• Tidak ada hasil yang ditemukan

PENDEKATAN KONSERVATIF DALAM PENUBUHAN NEGARA ISLAM

4.2 Idealisme Penubuhan Negara Islam

Di Malaysia, tafsiran negara Islam secara konservatif secara umumnya diwakili oleh parti politik PAS. PAS merupakan parti politik yang jelas platform keislamannya baik dari segi perlembagaan parti, gagasan penubuhan negara Islam mahupun dari segi perwatakan ahli parti. Manakala UMNO, meskipun dalam perlembagaan parti tidak setegas PAS dalam menonjolkan identiti keislamannya, akan tetapi UMNO mendakwa sebagai parti yang mewadahi aspirasi kaum Melayu, menegak dan memartabatkan Islam.1 Pengaruh aliran ini juga meresap ke dalam sebahagian kecil di kalangan UMNO meskipun tenggelam dalam dominasi ideologi kebangsaan berpaksi ketuanan Melayu.2 Pada akhir 1990-an, berikutan pemecatan Anwar Ibrahim dan tertubuhnya Parti Keadilan Nasional (Keadilan), isu negara Islam turut menjadi perhatian dalam parti majmuk yang didominasi oleh kaum Melayu ini.3

Meskipun diwarnai dengan kelonggaran-kelonggaran dalam perjalanan perjuangannya,4 sejak awal penubuhannya lagi PAS menggariskan bahawa prasyarat

1 Perbincangan lanjut mengenai negara Islam versi kedua belah parti ini lihat misalnya, Patricia Martinez, “The Islamic State or the State of Islam in Malaysia”, Contemporary Southeast Asia, Vo. 23, No. 3 (December 2001), hlm. 474-503.

2

Pengaruh di dalam UMNO ini terutama merujuk kepada kalangan yang masuk ke dalam parti dan cuba untuk merubah dasar parti ke arah haluan atau sekurang-kurangnya mendekati kepada kategori aliran pertama. Meskipun dilihat sukar mengatasi asas UMNO yang bergerak dalam kerangka kemelayuan yang sudah menebal, akan tetapi tren parti itu pada tahun 1980-an yang disifatkan mengalami pengislaman yang rancak menjadi bukti penting wujud elemen yang cuba untuk merealisasikan kerangka addin wa dawlah di dalam UMNO meskipun tidak pernah berjaya.

3 Disebabkan kemunculan parti ini merupakan serpihan daripada pengikut Anwar Ibrahim dalam UMNO, dalam banyak segi pandangan PKR mengenai negara Islam hampir sama dengan UMNO, iaitu menolak tafsiran sempit negara Islam sepertimana yang dikonsepsikan oleh PAS.

4 Istilah longgar bermaksud ada beberapa pimpinan PAS yang cuba untuk melunakkan matlamat PAS dengan menepikan perjuangan negara Islam. Ia juga bermaksud bagi meraikan kepelbagaian khasnya bertujuan agar dapat diterima oleh rakan politik dan bukan Islam. Dengan erti kata lain, kelonggaran ini dikaitkan dengan pendekatan tahalluf siyasi PAS dengan parti lain yang dianggap mengorbankan

University

154

utama sesebuah negara dikategorikan sebagai negara Islam adalah dengan dilaksanakannya undang-undang atau perlembagaan negara berdasarkan al-Qur'an dan Sunnah, sebagaimana PAS menjadikan Islam sebagai asas utama dalam perlembagaan partinya.5 Salah satu ciri utama idealisme PAS mengenai negara Islam adalah pelaksanaan undang-undang jenayah Islam atau yang dikenali hukum hudud. Satu gagasan yang banyak menimbulkan kontroversi baik (terutama) daripada kalangan bukan Islam mahupun daripada kalangan Islam sendiri.6

Bagi PAS, kewujudan perlembagaan dan sistem politik sedia ada sama sekali tidak mencerminkan persyaratan sebagai sebuah negara Islam. Dalam hal ini, PAS merujuk kepada perlembagaan negara yang masih mengekalkan warisan perlembagaan kolonial British, tidak diterapkan syariat Islam di dalam peraturan dan perundangan negara, pekat dengan praktik jahiliyah dalam pentadbiran dan undang-undang, mengekalkan peraturan kafir dan tebal unsur asabiyah.7 Menurut Abdul Hadi Awang, negara Islam menurut PAS adalah:

