• Tidak ada hasil yang ditemukan

BAB I PENDHULUAN

1.8. Kajian Lepas

Kajian tentang pemikiran dan pelaksanaan hukum Islam di Indonesia sangat menarik untuk dikaji. Hal ini kerana walaupun Indonesia merupakan negara yang paling banyak penduduk Muslimnya di dunia, akan tetapi way of life dan ideologi negara tidak didasarkan kepada faham Islam, dan Islam hanya merupakan salah satu agama yang diakui oleh negara. Manakala pada aspek yang lain, hukum Islam yang merupakan salah satu ajaran Islam yang bersifat praktikal, yang telah pun menjadi hukum yang hidup di dalam sebahagian masyarakat Indonesia, baharu sebahagian hukum Islam sahaja yang telah pun diakomodasi oleh negara dalam bentuk undang-undang (hukum tertulis) yang mengandungi nilai-nilai hukum Islam, semisal Undang-undang No. 1 Tahun 1974 tentang perkahwinan dan Kompilasi Hukum Islam yang dikuatkuasakan berdasarkan Instruksi Presiden R.I. Nomor 1 Tahun 1991.

Beberapa kajian yang membahaskan mengenai pemikiran dan pelaksanaan hukum Islam dalam konteks Indonesia telah pun dibahaskan oleh beberapa pengkaji sebelumnya. Amir Mu’allim dan Yusdani dalam bukunya Konfigurasi Pemikiran Hukum Islam banyak membincangkan berkenaan dengan asas-asas teori pengembangan hukum Islam, kerangka pengembangan epistemologinya dan dihubungkan pula dengan kerangka penyelidikan hukum secara amnya. Selain itu dalam tulisan tersebut juga dilihat beberapa kecenderungan pengembangan hukum Islam di beberapa negara Islam. Nourouzzaman Shiddiqi dalam tulisannya yang

bertajuk Fiqh Indonesia: Penggagas dan Gagasannya, membahaskan tentang bagaimana gagasan fiqh Indonesia yang dibincangkan oleh Hasbi ash-Shiddieqy sama ada secara teorinya dan pengembangannya mahupun metode dan aplikasinya di Indonesia. Di mana sebelumnya beliau menerangkan riwayat hidup Hasbi ash-Shiddieqy sebagai orang yang pertama mempunyai gagasan tentang fiqh Indonesia.

Mahsun Fuad (2005) dalam bukunya Hukum Islam Indonesia : Dari Nalar Partisipatoris Hingga Emansipatoris, menjelaskan bahawa lahirnya tajuk-tajuk berkenaan dengan pemikiran hukum Islam di Indonesia yang digagas oleh beberapa pakar hukum Islam Indonesia, seperti “Fiqh Indonesia”, “Fiqh Mazhab Nasional”, “Reaktualisasi Ajaran Islam”, dan lain-lain merupakan respons hukum Islam ke atas modenisasi-pembangunan. Dengan mendasarkan pada prinsip adaptability hukum Islam, penulis mencuba memandang dan memetakan berbagai-bagai idea dari pada ulama dan intelektual Islam Indonesia sepanjang era 1970 hingga 2000 dengan dua istilah kategori besar iaitu, Simpatis-Partisipatoris dan Kritis-Emansipatoris. Dalam kajian ini, penulis membandingkan beberapa pemikiran yang ada, kemudian memetakan dan membahagikannya pada dua kategori besar tersebut. Penulis, walaupun memberikan sedikit kajian pada kesejarahan hukum Islam di Indonesia dan beberapa tawaran pendekatan, akan tetapi kajian tersebut kurang memberikan penekanan pada pelaksanaan hukum Islam secara kontekstualnya di Indonesia.

