• Tidak ada hasil yang ditemukan

SOROTAN LITERATUR

2.2 Konsep Perkahwinan Jarak Jauh

2.2 Konsep Perkahwinan Jarak Jauh

Sememangnya, penyelidik terdahulu menggunakan terminologi yang pelbagai dalam kajian yang telah dilaksanakan berkenaan perkahwinan jarak jauh ini. Antara terma yang digunakan termasuklah perseorangan yang telah berkahwin (married singles) (Gross, 1980, 1981; Groves &Horm-Wingerd, 1991, Kirschner & Walum, 1978), pasangan berkahwin yang terpisah secara geografi (geographically separated married couples) (Rohlfing, 1995; Stephen, 1986), perkahwinan yang bukan bersekedudukan (marital non-cohabitation) (Rindfuss& Stephen, 1990), pasangan berkerjaya yang terpisah (separated dual-career couples) (Douva &Pleck, 1978), perkahwinan dua lokasi (two/dual location marriages) (Gerstel& Gross, 1982; Groves & Horm-Wingerd, 1991; Kirschner & Walum, 1978;Taylor & Lounsbury, 1988), perkahwinan komuter (commuter marriages) (Anderson & Spruill, 1993; Farris, 1978; Gerstel & Gross, 1982, 1984; Gross, 1980, 1981; Groves &Horm-Wingerd, 1991; Guldner & Swensen, 1995; Taylor & Lounsbury, 1988; Winfield, 1985), dan perkahwinan jarak jauh (long distance marriages) (Dainton & Kilmer, 1999; Dellmann-Jenkins, 1991; Bernard-Paolucci, & Rushing, 1992; Gerstel & Gross, 1982; Gross, 1980, 1981; Groves & Horm-Wingerd, 1991; Guldner & Swensen, 1995; Stafford & Reske, 1990; Stephen, 1986; Taylor & Lounsbury, 1988).

Dalam memahami konteks perkahwinan jarak jauh yang kian berkembang saban hari, tiada pembahagian yang pasti dan mutlak antara jarak yang pendek dan jarak yang panjang dalam membuat pentakrifan konsep ini. Ini kerana berdasarkan penyelidikan yang dijalankan sebelumnya, jarak perjalanan ditakrifkan sebagai julat panjang daripada 45 batu dan lebih (Van Ham et al, 2001), 100 kilometer dan lebih (Abrahamsson, 1993). Definisi yang diberikan adalah mungkin disebabkan oleh perbezaan dalam kepadatan penduduk dan kawasan negara tertentu. Selain itu, satu lagi cara ialah untuk menentukan jarak yang dekat adalah seperti apabila proses berulang–alik mungkin

University

29

berlaku pada setiap hari, dan jarak yang jauh ialah melebihi jangkauan berulang alik setiap hari seperti proses ulang–alik secara mingguan oleh pasangan.

Proses ulang-alik juga boleh diukur secara kedua-duanya dalam masa dan kilometer. Hakikatnya, individu yang terlibat seolah-olah menjadi lebih sensitif kepada masa yang dibelanjakan untuk perjalanan daripada memikirkan jarak geografi (Vilhelmson, 194, 2001). Contohnya, satu kajian yang dijalankan mengenai wanita profesional Israel (Pazy et. al, 1996) menunjukkan bahawa responden lebih bersedia untuk meningkatkan jarak berulang alik mereka berbanding masa ulang-alik mereka. Sebarang penambahbaikan untuk memperoleh pengangkutan yang lebih cepat boleh menyebabkan perjalanan yang lebih jauh, dengan menggunakan jumlah masa perjalanan yang sama. Beberapa kajian menganggap kira-kira 45 minit sehingga sejam untuk menjadi had maksimum masa seseorang bersedia untuk menghabiskan perjalanan sehala (Abrahamsson 1993, Green et al 1999), manakala yang lain menghadkan julat antara 25 hingga 35 minit (Kenworthy & Laube 1999, Van Ham et al. 2001; Schwanen & Dijst 2002). Schwanen & Dijst (2002) berpegang kepada asas andaian mereka berdasarkan fakta bahawa secara puratanya individu yang terlibat dalam perhubungan jarak jauh membelanjakan kira-kira 10 peratus daripada tempoh kerja harian mereka untuk proses berulang-alik, di mana ia mengambil masa hampir 30 minit dalam perjalanan sehala untuk lapan jam hari bekerja. Tidak ketinggalan, variasi dalam karakteristik mengenai perkahwinan jarak jauh turut dikongsi oleh Gerstel & Gross (1984) yang memberi konsep perkahwinan jarak jauh seperti perkahwinan komuter dengan menganggarkan tempoh perpisahan selama tiga bulan atau lebih dan pasangan terpisah hampir 270 batu serta kembali menemui pasangan seminggu sekali atau beberapa hari dalam sebulan.