"Negara yang dikuasai umat Islam, yang undang-undangnya berdasarkan Islam dan dilaksanakan dengan sistem Islam dan dipimpin oleh pemimpin yang berjiwa Islam".8

_____________________________

prinsip negara Islam yang telah menjadi asas dan matlamat perjuangan parti. Wawancara dengan Nasarudin Mat Isa, Bandar Bukit Mahkota, 25 September 2013.

5 Perlembagaan Parti Islam Se Malaysia, Fasal 7. Bagaimanapun menariknya, meskipun asas PAS adalah berasaskan Islam akan tetapi penonjolan isu negara Islam ini baru berlaku pada awal 1980-an. Malah, pada awal-awal negara merdeka, perjuangan mewujudkan negara Islam tidak menjadi agenda utama parti ketika mereka menerbitkan manifesto pilihan raya 1959. Lihat John Funston, Malay Politics in

Malaysia: A Study of UMNO and PAS, Kuala Lumpur: Heinemann, 1980, hlm. 143-144.

6

Dalam konteks dengan bukan Islam, pendekatan PAS dalam isu hudud telah memberi persepsi kepada mereka sebagai parti fundementalis, ekstrem dan kolot. Ia juga telah menjadi duri dalam daging di dalam pakatan pembangkang sehingga pernah berlaku pecah kongsi dengan rakan politiknya pada pilihan raya 2004. Dalam konteks di kalangan Islam, cadangan pelaksanaan hudud dikritik dan ditentang oleh kalangan Islam sederhana sebagai tidak tepat untuk dilaksanakan di Malaysia yang mempunyai masyarakat majmuk. Sedangkan UMNO berpendapat ia sebagai tindakan yang hanya berdasarkan kepada penafsiran ulama PAS, bukan hukum asal Islam. Aspek penting yang sering dihujahkan adalah hudud tidak memberi layanan hukum yang adil kerana ia hanya melibatkan kaum Islam sahaja.

7

Lihat Farish A. Noor, "Blood, Sweat and Jihad: The Radicalization of the Political Discourse of the Pan-Malaysian Islamic Party (PAS) from 1982 onwards", dalam Joseph Chinyong Liow dan Nadirsyah Hosen, Islam in Southeast Asia: Critical Concepts in Islamic Studies, Volume II, London and New York: Routledge, 2010, hlm. 82-83.

8

Lihat, "Dengarkan Tokoh-Tokoh PAS Bicara", Panji Masyarakat, No. 451, 1984.

University

155

Pada masa yang sama, seirama dan senada dengan gerakan Islam lain, PAS berpendapat hanya dengan negara Islam sahaja yang dapat menyelesaikan pelbagai masalah yang timbul termasuklah isu berkaitan dengan kedudukan bukan Islam yang selama ini dijadikan sebagai dalil penentangan negara Islam.9 Orang bukan Islam akan mendapatkan hak-haknya sesuai dengan hukum Islam dan membayar cukai (jizyah). Cukai ini digunakan kembali bagi pembangunan dan kepentingan mereka.10

Pendirian keras PAS dalam isu memperjuangkan negara Islam dalam era kebangkitan Islam ini terutamanya berlaku selepas penguasaan golongan ulama terhadap kepimpinan parti.11 Pada Muktamar Agung ke-29 yang dianjurkan pada 29 April 1983, saf kepimpinan PAS baru yang dibekali dengan tenaga-tenaga muda berorientasi Islamis merancang dan mengukuhkan kembali organisasinya bagi menghadapi percaturan politik negara dan mengembalikan semula cita-cita penubuhan negara Islam.12 Hal ini terutama setelah pada era kepimpinan sebelumnya PAS tenggelam dalam pragmatisme politik dan lebih menonjol perjuangan kaum Melayu berbanding dengan bersungguh-sungguh dalam memperjuangkan idea negara Islam.13