Muhammad Daud Ali dalam tulisannya yang bertajuk Pengembangan Hukum Materil Peradilan Agama membincangkan tentang pengembangan materi hukum yang dibuat sebagai acuan dalam Peradilan Agama harus dalam bingkai pembangunan Hukum Nasional. Dalam tulisan tersebut, beliau banyak

memberikan penekanan pembahasan tentang pembangunan hukum nasional yang kemudian dihubungkaitkan dengan pengembangan hukum di Peradilan Agama. Pada akhirnya dalam tulisan berkenaan, penulis memberikan kesimpulan untuk mempertahankan identiti hukum Islam dalam isi kandungan hukum di Peradilan Agama dan mengembangkannya, dengan pembangunan metode pengambilan hukum, sama ada dengan metode dalam hukum Islam mahupun dengan metode dalam hukum Barat.

Buku yang membahaskan tentang pembaharuan hukum Islam di Indonesia adalah Reformasi Hukum Islam di Indonesia yang ditulis oleh Abdul Manan (2005). Dalam buku ini dijelaskan tentang tipologi pembaharuan hukum Islam dan pembaharuan hukum Islam di Indonesia yang ditekankan pada peranan Peradilan Agama dengan perbandingan pembaharuan hukum Islam yang terjadi di beberapa negara Islam. Dalam kajian tersebut, walaupun penulis juga membahaskan tentang metodologi yang lebih ditekankan pada penggunaan mas}a>lih} al-mursalah, akan tetapi beliau lebih menitikberatkan pembaharuan hukum Islam di Indonesia dalam kategori normatif, iaitu lebih pada hubungan hukum Islam dengan negara dalam bentuk Peradilan Agama.

Buku yang tidak terlalu jauh daripada pembahasan Abdul Manan tentang pembaharuan hukum Islam di Indonesia, adalah buku Rekonstruksi Epistemologi Hukum Islam Indonesia dan Relevansinya Bagi pembangunan Hukum Nasional yang ditulis oleh Imam Syaukani (2006). Dalam buku ini, penulis menjelaskan bahawa rumusan hukum Islam klasik yang tersebar dalam kitab-kitab fiqh dengan pelbagai permasalahan yang ada, sudah tidak kontekstual dengan keadaan sosial budaya semasa, sehingga memerlukan pengembangan yang baharu. Persoalan mendasar yang dibahaskan dalam buku tersebut iaitu pembaharuan pada

tingkatan epistemologi hukum Islam yang merupakan pembaharuan yang paling penting, dan pada aspek yang lain menerapkan epistemologi berkenaan dalam upaya menjadi penunjang dalam pembangunan hukum nasional.

Buku dengan tajuk Legislasi Hukum Islam di Indonesia yang ditulis oleh Jazuni (2005) juga tidak terlalu jauh dari pada pembahasan kedua-dua buku di atas. Dalam buku ini, penulis membahaskan tentang proses masuknya hukum Islam dalam undang-undang negara dalam konteks politik, dengan juga memandang lahirnya wacana-wacana yang muncul di Indonesia berkenaan dengan pemikiran hukum Islam di Indonesia. Manakala buku yang bertajuk Ekletisisme Hukum Nasional: Kompetensi Antara Hukum Islam dan Hukum Umum yang ditulis oleh A. Qodri Azizy lebih banyak membahaskan tentang kedudukan hukum Islam dalam konteks pembentukan hukum nasional, di mana beliau banyak membincangkan tentang bagaimana menempatkan hukum Islam (fiqh) sebagai salah satu hukum yang telah pun diakui di dunia, dalam kajian ilmu hukum (secular jurisprudence) dan sekaligus menjadi sumber pembentukan materi hukum umum (negara) khasnya di Indonesia.

Penyelidikan tentang hukum Islam Indonesia yang dikaitkan dengan kompilasi hukum Islam (KHI), dibahaskan oleh Abdurrahman dalam buku Kompilasi Hukum Islam di Indonesia. Dalam buku tersebut, penulis banyak menjelaskan tentang kompilasi hukum Islam secara teori dan latar belakang penyusunannya, dengan sedikit menyinggung tentang landasannya. Tulisan yang tidak terlalu jauh daripada pembahasan Abdurrahman tentang hukum Islam Indonesia yang dikaitkan dengan kompilasi hukum Islam, adalah tulisan yang bertajuk Kompilasi Hukum Islam dalam Sistem Hukum Nasional yang ditulis oleh Cik Hasan Bisri. Dalam tulisan berkenaan, penulis membincangkan latar belakang

KHI dan hubungannya dengan Hukum Nasional di Indonesia. Selain pula memberikan penilaian, bahawa KHI sudah mencorakkan ciri Indonesia.

