegangan kita. Dia juga tadinya terahsia di dalam batang tubuh kita, setelah terlahir, maka telah menjadi kita, kerana perjalanannya di dalam adalah sepanjang aliran batang tubuh kita. Dengan

penyerahan kita yang bulat kepadanya, maka seluruh keadaan telah dipunyainya, dan dialah yang menjadi kita.

Jalan yang sebenarnya telah kita temui, iaitu jalan yang bergerak sejak dari titik di dalam sampai menebus alam sendiri. Dia telah lahir. Kelahirannya membawa wajah baru, membuka lembaran baru, dan pergunakanlah itu tenaga baru, iaitu tenaga yang selama ini tersembunyi di dalam batang tubuh kita. Kita tinggalkan jalan yang tak bererti, dan turutkanlah jalan yang berisi. Jalan yang berisi, kita katakan. Isinya ialah nikmat yang berasal dari nikmatullah yang dikurniakan-Nya kepada kita, yang bukan dimurkai, dan bukan pula sesat.

Dalam dokumen Diriku Yang Kukenal (Halaman 24-34)