Walau bagaimanapun, PAS baru menghuraikan cukup terperinci mengenai gagasan atau konsep negara Islam dalam Dokumen Negara Islam yang dilancarkan pada November 2003.14 Selain untuk menegaskan ideologi PAS, pelancaran dokumen ini

9

Bagi maksud ini, pada 1986 PAS telah menubuhkan satu kelab penyokong daripada kalangan bukan Islam iaitu Chinese Consultative Council (CCC). Selain untuk mendapatkan sokongan, objektif penubuhan kelab ini adalah untuk mengenalkan dasar perjuangan PAS secara terus kepada kaum Cina dan India termasuklah mengenai isu negara Islam. Hal ini kerana kalangan bukan Islam selama ini hanya mendapatkan maklumat daripada UMNO yang sering memomokkan PAS sebagai parti ekstrem dan akan menindas kaum minoriti di jika mereka berkuasa kelak. Wawancara dengan Nakhaie Ahmad, Kajang, 21 Oktober 2012.

10 Lihat Panji Masyarakat, No. 451, 1984.

11

Lihat "PAS: Ke Arah Pimpinan Ulamak", Panji Masyarakat, Mei/Jun 1983, hlm. 21-22.

12 Ibid.

13 Lihat "Ucapan Asri Ditolak", Panji Masyarakat, November/Disember 1982.

14 Sesetengah pengkaji berpendapat pelancaran dokumen ini terhasil daripada cabaran Mahathir Mohamad yang mencabar PAS untuk mengkonsep negara Islam setelah sejak penubuhannya tidak

University

156

menurut Abdul Hadi Awang Presiden PAS, adalah untuk menjawab segala tohmahan dan tuduhan yang menganggap PAS tidak pernah berniat sedikitpun untuk menubuhkan negara Islam.15 Dalam dokumen itu, ciri-ciri utama negara Islam menurut PAS ialah terbentuknya sebuah pemerintahan yang menjadikan al-Qur'an dan al-Sunnah sebagai sumber tertinggi perundangan dan pentadbiran negara.16 Ini termasuklah pelaksanaan hukum hudud yang sudah ditentukan Allah dan wajib untuk dipatuhi.17

PAS menganggap pelaksanaan Islam oleh UMNO hanya bermotif politik semata-mata dan bagi menarik sokongan umat Islam untuk survivalnya serta tidak didasari oleh keinsafan dan penghayatan terhadap ajaran Islam.18 Bagi PAS, Islam versi UMNO dilaksanakan hanya untuk memberikan penonjolan kepada imej bahawa Islam adalah sebati dengan UMNO.19 Akan tetapi, tidak dapat diterjemahkan dalam prinsip asas perlembagaan parti dan pelaksanaan Islam dalam perundangan negara. Negara Islam model UMNO dianggap tidak sah dan tidak memenuhi persyaratan kerana tidak meletakkan Islam sebagai sumber tertinggi perundangan negara.20 PAS mendakwa negara Islam yang diperjuangkannya selama ini merupakan bentuk negara Islam yang hakiki (tulen) dan bukan taqlidi (saduran).21 Oleh sebab itu, PAS berpendirian negara

_____________________________

pernah dinyatakan secara jelas.Sebelumnya, Fadzil Noor telah menyahut cabaran Mahathir dengan membuat ucapan dasar mengenai negara Islamdalam Muktamar PAS pada 31 Mei 2002. Lihat Liew Chin Tong, ”PAS Politics: Defining an Islamic State”, dalam Edmund Terence Gomez (pnyt), Politics

in Malaysia The Malay Dimension, London and New York: Routledge Taylor & Francis Group, 2007,

hlm. 111. Lihat, 17 Ramadhan Pas Lancar Konsep Negara Islam, atas laman sesawang, http://subkylatif.blogspot.com/2003/10/17-ramadhan-pas-lancar-konsep-negara.html, diakses pada 15 Jun 2012.

