4.1 Pendahuluan
Perbincangan dalam bab ini adalah untuk memaparkan keputusan penyelidikan yang telah dijalankan. Pembentangan laporan hasil dapatan adalah diperoleh daripada sumber data utama yang telah digunakan dalam proses pungutan data secara keseluruhan. Merujuk kepada konteks penyelidikan yang telah dijalankan oleh penyelidik, kaedah pengumpulan yang utama adalah temu bual yang menjadi instrumen utama dalam kajian kualitatif. Menjurus kepada sumber utama dalam proses pungutan data, maka temu bual yang dikendalikan oleh penyelidik merupakan temu bual separa berstruktur secara mendalam sekurang-kurangnya tiga kali bagi setiap peserta kajian.
Dalam bahagian ini, dapatan atau hasil kajian dilaporkan dan dibincangkan berdasarkan carta alir yang terkandung dalam analisis data seperti yang telah dikemukakan oleh Moustakas (1994). Merujuk kepada carta alir tersebut, penyelidik akan membincangkan hasil dapatan bermula dengan laporan mengenai struktur pengalaman siri satu setiap peserta kajian. Seterusnya, laporan diteruskan dengan laporan mengenai deskripsi tekstural dan struktural dengan deskripsi komposisi tekstural dan struktural peserta kajian diikuti dengan komposit tekstural dan struktural peserta kajian. Akhir sekali, inti pati mengenai makna pengalaman kelangsungan hidup individu dalam perkahwinan jarak jauh akan dilaporkan. Perbincangan menurut carta alir akan dimulakan dengan peserta kajian 01 dan diakhiri dengan peserta kajian 07.
Secara keseluruhannya, laporan ini membincangkan dapatan yang diperoleh berdasarkan pengalaman wanita yang terlibat dalam perkahwinan jarak jauh. Diskripsi
University
123
secara terperinci akan menjadi platform ke arah menyediakan pemahaman yang mendalam berkenaan latar belakang tujuh orang peserta kajian dan pengalaman kelangsungan hidup yang telah dialami sepanjang menjalani kehidupan sebagai individu yang terlibat dalam perkahwinan jarak jauh. Maka, bahagian ini menerangkan beberapa aspek termasuklah pengalaman peserta kajian berkenaan fenomena perkahwinan jarak jauh, proses bracketing, langkah-langkah yang terlibat dalam analisis data, dan perincian keseluruhan mengenai dapatan kajian, tema dan subtema yang muncul, dan diikuti dengan rumusan bab secara keseluruhan. Perbincangan mengenai peserta kajian dalam bab ini akan menggunakan singkatan PK yang menjurus kepada peserta kajian.
4.2 Struktur Pengalaman Siri 1
Seperti yang telah diperincikan dalam bab sebelum ini, pendedahan mengenai struktur pengalaman siri 1 setiap peserta kajian adalah hasil daripada pembentukan semula pengalaman awal mereka dalam keluarga, rumahtangga, persekitaran sekiranya faktor-faktor ini terlibat dalam pengalaman kelangsungan hidup mereka. Tindakan seperti ini amat penting dalam usaha untuk memberi peluang kepada peserta kajian untuk mengaitkan secara keseluruhan beberapa siri kejadian yang signifikan dalam pengalaman mereka termasuk aspek-aspek persekitaran dan peribadi mereka yang akhirnya bertindak mempengaruhi kehidupan kelangsungan hidup mereka dalam fenomena yang dikaji oleh penyelidik.
4.2.1 Struktur Pengalaman Siri 1 Peserta Kajian 01 (PK01)
PK01 merupakan anak ke-9 daripada 10 orang adik beradik dan merupakan anak bongsu perempuan dalam keluarganya. Memandangkan PK01 seorang guru yang terikat dengan kontrak perjanjian untuk berkhidmat di sekolahnya kini untuk tempoh beberapa tahun, PK01 terpaksa menangguhkan hasrat untuk tinggal bersama suami pada awal tempoh perkahwinan beliau bersama suami, meskipun kini PK01 telahpun selesai
University
124
dengan kontrak perkhidmatan di sekolahnya, PK01 masih tidak dapat meneruskan keputusannya untuk tinggal sebumbung bersama suami dan anaknya lantaran kekangan yang lain. Hal ini kerana tanggungjawab suami PK01 terhadap keluarga mertuanya di kampung. Dalam perkongsian pengalamannya, PK01 menyatakan:
suami akak ni anak tunggal lelaki, dia anak tunggal..adik beradik dia ada 4 orang, semua tu perempuan dia seorang adik beradik lelaki..sebab masa akak kahwin dengan suami akak pun..ayahnya dah tak ada..sekarang ini dia duduk dengan ibu mertua kakaklah…dan dia menjaga mak mertua. (PK02/T1/71-79).
PK01 memilih untuk tinggal berasingan dengan pasangan lantaran akur dengan tanggungjawab yang harus dipikul oleh suaminya dan pada masa yang sama PK02 ingin memenuhi kehendak ibunya yang turut ingin PK01 tinggal bersamanya. Peluahan ini dikongsi oleh PK02 dalam kenyataan beliau:
akak ni anak bongsu perempuan, dan suami akak tunggal lelaki…jadi tanggungjawab masing-masing tu..sebab mak akak lebih selesa dengan kakak berbanding adik beradik yang lain..mak kakak banyak dengan kakaklah…kak kena balik keraplah sebab adik beradik lain lelaki kan. (PK01/T1/96-100).