Memandangkan individu yang berulang-alik pada jarak jauh menghabiskan banyak masa perjalanan setiap minggu, mod pengangkutan dilihat menjadi isu penting. Akses kepada mod pengangkutan yang cepat dan hubungan komunikasi adalah penting

University

30

dalam menjelaskan jarak perjalanan (Wang 2001; Schwanen & Dijst 2002). Konsep ini juga turut dikongsi dalam penyelidikan mengenai pengangkutan bahawa kos merupakan salah satu faktor yang paling penting dalam menjelaskan pilihan mod pengangkutan (Ullman 1973; Hoyle & Smith 2000; Turton & Black, 2000). Ini kerana perjalanan melibatkan kos masa dan wang. Lebih cepat pengangkutan yang digunakan akan menyebabkan perjalanan lebih tinggi kosnya.

Cameroon dan Ross (2007) tidak mengoperasikan definisi berdasarkan jumlah jarak tetapi memberi peluang kepada peserta kajian untuk mentafsir dan menjelaskan sendiri dengan membandingkan kod kawasan dalam nombor telefon pasangan masing-masing yang menandakan bahawa kod zon yang dimiliki untuk mengembangkan perhubungan jarak jauh yang dialami oleh pasangan. Tidak ketinggalan, terdapat cendikiawan yang percaya dan bergantung kepada kekerapan pasangan untuk bertemu dalam usaha untuk membuat pengkonsepsian mengenai perhubungan jarak jauh. Sebagai contoh, Guldner (1996), Dainton dan Aylor (2001,2002), dan Stafford dan Merolla (2007) menggunakan kenyataan yang sama berkenaan konsep jarak jauh di mana pasangan tidak berpeluang untuk berjumpa sesama sendiri pada setiap hari. Manakala Skinner (2005) pula melihat perhubungan jarak jauh dalam kalangan individu yang berkahwin berdasarkan dua jenis iaitu jarak jauh yang bersifat sederhana di mana pasangan dapat boleh bersama hampir setiap minggu, manakala perhubungan jarak jauh yang ekstrim wujud apabila pasangan tidak dapat berjumpa dalam tempoh yang lama, seperti enam bulan hingga bertahun-tahun.

Para penyelidik telah mengkonsepsikan perhubungan jarak jauh yang melibatkan pasangan yang belum berkahwin dan yang tidak berkahwin melalui terminologi yang pelbagai. Selain dari mengkonsepsikannya melalui jumlah jarak fizikal dan masa yang terlibat dalam proses ulang-alik dalam kalangan pasangan, penyelidik juga turut meluaskan paradigma dengan memberi terjemahan dan konsep

University

31

mengikut pandangan perserta kajian yang terlibat dalam penyelidikan. Konsep hubungan jarak jauh yang terakhir muncul daripada penyelidik yang membenarkan paserta kajian mereka untuk memberi tafsiran sendiri mengenai pengalaman mereka tanpa memberi sebarang indikator untuk menjelaskan fenomena itu. Dellmann dan Jenkins et al (1994) sering dikaitkan sebagai penyelidik yang menilai idea perhubungan jarak jauh dari pendefinisian peserta kajian itu sendiri. Mereka mendedahkan bahawa persepsi peserta kajian berkenaan hubungan yang dialami adalah lebih sahih kerana ianya berdasarkan definisi peribadi dan berlandaskan perasaan terhadap realiti terhadap situasi perhubungan yang sebenar.

Tidak ketinggalan, penyelidik lain seperti Mietzner dan Lin (2005) dan Sahlstein (2004, 2006) juga mengambil teknik ini untuk mengelakkan penglabelan yang salah antara perhubungan jarak dekat dan jarak jauh. Justeru, apa yang penting dalam perhubungan jenis ini adalah kenyataan minda dalam diri orang yang terlibat (Dellmann & Jenkins et al., 1994). Pendefinisian secara peribadi menandakan mereka menetapkan persepsi perhubungan dan pengalaman yang dialami. Meneliti konsep yang yang dinyatakan melalui kajian lampau, penyelidik merasakan adalah perlu untuk menggabungkan ketiga-tiga elemen yang terkandung kerana dengan adanya konsep yang diintegrasikan mampu memperoleh dapatan yang lebih sahih dan menepati sasaran. Pada masa yang sama, tujuan utama penyelidikan bukanlah untuk melihat kerakteristik perhubungan jarak jauh itu semata-mata, tetapi lebih memberi fokus kepada penerokaan dan pemahaman makna pengalaman tinggal berjauhan antara pasangan dan anak-anak dalam kehidupan perkahwinan jarak jauh.

Secara keseluruhannya, walaupun tinjauan litaratur menggunakan terma yang pelbagai dalam mengkonsepsikan perhubungan jarak jauh seperti perkahwinan komuter bagi golongan yang sudah berumahtangga dan perhubungan jarak jauh bagi mereka yang belum berumahtangga, penyelidik mengambil konsepsi yang digunakan oleh

University

32

Holmes (2004). Di sini, konsep perhubungan jarak jauh merujuk kepada pasangan yang berkahwin dan tidak berkahwin tetapi tidak termasuk yang tinggal berasingan dalam lokasi yang sama (Holmes, 2004) dan pasangan yang terlibat dalam ketenteraan di mana perpisahan ini tidak bersifat sukarela, berpanjangan dan terdedah dengan perhubungan yang berisiko.