15 Lihat, Dokumen Negara Islam, Parti Islam Se-Malaysia (PAS), 2003, hlm. 11.

16 Ibid., hlm. 18.

17 Ibid., hlm. 23.

18

Hussin Mutalib, Islam in Malaysia: From Revivalism to Islamic State, Singapore: National University of Singapore, 1993, hlm. 99.

19 Bahawa UMNO sebati dengan Islam dapat dilihat daripada simbol huruf a, ba, ta dalam logo UMNO dan singkatan UMNO itu sendiri yang oleh sebahagian orang diterjemahkan sebagai ugama (baca Islam), Melayu, Nasional dan organisasi. Oleh sebab itu, dengan sendirinya Islam tidak dapat dipisahkan daripada UMNO. Perbincangan peribadi dengan Abdullah Zakaria, Profesor Sejarah Universiti Malaya, Kuala Lumpur 5 Julai 2011.

20 Lihat "Apa Muslihat PAS?", Massa, 6-12 Oktober 2001.

21

Lihat Dokumen Negara Islam, hlm. 14.

University

157

Islam adalah tawaran yang tidak dapat ditolak ansur dan menjadi objektif akhir dalam kancah percaturan politik negara.22

Tafsiran negara Islam secara konservatif yang mencita-citakan kewujudan negara khilafah dapat dilihat dengan fenomena yang terjadi pada awal tahun 2000-an dengan kemunculan organisasi transnasional Hizbut-Tahrir (untuk seterusnya ditulis HT).23 Organisasi yang sebenarnya dirancang sebagai parti politik ini menjadikan khilafah sebagai slogan dan matlamat utama organisasi wujud di Malaysia dan Indonesia pada tahun 2000.24 Dalam hal ini, disebabkan gagasan utama HT merentasi sempadan geografi kedua negara, tidak ada perbezaan ketara di antara mereka dalam merumuskan konsep dan gagasan negara Islam yang mereka perjuangkan. Justeru itu

22 Untuk perbincangan lanjut mengenai dinamika pendirian PAS dalam isu negara Islam lihat Liew Chin Tong, ”PAS Politics: Defining an Islamic State”, hlm. 107-137.

23 Walau bagaimanapun, HT diasaskan oleh Taqiyudin al Nabhani pada 1953 di al Quds Palestin.Setelah pengasasnya meninggal pada 1977, kepimpinan HT dilanjutkan oleh Abdul Qadim Zallum hingga 2003. Sejak 2003, kepimpinan HT dikendalikan oleh Atha’ Abu Rashthah. Lihat Ainur Rafiq al-Amin,

Membongkar Proyek Khilafah ala Hizbut Tahrir di Indonesia, Yogyakarta: Penerbit LKiS, 2012, hlm.

21-22. Pada perkembangan seterusnya HT mengembangkan gerakan yang berpusat di Jordan dan menyebar ke hamper seluruh negara Timur Tengah, Inggeris, Jerman, Belanda, Austria, Pakistan, Malaysia, Singapura, Australia, Jepun, Uzbekistan, Azerbaijan, Kazakhstan, Kirgistan dan Amerika Syarikat. HT pernah didaftarkan ke pihak berkuasa Jordan, akan tetapi tidak diluluskan kerana kewujudannya dianggap membahayakan kepentingan pihak berkuasa. HT merupakan organisasi yang bergerak secara rahsia dan di bawah tanah.Oleh sebab itu, di kebanyakan negara keberadaan HT tidak didaftarkan secara rasmi dan sentiasa dicurigai.Malah HT kerap mengalami tekanan hingga pengharaman.Imdadun Rahmat, Arus Baru Islam Radikal: Transmisi Revivalisme Islam Timur Tengah

ke Indonesia, Jakarta: Penerbit Erlangga, 2005, hlm. 60.