Sepanjang empat tahun perkahwinan PK01 dengan pasangannya sejak tahun 2009, PK01 dan suaminya lebih mengutamakan perasaan kedua-dua belah pihak melalui perkongsian cerita dalam kenyataan:
akak pun memang berhasrat untuk pindah.tapi bila mak akak berharap kakak untuk duduk bersama dengan dia, mak mertua pun mengharap suami pun duduk dengan suami , jadi mengambil keputusan untuk duduk asing-asing… ambil keputusan untuk duduk berjauhan dulu..tak nak mengecewakan mana-mana pihak (PK01/T1/94-96)
Sepanjang perkongsian hidup berumahtangga, PK01 sememangnya telah sedia maklum mengenai kerjaya suaminya sebagai pemandu teksi yang terpaksa bekerja tanpa mengira waktu. Pada masa yang sama, suaminya turut bekerja sebagai operator pengeluaran
University
125
yang bekerja mengikut giliran. Keadaan sedemikian membuat PK01 merasakan bahawa dirinya tetap tidak dapat melihat suaminya setiap hari biarpun mereka tinggal bersama di bawah satu bumbung. Peluahan ini dikongsi oleh PK01 dalam kenyataannya:
macam awal-awal tu, memang terfikir nak duduk sekali, tapi susah.. contohnyalah, pagi akak pergi sekolah,.dia dah sah-sahlah tak jumpalah..jumpa waktu pagi...kemudian, lepas maghrib dalam pukul 7.45 dia dah kerja.. dan dia akan balik pada pukul 6.00 pagi, akak pula nak bersiap untuk ke sekolah.. jadinya macam dari awal tu memang dah orang kata walaupun duduk sekali, tapi memang kekerapan berjumpa pun dah singkat, jadi sama sahaja.(PK01/T1/413-430)
Keputusan untuk tinggal berjauhan antara PK01 dan pasangan turut dikuatkan lagi dengan kekangan kerjaya suami. Memandangkan suami PK01 memiliki dua kerjaya yang menyebabkan suaminya berhempas pulas bekerja siang dan malam PK01 merasakan tindakan untuk tinggal serumah bersama suami akan menyebabkan suaminya terpaksa mengorbankan salah satu pekerjaan untuk memberi fokus terhadap keluarganya. Menyedari akan pengorbanan suami untuk membuat dua pekerjaan bagi melunaskan hutang yang masih tertunggak. Setelah mempertimbangkan semua perkara yang mengekang PK01 untuk membina kehidupan rumahtangga seperti orang lain, PK01 ternyata akur dan menerima secara terbuka untuk membesarkan anaknya yang berusia 1 tahun 7 bulan secara bersendirian di rumah sewa memandangkan PK01 sudah biasa dengan kehidupan bersendirian seperti alam percintaan yang bersifat jarak jauh. Tambahan pula, kesibukan kerjaya masing-masing menyebabkan PK01 merasakan kehidupannya yang berjauhan dengan suami dalam membesarkan anaknya secara berseorangan biarpun jauh dengan keluarganya bukanlah masalah besar meskipun kehidupannya tidak sama seperti orang lain. Meskipun PK01 menganggap kehidupannya sebagai isteri dan ibu yang berjauhan dengan pasangan, sebagai suatu cabaran yang boleh dikendalikan dengan baik, PK01 turut menyatakan hasrat untuk tinggal serumah dengan suami memandangkan aspek- aspek yang boleh menjejaskan
University
126
kehidupannya dengan keluarga pada masa akan datang. Keputusan yang diambil oleh PK01 telah diutarakan melalui kenyataannya yang berikut:
tak mengapalah, nantilah kalau kakak mengandung kali kedua , dia nak pindah sini, dan suami akak dapat rasakan yang akak duduk sini lagi selesa..lagi ok daripada akak duduk kampung yang nak menjaga hati banyak orang kan..bila hati kita belum bersedia untuk menjaga semua hati tu … menjaga hati- hati yang ada..buat masa ni biar kita mengalah dulu (PK01/T1/ 553-567)
PK01 telah membuat permohonan pertukaran tetapi masalah teknikal telah menyekat hasrat PK01 untuk berpindah. Meskipun PK01 telah menetapkan rancangan untuk tinggal bersama suami PK01 telah menyatakan hasrat membina kehidupan berkeluarga di rumah idamannya. Tujuan PK01 mengambil keputusan sedemikian telah dinyatakan sepanjang temu bual:
biar orang kata buat masa ni, biar kat sini dulu. Cuma bila kakak nak pindah tu, kak cakap dengan suami kak nak duduk sekali , bukan duduk mana-mana rumah tapi nak duduk rumah sendiri dan kalau boleh memang buat rumah sendiri..”
Akhirnya, PK01 turut menyuarakan hasrat untuk tinggal sebumbung dengan pasangan apabila beliau merasakan tanggungjawab membesarkan anak yang mungkin bertambah dilihat satu cabaran yang agak sukar untuk dikendalikan seoarang diri. Ini dapat dirungkai melalui pernyataan beliau:
tapi memang kakak cakaplah kalau akak mengandung lagi, kakak tak sangguplah untuk jaga sorang-sorang ..tapi cuma suami kak kata nanti dia pindah sini,,kita tengok jelah.(PK01/T1/656-658)
Secara keseluruhan, rangkuman pengalaman PK01 dapat diselusuri melalui peta pengalaman dalam Rajah 4.1 seperti berikut:
University
127
Rajah 4.1: Visual Pengalaman Hidup Siri 1 PKO1