Yahyah Harahap dalam tulisannya Informasi Materi Kompilasi Hukum Islam: Mempositifkan Abstraksi Hukum Islam membincangkan KHI dari aspek teori hukum Islam dan hubungannya dengan konteks peradilan Agama dan undang-undang yang berlaku di Indonesia. Beliau juga menyinggung sedikit permasalahan budaya Indonesia berkaitan dengan KHI. Pada akhirnya penulis menilai bahawa KHI lebih bersifat konserfatisme dan tidak sempurna. Manakala Taufiq dalam tulisannya yang bertajuk Pengembangan Hukum Materil dan Tenaga Teknis Peradilan Agama lebih banyak membincangkan perlunya pengembangan materi dalam KHI, di mana menurutnya dalam KHI, khasnya berkenaan dengan hukum kewarisan, hibah, wasiat dan s}adaqah masih memerlukan perincian lebih lanjut, dan tolak ansur dengan perubahan masyarakat moden yang terus menerus mengalami perkembangan dan perubahan.

Tidak berbeza dengan beberapa buku di atas, Ridwan dalam bukunya yang bertajuk Membongkar Fiqh Negara: Wacana Keadilan Gender Dalam Hukum Keluarga Islam, juga membahaskan beberapa masalah yang berhubung kait dengan Kompilasi Hukum Islam di Indonesia, setelah membahaskan secara teorinya berkenaan dengan konsep pembaharuan hukum Islam di Indonesia sama ada berkenaan dengan teori dan metodologi pembaharuan mahupun dalam konteks sejarah perkembangan hukum Islamnya. Selain itu, dalam membahaskan persoalan Kompilasi Hukum Islam dan nuansa pembaharuannya, penulis juga melakukan kajian perbandingan antara isi dan materi Kompilasi Hukum Islam dengan hasil wacana yang tertulis dalam draf perundangan sebagai perlawanan dari pada KHI.

Agak berbeza dengan beberapa pembahasan dalam beberapa tulisan di atas, Roihan A. Rasyid dalam tulisannya yang bertajuk Pengganti Ahli Waris dan Wasiat Wajibah hanya memberikan pembahasan pada salah satu fasal dalam KHI iaitu berkenaan dengan ahli waris pengganti dan berkenaan dengan wasiat wajibah, di mana menurut beliau peraturan berkenaan dengan ahli waris pengganti masih tidak jelas. Pada aspek ini, beliau memberikan beberapa tawaran untuk memperjelas masalah tersebut. Manakala berkenaan dengan wasiat wajibah, yang menurut beliau masih berhubung kait dengan fasal yang berkenaan dengan ahli waris pengganti tersebut juga belum jelas dan tuntas.

Kajian yang berkenaan dengan hukum Islam di Indonesia dengan memberikan analisis ke atas KHI dan dihubungkaitkan dengan konteks negara, adalah tulisan yang bertajuk Fiqh Mazhab Negara: Kritik Atas Politik Hukum Islam di Indonesia yang ditulis oleh Marzuki Wahid dan Rumadi. Dalam pembahasan tulisan tersebut, penulis banyak membincangkan kepentingan penguasa politik di Indonesia dalam menerima sebahagian hukum Islam untuk dikuatkuasakan menjadi bahagian hukum Negara, di mana penulis menyimpulkan bahawa hukum Islam yang dikuatkuasakan oleh penguasa, khasnya KHI merupakan alat politik penguasa dalam mencari dukungan dari pada elemen masyarakat Muslim untuk memperkukuh kekuasaannya. Pada akhirnya, penulis memberikan saranan untuk membangun konsep baharu berkenaan dengan hubungan antara agama dan negara, di mana agama harus ada pada prospek yang bebas dari pada kepentingan politik praktis