24

Di Indonesia dikenali sebagai HTI dan dideklarasikan kepada khalayak ramai pada 2000 selari dengan ruang demokrasi yang bebas pasca runtuhnya Orde Baru. Bagaimanapun, kehadiran HTI sudahpun bermula seawal 1980-an yang dibawa oleh aktivis HT dari Lubnan Abdul Rahman al Baghdadi di daerah Bogor Jawa Barat. Kegiatan HT berpusat di Pesantren Al Ghazali dan digerakkan oleh aktivis dakwah di Institut Pertanian Bogor (IPB). Bagaimanapun, kegiatan ini dilakukan melalui gerakan bawah tanah dan secara sembunyi disebabkan sistem politik ketika itu yang tidak memungkinkan dilakukan secara terbuka. Seiring dengan perkembangan lembaga dakwah kampus yang digerakkan kumpulan tarbiyah, gerakan HT juga menyebar ke kampus-kampus ‘sekular’ di serata Indonesia. Lihat Imdadun Rahmat, Arus Baru Islam Radikal, hlm. 124-126. Tidak sebagaimana di Indonesia yang dilakukan secara terbuka, kewujudan Hizbut Tahrir di Malaysia lebih banyak dilakukan secara tertutup. Aktivitinya lebih banyak dilakukan di dalam dewan atau di sekretariat utama mereka yang terletak di daerah Bangi. Meskipun begitu, boleh dikatakan program mereka cukup aktif khasnya berkaitan dengan sosialiasi pemikiran dan konsep mereka terhadap gagasan khilafah. Salah satu tunjang media sosialisasi HT Malaysia adalah risalah kecil yang dikenali Shautun Nahdah. Risalah ini merupakan pendapat rasmi HT Malaysia mengenai isu berbangkit sama ada isu tempatan mahupun isu antarabangsa. Hampir dipastikan risalah ini dapat ditemui di masjid atau surau yang diedarkan setiap kali solat Jumaat di kawasan Bangi, Kajang dan sekitarnya.

University

158

dalam hal ini, perbincangan secara umum perspektif HT tanpa merujuk kepada pendirian HT di Malaysia mahupun di Indonesia.

Gagasan utama HT mengenai negara Islam tertumpu kepada terbentuknya negara berdasarkan pelaksanaan syariat Islam secara sepenuhnya. Pandangan ini sebenarnya tidaklah menjadi satu keanehan bagi organisasi Islam seperti HT sebagaimana yang dicita-citakan oleh gerakan Islam lain. Walau bagaimanapun, perkara yang menjadi titik perbezaan dengan organisasi Islam lain adalah terletak kepada pendirian HT yang amat bermusuhan dan menolak secara keras terhadap sistem demokrasi, kedaulatan rakyat, idea nasionalisme, konsep pemerintahan moden seperti

trias politica yang kesemuanya bersumber daripada pemikiran dan peradaban Barat.25

Idea dan konsep negara ini dianggap sebagai sistem kufur yang bertentangan dengan sistem politik Islam yang meletakkan kedaulatan Allah sebagai sumber perundangan negara.26

Lantaran itu, bagi memastikan terbentuknya negara Islam yang menjalankan syariat Islam sepenuhnya, bagi HT penubuhan sistem khalifah adalah satu kemestian yang tidak dapat ditawar atau dikompromikan. Penerapan syariat dan kehidupan Islam menurut HT, tidak akan sempurna kecuali dengan terwujudnya khilafah. Dengan khilafah, Islam dapat diterapkan secara sempurna ke seluruh negeri muslim dan misi dakwah Islam akan bergema dan berkembang ke seluruh dunia.27 Khilafah adalah satu-satunya kaedah yang paling absah (at thariqah al wahidah) bagi menerapkan hukum hakam Islam. Sekiranya sistem khilafah ditinggalkan, pelaksanaan Islam tidak

25 Huraian lanjut mengenai teori politik dan pemerintahan Hizbut Tahriri lihat Abdul Qadim Zallum,

Sistem Pemerintahan Islam (terj.), Bangil: Penerbit al Izzah, 2002.

26 Hizbut Tahrir, “Pasca PRU-13: ‘Demo’ Kalah, ‘Krasi’ Menang”, Shautun Nahdah, 10 Mei 2013.

27

Lihat Ainur Rafiq al-Amin, Membongkar Proyek Khilafah, hlm. 114.

University

159

sempurna kerana khilafah bahagian ajaran Islam fundamental yang tidak boleh ditinggalkan.28

Bagi merealisasikan penubuhan negara Islam berdasarkan sistem khilafah, HT menetapkan tiga peringkat perjuangan iaitu marhalah tasqif, marhalah tafa’ul ma’al

ummah dan marhalah istilam al hukm. Peringkat pertama atau tasqif merupakan

pembentukan dan pembinaan kader parti. Peringkat kedua iaitu tafa’ul maal ummah ialah terjun ke masyarakat bagi menjawab dan mempromosikan Islam dalam setiap segi kehidupan sehingga terbentuk kesedaran dan pemikiran Islamnya. Manakala peringkat terakhir istilam al hukm adalah mengambil alih kekuasaan negara. Situasi ini dapat terwujud sekiranya masyarakat Islam sudah terpupuk kesedaran Islamnya sehingga dengan sendirinya akan berjuang sepenuh hati untuk menubuhkan negara Islam (dawlah

Islamiyah) yang berpaksi kepada sistem khilafah.29

Konsepsi dan idealisme HT terhadap penubuhan negara Islam yang terpusat kepada pembentukan sistem khilafah dan penolakannya secara keras terhadap sistem demokrasi dapat dikatakan merupakan cerminan kepada pengaruh gagasan yang dicetuskan oleh aliran pertama khasnya pemikiran Maududi. Gagasan khilafah yang dibawa HT tidak hanya dianggap utopia kerana perlu menyatukan negara muslim dalam satu payung di bawah kekuasaan khalifah, akan tetapi ia juga dianggap sebagai organisasi yang berpotensi mencetuskan kekacauan dan ketidakharmonian masyarakat Islam dan bukan Islam. Ini kerana penolakan mereka terhadap sistem demokrasi dan ideologi negara boleh menggugat kestabilan sesebuah pemerintahan.30

28 Ibid., hlm. 116.

29

Imdadun Rahmat, Arus Baru Islam Radikal, hlm. 115.

30 Di Indonesia, gagasan khilafah HTI dianggap akan melenyapkan Pancasila sebagai ideologi nasional dan Negara Kesatuan Republik Indonesia (NKRI). Di Malaysia, aktiviti HT yang selama ini masih bergerak dalam gerakan bawah tanah, dianggap masih belum mendatangkan ancaman kepada kerajaan. Bagaimanapun, pergerakan mereka tidak lepas daripada pengawasan pihak berkuasa. Wawancara

University

160

Meskipun mempunyai tujuan yang sama iaitu cita-cita tertubuhnya negara Islam dengan penerapan syariat Islam sebagai teras utama pentadbiran negara, akan tetapi dari beberapa segi, konsepsi HT mengenai negara Islam amat berbeza dengan gerakan tarbiyah seperti PKS di Indonesia atau PAS dan ABIM di Malaysia. Di dalam gerakan tarbiyah, mereka percaya bahawa sistem demokrasi yang dianut di negara masing-masing, akan mampu membawa kepada terbentuknya sistem pemerintahan dan negara bagi membolehkan pelaksanaan syariat atau perundangan Islam. Di atas sebab itu, gerakan Islam ini menyertai proses pilihan raya bagi mencari mandat rakyat sama ada dibenarkan atau sebaliknya bagi menerapkan prinsip partinya. HT, sebagai akibat pendiriannya yang menentang demokrasi, menolak pilihan raya sebagai medium untuk merealisasikan cita-cita perjuangannya.31

Menurut pandangan HT, sistem demokrasi tidak hanya produk kaum kuffar dan bercanggah dengan Islam, demokrasi hanya akan memerangkap umat Islam ke dalam dominasi orang kafir dan akan membawa Islam sentiasa mengalami kemunduran dan kekalahan. Malah lebih jauh, HT dengan sinikal berpendapat sistem demokrasi yang kufur ini tidak akan dapat menyatukan umat Islam, apatah lagi membebaskan umat Islam di negara bergolak seperti di Palestin, Kashmir, Myanmar, Selatan Thailand dan di negara-negara lain yang masih dilanda konflik.32 Oleh itu, HT menyeru kepada gerakan Islam yang menyertai pilihan raya untuk bermuhasabah diri dengan meninggalkan demokrasi. Pada masa yang sama, HT mengajak gerakan Islam

bersama-_____________________________

dengan Ahmad Zamzamin Hashim, mantan Ketua Pengarah Penyelidikan di Jabatan Perdana Menteri, Kuala Lumpur 6 Oktober 2012.

31 Hizbut Tahrir, "Muhasabah Terbuka Kepada Gerakan Islam: Tinggalkan Demokrasi Tegakkan Khilafah", Shautun Nahdah, 17 Mei 2013.

32

Lihat Shautun Nahdah, 10 Mei 2013.

University

161

sama untuk menegakkan khilafah bagi mewujudkan negara Islam yang menerapkan syariat Islam secara sempurna dan sepenuhnya.33

Dalam kerangka pertubuhan Islam dan gerakan dakwah Islam, hampir keseluruhan gerakan Islam di Malaysia seperti ABIM, JIM, Darul Arqam dan pertubuhan Islam pada peringkat awal kemunculannya pada tahun 1970-an terpengaruh dengan idea secara doktrinal. ABIM misalnya, sejak awal penubuhannya lagi menghendaki terciptanya sebuah negara Islam sebagaimana cita-cita kumpulan Ikhwanul Muslimin di Mesir dan Jamaat Islami di Pakistan yang dikatakan mempengaruhi ABIM.34 Malah, meskipun cenderung utopia, ABIM memiliki cita-cita wujudnya satu negara Islam dengan khilafah sebagai sistem pemerintahannya. Satu gerakan global yang perlu disertai oleh masyarakat Islam Malaysia.35

Begitu juga dengan pertubuhan Islam yang lahir sejak tahun 2000-an seperti ISMA, Muafakat, IKRAM, Hizbut Tahrir Malaysia dan pertubuhan Islam lain yang semakin rancak. Walaupun wujud pendekatan dan kaedah yang berbeza khasnya berkaitan dengan afiliasi atau kecenderungan terhadap corak politik sedia ada, akan tetapi dapat dikatakan bahawa kesemua NGO Islam itu bercita-cita menghendaki terbentuknya negara Islam yang berlandaskan kepada pendekatan formalistik-legalistik.36

33

Lihat Shautun Nahdah, 17 Mei 2013.

34 Lihat Jomo dan Ahmed Shabery Cheek, "The Politics of Malaysia’s", hlm. 846.

35 Lihat ABIM, Mengangkat Martabat Umat: Koleksi Ucapan Dasar Muktamar Sanawi ABIM, Kuala Lumpur: ABIM, 1989, hlm. 13.

36

Bagaimanapun, kemunculan NGO Islam pada tahun 2000-an dikatakan kehilangan momentum yang tepat dalam gerakan Islam berbanding pada era tahun 1970-an. Kelahiran ABIM misalnya, merupakan wadah dan dalam masa yang tepat bagi mewadahi aspirasi kebangkitan Islam berbanding dengan gerakan Islam yang lain sehingga ABIM amat dikenali sebagai organisasi terkemuka dan berpengaruh dalam masyarakat Islam di Malaysia. NGO Islam pada era 2000-an gagal menampilkan pemimpin dalam peringkat nasional dan mencorakkan gerakan Islam. Perkara ini dapat dilihat dalam IKRAM misalnya.Meskipun keahliannya terdiri daripada kalangan terdidik, profesional dan tidak diragukan lagi komitmennya terhadap dakwah Islamiah, namun kemunculan pertubuhan ini tidak tepat.Wawancara dengan Siddiq Fadzil, Kajang, 28 Mac 2012. Walau bagaimanapun, faktor bahawa suasana dan

University

162

Menurut Presiden ABIM keempat Siddiq Fadzil, cita-cita membentuk semula sistem khilafah tidak hanya semata-mata satu strategi politik, akan tetapi merupakan tuntutan agama dan selari dengan tuntutan kesatuan ummah berdasarkan wahdatul

qiyadah (kepimpinan tunggal) bagi umat Islam.37 Sebab hanya dengan negara Islamlah satu-satunya cara yang boleh menyelesaikan persoalan perkauman di Malaysia dengan